3 Cara Utama Penyucian Harta

penyucian hartaDalam kita sibuk mencari pendapatan dan menambah harta melalui pelaburan, jangan sekali-kali lupa tentang proses penyucian (purification).

Proses penyucian ini bukanlah bermaksud membersihkan harta atau pendapatan yang haram supaya menjadi bersih dan halal diguna.

Pendapatan yang haram, tetap haram dan berdosa.

Tetap perlu dijauhi.

Harta yang diperoleh secara haram pula hendaklah dilupuskan, bukannya disucikan.

Mencari pendapatan yang bersih halal dan menambah harta dengan cara yang sah adalah perkara yang perlu dilakukan bermula dari awal lagi.

Dalam pengurusan kewangan peribadi, proses penyucian menekankan konsep bahawa pendapatan yang diperoleh dan harta yang disimpan bukan hak milik mutlak peribadi, tetapi ada juga hak orang lain ke atasnya.

Proses penyucian dilakukan dengan mengeluarkan sebahagian pendapatan atau harta yang dimiliki untuk disumbangkan kepada orang atau pihak yang sepatutnya.

Terdapat tiga cara utama proses penyucian harta ini dapat dilakukan, iaitu dengan mengeluarkan zakat, infaq dan cukai.

1. Zakat

Mengeluarkan zakat adalah antara rukun Islam yang diwajibkan ke atas semua orang Islam yang berkemampuan.

Bahkan, jika dilihat dalam al-Quran, perintah zakat kebanyakkannya sering mengikuti perintah solat, menunjukkan betapa pentingnya mengeluarkan zakat.

Dua jenis zakat yang diwajibkan, iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Zakat fitrah dikeluarkan pada bulan Ramadhan dan kadarnya adalah bersamaan secupak makanan asasi (di Malaysia, beras, iaitu harga 2.7kg beras)

Zakat harta pula meliputi jenis-jenis harta tertentu seperti zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat emas perak, zakat wang simpanan, zakat penternakan, zakat pertanian dan zakat galian (rikaz).

Syarat untuk zakat harta dikeluarkan adalah cukup haul (tempoh) dan nisab (jumlah minimum).

Haul adalah tempoh minimum harta itu dimiliki iaitu setahun Hijrah atau 354 hari.

Nisab pula adalah jumlah minimum sesuatu harta itu untuk dikenakan zakat, iaitu bersamaan 85 gram emas atau 595 gram perak (mengikut harga semasa).

Satu lagi syarat untuk zakat harta adalah sempurna milik, iaitu harta tersebut sememangnya dimiliki oleh individu, bukan pinjaman atau pajakan/gadaian.

Secara umumnya, kadar zakat harta yang perlu dikeluarkan adalah 2.5% ke atas jumlah harta atau pendapatan yang cukup haul dan nisab.

Sebagai contoh, Ali mempunyai wang simpanan sebanyak RM 20,000 (cukup haul dan nisab), maka jumlah zakat wang simpanan yang perlu dikeluarkan adalah RM 500 (RM 20,000 x 2.5%)

Walaubagaimanapun, untuk pengiraan kadar yang lebih tepat untuk kesemua jenis zakat harta, perlulah dirujuk kepada Majlis Agama Negeri atau Pusat Pungutan Zakat masing-masing.

Baca juga:  Tips Jimat Duit Belanja Beli-belah Dengan Shopback

2. Infaq

Bagi mereka yang celik hati, matlamat mencari rezeki di dunia bukan semata-mata untuk kepuasan diri-sendiri sahaja, tetapi yang ingin dikejar adalah keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Kejayaan meraih rezeki samaada sedikit atau banyak adalah ujian dari Allah.

Jika orang-orang miskin diuji dengan sifat redha dan sabar, orang-orang kaya pula diuji dengan sifat syukur dan ikhlas.

Bagaimana nak menzahirkan sifat kesyukuran kepada-Nya?

Salah satu caranya adalah dengan membelanjakan harta pada jalan Allah, iaitu dengan menginfaqkan harta melalui sedekah dan wakaf.

Sedekah dan wakaf adalah mengeluarkan harta kepada golongan yang memerlukan secara ikhlas dan sukarela tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Sedekah ialah memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja tanpa dikhususkan penggunaan sumbangan itu, contohnya memberi makan kepada golongan fakir miskin.

Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dan sebaik-baik sedekah adalah kepada kaum-kerabat sendiri.

Wakaf pula adalah menyumbang harta untuk kegunaan tertentu, seperti mewakafkan tanah untuk dibina masjid atau sekolah, yang mana manfaatnya adalah untuk manfaat orang ramai.

Jika sedekah kebiasaannya untuk jangka masa pendek, wakaf pula bertujuan untuk jangka masa panjang, namun dari segi ganjarannya hanya Allah yang tahu.

Di Malaysia, pihak Majlis Agama Islam Negeri mempunyai kuasa untuk menguruskan harta wakaf, jadi bolehlah disumbangkan kepada mereka untuk diuruskan.

Boleh juga disumbangkan harta wakaf kepada orang-orang persendirian yang amanah, atau organisasi-organisasi yang diyakini seperti yayasan, parti atau persatuan.

Lihat contoh-contoh harta awakaf yang dimanfaatkan:

1. Wakaf Allahyarham Ahmad Dawjee (hartawan Malaysia)

2. Wakaf Khalifah Uthman bin ‘Affan

Betapa beruntungnya mereka yang mampu mewakafkan harta, kaya di dunia dan dengan izin Allah, kaya juga di akhirat nanti.

3. Cukai

penyucian hartaSelain zakat dan infaq untuk kemajuan ekonomi umat Islam, janganlah dilupa kepada bayaran cukai yang mana digunakan untuk kemajuan negara.

Di Malaysia, selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dibayar apabila membeli barang-barang bercukai, setiap individu yang mempunyai pendapatan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan wajib membayar cukai pendapatan.

Bagi yang melakukan perniagaan pula, wajib mengeluarkan cukai perniagaan/syarikat (artikel ini akan lebih fokus kepada cukai pendapatan)

Cukai pendapatan perlu dibayar sebelum 30 April setiap tahun, melalui proses penyerahan taksiran pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang kebiasaannya bermula pada 1 Mac setiap tahun.

Dalam proses taksiran ini, setiap individu perlu mengisytiharkan semua pendapatan yang diperoleh dalam tahun sebelumnya berserta pelepasan-pelepasan yang dibenarkan supaya jumlah cukai yang perlu dibayar dapat dikira.

Kadar cukai yang dikenakan kebiasaanya berubah setiap tahun mengikut dasar dan polisi kerajaan, dan berbeza-beza mengikut kategori jumlah pendapatan tahunan.

Membayar cukai adalah tanggungjawab setiap warga kepada negara, jadi janganlah mengeluh atau mengelak untuk membayar cukai.

Anggaplah cukai yang dibayar itu merupakan sumbangan kepada kemajuan negara, yang mana digunakan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam kepada semua rakyat.

Tanggungjawab rakyat adalah membayar cukai, bagaimana dan ke mana hasil cukai itu dibelanjakan adalah amanah ke atas pemimpin dan pelaksana dasar (penjawat awam).

Amanah yang mereka pikul dan laksanakan itu, akan dipertanggungjawabkan dan dipersoal semula di akhirat nanti.

Baca juga:  [VIDEO]: Fahami Asas Pelaburan

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini