Tag Archive: cukai pendapatan

Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2018 Untuk eFiling 2019

pelepasan cukai pendapatan 2018 efiling 2019Dah tahu ke senarai pelepasan cukai pendapatan 2018 untuk efiling 2019?

Setiap tahun, apabila tibanya bulan Mac, semua individu yang mencecah pendapatan minimum pada tahun sebelumnya perlu mengisi efiling dan mengira jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar.

Dengan efiling, semuanya automatik dikira.

Kita hanya perlu mengisi maklumat-maklumat yang diperlukan sahaja.

Tetapi, kadang-kadang, jumlah cukai yang perlu dibayar boleh menjadi beban yang besar.

Dan cara termudah untuk mengurangkan jumlah cukai tersebut adalah dengan mengoptimasikan tuntutan ke atas pelepasan cukai pendapatan yang diberikan oleh pihak LHDN.

Jadi sekarang, jom kita lihat senarai pelepasan cukai pendapatan 2018 untuk efiling 2019 sepertimana yang dipaparkan di laman web LHDN:

pelepasan cukai pendapatan 2018 efiling 2019

Jika diperhatikan, senarai pelepasan cukai pendapatan 2018 adalah sama sahaja sepertimana tahun 2017.

Ya, memang tiada sebarang perubahan dari tahun sebelumnya kerana tiada sebarang pengumuman perubahan yang diumumkan oleh kerajaan.

Sekarang, mari kita teliti satu persatu senarai pelepasan cukai pendapatan 2018 tersebut:

Pelepasan cukai #1 – Individu & saudara tanggungan

Pelepasan individu dan saudara tanggungan ini diberikan secara automatik apabila mengisi eFiling.

Jumlahnya masih lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM 9,000

Pelepasan cukai #2 – Penjagaan ibu bapa

Pelepasan ini adalah untuk perbelanjaan yang dikeluarkan ke atas ibu bapa kandung, atau ibu bapa angkat (yang disahkan) jika penuntut adalah seorang anak angkat,

Ibu bapa tiri adalah tidak termasuk.

Bagi pelepasan ini, secara mudahnya dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas dan (b) penjagaan ibu bapa.

Bagi (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas (penjaga), jumlah pelepasan yang diberikan adalah sehingga RM 5,000 dan perlu mematuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Keadaan kesihatan ibu bapa disahkan oleh pengamal perubatan berkelayakan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council, MMC)
  • Ibu bapa mestilah bermaustatin di Malaysia
  • Rawatan perubatan dan khidmat penjaga yang diambil disediakan di dalam Malaysia

Perbelanjaan yang dibenarkan pula adalah:

  • Rawatan perubatan dan perkhidmatan penjagaan yang diperuntukkan oleh rumah penjagaan; dan
  • Rawatan pergigian yang dihadkan kepada mencabut gigi, menampal gigi dan membersihkan karang gigi tetapi tidak termasuk rawatan kosmetik seperti menggantikan dan membaik pulih gigi yang melibatkan penyatuan, root canal dan gigi palsu
  • Bayaran penjaga yang dibuktikan dengan resit atau perakuan bertulis oleh penjaga atau salinan permit kerja penjaga (penjaga mestilah bukan individu, suami / isteri atau anak individu berkenaan)

Bagi yang tidak membuat/mempunyai tuntutan bagi bahagian (a), boleh membuat tuntutan bagi bahagian (b) penjagaan ibu bapa.

Untuk bahagian ini, jumlah yang boleh dituntut adalah RM 3,000 ke atas kedua-dua ibu bapa, atau RM 1,500 bagi ibu atau bapa.

Walaubagaimanapun, pelepasan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang berikut:

  • Tuntutan oleh anak kandung dan anak angkat sah di bawah undang-undang sahaja. Tuntutan ke atas ibu atau bapa tiri adalah tidak dibenarkan.
  • Tidak membuat sebarang tuntutan bagi bahagian (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas yang diterangkan di atas.
  • Jika lebih daripada seorang individu menuntut potongan ini, amaun potongan tersebut perlu dibahagi sama rata mengikut bilangan individu yang menuntut berhubung ibu atau bapa yang sama.
  • Hanya ke atas ibu dan/atau bapa berusia 60 tahun atau ke atas (pada bila-bila masa dalam tahun taksiran), dan bermaustatin di Malaysia

Pelepasan cukai #3 – Peralatan sokongan khas

Tuntutan sehingga RM 6,000 adalah dibenarkan ke atas pembelian peralatan sokongan khas bagi individu kelainan upaya (OKU) sama ada untuk diri-sendiri, pasangan, anak dan ibu bapa, yang mana mereka perlulah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai OKU.

Antara alat sokongan asas yang dibenarkan adalah seperti mesin hemodialisis, kerusi roda, kaki palsu dan alat pendengaran, tetapi tidak termasuk cermin mata dan kanta lekap.

Pelepasan cukai #4 – Individu kelainan upaya (OKU)

Selain daripada pelepasan individu (pelepasan #1), individu OKU juga turut diberi pelepasan tambahan khas sebanyak RM 6,000 ke atas diri-sendiri.

Namun, individu tersebut perlulah mendapat pengesahan bertulis sebagai seorang OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pelepasan cukai #5 – Yuran pengajian sendiri

Bagi yang mengikuti pengajian di peringkat tertiari (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) atau lanjutan (Sarjana dan Doktor Falsafah), pelepasan cukai sehingga RM 7,000 adalah diberikan ke atas bayaran yuran pengajian tahunan yang dikeluarkan.

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi layak atas pelepasan ini adalah:

  • Pengajian di mana-mana institusi tempatan atau badan profesional di Malaysia yang yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia (Kementerian Pengajian Tinggi) atau diluluskan oleh Menteri Kewangan.
  • Bagi pengajian peringkat tertiari, hanya untuk bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi sahaja.
  • Bagi pengajian peringkat lanjutan, sebarang bidang atau kursus pengajian adalah dibenarkan.

Pelepasan cukai #6 – Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius

Pelepasan sehingga RM 6,000 adalah dibenarkan bagi perbelanjaan yang dikeluarkan bagi rawatan penyakit serius sama ada untuk diri-sendiri, pasangan atau anak.

Penyakit serius adalah termasuk sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa.

‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan.

Resit perbelanjaan rawatan dan perakuan yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) hendaklah disimpan untuk rujukan/semakan oleh LHDN kelak.

Pelepasan cukai #7 – Pemeriksaan perubatan

Bagi pemeriksaan perubatan penuh yang dilakukan untuk diri-sendiri, pasangan atau anak-anak, pelepasan sehingga RM 500 adalah dibenarkan.

Namun begitu, jumlah tuntutan bagi pelepasan #6 dan #7 adalah terhad sehingga RM 6,000 sahaja.

Pelepasan cukai #8 – Perbelanjaan gaya hidup

pelepasan cukai pendapatan 2018 efiling 2019

Tuntutan sehingga RM 2,500 adalah dibenarkan bagi perbelanjaan gaya hidup yang dilakukan pada tahun taksiran 2018.

Antara perbelanjaan-perbelanjaan yang dibenarkan adalah:

  • Pembelian buku, jurnal, majalah, suratkhabar bercetak dan lain-lain penerbitan seumpamanya (selain bahan bacaan terlarang/lucah) untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak. Boleh dalam bentuk hardcopy atau softcopy.
  • Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak, bukan untuk tujuan perniagaan.
  • Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (termasuk alat-alat yang mempunyai jangka hayat yang singkat seperti bola golf dan bulu tangkis, tetapi tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor). Boleh lihat senarai lengkap aktiviti-aktiviti sukan yang dibenarkan dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html
  • Bayaran keahlian gimnasium untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak (tidak termasuk keahlian kelab yang menyediakan kemudahan gimnasium)
  • Bayaran bil bulanan bagi langganan internet yang didaftarkan atas nama individu untuk kegunaan sendiri, pasangan dan anak.

Pelepasan cukai #9 – Pembelian peralatan penyusuan

Pelepasan ini adalah untuk pembayar cukai wanita sahaja yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Merupakan ibu yang menyusukan anak sendiri
  • Perbelanjaan dilakukan atas pembelian peralatan penyusuan untuk kegunaannya bagi menyusukan anaknya yang berumur 2 tahun dan ke bawah.
  • Disokong dengan resit pembelian yang sah.

Peralatan penyusuan ibu yang layak mendapat pelepasan adalah:

  • set pam susu dan pek ais (breast pump kit dan ice pack)
  • bekas pengumpulan dan penyimpanan susu (breast milk collection and storage equipment)
  • set penyejuk atau beg penyejuk (cooler set/bag)

Pelepasan yang diberikan adalah sehingga RM 1,000 dan hanya dibenarkan sekali setiap 2 tahun taksiran.

Pelepasan cukai #10 – Yuran taman asuhan kanak-kanak/tadika

Pelepasan ini adalah layak untuk yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Bagi anak yang berumur 6 tahun ke bawah sahaja.
  • Taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tertakluk pada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
  • Tadika yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)

Jumlah pelepasan maksima adalah terhad kepada RM1,000 sahaja walaupun bilangan anak yang memenuhi syarat-syarat tersebut melebihi satu, dan hanya boleh dituntut oleh seorang sahaja sama ada ibu atau bapa (jika taksiran cukai dibuat secara berasingan).

Pelepasan cukai #11 – Simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Bagi yang membuat tabungan dalam SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus, boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM 6,000

Pelepasan ini adalah terhad kepada jumlah tabungan bersih sahaja, iaitu jumlah simpanan sepanjang 2018 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2017 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Pelepasan cukai #12 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada bekas isteri

Jika isteri tidak bekerja atau mempunyai jumlah pendapatan yang tidak mencapai minimum dikenakan cukai, maka suami boleh menuntut pelepasan ke atas isteri sebanyak RM 4,000

Jika suami pula tidak bekerja atau mempunyai jumlah pendapatan yang tidak mencapai paras minimum, maka isteri juga boleh menuntut pelepasan ke atas suami sebanyak RM 4,000 (dengan syarat hanya seorang isteri sahaja boleh membuat tuntutan jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri)

Jika dibuat taksiran bersama suami isteri, maka jumlah pelepasan sebanyak RM 4,000 boleh dituntut.

Bagi suami yang ada membuat bayaran nafkah/alimoni kepada bekas isteri, maka layak menuntut pelepasan sebanyak yang dibayar atau maksimum RM 4,000

Walaubagaimanapun, bayaran nafkah/alimoni secara sukarela kepada bekas isteri di bawah perjanjian bersama tanpa sebarang perjanjian rasmi tidak layak dituntut sebagai pelepasan cukai.

Pelepasan cukai #13 – Pasangan orang kelainan upaya (OKU)

Pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500 adalah diberikan kepada individu yang mempunyai pasangan (suami atau isteri) yang merupakan OKU yang disahkan.

Pelepasan cukai #14a – Anak di bawah umur 18 tahun

Potongan bagi anak yang belum berkahwin dan berumur di bawah 18 tahun pada bila-bila masa dalam tahun taksiran adalah sebanyak RM2,000 seorang.

Pelepasan cukai #14b – Anak berumur 18 tahun ke atas

Bagi anak/anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan mengikuti pengajian pada tahun taksiran (contohnya kursus matrikulasi, A-Level, sijil kemahiran, persediaan atau pra-ijazah), maka ibu atau bapa layak menuntut pelepasan sebanyak RM 2,000 ke atas seorang anak.

Bagi anak/anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa (seperti diploma, ijazah sarjana muda) di universiti, kolej atau institut pelajaran lain yang serupa dengannya di Malaysia
  • mengikuti kursus sepenuh masa di luar Malaysia di peringkat ijazah (termasuk ijazah di peringkat sarjana atau kedoktoran) atau yang setaraf dengannya
  • berkhidmat di bawah satu ikatan artikel atau indentur untuk memperoleh kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia
  • kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan

maka, ibu atau bapa boleh menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 8,000 ke atas setiap orang anak.

Pelepasan cukai #14c – Anak orang kelainan upaya (OKU)

Jika mempunyai/menjaga anak/anak-anak OKU (sebarang umur), maka boleh ibu atau bapa  boleh menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 bagi setiap orang anak tersebut.

Jika mempunyai/menjaga anak/anak-anak OKU berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa (seperti diploma, ijazah sarjana muda) di universiti, kolej atau institut pelajaran lain yang serupa dengannya di Malaysia
  • mengikuti kursus sepenuh masa di luar Malaysia di peringkat ijazah (termasuk ijazah di peringkat sarjana atau kedoktoran) atau yang setaraf dengannya
  • berkhidmat di bawah satu ikatan artikel atau indentur untuk memperoleh kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia
  • kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan

maka, ibu atau bapa boleh menuntut pelepasan tambahan sebanyak RM 8,000 ke atas setiap orang anak tersebut.

Nota tambahan untuk pelepasan cukai #14a, b & c

Semasa isi e-filing untuk kesemua pelepasan cukai di atas, ambil perhatian akan 3 perkara berikut:

  • Bilangan – Isikan jumlah bilangan anak yang layak dituntut pelepasan sepenuhnya (Kelayakan 100%) atau sebahagiannya (Kelayakan 50%) oleh individu.
  • Kelayakan 100% – Ruang ini untuk diisi oleh individu yang layak menuntut pelepasan anak sepenuhnya.
  • Kelayakan 50% – Ruang ini hanya berkenaan jika dua atau lebih individu (bukan suami isteri yang tinggal bersama) layak menuntut potongan berhubung bayaran yang dibuat ke atas anak yang sama, dan setiap individu tersebut layak menuntut 50% daripada pelepasan yang dibenarkan sebagai potongan. Contohnya apabila berlaku perceraian dan terdapat dua atau lebih individu yang layak menuntut potongan ke atas anak yang sama.
  • Taksiran Berasingan – Individu dan suami / isteri perlu memilih pelepasan ke atas setiap anak yang ingin dituntut masing-masing. Contohnya, Abu dan Siti mempunyai 5 orang anak, maka tuntutan yang boleh dibuat sama ada Abu 5, Siti 0; Abu 4, Siti 1; Abu 3, Siti 2; Abu 2, Siti 3; Abu 1, Siti 4 atau Abu 0, Siti 5.

Pelepasan cukai #15 – Insurans/takaful nyawa dan KWSP

pelepasan cukai pendapatan 2018 efiling 2019

Jika melanggan pelan perlindungan insurans/takaful nyawa yang melindungi diri-sendiri, isteri atau suami (tidak termasuk anak-anak dan ibu bapa), serta mencarum dalam skim KWSP atau kumpulan wang lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (bahagian caruman sendiri), sama ada melalui potongan gaji atau bayaran sendiri, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 6,000 maksimum.

Contohnya, anda mencarum pelan takaful nyawa RM 2,400 setahun dan KWSP RM 6,000 setahun, maka pelepasan yang layak dituntut adalah RM 6,000 sahaja.

Pelepasan cukai #16 – Skim Persaraan Swasta, SPS (Private Retirement Scheme, PRS) atau Anuiti Tertunda (Deferred Annuity)

Bagi yang menyertai atau membuat caruman tambahan ke dalam skim PRS yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti, atau membuat caruman dalam skim anuiti tertunda, maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000 maksimum.

Jumlah yang boleh dituntut adalah berdasarkan caruman bersih ke dalam skim PRS atau bayaran premium bersih ke dalam skim anuiti tertunda yang disertai.

Pelepasan cukai #17 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan

Pelepasan cukai sehingga RM3,000 adalah diberikan bagi bayaran premium insurans/takaful atas polisi pendidikan atau manfaat perubatan untuk diri-sendiri, pasangan atau anak/anak-anak (polisi untuk ibu bapa adalah tidak dikira)

Pelepasan diberikan kepada bayaran melalui potongan gaji, atau pun bayar sendiri tanpa melalui potongan gaji.

Insurans/takaful perubatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)

Pelepasan cukai #18 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Jika ada membuat sumbangan/bayaran/caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), maka layak menuntut pelepasan sehingga RM 250 maksimum.

Penutup

Pelepasan cukai, bersama-sama derma, hadiah dan rebat cukai, dapat membantu pembayar cukai untuk mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.

Oleh itu, buatlah tuntutan pelepasan cukai semaksimumnya mengikut apa yang dibelanjakan pada tahun taksiran.

Dan yang penting, pastikan semua dokumen atau bukti berkaitan seperti resit bayaran dan penyata disimpan dengan baik untuk memudahkan proses pengauditan jika diminta pihak LHDN kelak.

Itu sahaja perkongsian berkenaan pelepasan cukai 2018 bagi efiling 2019 kali ini.

Semoga bermanfaat dan dapat membantu semasa mengisi efiling yang sedang berlangsung sekarang.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya. Terima kasih.

..

5 Kesalahan Cukai Pendapatan Yang Mesti Dielakkan

kesalahan cukai pendapatanBaru-baru ini, semasa blogwalking, saya terjumpa satu artikel menarik di AskLegal.my yang memperkatakan tentang jenis-jenis kesalahan cukai pendapatan yang mesti dielakkan orang ramai.

Jadi, sempena musim isi efiling 2018 yang masih lagi berjalan sekarang, saya rasa amat penting juga untuk kongsikan isi-isi penting daripada artikel tersebut di sini.

Bagi yang nak baca artikel asal tersebut, boleh klik di sini (artikel asal adalah dalam bahasa Inggeris): 5 Common Malaysian Tax Offences

Jom kita lihat jenis-jenis kesalahan cukai pendapatan yang dikisahkan dalam artikel tersebut.

Akta Cukai Pendapatan 1967

Sebelum kita pergi lebih lanjut, saya nak perkenalkan dahulu tentang Akta Cukai Pendapatan 1967.

Akta inilah yang mengandungi undang-undang dan rujukan berkaitan kawalan dan pelaksanaan cukai pendapatan di Malaysia.

Kiranya, akta ini adalah rujukan utama jika nak tahu tentang perkara yang boleh dan tak boleh berkaitan cukai pendapatan.

Akta ini mula digazetkan pada tahun 1967 dan pindaan atau kemaskini terakhir adalah pada tahun 2017 (semasa artikel ini ditulis).

Kalau nak baca, boleh muat turun akta ini di sini: Akta Cukai Pendapatan 1967

kesalahan cukai pendapatan

Jadi, artikel yang saya kongsikan pada kali ini juga adalah daripada akta ini.

Kesalahan cukai pendapatan #1 – Memberi nasihat yang salah

Dalam Seksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967, ada dinyatakan hal ini:

“Any person who assists in, or advises with respect to, the preparation of any return where the return results in an understatement of the liability for tax of another person shall, unless he satisfies the court that the assistance or advice was given with reasonable care, be guilty of an offence..”

Maksudnya, jika seseorang memberi nasihat yang salah berkenaan hal-hal berkaitan cukai pendapatan, yang mana menyebabkan cukai yang dibayar adalah kurang daripada sepatutnya, maka pemberi nasihat boleh dijatuhkan hukuman jika disabitkan bersalah.

Antara contoh-contoh nasihat yang salah adalah:

  • Menggalakkan orang lain menyembunyikan atau tidak mengisytiharkan pendapatan
  • Memberi kenyataan yang tidak benar berkaitan hal-hal cukai pendapatan
  • Sengaja memberikan jawapan yang salah apabila ditanya tentang hal-hal berkaitan cukai pendapatan
  • Membantu menyediakan dokumen-dokumen dan rekod-rekod palsu berkaitan pendapatan dan perbelanjaan
  • Membantu orang lain mengelak dikenakan cukai

Jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini, pesalah boleh didenda antara RM 2,000 hingga RM 20,000 atau dipenjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, jangan memandai-mandai memberikan nasihat berkaitan hal-hal cukai pendapatan, lebih baik semak atau sahkan dahulu maklumat sebelum disampaikan kepada yang lain.

Dan juga, jangan galakkan orang lain untuk tidak bayar cukai atau bayar cukai kurang daripada sepatutnya, kelak boleh binasa diri-sendiri.

Kesalahan cukai pendapatan #2 – Tidak menghantar borang cukai pendapatan/mengisi efiling

Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 ada menyatakan:

“Every person, other than a company, limited liability partnership, trust body or co-operative society to which section 77A applies, shall for each year of assessment furnish to the Director General a return in the prescribed form.”

Maksudnya, setiap orang perlu menghantar borang cukai pendapatan kepada LHDN mengikut cara yang sepatutnya (sekarang adalah melalui efiling)

Bagi yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan, borang perlu dihantar sebelum 30 April setiap tahun, manakala bagi yang mempunyai punca pendapatan perniagaan, tarikh tutup adalah pada 30 Jun setiap tahun.

Tetapi, adakah semua orang perlu isi efiling dan menyerahkan borang cukai pendapatan?

Mengikut seksyen yang sama juga, 2 golongan ini perlu berbuat seperti di atas, iaitu:

  • Jika mempunyai jumlah pendapatan (selepas potongan KWSP) yang layak dikenakan cukai pada tahun taksiran (bagi tahun taksiran 2017, RM 34,212 setahun atau RM 2,851 sebulan; bagi tahun taksiran 2018, RM 37,692 setahun atau RM 3,141 sebulan)
  • Jika tidak mempunyai jumlah pendapatan yang layak dikenakan cukai pada tahun taksiran, tetapi telah serahkan borang cukai pendapatan pada tahun-tahun sebelumnya.

Maksudnya, bagi mereka yang tidak pernah isi efiling dan pendapatan masih tidak layak dikenakan cukai, maka tidak perlu isi efiling dan hantar borang cukai pendapatan.

Tetapi, bagi mereka yang punyai pendapatan layak dikenakan cukai, atau telah isi efiling pada tahun-tahun sebelum ini, maka wajib isi efiling dan hantar borang cukai pendapatan setiap tahun.

Kesalahan cukai pendapatan #3 – Memalsukan atau menyembunyikan jumlah pendapatan

Ini adalah kesalahan yang biasa orang ramai lakukan.

Ingat tak kes artis yang hampir diisytihar bankrap kerana tak isytihar cukai?

Kes tersebut adalah disebabkan oleh kesalahan ini; menyembunyikan, tidak mengisytiharkan atau memalsukan jumlah pendapatan yang diperoleh supaya jumlah cukai yang dikenakan adalah rendah.

Di dalam Seksyen 113(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, jelas dinyatakan:

“Any person who—
(a) makes an incorrect return, information return or report by omitting the information required to be provided in accordance with any rules made under paragraph 154(1)(c) to implement or facilitate the operation of an arrangement having effect under section 132B, on behalf of himself or another person; or
(b) gives any incorrect information in relation to any information required to be provided in accordance with any rules made under paragraph 154(1)(c) to implement or facilitate the operation of an arrangement having effect under section 132B, on behalf of himself or another person,”

Jika didapati bersalah di bawah kesalahan ini, boleh dikenakan denda antara RM 1,000 hingga RM 10,000 dan perlu membayar penalti iaitu 2 kali ganda bayaran cukai yang terkurang bayar.

Oleh itu, pastikan anda tidak menyembunyikan apa-apa pendapatan yang diperoleh dan isytiharkanlah semasa mengisi efiling.

Kesalahan cukai pendapatan #4 – Tidak membayar cukai pendapatan

kesalahan cukai pendapatanAda 2 jenis kesalahan di bawah kesalahan ini; langsung tidak membayar cukai atau lewat membayar cukai (30 April bagi pendapatan tanpa punca perniagaan dan 30 Jun bagi pendapatan dengan punca perniagaan)

Bagi kesalahan tidak membayar cukai, kesalahan adalah di bawah Seksyen 114 Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mana hukumannya adalah denda antara RM 1,000 hingga RM 20,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, di samping perlu membayar denda sebanyak 3 kali ganda jumlah cukai yang tidak dibayar.

Di samping itu juga, di bawah Seksyen 104, mereka yang mengelak membayar cukai boleh dihalang daripada ke luar negara sehinggalah cukai tersebut dibayar.

Jika ingkar arahan dan tetap ke luar negara, boleh didenda antara RM 200 hingga RM 20,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan lewat membayar cukai melebihi tarikh tutup, boleh dikenakan denda tambahan sebanyak 10% daripada jumlah cukai yang patut dibayar.

Jika lewat melebihi 60 hari daripada tarikh tutup, denda tambahan lagi sebanyak 5% boleh dikenakan.

Sebenarnya, jika anda dikenakan jumlah cukai yang tinggi dan tidak mampu membayarnya sekaligus, anda boleh memohon untuk bayar secara ansuran untuk mengelakkan dikenakan penalti lewat bayar.

Kesalahan cukai pendapatan #5 – Tidak menyimpan dokumen-dokumen berkaitan

Seksyen 82A(1) dan (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 menghendaki supaya setiap dokumen berkaitan cukai pendapatan, seperti penyata pendapatan, resit perbelanjaan untuk pelepasan cukai, penyata akaun dan resit bayaran zakat, mesti disimpan selama 7 tahun, malah sehingga 12 tahun.

Ini kerana, dalam tempoh tersebut, pihak LHDN boleh mengaudit anda dan meminta dokumen-dokumen tersebut diserahkan kepada mereka.

Jika gagal menyimpan dan menyerahkan dokumen-dokumen tersebut, boleh dikenakan denda antara RM 300 hingga RM 10,000 atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, pastikan apa-apa yang dinyatakan dalam borang cukai pendapatan adalah disokong oleh dokumen yang berkenaan, dan semua dokumen hendaklah disimpan dengan baik untuk tempoh 7 ke 12 tahun.

Penutup

Mengisi borang cukai pendapatan menerusi efiling dan juga membayar cukai adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan baik.

Cukai yang dibayar adalah untuk kesejahteraan negara dan rakyat juga.

Pada masa sama, banyak peraturan berkaitan cukai pendapatan perlu diketahui dan dipatuhi, agar tidak terbuat kesalahan sama ada secara sengaja atau pun tidak.

Akhir kata, selamat mengisi efiling dan membayar cukai!

kesalahan cukai pendapatan

..