Dah tahu ke senarai pelepasan cukai pendapatan 2018 untuk efiling 2019?
Setiap tahun, apabila tibanya bulan Mac, semua individu yang mencecah pendapatan minimum pada tahun sebelumnya perlu mengisi efiling dan mengira jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar.
Dengan efiling, semuanya automatik dikira.
Kita hanya perlu mengisi maklumat-maklumat yang diperlukan sahaja.
Tetapi, kadang-kadang, jumlah cukai yang perlu dibayar boleh menjadi beban yang besar.
Dan cara termudah untuk mengurangkan jumlah cukai tersebut adalah dengan mengoptimasikan tuntutan ke atas pelepasan cukai pendapatan yang diberikan oleh pihak LHDN.
Jadi sekarang, jom kita lihat senarai pelepasan cukai pendapatan 2018 untuk efiling 2019 sepertimana yang dipaparkan di laman web LHDN:
Jika diperhatikan, senarai pelepasan cukai pendapatan 2018 adalah sama sahaja sepertimana tahun 2017.
Ya, memang tiada sebarang perubahan dari tahun sebelumnya kerana tiada sebarang pengumuman perubahan yang diumumkan oleh kerajaan.
Sekarang, mari kita teliti satu persatu senarai pelepasan cukai pendapatan 2018 tersebut:
Pelepasan cukai #1 – Individu & saudara tanggungan
Pelepasan individu dan saudara tanggungan ini diberikan secara automatik apabila mengisi eFiling.
Jumlahnya masih lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM 9,000
Pelepasan cukai #2 – Penjagaan ibu bapa
Pelepasan ini adalah untuk perbelanjaan yang dikeluarkan ke atas ibu bapa kandung, atau ibu bapa angkat (yang disahkan) jika penuntut adalah seorang anak angkat,
Ibu bapa tiri adalah tidak termasuk.
Bagi pelepasan ini, secara mudahnya dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas dan (b) penjagaan ibu bapa.
Bagi (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas (penjaga), jumlah pelepasan yang diberikan adalah sehingga RM 5,000 dan perlu mematuhi syarat-syarat yang berikut:
- Keadaan kesihatan ibu bapa disahkan oleh pengamal perubatan berkelayakan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council, MMC)
- Ibu bapa mestilah bermaustatin di Malaysia
- Rawatan perubatan dan khidmat penjaga yang diambil disediakan di dalam Malaysia
Perbelanjaan yang dibenarkan pula adalah:
- Rawatan perubatan dan perkhidmatan penjagaan yang diperuntukkan oleh rumah penjagaan; dan
- Rawatan pergigian yang dihadkan kepada mencabut gigi, menampal gigi dan membersihkan karang gigi tetapi tidak termasuk rawatan kosmetik seperti menggantikan dan membaik pulih gigi yang melibatkan penyatuan, root canal dan gigi palsu
- Bayaran penjaga yang dibuktikan dengan resit atau perakuan bertulis oleh penjaga atau salinan permit kerja penjaga (penjaga mestilah bukan individu, suami / isteri atau anak individu berkenaan)
Bagi yang tidak membuat/mempunyai tuntutan bagi bahagian (a), boleh membuat tuntutan bagi bahagian (b) penjagaan ibu bapa.
Untuk bahagian ini, jumlah yang boleh dituntut adalah RM 3,000 ke atas kedua-dua ibu bapa, atau RM 1,500 bagi ibu atau bapa.
Walaubagaimanapun, pelepasan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang berikut:
- Tuntutan oleh anak kandung dan anak angkat sah di bawah undang-undang sahaja. Tuntutan ke atas ibu atau bapa tiri adalah tidak dibenarkan.
- Tidak membuat sebarang tuntutan bagi bahagian (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas yang diterangkan di atas.
- Jika lebih daripada seorang individu menuntut potongan ini, amaun potongan tersebut perlu dibahagi sama rata mengikut bilangan individu yang menuntut berhubung ibu atau bapa yang sama.
- Hanya ke atas ibu dan/atau bapa berusia 60 tahun atau ke atas (pada bila-bila masa dalam tahun taksiran), dan bermaustatin di Malaysia
Pelepasan cukai #3 – Peralatan sokongan khas
Tuntutan sehingga RM 6,000 adalah dibenarkan ke atas pembelian peralatan sokongan khas bagi individu kelainan upaya (OKU) sama ada untuk diri-sendiri, pasangan, anak dan ibu bapa, yang mana mereka perlulah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai OKU.
Antara alat sokongan asas yang dibenarkan adalah seperti mesin hemodialisis, kerusi roda, kaki palsu dan alat pendengaran, tetapi tidak termasuk cermin mata dan kanta lekap.
Pelepasan cukai #4 – Individu kelainan upaya (OKU)
Selain daripada pelepasan individu (pelepasan #1), individu OKU juga turut diberi pelepasan tambahan khas sebanyak RM 6,000 ke atas diri-sendiri.
Namun, individu tersebut perlulah mendapat pengesahan bertulis sebagai seorang OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pelepasan cukai #5 – Yuran pengajian sendiri
Bagi yang mengikuti pengajian di peringkat tertiari (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) atau lanjutan (Sarjana dan Doktor Falsafah), pelepasan cukai sehingga RM 7,000 adalah diberikan ke atas bayaran yuran pengajian tahunan yang dikeluarkan.
Syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi layak atas pelepasan ini adalah:
- Pengajian di mana-mana institusi tempatan atau badan profesional di Malaysia yang yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia (Kementerian Pengajian Tinggi) atau diluluskan oleh Menteri Kewangan.
- Bagi pengajian peringkat tertiari, hanya untuk bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi sahaja.
- Bagi pengajian peringkat lanjutan, sebarang bidang atau kursus pengajian adalah dibenarkan.
Pelepasan cukai #6 – Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius
Pelepasan sehingga RM 6,000 adalah dibenarkan bagi perbelanjaan yang dikeluarkan bagi rawatan penyakit serius sama ada untuk diri-sendiri, pasangan atau anak.
Penyakit serius adalah termasuk sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa.
‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan.
Resit perbelanjaan rawatan dan perakuan yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) hendaklah disimpan untuk rujukan/semakan oleh LHDN kelak.
Pelepasan cukai #7 – Pemeriksaan perubatan
Bagi pemeriksaan perubatan penuh yang dilakukan untuk diri-sendiri, pasangan atau anak-anak, pelepasan sehingga RM 500 adalah dibenarkan.
Namun begitu, jumlah tuntutan bagi pelepasan #6 dan #7 adalah terhad sehingga RM 6,000 sahaja.
Pelepasan cukai #8 – Perbelanjaan gaya hidup
Tuntutan sehingga RM 2,500 adalah dibenarkan bagi perbelanjaan gaya hidup yang dilakukan pada tahun taksiran 2018.
Antara perbelanjaan-perbelanjaan yang dibenarkan adalah:
- Pembelian buku, jurnal, majalah, suratkhabar bercetak dan lain-lain penerbitan seumpamanya (selain bahan bacaan terlarang/lucah) untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak. Boleh dalam bentuk hardcopy atau softcopy.
- Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak, bukan untuk tujuan perniagaan.
- Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (termasuk alat-alat yang mempunyai jangka hayat yang singkat seperti bola golf dan bulu tangkis, tetapi tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor). Boleh lihat senarai lengkap aktiviti-aktiviti sukan yang dibenarkan dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html
- Bayaran keahlian gimnasium untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak (tidak termasuk keahlian kelab yang menyediakan kemudahan gimnasium)
- Bayaran bil bulanan bagi langganan internet yang didaftarkan atas nama individu untuk kegunaan sendiri, pasangan dan anak.
Pelepasan cukai #9 – Pembelian peralatan penyusuan
Pelepasan ini adalah untuk pembayar cukai wanita sahaja yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:
- Merupakan ibu yang menyusukan anak sendiri
- Perbelanjaan dilakukan atas pembelian peralatan penyusuan untuk kegunaannya bagi menyusukan anaknya yang berumur 2 tahun dan ke bawah.
- Disokong dengan resit pembelian yang sah.
Peralatan penyusuan ibu yang layak mendapat pelepasan adalah:
- set pam susu dan pek ais (breast pump kit dan ice pack)
- bekas pengumpulan dan penyimpanan susu (breast milk collection and storage equipment)
- set penyejuk atau beg penyejuk (cooler set/bag)
Pelepasan yang diberikan adalah sehingga RM 1,000 dan hanya dibenarkan sekali setiap 2 tahun taksiran.
Pelepasan cukai #10 – Yuran taman asuhan kanak-kanak/tadika
Pelepasan ini adalah layak untuk yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:
- Bagi anak yang berumur 6 tahun ke bawah sahaja.
- Taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tertakluk pada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
- Tadika yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)
Jumlah pelepasan maksima adalah terhad kepada RM1,000 sahaja walaupun bilangan anak yang memenuhi syarat-syarat tersebut melebihi satu, dan hanya boleh dituntut oleh seorang sahaja sama ada ibu atau bapa (jika taksiran cukai dibuat secara berasingan).
Pelepasan cukai #11 – Simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)
Bagi yang membuat tabungan dalam SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus, boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM 6,000
Pelepasan ini adalah terhad kepada jumlah tabungan bersih sahaja, iaitu jumlah simpanan sepanjang 2018 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2017 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)
Pelepasan cukai #12 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada bekas isteri
Jika isteri tidak bekerja atau mempunyai jumlah pendapatan yang tidak mencapai minimum dikenakan cukai, maka suami boleh menuntut pelepasan ke atas isteri sebanyak RM 4,000
Jika suami pula tidak bekerja atau mempunyai jumlah pendapatan yang tidak mencapai paras minimum, maka isteri juga boleh menuntut pelepasan ke atas suami sebanyak RM 4,000 (dengan syarat hanya seorang isteri sahaja boleh membuat tuntutan jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri)
Jika dibuat taksiran bersama suami isteri, maka jumlah pelepasan sebanyak RM 4,000 boleh dituntut.
Bagi suami yang ada membuat bayaran nafkah/alimoni kepada bekas isteri, maka layak menuntut pelepasan sebanyak yang dibayar atau maksimum RM 4,000
Walaubagaimanapun, bayaran nafkah/alimoni secara sukarela kepada bekas isteri di bawah perjanjian bersama tanpa sebarang perjanjian rasmi tidak layak dituntut sebagai pelepasan cukai.
Pelepasan cukai #13 – Pasangan orang kelainan upaya (OKU)
Pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500 adalah diberikan kepada individu yang mempunyai pasangan (suami atau isteri) yang merupakan OKU yang disahkan.
Pelepasan cukai #14a – Anak di bawah umur 18 tahun
Potongan bagi anak yang belum berkahwin dan berumur di bawah 18 tahun pada bila-bila masa dalam tahun taksiran adalah sebanyak RM2,000 seorang.
Pelepasan cukai #14b – Anak berumur 18 tahun ke atas
Bagi anak/anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan mengikuti pengajian pada tahun taksiran (contohnya kursus matrikulasi, A-Level, sijil kemahiran, persediaan atau pra-ijazah), maka ibu atau bapa layak menuntut pelepasan sebanyak RM 2,000 ke atas seorang anak.
Bagi anak/anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:
- mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa (seperti diploma, ijazah sarjana muda) di universiti, kolej atau institut pelajaran lain yang serupa dengannya di Malaysia
- mengikuti kursus sepenuh masa di luar Malaysia di peringkat ijazah (termasuk ijazah di peringkat sarjana atau kedoktoran) atau yang setaraf dengannya
- berkhidmat di bawah satu ikatan artikel atau indentur untuk memperoleh kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia
- kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan
maka, ibu atau bapa boleh menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 8,000 ke atas setiap orang anak.
Pelepasan cukai #14c – Anak orang kelainan upaya (OKU)
Jika mempunyai/menjaga anak/anak-anak OKU (sebarang umur), maka boleh ibu atau bapa boleh menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 bagi setiap orang anak tersebut.
Jika mempunyai/menjaga anak/anak-anak OKU berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:
- mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa (seperti diploma, ijazah sarjana muda) di universiti, kolej atau institut pelajaran lain yang serupa dengannya di Malaysia
- mengikuti kursus sepenuh masa di luar Malaysia di peringkat ijazah (termasuk ijazah di peringkat sarjana atau kedoktoran) atau yang setaraf dengannya
- berkhidmat di bawah satu ikatan artikel atau indentur untuk memperoleh kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia
- kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan
maka, ibu atau bapa boleh menuntut pelepasan tambahan sebanyak RM 8,000 ke atas setiap orang anak tersebut.
Nota tambahan untuk pelepasan cukai #14a, b & c
Semasa isi e-filing untuk kesemua pelepasan cukai di atas, ambil perhatian akan 3 perkara berikut:
- Bilangan – Isikan jumlah bilangan anak yang layak dituntut pelepasan sepenuhnya (Kelayakan 100%) atau sebahagiannya (Kelayakan 50%) oleh individu.
- Kelayakan 100% – Ruang ini untuk diisi oleh individu yang layak menuntut pelepasan anak sepenuhnya.
- Kelayakan 50% – Ruang ini hanya berkenaan jika dua atau lebih individu (bukan suami isteri yang tinggal bersama) layak menuntut potongan berhubung bayaran yang dibuat ke atas anak yang sama, dan setiap individu tersebut layak menuntut 50% daripada pelepasan yang dibenarkan sebagai potongan. Contohnya apabila berlaku perceraian dan terdapat dua atau lebih individu yang layak menuntut potongan ke atas anak yang sama.
- Taksiran Berasingan – Individu dan suami / isteri perlu memilih pelepasan ke atas setiap anak yang ingin dituntut masing-masing. Contohnya, Abu dan Siti mempunyai 5 orang anak, maka tuntutan yang boleh dibuat sama ada Abu 5, Siti 0; Abu 4, Siti 1; Abu 3, Siti 2; Abu 2, Siti 3; Abu 1, Siti 4 atau Abu 0, Siti 5.
Pelepasan cukai #15 – Insurans/takaful nyawa dan KWSP
Jika melanggan pelan perlindungan insurans/takaful nyawa yang melindungi diri-sendiri, isteri atau suami (tidak termasuk anak-anak dan ibu bapa), serta mencarum dalam skim KWSP atau kumpulan wang lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (bahagian caruman sendiri), sama ada melalui potongan gaji atau bayaran sendiri, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 6,000 maksimum.
Contohnya, anda mencarum pelan takaful nyawa RM 2,400 setahun dan KWSP RM 6,000 setahun, maka pelepasan yang layak dituntut adalah RM 6,000 sahaja.
Pelepasan cukai #16 – Skim Persaraan Swasta, SPS (Private Retirement Scheme, PRS) atau Anuiti Tertunda (Deferred Annuity)
Bagi yang menyertai atau membuat caruman tambahan ke dalam skim PRS yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti, atau membuat caruman dalam skim anuiti tertunda, maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000 maksimum.
Jumlah yang boleh dituntut adalah berdasarkan caruman bersih ke dalam skim PRS atau bayaran premium bersih ke dalam skim anuiti tertunda yang disertai.
Pelepasan cukai #17 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan
Pelepasan cukai sehingga RM3,000 adalah diberikan bagi bayaran premium insurans/takaful atas polisi pendidikan atau manfaat perubatan untuk diri-sendiri, pasangan atau anak/anak-anak (polisi untuk ibu bapa adalah tidak dikira)
Pelepasan diberikan kepada bayaran melalui potongan gaji, atau pun bayar sendiri tanpa melalui potongan gaji.
Insurans/takaful perubatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)
Pelepasan cukai #18 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Jika ada membuat sumbangan/bayaran/caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), maka layak menuntut pelepasan sehingga RM 250 maksimum.
Penutup
Pelepasan cukai, bersama-sama derma, hadiah dan rebat cukai, dapat membantu pembayar cukai untuk mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.
Oleh itu, buatlah tuntutan pelepasan cukai semaksimumnya mengikut apa yang dibelanjakan pada tahun taksiran.
Dan yang penting, pastikan semua dokumen atau bukti berkaitan seperti resit bayaran dan penyata disimpan dengan baik untuk memudahkan proses pengauditan jika diminta pihak LHDN kelak.
Itu sahaja perkongsian berkenaan pelepasan cukai 2018 bagi efiling 2019 kali ini.
Semoga bermanfaat dan dapat membantu semasa mengisi efiling yang sedang berlangsung sekarang.
p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya. Terima kasih.
..
Infomasi yang lengkap dan sangat membantu..terima kasih saudara,
Sama-sama 🙂
Utk kwsp…Potongan kwsp yg dipotong setiap bulan tu boleh claim ?
Ya, boleh. Sehingga RM 6,000
Assalam boleh tanya kalau kita bayar zakat berapa ribu yg ditolak dlm income tax terima kasih tuan🙏🏼
Wsalam. Zakat adalah rebat, jumlah yang ditolak adalah 100%. Contohnya, bayar zakat RM 1,000 manakala jumlah cukai yang dikira adalah RM 1,500. Maka, jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 1,500 – RM 1,000 = RM 500 sahaja.
Utk pembelian katil hospital utk bapa yg sakit kanser..die di bawah pengecualian cukai #2 ke?
Pembelian katil hospital tidak termasuk di bawah kategori rawatan perubatan. Rawatan perubatan adalah seperti caj bayaran doktor, pembelian ubat-ubatan dan pakai-buang seperti dressing, patch, jarum etc.
Beli jarum suntikan diabetes dapat pengecualian tak?
Ya, dapat. Simpan resitnya ya.
Boleh tanya, rawatan perubatan untuk ibubapa pelepasan cukai#2 (a) hanya applicable di rumah penjagaan? Lets say, parents yg ada penyakit kronik dan perlukan hospitalisation dan ubat-ubatan dan dijaga disendiri oleh anak-anak (tanpa khidmat penjaga). Boleh claim ke? Untuk pelepasan cukai #2 (a) ada syarat umur untuk ibubapa?
Terima kasih
a – Ya, boleh. Tidak semestinya di rumah penjagaan.
b – Untuk rawatan perubatan, tiada syarat umur.
Tumpang tanya, untuk Pelepasan cukai #14a – Anak di bawah umur 18 tahun dia tulis ada kelayakan 50% ad yg kelayakan 100%. ap maksudnya?
Bagi suami isteri yang masih bersama, salah seorang daripada mereka boleh tuntut 100% ke atas setiap orang anak.
Bagi suami isteri yang telah berpisah, setiap orang boleh tuntut 50% ke atas setiap orang anak.\
Saya ada terangkan di ruangan nota tambahan di dalam artikel di atas. Boleh rujuk di situ.
As Salam Tuan,
Pelepasan Cukai #15 KWSP ~adakah maksud jumlah KWSP yang dapat pelepasan cukai adalah jumlah yang tertera dalam EA form part E (1) “Amaun caruman yg wajib dibayar(nyatakan bah.pekerja shj”??(cth jumlah tertera dlm EA form saya RM 6500, saya layak claim limit RM6000 shj)
Mohon pencerahan tuan, TQ
Wsalam. Ya, betul. Bahagian caruman sendiri sahaja. Terhad sehingga RM 6000
Kalau saya termiss untuk declare cukai tahun sebelum ni, contoh 2013-2014 (layak namun x cakna), bolehkah saya terus isi melalui prosedur yg sama atau kena ke lhdn
Setahu saya, boleh sahaja terus isi melalui e-filing. Nanti sistem akan terus kirakan jumlah yang perlu dibayar termasuk penalti kerana lambat declare. Boleh juga ke LHDN dan dapatkan bantuan pegawai di sana.
Salam tuan… Saya ada check dalam sistem LHDN… Nama saya tersenarai dalam cukai ni.. Ada nombor cukai saya… Saya dikenakan cukai kalau tak silap pada 2017 last 2019.. Tapi saya tidak pernah membuat perlepasan cukai.. Kalau mcam ni halnya macam mana ya..
Wsalam. Rugilah kalau kita tak pernah tuntut pelepasan cukai. Yang lepas, sudah tidak boleh tuntut. Untuk tahun-tahun mendatang, semasa isi efiling, pastikan Tuan tuntut pelepasan cukai.
Jika saya beli Rumah pada tahun 2018 ada tak pelepasan cukai?
Tak ada.
saya tidak terima borang untuk tahun ini , so bagaimana /cara mengisi melalui e-filing , perlu pin nomber ?
Jika dah pernah daftar sebelum ini, boleh gunakan password yang lama. Jika masih belum daftar, boleh ke LHDN untuk buka borang dan dapatkan nombor PIN. Nombor PIN hanya perlu pada waktu awal pendaftaran sahaja, bukan setiap kali nak login.
Jika saya buat PCB, pembayaran secara berjadual. Bagaimana saya nak mohon mohon pelepasan cukai ini sedangkan cukai sudah dibayar oleh syarikat?
Walaupun dah ada PCB, tetap kena isi e-filing juga. Isytiharkan semua pendapatan dan juga pelepasan/rebat yang ada dibuat. Sistem kemudian akan membuat kiraan jumlah cukai yang sepatutnya dibayar. Jika jumlah tersebut kurang daripada jumlah PCB yang telah dipotong, lebihan PCB tersebut akan dipulangkan. Jika jumlah cukai melebihi PCB, maka perlu buat bayaran tambahan.
Owh ye ke. Ok baik Terima kasih Tuan atas pencerahan.
Sama-sama 🙂
Dalam potongan cukai #8 menyatakan langganan jalur lebar. Adakah kita boleh claim jumlah bulan didarabkan dengan 12 bulan atau satu bulan sahaja?
Bayaran untuk perkhidmatan jalur lebar semasa tahun 2018. Jika genap 12 bulan, maka boleh darab dengan 12 bulan.
Mcm saya pesakit SLE..doktor ada advice untuk beli suppliment di farmasi..boleh claim x
Boleh claim sebagai biaya rawatan perubatan sendiri.
No. 12..bayaran kepada pasangan yang tidak memcapai gaji minimum.. gaji minimum tu berapa ye?
Lebih kurang RM 3000 sebulan. Gaji minimum dikenakan cukai.
Assalamualaikum/selamat sejahtera tuan. Mengenai pelepasan bayaran alimoni utk isteri. Adakah sama maksud dengan bayaran iddah dalam Islam yang dibayar utk 3 bulan berturut2 selepas perceraian?
Wsalam. Ya, betul.
Terima kasih kerana reply tuan. Bagaimana pula dengan bayaran mutaah (saguhati) yg dituntut isteri selepas perceraian? Dan adakah perlu mempunyai dokumen hitam putih mengenai bayaran2 ini?
Ya, mutaah pun. Yang penting, simpan dokumen arahan daripada pihak mahkamah dan juga resit bayaran/transfer.
Untuk bahagian brg2 sukan,sekiranya saya beli smartwatch atau gps for sports,termasuk ke? Untuk pendidikan,sekiranya saya ambil tuisyen,juga dikira ke?
Smartwatch dan gps tak termasuk peralatan sukan. Yuran pengajian sahaja, bukan tuisyen.
Baik,terima kasih.
Bagaimana pula dengan ASB yang dibayar setiap bulan ( ASB loan)?adakah boleh dituntut untuk pelepasan cukai?dibawah pelepas cukai mana 1?mohon pencerahan.
Tidak boleh.
kalau bayar yuran pengajian dengan kwsp boleh claim tak ?
Setahu saya, boleh.
Maaf bertanya sedikit, sekiranya ank itu OKU, kita boleh dpt pelepasan cukai 6ribu,adakah ini available untuk umur mereka lebih 18thun (tidak berkahwin & tidak sambung belajar) ?
Ya, layak. Tiada had umur untuk anak OKU.
Untuk potongan cukai berasingan, bolehkah saya menuntut pelepasan anak2 tiri, suami tidak menuntut pelepasan. Anak2 dibawah jagaan bersama.
Setahu saya pelepasan atas anak hanya untuk anak kandung dan anak angkat yang sah, tidak termasuk anak tiri.
As salam tuan, kalau anak saya pesakit ezcema, boleh ke claim perubatan. Tq
Wsalam. Boleh.
Pelaburan persaraan melalui kwsp boleh claim tak?
Tak boleh.
Pingback: Panduan Lengkap Cara Isi eFiling Cukai Pendapatan 2019 - Gila Ringgit
Pingback: Siapa Yang Dapat Pelepasan Cukai 2018 Untuk e-Filling 2019?
Assalam,
kalau yuran kelas taekwondo boleh claim ke?
Wsalam. Tak boleh.