16 Cara Selamatkan Duit Anda 2018

cara selamatkan duitSaya tertarik dengan satu infografik tips pengurusan kewangan yang dikongsikan oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) bertajuk 16 Cara Selamatkan Duit Anda 2018.

Memang sangat sesuai untuk dikongsikan kepada pembaca di blog JomUrusDuit.com ini.

Jadi, seperti biasa, saya kongsikan dan berikan sedikit ulasan tambahan bagi setiap tips yang dikongsikan.

Tanpa buang masa, jom kita lihat satu per satu tips yang dikongsikan.

Cara selamatkan duit #1 – Belanja kurang daripada pendapatan setiap bulan

Rancang baik-baik bagaimana untuk belanjakan pendapatan yang diperoleh supaya tidak terlebih belanja.

Kalau terlebih belanja, boleh menyebabkan terjebak ke dalam hutang yang tidak baik.

Apabila banyak berhutang, lemahlah kedudukan kewangan nanti.

Cara selamatkan duit #2 – Fikirkan cara untuk tambahkan pendapatan

Secara asasnya, ada 4 kuadran sumber pendapatan utama iaitu pekerjaan, bekerja/berniaga sendiri, berniaga melalui syarikat dan pelaburan.

Usah terlalu bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja, walaupun pendapatan yang dirasakan sekarang sudah lebih daripada cukup.

Kenapa?

Kerana apa-apa sahaja boleh berlaku tanpa diduga; diberhentikan kerja, syarikat menghadapi masalah, kegawatan ekonomi, kemalangan.

Oleh itu, kena kreatif untuk pelbagaikan sumber pendapatan.

Bagaimana nak tambah pendapatan?

Mulakan dengan menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran diri dengan perkara-perkara yang boleh dijadikan sumber pendapatan.

Cara selamatkan duit #3 – Ubah gaya hidup (boros kepada jimat)

Sebenarnya, ramai yang menghadapi masalah bukan disebabkan jumlah pendapatan yang tidak mencukupi, sebaliknya adalah disebabkan sikap sendiri yang suka boros.

Lebih utamakan gaya dan pandangan orang lain berbanding kemampuan sendiri.

Jadi, mulai sekarang, perlu ubah tabiat berbelanja.

Utamakan keperluan berbanding kehendak, pilih barang dengan kualiti terbaik pada harga terbaik dengan kemampuan sendiri.

Barulah duit akan selamat.

Cara selamatkan duit #4 – Rancang kewangan anda dengan buku bajet bulanan

Anda ada buat bajet belanja bulanan?

Kalau belum ada, kena mula buat sekarang.

Dengan adanya bajet, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal ke mana duit dibelanjakan.

Dan juga kita dapat tahu berapa had yang boleh diperuntukkan untuk setiap perbelanjaan.

Bajet akan membantu supaya tidak terbabas ke arah perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu.

Kalau rasa susah nak tulis dalam buku, boleh gunakan pelbagai aplikasi smartphone yang ada sekarang.

Baca juga:  [REVIEW] Combo ASB Genius: Himpunan Teknik Loan ASB Terbaik

Cara selamatkan duit #5 – Mulakan menabung dengan duit berwarna (RM 5, RM 10, RM 20)

Ini adalah salah satu cara simpan duit yang mudah untuk dilakukan; wujudkan tabung duit warna.

Contohnya, tabung oren untuk duit not RM 20, atau tabung hijau untuk duit not RM 5

Setiap kali dapat duit not warna tersebut, jangan belanjakan, tetapi terus simpan ke dalam tabung.

Buat bersama-sama pasangan dan anak-anak, lebih seronok.

Selepas beberapa bulan, buka tabung dan lihat hasilnya.

Pasti tersenyum.

Cara selamatkan duit #6 – Bagi pengguna kad kredit, elakkan pembayaran minima

Kad kredit ini umpama pedang bermata dua; kalau tersalah cara guna, boleh membahayakan diri-sendiri.

Guna kad kredit memang senang, tak perlu bawa duit cash yang banyak, hanya perlu swipe sahaja.

Tetapi, kalau tak terkawal, buruk padahnya.

Lagi teruk, apabila tak dapat bayar, atau bayar bayaran minima sahaja.

Dalam kadar faedah kad kredit yang tinggi, situasi sebegini akan menyebabkan pengguna boleh terbeban dengan jumlah hutang yang tinggi.

Cara selamatkan duit #7 – Tahan tabiat membeli belah, beli apabila perlu

Yang ini berkait rapat dengan tips #3 di atas.

Kalau diri sendiri memang suka membeli-belah, kena ambil langkah untuk kurangkan tabiat tersebut.

Salah satu caranya, kurangkan bercakap dengan orang lain berkenaan sebarang jualan murah.

Kurangkan melawat ke pusat-pusat membeli belah.

Kalau suka membeli belah online, kurangkan melayari kedai-kedai online.

Sibukkan diri dengan buat perkara-perkara lain yang lebih bermanfaat, insyaAllah tabiat membeli-belah dapat dikurangkan.

Cara selamatkan duit #8 – Pupuk tabiat bebas hutang

Elakkan daripada melakukan hutang-hutang jahat.

Contoh hutang-hutang jahat adalah seperti beli perabot mewah guna ansuran mudah, beli baju mahal guna kad kredit dan buat pinjaman peribadi untuk join skim cepat kaya.

Kalau nak berhutang, pastikan buat hutang yang disandarkan kepada aset, contohnya buat beli rumah dan tanah.

Dan apabila berhutang, pastikan buat bayaran mengikut jadual dan jumlah yang ditetapkan.

Kalau ada duit lebihan, boleh guna untuk buat bayaran tambahan supaya dapat bebas hutang dengan lebih cepat.

Cara selamatkan duit #9 – Pilih pakej insurans/takaful kenderaan yang berpatutan

Memiliki kereta memang merupakan satu beban.

Bukan sahaja perlu bayar ansuran bulanan bagi pinjaman/pembiayaan kereta, malah kena turut fikir kos-kos lain seperti minyak, tol, penyelenggaraan dan parking.

Setiap tahun pula, perlu fikirkan kos cukai jalan dan juga insurans/takaful kenderaan yang perlu diperbaharui.

Sebagai orang yang bijak kewangan, pilihlah pakej insurans/takaful kenderaan yang berpatutan.

Bertepatan dengan liberalisasi insurans/takaful kenderaan sekarang, sebagai pengguna, perlulah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan sentiasa ditawarkan pakej perlindungan insurans/takaful kenderaan yang murah.

Cara selamatkan duit #10 – Kurangkan beriadah di pusat membeli belah

Tips ini pun berkait dengan tips #3 dan #7.

Apabila suka beriadah di pusat membeli belah, niat asal yang tak mahu berbelanja pun, boleh tewas.

Sedar tak sedar, banyak duit mengalir terbeli barang-barang yang sebenarnya tak diperlukan pun.

Oleh itu, kurangkan beriadah di pusat membeli belah.

Jika kawan-kawan ajak berjumpa atau bersiar-siar, lebih baik pergi ke tempat yang tak perlukan banyak belanja seperti ke taman, pusat rekreasi atau pantai.

Cara selamatkan duit #11 – Kurangkan merokok

Orang yang merokok adalah orang kaya yang kurang cerdik.

Maaf, mungkin kendengaran agak kasar, namun ini adalah pendapat peribadi saya yang memang tak suka kepada perokok.

Perokok sanggup membakar duit untuk menghisap asap dan bahan-bahan kimia yang bukan sahaja tidak membawa faedah, malah boleh merosakkan tubuh badan.

Dan menjadi punca kepada banyak penyakit bukan sahaja kepada diri-sendiri, malah kepada orang di sekeliling yang terpaksa menghirup asap rokok yang dilepaskan.

Jadi, daripada dibakar sahaja duit tersebut, lebih baik disimpan dan dilaburkan sahaja.

Kurangkan merokok, duit dapat dijimatkan.

Lebih baik jika berhenti terus.

cara selamatkan duit

Baca juga:  Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik? II

Cara selamatkan duit #12 – Amalkan pemakanan yang sihat dan kerap bersenam

Pada masa sekarang, kos rawatan sesuatu penyakit boleh mencecah jumlah yang tinggi.

Oleh itu, cara yang paling mudah untuk mengelak perkara ini adalah dengan menjaga kesihatan; mengamalkan pemakanan yang sihat dan kerap bersenam.

Dengan menjaga kesihatan dengan baik, bukan sahaja dapat mengelakkan terpaksa keluarkan belanja untuk merawat penyakit, malah menambah produktiviti diri-sendiri dalam melakukan kerja.

Produktiviti bertambah, pendapatan juga bertambah.

Cara selamatkan duit #13 – Ukur baju di badan sendiri

Berbelanjalah mengikut keupayan pendapatan masing-masing.

Jangan terikut-ikut gaya orang lain.

Jangan terikut-ikut nafsu sendiri.

Jangan sampai berhutang kalau sekadar nak kelihatan hebat di mata orang lain.

Ukur baju di badan sendiri, berbelanja pada perkara yang perlu mengikut kemampuan.

Cara selamatkan duit #14 – Kitar semula pakaian terpakai

Tak perlulah sampai terlalu kerap membeli pakaian baru.

Selagi pakaian sedia ada masih elok dan boleh dipakai, pakailah sahaja.

Cara selamatkan duit #15 – Kawal tabiat boros terhadap aksesori kereta

Tak salah untuk mempunyai minat dan hobi dengan kereta.

Tetapi, memang satu masalah kalau terlalu boros dengan minat tersebut.

Berpada-padalah, utamakan belanja yang perlu dahulu, utamakan isteri dan anak-anak dahulu.

Cara selamatkan duit #16 – Banyak menggunakan pengangkutan awam

Bagi yang tinggal di Lembah Klang, dengan kemudahan pengangkutan awam yang ada, memang digalakkan untuk menggunakan kemudahan yang disediakan tersebut.

Bukan sahaja lebih jimat wang, malah lebih jimat masa dan tenaga.

Malah, menggunakan pengangkutan awam lebih baik untuk alam sekitar.

Jadi, tak perlu malu-malu gunakan kemudahan pengangkutan awam.

..

Baca juga:  Tips Urus Kewangan Negatif

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

4 Comments

  1. postfishcracker

    gaji kecil macam mana nak uruskan kewangan?
    https://cukaipendapatan.wordpress.com/2017/03/14/penalti-seksyen-1123/

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Tak penting gaji besar atau kecil, yang penting kreatif untuk uruskannya.

      Reply
      1. Saiful

        Setuju. Gaji besar, simpan besar, gaji kecil, simpan kecil. Tabiat menyimpan itu jauh lebih penting daripada jumlah yang boleh disimpan.

        Reply
        1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

          Betul tu 🙂

          Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini