Tahukah Anda Apakah Pelaburan Terbaik?
Tahukah anda apakah pelaburan yang terbaik? Yang paling banyak menjana keuntungan?
Adakah pelaburan saham?
Pelaburan emas perak?
Pelaburan unit amanah?
Ya, tidak dinafikan kesemua jenis pelaburan di atas boleh menjana pulangan lumayan, jika kena dengan tekniknya.
Tetapi, pelaburan yang terbaik adalah pelaburan pada diri-sendiri, iaitu dengan menuntut ilmu.
Bak kata Benjamin Franklin, “An investment in knowledge always pays the best interest.” (Pelaburan dalam ilmu selalunya memberikan pulangan terbaik)
Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pun berpesan agar umat Islam sentiasa mencari ilmu hatta ke negeri China sekalipun.
Islam juga mengangkat tinggi martabat orang berilmu.
Jadi, dalam pengurusan kewangan dan pelaburan, mencari ilmu itu adalah sangat dituntut.
Mengapa?
Kerana apabila kita ada ilmu kewangan yang kukuh, kita dapat menguruskan kewangan kita dengan baik.
Seterusnya dapat mencari peluang pelaburan terbaik yang sesuai dengan objektif dan profil kita.
Dan lagi dapat mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam skim-skim cepat kaya yang menipu.
Namun, harus diingat, dalam kita ghairah mencari ilmu, kenalah beringat-ingat kepada perkara-perkara yang berikut:
1. Taksub dengan satu aliran
Ya, taksub itu membinasakan. Sama seperti dalam ilmu pengurusan kewangan.
Syukur, sekarang ini, ramai sifu atau penasihat kewangan yang muncul di Malaysia.
Buku dan rujukan juga semakin mudah diperoleh.
Kursus dan seminar pun semakin banyak dianjurkan.
Jadi, dalam mencari ilmu pengurusan kewangan, janganlah kita batasi pembelajaran kita kepada satu sifu atau satu aliran pemikiran sahaja.
Dan janganlah terlalu taksub sehingga memandang rendah dan menghina yang lain.
2. Information overload
Information overload terjadi apabila kita terlalu ghairah mencari ilmu sehingga ke satu tahap yang mana kita sendiri keliru dengan apa yang dipelajari.
Biasanya situasi ini terjadi apabila seseorang itu gopoh mempelajari bab yang lain sebelum memahami bab yang sebelumnya.
Atau belajar sekerat-sekerat, iaitu tidak menghabiskan topik asas atau terawal sepenuhnya sebelum melompat ke topik yang lain.
Beringat-ingatlah bahawa objektif paling penting dalam menuntut ilmu adalah kefahaman, bukannya kuantiti atau berapa banyak yang kita belajar.
3. Misleading information
Ilmu pengurusan kewangan pun ada ajaran sesat?
Bukan begitu maksud saya.
Jika kita menerima nasihat atau pandangan berkaitan kewangan daripada seseorang, tidak kira samaada keluarga, rakan atau penasihat kewangan, haruslah terima dengan fikiran terbuka dan berlapang dada.
Namun, pada masa yang sama, hendaklah berhati-hati dan menapis nasihat yang diberikan.
Walaupun penasihat kewangan adalah golongan profesional, sesetengah daripada mereka mungkin terikat dengan produk yang dijual, contohnya unit amanah dan takaful.
Jadi, pandangan mereka mungkin sedikit bias atau cenderung untuk mempromosikan produk mereka (bukan semua penasihat kewangan, kebanyakan mereka adalah profesional dan ikhlas memberi pandangan)
Begitu juga dengan orang lain yang tidak memegang title penasihat kewangan.
Pandangan mereka mungkin cenderung mempunyai muslihat, contohnya nak mengajak kita masuk skim tertentu.
Maka, berhati-hatilah! Apa yang penting, lengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang betul.
4. Tak amal ilmu
“Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah”
Mesti anda semua biasa dengan quote di atas, bukan?
Rugi sebenarnya setelah kita menghabiskan banyak masa, wang dan tenaga untuk belajar, namun akhirnya tidak diamalkan.
Tiada guna dengan hanya bersembang menunjuk-nunjuk dengan rakan-rakan dan orang lain tentang ilmu kewangan yang kita ada.
Sepatutnya ilmu yang dipelajari, kita amalkanlah dengan sebaik-baiknya.
Mulakan dengan diri-sendiri terlebih dahulu, amalkan ilmu yang dipelajari dan terapkan dalam kehidupan seharian kita.
Urus duit dengan baik, rancang perbelanjaan sekadarnya, simpan secukupnya, melabur dengan betul, jangan lupa sedekah dan zakat, dan akhir sekali tinggalkan wasiat yang baik untuk pewaris.
Akhir kata, menuntut ilmu adalah satu keperluan utama dalam pengurusan kewangan.
Kita janganlah kedekut untuk mengerah masa, tenaga dan wang untuk mendapatkan ilmu kewangan yang betul.