5 Kesalahan Cukai Pendapatan Yang Mesti Dielakkan

kesalahan cukai pendapatanBaru-baru ini, semasa blogwalking, saya terjumpa satu artikel menarik di AskLegal.my yang memperkatakan tentang jenis-jenis kesalahan cukai pendapatan yang mesti dielakkan orang ramai.

Jadi, sempena musim isi efiling 2018 yang masih lagi berjalan sekarang, saya rasa amat penting juga untuk kongsikan isi-isi penting daripada artikel tersebut di sini.

Bagi yang nak baca artikel asal tersebut, boleh klik di sini (artikel asal adalah dalam bahasa Inggeris): 5 Common Malaysian Tax Offences

Jom kita lihat jenis-jenis kesalahan cukai pendapatan yang dikisahkan dalam artikel tersebut.

Akta Cukai Pendapatan 1967

Sebelum kita pergi lebih lanjut, saya nak perkenalkan dahulu tentang Akta Cukai Pendapatan 1967.

Akta inilah yang mengandungi undang-undang dan rujukan berkaitan kawalan dan pelaksanaan cukai pendapatan di Malaysia.

Kiranya, akta ini adalah rujukan utama jika nak tahu tentang perkara yang boleh dan tak boleh berkaitan cukai pendapatan.

Akta ini mula digazetkan pada tahun 1967 dan pindaan atau kemaskini terakhir adalah pada tahun 2017 (semasa artikel ini ditulis).

Kalau nak baca, boleh muat turun akta ini di sini: Akta Cukai Pendapatan 1967

kesalahan cukai pendapatan

Jadi, artikel yang saya kongsikan pada kali ini juga adalah daripada akta ini.

Baca juga:  10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia

Kesalahan cukai pendapatan #1 – Memberi nasihat yang salah

Dalam Seksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967, ada dinyatakan hal ini:

“Any person who assists in, or advises with respect to, the preparation of any return where the return results in an understatement of the liability for tax of another person shall, unless he satisfies the court that the assistance or advice was given with reasonable care, be guilty of an offence..”

Maksudnya, jika seseorang memberi nasihat yang salah berkenaan hal-hal berkaitan cukai pendapatan, yang mana menyebabkan cukai yang dibayar adalah kurang daripada sepatutnya, maka pemberi nasihat boleh dijatuhkan hukuman jika disabitkan bersalah.

Antara contoh-contoh nasihat yang salah adalah:

  • Menggalakkan orang lain menyembunyikan atau tidak mengisytiharkan pendapatan
  • Memberi kenyataan yang tidak benar berkaitan hal-hal cukai pendapatan
  • Sengaja memberikan jawapan yang salah apabila ditanya tentang hal-hal berkaitan cukai pendapatan
  • Membantu menyediakan dokumen-dokumen dan rekod-rekod palsu berkaitan pendapatan dan perbelanjaan
  • Membantu orang lain mengelak dikenakan cukai

Jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini, pesalah boleh didenda antara RM 2,000 hingga RM 20,000 atau dipenjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, jangan memandai-mandai memberikan nasihat berkaitan hal-hal cukai pendapatan, lebih baik semak atau sahkan dahulu maklumat sebelum disampaikan kepada yang lain.

Dan juga, jangan galakkan orang lain untuk tidak bayar cukai atau bayar cukai kurang daripada sepatutnya, kelak boleh binasa diri-sendiri.

Kesalahan cukai pendapatan #2 – Tidak menghantar borang cukai pendapatan/mengisi efiling

Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 ada menyatakan:

“Every person, other than a company, limited liability partnership, trust body or co-operative society to which section 77A applies, shall for each year of assessment furnish to the Director General a return in the prescribed form.”

Maksudnya, setiap orang perlu menghantar borang cukai pendapatan kepada LHDN mengikut cara yang sepatutnya (sekarang adalah melalui efiling)

Bagi yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan, borang perlu dihantar sebelum 30 April setiap tahun, manakala bagi yang mempunyai punca pendapatan perniagaan, tarikh tutup adalah pada 30 Jun setiap tahun.

Tetapi, adakah semua orang perlu isi efiling dan menyerahkan borang cukai pendapatan?

Mengikut seksyen yang sama juga, 2 golongan ini perlu berbuat seperti di atas, iaitu:

  • Jika mempunyai jumlah pendapatan (selepas potongan KWSP) yang layak dikenakan cukai pada tahun taksiran (bagi tahun taksiran 2017, RM 34,212 setahun atau RM 2,851 sebulan; bagi tahun taksiran 2018, RM 37,692 setahun atau RM 3,141 sebulan)
  • Jika tidak mempunyai jumlah pendapatan yang layak dikenakan cukai pada tahun taksiran, tetapi telah serahkan borang cukai pendapatan pada tahun-tahun sebelumnya.

Maksudnya, bagi mereka yang tidak pernah isi efiling dan pendapatan masih tidak layak dikenakan cukai, maka tidak perlu isi efiling dan hantar borang cukai pendapatan.

Tetapi, bagi mereka yang punyai pendapatan layak dikenakan cukai, atau telah isi efiling pada tahun-tahun sebelum ini, maka wajib isi efiling dan hantar borang cukai pendapatan setiap tahun.

Kesalahan cukai pendapatan #3 – Memalsukan atau menyembunyikan jumlah pendapatan

Ini adalah kesalahan yang biasa orang ramai lakukan.

Ingat tak kes artis yang hampir diisytihar bankrap kerana tak isytihar cukai?

Kes tersebut adalah disebabkan oleh kesalahan ini; menyembunyikan, tidak mengisytiharkan atau memalsukan jumlah pendapatan yang diperoleh supaya jumlah cukai yang dikenakan adalah rendah.

Di dalam Seksyen 113(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, jelas dinyatakan:

“Any person who—
(a) makes an incorrect return, information return or report by omitting the information required to be provided in accordance with any rules made under paragraph 154(1)(c) to implement or facilitate the operation of an arrangement having effect under section 132B, on behalf of himself or another person; or
(b) gives any incorrect information in relation to any information required to be provided in accordance with any rules made under paragraph 154(1)(c) to implement or facilitate the operation of an arrangement having effect under section 132B, on behalf of himself or another person,”

Jika didapati bersalah di bawah kesalahan ini, boleh dikenakan denda antara RM 1,000 hingga RM 10,000 dan perlu membayar penalti iaitu 2 kali ganda bayaran cukai yang terkurang bayar.

Oleh itu, pastikan anda tidak menyembunyikan apa-apa pendapatan yang diperoleh dan isytiharkanlah semasa mengisi efiling.

Baca juga:  Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2018 Untuk eFiling 2019

Kesalahan cukai pendapatan #4 – Tidak membayar cukai pendapatan

kesalahan cukai pendapatanAda 2 jenis kesalahan di bawah kesalahan ini; langsung tidak membayar cukai atau lewat membayar cukai (30 April bagi pendapatan tanpa punca perniagaan dan 30 Jun bagi pendapatan dengan punca perniagaan)

Bagi kesalahan tidak membayar cukai, kesalahan adalah di bawah Seksyen 114 Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mana hukumannya adalah denda antara RM 1,000 hingga RM 20,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, di samping perlu membayar denda sebanyak 3 kali ganda jumlah cukai yang tidak dibayar.

Di samping itu juga, di bawah Seksyen 104, mereka yang mengelak membayar cukai boleh dihalang daripada ke luar negara sehinggalah cukai tersebut dibayar.

Jika ingkar arahan dan tetap ke luar negara, boleh didenda antara RM 200 hingga RM 20,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan lewat membayar cukai melebihi tarikh tutup, boleh dikenakan denda tambahan sebanyak 10% daripada jumlah cukai yang patut dibayar.

Jika lewat melebihi 60 hari daripada tarikh tutup, denda tambahan lagi sebanyak 5% boleh dikenakan.

Sebenarnya, jika anda dikenakan jumlah cukai yang tinggi dan tidak mampu membayarnya sekaligus, anda boleh memohon untuk bayar secara ansuran untuk mengelakkan dikenakan penalti lewat bayar.

Kesalahan cukai pendapatan #5 – Tidak menyimpan dokumen-dokumen berkaitan

Seksyen 82A(1) dan (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 menghendaki supaya setiap dokumen berkaitan cukai pendapatan, seperti penyata pendapatan, resit perbelanjaan untuk pelepasan cukai, penyata akaun dan resit bayaran zakat, mesti disimpan selama 7 tahun, malah sehingga 12 tahun.

Ini kerana, dalam tempoh tersebut, pihak LHDN boleh mengaudit anda dan meminta dokumen-dokumen tersebut diserahkan kepada mereka.

Jika gagal menyimpan dan menyerahkan dokumen-dokumen tersebut, boleh dikenakan denda antara RM 300 hingga RM 10,000 atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, pastikan apa-apa yang dinyatakan dalam borang cukai pendapatan adalah disokong oleh dokumen yang berkenaan, dan semua dokumen hendaklah disimpan dengan baik untuk tempoh 7 ke 12 tahun.

Penutup

Mengisi borang cukai pendapatan menerusi efiling dan juga membayar cukai adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan baik.

Cukai yang dibayar adalah untuk kesejahteraan negara dan rakyat juga.

Pada masa sama, banyak peraturan berkaitan cukai pendapatan perlu diketahui dan dipatuhi, agar tidak terbuat kesalahan sama ada secara sengaja atau pun tidak.

Akhir kata, selamat mengisi efiling dan membayar cukai!

kesalahan cukai pendapatan

..

Baca juga:  Kadar Zakat Fitrah 2017 Bagi Setiap Negeri Di Malaysia

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

4 Comments

  1. Naziman Azlye

    Terima kasih berkongsi. kesalahan no 1 biasa orang buat sebab salah faham. Takut dikejar LHDN.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Ya, betul tu. Sebenarnya, tak perlu pun takut dengan LHDN kalau buat semua dengan betul. Kalau ada buat salah, itu yang perlu takut.

      Reply
  2. Mali

    Macam mana kalau tersalah isi…sebab pertama kali buat melalui online..sebab tersalah isi e-filling kena byrHASIL…boleh cancel dan kemas kini balik??

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Ya, boleh. Boleh rujuk di sini: Pindaan Selepas Penghantaran Borang

      Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini