9 Alat Kewangan Asas Supaya Kehidupan Lebih Baik

alat kewangan asasUntuk memudahkan urusan kewangan seharian dan juga ke arah pengurusan kewangan yang baik, saya cadangkan untuk semua orang punyai alat kewangan asas yang akan saya senaraikan nanti.

Bagi yang belum ada, kena ada secepat mungkin.

Bagi yang dah ada, tahniah!

Cuma mungkin perlu optimasikan lagi penggunaan.

Kemudian, tambah lagi dengan alat kewangan yang lain pula.

Jom kita lihat apa alat kewangan asas yang semua orang patut ada:

Alat kewangan #1 – Akaun bank

Tak kisah sama ada anda ada sumber pendapatan atau tidak, perlu ada akaun bank.

Tak kisah sama ada anda bekerja makan gaji atau buat bisnes sendiri, perlu ada akaun bank.

Tak kisah bisnes anda kecil-kecilan atau besar, perlu ada akaun bank.

Walaupun anda terima pendapatan dalam bentuk tunai setiap masa, perlu ada akan bank juga.

Tak kisah akaun bank simpanan atau semasa.

Akaun bank adalah alat kewangan asas yang paling utama.

Bukan sahaja sebagai alat untuk terima duit gaji atau bayaran pelanggan, tetapi juga sebagai tempat simpan duit yang selamat.

Bayangkan anda simpan duit di rumah atau pejabat sahaja.

Walau disimpan di tempat tersembunyi dan di dalam peti yang kukuh, tetap berisiko tinggi untuk hilang.

Kalau tidak hilang dicuri pun, mungkin akibat kebakaran, banjir dan bencana alam yang lain.

Malah sekarang, kalau kerajaan bagi bantuan pun, terus ke akaun bank.

Bukan lagi secara tunai.

Begitu juga kepada pelajar, bantuan seperti biasiswa pun diberi melalui akaun bank.

Kalau pulangan balik daripada lebihan cukai pun, dipulangkan oleh LHDN melalui akaun bank.

Senang kata, banyak urusan kewangan sekarang perlukan akaun bank.

Mulakan dengan 1 akaun bank dulu, kalau ada keperluan boleh buka lebih daripada 1 akaun.

Buka seawal usia yang boleh.

Biasanya kalau untuk akaun kanak-kanak atau pelajar, jumlah awal yang diperlukan untuk buka akaun lebih rendah berbanding untuk akaun dewasa.

Baca juga:  Tahap Literasi Pengurusan Kewangan Rakyat Malaysia

Alat kewangan #2 – Kad debit

Dah buka akaun bank, buatlah kad debit.

Tetapi, sekarang memang apabila dibuka sahaja akaun bank, akan terus diminta untuk buat kad debit.

Walaupun ada caj tahunan dikenakan ke atas kad debit, namun nilai manfaatnya jauh mengatasi nilai caj tersebut.

Kad debit bukan sahaja digunakan untuk mengeluarkan duit melalui ATM, malah banyak fungsi lain.

Sudah banyak tempat yang terima bayaran melalui kad debit, jadi sesuai untuk mereka yang tak suka bawa tunai yang banyak.

Untuk beli-belah online pun, boleh gunakan kad debit untuk buat bayaran.

Malah, kad debit boleh digunakan untuk situasi-situasi kecemasan.

Contohnya, ketika perjalanan jauh, tiba-tiba tayar kereta rosak dan anda tidak membawa tunai yang banyak.

Kad debit boleh digunakan untuk buat bayaran asalkan ada baki di dalam akaun.

Mungkin ada yang menyarankan untuk guna kad kredit.

Tetapi, secara peribadi, saya lebih sukakan kad debit berbanding kad debit.

Berbanding kad kredit, lebih mudah untuk kawal perbelanjaan menggunakan kad debit kerana penggunaannya bergantung kepada baki di dalam akaun.

Kalau guna kad kredit, boleh digunakan sehingga had kad tersebut.

Jika tersilap langkah, boleh terjerumus ke dalam hutang tak terkawal.

Alat kewangan #3 – Perbankan atas talian

Ada akaun bank, ada kad debit, jangan lupa untuk terus daftar perbankan atas talian.

Terus daftar semasa masih berada di bank.

Senang kalau ada apa-apa masalah, boleh terus rujuk kepada pegawai bertugas untuk daftar akaun perbankan atas talian sehingga jadi.

Dengan adanya perbankan atas talian, senang untuk pantau baki dan pergerakan keluar masuk akaun bank.

Senang juga nak buat pindahan ke akaun lain, dapatkan penyata, bayaran bil dan beli-belah atas talian.

Memang memudahkan urusan dengan adanya perbankan atas talian.

Jimat banyak masa, tenaga dan wang berbanding berurusan di luar.

Lagipun sekarang kadar penembusan internet di Malaysia adalah tinggi, jadi tiada masalah untuk gunakan perbankan atas talian.

Alat kewangan #4 – Aplikasi perbankan

Ramai sekarang yang ada telefon pintar dan juga mobile internet.

Jadi, jangan lupa untuk install aplikasi perbankan untuk akaun bank anda.

Jika perbankan atas talian perlu dibuka dengan browser, aplikasi perbankan pula lebih mudah.

Hanya perlu terus tekan pada icon aplikasi dan boleh login.

Perkhidmatan yang sama juga tersedia di dalam aplikasi perbankan sepertimana perbankan atas talian.

Lebih mudah untuk berurusan, hanya melalui telefonj sahaja.

Cumanya, bukan semua bank yang ada aplikasi perbankan.

Jadi, perlu pastikan dulu bank yang anda ada akaun itu ada aplikasi perbankan atau tidak.

Baca juga:  [VIDEO] 5 Cara Simpan Duit Untuk Yang Sering Gagal Menyimpan

Alat kewangan #5 – e-wallet

 e wallet malaysia

Sekarang kita ke arah pendigitalan.

Ke arah cashless, tanpa tunai.

Jadi, salah satu usaha ke arah ini adalah dengan menggunakan e-wallet sebagai ganti kepada dompet biasa.

Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Kalau di Malaysia, antara e-wallet yang popular adalah Boost, TouchNGo dan GrabPay.

Malah, kerajaan bagi bantuan kepada rakyat pun melalui e-wallet seperti mana diberikan baru-baru ini.

Jadi, jangan lupa untuk install aplikasi e-wallet di telefon pintar masing-masing.

Lebih menarik lagi, pengguna boleh kumpul point dan tebus ganjaran apabila menggunakan e-wallet untuk urusan mereka.

Ada juga penjual atau syarikat yang sediakan tawaran menarik dari segi hadiah, bonus dan baucer apabila pembayaran dibuat menggunakan e-wallet.

Alat kewangan #6 – Akaun Tabung Haji

Sebagai umat Islam, salah satu rukun yang perlu dipenuhi adalah menunaikan haji bagi yang berkemampuan.

Dan di Malaysia, untuk pergi menunaikan haji, yang menjadi pilihan adalah melalui Tabung Haji.

Jadi, penting bagi kita untuk punyai akaun Tabung Haji sebagai alat kewangan asas.

Jumlah minimum untuk buka akaun Tabung Haji rendah sahaja, RM 10 sahaja.

Selepas ada akaun, cuba cukupkan sehingga RM 1300 untuk daftar haji terlebih dahulu.

Selepas itu, teruskan menyimpan agar suatu hari nanti dipermudahkan untuk menunaikan haji.

Kalau rasa susah nak konsisten menyimpan setiap bulan, boleh buat potongan gaji ke akaun Tabung Haji.

Jangan lupa juga untuk daftar akaun THiJARI, portal Tabung Haji online.

Senang nak buat urusan berkaitan Tabung Haji seperti semak baki, hibah, penyata dan juga daftar haji.

Kalau ada rezeki lebih, boleh buka akaun Tabung Haji untuk anak-anak, boleh buka seawal umur sehari asalkan ada surat beranak dan MyKid.

Nanti boleh daftarkan haji untuk anak, senang anak dapat giliran awal.

Alat kewangan #7 – Akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Selain Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera juga adalah tempat simpan duit yang terbaik.

Dan kerana ianya adalah unit amanah, maka merupakan akaun pelaburan asas yang semua orang berkelayakan perlu ada.

Nak mulakan pun murah sahaja, serendah 10 unit bersamaan RM10

Bagi yang baru mula nak menyimpan dan melabur, ASB adalah permulaan yang baik sebelum pergi ke pilihan pelaburan lain yang lebih besar.

Selepas buka akaun ASB, sama juga, jangan lupa juga untuk daftar akaun MyASNB.

Senang nak buat urusan ASB secara atas talian sahaja.

Alat kewangan #8 – Perlindungan takaful

Semua orang sepatutnya mempunyai perlindungan kewangan untuk menghadapi musibah seperti kematian, kemalangan, kelumpuhan, kecacatan dan penyakit kritikal.

Di sinilah peranan perlindungan takaful.

Pastikan jumlah perlindungan yang diambil adalah sesuai dengan keperluan, perancangan dan bajet masing-masing.

Boleh berbincang dengan ejen dan perunding takaful untuk mendapatkan pakej terbaik yang sesuai dengan profil masing-masing.

Sebagai tambahan, jika ada bajet, boleh tambah dengan kad perubatan.

Alat kewangan #9 – Wasiat

Semua simpanan, aset dan harta yang dikumpul semasa hidup akan ditinggalkan apabila kita mati nanti.

Semua akaun akan dibekukan dan waris-waris perlu cairkan semuanya sebelum boleh diagihkan dan dimanfaatkan.

Jadi, jangan ketinggalan untuk membuat wasiat,

Walau rasa tak banyak harta, wasiat tetap diperlukan.

Wasiat adalah alat kewangan asas paling utama dalam perancangan harta pusaka.

Melalui wasiat, kita boleh merancang sebahagian harta untuk dijadikan sedekah dan waqaf sebagai kesinambungan amalan kita.

Melalui wasiat juga, kita boleh menyatakan hasrat agihan harta yang penat-penat kita kumpul kepada semua waris dan bukan waris yang kita kehendaki.

Wasiat jugalah yang akan memudahkan waris-waris untuk mencairkan harta pusaka yang ditinggalkan, mengagihkan dan memanfaatkan mereka.

Senang kata, tidak sempurna pengurusan kewangan seseorang jika tidak meninggalkan wasiat untuk waris-waris.

Penutup

Itulah beberapa alat kewangan asas yang semua orang patut ada.

Di samping semua di atas, boleh untuk tambah lagi alat-alat yang lain seperti kad kredit, kad perubatan dan juga akaun-akaun pelaburan.

Semua ini akan melengkapkan lagi pengurusan kewangan peribadi masing-masing.

Diharapkan perkongsian kali ini bermanfaat untuk semua.

Sekian, jumpa lagi.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

Baca juga:  10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia
perancang harta pusaka islam islamic estate planner

Saya merupakan Perancang Harta Pusaka Islam (Islamic Estate Planner, IEP) yang bernaung di bawah syarikat as-Salihin Trustee Berhad (AST). Saya sedia membantu dalam perancangan harta pusaka anda; penulisan wasiat, pentadbiran harta pusaka, perjanjian aset perolehan bersama, deklarasi hibah, amanah hayat dan amanah insurans/takaful. Boleh hubungi saya di 013-9798719 (klik di sini untuk terus hubungi saya)

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini