Cara Urus Harta Pusaka Dengan Wasiat

cara urus harta pusaka dengan wasiatKalau sebelum ini saya tunjukkan cara urus harta pusaka tanpa wasiat, jadi bagaimana pula cara urus harta pusaka dengan wasiat?

Sebelum menjawab persoalan ini, saya nak jelaskan sedikit tentang wasiat bagi umat Islam kerana ianya berbeza dengan wasiat bagi bukan Islam.

Lagipun, ramai umat Islam yang keliru kenapa masih perlukan wasiat sedangkan faraid telah ada.

Bagi bukan Islam, wasiat merupakan sesuatu yang absolute, maksudnya mesti dilaksanakan (jika disahkan mahkamah)

Contohnya, jika seorang bukan Islam A meninggal dunia dan berwasiat hartanya diagihkan kepada B sebanyak sekian-sekian, maka harta tersebut diberikan kepada B mengikut jumlah yang dinyatakan.

Berbeza dengan wasiat bagi umat Islam.

Bagi umat Islam, kita terikat kepada hukum faraid yang mana telah menetapkan siapa waris yang layak dan berapa bahagian yang patut diterima.

Walaubagaimanapun, umat Islam boleh berwasiat supaya sebahagian hartanya dapat diberikan kepada bukan waris faraid.

Malah, boleh juga menyampaikan hasrat bagaimana harta-hartanya dibahagikan kepada waris-waris faraid, tetapi perlukan persetujuan waris-waris.

Jika waris-waris bersetuju, tiada masalah untuk ikut kepada hasrat yang telah dinyatakan simati.

Lagipun, tujuan sebenar wasiat bagi umat Islam bukanlah untuk agihan harta, sebaliknya lebih kepada memudahkan urusan pentadbiran harta pusaka nanti.

Sebab itulah antara kandungan wasiat adalah pelantikan wasi, pentadbir harta nak bawah umur, senarai hutang, senarai harta, agihan kepada bukan waris, hasrat agihan kepada waris dan pesanan terakhir.

Ini adalah untuk memudahkan proses pentadbiran harta pusaka.

Untuk makluman, di Malaysia, urusan pentadbiran harta pusaka adalah dijalankan mengikut undang-undang sivil.

Maka, perlu lalui beberapa prosedur supaya urusan pentadbiran tersebut berjalan lancar.

Jika tanpa wasiat, prosedurnya adalah seperti yang saya terangkan di dalam artikel sebelum ini: Cara Urus Harta Pusaka Tanpa Wasiat

Prosedurnya panjang dan boleh memakan masa yang lama.

Jika dengan wasiat pula, prosesnya pendek dan tempohnya singkat kerana telah dipermudahkan oleh simati, iaitu pemilik asal harta.

Mari saya tunjukkan cara urus harta pusaka dengan wasiat.

Cara urus harta pusaka dengan wasiat

#1 Maklumkan kepada pemegang wasiat

Selepas kematian simati, waris hanya perlu maklumkan kepada pemegang wasiat tentang kematian tersebut.

Jika wasiat dipegang oleh individu contohnya peguam, maklumkan kepada beliau.

Jika wasiat dipegang oleh syarikat amanah, maklumkan kepada syarikat tersebut.

Jika wasiat selama ini dijaga sendiri oleh simati, cari wasiat tersebut.

#2 Kumpulkan waris dan benefisiari lain untuk pembacaan wasiat

Selepas maklumkan, tetapkan tarikh untuk hari pembacaan wasiat.

Maklumkan kepada waris-waris lain dan juga bukan waris yang disebut di dalam wasiat.

Sebaik-baiknya semua hadir dan dengar wasiat yang ditinggalkan simati.

#3 Wasiat diserahkan kepada wasi

Selepas selesai pembacaan wasiat, wasiat akan diserahkan kepada wasi yang dilantik.

Jika wasi adalah individu, maka akan diserahkan kepada individu tersebut.

Jika wasi adalah syarikat amanah, maka akan diserahkan kepada syarikat tersebut.

Wasi mempunyai peranan yang penting dalam melaksanakan wasiat, maka perlu dilantik entiti yang berpengetahuan, jujur, amanah dan adil.

Wasi lah yang akan mengurus dan mengagihkan harta pusaka mengikut wasiat nanti.

#4 Wasi memohon Geran Probet daripada Mahkamah Tinggi

Dengan wasiat yang ditinggalkan, wasi perlu memohon pengesahan wasiat dan Geran Probet daripada Mahkamah Tinggi.

Tarikh perbicaraan akan diberikan.

Asalkan sahaja wasiat memenuhi syarat-syaratnya dan tiada pertikaian, maka mahkamah akan keluarkan Geran Probet kepada wasi.

#5 Wasi menjalankan wasiat

Selepas Geran Probet diperoleh, wasi boleh mencairkan harta pusaka yang ditinggalkan simati.

Wasi boleh pergi ke bank, TH, ASB dan KWSP (jika tiada penamaan dibuat) untuk mengeluarkan baki duit yang ditinggalkan.

Wasi boleh ke Pejabat Tanah untuk tukar nama pada geran tanah dan rumah simati.

Wasi juga boleh ke JPJ  untuk tukar nama pemilik kenderaan simati.

Wasi juga perlu melaksanakan wasiat simati seperti melangsaikan hutang, mengagihkan kepada bukan waris dan juga kepada waris.

Begitulah secara ringkasnya cara urus harta pusaka dengan wasit.

Ringkas dan mudah, bukan?

Kelebihan urus harta pusaka dengan wasiat

Banyak kelebihan jika dapat urus harta pusaka dengan wasiat.

Antara kelebihannya:

Kelebihan #1 – Prosedur lebih ringkas, tempoh lebih singkat, kos lebih murah

Dengan adanya wasiat, akan banyak memudahkan waris.

Selepas sahaja wasiat dibacakan, wasi boleh terus mohon pengesahan wasiat dan Geran Probet daripada mahkamah.

Tak perlu bertangguh-tangguh, tak perlu menunggu masa yang lama.

Tak perlu juga keluarkan kos yang tinggi untuk buat itu ini.

Memang lebih mudah untuk waris.

Kelebihan #2 – Lantik wasi pilihan yang diketahui jujur, amanah dan adil

Jika tanpa wasiat, waris-waris perlu lantik seorang pentadbir, sepatutnya yang amanah, jujur, adil dan berpengetahuan.

Malangnya, realitinya tak semudah itu.

Atas dasar hormat, kadang-kadang yang paling tua dilantik sebagai pentadbir walaupun tidak memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.

Akibatnya, berlaku pergaduhan, urusan tidak lancar, penindasan ke atas waris dan sebagainya.

Berbeza dengan wasiat.

Kita boleh piih sendiri siapa yang akan dilantik sebagai wasi.

Baca juga:  Sedikit Coretan Tentang Penamaan KWSP

Jika rasa kurang yakin dengan sesiapa, boleh terus lantik syarikat amanah sebagai wasi.

Tak perlu risau dah.

Kelebihan #3 – Lantik penjaga harta bagi anak-anak bawah umur dan OKU

Jika seorang suami mati, isteri tidak automatik akan dilantik sebagai penjaga harta bagi anak-anak bawah umur dan OKU.

Sebaliknya, mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, yang akan dilantik adalah datuk sebelah suami, wasi kepada wasiat bapa, wasi kepada wasi bapa atau wasi kepada datuk.

Jika mereka tiada atau tak berkeupayaan pun, harta akan dijaga oleh Amanah Raya Berhad.

Akibatnya, jika isteri nak gunakan harta anak untuk kegunaan anak, terpaksalah minta dengan penjaga harta tersebut.

Sebab itulah perlu buat wasiat.

Melalui wasiat, suami boleh lantik isteri atau sesiapa sahaja sebagai penjaga harta anak-anak bawah umur dan OKU.

Kelebihan #4 – Dapat senaraikan hutang-hutang

Apabila seseorang mati, hutang masih tetap perlu diselesaikan.

Jika tidak diselesaikan, amalan akan tergantung.

Mengikut hukum, waris tidak wajib menyelesaikan hutang simati kerana hutang tetap ke atas simati.

Tetapi, atas dasar tanggungjawab, waris biasanya akan cuba untuk selesaikan.

Jika tiada wasiat, bagaimana waris nak tahu hutang-hutang yang dibuat simati?

Susah, bukan?

Kalau ada wasiat, simati boleh senaraikan semua hutang yang masih berbaki.

Siap boleh maklumkan cara untuk selesaikan hutang-hutang tersebut, sama ada guna takaful yang diambil atau sebahagian harta yang ditinggalkan.

Mudah waris untuk tolong selesaikan hutang-hutang yang ada.

Kelebihan #5 – Agihan harta kepada bukan waris

Anak angkat, anak tiri, waris terhalang, waris putus titi seperti cucu, mereka semua ini adalah bukan waris.

Tiada hak faraid, tiada hak ke atas harta pusaka.

Jika tiada wasiat, memang tiada bahagian untuk mereka.

Melalui wasiat, sebahagian harta boleh diagihkan kepada mereka.

Kelebihan #6 – Sedekah dan waqaf supaya pahala berpanjangan

Melalui wasiat, kita boleh asingkan sebahagian harta untuk tujuan sedekah dan wakaf.

Boleh berikan kepada mana-mana individu.

Boleh juga diberikan kepada mana-mana institusi seperti masjid, sekolah tahfiz atau rumah anak yatim.

Ini akan memastikan pahala berpanjangan untuk kita walaupun setelah mati.

Kalau tiada wasiat, semua harta hanya dibahagikan sesama waris.

Tiada yang dikhaskan untuk sedekah dan wakaf.

Kelebihan #7 –  Hasrat agihan harta kepada waris

Melalui wasiat, kita boleh sampaikan hasrat bagaimana agihan harta kepada waris-waris.

Boleh buat secara faraid, sama rata atau mengalah.

Boleh hasratkan beri rumah kepada waris 1, tanah kepada waris 2.

Boleh nyatakan hasrat, pelaksanaannya tetap tertakluk kepada persetujuan waris-waris.

Tetapi, kalau kita buat perancangan dengan baik dan adil, insyaAllah semua waris akan menghormati hasrat kita.

Keharmonian sesama waris pun terpelihara.

Kalau tiada wasiat, waris-waris mungkin berebut-rebut.

Kelebihan #8 – Sampaikan hasrat terakhir

Dalam wasiat, kita boleh sampaikan pesanan terakhir kepada waris-waris.

Boleh berikan nasihat, doa dan harapan.

Inilah kali terakhir kita memberikan pesanan kepada mereka.

Mungkin pesanan terakhir ini akan memberikan kesan paling mendalam kepada waris-waris.

Rugi kan kalau terlepas peluang ini?

Itulah sebahagian kelebihan meninggalkan wasiat.

Maka, amatlah rugi bagi mereka yang tidak meninggalkan wasiat kepada waris-waris.

Wasiat bukan sekadar agihan harta, sebaliknya lebih daripada itu.

Tak tahu cara nak buat wasiat?

Boleh hubungi saya.

Rancang pusaka, tinggalkan legasi

Izzuddin Jaaffar
Perancang Harta Pusaka Islam
as-Salihin Trustee Berhad
013-9798719 / 010-4598719
facebook.com/jomurusduit
jomurusduit.com
wa.me/60139798719

Lokasi: Kelantan & Terengganu

perancang harta pusaka islam islamic estate planner

Saya merupakan Perancang Harta Pusaka Islam (Islamic Estate Planner, IEP) yang bernaung di bawah syarikat as-Salihin Trustee Berhad (AST). Saya sedia membantu dalam perancangan harta pusaka anda; penulisan wasiat, pentadbiran harta pusaka, perjanjian aset perolehan bersama, deklarasi hibah, amanah hayat dan amanah insurans/takaful. Boleh hubungi saya di 013-9798719 (klik di sini untuk terus hubungi saya)

Baca juga:  10 Langkah Merancang Pembahagian Harta Pusaka Semasa Hidup

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini