Susulan daripada artikel sebelum ini, 7 Sebab Utama Perlu Ada Insurans/Takaful Sebagai Perlindungan, ada yang bertanya, apakah perkara-perkara utama yang perlu dilindungi?
Kalau dibaca dalam artikel yang dinyatakan tadi, sebenarnya saya telah pun menyentuh secara ringkas perkara-perkara utama yang perlu dilindungi, iaitu kematian, kelumpuhan/kecacatan, penyakit (3D; death, disability, disease) dan juga aset/harta.
1. Kematian
Mati itu pasti, cuma masanya sahaja yang kita tidak tahu.
Oleh kerana kita tidak tahu bila dan bagaimana akan mati, jadi kenalah buat persediaan secukupnya.
Bagi diri-sendiri, mestilah perlu lengkapkan dengan iman yang mantap dan amal yang ikhlas supaya bahagia di alam seterusnya nanti.
Selain persiapan untuk diri-sendiri, perlu juga buat persiapan untuk waris yang ditinggalkan.
Selain persiapan rohani, perlu juga buat persiapan jasmani untuk waris-waris.
Persiapan jasmani termasuklah tempat untuk mereka tinggal dan juga sumber kewangan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.
Perlindungan insurans/takaful tidak melindungi kita daripada kematian, sebaliknya membantu kita membuat persiapan kewangan untuk waris.
Bagi seorang suami atau ayah yang mempunyai tanggungan, jika berlaku kematian, beban tanggungan kini akan dipikul oleh isteri sahaja.
Walaupun isteri turut bekerja, sedikit sebanyak akan terjejas kerana beban yang dulunya dipikul bersama-sama kini dipikul seorang diri.
Lebih teruk lagi jika isteri tidak bekerja dan tidak mampu, pastinya sukar untuk meneruskan hidup.
Nak diharapkan ihsan daripada orang lain, mungkin tidak mampu berpanjangan.
Jadi, jika ada pampasan daripada insurans/takaful, sekurang-kurangnya nasib waris terbela.
Dicadangkan supaya jumlah perlindungan yang diambil adalah menyamai/melebihi 10 kali ganda jumlah keperluan kewangan tahunan.
Contohnya, jika keperluan keluarga adalah RM 36,000/tahun (RM 3,000/bulan), maka jumlah perlindungan yang dicadangkan adalah RM 360,000.
Dengan jumlah sebanyak ini, waris mampu bertahan sehingga 10 tahun dari segi kewangan, satu jangka masa yang panjang sebelum mereka dapat berusaha mencari sumber kewangan sendiri.
2. Kelumpuhan/kecacatan
Secara peribadi, kelumpuhan/kecacatan merupakan musibah kewangan yang lebih besar berbanding kematian (ditekankan sekali lagi, saya maksudkan dari segi kewangan sahaja)
Kenapa?
Kerana apabila ditimpa keadaan ini, lebih-lebih lagi jika kelumpuhan teruk, sumber pendapatan boleh terjejas sepenuhnya sedangkan kita masih memerlukan wang bukan sahaja untuk meneruskan hidup, malah untuk menampung kos rawatan.
Dalam erti kata lain, jika kematian, hanya perlu tinggalkan sumber kewangan untuk waris meneruskan hidup, tetapi jika kelumpuhan/kecacatan, perlu meninggalkan sumber kewangan untuk meneruskan hidup sendiri dan waris, dan pada masa yang sama menampung kos rawatan.
Kelumpuhan/kecacatan bukan sahaja boleh terjadi disebabkan kemalangan, malahan boleh juga disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu.
Jadi, perlulah juga disediakan perlindungan sebagai persediaan menghadapi keadaan ini.
Jumlah perlindungan yang disarankan?
Sama seperti perlindungan kematian, jumlahnya sekurang-kurangnya 10 kali ganda jumlah keperluan kewangan tahunan.
Lebih baik lagi jika jumlah perlindungan itu dapat menjana pendapatan pasif dengan mendapat dividen, bolehlah digunakan untuk menampung keperluan hidup.
Contohnya, jika jumlah perlindungan RM 500,000, setelah diperoleh pampasan ini, simpan di tempat yang yang memberikan dividen yang stabil seperti di Tabung Haji atau ASB.
Dengan anggaran kadar dividen antara 5% ke 8% setahun, jumlah dividen yang diperoleh adalah sebanyak RM 25,000 ke RM 40,000 setahun.
Ini bersamaan antara RM 2,000 ke RM 3,500 sebulan; satu jumlah pendapatan pasif yang boleh membantu menampung keperluan hidup nanti.
3. Penyakit kritikal
Antara penyakit-penyakit kritikal yang sering dialami rakyat Malaysia adalah sakit jantung, kanser, strok, kencing manis dan kegagalan buah pinggang.
Dengan pengamalan gaya hidup dan corak pemakanan yang tidak sihat, kadar penyakit kritikal di Malaysia semakin tinggi dari tahun ke tahun.
Apabila diserang penyakit kritikal, dua perkara yang boleh merunsingkan iaitu pendapatan yang terjejas dan kos rawatan yang tinggi.
Walaupun masih mampu bekerja dan mencari pendapatan, sedikit sebanyak pendapatan akan terjejas jika selalu cuti sakit atau dimasukkan ke dalam hospital untuk rawatan.
Tambahan lagi, sedikit sebanyak prestasi dan keupayaan melakukan kerja akan berkurang dan ini boleh menyebabkan perasaan kurang senang kepada majikan.
Silap haribulan, dipecat oleh majikan pula.
Penyakit yang ada pula masih perlu dirawat.
Oleh kerana nak jimatkan kos rawatan, boleh cuba rawatan di hospital kerajaan, tetapi mungkin perlu menunggu masa yang lama.
Nak dapatkan rawatan di hospital swasta, kos rawatan pula terlalu mahal.
Sebab itulah perlukan perlindungan insurans/takaful untuk atasi masalah ini.
Cadangannya, ambil skim perlindungan yang memberikan pampasan apabila diserang penyakit kritikal.
Pampasan ini boleh digunakan untuk menggantikan pendapatan yang terjejas tadi.
Di samping itu, perlu juga mengambil kad perubatan, untuk menampung bil hospital dan kos rawatan.
4. Aset/harta
Setiap aset yang bernilai perlu dilindungi.
Aset ini termasuklan kereta, rumah dan perniagaan.
Jika ada lagi aset-aset yang dirasakan bernilai, ambillah perlindungan sewajarnya.
Dengan adanya perlindungan ini, sekurang-kurangnya dapat pampasan jika berlaku sebarang musibah yang mana boleh mengurangkan beban dan mengelakkan kerugian besar.
Sebagai contoh, rumah.
Andai ditimpa kebakaran atau musibah banjir, boleh menuntut pampasan untuk memperbaiki keadaan rumah.
Skim perlindungan juga penting untuk aset-aset yang masih punyai hutang.
Sekurang-kurangnya jika pendapatan terputus akibat kematian atau kelumpuhan, baki hutang akan diselesaikan oleh skim perlindungan yang diambil.
Jadi, tidaklah dibebankan ke atas waris.
Itulah sahaja empat perkara utama yang perlu dilindungi oleh insurans/takaful.
Secara peribadi, sebaik-baiknya, pastikan semua perkara ini dilindungi secukupnya sebelum mengambil skim-skim perlindungan yang lain.
Skim perlindungan untuk persaraan?
Skim perlindungan untuk pendidikan anak-anak?
Tangguhkan dulu jika perlindungan untuk empat perkara di atas belum dipenuhi.
Mengambil perlindungan yang berlebihan dan tidak perlu hanya akan membebankan diri akibat komitmen yang tinggi.
Sedangkan komitmen tersebut boleh digunakan untuk perkara yang lebih penting seperti simpanan dan pelaburan.
Apa-apa pun, buatlah keputusan yang bijak.