Pengurusan Harta Pusaka Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat

pengurusan harta pusakaKepentingan Wasiat – Pengurusan Harta Pusaka Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat

Dalam artikel sebelum ini, saya ada kongsikan beberapa kepentingan menyediakan pelan pewarisan harta ataupun dokumen wasiat semasa hidup.

Antara kepentingan utama yang dinyatakan adalah memudahkan pengurusan harta pusaka selepas kematian, menjimatkan masa dan mengurangkan kos.

Jadi, untuk artikel kali ini, saya ingin berkongsi berkenaan proses tuntutan harta pusaka dengan wasiat dan tanpa wasiat.

Dengan itu, kita akan dapat meneliti mengapa pentingnya membuat urusan pewarisan harta semasa masih hidup.

Pengurusan Harta Pusaka Tanpa Wasiat

Apabila berlaku sahaja kematian, semua harta si mati samaada harta alih dan tak alih diletakkan sebagai status harta beku.

Jadi, untuk mencairkannya, perlu melalui proses-proses yang berikut:

1. Waris-waris perlu berkumpul dan melantik seorang pentadbir. Pelantikan pentadbir hendaklah secara bertulis, disahkan dan dipersetujui semua waris.

2. Kumpul maklumat berkenaan semua harta yang ditinggalkan. Oleh kerana si mati tidak membuat wasiat, kemungkinan dokumen-dokumen berkaitan hartanya juga tidak disimpan dengan baik. Maka, pentadbir perlu mendapatkan semua dokumen tersebut.

3. Kumpul maklumat berkenaan semua waris. Semua waris perlu dikenalpasti dan dijejaki. Jika waris telah mati, dapatkan sijil kematian. Bagi waris yang hilang, perlu mendapatkan Perintah Anggapan Kematian daripada Mahkamah Tinggi.

4. Buat penilaian ke atas harta pusaka. Nilai harta akan menentukan ke mana tempat untuk memohon Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration, LA). LA boleh dimohon di:

– Mahkamah Tinggi – Harta alih dan tak alih melebihi RM 2 juta / Harta alih sahaja melebihi RM 600,000

– Pejabat Pusaka Kecil – Harta alih dan tak alih bersamaan atau kurang RM 2 juta

– Amanah Raya Berhad – Harta alih sahaja bersamaan atau kurang RM 600,000

5. Bagi orang Islam, perlu memohon Sijil Faraid di Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Sijil Faraid mengandungi maklumat berkenaan nilai harta pusaka, nama waris-waris yang berhak dan kadar bahagian setiap waris. Sijil Faraid memastikan tiada kezaliman dan keciciran ke atas setiap waris yang berhak.

6. Selepas mendapatkan Sijil Faraid, perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration, LA) di mana-mana institusi bergantung kepada nilai harta pusaka. Jika melibatkan Mahkamah Tinggi, dua orang penjamin yang memenuhi syarat tertentu dan peguam diperlukan untuk memudahkan proses permohonan.

7. Selepas mendapatkan LA, barulah pemegang LA boleh mencairkan harta pusaka, membayar hutang si mati dan membahagikan kepada waris-waris mengikut kadar yang ditentukan. Pemegang LA juga boleh melakukan permohonan pindahmilik di semua institusi yang berkaitan.

Pengurusan harta pusaka tanpa wasiat memang satu proses yang panjang dan memakan masa, boleh menjangkau sehingga 3 ke 5 tahun.

Proses yang panjang ini juga boleh menyebabkan kos yang lebih tinggi.

Lebih parah lagi jika ada masalah-masalah seperti yang berikut:

– Waris tidak sepakat untuk melantik pentadbir/dalam pembahagian harta

– Waris hilang tidak dapat dijejaki

– Dokumen-dokumen tidak lengkap

– Waris tidak punyai masa/sibuk untuk menguruskan proses tuntutan

– Waris tidak tahu cara/proses membuat tuntutan harta pusaka

– Terdapat tuntutan daripada pihak lain

Sebab itulah pentingnya wasiat disediakan semasa hidup, supaya proses tuntutan yang panjang ini tidak dilalui dan masalah-masalah lain tidak timbul.

Baca juga:  Cara Urus Harta Pusaka Dengan Wasiat

pengurusan harta pusaka

Pengurusan Harta Pusaka Dengan Wasiat

Orang yang menyediakan wasiat sebelum mati kebiasaanya akan melakukan dua perkara penting, iaitu mengumpul semua dokumen yang diperlukan (berkaitan harta dan waris) dan melantik pentadbir (wasi).

Pentadbir yang dilantik boleh terdiri daripada waris, bukan waris, peguam atau institusi pengurusan harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad dan as-Salihin  Trustee Berhad.

Dengan adanya dua perkara ini, proses tuntutan harta pusaka akan menjadi lebih mudah.

1. Pentadbir (wasi) yang dinamakan dalam wasiat membuat permohonan Geran Probet di Mahkamah Tinggi. Geran Probet ini seolah-olah LA yang membolehkan pentadbir menguruskan harta pusaka tersebut.

2. Pentadbir juga boleh memohon pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk mengesahkan sesuatu dokumen pewarisan seperti wasiat, hibah, deklarasi harta sepencarian, penyerahan amanah dan pengisytiharan wakaf. 

3. Selepas Geran Probet diperoleh, pentadbir boleh mencairkan harta pusaka tersebut dan menggunakannya untuk membayar hutang-hutang si mati.

4. Pentadbir juga boleh membahagikan harta pusaka mengikut wasiat yang ditinggalkan atau mengikut faraid dan memohon pindahmilik di institusi berkaitan.

Proses tuntutan harta pusaka yang mempunyai wasiat boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat dalam masa sekitar setahun sahaja.

Bahkan, kosnya lebih murah.

Walaupun, proses tuntutan dengan wasiat lebih mudah dan murah, namun masih tidak terlepas daripada masalah (terutamanya untuk orang Islam) yang mungkin timbul seperti:

– Wasiat melibatkan jumlah harta melebihi 1/3 daripada nilai keseluruhan harta pusaka

– Wasiat tidak dipersetujui oleh waris-waris yang berhak

– Wasiat tidak memenuhi syarat seperti tidak mempunyai dua saksi

– Wasiat diragui kerana pembahagian tidak munasabah atau disediakan dalam keadaan tenat/hampir mati

Maka, di sinilah peranan Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan masalah-masalah seperti ini.

Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk mengesahkan wasiat yang dilakukan oleh orang Islam.

Sekiranya wasiat tersebut disahkan, Perintah Pembahagian akan dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil atau Pejabat Pusaka Kecil sepertimana peruntukan dalam wasiat.

Namun, jika Mahkamah Syariah mendapati wasiat tidak sah atau dipertikaikan, maka wasiat boleh terbatal dan harta akan dibahagikan mengikut hukum faraid.

Baca juga:  Inspirasi Kisah Kejayaan Syafieqah Alya

Penutup

pengurusan harta pusakaBegitulah secara ringkasnya proses-proses yang terlibat dalam tuntutan harta pusaka.

Secara jelas dapat dilihat wasiat boleh membantu menjadikan proses tuntutan harta pusaka menjadi lebih mudah dan cepat.

Maka, marilah sama-sama kita berusaha untuk menguruskan pewarisan harta dengan baik selagi hayat masih dikandung badan.

Bagi yang nak buat perancangan harta pusaka, boleh hubungi saya.

Saya boleh sediakan khidmat penulisan wasiat, hibah, amanah, wakaf dan khidmat nasihat serta bantuan pentadbiran harta pusaka tanpa wasiat.

Rancang pusaka, tinggalkan legasi

Izzuddin Jaaffar
Perancang Harta Pusaka Islam
as-Salihin Trustee Berhad
013-9798719 / 010-4598719
facebook.com/jomurusduit
jomurusduit.com
wa.me/60139798719

Lokasi: Kelantan & Terengganu

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

59 Comments

  1. Pingback: Harta Pusaka: Bagaimana Cara Terbaik Menguruskannya? - Majalah Labur

  2. megat mohd azaharri

    Ayah saya dahulu berkahwin dan menadapat seorang anak lelaki.Lepastu dia berpisah dan berkahwin dengan mak saya.Sekarang ini,adakah harta yang dicari dengan mak saya dapat juga kepada abang sulong saya itu?Mohon pencerahan.DIsini saya ada dua abang sulong.Mak saya masih ada lagi.Adakah harta sepencarian mak saya boleh tuntut daripada aruah ayah saya yang telah meninggal dunia?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Ya, mak Tuan boleh tuntut harta sepencarian dahulu. Selepas ditolak bahagian harta sepencarian tersebut, selebihnya bolehlah dibahagikan kepada waris-waris lain mengikut faraid.

      Reply
      1. Zamri

        Saya nak bertanya, sekiranya si mati ada meninggalkan wasiat secara terancang dengan pihak AST adakah wasiat itu boleh di cabar oleh waris, contihnya si mati mahu waris menerima harta secara sama rata dan bagai mana jika ada waris yang tidak bersetuju?

        Reply
        1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

          Ya, itu hak mereka untuk mencabar. Tetapi, keputusan akhirnya akan ditetapkan oleh mahkamah untuk menetusahkan wasiat itu atau tidak.

          Reply
  3. Faid

    Arwah ayah ada rumah..mak pergi dlu sblm ayah..sblm ayh pergi, ayh ade kwin lg..lepas kawin, selang bebrapa tahun ayah meningal..kami adk bradik da spakat nak letak nama sy ats alasan sy ank bgsu..mak tiri pun sutuju dgn kuputusan tu..sjak ayh prgi sy xprnah ambil pun duit sewa rumah tu..dgn niat balas jasa mak jaga ayah masa sakit..ayh pergi lbh kurang 5 tahun lebih..smpai skrang saya masih lg belum brtindak utk tukar nama..boleh tak jelaskan..prkara apa yang perlu dilakukan dlu..-insan

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Boleh ke Pejabat Pusaka/Pejabat Tanah terlebih dahulu untuk semak rumah tersebut atas nama siapa. Jika masih atas nama arwah ayah, boleh teruskan prosedur untuk lantik wasi dan dapatkan surat kuasa. Pada masa ini, perlukan persetujuan dan kerjasam semua waris. Kemudian, barulah boleh ditukarkan nama atas rumah tersebut. Prosesnya mungkin sukar dan memakan masa, jadi harap dapat bersabar.

      Reply
  4. Warda

    Asslammualaikum,
    Ibu saya telah membuat wasiat dengan amanah raya dan semua wasi yg layak telah bersetuju dengan wasiat tersebut, tetapi kos yg dikenakan agak tinggi iatu 2% atau dlm kes mak saya hampir 15k. Pertanyaan saya, adakan wasi berkelayak boleh mentadbir sendiri harta tersebut tanpa melalui amanah raya di mahkamah syariah dan pejabat pusaka kecil sbb harta tidak melebihi 2 juta? Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Oleh kerana ibu saudari telah membuat wasiat dengan Amanah Raya (bermaksud melantik pihak Amanah Raya sebagai pentadbir), maka caj tersebut adalah kos yang memang sepatutnya dibayar. Kiranya, ibu saudari telah pun bersetuju dengan kos tersebut.

      Reply
  5. Oza

    Assaalammualaikum,
    Nak Tanya kalau kes nenek meninggal Dunia. Harta pusaka banyak ada nama ayah…ada adik beradik belah ayah guna ilmu guna2 sehingga ayah serahkan semua harta yang di warisi pada adik-beradik tersebut sehingga tiada satu pon yang tinggal… Utk ayah
    Jadi ada tak cara nak buat tuntutan blk jika Boley….

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Agak sukar juga untuk menjawab soalan ini. Bagi saya, jika memang ada bukti berlaku unsur-unsur sihir dan penipuan, masih boleh lawan di mahkamah. Boleh dapatkan bantuan peguam yang berkelayakan.

      Reply
  6. MOHD NURUDDIN

    Salam, saya Mohd Nuruddin dari PMB Investment iaitu anak syarikat Pelaburan MARA Berhad. PMB Investment ada menyediakan perkhidmatan menulis wasiat dan pentadbiran pusaka dengan kos yang paling minima untuk kemudahan semua rakyat, insya-ALLAH. Hubungi saya melalui +6 010 916 5291 untuk pendaftaran urusan wasiat (dilakukan semasa hidup) dan pentadbiran pusaka (bagi waris yang ingin mengurus harta si mati setelah berlaku kematian), insya-ALLAH. Semoga ALLAH memudahkan urusan kita semua. Barakallahufeekum.

    Reply
  7. Jasmine

    Assalammualaikum,

    Saya ingin bertanya mengenai harta pusaka kecil dan penukaran nama. Atuk saya mendapat sebahagian tanah pusaka (1/8 bahagian) dan ingin menukarkan namanya dalam wasiat ke nama saya (perempuan) dan adik saya (lelaki).

    1) Adakah penukaran nama terbabit akan dikenakan duti setem atau fees lain? Jika ya, berapakah kadar cukai terbabit dan bagaimana untuk mengiranya?
    2) Apakah prosedur untuk menukar nama di dalam wasiat tersebut?

    Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam.

      #1 – Menukar nama dalam wasiat atau dalam geran? Kalau dalam geran, boleh dibuat pemberian secara kasih sayang. Kadar yang dikenakan boleh jadi sangat murah. Boleh rujuk kepada Pejabat Pusaka Kecil yang terlibat.

      #2 – Setahu saya, perlu isi borang tertentu. Boleh dapatkan nasihat daripada Pejabat Pusaka atau Pejabat Tanah.

      Reply
  8. Litah L

    nak tanyalaa kalau untuk tanah. senang sy bagi contoh;

    A sebelum meninggal dia da bahagiakan keluasan tanah utk setiap sorg anaknya (6 orang, 5 perempuan, 1 lelaki). masing dgn keluasan 3 ekar. belum sempat nama masuk geran si A passed away. so pembahagian tanah tu macam mana? sama ada dia ikut wasiat sebelum si A meninggal ka atau kena ikut hukum faraid?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Kalau semua waris bersetuju, digalakkan ikut wasiat asal sebagai tanda menghormati hasrat si mati. Tetapi, jika tidak sepakat, ikut hukum faraid.

      Reply
  9. Adina

    Kalo ayah sye buat surat wasiat menulis tgn sendiri dan ditanda Tangan olehnya..
    Serta tnda tangan anak2 sebagai saksi
    Adakah wasiat sebergini boleh die Guna apabila berlaku kematian?

    Kerana ayh sye berkhwin dua… Rumah yg mak sye tggal atas nama ayh. Isteri no2 ade ank 2org (perempuan)hasil dri prkhwinan tersebut…
    Sekrang umah tersebut anak2 isteri pertama iaitu sye Dan 5adik beradik yg tlong byarkan hutang tertuggak berbaki 7tahun…
    Adkah wasiat tersebut boleh diguna slpas ayh sya tiada?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wasiat tersebut perlu disahkan oleh pihak mahkamah terlebih dahulu.

      Reply
  10. NIla

    Saya bersama bapa membeli seunit rumah, disebabkan masalah keluarga saya dihalau selepas bapa saya mati dan rumah itu dilelong. Sekarang lebihan duit selepas selesai baki rumah itu diselasaikan pihak bank telah masukkan bahagian saya dan separuh tidak dapat diambil. Sekarang keluarga saya paksa saya untuk membuat tandatangan atas borang LA . dan saya tidak disetuju. Sekarang tanpa tandatangan saya bolehkah mereka mengambil bahagian tersebut? Lawyer kata tanpa saya dia akan proceed dan overlap.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Maaf, saya tak pasti.

      Reply
  11. Nazriehsan

    Hai tau tak kos bayaran yang di kenakan ke atas harta oleh pejabat pusaka kecil

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Kosnya sangat rendah sahaja.

      Reply
  12. Ahmadshah

    Assalamualaikum

    Kawan saya baru saja meninggal dunia dan semasa hidupnya arwah ada meminjam duit saya dalam urusan perniagaan .Waris arwah ank dan isteri nya tahu akan pinjaman tsb. Arwah ada meninggalkan harta berbentuk wang ringgit di dlm akaun bank. Soalan saya bagaimana hendak membuat tuntutan atas harta tsb dan apakah prosedur2 yg perlu dilakukan dari awal hingga akhir . Sekian terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Boleh tuntut daripada waris untuk bayar hutang tersebut. Terpulang kepada waris sama ada nak dahulukan duit mereka sendiri, atau tunggu sehingga mereka dapat pemilikan ke atas harta yang ditinggalkan untuk bayar hutang tersebut. Terpulang juga kepada perbincangan antara pihak Tuan dan waris-waris tersebut.

      Reply
  13. Latifah

    Assalamualaikum tuan,arwah abah meninggal pertengahan dec18,dn dah berkahwin laen(2tahun),dlm tempoh berkawin mak tiri tidak bekerja.abah akn pencen jan 19.pertanyaan sy.Bagaimana pembagian duit pencen?harta y laen adakah mak tiri berhak.dr segi tanah,rumah..sepanjang abah hidup segala harta adalah hasil sepencarian bersama arwah mak kandung.sy ank sulung lelaki dr 3 beradik.sy buntu..mak tiri hari2 desak nk duit pencen.Ok kami setuju nk bg..tp selepas 2 die ugut nk semua harta..klu tk bg die akan buat report.tuk tangkap atas sebab pecah amanah.sedangkan arwah tak ada bg wasiat or amanah.adakah terlewat tuk buat faraid?.Tolong tuan.mase arwah meninggal..sehari selepas abah meninggal..die dh cakap tak nak tuntut ape2.Sedangkan kami masih bersedih die dah sebut pasal harta.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Setahu saya, pencen bulanan adalah bukan harta pusaka, agihannya akan ditentukan oleh majikan. Manakala ganjaran pencen adalah harta pusaka yang perlu diagihkan mengikut faraid/wasiat yang diminta si mati.

      Ya, ibu tiri adalah waris abah (jika semasa mati mereka masih bersama dan tidak bercerai). Maka, berhak ke atas harta-harta yang lain.

      Jika tiada wasiat, maka pembahagian adalah secara faraid. Bukannya boleh bolot semua. Kalau ikut prosedur yang betul, mahkamah syariah yang akan mengesahkan siapa waris yang layak dan bahagian setiap waris.

      Urusan pembahagian harta pusaka, sebaik-baiknya diselesaikan secepat mungkin. Kita tidak tahu, ada waris yang betul-betul terdesak perlukan harta tersebut untuk meneruskan kehidupan. Kita mungkin selesa walaupun tak dapat lagi harta tersebut, tetapi ada waris yang sedang sengsara meneruskan kehidupan tanpa harta itu. Jadi, lebih baik selesaikan segera supaya tidak bergaduh dan bermasam muka sesama waris.

      Semoga urusan Tuan dan keluarga dipermudahkan.

      Reply
  14. amer

    assalamualaikum tuan..saya nk tnya..ayah saya meninggal sebelum nenek saya meninggal..so kami ada berhak tak tentang harta tu…dan 1 lg..bilaa dah pecah faraid..ahli keluarga yg lain seperti waris sah..boleh tak letak nama mak.saya..

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Jika semasa nenek meninggal, nenek ada anak lelaki yang lain selain ayah, maka cucu bukanlah waris. Jika tiada anak lelaki lain, maka cucu adalah waris. Tak boleh letak nama mak kerana mak bukan waris nenek.

      Reply
  15. Saralyn Sulaiman Hamy

    assalamualaikum. ayah saya telah meninggal dunia 2 thn yang lepas. dia ada meninggalkan beberapa tanah dan sebuah kereta. tetapi disebabkan arwah ibu bapa kepada ayah saya telah meninggal, maka harta tersebut pelu dibahagi kepada ibu dan adik beradik saya serta adik beradik ayah saya. Persoalan saya ialah salah seorang dari adik beradik ayah saya tidak mahu tandatangan. pelbagai cara telah dilakukan. Maka dengan itu urusan untuk kereta tersebut tidak dapat dilakukan. Bagaimankah cara untuk selesaikan masalah ini

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Boleh meminta semua waris memujuk beliau secara baik. Boleh juga meminta orang yang beliau hormati untuk memujuk beliau, seperti Tok Imam, Ketua Kampung etc. Boleh juga dapatkan budi bicara pegawai (Tuan Hakim?) Pejabat Pusaka Kecil untuk selesaikan masalah ini.

      Reply
  16. missdina

    Assalamualaikum,saya ada 1 masalah…arwah toki sy telah dilantik menjadi penguasa oleh arwah ayah beliau..ibu saya adalah ank perempuan tunggal toki,tetapi toki juga ade seorang adik lelaki dan seorang kakak(tiada zuriat)..masalah sekarang ni ibu saya tidak dapat hak 1 sen pn dr harta pusaka tersebut..tp sy ade cek di JKPTG no fail pemohonan telah dibuat sbelum ni dan kesemua tanah2 telah pn dijual..adakah dr no fail tersebut saya bole dptkn surat perintah utk tahu siapakah pentadbir selepas toki sy @ kmgkinan ada berlaku penipuan wasiat disini?bgaimana cara sy ingin mendapatkn surat perintah tersebut?mohon pencerahan dr tuan..

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Maaf, saya tak dapat berikan pendapat. Pihak Cik boleh dapatkan bantuan daripada peguam.

      Reply
  17. Rahim

    Assalamualaikum tuan. si mati (suami) meninggal dan meninggalkan harta tak alih kepada anak-anak (si mati mempunyai anak lelaki dan anak perempuan). Isteri si mati juga sudah meninggal dunia. Ayah dan ibu si mati juga sudah meninggal dunia. Adakah adik beradik si mati layak menuntut harta pusaka tersebut? Atau anak-anak si mati sahaja yang layak menjadi waris atas harta pusaka tersebut?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Waris adalah anak lelaki dan perempuan sahaja. Adik beradik si mati adalah bukan waris.

      Reply
  18. Lini

    Assallmualaikom..saya ade soalan.bole ke pegawai pejabat pesaka sorok/lupuskan surat perintah sdgkn no fail telah wujud?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Saya tidak pasti. Kalau ada apa-apa masalah, boleh sahaja buat aduan atau laporan kepada pihak berkenaan supaya mereka dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

      Reply
  19. Alynn Hersal'

    Saya sedang cari tahu mengenai wasiat di Malaysia, Jadi saya ingin tahu lebih lanjut mengenai wasiat yang ditawarkan di Amanah Raya, lebih murah atau mahal dari tempat lain. Kerana susah nak yakin kan ibu saya yang taknak buat wasiat, dia kata leceh dan lebih baik dia bagi2 saje hartanya tu. Jadi boleh terangkan apa kepentingan wasiat ni dan mengapa kita perlu ada wasiat ? Berapa ribu orang yang dah buat wasiat dekat amanah raya dalam setahun di malaysia ? harap boleh bantu.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Pentingnya untuk buat wasiat agar pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan akan jadi lebih mudah dan singkat prosesnya. Berbanding jika tiada wasiat, proses untuk dapatkan harta pusaka kepada waris mungkin akan mengambil tempoh yang sangat lama. Berkenaan Amanah Raya, bolehlah berkunjung ke pejabat mereka untuk dapatkan lebih maklumat.

      Reply
  20. Syaiful Nizam

    Assalamualaikum wbt..
    Sy ingin bertanya.. Sy(lelaki) , Emak & adik bradik lain (2org) adik perempuan & kakak ingin menjual sebuah rumah dlm nilai Rm280k yg masih diatas nama arwah Ayah..
    Rumit ka urusan penjualan tersebut kerna rumah atas nama arwah Ayah.? Berapa lama kah urusan tersebut?
    Gerentor(Emak) dgn nama kedua dlm geran adakah sama?
    Bolehkah Sy tahu jika berlaku urusan jual rumah pusaka itu.. Brapakah kos yg perlu Sy sediakan?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Maaf, saya tak dapat jawab soalan ini.

      Reply
  21. Zarina yasir

    Assalammualaikum….sya nk msa arwah bok sy a meninggal …arwah ada mengglkn rumah tpi rumah tu maseh de lgi tunggakan dan nma geran rumah tu maseh lgi nma pemaju….sekiranya tunggakn diselesaikn…barulh nma akn diltk dlm geran rumah…skrg ni mak sya nk amik kuasa utk uruskn rumah tu sb rumah tu dh teruk sangat tpi mslh skrg ni betul ke rumah tu kna ltk nma2 afik beradik sya dan barulh dorg setuju mak sya amik kuasa rumah tu …mak sya cadang nk jual rumah tu…sehingga skrg rumah tu xde pn adik beradik sya usahakn pape…jdi bole ke klu rumah tu mak sya amik kuasa tanpa persetujuan adik beradik sya?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Maaf, saya tak faham soalan.

      Reply
  22. Intan

    Assalamualaikum, nak tanya apa hukum kalau harta si mati tidak di tukar nama? Bolehkah rumah dan tanah peniggalan beliau(si mati) menjadi harta pusaka untuk turun temurun? Apa akan terjadi sekiranya harta tersebut tidak di tukar nama?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Jika tidak ditukarnama, akan sukarlah untuk diwariskan ke generasi akan datang. Jika dibiarkan terlalu lama, bilangan waris akan semakin bertambah. Nanti kalau nak jual kepada pihak lain, akan sukar untuk diselesaikan.

      Reply
  23. Iqmal Shah

    Assalamualaikum maaf tumpang tanya , bagaimana ketahui yang lebih berhak atas pengeluaran pusaka ya ? Sbab Arwah bapa saya dah pergi meninggal dunia , jdi ibu saya minta saya uruskan pengeluaran pusaka jdi kat sini saya seorang anak lelakinya jdi macam mana ya untuk buat permohonan pengeluaran pusaka ? Sebab arwah bapa saya tidak wasiatkan nama siapa2 macam mana ya cik kalau begitu mohon membantu persoalan yang baru nak berlajar urusan 😊

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Kena dapatkan surat kuasa terlebih dahulu. Kena pergi ke pejabat pusaka kecil dan buat permohonan. Nanti akan dapat tarikh perbicaraan, semua waris perlu hadir untuk dipilih seorang pentadbir yang akan diberikan surat kuasa. Selepas dapat surat kuasa, barulah boleh uruskan harta pusaka yang ditinggalkan.

      Reply
  24. Zulkarnain bin Ismail

    Assalamualaikum.
    Semasa hayatnya Alayarhamah ibu saya meminta saya mengambil tanahnya dan saya diminta mengagihkan Wang@saguhati kepada adik beradik saya seramai 8 orang.
    Saya juga sempat menukar nama drp ibu kepada saya sblm ibu meninggal dunia.

    Persoalan saya :
    1.Adakah perlu di uruskan Tanah tersebut sebagai Tanah pusaka atau Tanah itu telah menjadi satu Hibah.
    2.Adakah syarat sah atau rukun kepada pembelian Tanah Pusaka samada melalui faraid ataupun Hibah.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Oleh kerana tanah telah berjaya dipindahkan nama, maka tidak perlu diuruskan sebagai tanah pusaka. Namun, bayaran saguhati yang ditetapkan oleh ibu kepada adik beradik yang lain perlu dilunaskan juga.

      Reply
  25. Dinshaari

    Assalamualaikum, nak tanya harta tanah. Kalau emak meninggal dulu dari baba nya, ada kah sebahagian harta dapat balik kpd bapa nya.
    Skg bapa emak dah meninggal, ada kah harta jatuh pada adek beradik emak.(contoh bapa mereka dah meninggal sekarang harta itu jatuh pula ke nak anak mereka) ini dikira berlapis.
    Kalau emak saya ada 3 anak lelaki , sepupu masih berhak dpt harta emak saya.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Ya, apabila ibu meninggal, bapanya (datuk) akan mewarisi sebahagian harta ibu. Harta tersebut akan menjadi milik datuk. Apabila datuk meninggal, harta datuk akan diwarisi oleh waris-warisnya.

      Reply
  26. Yang Bertanya

    Assalamualaikum Tuan,

    Rujuk kepada point Tuan no.1,

    Waris-waris perlu berkumpul dan melantik seorang pentadbir. Pelantikan pentadbir hendaklah secara bertulis, disahkan dan dipersetujui semua waris.

    Soalan saya :
    Macam mana proses nak lantik pentadbir ni? Adakah semua ahli keluarga kena buat satu surat dan ditandatangani oleh semua di depan pesuruhjaya sumpah atau bagaimana?
    Boleh ke pentadbir ni dalam kalangan ahli keluarga seperti anak almarhum?

    Harap dapat bantu saya, terima kasih

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Kalau di pejabat pusaka kecil, biasanya semua waris diminta berkumpul dan lantik seorang pentadbir untuk mentadbir harta pusaka yang ditinggalkan. Jika ada waris tak dapat hadir, setahu saya ada borang yang menyatakan ketidakhadiran dan pilihan pentadbir yang dipersetujui. Pentadbir boleh sahaja dilantik di kalangan waris atau bukan waris, yang penting memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti berakal, waras dan lain-lain.

      Reply
  27. syed asraf

    assalamualaikum, sy ada 1 soalan.. bapa sy baru shj meninggal dunia dan sy pernah bertanya pada bank bsn cara utk mengeluarkan semua duit dari bank bsn bapa utk dibahagikan pada ibu dan adik beradik tetapi pihak bank kata kalau bawah rm5000 waris penerima bsh shj yg boleh menuntut tapi jika melebihi rm5000 kena ada surat terekah dan sijil mati bapa yg original, sy terlupa utk bertanya terekah yang macamana, bolehkah encik terangkan sikit prosesnya bagaimana? Terima kasih sy dahulukan

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Perlu dapatkan surat kuasa terlebih dahulu, biasanya dikeluarkan oleh Pejabat Pusaka Kecil. Boleh ke pejabat yang terdekat untuk dapatkan penerangan berkenaan proses mendapatkan surat kuasa tersebut.

      Reply
  28. Aida jaapar

    Salam …mcm mane caranya klu nk ambil blk tanah d umah sendiri yg dh ditukar name org lain (anak sendiri)..rumah yg mak sy duduk ada lah rumah mak sy pada asalnya.. oleh itu adik sy telah memujuk d menipu mak sy untuk tukarkan name tanah d rumah yg mak sy duduk sekarang tu ditukarkan atas name adik sy tanpa diketahui oleh adik beradik yg lain.jadi skrg ni mak sy telah dihalau keluar dri umah yg mak syg duduk skrg ni.mcm mane caranya nk ambil tanah d umah tu blk. Harap dpt menbantu sy terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Dalam situasi sebegini, memang agak sukar kerana nama telah ditukar dan rumah tersebut menjadi milik penama terkini. Kalau nak diusahakan juga, kena buat laporan polis dan buktikan bahawa penipuan sememangnya berlaku. Kemudian boleh dibawa ke mahkamah/pejabat tanah untuk dibatalkan penukaran nama yang telah dilakukan.

      Reply
  29. Vani

    Selamat sejahtera… Saya ingin bertanya tentang rumah bapa mentua saya…. Sekarang bapa mentua saya sudah meninggal dunia Dan sudah 20 tahun.. Rumah sudah terbiar begitu sahaja selama ini… Suami ingin mengambil alih rumah itu Dan mentadbir rumah itu.. Tapi kami tidak tahu sama ada ia boleh atau tidak???? Jika boleh bagaimana cara ya

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Kalau untuk Muslim, kena dapatkan persetujuan semua waris yang masih hidup semasa bapa mertua mati. Kalau waris ada yang mati, kena cari waris kepada waris tersebut. Kena dapatkan surat kuasa daripada pihak sepatutnya untuk mentadbir rumah tersebut. Bagi harta bukan Muslim, maaf, saya tak berapa biasa tentang cara pengurusannya. Setahu saya, perlu dapatkan perintah mahkamah.

      Reply
  30. Suraiya Mohd Nor

    Tahniah! Perkongsian yang sangat bermanfaat. Arwah ayahanda saya dulupun sebelum meninggal ada meninggalkan wasiat bertulis untuk membahagikan hartanya secara sama rata antara anak lelaki dan anak perempuan. Tetapi ada kalangan warisnya tidak bersetuju. Wasiatnya itu jadi terbatal dan dibahagikan ikut faraid.

    Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini