Tag Archive: pelaburan

6 Tips Penting Beli Rumah Subsale Secondhand

tips beli rumah subsale secondhandBaru-baru ini saya mendapat satu soalan daripada pembaca blog JomUrusDuit.com menerusi emel, yang mana beliau bertanya tentang tips dan cara beli rumah subsale atau secondhand daripada pemilik rumah untuk elakkan daripada tertipu.

Ini adalah soalan yang ditanyakan:

“Salam, Tuan. Saya ingin bertanyakan tentang langkah-langkah membeli rumah kediaman dengan pemilik rumah/orang perseorangan, supaya dapat mengelakkan dari unsur-unsur penipuan, sehingga kita sah (secara undang-undang) telah membeli/memiliki rumah tersebut.
Terima kasih.”

Saya telah pun jawab soalan beliau secara ringkas, dan saya yakin ramai juga yang bertanyakan soalan yang sama.

Jadi, kali ini saya nak kongsikan tips dan cara beli rumah subsale secondhand agar tidak tertipu.

Apa itu rumah subsale?

Secara asasnya, rumah subsale adalah rumah yang dibeli daripada pihak kedua atau ketiga selepas pihak pemaju asal.

Dalam bahasa yang lebih mudah, rumah subsale adalah rumah secondhand.

Si A beli rumah under construction daripada pemaju.

Selepas rumah siap, si A tinggal di rumah tersebut, atau sewakan kepada orang lain.

Selepas suatu tempoh, si A berhasrat nak jual rumah tersebut, maka rumah itu adalah rumah subsale.

Apa yang best dengan beli rumah subsale?

Beli rumah subsale ada kelebihan-kelebihan yang tersendiri.

Antaranya, kurang risiko rumah terbengkalai atau tak siap, sebab rumah subsale sudah tentu rumah yang dah siap.

Malah, pembeli boleh periksa dulu keadaan rumah dan juga persekitaran, untuk pastikan rumah tersebut memang dalam keadaan yang baik dan selamat untuk diduduki.

Lagi, kebiasaannya rumah subsale ini dijual pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran atau rumah baru.

Jadi, bagi yang nak beli rumah pada harga murah,mencari rumah subsale adalah pilihan yang baik.

Tambahan lagi, pembeli boleh berunding lagi dengan tuan rumah untuk dapatkan harga yang lebih rendah.

Boleh jimat kos beli rumah lagi.

Bagaimana cara beli rumah subsale secondhand?

Cara beli rumah subsale sebenarnya lebih kurang sama sahaja dengan cara beli rumah baru under construction.

Secara ringkasnya, proses-proses yang terlibat adalah:

  • Mencari rumah yang sesuai yang memenuhi citarasa
  • Membayar bayaran booking atau deposit
  • Sediakan dokumen-dokumen berkaitan
  • Menandatangani perjanjian jual-beli (sale-purchase agreement)
  • Memohon pembiayaan pinjaman perumahan (jika tidak bercadang beli secara tunai)
  • Selesaikan urusan-urusan pemindahan nama dan gadaian kepada peminjam

Ada risiko ke beli rumah subsale atau secondhand?

Sudah tentu.

Beli rumah subsale tetap ada risikonya.

Risiko yang paling besar, ditipu.

Dikatanya rumah adalah miliknya, walhal milik pihak lain.

Apabila bayaran diterima, duit dibawa lari.

Pembeli pula melopong; duit habis, rumah tak dapat.

Jadi, bagaimana nak elakkan daripada ditipu apabila beli rumah subsale secondhand?

Ada beberapa perkara yang perlu dititik beratkan.

Tips beli rumah subsale secondhand

Tips #1 – Dapatkan khidmat peguam hartanah

Jika dilihat semula kepada cara beli rumah subsale yang saya nyatakan di atas tadi, pembelian rumah  akan melibatkan banyak dokumen, perjanjian dan juga pindahan hakmilik rumah.

Jadi, amat penting untuk dapatkan khidmat daripada peguam hartanah yang sah agar semua proses dapat berjalan dengan lancar.

Malah, peguam juga dapat membantu pembeli untuk memahami terma-terma yang ditetapkan pihak penjual dan juga pihak pembiaya, supaya terma-terma yang dikenakan tidak menindas pembeli.

Memang mendapatkan khidmat peguam akan melibatkan kos, tetapi berbaloi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Walaupun pihak penjual ada sediakan peguam, lebih baik untuk dapatkan khidmat peguam berasingan yang mewakili pihak pembeli.

Untuk dapatkan peguam pula, pastikan peguam tersebut mempunyai lesen praktis yang sah dan berdaftar dengan Badan Peguam Malaysia (The Malaysian Bar)

Boleh semak di laman web mereka.

Yang penting, jangan tandatangan apa-apa dokumen perjanjian tanpa memahami terma-terma yang dinyatakan.

Dapatkan nasihat daripada peguam terlebih dahulu.

Dah faham, setuju, baru tandatangan.

Tips #2 – Berurusan dengan agen/perunding hartanah yang sah

Dalam banyak situasi, tuan rumah menyerahkan semua urusan penjualan rumah mereka kepada perunding hartanah.

Jika anda sebagai bakal pembeli berurusan dengan perunding hartanah, pastikan perunding hartanah tersebut adalah sah dan berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, dan Ejen Harta Tanah Malaysia (LPPEH)

Bagaimana nak pastikan mereka adalah sah dan berdaftar?

Apabila berurusan dengan mereka, pastikan mereka mempunyai tag/kad nama dan dapatkan nombor pendaftaran mereka.

Kemudian, boleh semak nombor pendaftaran tersebut di sini: http://search.lppeh.gov.my/

Jika tak ada, atau keluar maklumat yang berlainan, maka berhati-hati.

Di samping itu, dapatkan juga maklumat berkaitan syarikat atau firma di mana perunding tersebut berkhidmat.

Boleh semak sama ada syarikat tersebut betul-betul wujud atau tidak dan pastikan lokasinya dengan tepat.

Tips #3 – Lawat dan periksa rumah yang hendak dibeli

Saya pernah mempunyai pengalaman hampir ditipu semasa hendak membeli rumah subsale.

Selepas melihat satu iklan jualan rumah dan tertarik dengan harganya yang lebih murah berbanding harga pasaran, saya menghubungi perunding hartanah yang mengiklankan rumah tersebut.

Saya diberi gambar-gambar rumah tersebut, dan dimaklumkan bahawa rumah tersebut adalah rumah baru yang mana tuan rumahnya tak jadi nak duduk, berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecacatan major.

Memang saya cukup tertarik untuk dapatkan rumah tersebut, sebab lokasinya pun strategik.

Mujurlah saya pergi melawat ke rumah tersebut untuk meninjau dahulu keadaan dan sekitarnya.

Rupa-rupanya, rumah tersebut mempunyai banyak kerosakan dan kecacatan, malah merupakan rumah terbengkalai yang baru siap selepas hampir 10 tahun.

Susun atur bilik dan ruang pun memang pelik dan tidak kena.

Akhirnya, saya batalkan hasrat membeli rumah tersebut.

Oleh itu, sebagai nasihat kepada yang nak beli rumah subsale, luangkan masa untuk melihat sendiri rumah yang hendak dibeli.

Periksa keadaan rumah, aksesori, kelengkapan elektrik, bekalan air dan semua ruang yang ada di rumah tersebut.

Kalau ada sebarang kerosakan, minta dibaiki terlebih dahulu atau minta diskaun.

Periksa juga kejiranan dan kawasan sekitarnya dari segi kemudahan, keselesaan, trafik, suasana dan keselamatan.

Biar betul-betul puas hati, baru buat keputusan untuk beli.

Tips #4 – Buat kajian pasaran harga rumah

tips beli rumah subsale secondhandTak semestinya rumah subsale dijual pada harga lebih murah daripada harga pasaran.

Kadang-kadang, tuan rumah mark-up harga sebab ambil kira pengubahsuaian yang telah dilakukan atau kelengkapan rumah yang telah ada.

Kadang-kadang juga, perunding hartanah yang mark-up harga untuk menampung kos operasi mereka dan mendapatkan lebih pendapatan.

Oleh itu, sebagai bakal pembeli, boleh buat kajian pasaran dahulu tentang harga rumah di kawasan sekitar tersebut.

Boleh buat anggaran harga pasaran dengan membuat analisa melalui laman-laman web jualan rumah seperti Mudah.my, iProperty, PropertyGuru dan StarProperty

Nak lebih mudah lagi, dapatkan khimat penilai hartanah untuk tentukan harga rumah yang dijual tersebut berbaloi untuk dimiliki atau tidak.

Kalau harganya terlalu tinggi, boleh berunding untuk dapatkan harga yang lebih baik.

Tips #5 – Semak dan sahkan semua dokumen berkaitan

Sebelum beli rumah subsale, dapatkan semua dokumen berkaitan seperti geran atau dokumen hakmilik dan salinan kad pengenalan pemilik rumah.

Periksa supaya nama pada dokumen hakmilik dan kad pengenalan adalah sama.

Sahkan juga kesahihan dokumen tersebut dengan pihak berwajib seperti pejabat tanah.

Kalau tak ada masa, boleh minta bantuan daripada peguam hartanah yang dilantik.

Ini penting untuk betul-betul pastikan bahawa rumah tersebut adalah milik tuan rumah yang dinyatakan.

Sebab pernah berlaku kes, ada pembeli membeli rumah daripada seseorang yang mengaku sebagai pemilik rumah, walhal dirinya bukan pemilik sebenar.

Pembeli ditipu dengan dokumen-dokumen palsu yang sengaja direka.

Akibatnya, duit hilang, rumah tak dapat.

Tips #6 – Berhati-hati membuat sebarang bayaran

Apabila membeli rumah, sudah pasti akan melibatkan sejumlah wang yang besar.

Tak kira sama ada untuk bayar booking fee, deposit atau bayaran penuh harga rumah tersebut, semua ini melibatkan pemindahan wang daripada pembeli atau pembiaya kepada penjual atau wakilnya.

Jika tersilap langkah, senang-senang sahaja boleh ditipu.

Duit diberi, tetapi dibawa lari.

Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati, pastikan segala bayaran dibuat melalui peguam hartanah yang dilantik

Jika dibuat bayaran terus kepada penjual atau wakilnya pun, pastikan disokong dengan dokumen yang sah seperti resit atau invois.

Pastikan resit tersebut mempunyai maklumat yang lengkap seperti tarikh, jumlah bayaran, nama penerima, nama pemberi dan tandatangan.

Dan lebih baik lagi jika ada saksi yang menyaksikan pembayaran tersebut.

Jika bayaran dibuat kepada perunding hartanah, lebih baik dilakukan di pejabat syarikat perunding hartanah tersebut.

Penutup

Membeli rumah subsale secondhand adalah salah satu pilihan yang baik bagi orang ramai untuk mendapatkan rumah idaman.

Walaubagaimanapun, jangan biarkan emosi dan sikap terburu-buru mempengaruhi sebarang keputusan dan tindakan semasa membuat pembelian rumah.

Pastikan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga untuk mengelakkan ditipu dan mengalami kerugian.

Itu sahaja untuk kali ini, semoga bermanfaat.

Jumpa lagi!

p/s: Jika ada sebarang soalan berkenaan topik pengurusan kewangan peribadi atau yang barkaitan, boleh ajukan kepada kami di sini: Hubungi Penulis

p/p/s: Jangan lupa untuk share artikel ini, ya. Terima kasih.

..

Berapa Harga Rumah Yang Mampu Dimiliki?

harga rumah yang mampu dimilikiBagi yang sedang membuat kira-kira untuk membeli rumah, sudah semestinya tertanya-tanya, berapa harga rumah yang mampu dimiliki?

Berapa kelayakan pembiayaan pinjaman perumahan yang boleh dibuat dengan bank untuk mendapatkan rumah idaman?

Kalau nak beli rumah yang berharga tinggi, takut nanti terbeban dengan bayaran bulanan, malah permohonan pembiayaan pinjaman perumahan pun belum tentu lulus.

Nak dapatkan rumah yang berharga terlalu rendah pula, rasa rugi juga jika tidak optimumkan penggunaan gaji untuk dapatkan rumah idaman yang diingini dan selesa.

Lainlah kalau nak cari rumah untuk buat pelaburan, memang dapatkan yang lebih murah adalah yang terbaik.

Tetapi, bagi yang nak dapatkan rumah idaman untuk didiami sendiri, lebih baik optimumkan penggunaan gaji supaya dapat rumah yang bukan sahaja selesa dan menepati citarasa, malah berada di lokasi yang baik.

Jadi, amat penting untuk ambil kira faktor harga rumah yang mampu dimiliki dalam menentukan rumah mana yang nak dibeli.

Bagaimana nak tentukan harga rumah yang mampu dimiliki?

Jom baca artikel yang dikongsikan oleh pihak HartaBumi.com di bawah:

Debt-Service-Ratio (DSR) Penentu Harga Rumah Yang Mampu Dimiliki

Apabila anda membuat keputusan untuk beli rumah, perkara utama yang anda perlu ambil tahu ialah berapa harga rumah yang mampu dimiliki oleh anda.

Bagaimana nak ketahui berapa harga rumah yang anda mampu miliki?

Ini bergantung kepada kadar DSR anda.

Debt Service Ratio atau singkatannya DSR ini adalah peratus nisbah hutang kepada pendapatan bersih anda.

Pihak bank akan menyemak rekod CCRIS anda dan peratusan DSR anda untuk melihat sebanyak mana pendapatan anda digunakan untuk membayar pinjaman atau pembiayaan.

Kebiasaannya, 70% adalah peratusan DSR yang dibenarkan untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman rumah daripada pihak bank. Andai kata peratus DSR anda tidak melepasi 70%, maka peluang anda untuk membuat pinjaman rumah adalah cerah.

Namun, kadar DSR setiap bank adalah berbeza-beza dan berubah mengikut polisi Bank Negara Malaysia.

Sila semak kadar peratus DSR bank pilihan anda untuk ketahui lebih lanjut.

Bagaimana nak tahu kadar DSR anda?

Boleh ikuti langkah-langkah yang berikut:

Langkah #1 – Semak CCRIS dan CTOS

Bukan semua hutang ada dalam sistem Bank Negara, contohnya hutang duit kutu dengan jiran.

Jadi wajib untuk anda tahu apa yang tersenarai dalam CCRIS anda.

CCRIS (Central Credit Reference Information System) ialah rekod yang diselia oleh Bank Negara Malaysia yang mengandungi butiran mengenai pinjaman anda dengan setiap institusi kewangan di Malaysia.

CTOS pula adalah sistem maklumat utama yang digunakan secara meluas oleh majoriti sistem kewangan negara, syarikat perdagangan dan perniagaan.

Langkah #2 – Kira DSR

Ini adalah antara komponen terpenting sebelum pihak bank luluskan pinjaman anda.

DSR penting kerana barulah bank tahu anda sebenarnya mampu ke tidak bayar semula pinjaman anda setiap bulan.

Formula untuk pengiraan DSR adalah seperti yang berikut:

  • DSR = Anggaran bayaran bulanan pada bank + komitmen sedia ada / pendapatan bersih x 100

BERITA BAIK!

Sempena hari raya Aidilfitri yang bakal tiba, Hartabumi ingin berikan anda hadiah hari raya.

Anda tak perlu susah payah kira itu ini, biar Hartabumi sediakan laporan lengkap DSR anda.

Klik gambar di bawah untuk info lanjut:

harga rumah yang mampu dimilikiharga rumah yang mampu dimiliki*Artikel ini adalah sumbangan daripada HartaBumi.com. Laman ini merupakan sebuah portal carian hartanah yang mengumpulkan kesemua hartanah berstatus bumiputera daripada pemaju, ejen hartanah dan juga bank.

HartaBumi.com diwujudkan dengan mensasarkan hartanah segmen bumiputera dengan tujuan menangani masalah penjualan dan pembelian hartanah bumiputera di antara pemaju, ejen hartanah dan pembeli.

Di samping itu, HartaBumi.com juga ingin mendidik masyarakat tentang pemilikan dan pelaburan hartanah menerusi artikel-artikel dan juga buletin yang disediakan.

Klik di sini untuk baca perkongsian daripada HartaBumi.com

..

6 Langkah Mula Pelaburan Saham Bagi Pelabur Baru

mula pelaburan sahamSaya ada mendapat pertanyaan daripada pembaca blog JomUrusDuit.com, bagaimana cara mula pelaburan saham bagi pelabur baru?

Jujurnya, saya bukanlah mahir sangat dengan pelaburan saham, hanya secubit pengalaman sahaja.

Tetapi, jika dilihat trend sekarang, memang makin ramai yang punyai kesedaran untuk mula melabur dalam pelaburan saham.

Mungkin kerana semakin banyak promosi dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan yang berjaya menyuburkan minat orang ramai.

Mungkin juga kerana keadaan ekonomi sekarang yang dirasakan semakin baik, menjadi tarikan kepada orang ramai untuk mendapatkan keuntungan melalui pelaburan saham.

Lihat sahaja Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia yang berikut, nampak trend menaik daripada tempoh setahun yang lepas.

mula pelaburan saham

Jika anda juga salah seorang yang tertarik untuk mulakan pelaburan saham, nasihat saya, jangan tergopoh-gapah.

Jangan pula hanya mengikut trend semasa, pastikan pelaburan yang dibuat nanti ada tujuan dan objektifnya.

Dan yang paling penting, jangan terlalu mengharapkan keuntungan segera daripada pelaburan saham; ini bukan skim cepat kaya.

Bagi mereka yang berminat nak belajar cara mula pelaburan saham yang betul, saya sarankan untuk ikut langkah-langkah yang berikut:

Langkah mula pelaburan saham #1 – Belajar perkara asas berkenaan pelaburan saham

Kata pujangga, “Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan di duga”

Begitu juga dengan pelaburan saham.

Kalau tidak belajar dan punyai pengetahuan asas, jangan pula terburu-buru untuk terlibat sama.

Jangan hanya sekadar terikut-ikut dengan orang lain yang dah lama melabur.

Oleh itu, bagi bakal pelabur baru, dinasihatkan untuk belajar dulu perkara-perkara asas berkenaan pelaburan saham sebelum mula melabur.

Kenal pasti istilah-istilah yang digunakan dan fahamkan maksudnya.

Belajar tentang cara jual beli saham dan bagaimana kenal pasti kaunter-kaunter berpotensi.

Untuk belajar perkara-perkara asas ini, tak perlu keluarkan belanja yang banyak.

Cukup sekadar dapatkan bahan rujukan yang murah sahaja terlebih dahulu; antara yang dicadangkan adalah Combo Ebook Saham.

combo ebook sahamBoleh baca review dan details set combo ini di sini: Combo Ebook Saham

Boleh juga sertai seminar-seminar pelaburan saham percuma sama ada yang dianjurkan agensi-agensi kerajaan atau pakar-pakar pelaburan.

Atau pun, belajar daripada remisier-remisier atau dealer-dealer semasa buka akaun CDS dan trading nanti.

Lebih mudah lagi, boleh belajar daripada laman web seperti BursaMarketPlace.

Tidak digalakkan untuk terus sertai bengkel advance yang berharga mahal; takut nanti ter’overload’ pula.

Langkah mula pelaburan saham #2 – Buka akaun CDS & trading

Apabila dah tahu serba-sedikit perkara-perkara asas berkenaan pelaburan saham, dah rasa yakin nak mula, cepat-cepat bertindak untuk buka akaun CDS dan trading.

Pilih syarikat broker yang sesuai dan terus buka kedua-dua akaun tersebut.

Jangan tangguh lama-lama, takut nanti hilang momentum.

Modal nak buka akaun CDS dan trading tidak tinggi pun, hanya perlukan bayaran RM 10.60, salinan MyKad dan penyata akaun bank.

Untuk lebih info tentang kedua-dua akaun ini, boleh baca di sini: Cara Buka Akaun CDS & Trading

Langkah mula pelaburan saham #3 – Sediakan modal pelaburan sanggup hangus

Dalam sesuatu pelaburan, rugi itu pasti, untung belum tentu.

Lebih-lebih lagi bagi pelaburan yang agak berisiko seperti pelaburan saham.

Oleh itu, bagi pelabur baru yang baru nak mula pelaburan saham, digalakkan supaya sediakan modal yang mampu hangus dahulu untuk bermula.

Jangan pula guna duit untuk kahwin, atau untuk deposit pembelian rumah, atau deposit pembelian kereta, sebagai modal awal pelaburan saham.

Atau duit untuk pembelian barang-barang keperluan seharian untuk diri-sendiri atau ahli keluarga.

Senang cerita, pastikan modal awal yang disediakan tersebut adalah duit lebihan yang tidak diperlukan dalam masa terdekat.

Yelah, mana tahu nanti apabila melabur, modal tersebut hangus, susah pula nak tampung perbelanjaan-perbelanjaan penting yang lain itu.

Dan lebih penting lagi, pastikan modal tersebut adalah duit sendiri, bukan dipinjam daripada orang atau pun pihak lain.

Berapa banyak modal yang diperlukan?

Sebagai permulaan bagi pelabur baru, saya rasa, modal awal sekitar RM 3,000 ke RM 5,000 adalah memadai.

Boleh baca di sini untuk lebih maklumat: Berapa Modal Pelaburan Saham?

Langkah mula pelaburan saham #4 – Beli beberapa kaunter saham

mula pelaburan sahamAkaun CDS dan trading dah ada, modal awal pun dah ada, maka sekarang bolehlah cuba beli beberapa kaunter saham yang dirasakan berpotensi.

Dapatkan bantuan dealer atau remisier untuk menggunakan online trading platform daripada syarikat broker yang mana akaun CDS dan trading dibuka.

Biasakan dengan kepelbagaian nama kaunter saham, butang beli dan jual, harga beli dan jual, serta tempoh pengesahan transaksi.

Belilah 1 atau 2 kaunter saham yang dirasakan berpotensi; gunakan kemahiran asas yang dipelajari untuk menilai kaunter saham mana yang terbaik untuk dibeli.

Tak kisah nak guna kemahiran analisa fundamental, teknikal atau gabungan kedua-duanya, yang penting, jangan semberono membeli kaunter saham.

Buat pilihan yang bijak berdasarkan ilmu yang dipelajari.

Langkah mula pelaburan saham #5 – Pantau prestasi kaunter, buat penilaian

Bagi pelabur baru, digalakkan untuk wujudkan jurnal pelaburan saham sendiri.

Dalam jurnal tersebut, catatkan butiran kaunter-kaunter yang dibeli; harga beli, jumlah unit, kos-kos terlibat, modal, sebab membeli.

Dari semasa ke semasa, perhatikan prestasi kaunter-kaunter yang dibeli; adakah membawa kegembiraan atau sebaliknya.

Tetapi, tak perlulah sampai setiap hari nak tengok harga kaunter saham yang dibeli.

Boleh buat penilaian dalam tempoh lebih panjang, contohnya setiap 2 minggu atau sebulan.

Kalau rasa kaunter dah mencapai keuntungan yang dikehendaki, atau rugi ke tahap yang sudah tidak dapat ditanggung lagi, mungkin boleh dijual.

Jangan lupa untuk catatkan dalam jurnal pelaburan berkenaan sebab mengapa sesuatu kaunter dijual berserta butiran-butiran yang lain.

Langkah mula pelaburan saham #6 – Belajar dan terus belajar

Selepas dah rasai sendiri pengalaman awal melabur dalam pelaburan saham menggunakan modal awal yang sanggup hangus, sekarang nilaikan, adakah pelaburan saham sesuai dengan diri-sendiri?

Adakah tabah melihat harga kaunter jatuh sehingga 50% daripada harga awal?

Atau sampai tidur tak lena memikirkan kerugian yang dialami?

Kalau rasa pelaburan saham memang memenuhi apa yang dikehendaki dan masih berminat untuk teruskan, maka teruskan sahaja.

Sekarang, bolehlah keluarkan sedikit duit untuk hadiri seminar atau bengkel advance berkenaan pelaburan saham, yang biasanya yuran sudah pasti mahal.

Boleh cari mentor berwibawa untuk membimbing perjalanan pelaburan saham anda.

Tambahkan lagi modal untuk melabur dalam pasaran saham.

Belajar dan terus belajar sampai jadi pakar pelaburan saham, sekurang-kurangnya untuk diri-sendiri.

Nah, ini salah satu panduan advance untuk belajar tentang pelaburan saham: Panduan Sistem Saham

Penutup

Itulah sahaja langkah-langkah yang dicadangkan bagi pelabur baru berminat untuk mula pelaburan saham secara serius.

Mungkin ada yang beranggapan, pasaran saham adalah lubuk untuk mendapatkan duit dengan pantas.

Beli saham pagi ini, tunggu harga naik, jual waktu petang, dapat untung!

Ya, memang ada yang buat sebegitu, dan mereka lebih dikenali sebagai trader atau speculator, bukan pelabur atau investor.

Mereka mempunyai kemahiran dan sumber-sumber yang mencukupi dari segi kewangan, data dan maklumat untuk menjadikan pasaran saham sebagai lubuk duit pantas dan lumayan.

Memang dah game mereka.

Bagi bakal pelabur yang baru nak berkecimpung dalam pelaburan saham, dinasihatkan supaya tidak terlalu berharap untuk mendapatkan duit pantas daripada pasaran saham.

Bermulalah perlahan-lahan sepertimana yang dicadangkan di atas.

Go slow, be careful.

Sampai masa nanti, anda boleh juga menjadi pelabur yang berjaya.

Itu sahaja untuk kali ini, kita jumpa lagi dalam perkongsian yang lain.

p/s: Kalau rasa perkongsian kali ini bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan ya! Terima kasih.

..