Tag Archive: pelaburan

Tips Pelaburan Emas Untuk Pemula

tips pelaburan emasKali ini saya nak tulis tentang tips pelaburan emas, sebab dapat dilihat sekarang minat terhadap pelaburan emas meningkat semula lebih-lebih lagi selepas tempoh PKP baru-baru ini.

Gelombang ini sama seperti tahun 2011 dan juga 2016; ramai minat nak buat pelaburan emas.

Mungkin disebabkan harga emas sekarang yang tinggi.

Lihat sahaja carta harga emas daripada goldprice.org di bawah, sekarang harga emas berada sekitar paras tertinggi bagi tempoh 20 tahun lepas.

harga emas 2020

Harga emas di Malaysia sekarang lebih RM 250 per gram.

Teringat saya semasa melabur emas dulu pada tahun 2011, pada waktu itu lebih kurang RM 170 per gram sahaja.

Atas sebab inilah, pelaburan emas kembali menarik minat orang ramai.

Bagi yang nak mula melabur dengan ‘besi kuning berkilau’ ini, beberapa tips pelaburan emas saya berikan:

#1 – Harga sentiasa berubah

Sama seperti pelaburan-pelaburan lain, pelaburan emas juga tidak terkecuali dengan naik turun harga.

Lihat sahaja carta harga emas di atas.

Harga emas menaik dari tahun 2000 ke 2012, kemudian menurun sedikit pada 2013 dan 2014, sebelum mendaki semula pada 2015 hingga 2017.

Kemudian harga emas menurun semula sekitar 2018 dan 2019, sebelum meroket sehingga sekarang.

Apa yang boleh disimpulkan, harga emas ada naik turunnya.

Jangan sangka akan terus naik dan naik tanpa turun.

Jadi, jika nak sertai pelaburan emas, jangan terlalu ghairah tika kenaikan harga sampai terbayangkan yang harga akan terus naik dan naik, akan terus untung dan untung.

Dan ingat juga apabila harga turun, jangan cepat gelabah sehingga jual semua emas yang ada.

Yang penting, kena ada strategi dan tetapkan objektif dalam pelaburan; yang ini kena belajar daripada sifu-sifu pelaburan emas.

#2 – Pilih cara pelaburan yang sah

Sekitar tahun 2011 dahulu, banyak skim cepat kaya yang kononnya berteraskan pelaburan emas muncul.

Macam-macam teknik yang diperkenalkan.

Malah baru-baru ini, ada berita tentang individu dan syarikat yang menganjurkan skim pelaburan emas palsu telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

Ringkasnya, jika nak buat pelaburan emas, buat secara sah dan betul.

Pastikan beli emas dapat emas, bukan sertai skim-skim yang mengarut.

Ada banyak cara untuk terlibat dalam pelaburan emas, sama ada beli emas fizikal, akaun emas atau unit amanah emas.

Emas fizikal boleh dibeli contohnya di PublicGold, Pump Suisse dan kedai-kedai emas.

Akaun simpanan emas contohnya seperti Maybank, Kuwait Finance House dan Public Bank.

Unit amanah emas contohnya AmPrecious Metal dan RHB Gold Fund.

Malah, kalau di pasaran saham, boleh beli saham syarikat-syarikat yang terlibat dalam urusniaga emas.

Semua ini adalah cara pelaburan emas yang sah.

#3 – Jenis emas fizikal

Emas fizikal boleh wujud dalam bentuk jongkong emas, syiling emas dan juga perhiasan emas seperti gelang, rantai dan cincin.

Jadi, boleh pilih mana-mana jenis emas ini sebagai alat pelaburan.

Setiapnya ada kelebihan dan kekurangannya.

Contohnya, kalau beli perhiasan emas sebagai pelaburan, memanglah seronok sebab boleh dipakai dan ditunjuk kepada orang ramai.

Tetapi, harga belinya termasuk sekali caj atau upah design perhiasan tersebut, maka harganya lebih tinggi dan perlukan modal lebih.

Kalau jongkong emas dan syiling emas pula, harganya lebih murah berbanding barang kemas yang setara, tapi tidak boleh dipakai pula.

Sebagai tips pelaburan emas, pilih jenis emas yang memenuhi objektif pelaburan kita,

Kalau nak beli emas untuk dipakai sambil melabur, pilih barang perhiasan emas.

Kalau memang nak beli emas semata-mata untuk pelaburan, pilih jongkong atau syiling emas.

#4 – Kualiti emas

Emas ada banyak kualiti, antaranya 999, 916 dan 850

Sebagai pelabur emas, kena tahu tentang kualiti emas ini.

Jangan beli semberono sahaja.

Emas 999 paling berkualiti kerana hampir 100% emas, tapi paling ‘sensitif’

Kalau terjatuh atau terhentak kuat, emas mudah rosak yang mana akan menjejaskan kualiti serta nilainya.

Malah, ada syarikat yang tidak akan beli emas yang telah rosak, tercalar atau terserpih.

Jadi, perlu diberi perhatian kepada kualiti emas yang hendak disimpan.

#5 – Spread harga

Bagi yang nak buat pelaburan emas, perlu tahu tentang spread harga beli dan jual emas.

Contohnya seperti di bawah:

pelaburan emas harga emas malaysia 2020

Jika beli 10 g jongkong emas pada waktu tersebut, harganya adalah RM 2,769

Jika terus jual emas tersebut, harganya akan menjadi lebih rendah iaitu RM 2,520

Jadi, kalau boleh, cari penjual emas yang menjual dan membeli harga dalam spread harga yang sedikit sahaja.

Senang untuk jual emas pada harga lebih baik.

#6 – Tempat simpan

Apabila terlibat dalam pelaburan emas, terutamanya emas fizikal, perlulah fikir tentang tempat penyimpanan emas tersebut.

Ya lah, apabila jumlah emas yang disimpan semakin bertambah, kenalah simpan di tempat yang selamat.

Kalau simpan sahaja di rumah di dalam almari, berisiko juga untuk hilang sekiranya rumah diceroboh.

Kalau simpan di peti keselamatan bank, perlu keluarkan kos pula.

Jadi, fikirlah cara penyimpanan emas yang terbaik.

#7 – Jual emas

Apabila buat pelaburan emas, takkanlah nak simpan emas tersebut sampai bila-bila.

Sampai satu masa, emas perlu dijual juga untuk dapatkan hasil pelaburan tersebut.

Lagipun emas tidak berikan dividen, jadi kalau nak untung, hanya dengan cara jualkannya sahaja.

Beli semasa harga rendah, jual semasa harga tinggi, barulah untung.

Tapi, bila dan di mana nak jual?

Perkara ini juga perlu difikirkan bagi yang nak terlibat dengan pelaburan emas.

Kena tetapkan objektif, berapa anggaran keuntungan yang dikehendaki sebelum emas dijual.

Kalau jual di kedai emas, ada kedai yang ambil pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Kalau jual kepada syarikat pengeluar emas, kena bandingkan harga beli mereka supaya dapat harga yang terbaik.

Tetapi, ada syarikat yang hanya menerima emas keluaran mereka sahaja.

Apa-apa pun, yang penting, jual pada dan di tempat yang memberikan keuntungan paling optimum.

#8 – Kepatuhan syariah

Emas adalah item ribawi, maka berjual beli dengan emas perlulah mematuhi syarat-syarat tertentu supaya patuh syariah.

Ringkasnya, transaksi jual beli dan pelaburan emas hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman.

Hendaklah mematuhi garis panduan muamalat emas yang dikeluarkan pihak JAKIM.

Contohnya, emas yang hendak dibeli perlulah ada dan diketahui jenis dan sifatnya, bukan baru nak ditempa/tempah.

Lagi, harga emas mestilah jelas dan tidak berubah-ubah semasa pembelian dibuat.

Pembayaran dan pemberian emas kepada pembeli pula hendaklah berlaku dalam tempoh masa yang dibenarkan.

Kiranya, urusan jual beli emas hendaklah dilakukan dengan berhati-hati agar kepatuhan syariah dipatuhi.

Kalau buat pelaburan emas melalui akaun pelaburan emas, atau unit trust emas, pastikan juga pilih akaun dan dana yang patuh syariah.

#9 – Zakat emas

Sebagai orang Islam, kita diwajibkan mengeluarkan zakat emas jika emas yang disimpan cukup tempoh (1 tahun Hijrah) dan jumlahnya.

Sebagai panduan, bagi emas yang dipakai (biasanya dalam bentuk barang kemas seperti rantai, cincin dan gelang), jumlah untuk diwajibkan zakat emas adalah 800 gram (bagi Wilayah Persekutuan, jumloah ikut negeri masing-masing)

Bagi emas yang tidak dipakai pula seperti jongkong emas dan barang kemas yang disimpan, jumlahnya adalah 85 gram.

Kadar zakat adalah 2.5% daripada jumlah emas.

Boleh rujuk pusat zakat negeri untuk cara pengiraan zakat emas.

#10 – Diversify pelaburan

Ayat cliche pelaburan, “Jangan letak semua telur dalam satu bakul, kalau jatuh, habis semua pecah”

Begitu jugalah dengan pelaburan, jangan tumpukan kepada satu jenis pelaburan sahaja.

Jangan laburkan semua duit kita kepada pelaburan emas sahaja.

Tiap-tiap masa asyik beli emas sahaja.

Pelbagaikan pelaburan; emas, saham, hartanah, unit amanah.

Tetapi, janganlah pula terlalu diversify sampai tak boleh fokus.

Nasihatnya, pelbagaikan jenis pelaburan tetapi fokus kepada pelaburan-pelaburan yang kita faham, minat dan mahir.

Dan paling penting, memberikan keuntungan.

Penutup

Itulah sahaja serba sedikit tips pelaburan emas.

Secara peribadi, saya pernah terlibat dengan pelaburan emas sekitar tahun 2011 dahulu.

Selepas beberapa tahun dan harga pasarannya dapat memberikan sedikit keuntungan, saya jual emas yang saya simpan.

Bagi saya, pelaburan emas sesuai untuk mereka yang nak melabur untuk tempoh sederhana dan panjang.

Sebabnya, seperti yang saya katakan di atas, harga emas ada naik dan turun.

Jika nak melabur dalam tempoh masa singkat, takut masa nak jual itu, harganya sedang jatuh pula.

Kan dah rugi.

Sama juga seperti pelaburan yang lain, pelaburan emas juga perlukan kesabaran dan teknik yang betul.

Kena ada ilmu, bukan setakat ikut-ikutan orang lain.

Pastikan anda memahami betul-betul tentang pelaburan emas sebelum terjebak dengannya.

Sekian.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

Pening Nak Beli Rumah? Ini Solusinya

gl home nak beli rumahAdakah anda berimpian nak beli rumah tetapi masih pening mencari rumah yang sesuai?

Apabila dah jumpa rumah yang sesuai, pening pula fikir tentang sumber kewangan untuk dapatkan rumah tersebut.

Kalau anda alami situasi di atas, wajib baca artikel ini sampai habis!

Sedarkah anda, anda sebenarnya tengah rugi besar jika masih bertangguh memiliki rumah.

Kenapa saya keluarkan kenyataan sebegini?

Kerana pembelian rumah boleh menjadi pelaburan yang paling menguntungkan untuk anda.

Mungkin anda tidak sedar, sebenarnya ramai yang dah berjaya menjana keuntungan dan pendapatan lumayan hasil pembelian rumah yang mereka lakukan sebagai pelaburan.

Azizi Ali, Faizul Ridzuan, Ahyat Ishak, malah ramai lagi, merupakan antara tokoh-tokoh yang berjaya menjadikan rumah yang mereka beli sebagai aset dan mesin pendapatan yang lumayan untuk mereka.

Jika tak percaya, boleh google kisah mereka dan baca tentang kisah kejayaan mereka.

Kalau mereka boleh berjaya, mengapa tidak anda?

Kenapa pembelian rumah merupakan pilihan pelaburan yang perlu diceburi?

gl home nak beli rumahBanyak sebabnya.

Sebab #1 – Rumah adalah keperluan asas

Rumah merupakan keperluan asas dalam kehidupan; sama seperti udara yang kita hirup dan makanan yang kita makan.

Malah, mempunyai tempat berteduh yang selesa untuk diri-sendiri dan keluarga merupakan satu tanda aras kejayaan yang boleh dibanggakan.

Sebab #2 – Permintaan sentiasa ada

Setiap masa, akan sentiasa ada permintaan ke atas rumah, sama ada untuk dibeli atau disewa.

Jadi, jika anda beli rumah sebagai aset pelaburan, anda boleh jana keuntungan melalui penjualan rumah tersebut atau hasil pendapatan sewaan.

Sebab #3 – Aset fizikal yang boleh diguna dan dinaik taraf

Berbanding jenis pelaburan lain seperti saham, unit amanah dan bon, rumah merupakan aset pelaburan yang wujud secara fizikal.

Maksudnya, anda sendiri boleh nampak, pegang dan guna aset yang anda beli.

Lebih baik lagi, anda dapat menaik taraf aset tersebut dengan memasang kelengkapan rumah dan juga melakukan pengubahsuaian ruang yang bersesuaian.

Sebab #4 – Nilai sentiasa meningkat

Amat sukar untuk dengar harga rumah semakin berkurang, bukan?

Jika anda membeli rumah sebagai aset pelaburan, dari tahun ke tahun, nilai rumah tersebut akan semakin meningkat.

Lebih-lebih lagi jika kemudahan di sekitar rumah yang dibeli tersebut semakin bertambah.

Lebuh raya baru dibuka, stesen pengangkutan awam dibina, pasaraya moden beroperasi.

Semua ini boleh meningkatkan nilai aset pelaburan yang anda beli tersebut.

Nah, empat sebab ini sahaja pun sudah membuktikan bahawa pembelian rumah merupakan pilhan pelaburan yang tepat.

Jadi, takkan anda masih nak bertangguh untuk membeli rumah?

Tetapi, bagaimana nak pastikan rumah yang dibeli adalah pilihan yang berbaloi?

Tidak dinafikan, masih ramai yang takut nak beli rumah sebab bimbang terbeli rumah yang silap.

Jika anda ada perasaan sebegini, saya sarankan untuk ambil kira 3 faktor penting ini apabila nak beli rumah.

Faktor #1 – Lokasi, lokasi, lokasi

Pastikan rumah yang nak dibeli berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang.

Ambil kira faktor-faktor seperti jarak ke tempat kerja, kawasan kejiranan dan akses kepada kemudahan-kemudahan asas.

Amat baik jika rumah yang dibeli berdekatan dengan lebuh raya, sekolah, stesen pengangkutan awam dan juga pasaraya.

Selain daripada itu, pastikan juga rumah tersebut mempunyai infrastruktur-infrastruktur asas yang lengkap.

Ada jalan masuk, sistem sekuriti yang selamat, lif yang berfungsi dengan baik dan tempat meletak kenderaan yang mencukupi.

Faktor #2 – Reka bentuk rumah

Kalau nak beli rumah, jangan lupa untuk lihat reka bentuk dan lakaran pelan rumah tersebut.

Pastikan rumah tersebut mempunyai bilangan bilik yang mencukupi dan luas ruang yang bersesuaian.

Lebih baik lagi kalau rumah tersebut turut dilengkapi kelengkapan-kelengkapan asas seperti peralatan elektrik, pintu akses, grill dan kabinet dapur.

Jangan lupa juga untuk bandingkan harga yang ditawarkan dengan segala apa yang ditawarkan.

Pastikan harga yang ditawarkan adalah berbaloi dan sepadan dengan harga pasaran semasa.

Faktor #3 – Reputasi pemaju

Ada yang takut nak beli rumah sebab bimbang rumah yang dibeli nanti akan terbengkalai.

Sebab itulah penting untuk menyemak reputasi pemaju yang mengendalikan projek perumahan yang hendak dibeli.

Pemaju yang bereputasi baik bukan sahaja akan memastikan rumah tersebut tidak terbengkalai, malah mereka akan membina rumah yang berkualiti tinggi serta menyediakan prasarana-prasarana asas yang terbaik.

Salah satu pemaju yang bereputasi tinggi dan mempunyai rekod yang cemerlang di Malaysia adalah Gamuda Land.

Gamuda Land bukan sahaja membina kediaman yang berkualiti tinggi, malah turut menitik beratkan aspek pembangunan persekitaran dan komuniti yang selesa, lengkap dan menyeluruh.

Anda boleh lihat kejayaan projek-projek perumahan yang dikendalikan mereka di sini: Gamuda Land

Dalam banyak-banyak projek yang dikendalikan mereka, saya tertarik dengan Jadite Suites dalam pemajuan Jade Hill mereka:

Sekarang saya berminat nak beli rumah. Bagaimana caranya?

Untuk beli rumah, hanya perlu lakukan 3 langkah ringkas ini.

Langkah #1 – Cari rumah yang berpotensi

Anda boleh cari rumah yang berpotensi sama ada melalui carian di laman-laman web, lawatan ke ekspo-ekspo perumahan atau pun terus berkunjung ke bilik pameran pemaju-pemaju perumahan.

Contohnya, anda boleh lawati laman web Gamuda Land untuk melihat projek-projek perumahan yang sedang dan akan dilaksanakan.

Memang ada banyak pilihan, tak kisah sama ada anda nak cari rumah jenis kondominium, apartment, banglo dan teres.

Langkah #2 – Lawati bilik pameran

Apabila dah jumpa rumah yang berpotensi, jangan lupa untuk lawati bilik pameran bagi projek perumahan tersebut.

Di sana nanti, anda boleh mendapatkan lebih banyak maklumat tentang rumah yang hendak dibeli.

Lebih menarik lagi, anda mungkin akan ditawarkan diskaun atau hadiah menarik jika membeli rumah yang dipamerkan.

Langkah #3 – Dapatkan pinjaman perumahan

Jarang orang beli rumah secara tunai, kecuali jika memang betul-betul kaya.

Jadi, kenalah dapatkan pinjaman perumahan yang bersesuaian untuk mendapatkan rumah yang diingini.

Nak dapatkan pinjaman perumahan yang terbaik, kenalah lawati beberapa bank untuk lihat tawaran mereka.

Alamak! Layak ke saya nak buat pinjaman perumahan untuk beli rumah?

Mana saya ada masa nak pergi lawat banyak bank!

Jangan risau, jangan bimbang.

Setiap masalah ada penyelesaiannya.

Berita baik bagi yang nak mendapatkan rumah tetapi bimbang tentang kelayakan pinjaman perumahan, pihak Gamuda Land baru melancarkan satu program yang dikenali sebagai GL H.O.M.E.

Apa itu GL H.O.M.E.?

gl home nak beli rumah

GL H.O.M.E. adalah singkatan kepada Gamuda Land: Home Ownership Make Easy; satu program untuk membantu bakal pembeli rumah mendapatkan rumah yang diingini dengan lebih mudah.

Program ini akan membantu bakal pembeli daripada 3 aspek:

Aspek #1 – No Hassle

Penasihat berkelayakan yang dilantik akan menilai tahap kesihatan kewangan anda dengan menyemak rekod CTOS dan juga CCRIS.

Penilaian ini akan membantu anda untuk lebih memahami tahap kewangan sendiri dan juga kelayakan untuk memohon pinjaman perumahan.

Ini akan membantu anda untuk menentukan jenis rumah terbaik pada harga yang sesuai untuk dimiliki nanti.

Aspek #2 – No Worries

Bukan sahaja setakat menilai tahap kewangan bakal pembeli, penasihat berkelayakan yang dilantik juga dilengkapi dengan pengetahuan yang meluas berkenaan pakej-pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan pelbagai bank.

Mereka akan membantu untuk memadankan pakej-pakej pinjaman rumah dengan tawaran-tawaran rumah yang tersedia.

Ini nanti akan membantu pembeli mendapatkan pinjaman perumahan terbaik untuk rumah yang diidamkan.

Aspek #3 – No Fuss

Di peringkat terakhir ini, penasihat berkelayakan yang dilantik akan menasihati pembeli berkenaan pakej-pakej pinjaman perumahan yang ada dan memadankannya dengan tawaran rumah yang paling sesuai dengan kelayakan dan kehendak pembeli.

Jadi, bakal pembeli tidak perlu bersusah payah melawat beberapa bank untuk tahu tentang pilihan pinjaman perumahan.

Pembeli juga tidak perlu risau untuk memilih rumah yang layak untuk dibeli.

Semua ini akan dibantu oleh penasihat berkelayakan yang dilantik menerusi program GLHOME ini.

Menarik, bukan?

Memang banyak membantu bakal pembeli untuk mendapatkan rumah yang diidamkan dengan lebih mudah.

Berminat nak tahu lebih lanjut tentang program ini?

Boleh terus klik ke laman web di sini: GL H.O.M.E.

Jika berminat untuk terus daftar, boleh klik di sini: Daftar GL H.O.M.E.

Atau pun, boleh mengunjungi mana-mana pejabat atau bilik pameran bagi projek-projek Gamuda Land: Hubungi Gamuda Land

Jadi, usah buang masa lagi!

Bertindak sekarang supaya anda dapat rumah yang diidamkan.

6 Tips Penting Beli Rumah Subsale Secondhand

tips beli rumah subsale secondhandBaru-baru ini saya mendapat satu soalan daripada pembaca blog JomUrusDuit.com menerusi emel, yang mana beliau bertanya tentang tips dan cara beli rumah subsale atau secondhand daripada pemilik rumah untuk elakkan daripada tertipu.

Ini adalah soalan yang ditanyakan:

“Salam, Tuan. Saya ingin bertanyakan tentang langkah-langkah membeli rumah kediaman dengan pemilik rumah/orang perseorangan, supaya dapat mengelakkan dari unsur-unsur penipuan, sehingga kita sah (secara undang-undang) telah membeli/memiliki rumah tersebut.
Terima kasih.”

Saya telah pun jawab soalan beliau secara ringkas, dan saya yakin ramai juga yang bertanyakan soalan yang sama.

Jadi, kali ini saya nak kongsikan tips dan cara beli rumah subsale secondhand agar tidak tertipu.

Apa itu rumah subsale?

Secara asasnya, rumah subsale adalah rumah yang dibeli daripada pihak kedua atau ketiga selepas pihak pemaju asal.

Dalam bahasa yang lebih mudah, rumah subsale adalah rumah secondhand.

Si A beli rumah under construction daripada pemaju.

Selepas rumah siap, si A tinggal di rumah tersebut, atau sewakan kepada orang lain.

Selepas suatu tempoh, si A berhasrat nak jual rumah tersebut, maka rumah itu adalah rumah subsale.

Apa yang best dengan beli rumah subsale?

Beli rumah subsale ada kelebihan-kelebihan yang tersendiri.

Antaranya, kurang risiko rumah terbengkalai atau tak siap, sebab rumah subsale sudah tentu rumah yang dah siap.

Malah, pembeli boleh periksa dulu keadaan rumah dan juga persekitaran, untuk pastikan rumah tersebut memang dalam keadaan yang baik dan selamat untuk diduduki.

Lagi, kebiasaannya rumah subsale ini dijual pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran atau rumah baru.

Jadi, bagi yang nak beli rumah pada harga murah,mencari rumah subsale adalah pilihan yang baik.

Tambahan lagi, pembeli boleh berunding lagi dengan tuan rumah untuk dapatkan harga yang lebih rendah.

Boleh jimat kos beli rumah lagi.

Bagaimana cara beli rumah subsale secondhand?

Cara beli rumah subsale sebenarnya lebih kurang sama sahaja dengan cara beli rumah baru under construction.

Secara ringkasnya, proses-proses yang terlibat adalah:

  • Mencari rumah yang sesuai yang memenuhi citarasa
  • Membayar bayaran booking atau deposit
  • Sediakan dokumen-dokumen berkaitan
  • Menandatangani perjanjian jual-beli (sale-purchase agreement)
  • Memohon pembiayaan pinjaman perumahan (jika tidak bercadang beli secara tunai)
  • Selesaikan urusan-urusan pemindahan nama dan gadaian kepada peminjam

Ada risiko ke beli rumah subsale atau secondhand?

Sudah tentu.

Beli rumah subsale tetap ada risikonya.

Risiko yang paling besar, ditipu.

Dikatanya rumah adalah miliknya, walhal milik pihak lain.

Apabila bayaran diterima, duit dibawa lari.

Pembeli pula melopong; duit habis, rumah tak dapat.

Jadi, bagaimana nak elakkan daripada ditipu apabila beli rumah subsale secondhand?

Ada beberapa perkara yang perlu dititik beratkan.

Tips beli rumah subsale secondhand

Tips #1 – Dapatkan khidmat peguam hartanah

Jika dilihat semula kepada cara beli rumah subsale yang saya nyatakan di atas tadi, pembelian rumah  akan melibatkan banyak dokumen, perjanjian dan juga pindahan hakmilik rumah.

Jadi, amat penting untuk dapatkan khidmat daripada peguam hartanah yang sah agar semua proses dapat berjalan dengan lancar.

Malah, peguam juga dapat membantu pembeli untuk memahami terma-terma yang ditetapkan pihak penjual dan juga pihak pembiaya, supaya terma-terma yang dikenakan tidak menindas pembeli.

Memang mendapatkan khidmat peguam akan melibatkan kos, tetapi berbaloi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Walaupun pihak penjual ada sediakan peguam, lebih baik untuk dapatkan khidmat peguam berasingan yang mewakili pihak pembeli.

Untuk dapatkan peguam pula, pastikan peguam tersebut mempunyai lesen praktis yang sah dan berdaftar dengan Badan Peguam Malaysia (The Malaysian Bar)

Boleh semak di laman web mereka.

Yang penting, jangan tandatangan apa-apa dokumen perjanjian tanpa memahami terma-terma yang dinyatakan.

Dapatkan nasihat daripada peguam terlebih dahulu.

Dah faham, setuju, baru tandatangan.

Tips #2 – Berurusan dengan agen/perunding hartanah yang sah

Dalam banyak situasi, tuan rumah menyerahkan semua urusan penjualan rumah mereka kepada perunding hartanah.

Jika anda sebagai bakal pembeli berurusan dengan perunding hartanah, pastikan perunding hartanah tersebut adalah sah dan berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, dan Ejen Harta Tanah Malaysia (LPPEH)

Bagaimana nak pastikan mereka adalah sah dan berdaftar?

Apabila berurusan dengan mereka, pastikan mereka mempunyai tag/kad nama dan dapatkan nombor pendaftaran mereka.

Kemudian, boleh semak nombor pendaftaran tersebut di sini: http://search.lppeh.gov.my/

Jika tak ada, atau keluar maklumat yang berlainan, maka berhati-hati.

Di samping itu, dapatkan juga maklumat berkaitan syarikat atau firma di mana perunding tersebut berkhidmat.

Boleh semak sama ada syarikat tersebut betul-betul wujud atau tidak dan pastikan lokasinya dengan tepat.

Tips #3 – Lawat dan periksa rumah yang hendak dibeli

Saya pernah mempunyai pengalaman hampir ditipu semasa hendak membeli rumah subsale.

Selepas melihat satu iklan jualan rumah dan tertarik dengan harganya yang lebih murah berbanding harga pasaran, saya menghubungi perunding hartanah yang mengiklankan rumah tersebut.

Saya diberi gambar-gambar rumah tersebut, dan dimaklumkan bahawa rumah tersebut adalah rumah baru yang mana tuan rumahnya tak jadi nak duduk, berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecacatan major.

Memang saya cukup tertarik untuk dapatkan rumah tersebut, sebab lokasinya pun strategik.

Mujurlah saya pergi melawat ke rumah tersebut untuk meninjau dahulu keadaan dan sekitarnya.

Rupa-rupanya, rumah tersebut mempunyai banyak kerosakan dan kecacatan, malah merupakan rumah terbengkalai yang baru siap selepas hampir 10 tahun.

Susun atur bilik dan ruang pun memang pelik dan tidak kena.

Akhirnya, saya batalkan hasrat membeli rumah tersebut.

Oleh itu, sebagai nasihat kepada yang nak beli rumah subsale, luangkan masa untuk melihat sendiri rumah yang hendak dibeli.

Periksa keadaan rumah, aksesori, kelengkapan elektrik, bekalan air dan semua ruang yang ada di rumah tersebut.

Kalau ada sebarang kerosakan, minta dibaiki terlebih dahulu atau minta diskaun.

Periksa juga kejiranan dan kawasan sekitarnya dari segi kemudahan, keselesaan, trafik, suasana dan keselamatan.

Biar betul-betul puas hati, baru buat keputusan untuk beli.

Tips #4 – Buat kajian pasaran harga rumah

tips beli rumah subsale secondhandTak semestinya rumah subsale dijual pada harga lebih murah daripada harga pasaran.

Kadang-kadang, tuan rumah mark-up harga sebab ambil kira pengubahsuaian yang telah dilakukan atau kelengkapan rumah yang telah ada.

Kadang-kadang juga, perunding hartanah yang mark-up harga untuk menampung kos operasi mereka dan mendapatkan lebih pendapatan.

Oleh itu, sebagai bakal pembeli, boleh buat kajian pasaran dahulu tentang harga rumah di kawasan sekitar tersebut.

Boleh buat anggaran harga pasaran dengan membuat analisa melalui laman-laman web jualan rumah seperti Mudah.my, iProperty, PropertyGuru dan StarProperty

Nak lebih mudah lagi, dapatkan khimat penilai hartanah untuk tentukan harga rumah yang dijual tersebut berbaloi untuk dimiliki atau tidak.

Kalau harganya terlalu tinggi, boleh berunding untuk dapatkan harga yang lebih baik.

Tips #5 – Semak dan sahkan semua dokumen berkaitan

Sebelum beli rumah subsale, dapatkan semua dokumen berkaitan seperti geran atau dokumen hakmilik dan salinan kad pengenalan pemilik rumah.

Periksa supaya nama pada dokumen hakmilik dan kad pengenalan adalah sama.

Sahkan juga kesahihan dokumen tersebut dengan pihak berwajib seperti pejabat tanah.

Kalau tak ada masa, boleh minta bantuan daripada peguam hartanah yang dilantik.

Ini penting untuk betul-betul pastikan bahawa rumah tersebut adalah milik tuan rumah yang dinyatakan.

Sebab pernah berlaku kes, ada pembeli membeli rumah daripada seseorang yang mengaku sebagai pemilik rumah, walhal dirinya bukan pemilik sebenar.

Pembeli ditipu dengan dokumen-dokumen palsu yang sengaja direka.

Akibatnya, duit hilang, rumah tak dapat.

Tips #6 – Berhati-hati membuat sebarang bayaran

Apabila membeli rumah, sudah pasti akan melibatkan sejumlah wang yang besar.

Tak kira sama ada untuk bayar booking fee, deposit atau bayaran penuh harga rumah tersebut, semua ini melibatkan pemindahan wang daripada pembeli atau pembiaya kepada penjual atau wakilnya.

Jika tersilap langkah, senang-senang sahaja boleh ditipu.

Duit diberi, tetapi dibawa lari.

Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati, pastikan segala bayaran dibuat melalui peguam hartanah yang dilantik

Jika dibuat bayaran terus kepada penjual atau wakilnya pun, pastikan disokong dengan dokumen yang sah seperti resit atau invois.

Pastikan resit tersebut mempunyai maklumat yang lengkap seperti tarikh, jumlah bayaran, nama penerima, nama pemberi dan tandatangan.

Dan lebih baik lagi jika ada saksi yang menyaksikan pembayaran tersebut.

Jika bayaran dibuat kepada perunding hartanah, lebih baik dilakukan di pejabat syarikat perunding hartanah tersebut.

Penutup

Membeli rumah subsale secondhand adalah salah satu pilihan yang baik bagi orang ramai untuk mendapatkan rumah idaman.

Walaubagaimanapun, jangan biarkan emosi dan sikap terburu-buru mempengaruhi sebarang keputusan dan tindakan semasa membuat pembelian rumah.

Pastikan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga untuk mengelakkan ditipu dan mengalami kerugian.

Itu sahaja untuk kali ini, semoga bermanfaat.

Jumpa lagi!

p/s: Jika ada sebarang soalan berkenaan topik pengurusan kewangan peribadi atau yang barkaitan, boleh ajukan kepada kami di sini: Hubungi Penulis

p/p/s: Jangan lupa untuk share artikel ini, ya. Terima kasih.

..