10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia

cukai pendapatan income taxDi Malaysia, sistem taksiran sendiri digunakan untuk mengira cukai pendapatan yang perlu dibayar.

Dalam sistem taksiran sendiri ini, setiap orang yang memenuhi syarat perlu menyerahkan borang taksiran secara atas talian melalui sistem e-filing kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Apa yang perlu diisytiharkan dalam borang taksiran tersebut adalah semua pendapatan bercukai, potongan cukai, pelepasan cukai dan rebat cukai yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Selepas semuanya diisytiharkan, pengiraan untuk cukai pendapatan akan dijana secara automatik.

Tempoh serahan borang dan pembayaran cukai bermula pada 1 Mac dan berakhir pada 30 April atau 30 Jun bergantung kepada jenis pendapatan yang diperoleh, dan taksiran dilakukan untuk tahun sebelumnya (taksiran tahun 2016 dilakukan pada tahun 2017, taksiran tahun 2017 dilakukan pada tahun 2018)

Bagi yang baru mula bekerja atau baru memenuhi syarat dikenakan cukai pendapatan, perlu membuka fail dengan LHDN terlebih dahulu dengan mendaftar di e-daftar.

Selepas memuat naik salinan kad pengenalan dan disahkan LHDN, pemohon akan diberikan nombor PIN untuk akses ke sistem e-filing.

Untuk langkah-langkah cara isi e-filing, boleh klik di sini: Panduan Lengkap Cara Isi e-Filing

Untuk lebih memahami berkenaan cukai pendapatan, 10 perkara yang berikut perlu diketahui:

1. Pendapatan Bercukai

Pendapatan bercukai adalah jumlah pendapatan tahunan individu yang layak dikenakan cukai.

Jumlah cukai yang perlu dibayar akan dikira ke atas pendapatan bercukai sahaja.

Buat masa sekarang (sehingga tahun taksiran 2017), had pendapatan bercukai minimum (atau gaji minimum dikenakan cukai pendapatan) adalah RM 34,000/tahun atau RM 2,834/bulan (selepas pemotongan KWSP), jadi mereka yang mencapai jumlah pendapatan tahunan tersebut perlu membuka fail dan menyerahkan borang taksiran kepada LHDN.

Pendapatan bercukai dikira dengan  menjumlahkan semua pendapatan yang diperoleh (gaji, dividen, hasil sewaan, royalti, ganjaran, hadiah) tolak pengecualian cukai, pelepasan cukai yang dibenarkan dan potongan cukai.

  • pendapatan bercukai = jumlah pendapatan – pengecualian cukai – pelepasan cukai – potongan cukai

2. Pengecualian Cukai

Bertuahnya di Malaysia, bukan semua jenis pendapatan adalah pendapatan bercukai ataupun dikenakan cukai.

Terdapat beberapa jenis pendapatan yang dikecualikan cukai, antaranya termasuklah kemudahan perjalanan, manfaat kesihatan dan perubatan, bayaran gratuiti, pampasan, pencen, biasiswa, bayaran persembahan kebudayaan, faedah, dividen, royalti, bayaran kepakaran, pendapatan hasil kajian saintifik dan elaun perjalanan.

Namun, jumlah atau kadar pengecualian adalah berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

3. Potongan Cukai

Derma dan hadiah yang diberikan kepada badan-badan yang diiktiraf kerajaan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan adalah dibenarkan potongan daripada pendapatan bercukai.

Buat masa sekarang, kadar potongan adalah 7% daripada jumlah pendapatan bercukai.

Contohnya, pendapatan bercukai tahunan adalah RM 55,000 dan jumlah derma/hadiah yang disahkan adalah RM 2,500.

Maka, potongan cukai adalah sebanyak RM 3,850 (RM 55,000 x 7%), menjadikan jumlah pendapatan bercukai sebanyak RM 51,150 (RM 55,000 – RM 3,850)

Baca juga:  [VIDEO] 5 Cara Simpan Duit Untuk Yang Sering Gagal Menyimpan

4. Pelepasan Cukai

Pelepasan cukai merujuk kepada perbelanjaan-perbelanjaan atau perkara-perkara yang dibenarkan untuk ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan supaya dapat mengurangkan pendapatan bercukai.

Jenis perbelanjaan/perkara dan jumlah pelepasan adalah bergantung kepada dasar dan polisi yang ditetapkan LHDN; ada yang kekal dan ada yang berubah setiap tahun.

Pelepasan cukai diberikan kebiasaannya untuk menggalakkan perbelanjaan-perbelanjaan tertentu (seperti membeli buku dan peralatan sukan) dan mengurangkan beban-beban kewangan yang ditanggung (seperti alimoni kepada pasangan, perbelanjaan perubatan ibubapa, yuran pendidikan)

Pelepasan cukai boleh mengurangkan pendapatan bercukai dan seterusnya mengurangkan kadar cukai yang dikenakan.

Contohnya, bagi yang berpendapatan bercukai RM 84,300, kadar cukai adalah 10% jika langsung tiada pelepasan cukai.

Tetapi, jika dikira pelepasan cukai individu (RM 9,000), caruman KWSP (RM 6,000) dan caruman takaful perubatan (RM 2,000), jumlah pendapatan bercukai sekarang adalah RM 67,300 yang mana kadar cukainya adalah 7% sahaja.

*Untuk senarai pelepasan cukai untuk digunakan semasa mengisi e-Filing bermula 01 Mac 2020, klik di sini: Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2019 Untuk e-Filing 2020

Contoh pengiraan pendapatan bercukai

cukai pendapatan income taxSetelah mengisytiharkan semua pendapatan tahunan, pengecualian, potongan dan pelepasan cukai, maka pengiraan jumlah pendapatan bercukai boleh dilakukan.

Sebagai contoh, jumlah semua pendapatan tahunan Ali adalah RM 84,300 (gaji = RM 60,000; dividen ASB = RM 1,700; dividen Tabung Haji = RM 1,000; kerja lebih masa = RM 12,000 & hasil sewaan = RM 9,600)  *dividen ASB dan TH adalah pendapatan dikecualikan cukai

Ali juga mempunyai pelepasan individu (RM 9,000), caruman KWSP (RM 6,000) dan takaful perubatan (RM 2,000) sebagai pelepasan cukai.

Jadi, pendapatan bercukai Ali adalah:

pendapatan bercukai = pendapatan tahunan – pengecualian cukai – pelepasan cukai = RM 84,300 – RM 1,700 (ASB) – RM 1,000 (TH) – RM 9,000 (individu)  – RM 6,000 (KWSP) – RM 2,000 (takaful) = RM 64,600

Ali juga ada membuat derma kepada badan-badan diiktiraf sebanyak RM 5,000, maka beliau layak menerima potongan cukai.

Maka, potongan cukai adalah sebanyak RM 4,522 (RM 64,600 x 7%), menjadikan jumlah pendapatan bercukai Ali adalah sebanyak RM 60,078 (RM 64,600 – RM 4,522)

5. Kadar Cukai

Kadar cukai adalah ditetapkan oleh kerajaan, dan sebarang perubahan kebiasaannya diumumkan semasa pembentangan bajet negara pada Oktober setiap tahun.

Untuk tahun taksiran 2016 dan 2017, kadar cukai adalah seperti pada gambarajah (klik pada gambar untuk lebih jelas):

kadar cukai pendapatan 2017

Dapat dilihat bahawa kadar cukai adalah berkadar langsung dengan jumlah pendapatan bercukai; semakin tinggi jumlah pendapatan bercukai, semakin tinggi kadar cukai dan seterusnya semakin tinggi jumlah cukai perlu bayar.

Jadi, untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar, strateginya adalah dengan menggunakan semaksimumnya pelepasan dan potongan cukai.

Contoh pengiraan cukai pendapatan:

Untuk contoh kes Ali di atas, dengan pendapatan bercukai RM 60,078 (RM 50,000 + RM 10,078)

jumlah cukai = RM 2,400 (untuk RM 50,000 pertama) + RM 1,612.48 (16% x RM 10,078) = RM 4,012.48

6. Rebat Cukai

Rebat cukai adalah keistimewaan yang diberikan untuk mengurangkan jumlah cukai perlu bayar, dan jumlahnya ditolak terus dari jumlah cukai perlu bayar, bukannya daripada jumlah pendapatan bercukai.

Hanya dua sahaja rebat cukai yang diberikan; yang pertama adalah rebat suami/isteri (RM 400) bagi individu yang mempunyai pendapatan bercukai kurang RM 35,000 dan yang kedua adalah bayaran fitrah/zakat (mengikut jumlah yang dikeluarkan)

Dengan adanya rebat untuk fitrah/zakat, maka rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak perlu mengeluarkan dua kali bayaran berasingan untuk penyucian harta.

Dalam contoh Ali di atas, sekiranya beliau membayar zakat pendapatan sebanyak RM 1,200/tahun, maka beliau layak mendapat rebat cukai sebanyak RM 1,200

Maka jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 2,812.46 (RM 4,012.46 – RM 1,200)

7. Potongan Cukai Berjadual (PCB)

Potongan Cukai Berjadual (PCB) adalah keadaan di mana majikan memotong sebahagian pendapatan pekerja yang mana potongan ini adalah untuk cukai pendapatan tahun semasa.

Jumlah potongan adalah berdasarkan kepada data peribadi pekerja dan jadual pemotongan yang dikeluarkan oleh LHDN.

Walaupun telah ada PCB, pekerja masih tetap perlu menyerahkan borang taksiran kepada LHDN melalui e-filing kerana perlu mengisytiharkan pendapatan lain, potongan, pelepasan dan rebat cukai yang ada.

PCB membantu untuk mengurangkan beban membayar cukai yang dikenakan secara sekaligus.

Sebagai contoh kes Ali di atas, sekiranya majikan beliau membuat PCB sebanyak RM 50/bulan, maka jumlah PCB setahun Ali adalah RM 600.

Maka, jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 2,212.46 (RM 2,812.46 – RM 600)

Baca juga:  5 Formula Urus Duit Gaji Yang Mudah Dilakukan

8. Cara Bayar Cukai Pendapatan

Berikut merupakan beberapa cara untuk membayar cukai pendapatan:

i. Perkhidmatan FPX (Financial Process Exchange) melalui ByrHasil (https://byrhasil.hasil.gov.my/)

ii. Kad kredit/debit melalui ByrHasil (https://byrhasil.hasil.gov.my/)

iii. Kaunter agen-agen LHDN seperti Maybank, CIMB, Pos Malaysia

iv. Perbankan internet seperti Maybank2u, CIMB Clicks, MyBSN

v. Mesin-mesin ATM Public Bank, Maybank dan CIMB yang terpilih

vi. Tele-banking melalui telefon ke Maybank Berhad – Kawanku Phone Banking (1-300-88-6688)

vii. Mesin Deposit Cek di Public Bank terpilih

Bagi mereka yang berada di luar negara, boleh menggunakan kemudahan Telegraphic Transfer (TT)/Transfer Interbank Giro (IBG)/Electronic Fund Transfer (EFT) dan juga bank draft.

Bagi mereka yang tidak mampu membayar secara sekaligus, boleh memohon untuk membayar secara ansuran.

Syaratnya, perlu menghantar surat permohonan kepada LHDN sebelum 30 April.

Jika tidak berjaya membayar cukai pendapatan yang dikenakan sebelum tarikh yang ditetapkan, maka penalti lewat bayar akan dikenakan.

Penaltinya adalah 10% daripada baki jumlah yang tidak dibayar dan jika bayaran masih belum diterima sehingga 60 hari, tambahan 5% akan dikenakan.

Contohnya, lewat bayar cukai sebanyak RM 700.

Penalti pertama adalah RM 70 (10% x RM 700), menjadikan jumlah perlu bayar adalah RM 770.

Jika masih belum bayar sehingga 60 hari, maka tambahan penalti adalah RM 38.50 (5% x RM 770), menjadikan jumlah perlu bayar adalah RM 808.50

Walaubagaimanapun, rayuan masih boleh dilakukan untuk mengurangkan penalti yang dikenakan dengan menghantar surat rayuan dalam masa 30 hari notis penalti dikeluarkan.

9. Bayaran Balik Cukai Pendapatan

cukai pendapatan income taxBerlaku juga situasi yang mana LHDN perlu membuat bayaran balik cukai pendapatan kerana jumlah cukai yang dikutip melalui PCB melebihi jumlah cukai perlu bayar.

Contohnya dalam situasi Ali di atas, katakanlah PCB yang dibuat adalah RM 300/bulan, maka jumlah PCB adalah RM 3,600 sedangkan jumlah cukai perlu bayar hanyalah RM 2,812.46.

Maka terdapat lebihan sebanyak RM 787.54

Lebihan ini akan dipulangkan oleh LHDN ke akaun yang diberikan oleh Ali semasa mengisi borang taksiran, atau melalui baucer khas yang boleh ditunaikan di CIMB atau CIMB Islamic sahaja.

10. Tanggungjawab Individu

Selain menyerahkan borang taksiran dan membayar cukai yang dikenakan, setiap individu juga bertanggungjawab untuk:

i. Mengisytiharkan semua pendapatan, potongan, pelepasan dan rebat cukai dengan jujur dan betul

ii. Menyimpan semua dokumen (salinan borang taksiran, resit-resit perbelanjaan untuk potongan, pelepasan dan rebat cukai, sijil perkahwinan, sijil perakuan doktor dan lain-lain) untuk tempoh 7 tahun daripada tahun taksiran

iii. Bersedia untuk diaudit oleh LHDN; LHDN berhak meminta anda untuk menghantar bukti-bukti resit dan sijil yang diisytiharkan dalam borang taksiran

Itulah sahaja 10 perkara penting berkenaan cukai pendapatan yang perlu diketahui.

Membayar cukai adalah cara untuk kita menyumbang kepada pendapatan negara, seterusnya kepada kemakmuran dan kesejahteraan kita semua.

Jadi, sebaik-baiknya janganlah mengelak atau lari daripada membayar cukai.

Untuk makluman lanjut berkenaan cukai pendapatan, boleh rujuk di laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/

..

Baca juga:  Tips Jimat Duit Belanja Beli-belah Dengan Shopback

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

103 Comments

  1. azhar

    tuan saya ingin bertanya.. kalau macam saya, saya adalah seorang peniaga kecil2an. pendapatan lebih kurang rm 900 sebulan dan tak tetap setiap bulan,hasil jualan pun kadang tidak melebihi rm 1500 sebulan.

    1)kalau diikutkan saya tak dikenakan cukai sbb pendapatan tahunan tak melebihi rm34k kan?

    2) jadi adakah saya perlu mengisi juga borang cukai atau biarkan saja tanpa isi efilling?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di sini 🙂

      Untuk soalan #1, ya, oleh kerana pendapatan Tuan tidak melebihi pendapatan minimum, jadi tak dikenakan cukai pendapatan.

      Untuk soalan #2, ikutkan pengalaman saya semasa awal-awal bekerja dulu, semasa saya ke LHDN, pegawai di situ bertanya berapa pendapatan saya. Oleh kerana pada masa tersebut gaji saya masih belum mencapai pendapatan minimum, maka pegawai memaklumkan yang saya tak perlu isi borang atau efiling pun.

      Untuk situasi Tuan, samalah seperti saya dulu. Oleh kerana tak capai pendapatan minimum, maka tak perlulah isi borang atau efiling.

      Tetapi, oleh kerana Tuan menjalankan perniagaan, walaupun tidak layak dikenakan cukai, amat digalakkan untuk mengistiharkan pendapatan dengan LHDN. Pastikan perniagaan Tuan adalah perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

      Dengan membuat pengisytiharan pendapatan perniagaan kepada LHDN, akan membantu untuk kembangkan lagi perniagaan Tuan pada masa akan datang, seperti nak memohon pembiayaan/pinjaman bank.

      Harap jawapan yang diberikan dapat membantu Tuan 🙂

      Reply
      1. Azhar

        terima kasih sudi menjawab pertanyaan saya tuan.. amat jelas sekali dgn jawapan yg diberikan utk soalan 1 & 2 diatas..

        cuma ada sikit lagi soalan tambahan.. kalau tak keberatan, harap dpt jawapan dari tuan..

        1) perniagaan saya sudah didaftar dgn SSM pada April 2017 yg lalu. Disebabkan pemahaman saya, cukai hasil dibuat pada thun ini adalah berdasarkan tahun lepas 2016. Jadi saya tak mendaftar lagilah dengan lhdn. Oleh disebabkan bisnes saya baru beroperasi 4 bulan, maka pada pendapat saya, cukai untuk tahun ini akan dikira pada tahun hadapan 2018. jadi saya bercadang untuk daftar lhdn pada tahun hadapan sahaja. adakah betul cara saya ni tuan? atau blh saja daftar lhdn pada bila2 masa?

        2) bagaimana cara betul mengira pendapatan dari perniagaan utk lhdn? adakah dari jumlah hasil jualan terkumpul setahun atau jumlah gaji yang saya sendiri tetapkan yang dipotong daripada hasil jualan sebulan?

        Reply
        1. izzuddinjaaffar (Post author)

          Terima kasih atas maklumbalas.

          1. Ya, boleh daftar pada tahun depan. Tetapi, kalau nak pergi ke LHDN sekarang pun tiada masalah. Boleh dapatkan khidmat nasihat daripada pegawai LHDN terlebih dahulu untuk persediaan awal.
          2. Untuk perniagaan, lebih baik buat pengiraan cukai berdasarkan pendapatan-perbelanjaan daripada perniagaan tertansebut. Maksudnya, Tuan kena buat penyata akaun untuk bisnes Tuan; rekodkan segala pendapatan (duit masuk) dan perbelanjaan (duit keluar). Simpan semua penyata, resit atau invois berkaitan. Nanti, perbelanjaan-perbelanjaan tersebut boleh dikira sebagai kos perniagaan dan ditolak daripada pengiraan cukai. Boleh jimatkan cukai. Kalau buat ikut kiraan gaji individu, cara kiranya seperti orang lain yang makan gajilah. Apa-apa pun, saya sarankan Tuan dapatkan maklumat daripada LHDN sendiri.

          Reply
  2. wan fasihah wan shafie

    Salam sy ingin bertanya knp cukai bulanan sy berubah sedangkan gaji sy tiada kenaikan pun

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di sini 🙂

      Untuk makluman, jumlah Potongan Cukai Bulanan (PCB) bukan sahaja dipengaruhi oleh jumlah gaji, tetapi juga faktor-faktor lain seperti kadar cukai, status perkahwinan dan jumlah anak.

      Untuk tahu kenapa PCB Cik Puan berubah, perlu tanya kepada jabatan/bahagian/kakitangan yang menguruskan hal gaji Cik Puan.

      Terima kasih.

      Reply
  3. syahira ghazali

    saya baru tau pasal cukai ni n x berapa faham n x amek tau, skang bila gaji da lebih baru nk amek tau….i think my first action is to go to lhdn n amek no pin kan… tp saya baca kena b4 july… is it consider yg sy da lewat n hv to pay 700+ to lhdn? anyway good info about cukai. tq.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini.

      Dalam pengurusan kewangan peribadi, cukai juga adalah elemen penting yang perlu diberi perhatian.

      Untuk makluman saudari, bayaran cukai tahun ini adalah untuk pendapatan tahun lepas, 2016. Jadi, jika pendapatan saudari pada tahun lepas adalah melebihi had minimum cukai pendapatan, maka diglakkan pergi ke LHDN segera untuk selesaikan cukai yang dikenakan ke atas pendapatan tahun lepas.

      Tetapi, jika pendapatan saudari baru sahaja melepasi had minimum pada tahun ini, jadi boleh sahaja tunggu sehingga Mac tahun 2018 untuk isytiharkan pendapatan dan isi e-filing.

      Reply
  4. Alim

    Sekiranya gaji rendah dari kelayakan minimu yg kene cukai perlu isi borang lagi kan….

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Tak perlu pun sebenarnya. Kalau ke LHDN pun, biasanya mereka akan tanya berapa gaji tahunan dan kalau gaji tahunan kurang daripada kelayakan minimum, tak perlu isi borang pun tidak mengapa.

      Tetapi, kalau tetap nak isi juga, tiada masalah. Cuma tiada cukai yang dikenakan.

      Reply
  5. King

    Nk tanya..contoh la kalu gaji rm2000 tp dlm bank ada rm200.000..mksd sya duit rm200.000 tu dtgnya dari kena loteri..no ekor katakn..kena cukai ka?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Setahu saya, hadiah loteri (yang sah, bukan judi yang tak sah di sisi undang-undang) juga dikira sebagai pendapatan. Jadi, perlu diisytiharkan dan dibayar cukai.

      Apa-apa pun, boleh tanya pada LHDN.

      Reply
      1. Miko Chang

        Sekiranya kalau bank ada melebihi 200k, i akan kena cukai kah?

        Reply
  6. ASLIZA

    sy hendak bertanya, mengikut pendapatan bulanan, saya memang layak dikenakan potongan cukai, tetapi sehingga kini tiada rekod potongan cukai dikenakan dalam slip gaji saya, berbeza dengan kawan yang sama2 masuk kerja dan menerima gaji yang sama telah dikenakan pemotongan cukai bulanan. kenapa ye? adakah disebabkan saya telah membuat potongan gaji untuk zakat?. jika dilihat potongan zakat saya adalah lebih tinggi dari potongan cukai yang dikenakan oleh kawan saya dan saya setiap tahun tidak lupa untuk mengemaskini e-filling.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Saudari perlu bertanya kepada unit/jabatan yang menguruskan gaji di tempat kerja saudari. Mungkin mereka telah menyesuaikan gaji saudari dengan zakat yang dibayar, jadi tidak perlulah PCB.

      Ini saya ambil kenyataan daripada laman web LHDN:
      Sekiranya terdapat pekerja yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji kepada pihak berkuasa agama Islam, majikan boleh membuat penyesuaian kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut.

      Boleh baca di sini.

      Jangan risau tiada PCB dalam slip gaji. Yang penting, setiap tahun, e-filing diisi dan dihantar sebelum tarikh tutup 🙂

      Reply
  7. wong chew yen

    selamat petang, sy ada 1 soalan.
    Adakah rakyat malaysia yang bekerja di luar negeri perlu bayar cukai pendapatan di Malaysia?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Selamat petang. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Setahu saya, tidak perlu.

      Untuk lebih maklumat, boleh baca di sini.

      Reply
  8. Miko Chang

    sekiranya gajiku rm 2400 tetapi dlm bank ada 1M, kena cukai ka?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Tetapi maaf, saya tak dapat beri jawapan kerana tidak tahu dengan jelas sumber pendapatan dan duit 1M dalam bank tersebut.

      Digalakkan untuk berkunjung ke mana-mana cawangan LHDN dengan membawa semua dokumen berkaitan dan bertanya kepada pegawai di sana.

      Terima kasih.

      Reply
  9. adam

    salam…
    saya menjalakan perniagaan enterprise.
    keuntungan bersih sy pada tahun ini ialah 500k.. dan semua keuntungan tersebut sy simpan di ASB..

    soalan saya… adakah Akuan ASB saya akan dikena cukai…

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Wa’alaikummussalam. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Akaun ASB Tuan tidak dikenakan cukai. Tetapi, hasil pendapatan daripada perniagaan Tuan yang perlu dikenakan cukai, walaupun disimpan dalam ASB. Jika Tuan tidak membayar cukai atas hasil perniagaan Tuan, nasihat saya, sila berkunjung ke LHDN terdekat untuk isytiharkan pendapatan tersebut.

      Setahu saya juga, jika pendapatan perniagaan melebihi RM 500k setahun, perniagaan Tuan juga perlu kenakan GST. Jika Tuan masih belum lakukannya, boleh dapatkan nasihat daripada Jabatan Kastam.

      Terima kasih.

      Reply
  10. elda

    salam, saya ingin bertanya kenapa ada syarikat yang mengenakan potongan income tax kepada pekerja yang kurang daripada rm1000

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Wsalam. Maaf, saya sendiri pun tidak tahu kenapa syarikat buat begitu. Saudari boleh bertanya kepada bahagian kewangan syarikat tersebut. Boleh juga semak dengan LHDN sama ada potongan tersebut memang untuk cukai pendapatan atau perkara lain.

      Reply
  11. Hanz

    Sy nk tanya… Klu kita istiharkn pendapatan bercukai atau pendapatan yg tidak dikenakan cukai.. Bila kita buat loan rumah atau kereta .ade kah iya nya berkaitan.. Kelulusan bank tngok dari situ ke?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Bagi yang tidak mempunyai slip gaji atau pendapatan tidak tetap seperti bisnes sendiri, penyata cukai boleh menjadi dokumen sokongan apabila memohon loan rumah atau kereta dengan bank.

      Reply
  12. John cena

    Untuk yg bekerja di singapura mcm mana ye?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Saya juga tidak pasti. Ini adalah yang dinyatakan di laman web LHDN:

      Apa itu Skop Pengenaan Cukai

      Pembayar cukai yang bermastautin di Malaysia dikenakan cukai atas semua pendapatan yang diperoleh di Malaysia dan pendapatan yang diterima dari luar Malaysia. Skop penggenaan cukai seseorang individu adalah bergantung kepada taraf permastautinannya.

      Mulai tahun taksiran 2004, pendapatan yang diterima di Malaysia dari luar Malaysia adalah dikecualikan daripada cukai. Dengan itu, pembayar cukai sama ada yang bermastautin atau yang tidak bermastautin di Malaysia dikenakan cukai atas pendapatan yang diperoleh dari Malaysia sahaja.

      Untuk maklumat lanjut, boleh bertanya kepada LHDN sendiri.

      Reply
  13. Miera

    Salam.

    Saya ada beberapa soalan,

    1) kalau buat bisnes online (full time) tak daftar ssm, duit keluar masuk dlm akaun individu setiap bulan bawah 15K (pendapatan kasar, belum tolak apa apa lagi), adakah saya perlu daftar dgn lhdn? atau daftar ssm terlebih dahulu baru ke lhdn?

    2) Andai kata perlu daftar ssm dahulu, lepas tu daftar lhdn, adakah cukai dikira lepas daftar ssm ke macam mana ya?

    Terima Kasih

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Wsalam. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Jawapan kepada soalan saudari:

      1. Setiap perniagaan wajib daftar dengan SSM. Jadi, daftar dengan SSM dahulu, baru buka fail dengan LHDN jika Cik nak buat pengisytiharan cukai pendapatan di bawah kategori ada punca pendapatan perniagaan.

      2. Cukai pendapatan tahun taksiran 2017 dikira ke atas semua pendapatan yang diperoleh dalam tahun 2017. Jadi, mana-mana pendapatan yang diperoleh dalam tahun 2017, sama ada sebelum atau selepas daftar SSM adalah diambil kira untuk pengiraan cukai pendapatan.

      Apa-apa pun, untuk maklumat lebih lanjut dan tepat, disarankan Cik dapatkan pandangan daripada pihak SSM atau LHDN sendiri.

      Reply
  14. ihsan

    untuk point ke 5. Kadar cukai, tuan memberi pengiraan

    jumlah cukai = RM 2,000 (untuk RM 50,000 pertama) + RM 1,612.48 (16% x RM 10,078) = RM 3,612.48

    bukan ke sepatutnya RM2400 (untuk RM50,000 pertama) sekiranya kita merujuk kepada jadual?

    Terima kasih.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih atas teguran Tuan.

      Semua pengiraan dah diperbetulkan 🙂

      Reply
  15. FATIN

    salam tuan. maaf saya ada soalan. saya baru bertukar kerja (majikan baru) dengan gaji RM4,200 sebulan. tetapi saya dapati, sudah masuk bulan ke-10 majikan tidak memotong PCB saya. bila bertanya kepada HR, mereka memaklumkan, berdasarkan sistem payroll mereka, accumulation gaji saya masih belum layak untuk potong PCB. jadi, maksudnya sekiranya selepas ini saya bertukar kerja, PCB saya akan kembali kepada 0 sehingga jumlah gaji tahunan saya mencapai satu amount? terima kasih tuan.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wa’alaikummussalam. Jumlah PCB bergantung kepada beberapa faktor, seperti jumlah gaji, status berkahwin dan bilangan anak. Mungkin selepas pengiraan oleh majikan Cik dengan mengambil kira faktor-faktor ini, maka tiada PCB ke atas Cik. Suatu masa nanti, jika faktor-faktor ini berubah, maka PCB mungkin akan dikenakan ke atas Cik.

      Cuma diingatkan, walaupun tiada PCB, tidak bermaksud tidak perlu mengisi e-filing. Nanti apabila e-filing dibuka, tetap perlu diisi dan sistem akan kira sama ada perlu dibayar cukai atau tidak.

      Reply
      1. Kakicookie

        Maaf saya menyelit soalan di sini. Saya baru sahaja mula bekerja di tempat baru secara kontrak by project di mana majikan offer gaji bulanan tetapi kiraan gaji hanya berdasarkan hari saya bekerja. Iaitu prorate 22 hari, dimana cuti umum dan jika saya ambil cuti, tiada gaji diberikan. Jadi kiraan gaji adalah (gaji ÷ 22hari x jumlah hari bekerja). Dan kontrak ini hanyalah utk 3 bulan. Sebaik mendapat gaji bulan Januari, saya mendapati potongan PCB yang agak banyak. Apabila ditanya majikan hanya kata ikut table. Selain itu,inilah kali pertama gaji saya layak dikenakan cukai, jadi saya tidak pernah berdaftar lagi di lhdn. Tetapi apabila saya cek di website LHDN,melalui no ic, wujud akaun saya tetapi tidak boleh reveal nombor utk keselamatan. Persoalan saya:

        1. Saya hanya kontrak 3 bulan mula January 2018 hingga Mac 2018, bagaimana majikan boleh potong cukai walaupun saya tidak bekerja setahun lagi
        2. Memandangkan saya tidak daftar sendiri LHDN, bagaimana majikan dapat amaun utk tolak PCB sebab saya tak isi lagi maklumat tanggungan,etc.
        3. Adakah majikan saya boleh mendaftar akaun cukai saya tanpa pengetahuan saya?
        4. Sekiranya jumlah gaji saya adalah utk 3 bulan, bagaimana mereka mendapat kiraan pcb sehingga 10% dipotong sedangkan itu jika jumlah gaji tahunan seseorang melebihi 90000rm

        Terima kasih atas bantuan

        Reply
        1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

          Saya bersimpati atas masalah yang dihadapi. Tetapi maaf, saya sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang tepat untuk semua persoalan di atas. Disarankan agar Tuan/Cik terus ke mana-mana cawangan LHDN untuk mendapatkan bantuan.

          Apa yang boleh saya katakan, walaupun telah ditolak PCB, namun jumlah tolakan tersebut akan dibayar semula oleh pihak LHDN selepas Tuan/Cik selesai e-filing nanti.

          Reply
  16. Ikwan

    Assalamualaikum tuan, soalan saya ringkas sahaja: adakah pihak LHDN menerima resit maybank2u untuk bukti pembayaran zakat seperti zakat fitrah, zakat simpanan dan lain-lain zakat? (bagi pengecualian cukai)

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Kalau pada resit tersebut ada dinyatakan nama penerima (contoh Pusat Pungutan Zakat/Lembaga Zakat) dan tujuan bayaran, maka tiada masalah.

      Untuk lebih selamat lagi, saya sarankan Tuan tuntut resit daripada agensi zakat yang Tuan buat bayaran tersebut.

      Reply
  17. md sani

    Assalamualikum
    mohon pecerahan. Adakah elaun wilayah, elaun perumahan dan elaun keraian dikenakan cukai. terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Elaun-elaun di atas adalah dikecualikan cukai.

      Reply
      1. md. sani

        Alhamdulillah. Terima kasih di atas pengesahan Sdr. Izzuddin. Sebab saya kurang faham ke atas penerangan berikut di laman web JHDN tentang pendapatan:

        “Pendapatan penggajian juga meliputi semua bentuk saraan termasuk elaun, misalnya elaun perumahan, elaun perjalanan, elaun keraian, adalah dikira sebagai pendapatan kasar jika dapat ditunjukkan bahawa elaun-elaun tersebut terbit daripada mempunyai atau menjalankan penggajian.”

        Reply
  18. Jy

    Slmt tghari. Saya nak tanya:
    Merujuk Nota Penerangan BE 2017 LDHN
    A6 Jenis Taksiran (iv)
    4. “Jika suami/ isteri tiada pendapatan @ tiada punca pendapatan @ pendapatan dikecualikan cukai.”

    Apa yang dimaksudkan dengan “pendapatan dikecualikan cukai” ?

    Bolehkah saya memilih status Jenis Taksiran DIRI SENDIRI; ISTERI TIADA PENDAPATAN?? sekiranya isteri saya berkerja tapi gaji masih tak layak dikenakan cukai.

    Terima kasih

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Pendapatan dikecualikan cukai = Jumlah pendapatan tidak mencapai jumlah minimum dikenakan cukai

      Reply
      1. Jy

        Terima kasih tuan.ada pencerahan

        Reply
  19. amm

    Salam, saya nk bertanya tentang pelepasan utk ibu bapa. Ibu saya berumur 65 tahun & pendapatannya adalah dari pencen arwah ayah (yg dulu keje di Jabatan Penyiaran Malaysia) melebihi rm24k setahun. Saya difahamkan pencen bukan pendapatan bercukai. Bolehkah saya & adik beradik mendapat pelepasan ini?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Maaf, saya tak dapat bagi jawapan tepat. Perlu merujuk kepada LHDN.

      Reply
  20. baemz

    salam tuan, maaf saya nk bertanya, sebelom ni sy tak pernah pon declare income tax spnjng 12 tahun sy bekerja. walaubagaimanapon, baru2 ni pada awal mac lalu sy sudahpon declare dgn mengisi borang e-filling di pejabat LHDN berdekatan. soalan saya adalah berapa banyakkah penalti atau denda yg akan dikenakan oleh pihak LHDN ke ats saya d ats kelewatan declare tersebut?

    t.kasih ya..

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Jumlah denda tersebut bergantung kpd jumlah pendapatan, cukai dan tempoh yang tak dibayar tersebut. Perlu merujuk pihak LHDN kerana mereka yang akan kira.

      Reply
  21. iffah

    Salam Tuan,saya nak bertanya, saya tidak melaporakn pendapatan tahun 2012,dan telah menerima surat jumlah cukai yang dinyatakan pada tahun 2014, dan telah selesai membayar jumlah cukai yang dikenakan.Adakah borang BE 2012 yang tiada rekod dalam sistem perlu dihantar?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Untuk kes Saudari, saya cadangkan untuk merujuk kepada LHDN.

      Reply
  22. NOR FARRAH TAN ABDULLAH

    mcmana kalau sy tak mampu nk bayar cukai yg dikenakan….ada cara untuk bayar secara ansuran?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Boleh bayar secara ansuran. Ini yang dinyatakan di laman web LHDN:

      Ansuran Bulanan

      Sekiranya sehingga 30 April bagi suatu tahun taksiran anda masih gagal menyelesaikan cukai yang sepatutnya dibayar bagi tempoh yang berkenaan, anda bolehlah memohon untuk membuat bayaran ansuran baki cukai. Prosedur yang perlu diikuti adalah dengan mengemukakan satu surat rayuan kepada unit pungutan di cawangan fail fizikal anda berada. Surat berkenaan hendaklah diterima oleh unit pungutan sebelum 30 April tahun berkenaan. Adalah diingatkan, sungguhpun rayuan diterima tetapi penalti lewat bayar tetap akan dikenakan.

      Boleh rujuk di sini: Pembayaran Cukai

      Reply
  23. Ain

    Agak2 barang2 kat bawah ni boleh di claim ke?
    1. Kasut sukan (peralatan sukan)
    2. Braces & retainer gigi (Alatan sokongan asas- tp saya bukan OKU)
    3. Unifi (Atas nama parents, tapi saya yang tolong bayar bulan2)
    4. Kursus pendek bidang teknologi (Yuran Pendidikan -Sendiri)

    Kalau resit tak lepas bila di audit, sebab tak termasuk kategori, ada denda apa2 tak?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      1. Kasut sukan bukan peralatan sukan, tidak boleh claim.
      2. Braces & retainer gigi bukan peralatan sokongan asas, tidak boleh claim.
      3. Hanya bil internet atas nama sendiri sahaja boleh dibuat tuntutan.
      4. Untuk kursus, boleh rujuk dengan pengendali kursus sama ada yuran kursus tersebut layak untuk dituntut pelepasan cukai atau tidak.

      Kalau resit tidak lepas audit, boleh didenda.

      Reply
  24. DD

    Assalam tuan, terima kasih untuk perkongsian ni. saya ingin bertanya, macam mana nak isi e-flling untuk 2017 jika bertukar kerja pada tahun tersebut. Jumlah pendapatan perlu digabungkan (majikan lama dan majikan baru) atau cuma ambil jumlah pendapatan majikan baru. Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Perlu digabungkan kedua-duanya.

      Reply
  25. darksieghart

    Assalam tuan, saya ingin bertanya mengenai kadar cukai. Saya bekerja tapi berminat untuk buat bisnes (enterprise)

    soalan saya… adakah saya akan dikenakan cukai sekiranya saya buat bisnes (anggaran untung dlm rm1200 setahun) disebabkan kadar cukai yang berlainan.. buat masa ini, efiling borang BE 2017 saya tidak dikenakan cukai dan pcb dipulangkan (total pendapatan:rm45k,pendapatan bercukai 31k, ambil kira bayar zakat rm300 dan rebat individu rm400)..

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Apabila buat bisnes dan pada masa bekerja, kena isi efiling di bawah kategori dengan pendapatan perniagaan. Sudah tentu kadarnya berbeza, tetapi lebih banyak pelepasan dan pengecualian boleh dituntut. Boleh dapatkan khidmat nasihat daripada LHDN atau pihak yang berkelayakan.

      Reply
  26. Andrew

    Selamat pagi, mohon bertanya. Adakah pinjaman peribadi dari bank (dalam RM100,000) yang dimasukkanke dalam akaun peribadi dikenakan cukai? Bagaimana cara pengiraannya? Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Tidak dikenakan cukai. Bukan pendapatan.

      Reply
  27. Sharon San

    Salam tuan, saya adalah warganegara Malaysia dan sepanjang masa berada di China (masa di Malaysia lebih kurang sebulan setahun) sebab ada bisnes di sana, jika saya ingin membuat bisnes dan mendaftar sebuah syarikat enterprise di Malaysia sekarang, adakah saya perlu membayar cukai pendapatan yang lebih tinggi atas keuntungan pendapatan saya atau mengikut kadar bayaran biasa sahaja. Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Maaf, saya kurang arif berkenaan cukai perniagaan. Tuan bolhe bertanya terus kepada pihak LHDN.

      Reply
  28. MASLINA MD YUSOFF

    Saya nk tanya..klau kita dah kawin,,tp letakkan bujang..boleh tak

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Tak baik menipu. Nanti boleh dikenakan tindakan kerana isytihar maklumat palsu. Lagipun, lebih banyak pelepasan cukai untuk yang berkahwin berbanding yang masih bujang.

      Reply
  29. Mimi Nor Asimah

    saya nak tanya .berkenaan claim kalau barangan elektronik, macamana ya? macamana cara nak claim ya?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Barangan elektronik apa ye?

      Reply
  30. Faizal

    Assalam. Terima kasih atas maklumat di atas.

    Saya ingin bertanya, jika 2016 pendapatan saya dikenakan cukai, ada penolakan pcb bulanan (gaji melebihi rm34k setahun),

    kemudian 2017 tidak dikenakan cukai, tiada penolakan pcb bulanan (gaji kurang rm34k setahun).

    Perlukah saya mengisi e filing untuk tahun 2017 tersebut?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Perlu.

      Reply
  31. ayu natasha

    insurans kereta yg direnew boleh claim tak dlm insurans nyawa

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Tak boleh.

      Reply
  32. Johari Mohd Noor

    Bagaimana kiraan pendapatan tahun lepas yang di bayar pada tahun ini

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Maaf, saya tak faham.

      Reply
  33. Amjad

    Assalamualaikum tuan, saya tidak bekerja, pendapatan hanya dari royalti ebook dan rumah sewa. Borang mana yang perlu saya isi?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Saya rasa borang cukai pendapatan tanpa perniagaan.

      Reply
  34. zamri

    salam tuan, boleh jelaskan sedikit pasal rebat diri sendiri untuk taksiran cukai tahun 2018?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Semua layak, jumlahnya RM 9,000

      Reply
  35. John

    Nak tanya, saya masuk satu company pada june 2018, gaji rm4k, tapi company tu lupa tolak PCB, saya pun tak tahu pasal PCB, april 2019 saya sudah submit income tax dan sudah bayar.

    Soalan saya:
    1) Company akan kena penalty tak bila submit company tax 2018?
    2) Kalau ade, itu penalty majikan bayar atau saya bayar?
    3) bulan april 2019 account baru perasan, so dari april hingga june ade tolak PCB, tapi Jan-March 2019 takde tolak, kes macam ni kena tolak 3 bulan tu atau tak payah? Ade penalty tak?

    Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Setahu saya, tiada penalti. PCB adalah untuk membantu pekerja/majikan membayar cukai secara ansuran dengan dipotong daripada gaji setiap bulan. Jadi, apabila pekerja mengisi e-filing dan dikira cukai yang patut dibayar, sekurang-kurangnya tidak rasa terbeban untuk dibayar secara sekaligus.

      Reply
  36. IDYAHLISAH

    AsSalam..saya baru dapat surat dari LHDN pasal pengiraan cukai & dokumen sokongan. Dalam surat tu minta saya sertakan resit2 pada tahun 2017 & 2018. Masalahnya, resit2 tu semua dah hilang. Tahun 2017 tu saya claim dalam 500+ dan 2018 dalam 700+. Macam mana ye kiraan penalti lhdn ni?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Ini adalah proses audit oleh LHDN. Sebagai pembayar cukai, sepatutnya menyimpan semua dokumen berkaitan yang dilaporkan dalam efiling untuk tempoh 7 tahun. Berkenaan pengiraan penalti, pihak LHDN akan tentukan dulu berapa jumlah tuntutan yang sebenarnya layak dituntut, dan juga jumlah cukai yang patut dibayar bagi setiap tahun tersebut. Kemudian, barulah penalti dapat dikira.

      Nasihat saya, lebih baik Tuan terus ke pejabat LHDN untuk urusan lanjut.

      Reply
  37. IZAN

    Assalam, sy baru sahaja mengambil alih tugas sebagai pegawai payroll, sy nak tanya berikutan perubahan2 PCB dlm sistem e-PCB, setiapkali sy membuat pengiraan dgn memasukkan gaji kakitangan, agak musykil sedikit apabila amaunnya berubah-ubah sedangkan gaji kakitangan tersebut tidak berubah dari bulan2 yang lepas. Contohnya terdapat perubahan pada amaun pcb di antara bulan julai sehingga september, sedangkan gaji kakitangan tersebut adalah sama dan tidak berubah serta tidak ada rebat seperti zakat. bagaimana hal ini boleh berlaku ya?

    Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Perkara ini perlu dirujuk kepada pihak LHDN sebab pengiraan PCB adalah daripada pihak LHDN. Mungkin faktor-faktor lain yang diambilkira dalam pengiraan PCB itu berubah, maka jumlah PCB juga berubah. Contohnya bilangan isteri/anak, umur anak, jumlah pendapatan, kadar cukai dan sebagainya.

      Reply
  38. Affandi

    Assalamualaikum.
    .
    Saya pernah bekerja di kedai makan dan gaji saya RM1100 setiap bulan selama dua tahun.
    Sekarang, saya sudah berhenti kerja dan mengganggur. Ketika tiada kerja ini, barulah saya jumpa blog tuan dan tahu tentang cukai.
    .
    Saya tak tahu jika gaji saya ini cukup untuk dikenakan cukai. Adakah saya perlu isi e-filing?
    .
    Satu perkara lagi, saya ada guna FB Ads. (1) rm25 pada disember 2019 (2) rm 10 pada mei 2020. Saya tak tahu jika FB ads patut dicukaikan atau tidak.
    .
    Sekian

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Untuk soalan 1, tidak perlu. Jumlah gaji tersebut masih tak capai jumlah minimum untuk dikenakan cukai (jika pada masa tersebut hanya ada pendapatan itu). Untuk FB Ads, jika Tuan jalankan perniagaan yang berdaftar, jumlah ilan tersebut boleh diisytiharkan sebagai kos/perbelanjaan perniagaan.

      Reply
      1. Affandi

        1) Berapa jumlah gaji minimum untuk layak membayar cukai?

        2) Saya merancang untuk terbitkan ebook. Adakah saya tertakluk kepada mana-mana cukai atau tax relief?

        Reply
        1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

          1. Lebih kurang RM 3000 sebulan

          2. Kalau ebook tersebut dijual, hasil pendapatan daripada jualan tersebut perlu diisytiharkan sebagai pendapatan.

          Reply
          1. Affandi

            Salam, saya dulu pernah kerja di kedai makan pada tahun 2018. Gaji kasar 1100 je. Saya sudah lama berhenti daripada kerja itu.
            Tapi, saya baru perasan yang saya ada 2, 3 slip gaji daripada tempat kerja itu tak ada. Saya sedang cuba untuk mendapatkannya sekarang ini. Tapi, sekiranya saya tidak dapat slip gaji itu, adakah ini akan menyebabkan saya didenda atau disaman oleh LHDN?

          2. Izzuddin Jaaffar (Post author)

            Wsalam. Dengan gaji RM 1100, tak perlu isi efiling sebab tak cukup pendapatan minima. InsyaAllah tiada masalah.

  39. aemily

    Assalamualaikum,

    Saya menjalankan peniagaan gerai makanan secara kecil-kecilan, pendapatan kasar peniagaan 150,000 setahun adakah perlu dikenakan cukai lhdn?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Perlu isi borang B, isytiharkan semua pendapatan perbelanjaan etc. Nanti sistem akan kirakan sama ada perlu bayar cukai atau tidak. Bagi perniagaan, sangat digalakkan untuk isiytihar kepada LHDN walauu pendapatan tak seberapa. Nanti senang nak kembangkan perniagaan. Senang nak mohon geran atau loan bank.

      Reply
  40. Izzah Atira

    Assalamualaikum. Saya nak tanya, jika gaji saya kurang daripada gaji yang layak dikenakan cukai, tapi saya mempunyai rebat zakat dan pelepasan cukai, adakah pihak LHDN akan membayar amaun tersebut kepada saya?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Tidak.

      Reply
  41. Affandi

    Salam tuan, dahulu saya pernah kerja di kedai makan pada tahun 2018, gaji kasar 1100 saja. Saya dah lama berhenti kerja di sana.
    Saya baru perasan yang saya tidak cukup 2, 3 slip gaji daripada kerja di kedai makan itu. Adakah ini akan membuatkan saya disaman atau didenda LHDN jika saya gagal mencukupkan slip gaji itu?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Dengan gaji RM 1100, tak perlu isi efiling sebab tak cukup pendapatan minima. InsyaAllah tiada masalah.

      Reply
  42. Affandi

    Assalamualaikum.
    Sebelum ini, saya pernah kerja dia sebuah kedai makan pada 2018, gaji kasar 1100. Saya dah lama berhenti kerja di sana.
    Saya baru tersedar yang saya kekurang 2, 3 slip gaji daripada kedai makan itu. Adakah ini akan menyebabkan saya dalam masalah berkaitan dengan LHDN?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Dengan gaji RM 1100, tak perlu isi efiling sebab tak cukup pendapatan minima. InsyaAllah tiada masalah.

      Reply
      1. Affandi

        Maaflah jika saya mengganggu, saya ada satu lagi soalan.
        Pada bulan 7 tahun 2020, saya cuba untuk buat akaun LHDN secara online. Mereka meminta saya untuk pergi ke cawangan untuk aktifkan akaun tersebut. Pendapatan saya tidak mencapai tahap minima untuk efiling, tapi saya terfikir untuk buka akaun kerana saya mahu cuba buat kerja sampingan (tak jadi kerana kekangan masa).
        Tapi, disebabkan oleh covid, saya tidak pergi ke cawangan kerana risau yang tentang kesihatan saya.
        Sehingga kini, saya masih belum pergi ke cawangan untuk aktifkan akaun saya. Adakah nanti ada tindakan dikenakan kepada saya kerana sudah lama tidak mengaktifkannya?

        Reply
        1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

          Tiada apa-apa tindakan. Cuma, mungkin perlu dibuat permohonan semula kerana sudah lama tidak diaktifkan. Boleh rujuk dengan pihak LHDN untuk lebih lanjut.

          Reply
  43. Cik Hawa

    Saya nak tanya.
    1. Bayar harta seperti hutang kereta dan rumah pon tiada pengecualian cukai?
    2. Jika kita tinggal serumah dgn ibu bapa dan kita tanggung ibu bapa sbb pencen 1k. Adakah boleh buat pelepasan cukai?
    3. Saya ada byr zakat tp bukan potongan gaji. Sy byr online boleh dpt pelepasan cukai?
    4.sy tidak melanggan internet dirumah tetapi sy menggunakan bil telefon postpaid spt celcom utk internet. Adakah boleh dpt pelepasan cukai?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Jawapan ikut soalan:
      1. Tiada pengecualian cukai atas hutang kereta dan rumah
      2. Ya, boleh jika ibu bapa berumur 60 tahun ke atas
      3. Boleh, asalkan ada resit/bukti bayaran
      4. Boleh. Rujuk pada bil, berapa bayaran untuk data internet

      Reply
  44. Zetty

    Assalammualaikum . Maaf bertnya . Sy buntu . Saya start buat ssm tahun 2020 bulan feb . Dan sy start niaga pada bulan yg sama . Dan baru bulan mac 2021 sy renew ssm . . Sy nak dftr lhdn . Tetapi resit belanja tahun lepas lansung tak simpan sbb takthu . Macam amana sy nak buat .saya buntu.. Adakah declare sy nii tak berniaga tapi active ssm .. Dan sy baru nak buat akaun bank 11jun2021 . Mohon pecerahan . Sbb sy tiada duit nak upah org buat akaun tu yg belajar mencari

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Boleh ke cawangan LHDN terdekat untuk dapatkan bantuan pegawai LHDN di sana. Biasanya, mereka akan bantu jika baru pertama kali nak isi efiling.

      Reply
  45. Joe

    Saya pernah mengisi borang B pada waktu saya berkerja sebagai freelancer dan mendapat income dari Google Adsense. Tetapi pada tahun 2020, saya tidak lagi menjadi freelancer dan pendapatan dari Google Adsense adalah kurang dari RM 50. Saya kini berkerja dgn sebuah syarikat sebagai full-time employee. Nombor code cukai pendapatan adalah OG. Adakah saya perlu tukar code OG ke SG kembali?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Perlu rujuk kepada LHDN

      Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini