Tag Archive: cukai pendapatan

Buat Duit Dengan Uber Untuk Jana Pendapatan Tambahan

buat duit dengan uberDalam artikel 2 Formula & Tips Beli Kereta Supaya Tak Terbeban, saya ada menyatakan bahawa memiliki kereta adalah satu beban atau liabiliti.

Dengan memiliki kereta, kita bukan sahaja perlu menanggung bayaran ansuran bulanan untuk membayar pembiayaan/pinjaman kereta tersebut, malah perlu membayar kos-kos lain seperti minyak/petrol, cukai jalan, insurans/takaful kenderaan, kos penyelenggaraan, tol dan juga caj parking.

Tetapi, tahukah anda bahawa kereta juga boleh menjadi ‘mesin’ duit yang lumayan?

Terdapat 3 cara yang biasa orang lakukan untuk tukarkan kereta daripada liabiliti kepada mesin duit:

1. Jual-beli kereta – Samaada menjadi seorang jurujual (salesman)/agen jualan kereta atau terlibat dalam jual-beli kereta terpakai.

2. Sewa/pajak kereta – Kereta yang dimiliki boleh disewakan kepada mereka yang memerlukan, ataupun dipajakkan kepada mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa.

3. Bawa penumpang – Bawa penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi dan kenakan caj/tambang ke atas mereka.

Untuk cara nombor 3, kita mungkin biasa dengan teksi atau bas sahaja.

Tetapi, dengan kemajuan teknologi, sekarang kita berpeluang untuk menjana pendapatan dengan membawa penumpang melalui ride-sharing platform seperti Uber dan GrabCar.

Pengenalan Kepada Uber

Uber adalah salah satu syarikat yang menawarkan ride-sharing platform melalui applikasi mereka, Uber apps.

Melalui Uber, mereka menawarkan:
  • Kepada penumpang: Perkhidmatan mendapatkan kenderaan untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi dengan mudah, selamat dan murah
  • Kepada pemandu: Peluang menjana pendapatan dengan membawa penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi dengan mudah, fleksibel dan lumayan

Sehingga sekarang, Uber telah digunakan secara meluas merangkumi 374 buah bandar di lebih 85 buah negara serata dunia.

Di Malaysia, Uber telah beroperasi di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Penang, Kota Kinabalu dan Ipoh.

Bagaimana Buat Duit Dengan Uber?

Salah satu caranya adalah dengan menjadi pemandu kepada Uber, yang dikenali sebagai Uber Partner atau Uber Driver.

Potensi pendapatan; ada yang berjaya menjana pendapatan 4 angka sebulan secara sambilan sahaja.

Ada juga yang berjaya menjana pendapatan 4 angka setiap minggu yang mana boleh mencecah 5 angka setiap bulan!

Untuk menjadi seorang Uber Partner, prosesnya memang mudah dan pendaftaran adalah percuma.

Jadi, memang rugi jika tidak direbut peluang ini untuk menjana pendapatan dengan Uber.

Tambahan lagi, sekarang kerajaan telah pun bercadang untuk ‘menghalalkan’ perkhidmatan Uber yang sebelum ini masih samar-samar (boleh rujuk di sini)

Apa Syarat-syarat Menjadi Uber Partner?

Buat masa sekarang, sebelum undang-undang baru diperkenalkan kerajaan, seseorang yang ingin menjadi Uber Partner hanya perlu memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  1. Warganegara Malaysia
  2. Berumur 21 tahun ke atas
  3. Tiada rekod saman tertunggak
  4. Tiada rekod jenayah

Keperluan-keperluan Uber Partner

Hanya perlu sediakan keperluan-keperluan yang berikut untuk menjadi seorang Uber Partner:

  1. Kereta 4 pintu berusia 8 tahun ke bawah
  2. Telefon pintar/smartphone
  3. Talian internet/data telefon
  4. Salinan kad pengenalan (MyKad)
  5. Salinan lesen memandu kelas D penuh
  6. Salinan cover note insurans/takaful kereta

Hanya perlu memenuhi syarat-syarat dan menyediakan keperluan-keperluan di atas sahaja, anda dah boleh mendaftar sebagai seorang Uber Partner.

Sebagai Uber Partner, anda boleh bekerja secara sambilan atau sepenuh masa.

Anda boleh menentukan sendiri jumlah waktu bekerja dan anggaran pendapatan yang ingin diraih.

Namun, walaupun mudah, senang dan fleksibel, masih ramai yang ragu-ragu untuk menjadi seorang Uber Partner.

Puncanya, adalah kurang pendedahan dan pengetahuan berkenaan kerjaya Uber Partner.

Walhal kerjaya sebagai Uber Partner menjanjikan potensi pendapatan sehingga 5 angka sebulan jika bersungguh-sungguh berkhidmat.

Tawaran Istimewa!

buat duit dengan uberUntuk mengatasi masalah kurangnya pendedahan dan pengetahuan berkenaan kerjaya Uber, saya telah menyediakan 3 buah ebook Buat Duit Dengan Uber yang mana akan diberikan secara PERCUMA kepada mereka yang berminat.

Jom lihat kandungan setiap ebook ini.

1. Buat Duit Dengan Uber Basic

Ebook ini mengandungi:

  • Pengenalan kepada Uber – Jenis-jenis kenderaan Uber di Malaysia, cara mendaftar sebagai Uber Rider (penumpang) dan cara menggunakan Uber apps
  • Kelebihan-kelebihan menjadi Uber Partner – Ada banyak kelebihan menjadi Uber Partner, sebab itulah rugi jika tidak mengambil peluang menjalankan khidmat ini
  • Syarat-syarat menjadi Uber Partner – Diterangkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi seorang Uber Partner
  • Keperluan-keperluan seorang Uber Partner – Dihuraikan secara jelas berserta contoh berkenaan keperluan-keperluan untuk menjadi seorang Uber Partner; samaada keperluan peralatan mahupun keperluan dokumen yang perlu disediakan
  • Langkah demi langkah mendaftar sebagai Uber Partner – Ada 4 cara untuk mendaftar sebagai Uber Partner, dan setiap cara ditunjukkan langkah demi langkah berserta gambar supaya memudahkan pembaca mendaftar sebagai Uber Partner
  • Potensi pendapatan sebagai Uber Partner – Didedahkan rahsia bagaimana berkhidmat sebagai Uber Partner secara sambilan dan menjana pendapatan sehingga 4 angka setiap bulan

Ebook pertama ini boleh dikatakan panduan yang lengkap bagi memulakan langkah pertama menjadi seorang Uber Partner.

2. Buat Duit Dengan Uber Advance

  • Kandungan ebook kedua ini lebih kepada:
  • Keperluan-keperluan tambahan – Uber Partner amat disarankan menyediakan keperluan-keperluan tambahan ini untuk memudahkan tugasan menjadi seorang Uber Partner
  • Persediaan-persediaan awal – Dengan melakukan persediaan yang rapi, tugasan sebagai Uber Partner akan menjadi lebih mudah
  • Langkah demi langkah bagaimana menerima request trip – Ini akan membantu Uber Partner memahami apa yang perlu dilakukan apabila menerima request trip pertama nanti; jadi tidaklah gugup atau takut ketika menerima tugasan pertama
  • Insentif-insentif disediakan Uber – Dengan adanya insentif-insentif ini, Uber Partner berpotensi menjana pendapatan sehingga 4 angka seminggu atau lebih RM 1,000 setiap minggu!
  • Lokasi-lokasi ‘hot’ – Jika Uber Partner berada di lokasi-lokasi ini, memang tidak perlu risau untuk mencari pelanggan
  • Sistem Rating Uber – Fahami bagaimana sistem rating Uber berfungsi
  • Tips mendapatkan rating tinggi – Dengan tips-tips ini, akan membantu Uber Partner baru untuk menjadi seorang pemandu 5 bintang!

Ebook kedua ini akan membantu pembacanya menjadikan kerjaya Uber Partner sebagai satu kerjaya yang menyeronokkan dan memberi pulangan lumayan.

3. Buat Duit Dengan Uber Premium

  • Kandungan ebook ketiga ini adalah:
  • Tips-tips meminimakan kos & memaksimakan pendapatan – Kurangkan kos dan pada masa sama tingkatkan pendapatan
  • Teknik-teknik menjana pendapatan tambahan – Selain memandu, Uber Partner boleh melakukan perkara-perkara lain untuk menambah pendapatan
  • Teknik-teknik promosi – Teknik-teknik ini amat membantu Uber Partner untuk menjana pendapatan tambahan

Dalam ebook ketiga ini, rahsia bagaimana Uber Partner boleh menjana pendapatan sehingga 5 angka sebulan didedahkan.

Lebih menarik lagi, pendapatan tersebut boleh dijana walaupun tidak memandu.

Bagaimana Nak Dapatkan Ebook-ebook Ini?

Seperti yang saya tulis di atas, ebook-ebook ini akan saya berikan PERCUMA kepada mereka yang berminat untuk menjadi Uber Partner.

Jika berminat, cuma perlu lakukan 2 langkah yang berikut:

Langkah #1

LIKE / SHARE / KOMEN / TAG rakan anda pada post Facebook yang berikut:

https://www.facebook.com/jomurusduit/posts/519115368282536

buat duit dengan uber

Langkah #2

Maklumkan saya melalui emel mysohojob[at]gmail.com (gantikan [at] dengan @) atau Whatsapp ke 013-9798719

Hanya perlu hantar, “Saya nak ebook Uber”

Saya akan semak dan sahkan samaada anda telah lakukan langkah #1 atau tidak.

Jika ya, saya akan emelkan ebook di atas terus kepada anda.

Mudah sahaja, bukan?

Jadi, jangan lepaskan peluang ini!

10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia

cukai pendapatan income taxDi Malaysia, sistem taksiran sendiri digunakan untuk mengira cukai pendapatan yang perlu dibayar.

Dalam sistem taksiran sendiri ini, setiap orang yang memenuhi syarat perlu menyerahkan borang taksiran secara atas talian melalui sistem e-filing kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Apa yang perlu diisytiharkan dalam borang taksiran tersebut adalah semua pendapatan bercukai, potongan cukai, pelepasan cukai dan rebat cukai yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Selepas semuanya diisytiharkan, pengiraan untuk cukai pendapatan akan dijana secara automatik.

Tempoh serahan borang dan pembayaran cukai bermula pada 1 Mac dan berakhir pada 30 April atau 30 Jun bergantung kepada jenis pendapatan yang diperoleh, dan taksiran dilakukan untuk tahun sebelumnya (taksiran tahun 2016 dilakukan pada tahun 2017, taksiran tahun 2017 dilakukan pada tahun 2018)

Bagi yang baru mula bekerja atau baru memenuhi syarat dikenakan cukai pendapatan, perlu membuka fail dengan LHDN terlebih dahulu dengan mendaftar di e-daftar.

Selepas memuat naik salinan kad pengenalan dan disahkan LHDN, pemohon akan diberikan nombor PIN untuk akses ke sistem e-filing.

Untuk langkah-langkah cara isi e-filing, boleh klik di sini: Panduan Lengkap Cara Isi e-Filing

Untuk lebih memahami berkenaan cukai pendapatan, 10 perkara yang berikut perlu diketahui:

1. Pendapatan Bercukai

Pendapatan bercukai adalah jumlah pendapatan tahunan individu yang layak dikenakan cukai.

Jumlah cukai yang perlu dibayar akan dikira ke atas pendapatan bercukai sahaja.

Buat masa sekarang (sehingga tahun taksiran 2017), had pendapatan bercukai minimum (atau gaji minimum dikenakan cukai pendapatan) adalah RM 34,000/tahun atau RM 2,834/bulan (selepas pemotongan KWSP), jadi mereka yang mencapai jumlah pendapatan tahunan tersebut perlu membuka fail dan menyerahkan borang taksiran kepada LHDN.

Pendapatan bercukai dikira dengan  menjumlahkan semua pendapatan yang diperoleh (gaji, dividen, hasil sewaan, royalti, ganjaran, hadiah) tolak pengecualian cukai, pelepasan cukai yang dibenarkan dan potongan cukai.

  • pendapatan bercukai = jumlah pendapatan – pengecualian cukai – pelepasan cukai – potongan cukai

2. Pengecualian Cukai

Bertuahnya di Malaysia, bukan semua jenis pendapatan adalah pendapatan bercukai ataupun dikenakan cukai.

Terdapat beberapa jenis pendapatan yang dikecualikan cukai, antaranya termasuklah kemudahan perjalanan, manfaat kesihatan dan perubatan, bayaran gratuiti, pampasan, pencen, biasiswa, bayaran persembahan kebudayaan, faedah, dividen, royalti, bayaran kepakaran, pendapatan hasil kajian saintifik dan elaun perjalanan.

Namun, jumlah atau kadar pengecualian adalah berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

3. Potongan Cukai

Derma dan hadiah yang diberikan kepada badan-badan yang diiktiraf kerajaan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan adalah dibenarkan potongan daripada pendapatan bercukai.

Buat masa sekarang, kadar potongan adalah 7% daripada jumlah pendapatan bercukai.

Contohnya, pendapatan bercukai tahunan adalah RM 55,000 dan jumlah derma/hadiah yang disahkan adalah RM 2,500.

Maka, potongan cukai adalah sebanyak RM 3,850 (RM 55,000 x 7%), menjadikan jumlah pendapatan bercukai sebanyak RM 51,150 (RM 55,000 – RM 3,850)

4. Pelepasan Cukai

Pelepasan cukai merujuk kepada perbelanjaan-perbelanjaan atau perkara-perkara yang dibenarkan untuk ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan supaya dapat mengurangkan pendapatan bercukai.

Jenis perbelanjaan/perkara dan jumlah pelepasan adalah bergantung kepada dasar dan polisi yang ditetapkan LHDN; ada yang kekal dan ada yang berubah setiap tahun.

Pelepasan cukai diberikan kebiasaannya untuk menggalakkan perbelanjaan-perbelanjaan tertentu (seperti membeli buku dan peralatan sukan) dan mengurangkan beban-beban kewangan yang ditanggung (seperti alimoni kepada pasangan, perbelanjaan perubatan ibubapa, yuran pendidikan)

Pelepasan cukai boleh mengurangkan pendapatan bercukai dan seterusnya mengurangkan kadar cukai yang dikenakan.

Contohnya, bagi yang berpendapatan bercukai RM 84,300, kadar cukai adalah 10% jika langsung tiada pelepasan cukai.

Tetapi, jika dikira pelepasan cukai individu (RM 9,000), caruman KWSP (RM 6,000) dan caruman takaful perubatan (RM 2,000), jumlah pendapatan bercukai sekarang adalah RM 67,300 yang mana kadar cukainya adalah 7% sahaja.

*Untuk senarai pelepasan cukai untuk digunakan semasa mengisi e-Filing bermula 01 Mac 2020, klik di sini: Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2019 Untuk e-Filing 2020

Contoh pengiraan pendapatan bercukai

cukai pendapatan income taxSetelah mengisytiharkan semua pendapatan tahunan, pengecualian, potongan dan pelepasan cukai, maka pengiraan jumlah pendapatan bercukai boleh dilakukan.

Sebagai contoh, jumlah semua pendapatan tahunan Ali adalah RM 84,300 (gaji = RM 60,000; dividen ASB = RM 1,700; dividen Tabung Haji = RM 1,000; kerja lebih masa = RM 12,000 & hasil sewaan = RM 9,600)  *dividen ASB dan TH adalah pendapatan dikecualikan cukai

Ali juga mempunyai pelepasan individu (RM 9,000), caruman KWSP (RM 6,000) dan takaful perubatan (RM 2,000) sebagai pelepasan cukai.

Jadi, pendapatan bercukai Ali adalah:

pendapatan bercukai = pendapatan tahunan – pengecualian cukai – pelepasan cukai = RM 84,300 – RM 1,700 (ASB) – RM 1,000 (TH) – RM 9,000 (individu)  – RM 6,000 (KWSP) – RM 2,000 (takaful) = RM 64,600

Ali juga ada membuat derma kepada badan-badan diiktiraf sebanyak RM 5,000, maka beliau layak menerima potongan cukai.

Maka, potongan cukai adalah sebanyak RM 4,522 (RM 64,600 x 7%), menjadikan jumlah pendapatan bercukai Ali adalah sebanyak RM 60,078 (RM 64,600 – RM 4,522)

5. Kadar Cukai

Kadar cukai adalah ditetapkan oleh kerajaan, dan sebarang perubahan kebiasaannya diumumkan semasa pembentangan bajet negara pada Oktober setiap tahun.

Untuk tahun taksiran 2016 dan 2017, kadar cukai adalah seperti pada gambarajah (klik pada gambar untuk lebih jelas):

kadar cukai pendapatan 2017

Dapat dilihat bahawa kadar cukai adalah berkadar langsung dengan jumlah pendapatan bercukai; semakin tinggi jumlah pendapatan bercukai, semakin tinggi kadar cukai dan seterusnya semakin tinggi jumlah cukai perlu bayar.

Jadi, untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar, strateginya adalah dengan menggunakan semaksimumnya pelepasan dan potongan cukai.

Contoh pengiraan cukai pendapatan:

Untuk contoh kes Ali di atas, dengan pendapatan bercukai RM 60,078 (RM 50,000 + RM 10,078)

jumlah cukai = RM 2,400 (untuk RM 50,000 pertama) + RM 1,612.48 (16% x RM 10,078) = RM 4,012.48

6. Rebat Cukai

Rebat cukai adalah keistimewaan yang diberikan untuk mengurangkan jumlah cukai perlu bayar, dan jumlahnya ditolak terus dari jumlah cukai perlu bayar, bukannya daripada jumlah pendapatan bercukai.

Hanya dua sahaja rebat cukai yang diberikan; yang pertama adalah rebat suami/isteri (RM 400) bagi individu yang mempunyai pendapatan bercukai kurang RM 35,000 dan yang kedua adalah bayaran fitrah/zakat (mengikut jumlah yang dikeluarkan)

Dengan adanya rebat untuk fitrah/zakat, maka rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak perlu mengeluarkan dua kali bayaran berasingan untuk penyucian harta.

Dalam contoh Ali di atas, sekiranya beliau membayar zakat pendapatan sebanyak RM 1,200/tahun, maka beliau layak mendapat rebat cukai sebanyak RM 1,200

Maka jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 2,812.46 (RM 4,012.46 – RM 1,200)

7. Potongan Cukai Berjadual (PCB)

Potongan Cukai Berjadual (PCB) adalah keadaan di mana majikan memotong sebahagian pendapatan pekerja yang mana potongan ini adalah untuk cukai pendapatan tahun semasa.

Jumlah potongan adalah berdasarkan kepada data peribadi pekerja dan jadual pemotongan yang dikeluarkan oleh LHDN.

Walaupun telah ada PCB, pekerja masih tetap perlu menyerahkan borang taksiran kepada LHDN melalui e-filing kerana perlu mengisytiharkan pendapatan lain, potongan, pelepasan dan rebat cukai yang ada.

PCB membantu untuk mengurangkan beban membayar cukai yang dikenakan secara sekaligus.

Sebagai contoh kes Ali di atas, sekiranya majikan beliau membuat PCB sebanyak RM 50/bulan, maka jumlah PCB setahun Ali adalah RM 600.

Maka, jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 2,212.46 (RM 2,812.46 – RM 600)

8. Cara Bayar Cukai Pendapatan

Berikut merupakan beberapa cara untuk membayar cukai pendapatan:

i. Perkhidmatan FPX (Financial Process Exchange) melalui ByrHasil (https://byrhasil.hasil.gov.my/)

ii. Kad kredit/debit melalui ByrHasil (https://byrhasil.hasil.gov.my/)

iii. Kaunter agen-agen LHDN seperti Maybank, CIMB, Pos Malaysia

iv. Perbankan internet seperti Maybank2u, CIMB Clicks, MyBSN

v. Mesin-mesin ATM Public Bank, Maybank dan CIMB yang terpilih

vi. Tele-banking melalui telefon ke Maybank Berhad – Kawanku Phone Banking (1-300-88-6688)

vii. Mesin Deposit Cek di Public Bank terpilih

Bagi mereka yang berada di luar negara, boleh menggunakan kemudahan Telegraphic Transfer (TT)/Transfer Interbank Giro (IBG)/Electronic Fund Transfer (EFT) dan juga bank draft.

Bagi mereka yang tidak mampu membayar secara sekaligus, boleh memohon untuk membayar secara ansuran.

Syaratnya, perlu menghantar surat permohonan kepada LHDN sebelum 30 April.

Jika tidak berjaya membayar cukai pendapatan yang dikenakan sebelum tarikh yang ditetapkan, maka penalti lewat bayar akan dikenakan.

Penaltinya adalah 10% daripada baki jumlah yang tidak dibayar dan jika bayaran masih belum diterima sehingga 60 hari, tambahan 5% akan dikenakan.

Contohnya, lewat bayar cukai sebanyak RM 700.

Penalti pertama adalah RM 70 (10% x RM 700), menjadikan jumlah perlu bayar adalah RM 770.

Jika masih belum bayar sehingga 60 hari, maka tambahan penalti adalah RM 38.50 (5% x RM 770), menjadikan jumlah perlu bayar adalah RM 808.50

Walaubagaimanapun, rayuan masih boleh dilakukan untuk mengurangkan penalti yang dikenakan dengan menghantar surat rayuan dalam masa 30 hari notis penalti dikeluarkan.

9. Bayaran Balik Cukai Pendapatan

cukai pendapatan income taxBerlaku juga situasi yang mana LHDN perlu membuat bayaran balik cukai pendapatan kerana jumlah cukai yang dikutip melalui PCB melebihi jumlah cukai perlu bayar.

Contohnya dalam situasi Ali di atas, katakanlah PCB yang dibuat adalah RM 300/bulan, maka jumlah PCB adalah RM 3,600 sedangkan jumlah cukai perlu bayar hanyalah RM 2,812.46.

Maka terdapat lebihan sebanyak RM 787.54

Lebihan ini akan dipulangkan oleh LHDN ke akaun yang diberikan oleh Ali semasa mengisi borang taksiran, atau melalui baucer khas yang boleh ditunaikan di CIMB atau CIMB Islamic sahaja.

10. Tanggungjawab Individu

Selain menyerahkan borang taksiran dan membayar cukai yang dikenakan, setiap individu juga bertanggungjawab untuk:

i. Mengisytiharkan semua pendapatan, potongan, pelepasan dan rebat cukai dengan jujur dan betul

ii. Menyimpan semua dokumen (salinan borang taksiran, resit-resit perbelanjaan untuk potongan, pelepasan dan rebat cukai, sijil perkahwinan, sijil perakuan doktor dan lain-lain) untuk tempoh 7 tahun daripada tahun taksiran

iii. Bersedia untuk diaudit oleh LHDN; LHDN berhak meminta anda untuk menghantar bukti-bukti resit dan sijil yang diisytiharkan dalam borang taksiran

Itulah sahaja 10 perkara penting berkenaan cukai pendapatan yang perlu diketahui.

Membayar cukai adalah cara untuk kita menyumbang kepada pendapatan negara, seterusnya kepada kemakmuran dan kesejahteraan kita semua.

Jadi, sebaik-baiknya janganlah mengelak atau lari daripada membayar cukai.

Untuk makluman lanjut berkenaan cukai pendapatan, boleh rujuk di laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/

..

3 Cara Utama Penyucian Harta

penyucian hartaDalam kita sibuk mencari pendapatan dan menambah harta melalui pelaburan, jangan sekali-kali lupa tentang proses penyucian (purification).

Proses penyucian ini bukanlah bermaksud membersihkan harta atau pendapatan yang haram supaya menjadi bersih dan halal diguna.

Pendapatan yang haram, tetap haram dan berdosa.

Tetap perlu dijauhi.

Harta yang diperoleh secara haram pula hendaklah dilupuskan, bukannya disucikan.

Mencari pendapatan yang bersih halal dan menambah harta dengan cara yang sah adalah perkara yang perlu dilakukan bermula dari awal lagi.

Dalam pengurusan kewangan peribadi, proses penyucian menekankan konsep bahawa pendapatan yang diperoleh dan harta yang disimpan bukan hak milik mutlak peribadi, tetapi ada juga hak orang lain ke atasnya.

Proses penyucian dilakukan dengan mengeluarkan sebahagian pendapatan atau harta yang dimiliki untuk disumbangkan kepada orang atau pihak yang sepatutnya.

Terdapat tiga cara utama proses penyucian harta ini dapat dilakukan, iaitu dengan mengeluarkan zakat, infaq dan cukai.

1. Zakat

Mengeluarkan zakat adalah antara rukun Islam yang diwajibkan ke atas semua orang Islam yang berkemampuan.

Bahkan, jika dilihat dalam al-Quran, perintah zakat kebanyakkannya sering mengikuti perintah solat, menunjukkan betapa pentingnya mengeluarkan zakat.

Dua jenis zakat yang diwajibkan, iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Zakat fitrah dikeluarkan pada bulan Ramadhan dan kadarnya adalah bersamaan secupak makanan asasi (di Malaysia, beras, iaitu harga 2.7kg beras)

Zakat harta pula meliputi jenis-jenis harta tertentu seperti zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat emas perak, zakat wang simpanan, zakat penternakan, zakat pertanian dan zakat galian (rikaz).

Syarat untuk zakat harta dikeluarkan adalah cukup haul (tempoh) dan nisab (jumlah minimum).

Haul adalah tempoh minimum harta itu dimiliki iaitu setahun Hijrah atau 354 hari.

Nisab pula adalah jumlah minimum sesuatu harta itu untuk dikenakan zakat, iaitu bersamaan 85 gram emas atau 595 gram perak (mengikut harga semasa).

Satu lagi syarat untuk zakat harta adalah sempurna milik, iaitu harta tersebut sememangnya dimiliki oleh individu, bukan pinjaman atau pajakan/gadaian.

Secara umumnya, kadar zakat harta yang perlu dikeluarkan adalah 2.5% ke atas jumlah harta atau pendapatan yang cukup haul dan nisab.

Sebagai contoh, Ali mempunyai wang simpanan sebanyak RM 20,000 (cukup haul dan nisab), maka jumlah zakat wang simpanan yang perlu dikeluarkan adalah RM 500 (RM 20,000 x 2.5%)

Walaubagaimanapun, untuk pengiraan kadar yang lebih tepat untuk kesemua jenis zakat harta, perlulah dirujuk kepada Majlis Agama Negeri atau Pusat Pungutan Zakat masing-masing.

2. Infaq

Bagi mereka yang celik hati, matlamat mencari rezeki di dunia bukan semata-mata untuk kepuasan diri-sendiri sahaja, tetapi yang ingin dikejar adalah keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Kejayaan meraih rezeki samaada sedikit atau banyak adalah ujian dari Allah.

Jika orang-orang miskin diuji dengan sifat redha dan sabar, orang-orang kaya pula diuji dengan sifat syukur dan ikhlas.

Bagaimana nak menzahirkan sifat kesyukuran kepada-Nya?

Salah satu caranya adalah dengan membelanjakan harta pada jalan Allah, iaitu dengan menginfaqkan harta melalui sedekah dan wakaf.

Sedekah dan wakaf adalah mengeluarkan harta kepada golongan yang memerlukan secara ikhlas dan sukarela tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Sedekah ialah memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja tanpa dikhususkan penggunaan sumbangan itu, contohnya memberi makan kepada golongan fakir miskin.

Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dan sebaik-baik sedekah adalah kepada kaum-kerabat sendiri.

Wakaf pula adalah menyumbang harta untuk kegunaan tertentu, seperti mewakafkan tanah untuk dibina masjid atau sekolah, yang mana manfaatnya adalah untuk manfaat orang ramai.

Jika sedekah kebiasaannya untuk jangka masa pendek, wakaf pula bertujuan untuk jangka masa panjang, namun dari segi ganjarannya hanya Allah yang tahu.

Di Malaysia, pihak Majlis Agama Islam Negeri mempunyai kuasa untuk menguruskan harta wakaf, jadi bolehlah disumbangkan kepada mereka untuk diuruskan.

Boleh juga disumbangkan harta wakaf kepada orang-orang persendirian yang amanah, atau organisasi-organisasi yang diyakini seperti yayasan, parti atau persatuan.

Lihat contoh-contoh harta awakaf yang dimanfaatkan:

1. Wakaf Allahyarham Ahmad Dawjee (hartawan Malaysia)

2. Wakaf Khalifah Uthman bin ‘Affan

Betapa beruntungnya mereka yang mampu mewakafkan harta, kaya di dunia dan dengan izin Allah, kaya juga di akhirat nanti.

3. Cukai

penyucian hartaSelain zakat dan infaq untuk kemajuan ekonomi umat Islam, janganlah dilupa kepada bayaran cukai yang mana digunakan untuk kemajuan negara.

Di Malaysia, selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dibayar apabila membeli barang-barang bercukai, setiap individu yang mempunyai pendapatan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan wajib membayar cukai pendapatan.

Bagi yang melakukan perniagaan pula, wajib mengeluarkan cukai perniagaan/syarikat (artikel ini akan lebih fokus kepada cukai pendapatan)

Cukai pendapatan perlu dibayar sebelum 30 April setiap tahun, melalui proses penyerahan taksiran pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang kebiasaannya bermula pada 1 Mac setiap tahun.

Dalam proses taksiran ini, setiap individu perlu mengisytiharkan semua pendapatan yang diperoleh dalam tahun sebelumnya berserta pelepasan-pelepasan yang dibenarkan supaya jumlah cukai yang perlu dibayar dapat dikira.

Kadar cukai yang dikenakan kebiasaanya berubah setiap tahun mengikut dasar dan polisi kerajaan, dan berbeza-beza mengikut kategori jumlah pendapatan tahunan.

Membayar cukai adalah tanggungjawab setiap warga kepada negara, jadi janganlah mengeluh atau mengelak untuk membayar cukai.

Anggaplah cukai yang dibayar itu merupakan sumbangan kepada kemajuan negara, yang mana digunakan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam kepada semua rakyat.

Tanggungjawab rakyat adalah membayar cukai, bagaimana dan ke mana hasil cukai itu dibelanjakan adalah amanah ke atas pemimpin dan pelaksana dasar (penjawat awam).

Amanah yang mereka pikul dan laksanakan itu, akan dipertanggungjawabkan dan dipersoal semula di akhirat nanti.