Cara Dapatkan Perlindungan Insurans Takaful Murah

perlindungan insurans takaful murahNak dapatkan perlindungan insurans takaful murah untuk diri-sendiri?

Semua orang sudah semestinya mahukan perlindungan insurans takaful yang menyediakan jumlah perlindungan yang tinggi, tetapi pada masa yang sama turut mahukan bayaran yang rendah.

Bayar rendah, tetapi jumlah perlindungan tinggi.

Memang best, bukan?

Tetapi, wujudkah perlindungan insurans takaful murah sebegitu?

Sebenarnya, sukar untuk menentukan sama ada sesuatu pelan perlindungan insurans takaful itu murah atau mahal.

Sebabnya, kadar bayaran bagi sesuatu pelan perlindungan insurans takaful adalah berbeza antara setiap orang.

Individualized.

Bayaran yang dikenakan dipengaruhi oleh banyak faktor yang disumbangkan oleh setiap individu.

Faktor-faktor ini pula akan menentukan risiko-risiko yang ditanggung oleh syarikat penyedia.

Apabila kita mengambil perlindungan insurans takaful, kita sebenarnya ‘memindahkan’ risiko yang ditanggung diri-sendiri kepada syarikat penyedia insurans takaful.

Syarikat penyedia yang menerima risiko tersebut akan menyediakan perlindungan jika sebarang musibah menimpa.

Semakin banyak risiko yang dipindahkan, atau semakin banyak risiko yang ditanggung oleh syarikat penyedia insurans takaful, maka sudah tentu semakin tinggi kadar bayaran yang dikenakan.

Jadi, ada atau tidak cara untuk dapatkan perlindungan insurans takaful murah tanpa menyebabkan komitmen bayaran yang tinggi?

Ya, ada caranya, iaitu dengan ‘mengawal’ faktor-faktor yang mempengaruhi kadar bayaran pelan perlindungan insurans takaful yang ingin diambil.

Apakah faktor-faktor tersebut?

Jom kita lihat satu per satu.

Faktor #1 – Jumlah perlindungan

Semakin tinggi jumlah perlindungan yang diambil, sudah tentu semakin tinggi bayaran yang perlu dikeluarkan.

Simple.

Bagi pelan yang sama, kadar bayaran perlindungan sebanyak RM 1 juta mesti lebih tinggi berbanding perlindungan RM 500,000

Maka, untuk dapatkan perlindungan insurans takaful murah, kenalah buat kira-kira dahulu berapa jumlah perlindungan optima yang diperlukan supaya tidak terlebih mengambil perlindungan (over-insured)

Pada masa yang sama juga, janganlah terlalu mengharapkan bayaran yang murah sehingga mengambil jumlah perlindungan yang terlalu rendah (under-insured)

Over-insured menyebabkan pembaziran, under-insured menyebabkan perlindungan yang diambil tidak mencukupi.

Bagaimana nak tahu jumlah perlindungan optima yang diperlukan?

Ada banyak cara kiraan, tetapi yang paling mudah adalah dengan mendarabkan jumlah pendapatan tahunan dengan 10.

Contohnya, andai kata jumlah pendapatan adalah RM 50,000 setahun, maka jumlah perlindungan optima yang diperlukan adalah RM 500,000

Dengan jumlah perlindungan sebanyak itu, sekurang-kurangnya jumlah pampasan yang diperoleh adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan selama 10 tahun sekiranya berlaku apa-apa musibah.

Baca juga:  Cara Renew Road Tax & Insurans Kereta Online Melalui MyEG

Faktor #2 – Jenis risiko yang dilindungi

perlindungan insurans takaful murahInsurans takaful diwujudkan sebagai instrumen perlindungan, dan risiko-risiko asas yang perlu dilindungi adalah kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kesihatan.

Jika anda merancang untuk mengambil perlindungan insurans takaful murah, cukup sekadar ambil perlindungan atas risiko-risiko asas ini sahaja.

Boleh baca artikel ini untuk keterangan lebih lanjut: 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

Pada masa yang sama, kebanyakan pelan perlindungan insurans takaful turut menyediakan manfaat-manfaat tambahan yang boleh diambil pelanggan.

Contohnya, manfaat waiver of controbution, spouse contribution, khairat kematian, badal haji, simpanan dan pelaburan.

Tidak salah untuk mengambil manfaat-manfaat tambahan ini, tetapi pastikan yang betul-betul penting dan sesuai dengan keperluan anda sahaja.

Jangan berlebih-lebihan.

Ingat, semakin banyak manfaat yang diambil, semakin tinggi juga bayaran yang akan dikenakan nanti.

Boleh baca artikel ini juga untuk keterangan lebih lanjut: 5 Peraturan Asas Berkaitan Perlindungan Insurans Takaful

Faktor #3 – Umur

Umur memainkan peranan besar dalam menentukan jumlah bayaran perlindungan insurans takaful.

Semakin berusia umur seseorang, semakin tinggi risiko yang dihadapi orang tersebut sama ada dari segi kematian dan kesihatan (Peringatan! Mati dan sakit tidak mengenal usia)

Oleh itu, jika nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, kenalah dapatkan semasa umur masih muda.

Pada usia berapa yang sesuai untuk ambil perlindungan insurans takaful?

Jika ditanya kepada saya, saya akan cadangkan untuk menilai lagi beberapa faktor selain daripada umur seperti tahap pendedahan risiko, status penanggung nafkah dan kemampuan kewangan.

Boleh baca dengan lebih jelas di sini: Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans Takaful?

Saranan lebih mudah, digalakkan ambil sebelum umur 30 tahun kerana banyak pelan perlindungan yang saya pernah kaji, harga akan menjadi mahal jika diambil selepas umur 30 tahun.

Bagi lelaki yang belum berkahwin dan tidak mempunyai tanggungan, saya galakkan ambil segera selepas berkahwin atau dalam masa terdekat sebelum berkahwin, tetapi pastikan sebelum berumur 30 tahun.

Senang cerita, ambil segera perlindungan insurans takaful pada usia muda jika tidak mahu membayar terlalu tinggi.

Faktor #4 – Tahap kesihatan

Apabila anda ingin mengambil perlindungan insurans takaful untuk diri-sendiri, ejen pasti akan bertanya sama ada anda ada mengalami masalah kesihatan atau tidak (mempunyai sebarang penyakit atau tidak)

Anda juga mungkin perlu menjalani pemeriksaan kesihatan atau menyerahkan laporan perubatan terkini (jika ada) semasa menghantar borang permohonan.

Maklumat ini sangat penting bagi syarikat penyedia menentukan tahap risiko anda, dan seterusnya mempengaruhi harga yang akan dikenakan nanti.

Jika anda telah pun ada sebarang masalah kesihatan, harga yang dikenakan nanti boleh menjadi mahal.

Boleh jadi juga penyakit yang sedang dialami dan komplikasinya tidak akan dilindungi lagi.

Malah, ada juga kemungkinan permohonan tidak diluluskan dan anda tidak layak untuk mengambil sebarang pelan perlindungan insurans takaful.

Oleh itu, jika nak pastikan anda mendapat pelan perlindungan insurans takaful murah dan diterima sepenuhnya, pastikan ambil perlindungan semasa sihat.

Baca juga:  Panduan Memilih Perlindungan Insurans Takaful Terbaik

Faktor #5 – Status merokok

perlindungan insurans takaful murahPerokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi masalah kesihatan seperti sakit jantung, kanser paru-paru dan strok.

Malah, perokok mempunyai jangka hayat yang lebih pendek; hanya 50% perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun.

Boleh baca lebih banyak info berkenaan bahaya merokok di sini: Bahaya Merokok

Bagi perokok, bayaran perlindungan insurans takaful akan dikenakan harga yang lebih tinggi disebabkan oleh risiko-risiko yang ditanggung oleh seorang perokok.

Kalau nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, pastikan anda menjauhi rokok.

Berhenti merokok, kerana merokok bukan sahaja membahayakan diri-sendiri, malah menyebabkan pembaziran duit.

Faktor #6 – Kelas pekerjaan

Kelas atau jenis pekerjaan seseorang juga akan diambil kira bagi menentukan kadar bayaran pelan insurans atakful yang ingin diambil.

Pekerjaan dikelaskan mengikut keadaan tempat, tugasan yang dilaksanakan dan aktiviti yang dilakukan yang mana semua ini akan menentukan tahap risiko atau bahaya pekerjaan tersebut.

Sebagai contoh, seorang pemandu sudah tentu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kemalangan berbanding pekerja pejabat.

Begitu juga seorang pekerja di tapak pembinaan mempunyai risiko yang lebih tinggi menghadapi masalah kesihatan disebabkan banyak tenaga digunakan dan sering berhadapan dengan debu berbanding mereka yang bekerja di dalam bilik pejabat yang dilengkapi pendingin hawa.

Ini sudah semestinya akan mempengaruhi kadar bayaran pelan perlindungan yang akan dikenakan.

Kesimpulan

Selain faktor-faktor yang dinyatakan di atas, ada lagi faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kadar bayaran sesuatu pelan perlindungan insurans takaful seperti jenis pelan dan kos syarikat penyedia.

Walaubagaimana pun, oleh kerana faktor-faktor tersebut tidak dapat kita kawal, maka tidaklah saya terangkan di sini.

Kesimpulannya, jika nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, pastikan anda ambil pada jumlah perlindungan yang optima, lindungi risiko atau manfaat yang penting sahaja, mula awal pada usia muda, ketika masih belum punyai masalah kesihatan dan tidak merokok.

Cuba dapatkan beberapa sebutharga (quotation) daripada beberapa syarikat penyedia bagi beberapa pelan perlindungan, dan pilih yang terbaik yang memenuhi keperluan sendiri.

Ingat, jangan kejar yang murah sahaja, tetapi pilih yang terbaik yang memenuhi keperluan sendiri.

Boleh baca artikel ini sebagai panduan: Panduan Memilih Perlindungan Insurans Takaful Terbaik

p/s: Rasa artikel ini bermanfaat? Jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan supaya lebih ramai dapat tahu cara dapatkan perlindungan insurans takaful murah.

Baca juga:  4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini