Setelah menetapkan matlamat-matlamat kewangan dan merancang strategi-strategi yang hendak dilakukan, pastinya tindakan perlu dilakukan segera supaya matlamat dapat dicapai.
Mulakan dengan matlamat yang paling utama dulu, dan cuba capainya dengan secepat yang mungkin.
Kenapa perlu capai matlamat dengan cepat?
Banyak sebabnya, salah satunya supaya kita mempunyai ruang masa yang cukup untuk mencapai kesemua matlamat yang kita letakkan.
Keduanya, supaya lebih termotivasi untuk mencapai matlamat-matlamat yang lain.
Iyalah, apabila matlamat pertama dicapai dengan cepat, pastinya kita akan berasa lebih mudah untuk mencapai matlamat-matlamat yang lain.
Lagipun, kita sudahpun punyai pengetahun dan pengalaman dalam menghadapi cabaran-cabaran mencapai matlamat yang diletakkan.
Tahukah anda apakah strategi-strategi mudah untuk mencapai matlamat kewangan dengan lebih cepat?
1. Tambah pendapatan
Jika kita sememangnya seseorang yang berdisiplin dengan duit, dengan pendapatan yang lebih tinggi, sudah semestinya lebih mudah untuk menguruskan duit tersebut dan seterusnya mencapai matlamat yang diingini.
Jika tempat bekerja kita menawarkan peluang melakukan kerja lebih masa, sekali-sekala luangkanlah masa dan tenaga untuk melakukannya.
Bukan sahaja dapat pendapatan lebih, malah mungkin dipuji majikan kerana rajin melakukan kerja lebih masa.
Selain kerja lebih masa, apakah ada cara lain untuk tambah pendapatan?
Jawapannya ada, iaitu dengan menambah pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang yang diceburi.
Jika sebelum ini hanya mempunyai sijil atau diploma, mungkin boleh sambung belajar ke peringkat lebih tinggi; ijazah, sarjana mahupun kedoktoran.
Tidak semestinya pendidikan formal, sertai bengkel, kursus atau seminar pendek juga boleh meningkatkan nilai diri, asalkan berkait dengan bidang kerjaya yang diceburi sekarang.
Dengan kelayakan akademik dan pengalaman lebih baik, bolehlah cuba untuk mendapatkan pangkat lebih tinggi dan gaji lebih baik.
Jika peluang kenaikan di tempat kerja asal kelihatan tidak cerah, boleh memohon tawaran lebih baik daripada syarikat lain yang lebih kukuh.
Cara lain lagi untuk menambah pendapatan adalah dengan berniaga.
Dengan perkembangan teknologi sekarang, berniaga menjadi lebih mudah, dengan syarat kita berusaha dan tahu caranya.
Walaupun terikat dengan kerja-kerja hakiki pada waktu pejabat, masih banyak peluang perniagaan sambilan yang boleh dilakukan.
Dengan adanya internet, boleh dikatakan semua orang boleh berniaga dan buat duit dengan mudah.
Contohnya, buat duit melalui affiliate iaitu dengan mempromosikan produk orang lain dan mendapat komisen apabila jualan terhasil.
Ataupun buat duit melalui dropship yang mana kita hanya menjadi orang tengah; promosikan produk orang lain, ambil tempahan dan bayaran, kemudian minta pemilik produk hantarkan kepada pembeli.
Boleh cuba cari panduan untuk kedua-dua model bisnes melalui carian internet.
Sekiranya terasa sukar untuk jual produk orang lain, cuba cari barang-barang terpakai yang ada di rumah.
Kalau masih berkeadaan baik, boleh juga dijual.
Sampah bagi kita mungkin adalah barang berharga bagi orang lain.
Laman web mudah.my adalah antara laman web popular untuk menjual barang-barang terpakai.
Jika kita tidak mahu berniaga, boleh lakukan kerja-kerja bebas (freelance) dengan menawarkan kemahiran-kemahiran yang ada.
Contoh-contoh kerja bebas adalah menulis artikel, menyunting artikel, membuat design dan membina laman web.
Antara laman-laman web antarabangsa popular yang menyediakan platform kerja-kerja bebas adalah fiverr.com, freelancer.com, elance.com dan upwork.com
Kelebihan platform antarabangsa, tawaran adalah lebih banyak dan peluang menjana pendapatan dalam matawang dolar US yang mana nilainya lebih tinggi daripada Ringgit Malaysia.
Jika ingin lakukan kerja-kerja bebas di Malaysia, boleh lawati ke laman web you.my atau parttimepost.com
Untuk panduan dan rujukan kerja-kerja bebas, boleh rujuk di Jobdirumah.com
2. Kurangkan perbelanjaan
Sedar atau tanpa sedar, kita sebenarnya banyak berbelanja pada perbelanjaan yang tidak perlu.
Cuba jejak perbelanjaan yang dibuat untuk tempoh tiga bulan, catatkan semuanya.
Jangankan tiga bulan, dalam masa sebulan pun sudah boleh kenalpasti banyak perbelanjaan tak perlu yang sering dilakukan.
Sebab sudah menjadi tabiat, memang agak sukar untuk mengurangkan sesetengah perbelanjaan.
Maklumlah, nak jaga status dan gaya hidup, jadi kenalah berbelanja lebih.
Walhal, lebih kepada menjerat diri.
Contohnya, bayaran kereta setiap bulan.
Kalaulah dibeli kereta yang lebih murah, pastinya bayaran bulanan lebih rendah dan dapat jimatkan duit.
Tetapi oleh kerana telah terbeli kereta berjenama luar negara yang mahal, maka terpaksalah membayar harga tinggi setiap bulan.
Ataupun pakej siaran televisyen di rumah.
Sanggup bayar setiap bulan walaupun jarang menonton televisyen dek sibuk bekerja, walhal pakej percuma ada ditawarkan.
Penyelesaiannya?
Cara mudah adalah dengan mengawal perbelanjaan terlebih dahulu, boleh rujuk artikel ini untuk maklumat lanjut Tips Kawal Belanja
Untuk penyelesaian lebih drastik, perlu ubah tabiat, ubah sikap dan ubah gaya hidup.
Jika terasa terbeban dengan bayaran kereta sekarang, jual secepat mungkin dan tukar kepada kereta yang lebih murah.
Potong pakej siaran televisyen yang dibayar setiap bulan, ambil pakej percuma sahaja sudah mencukupi.
Jika beli barang atau pakaian, utamakan kualiti, bukan jenama.
Barangan berjenama mewah kebiasaannya lebih mahal daripada jenama-jenama biasa.
Tetapi, barangan berjenama mewah tidak semestinya berkualiti dan yang berkualiti tidak semestinya yang berjenama mewah.
Kenalah pandai memilih dan membandingkan untuk mendapatkan tawaran terbaik apabila membeli barangan.
Yang paling penting, hidup di bawah kadar kemampuan, bukan berlebih-lebihan sehingga menyusahkan diri.
Dengan berpegang kepada prinsip ini, banyak duit bocor akibat perbelanjaan berlebihan dapat dikurangkan.
3. Tambah simpanan
Sesudah melakukan strategi menyerang dengan menambah pendapatan dan bertahan dengan mengurangkan perbelanjaan, lebihan duit tadi hendaklah ditambah kepada tabung simpanan matlamat kewangan yang ingin dicapai.
Dengan cara ini, matlamat akan dicapai dengan lebih cepat.
Sifir yang mudah.
Sebagai contoh, matlamat asal ingin mempunyai RM 18,000 dalam masa 3 tahun iaitu dengan mengumpul RM 500 setiap bulan selama 36 bulan.
Dengan menambah RM 100 sahaja lagi setiap bulan, iaitu RM 600 sebulan, dapat kurangkan 6 bulan tempoh masa.
Jika tambah RM 200 pula setiap bulan, boleh capai matlamat asal tadi dalam tempoh 10 bulan lebih awal.
Selain duit hasil pendapatan tambahan dan penjimatan belanja, jangan lupa juga untuk menambah simpanan apabila mendapat durian-durian runtuh yang lain.
Contohnya apabila diberi bonus tahunan, selain dibelanjakan, jangan lupa untuk peruntukkan sebahagian kepada tabung simpanan.
Jika peruntukkan semuanya, semestinya lebih baik.
Ataupun apabila mendapat kenaikan gaji.
Jika masih mampu hidup dengan nilai gaji yang lama, jumlah kenaikan gaji yang diperoleh boleh dimasukkan kepada tabung simpanan.
Dengan melakukan ini, matlamat kewangan dapat dicapai dengan lebih cepat.
4. Laburkan lebihan simpanan
Nak capai matlamat kewangan dengan lebih cepat lagi?
Laburkan duit simpanan anda.
Dengan melabur, kita menggunakan kuasa compounding interest untuk mengembangkan lagi duit yang ada dengan kadar yang lebih cepat.
Contohnya, menyimpan RM 500 sebulan memerlukan masa 36 bulan (3 tahun) untuk mencapai RM 18,000
Tetapi jika dilaburkan ke dalam instrumen yang memberi dividen pada kadar 10% setahun, hanya memerlukan masa sekitar 30 bulan untuk mencapai nilai yang sama.
Jika dibiarkan hingga 36 bulan pula, jumlah yang terhasil akan lebih banyak iaitu sekitar RM 20,000
Bayangkan jika dilaburkan pada instrumen yang memberi kadar dividen yang lebih tinggi, semestinya masa lebih singkat ataupun jumlah terhasil lebih banyak.
Adakah mustahil untuk mendapat kadar pulangan 10% ke 15% setahun?
Tidak, jika tahu di mana dan bagaimana nak melabur dengan bijak.
Warren Buffett, antara pelabur tersohor dunia, mendapat pulangan terkompoun tahunan sekitar 25% setahun selama berpuluh-puluh tahun.
Jadi, tidak mustahil untuk mencapai pulangan yang baik jika bijak melabur.
Takut untuk melabur?
Tak mengapa, gunakan sahaja ASB dan Tabung Haji sebagai medium simpanan/pelaburan.
Walaupun kadar pulangannya tidaklah setinggi mana, tetapi sekurang-kurangnya modal asal terjamin dan pulangan yang diberi adalah lebih baik berbanding akaun simpanan biasa bank.
Itulah sahaja empat strategi mudah untuk mencapai matlamat kewangan lebih cepat.
Sebaik-baiknya amalkan kesemua empat strategi.
Kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.
Bak kata orang, bukan senang nak senang, bukan susah nak susah.
Pingback: 5 Perkara Berkaitan Teknik Loan ASB Yang Perlu Diberi Perhatian - Loan bank centre