5 Tahap Kewangan Peribadi: Anda Di Mana?

tahap kewangan peribadiSetiap kemunculan awal tahun merupakan waktu yang sesuai untuk menilai semula di manakah tahap kewangan peribadi masing-masing.

Adakah bertambah baik dari tahun sebelumnya, masih di tahap lama atau semakin teruk?

Adakah pelan kewangan yang dirancang berjalan dengan baik?

Adakah matlamat kewangan yang diingini masih dalam jangkauan?

Semua soalan-soalan ini perlu dijawab dalam menilai pengurusan kewangan peribadi masing-masing.

Daripada jawapan yang diperoleh, bolehlah dibuat adjustment kepada pelan kewangan masing-masing agar tahap kewangan peribadi bertambah baik dan matlamat kewangan dapat dicapai.

Untuk menilai tahap kewangan peribadi masing-masing, boleh fokus kepada dua perkara utama, iaitu aliran tunai (pendapatan vs perbelanjaan) dan kedudukan kewangan (aset vs liabiliti)

Tahap kewangan peribadi seseorang boleh dikelaskan kepada lima tahap yang berikut:

Tahap kewangan peribadi #1 – Financial instability

Tahap pertama ini menggambarkan golongan yang mempunyai aliran tunai negatif, iaitu perbelanjaan lebih banyak berbanding pendapatan.

Tak kisah sebesar mana pun pendapatan yang diperoleh, jika jumlah perbelanjaan lebih besar, golongan ini sedang menghadapi masalah aliran tunai.

Bak kata orang, besar periuk, besarlah keraknya.

Golongan ini kebiasaannya lebih mengutamakan gaya dan kemewahan, walaupun sebenarnya mereka tidak mampu pun untuk bergaya dan hidup dalam kemewahan tersebut.

Lebih teruk lagi, akibat perbelanjaan yang sentiasa melebihi pendapatan, golongan yang berada pada tahap ini terpaksa membuat hutang-hutang jahat atau tidak produktif yang berlebihan, seperti kad kredit dan pembiayaan peribadi.

Sudahlah pendapatan tidak mencukupi, aset tidak dapat dibina, hutang pula keliling-pinggang.

Akibatnya, golongan ini mempunyai tahap kewangan peribadi yang tidak stabil.

Baca juga:  Tips Jimat Duit Belanja Beli-belah Dengan Shopback

Tahap kewangan peribadi #2 – Financial stability/sufficiency

tahap kewangan peribadiGolongan yang berada pada tahap kedua ini boleh dikatakan menghabiskan semua pendapatan yang diperoleh untuk menampung semua perbelanjaan mereka.

Tiada simpanan dibuat, tiada aset dibina; jika ada pun, jumlahnya adalah sedikit.

Hampir semua pendapatan dibelanjakan, pendapatan hanya cukup-cukup untuk dibelanjakan.

Jika ada hutang pun, hutang-hutang tersebut masih mencukupi ditampung dengan pendapatan yang diperoleh.

Mereka tidak terbeban dengan hutang, tetapi pada masa yang sama mereka tidak mempunyai banyak simpanan dan aset.

Tahap kewangan peribadi #3 – Financial security

Apabila berada pada tahap ketiga ini, golongan ini kebiasaannya mempunyai pengurusan kewangan yang baik.

Pendapatan diagihkan sebaik-baiknya untuk simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan.

Simpanan asas mencecah 3 ke 6 bulan pendapatan sebagai dana rizab, lebihan simpanan dilaburkan sebaik-baiknya ke dalam peluang pelaburan terbaik yang mereka pilih untuk memantapkan kedudukan kewangan mereka.

Dari semasa ke semasa, simpanan dan aset tersebut sentiasa ditambah.

Mereka mengawal perbelanjaan sebaik-baiknya, mereka hidup di bawah kemampuan dan sentiasa mengikut bajet yang dibuat supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.

Hutang-hutang pula diambil untuk perkara-perkara penting sahaja dan dikawal pada paras minimum, antara 30% ke 50% sahaja daripada pendapatan.

Jika berada pada tahap ini pun, sudah satu pencapaian yang membanggakan.

Tahap kewangan peribadi #4 – Financial freedom

Mencapai tahap financial freedom adalah impian ramai orang, termasuklah saya sendiri.

Sama seperti golongan pada tahap ketiga (financial security), mereka yang berada pada tahap financial freedom turut mengawal pendapatan yang diperoleh supaya simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan dilakukan dengan baik.

Mereka juga mempunyai simpanan asas sebagai dana rizab, dan menambah aset dari semasa ke semasa.

Mereka juga mungkin turut mempunyai hutang, tetapi masih pada perkara-perkara penting dan dikawal pada paras minimum juga.

Bezanya, pendapatan yang mereka peroleh adalah daripada pendapatan pasif, sama ada daripada sistem bisnes atau pelaburan yang mereka lakukan.

Manakala golongan pada tahap ketiga bergantung kepada pendapatan aktif, sama ada daripada kerjaya atau perniagaan mereka.

Kiranya, mereka yang mencapai financial freedom mampu menampung keperluan hidup mereka walaupun tidak bekerja kerana pendapatan pasif mereka adalah mencukupi.

Baca juga:  Tips Simpan Duit: Berapa Banyak Nak Simpan? Simpan Kat Mana?

Tahap kewangan peribadi #5 – Financial wealth

tahap kewangan peribadiGolongan yang berada pada tahap teratas ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan duit, kecuali satu sahaja.

Apakah masalah tersebut?

Masalah mereka adalah duit yang terlalu banyak.

Golongan ini mempunyai duit yang banyak hasil daripada pendapatan aktif dan pasif, yang mana mereka gunakan untuk berbelanja ke mana sahaja yang mereka kehendaki.

Mereka mempunyai simpanan yang banyak, dan jumlah aset yang menjana pendapatan yang stabil untuk mereka.

Mereka boleh hidup mewah dengan pendapatan yang diperoleh, bukan setakat menampung keperluan asas sahaja.

Senang kata, mereka adalah orang kaya!

Di Mana Tahap Kewangan Peribadi Anda?

Setelah meneliti kelima-lima tahap kewangan di atas, adakah sekarang anda dapat mengenalpasti di mana tahap anda sekarang?

Adakah masih terkial-kial di tahap pertama?

Stabil di tahap kedua?

Selesa di tahap ketiga?

Bebas di tahap keempat?

Atau mewah di tahap kelima?

Dari semasa ke semasa, perbaikilah tahap kewangan masing-masing.

Bagaimana nak baiki tahap kewangan sendiri?

Pertama, banyakkan tambah ilmu tentang pengurusan kewangan peribadi.

Kedua, tetapkan matlamat dan tahap kewangan yang dikehendaki.

Kemudian, rangka pelan (roadmap) untuk mencapai matlamat yang ditetapkan tersebut.

Akhir sekali, laksanakan pelan tersebut dan buat analisa dari semasa ke semasa.

Seperti yang ditulis pada awal artikel tadi, tahap kewangan seseorang dinilai berdasarkan dua perkara utama iaitu aliran tunai dan kedudukan kewangan.

Jadi, jika nak tambah baik tahap kewangan, fokus kepada dua perkara tersebut.

Tambah pendapatan dan kurangkan perbelanjaan supaya aliran tunai menjadi positif.

Tambah aset dan kurangkan hutang supaya kedudukan kewangan kukuh.

Jika ini dilakukan secara berterusan, percayalah, tahap kewangan anda akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Penyelesaian yang klise, bukan?

Ya, memang klise.

Tetapi, yang klise inilah yang ramai abaikan.

Sudahnya, tahap kewangan kekal seperti dulu, langsung tiada perubahan.

Sebenarnya, yang klise inilah penyelesaian asas dan umum yang perlu dilakukan.

Apabila dah nampak jalan, bolehlah spesifikkan penyelesaian tersebut khas untuk diri anda.

Baca juga:  Pengurusan Harta Pusaka Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

1 Comment

  1. Pingback: Tahap Literasi Pengurusan Kewangan Rakyat Malaysia - Loan Express

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini