6 Langkah Asas Untuk Capai Matlamat Kewangan

matlamat kewangan1. Kenalpasti matlamat kewangan yang hendak dicapai

Seperti yang sering saya tulis, jika hendak capai pengurusan kewangan yang baik, perlu ada matlamat yang jelas.

Boleh lihat di artikel ini untuk kenalpasti matlamat-matlamat kewangan yang kebanyakan orang ingin capai.

Catatkan dalam buku atau telefon tentang semua matlamat kewangan yang kita ingin capai.

Sebaik-baiknya, tampalkan pada tempat yang kita selalu lihat, contohnya pada cermin supaya sentiasa ingat akan matlamat yang ingin dicapai dan untuk motivasi diri.

Jika ada pasangan, kongsikan matlamat tadi dengan pasangan supaya boleh bersama-sama menuju ke destinasi yang diingini.

Kemudian, susun matlamat-matlamat tadi mengikut keutamaan; yang paling utama adalah yang ingin dicapai terlebih dahulu.

Tetapkan yang mana matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.

Dengan cara ini, langkah-langkah seterusnya akan lebih tersusun.

2. Tentukan aliran tunai

Dalam mengejar matlamat kewangan yang diingini, kita terlebih dahulu perlu membuat analisa S.W.O.T. iaitu strengths (kekuatan), weaknesses (kelemahan), opportunities (peluang) dan threats (ancaman).

Menjejaki aliran tunai adalah langkah untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan kita.

Di sini, kita perlu mengenalpasti dan senaraikan semua pendapatan dan perbelanjaan yang dilakukan.

Sebab itulah pentingnya untuk menjejak perbelanjaan dan menyediakan bajet sendiri.

Kemudian, kenalpasti aliran tunai samaada pendapatan melebihi perbelanjaan (aliran tunai positif) atau perbelanjaan melebihi pendapatan (aliran tunai negatif).

Jika aliran tunai positif, itu adalah situasi yang baik.

Tetapi jika sebaliknya, mungkin perlu lakukan sesuatu untuk memperbaikinya.

Baca juga:  Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

3. Tentukan kedudukan kewangan

Selepas menganalisa kekuatan dan kelemahan, langkah seterusnya adalah menganalisa peluang dan ancaman yang ada.

Dan ini adalah merujuk kepada kedudukan kewangan kita, iaitu aset dan liabiliti.

Aset adalah sesuatu yang boleh memberi nilai tambah kepada kewangan kita, contohnya simpanan, harta dan pelaburan.

Aset adalah peluang kerana jika diuruskan dengan baik dan bijak, boleh menambah pendapatan dan seterusnya memperbaiki aliran tunai.

Liabiliti pula adalah segala jenis hutang, pinjaman atau pembiayaan yang kita ada.

Contohnya hutang kad kredit, pembiayaan peribadi, pembiayaan kereta dan pembiayaan rumah.

Liabiliti jika gagal diuruskan dengan baik, boleh mengancam kedudukan kewangan dan mengganggu aliran tunai.

matlamat kewanganApabila disenaraikan semua aset dan liabiliti yang ada, kita boleh mengetahui kedudukan kewangan kita samaada baik atau buruk, stabil atau goyah.

Jika aset melebihi liabiliti, ini adalah kedudukan yang baik.

Tetapi, jika liabiliti melebihi aset, perlu berhati-hati.

Namun begitu, tidak semestinya bermaksud kedudukan kewangan goyah.

Asalkan sahaja aliran tunai masih mampu menampung dan membayar liabiliti yang ada, kedudukan kewangan masih dianggap stabil.

Tetapi, seandainya aliran tunai pun tidak mampu menampung liabiliti tersebut, sedarlah bahawa kedudukan kewangan anda sedang berada dalam keadaan bahaya.

4. Rangka strategi untuk capai matlamat

Selepas mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang ada, tibalah masanya kita perlu merangka strategi-strategi untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Di sinilah kita perlu memperbaiki kesilapan-kesilapan yang dilakukan.

Jika aliran tunai masih negatif, rangka strategi untuk menukarkannya kepada positif.

Mungkin perlu menambah pendapatan dengan melakukan kerja lebih masa, kerja tambahan atau berniaga kecil-kecilan.

Ataupun mengurangkan perbelanjaan dengan memotong kesemua perbelanjaan bukan keperluan dan hidup secara berjimat-cermat.

Jika liabiliti terlalu tinggi dan tidak terurus pula, perlu diuruskan terlebih dahulu.

Jika perlu, rancang untuk cairkan aset yang ada untuk stabilkan liabiliti tersebut.

Boleh cuba dapatkan bantuan penasihat kewangan untuk dapatkan panduan dan bantuan menguruskan hutang, atau rujuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Tak perlu selesaikan semua liabiliti sekaligus, yang penting rancang untuk stabilkannya terlebih dahulu supaya tidak menjadi ancaman nanti.

Jika ada lebihan simpanan, rangka pula strategi pelaburan.

Pilih jenis dan strategi pelaburan yang paling sesuai dengan toleransi risiko diri-sendiri.

Belajar supaya dapat kawal risiko pelaburan dan menjana keuntungan darinya.

Untuk memulakan pelaburan, sebaik-baiknya mulakan dengan lebihan simpanan yang ada.

Cuba elakkan melabur dengan berhutang.

Jika ingin berhutang juga pastikan pandai mengawal risiko dan tahu teknik yang betul, contohnya Teknik Pembiayaan/Pinjaman (Loan) ASB

Baca juga:  6 Persediaan Sebelum Mulakan Pelaburan

5. Laksanakan strategi-strategi yang dirangka

Setelah menyenaraikan strategi-strategi yang ingin dilakukan, susun mereka mengikut keutamaan.

Pilih strategi yang dirasakan mudah terlebih dahulu sebelum laksanakan yang lebih sukar.

matlamat kewanganPaling penting, mulakan langkah secepat mungkin.

Dalam mengejar matlamat kewangan, masa adalah sangat penting.

Semakin lama ditangguhkan, semakin banyak ‘kerugian’ yang dialami.

Contohnya, anda merancang untuk menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM 200 setiap bulan.

Jika ditangguhkan kepada setahun, anda sebenarnya telah kerugian RM 2,400 (RM 200 x 12 bulan)

Atau anda merancang untuk bekerja sambilan dengan pendapatan RM 300 sebulan.

Jika ditangguhkan kepada setahun, bermakna anda kerugian RM 3,600.

Jadi, usah takut untuk memulakan langkah-langkah yang telah dirancang.

Buat satu persatu, teruskan usaha sehingga berjaya.

6. Kaji semula dari semasa ke semasa

Proses mengejar matlamat kewangan bukannya proses yang statik, tetapi perlu berulang-ulang.

Dari semasa ke semasa, perlu nilaikan semula kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang ada.

Tetapkan masa untuk buat penilaian; 3 bulan, 6 bulan ataupun 12 bulan.

Analisa semula aliran tunai dan kedudukan kewangan, adakah bertambah baik atau semakin goyah.

Kaji semula langkah-langkah yang telah diambil, adakah berkesan atau masih perlu penambahbaikan.

Rangka strategi tambahan untuk memantapkan lagi langkah menuju ke matlamat akhir.

Jika anda lakukan kesemua ini, percayalah, matlamat kewangan yang diingini pasti mudah dicapai.

Baca juga:  Tips Kawal Belanja Untuk Elak Duit Bocor

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini