Tag Archive: takaful

Mitos Perlindungan Takaful Yang Mesti Diperbetulkan

mitos perlindungan takafulWalaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memberi penerangan berkenaan manfaat dan kelebihan perlindungan takaful, namun masih ramai yang percaya terhadap banyak mitos perlindungan takaful yang merupakan fakta-fakta yang salah.

Wujudnya mitos-mitos ini menyebabkan persepsi yang salah terhadap perlindungan takaful yang mana secara tidak langsung menghalang orang ramai daripada mendapat manfaat dan kelebihannya.

Sebagai contoh, mengikut laporan sebuah akhbar baru-baru ini, hanya 56% daripada rakyat Malaysia yang memiliki polisi perlindungan insurans takaful kerana kurang kesedaran berkenaan kepentingannya.

Satu angka yang rendah.

Untuk perkongsian kali ini, saya nak berkongsi beberapa mitos perlindungan takaful yang salah dan mesti diperbetulkan supaya tiada lagi salah tanggapan yang berlaku.

Perkongsian kali ini diambil daripada post Tuan Afyan Mat Rawi di FB profile beliau baru-baru ini.

Kalau nak baca post asal, boleh klik di sini: https://www.facebook.com/afyan.ikhlas/posts/10214028595939673

Jom kita lihat satu per satu mitos perlindungan takaful yang sering diperkatakan orang ramai.

mitos perlindungan takaful

Mitos perlindungan takaful

Produk takaful antara produk kewangan yang paling banyak orang salah faham dan ada banyak mitos.

Berbanding dengan produk-produk kewangan lain yang ada di pasaran, seperti akaun simpanan, pembiayaan hartanah, pembiayaan kereta, kad kredit, unit amanah, ASB financing, dan lain-lain, produk takaful (dan juga insurans) adalah produk yang paling banyak masyarakat awam salah faham disebabkan ada banyak NOTIS.

Berikut contoh-contoh salah faham dan mitos perlindungan takaful yang sering berlegar:

Mitos #1 – Takaful lebih baik daripada akaun bank sebab akaun bank hanya ada simpanan manakala takaful ada simpanan dan perlindungan.

Puncanya apabila ejen mempromosi dengan membuat perbandingan tidak adil antara takaful dengan bank. Siap buat jadual perbandingan. Hakikatnya kedua-dua simpanan dan perlindungan takaful mempunyai fungsi dan tujuan berbeza.

Mitos #2 – Medical card dengan simpanan (atau medical card rider) lebih baik daripada medical card stand alone.

Selalunya ejen yang mempromosi begini ialah ejen yang hanya tahu satu jenis produk sahaja. Kedua-kedua ada kelebihan tersendiri.

Mitos #3 – Kalau tak berlaku apa-apa, boleh dapat balik duit yang dicarum.

Celah manalah duit bayaran sumbangan takaful boleh dapat balik? Ini juga rentetan daripada mitos pertama dan kedua. Yang ada hanyalah nilai tunai atau cash value. Ini adalah istilah yang lebih tepat (cash value atau nilai tunai) dan ia TIDAK ADA JAMINAN. Anggap sahaja ia tidak ada, dan kalau ada ia adalah bonus. Ini lebih menenangkan fikiran berbanding kita mengharapkan duit balik kalau tidak berlaku apa-apa musibah.

Mitos #4 – Bayaran sumbangan medical card rider yang sekali dengan saving dan investment tidak akan meningkat sebagaimana medical card stand alone.

Ini mitos yang cukup popular 6-7 tahun lepas apabila produk medical card takaful muncul dalam pasaran. Selepas 4-5 tahun, klien mula bising apabila menerima notis kenaikan harga. Ketahuilah, dalam sejarah medical card termasuk insurans konvensional, belum ada medical card yang tidak berlaku kenaikan harga.

Mitos #5 – Produk takaful yang mahal lebih baik daripada produk takaful yang murah.

Ini satu lagi mitos sesetengah ejen dakyahkan. Produk takaful bukan macam beli barang seperti kereta, jam dan lain-lain. Ia berdasarkan keperluan kewangan. Yang penting ialah perlindungan dan bajet yang sesuai dengan keperluan.

Mitos #6 – Pilih takaful yang ada jenama (brand).

Ini sama macam mitos #4. Kita langgan takaful sebab mahukan perlindungan. Jika kita meninggal dunia, waris tidak tanya apa brand takaful yang kita ambil, tapi waris akan tanya berapa coverage yang kita ambil, berapa mereka akan dapat.

Mitos #7 – Membazir bayar takaful tapi tak berlaku apa-apa.

Dalam dunia, hanya Firaun sahaja yang tak pernah sakit sampai dia mengaku Tuhan. Manusia biasa tidak akan lari daripada jatuh sakit. Dan yang pasti, akhirnya akan meninggal dunia.

Jadi, ambillah polisi takaful sampai umur 100. InsyaAllah sebelum umur 100 akan sempat claim dan boleh cover balik sumbangan selama ini. Tak percaya cuba kira.

Mitos #8 – Sama sahaja takaful dengan insurans.

Jika di kalangan orang awam, salah faham ini berpunca daripada kurangnya kesedaran kewangan Islam. Perbezaan yang paling nyata kedua-duanya ialah kontrak.

Namun ada juga sesetengah ejen yang mempromosi sedemikian. Selalunya dalam kalangan ejen insurans konvensional atau ejen takaful yang boleh mempromosikan takaful dan insurans konvensional serentak.

Mitos #9 – Takaful penipu! Masa sign manis mulut, tapi masa claim susah bukan main.

Tidak dinafikan memang terdapat kes-kes viral apabila pelanggan gagal membuat tuntutan terhadap polisi takaful. Banyak juga kes claim yang ditolak disebabkan penyakit sedia ada.

Jadi, dinasihatkan agar pelanggan memastikan maklumat yang betul didedahkan dalam borang takaful terutama bab kesihatan. Seterusnya membaca terma dan syarat polisi sebaik sahaja terima polisi. Pelanggan ada tempoh bertenang 14 hari untuk membuat semakan dan batalkan jika tidak berpuas hati.

Mitos #10 – Syarikat takaful kapitalis, Yahudi, Israel, Zionis! Hanya terima pelanggan yang sihat sahaja. Sepatutnya bantulah orang yang sakit.

Saudara, nama pun “syarikat takaful”. Syarikat takaful adalah entiti perniagaan dan bukan badan kebajikan. Memang model bisnes takaful adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai menyertai plan takaful ketika sihat dan menerima bantuan kewangan apabila sakit atau ditimpa musibah.

Sebab, ada kiraannya yang dipanggil sebagai aktuari untuk membuat pengiraan risiko yang diuruskan oleh pihak syarikat takaful apabila sesuatu produk dilancarkan. Ada jangkaan peratusan tertentu yang akan claim. Jika syarikat takaful menerima orang sakit, alamatnya ia tidak akan bertahan lama sebab confirm 100% akan claim.

Kalaulah takaful boleh dibuka kepada semua orang tanpa kira faktor kesihatan, orang yang pertama akan langgan takaful ialah orang mati. Dapat claim terus lepas tandatangan borang takaful.

Mitos #11 – Ada syarikat takaful yang tak patuh syariah.

Semua syarikat takaful mempunyai penasihat syariah yang akan memantau produk-produk takaful sebelum dipasarkan. Pemantauan patuh syariah sekurang-kurangnya ada 3 peringkat; dari peringkat pegawai pematuhan syariah, kemudian penasihat syariah, seterusnya audit syariah daripada Bank Negara Malaysia. Jadi, semua syarikat takaful adalah patuh syariah.

Posted by INFAQ Consultancy on Thursday, 30 November 2017

15 jenis salah tanggapan pada perlindungan takaful

Selain perkongsian daripada Tuan Afyan Mat Rawi, Tuan Farez turut berkongsi tentang mitos perlindungan takaful di FB page beliau.

Boleh ikuti perkongsian asal beliau dengan klik di sini: https://www.facebook.com/myikhlaspage/posts/519873955057744

#1 Menganggap perlindungan takaful ini merugikan sekiranya dirinya sentiasa sihat, masih muda dan tiada siapa pun di dalam keluarganya yang melanggan takaful.

#2 Menganggap perlindungan takaful ini adalah satu beban kewangan tambahan yang tidak perlu diberikan “priority” dalam kehidupan.

#3 Menganggap perlindungan takaful ini mahal dan masih bertangguh atau berharap akan wujudnya suatu pelan yang murah pada masa akan datang.

#4 Menganggap perlindungan takaful ini adalah cukup dengan melanggan “medical card” semata-mata tanpa mengira perlindungan pendapatan atau “Income Protection” untuk dirinya.

#5 Menganggap perlindungan takaful ini adalah perkara yang perlu dilanggan sekali sahaja seumur hidup tanpa perlu ada penyemakkan semula.

#6 Menganggap perlindungan takaful dari mana-mana syarikat takaful pun semuanya sama sahaja dan tidak perlu untuk membuat sebarang perbandingan sebelum melanggan.

#7 Menganggap perlindungan takaful dari sesebuah jenama syarikat takaful itu menentukan perlindungan yang terbaik bagi dirinya.

#8 Menganggap perlindungan takaful ini adalah suatu penipuan di mana perunding dan syarikat takaful itu hanya mementingkan bayaran caruman dan akan sentiasa mengelak dari meluluskan bayaran pampasan kepada pelanggan.

#9 Menganggap perlindungan takaful yang diceritakan oleh seseorang perunding takaful itu semuanya benar belaka tanpa perlu membaca polisi dan memahami isi kandungannya.

#10 Menganggap perlindungan takaful yang dibayar hari ini tidak akan berubah nilai carumannya dan caruman takaful juga adalah cara baru untuk membuat simpanan atau pelaburan.

#11 Menganggap perlindungan takaful ini hanya perlu dilanggan sekadar “ada” sahaja dan bukanlah untuk dilanggan dan diteliti sebagai perancangan kewangan masa hadapan.

#12 Menganggap perlindungan takaful dan insurans konvensional itu sama sahaja patuh syariahnya, yang penting ambil sahaja yang murah.

#13 Menganggap perlindungan takaful itu hanya perlu diambil oleh si suami manakala perlindungan untuk isteri dan anak-anak adalah suatu yang membazir.

#14 Menganggap perlindungan takaful yang mahal carumannya itu pasti akan memberikan jumlah pampasan yang tinggi, apatah lagi sekiranya ianya datang dari syarikat takaful yang berjenama besar.

#15 Menganggap perlindungan takaful itu hanya akan diambil apabila sampai “seru” nanti.

Penutup

Jadi, sekarang, bagaimana?

Diharapkan segala mitos, salah faham dan tanggapan berkaitan perlindungan takaful yang berlegar-legar dalam fikiran kita dapat dihapuskan.

Perlindungan takaful memang banyak manfaat dan kelebihannya jika diambil dengan betul untuk tujuan yang betul.

Rugi kalau meminggirkan takaful hanya kerana salah tanggapan kita.

Sebagai penutup, saya kongsikan artikel berkaitan tajuk kali ini yang diterbitkan di dalam akhbar Kosmo pada 22 November yang lalu.

Boleh baca di sini: Salah tanggapan pada perlindungan insurans takaful

mitos perlindungan takaful

mitos perlindungan takaful

mitos perlindungan takaful

Diharapkan perkongsian kali ini memberi manfaat kepada anda.

p/s: Jangan lupa untuk KONGSIKAN artikel ini di laman sosial ya!

..

Cara Dapatkan Perlindungan Insurans Takaful Murah

perlindungan insurans takaful murahNak dapatkan perlindungan insurans takaful murah untuk diri-sendiri?

Semua orang sudah semestinya mahukan perlindungan insurans takaful yang menyediakan jumlah perlindungan yang tinggi, tetapi pada masa yang sama turut mahukan bayaran yang rendah.

Bayar rendah, tetapi jumlah perlindungan tinggi.

Memang best, bukan?

Tetapi, wujudkah perlindungan insurans takaful murah sebegitu?

Sebenarnya, sukar untuk menentukan sama ada sesuatu pelan perlindungan insurans takaful itu murah atau mahal.

Sebabnya, kadar bayaran bagi sesuatu pelan perlindungan insurans takaful adalah berbeza antara setiap orang.

Individualized.

Bayaran yang dikenakan dipengaruhi oleh banyak faktor yang disumbangkan oleh setiap individu.

Faktor-faktor ini pula akan menentukan risiko-risiko yang ditanggung oleh syarikat penyedia.

Apabila kita mengambil perlindungan insurans takaful, kita sebenarnya ‘memindahkan’ risiko yang ditanggung diri-sendiri kepada syarikat penyedia insurans takaful.

Syarikat penyedia yang menerima risiko tersebut akan menyediakan perlindungan jika sebarang musibah menimpa.

Semakin banyak risiko yang dipindahkan, atau semakin banyak risiko yang ditanggung oleh syarikat penyedia insurans takaful, maka sudah tentu semakin tinggi kadar bayaran yang dikenakan.

Jadi, ada atau tidak cara untuk dapatkan perlindungan insurans takaful murah tanpa menyebabkan komitmen bayaran yang tinggi?

Ya, ada caranya, iaitu dengan ‘mengawal’ faktor-faktor yang mempengaruhi kadar bayaran pelan perlindungan insurans takaful yang ingin diambil.

Apakah faktor-faktor tersebut?

Jom kita lihat satu per satu.

Faktor #1 – Jumlah perlindungan

Semakin tinggi jumlah perlindungan yang diambil, sudah tentu semakin tinggi bayaran yang perlu dikeluarkan.

Simple.

Bagi pelan yang sama, kadar bayaran perlindungan sebanyak RM 1 juta mesti lebih tinggi berbanding perlindungan RM 500,000

Maka, untuk dapatkan perlindungan insurans takaful murah, kenalah buat kira-kira dahulu berapa jumlah perlindungan optima yang diperlukan supaya tidak terlebih mengambil perlindungan (over-insured)

Pada masa yang sama juga, janganlah terlalu mengharapkan bayaran yang murah sehingga mengambil jumlah perlindungan yang terlalu rendah (under-insured)

Over-insured menyebabkan pembaziran, under-insured menyebabkan perlindungan yang diambil tidak mencukupi.

Bagaimana nak tahu jumlah perlindungan optima yang diperlukan?

Ada banyak cara kiraan, tetapi yang paling mudah adalah dengan mendarabkan jumlah pendapatan tahunan dengan 10.

Contohnya, andai kata jumlah pendapatan adalah RM 50,000 setahun, maka jumlah perlindungan optima yang diperlukan adalah RM 500,000

Dengan jumlah perlindungan sebanyak itu, sekurang-kurangnya jumlah pampasan yang diperoleh adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan selama 10 tahun sekiranya berlaku apa-apa musibah.

Faktor #2 – Jenis risiko yang dilindungi

perlindungan insurans takaful murahInsurans takaful diwujudkan sebagai instrumen perlindungan, dan risiko-risiko asas yang perlu dilindungi adalah kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kesihatan.

Jika anda merancang untuk mengambil perlindungan insurans takaful murah, cukup sekadar ambil perlindungan atas risiko-risiko asas ini sahaja.

Boleh baca artikel ini untuk keterangan lebih lanjut: 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

Pada masa yang sama, kebanyakan pelan perlindungan insurans takaful turut menyediakan manfaat-manfaat tambahan yang boleh diambil pelanggan.

Contohnya, manfaat waiver of controbution, spouse contribution, khairat kematian, badal haji, simpanan dan pelaburan.

Tidak salah untuk mengambil manfaat-manfaat tambahan ini, tetapi pastikan yang betul-betul penting dan sesuai dengan keperluan anda sahaja.

Jangan berlebih-lebihan.

Ingat, semakin banyak manfaat yang diambil, semakin tinggi juga bayaran yang akan dikenakan nanti.

Boleh baca artikel ini juga untuk keterangan lebih lanjut: 5 Peraturan Asas Berkaitan Perlindungan Insurans Takaful

Faktor #3 – Umur

Umur memainkan peranan besar dalam menentukan jumlah bayaran perlindungan insurans takaful.

Semakin berusia umur seseorang, semakin tinggi risiko yang dihadapi orang tersebut sama ada dari segi kematian dan kesihatan (Peringatan! Mati dan sakit tidak mengenal usia)

Oleh itu, jika nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, kenalah dapatkan semasa umur masih muda.

Pada usia berapa yang sesuai untuk ambil perlindungan insurans takaful?

Jika ditanya kepada saya, saya akan cadangkan untuk menilai lagi beberapa faktor selain daripada umur seperti tahap pendedahan risiko, status penanggung nafkah dan kemampuan kewangan.

Boleh baca dengan lebih jelas di sini: Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans Takaful?

Saranan lebih mudah, digalakkan ambil sebelum umur 30 tahun kerana banyak pelan perlindungan yang saya pernah kaji, harga akan menjadi mahal jika diambil selepas umur 30 tahun.

Bagi lelaki yang belum berkahwin dan tidak mempunyai tanggungan, saya galakkan ambil segera selepas berkahwin atau dalam masa terdekat sebelum berkahwin, tetapi pastikan sebelum berumur 30 tahun.

Senang cerita, ambil segera perlindungan insurans takaful pada usia muda jika tidak mahu membayar terlalu tinggi.

Faktor #4 – Tahap kesihatan

Apabila anda ingin mengambil perlindungan insurans takaful untuk diri-sendiri, ejen pasti akan bertanya sama ada anda ada mengalami masalah kesihatan atau tidak (mempunyai sebarang penyakit atau tidak)

Anda juga mungkin perlu menjalani pemeriksaan kesihatan atau menyerahkan laporan perubatan terkini (jika ada) semasa menghantar borang permohonan.

Maklumat ini sangat penting bagi syarikat penyedia menentukan tahap risiko anda, dan seterusnya mempengaruhi harga yang akan dikenakan nanti.

Jika anda telah pun ada sebarang masalah kesihatan, harga yang dikenakan nanti boleh menjadi mahal.

Boleh jadi juga penyakit yang sedang dialami dan komplikasinya tidak akan dilindungi lagi.

Malah, ada juga kemungkinan permohonan tidak diluluskan dan anda tidak layak untuk mengambil sebarang pelan perlindungan insurans takaful.

Oleh itu, jika nak pastikan anda mendapat pelan perlindungan insurans takaful murah dan diterima sepenuhnya, pastikan ambil perlindungan semasa sihat.

Faktor #5 – Status merokok

perlindungan insurans takaful murahPerokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi masalah kesihatan seperti sakit jantung, kanser paru-paru dan strok.

Malah, perokok mempunyai jangka hayat yang lebih pendek; hanya 50% perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun.

Boleh baca lebih banyak info berkenaan bahaya merokok di sini: Bahaya Merokok

Bagi perokok, bayaran perlindungan insurans takaful akan dikenakan harga yang lebih tinggi disebabkan oleh risiko-risiko yang ditanggung oleh seorang perokok.

Kalau nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, pastikan anda menjauhi rokok.

Berhenti merokok, kerana merokok bukan sahaja membahayakan diri-sendiri, malah menyebabkan pembaziran duit.

Faktor #6 – Kelas pekerjaan

Kelas atau jenis pekerjaan seseorang juga akan diambil kira bagi menentukan kadar bayaran pelan insurans atakful yang ingin diambil.

Pekerjaan dikelaskan mengikut keadaan tempat, tugasan yang dilaksanakan dan aktiviti yang dilakukan yang mana semua ini akan menentukan tahap risiko atau bahaya pekerjaan tersebut.

Sebagai contoh, seorang pemandu sudah tentu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kemalangan berbanding pekerja pejabat.

Begitu juga seorang pekerja di tapak pembinaan mempunyai risiko yang lebih tinggi menghadapi masalah kesihatan disebabkan banyak tenaga digunakan dan sering berhadapan dengan debu berbanding mereka yang bekerja di dalam bilik pejabat yang dilengkapi pendingin hawa.

Ini sudah semestinya akan mempengaruhi kadar bayaran pelan perlindungan yang akan dikenakan.

Kesimpulan

Selain faktor-faktor yang dinyatakan di atas, ada lagi faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kadar bayaran sesuatu pelan perlindungan insurans takaful seperti jenis pelan dan kos syarikat penyedia.

Walaubagaimana pun, oleh kerana faktor-faktor tersebut tidak dapat kita kawal, maka tidaklah saya terangkan di sini.

Kesimpulannya, jika nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, pastikan anda ambil pada jumlah perlindungan yang optima, lindungi risiko atau manfaat yang penting sahaja, mula awal pada usia muda, ketika masih belum punyai masalah kesihatan dan tidak merokok.

Cuba dapatkan beberapa sebutharga (quotation) daripada beberapa syarikat penyedia bagi beberapa pelan perlindungan, dan pilih yang terbaik yang memenuhi keperluan sendiri.

Ingat, jangan kejar yang murah sahaja, tetapi pilih yang terbaik yang memenuhi keperluan sendiri.

Boleh baca artikel ini sebagai panduan: Panduan Memilih Perlindungan Insurans Takaful Terbaik

p/s: Rasa artikel ini bermanfaat? Jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan supaya lebih ramai dapat tahu cara dapatkan perlindungan insurans takaful murah.

Panduan Memilih Perlindungan Insurans Takaful Terbaik

pelan perlindungan insurans takaful terbaik“Kau rasa, apa pelan perlindungan insurans takaful terbaik yang aku perlu ambil untuk diri aku sendiri?”

“Nak ambil dengan syarikat Prudential ke? Zurich ke? Etiqa? AIA?”

Pernah seorang rakan bertanya kepada saya soalan di atas.

Anda pun mesti pernah bertanya soalan yang sama juga, bukan?

Kebanyakan orang memang tercari-cari produk atau pelan perlindungan insurans takaful terbaik untuk diri-sendiri.

Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan pelan perlindungan insurans takaful terbaik?

Apakah ciri-cirinya?

Sebenarnya, pelan perlindungan insurans takaful yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang berbeza adalah hampir sama sahaja secara asasnya kerana kerangkanya dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Mungkin akan ada sedikit perbezaan jika syarikat-syarikat penyedia menyediakan beberapa tawaran istimewa untuk membezakan produk mereka dengan pesaing lain, namun kerangka asasnya akan tetap sama.

Jadi, memang sukar untuk memilih pelan perlindungan insurans takaful terbaik.

Sebagai panduan, jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans takaful untuk diri-sendiri, beberapa langkah yang berikut perlu dilakukan.

Sebelum itu, ingin saya tegaskan, panduan ini adalah daripada kaca mata saya sebagai orang awam sahaja.

Mungkin jika bertanya kepada ejen-ejen insurans takaful profesional, atau penasihat kewangan bertauliah, mereka akan memberikan cadangan dan panduan yang lebih details lagi.

Langkah #1 – Kenal pasti keperluan jumlah perlindungan

Setiap orang mempunyai keperluan jumlah perlindungan yang berbeza.

Berapakah jumlah perlindungan yang sepatutnya?

Mengikut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Life Insurance Association of Malaysia, LIAM), jumlah perlindungan yang disarankan untuk setiap individu adalah 10 kali ganda pendapatan tahunan.

Jika pendapatan tahunan adalah RM 50,000, maka jumlah perlindungan yang disarankan adalah RM 500,000

Jika RM 30,000 setahun, maka jumlah perlindungan haruslah RM 300,000

Dengan jumlah perlindungan 10 kali ganda pendapatan tahunan, maka nanti jumlah pampasan yang diterima jika terjadi musibah dapat menampung perbelanjaan untuk tempoh 10 tahun; satu tempoh yang panjang sebelum dapat ‘pulih’ daripada musibah yang menimpa.

Maka, jika ingin mendapatkan produk perlindungan insurans takaful terbaik, kenalah buat kira-kira dulu berapakah jumlah perlindungan yang diperlukan.

Apabila dah tahu keperluan jumlah perlindungan diri-sendiri, senanglah apabila berbincang dengan ejen insurans takaful nanti.

Jangan sekadar biarkan ejen menentukan jumlah perlindungan yang perlu anda ambil, sebaliknya berbincanglah baik-baik agar keperluan diri dipenuhi.

Langkah #2 – Pilih manfaat atau risiko yang ingin dilindungi

pelan perlindungan insurans takaful terbaikSeperti yang saya tulis dalam artikel 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful, maka apabila mendapatkan perlindungan insurans takaful terbaik, pastikan sekurang-kurangnya kesemua manfaat asas dapat dilindungi.

Namun, apa yang perlu diketahui, mungkin tiada satu pelan pun yang boleh cover kesemua manfaat asas tersebut secara serentak dalam satu pelan.

Contohnya, untuk melindungi aset, perlu ambil pelan insurans takaful am.

Untuk manfaat kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kesihatan pula, perlu ambil pelan insurans takaful hayat/keluarga.

Untuk manfaat kesihatan bagi membayar caj rawatan dan hospital pula, perlu ambil pelan kad perubatan.

Bukan merupakan satu masalah untuk mengambil pelan insurans takaful yang berbeza-beza, asalkan kesemua risiko/manfaat asas dilindungi.

Selepas dah kenal pasti manfaat-manfaat asas yang ingin dilindungi, bolehlah juga kenal pasti manfaat-manfaat tambahan lain seperti khairat kematian, badal haji, simpanan, pelaburan, spouse contributor, waive contributor dan pelbagai lagi manfaat (rider) tambahan lain.

Tetapi, pada masa yang sama, janganlah pula sampai berlebih-lebihan sehingga terlebih perlindungan (over-insured) dan melebihi kemampuan diri untuk membayar.

Contohnya, mengambil 2 atau lebih pelan untuk melindungi satu manfaat yang sama, walhal satu pelan sahaja sudah mencukupi.

Bincang baik-baik dengan ejen insurans takaful yang anda jumpa, dan tentukan manfaat-manfaat yang paling sesuai yang memenuhi kriteria perlindungan yang anda ingini.

Langkah #3 – Fahami ciri-ciri pelan yang ingin disertai

Di Malaysia, ada banyak syarikat penyedia insurans takaful.

Dan setiap syarikat pula, menawarkan pelbagai pelan perlindungan insurans takaful.

Seperti yang ditulis pada awal artikel, walaupun kebanyakan pelan mempunyai asas atau kerangka yang sama, namun akan ada sedikit perbezaan atau keistimewaan yang ditawarkan oleh setiap syarikat bagi menonjolkan lagi pelan mereka.

Ada pelan yang disertakan sekali dengan simpanan dan pelaburan, ada yang tawarkan pelan manfaat asas sahaja tanpa simpanan.

Ada pelan yang menawarkan manfaat kad perubatan sekali dalam pelan asas, ada yang tawarkan secara stand-alone.

Ada pelan yang menawarkan pertambahan perlindungan mengikut tahun.

Ada pelan yang menawarkan kemudahan hibah untuk waris.

Macam-macam pelan, sampai boleh pening untuk pilih.

Tambah pula setiap pelan diberikan nama yang pelbagai; menambahkan lagi ‘pening’ pelanggan nak pilih.

Sebab itu kena dengar baik-baik penerangan daripada ejen insurans takaful supaya setiap ciri-ciri pelan yang dibentangkan dapat difahami.

Dah faham ciri-ciri pelan, mudah nak pilih pelan perlindungan insurans takaful terbaik.

Langkah #4 – Tentukan jumlah bayaran yang sanggup dikeluarkan

Pelan perlindungan insurans takaful yang terbaik seharusnya adalah pelan yang mampu dibayar.

Banyak faktor yang mempengaruhi harga sesuatu pelan perlindungan insurans takaful, antaranya umur, jumlah perlindungan, risiko/manfaat dilindungi, status merokok dan status kesihatan.

Untuk dapatkan jumlah perlindungan yang tinggi dan manfaat yang pelbagai, sudah semestinya bayaran juga akan tinggi.

Sebab itulah pada langkah #1 dan #2, kena kenal pasti dahulu jumlah perlindungan yang diperlukan dan tentukan manfaat/risiko yang ingin dilindungi, supaya nanti bayaran untuk pelan tersebut adalah memadai dengan bajet yang diperuntukkan.

Berapa bajet yang sesuai diperuntukkan untuk perlindungan insurans takaful?

Sebaik-baiknya, antara 10% ke 15% daripada pendapatan bulanan, maksimum pun mungkin sehingga 25%.

Yang penting, jangan sampai terbeban untuk membayar pelan yang diambil.

Sia-sia juga memilih pelan perlindungan yang sempurna, andai kata tak mampu nak bayar caruman dengan baik.

Sebabnya, jika tak bayar, manfaat yang dilindungi akan terbatal dengan sendirinya.

Langkah #5 – Dapatkan bantuan ejen insurans takaful

pelan perlindungan insurans takaful terbaikUsaha untuk mendapatkan pelan perlindungan insurans takaful terbaik sangat bergantung kepada bantuan ejen insurans takaful yang anda pilih.

Sebaik-baiknya, dapatkan bantuan daripada ejen yang lebih bertindak sebagai penasihat kewangan, bukan sebagai jurujual semata-mata.

Maksudnya, ejen tersebut mampu menasihati anda memilih manfaat perlindungan pada jumlah perlindungan yang diperlukan dan harga yang anda mampu milik, bukan sekadar ‘memaksa’ mengambil apa-apa pelan sebab beliau nak close sale.

Ejen tersebut juga perlulah mampu menjawab pertanyaan anda dan menyediakan khidmat-selepas-jualan (after sale service) yang baik.

Jangan pilih ejen yang hanya manis ketika nak mencarum, tapi hilang setelah itu.

Bagaimana nak pilih ejen insurans takaful terbaik, terpulang kepada keselesaan anda.

Mungkin anda selesa nak berurusan dengan ejen daripada saudara-mara atau rakan-rakan anda, mungkin juga anda lebih selesa berurusan dengan ejen yang anda tak kenal.

Mungkin anda lebih selesa dengan ejen senior yang dianggap lebih mahir berbanding ejen junior, atau mungkin anda yakin yang ejen junior akan memberikan perkhidmatan yang lebih bersungguh-sungguh berbanding ejen senior.

Mungkin anda lebih selesa dengan ejen yang approach kepada anda, berbanding anda sendiri yang approach ejen.

Mungkin juga anda menetapkan ejen yang dekat-dekat sahaja agar mudah berjumpa, atau anda tidak kisah pun untuk berurusan dengan ejen yang berada jauh di tempat lain.

Semuanya atas keselesaan anda.

Sekarang zaman teknologi, anda boleh cari mana-mana ejen insurans takaful di blog-blog dan media-media sosial.

Cuba hubungi mereka, beritahu semua maklumat yang anda dah kenal pasti (jumlah perlindungan, jenis manfaat, pelan dan kemampuan kewangan anda) dan tengok bagaimana mereka melayan dan memberi perkhidmatan kepada anda.

Nilaikan bagaimana mereka memberi penerangan atau cadangan berkenaan pelan terbaik untuk anda.

Apabila dah berpuas hati menilai 2, 3 atau lebih ejen, pilihlah yang terbaik.

Ingat, pilih yang mampu menjadi penasihat kewangan, bukan jurujual semata-mata.

Dengan bantuan ejen yang baik, mudah untuk kenal pasti pelan perlindungan insurans takaful terbaik yang memenuhi keperluan anda.

Pelan perlindungan insurans takaful terbaik

Akhir kata, pelan yang terbaik adalah pelan yang melindungi manfaat-manfaat/risiko-risiko yang diingini dalam jumlah perlindungan mengikut keperluan individu pada harga yang mampu dibayar.

Mendapat bantuan daripada ejen yang baik dan ikhlas berkhidmat adalah satu bonus.

Perlindungan insurans takaful adalah bersifat individualised; mengikut kepada keperluan, keinginan dan kemampuan setiap individu.

Jadi, kenalpasti apa keperluan, keinginan dan kemampuan diri sendiri, barulah akan dapat pelan perlindungan insurans takaful terbaik.