Tips Pelaburan Emas Untuk Pemula

tips pelaburan emasKali ini saya nak tulis tentang tips pelaburan emas, sebab dapat dilihat sekarang minat terhadap pelaburan emas meningkat semula lebih-lebih lagi selepas tempoh PKP baru-baru ini.

Gelombang ini sama seperti tahun 2011 dan juga 2016; ramai minat nak buat pelaburan emas.

Mungkin disebabkan harga emas sekarang yang tinggi.

Lihat sahaja carta harga emas daripada goldprice.org di bawah, sekarang harga emas berada sekitar paras tertinggi bagi tempoh 20 tahun lepas.

harga emas 2020

Harga emas di Malaysia sekarang lebih RM 250 per gram.

Teringat saya semasa melabur emas dulu pada tahun 2011, pada waktu itu lebih kurang RM 170 per gram sahaja.

Atas sebab inilah, pelaburan emas kembali menarik minat orang ramai.

Bagi yang nak mula melabur dengan ‘besi kuning berkilau’ ini, beberapa tips pelaburan emas saya berikan:

#1 – Harga sentiasa berubah

Sama seperti pelaburan-pelaburan lain, pelaburan emas juga tidak terkecuali dengan naik turun harga.

Lihat sahaja carta harga emas di atas.

Harga emas menaik dari tahun 2000 ke 2012, kemudian menurun sedikit pada 2013 dan 2014, sebelum mendaki semula pada 2015 hingga 2017.

Kemudian harga emas menurun semula sekitar 2018 dan 2019, sebelum meroket sehingga sekarang.

Apa yang boleh disimpulkan, harga emas ada naik turunnya.

Jangan sangka akan terus naik dan naik tanpa turun.

Jadi, jika nak sertai pelaburan emas, jangan terlalu ghairah tika kenaikan harga sampai terbayangkan yang harga akan terus naik dan naik, akan terus untung dan untung.

Dan ingat juga apabila harga turun, jangan cepat gelabah sehingga jual semua emas yang ada.

Yang penting, kena ada strategi dan tetapkan objektif dalam pelaburan; yang ini kena belajar daripada sifu-sifu pelaburan emas.

#2 – Pilih cara pelaburan yang sah

Sekitar tahun 2011 dahulu, banyak skim cepat kaya yang kononnya berteraskan pelaburan emas muncul.

Macam-macam teknik yang diperkenalkan.

Malah baru-baru ini, ada berita tentang individu dan syarikat yang menganjurkan skim pelaburan emas palsu telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

Ringkasnya, jika nak buat pelaburan emas, buat secara sah dan betul.

Pastikan beli emas dapat emas, bukan sertai skim-skim yang mengarut.

Ada banyak cara untuk terlibat dalam pelaburan emas, sama ada beli emas fizikal, akaun emas atau unit amanah emas.

Emas fizikal boleh dibeli contohnya di PublicGold, Pump Suisse dan kedai-kedai emas.

Akaun simpanan emas contohnya seperti Maybank, Kuwait Finance House dan Public Bank.

Unit amanah emas contohnya AmPrecious Metal dan RHB Gold Fund.

Malah, kalau di pasaran saham, boleh beli saham syarikat-syarikat yang terlibat dalam urusniaga emas.

Semua ini adalah cara pelaburan emas yang sah.

Baca juga:  Kenapa Perlu Tahu Cara Kira Pulangan Pelaburan?

#3 – Jenis emas fizikal

Emas fizikal boleh wujud dalam bentuk jongkong emas, syiling emas dan juga perhiasan emas seperti gelang, rantai dan cincin.

Jadi, boleh pilih mana-mana jenis emas ini sebagai alat pelaburan.

Setiapnya ada kelebihan dan kekurangannya.

Contohnya, kalau beli perhiasan emas sebagai pelaburan, memanglah seronok sebab boleh dipakai dan ditunjuk kepada orang ramai.

Tetapi, harga belinya termasuk sekali caj atau upah design perhiasan tersebut, maka harganya lebih tinggi dan perlukan modal lebih.

Kalau jongkong emas dan syiling emas pula, harganya lebih murah berbanding barang kemas yang setara, tapi tidak boleh dipakai pula.

Sebagai tips pelaburan emas, pilih jenis emas yang memenuhi objektif pelaburan kita,

Kalau nak beli emas untuk dipakai sambil melabur, pilih barang perhiasan emas.

Kalau memang nak beli emas semata-mata untuk pelaburan, pilih jongkong atau syiling emas.

#4 – Kualiti emas

Emas ada banyak kualiti, antaranya 999, 916 dan 850

Sebagai pelabur emas, kena tahu tentang kualiti emas ini.

Jangan beli semberono sahaja.

Emas 999 paling berkualiti kerana hampir 100% emas, tapi paling ‘sensitif’

Kalau terjatuh atau terhentak kuat, emas mudah rosak yang mana akan menjejaskan kualiti serta nilainya.

Malah, ada syarikat yang tidak akan beli emas yang telah rosak, tercalar atau terserpih.

Jadi, perlu diberi perhatian kepada kualiti emas yang hendak disimpan.

#5 – Spread harga

Bagi yang nak buat pelaburan emas, perlu tahu tentang spread harga beli dan jual emas.

Contohnya seperti di bawah:

pelaburan emas harga emas malaysia 2020

Jika beli 10 g jongkong emas pada waktu tersebut, harganya adalah RM 2,769

Jika terus jual emas tersebut, harganya akan menjadi lebih rendah iaitu RM 2,520

Jadi, kalau boleh, cari penjual emas yang menjual dan membeli harga dalam spread harga yang sedikit sahaja.

Senang untuk jual emas pada harga lebih baik.

#6 – Tempat simpan

Apabila terlibat dalam pelaburan emas, terutamanya emas fizikal, perlulah fikir tentang tempat penyimpanan emas tersebut.

Ya lah, apabila jumlah emas yang disimpan semakin bertambah, kenalah simpan di tempat yang selamat.

Kalau simpan sahaja di rumah di dalam almari, berisiko juga untuk hilang sekiranya rumah diceroboh.

Kalau simpan di peti keselamatan bank, perlu keluarkan kos pula.

Jadi, fikirlah cara penyimpanan emas yang terbaik.

Baca juga:  Panduan Memilih Peluang Pelaburan Terbaik

#7 – Jual emas

Apabila buat pelaburan emas, takkanlah nak simpan emas tersebut sampai bila-bila.

Sampai satu masa, emas perlu dijual juga untuk dapatkan hasil pelaburan tersebut.

Lagipun emas tidak berikan dividen, jadi kalau nak untung, hanya dengan cara jualkannya sahaja.

Beli semasa harga rendah, jual semasa harga tinggi, barulah untung.

Tapi, bila dan di mana nak jual?

Perkara ini juga perlu difikirkan bagi yang nak terlibat dengan pelaburan emas.

Kena tetapkan objektif, berapa anggaran keuntungan yang dikehendaki sebelum emas dijual.

Kalau jual di kedai emas, ada kedai yang ambil pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Kalau jual kepada syarikat pengeluar emas, kena bandingkan harga beli mereka supaya dapat harga yang terbaik.

Tetapi, ada syarikat yang hanya menerima emas keluaran mereka sahaja.

Apa-apa pun, yang penting, jual pada dan di tempat yang memberikan keuntungan paling optimum.

#8 – Kepatuhan syariah

Emas adalah item ribawi, maka berjual beli dengan emas perlulah mematuhi syarat-syarat tertentu supaya patuh syariah.

Ringkasnya, transaksi jual beli dan pelaburan emas hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman.

Hendaklah mematuhi garis panduan muamalat emas yang dikeluarkan pihak JAKIM.

Contohnya, emas yang hendak dibeli perlulah ada dan diketahui jenis dan sifatnya, bukan baru nak ditempa/tempah.

Lagi, harga emas mestilah jelas dan tidak berubah-ubah semasa pembelian dibuat.

Pembayaran dan pemberian emas kepada pembeli pula hendaklah berlaku dalam tempoh masa yang dibenarkan.

Kiranya, urusan jual beli emas hendaklah dilakukan dengan berhati-hati agar kepatuhan syariah dipatuhi.

Kalau buat pelaburan emas melalui akaun pelaburan emas, atau unit trust emas, pastikan juga pilih akaun dan dana yang patuh syariah.

#9 – Zakat emas

Sebagai orang Islam, kita diwajibkan mengeluarkan zakat emas jika emas yang disimpan cukup tempoh (1 tahun Hijrah) dan jumlahnya.

Sebagai panduan, bagi emas yang dipakai (biasanya dalam bentuk barang kemas seperti rantai, cincin dan gelang), jumlah untuk diwajibkan zakat emas adalah 800 gram (bagi Wilayah Persekutuan, jumloah ikut negeri masing-masing)

Bagi emas yang tidak dipakai pula seperti jongkong emas dan barang kemas yang disimpan, jumlahnya adalah 85 gram.

Kadar zakat adalah 2.5% daripada jumlah emas.

Boleh rujuk pusat zakat negeri untuk cara pengiraan zakat emas.

#10 – Diversify pelaburan

Ayat cliche pelaburan, “Jangan letak semua telur dalam satu bakul, kalau jatuh, habis semua pecah”

Begitu jugalah dengan pelaburan, jangan tumpukan kepada satu jenis pelaburan sahaja.

Jangan laburkan semua duit kita kepada pelaburan emas sahaja.

Tiap-tiap masa asyik beli emas sahaja.

Pelbagaikan pelaburan; emas, saham, hartanah, unit amanah.

Tetapi, janganlah pula terlalu diversify sampai tak boleh fokus.

Nasihatnya, pelbagaikan jenis pelaburan tetapi fokus kepada pelaburan-pelaburan yang kita faham, minat dan mahir.

Dan paling penting, memberikan keuntungan.

Penutup

Itulah sahaja serba sedikit tips pelaburan emas.

Secara peribadi, saya pernah terlibat dengan pelaburan emas sekitar tahun 2011 dahulu.

Selepas beberapa tahun dan harga pasarannya dapat memberikan sedikit keuntungan, saya jual emas yang saya simpan.

Bagi saya, pelaburan emas sesuai untuk mereka yang nak melabur untuk tempoh sederhana dan panjang.

Sebabnya, seperti yang saya katakan di atas, harga emas ada naik dan turun.

Jika nak melabur dalam tempoh masa singkat, takut masa nak jual itu, harganya sedang jatuh pula.

Kan dah rugi.

Sama juga seperti pelaburan yang lain, pelaburan emas juga perlukan kesabaran dan teknik yang betul.

Kena ada ilmu, bukan setakat ikut-ikutan orang lain.

Pastikan anda memahami betul-betul tentang pelaburan emas sebelum terjebak dengannya.

Sekian.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

Baca juga:  Panduan Pelaburan Saham: Berapa Modal Pelaburan Saham?

perancang harta pusaka islam islamic estate planner

Saya merupakan Perancang Harta Pusaka Islam (Islamic Estate Planner, IEP) yang bernaung di bawah syarikat as-Salihin Trustee Berhad (AST). Saya sedia membantu dalam perancangan harta pusaka anda; penulisan wasiat, pentadbiran harta pusaka, perjanjian aset perolehan bersama, deklarasi hibah, amanah hayat dan amanah insurans/takaful. Boleh hubungi saya di 013-9798719 (klik di sini untuk terus hubungi saya)

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini