6 Nasihat Kewangan Untuk Kejayaan

nasihat kewanganSelepas lebih seminggu saya tak update blog ini, hari ini saya terasa untuk berkongsi sedikit nasihat kewangan yang pernah saya pelajari untuk dijadikan panduan kita bersama.

Nasihat kewangan #1 – Semua orang kena ada impian yang besar

Apa impian kewangan anda?

Kalau masih belum ada, jom cipta impian sekarang.

Pastikan impian yang besar tapi realistik, contohnya nak capai tahap kebebasan kewangan yang mana dah berjaya jana pendapatan pasif yang banyak sehingga mampu menampung perbelanjaan-perbelanjaan sedia ada.

Pada masa sama, nak mendiami rumah yang besar dan selesa, memandu kereta yang elok, memiliki aset-aset pelaburan yang menjana keuntungan dan juga ada simpanan yang banyak.

Juga boleh berbelanja ke arah perkara-perkara yang disukai seperti melancong dan mengembara tanpa perlu fikirkan tentang masalah duit.

Boleh selalu pergi makan di restoran-restoran dengan makanan-makanan yang enak.

Dari segi kewangan keluarga pula, berimpian untuk memberikan nafkah secukupnya kepada isteri, menyumbang wang untuk membantu ibu bapa serta keluarga di kampung dan menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Bak kata orang, tak salah untuk memiliki impian.

Begitu juga dengan impian-impian kewangan seperti di atas.

Mempunyai impian yang besar dan realistik akan menjadi pendorong bagi kita mencapai kejayaan.

The big why factor.

Baca juga:  10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia

Nasihat kewangan #2 – Tetapkan matlamat, buat sampai jadi

Selepas dah set impian kewangan, tulis impian tersebut dalam buku atau sehelai kertas, kemudian tampal di tempat-tempat yang selalu dilihat seperti pada cermin meja solek atau dekat pintu.

Apabila hari-hari tengok impian kewangan sendiri, mesti rasa terdorong untuk capai impian tersebut.

Jadi sekarang, kena tetapkan pula matlamat kewangan dan rancang pelan kewangan untuk merealisasikan impian.

Daripada impian kewangan yang diimpikan, sekarang pecahkan kepada matlamat-matlamat kewangan seperti bina dana kecemasan, tabung pelaburan, tabung  persaraan, dana pendidikan anak-anak dan dana infaq (sedekah dan wakaf).

Tetapkan jumlah dan masa yang spesifik.

Sebagai contoh, nak simpan dana kecemasan sebanyak RM 20,000 dalam masa dua tahun.

Atau nak miliki dua buah rumah yang disewakan sebagai aset pelaburan dalam masa tiga tahun.

Contoh lain, nak ada tabung persaraan sebanyak RM 2 juta dalam masa 25 tahun.

Selepas tetapkan matlamat, rancang pula pelan kewangan untuk capai matlamat tersebut.

Mungkin boleh mula dengan menstrukturkan bajet kewangan bulanan supaya aliran tunai positif

Boleh juga tambah sumber pendapatan untuk memperbanyakkan lagi simpanan.

Pada masa sama, buat pelaburan unit amanah, sasarkan pulangan pelaburan terkompoun 8% ke 10% setiap tahun.

Kalau ada modal lebih, boleh beli rumah dan hartanah komersial untuk disewakan dan dijual apabila harga sesuai.

Tambah ilmu supaya boleh mula melabur dalam pelaburan saham dengan membeli saham syarikat-syarikat berpotensi tinggi.

Semua ini adalah contoh pelan kewangan untuk mencapai matlamat dan impian kewangan yang dikehendaki.

Pastikan anda tulis setiap perancangan yang dibuat, dan laksanakan betul-betul sampai mencapai matlamatnya.

Kalau tak pandai nak rancang pelan kewangan, boleh dapatkan bantuan daripada perunding kewangan yang berpengalaman.

Nasihat kewangan #3 – Berdisiplin dalam membuat simpanan

nasihat kewanganTanpa simpanan, anda tak akan dapat mencapai apa-apa pun impian atau matlamat kewangan.

Kalau sekarang anda masih belum dapat menyimpan, mulakan sekarang.

Mula dulu sikit-sikit, konsisten dan berdisiplin dengan simpanan yang dibuat, lama-lama apabila dah terbiasa, tambahkan lagi.

Bagi yang dah biasa menyimpan, perbanyakkan lagi simpanan.

Lagi banyak menyimpan, lagi cepat dan mudah nak capai matlamat kewangan.

Mula-mula, simpanlah untuk bina dana kecemasan terlebih dahulu.

Simpanlah di tempat simpan duit terbaik, sama ada Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Apabila dana kecemasan dah cukup, mula menyimpan untuk tabung modal pelaburan.

Duit simpanan kalau dibiarkan sahaja boleh jadi rugi juga disebabkan oleh inflasi.

Jadi, kenalah buat pelaburan.

Nanti apabila modal simpanan dah cukup, boleh pilih peluang pelaburan terbaik yang memenuhi keperluan sendiri untuk percepatkan lagi pelan mencapai matlamat dan impian kewangan.

Baca juga:  4 Model Bisnes Mudah Tanpa Modal Besar Untuk Jana Pendapatan Tambahan

Nasihat kewangan #4 – Kawal emosi dan nafsu berbelanja

Salah satu sebab utama ramai orang gagal menyimpan duit dan mencapai matlamat kewangan yang diingini adalah disebabkan gagal mengawal nafsu berbelanja.

Nampak sahaja barang mewah yang diingini, terus keluarkan duit dan beli tanpa membuat kira-kira terlebih dahulu.

Pantang kawan ajak makan di restoran mahal, laju sahaja pergi tanpa mengambil kira baki duit yang masih ada.

Akibatnya, perbelanjaan melebihi pendapatan menyebabkan tiada simpanan dapat dilakukan.

Ini semua angkara tidak dapat mengawal emosi dan nafsu berbelanja.

Terlalu terikut-ikut gaya kehidupan mewah walaupun sebenarnya diri-sendiri tak berkemampuan pun.

Oleh itu, kenalah kawal emosi apabila berbelanja.

Bezakan mana satu keperluan, mana satu kehendak.

Buat kira-kira sebelum mendapatkan sesuatu barang yang diingini, nilaikan kemampuan kewangan sendiri.

Buat keputusan yang bijak semasa membuat perbelanjaan, ini akan membantu anda membina asas kewangan yang kukuh untuk mencapai matlamat dan impian kewangan yang diingini.

Nasihat kewangan #5 – Pelbagaikan sumber pendapatan

nasihat kewanganPendapatan yang diperolehi sekarang dirasakan tidak mencukupi?

Jangan mengeluh atau salahkan orang lain, sebaliknya cuba pelbagaikan lagi sumber pendapatan.

Ingat, terdapat empat kuadran sumber pendapatan yang boleh diteroka.

Kalau sekarang sumber pendapatan utama adalah daripada kerja makan gaji, cuba pelbagaikan dengan membuat perniagaan kecil-kecilan.

Paling mudah, boleh buat bisnes online.

Macam yang dikata dalam iklan televisyen, kita sekarang berada di era konvergens.

Dunia tanpa sempadan, teknologi di hujung jari.

Jadi, memang mudah nak buat bisnes online; boleh buat bisnes online di Facebook, buat duit dengan affiliate atau bisnes ebay.

Bagi mereka yang dah berniaga kecil-kecilan pula, usaha lebih lagi untuk kembangkan perniagaan sedia ada.

Bangunkan sistem yang sesuai untuk perniagaan anda supaya boleh menjana lebih keuntungan di samping membolehkan anda lebih relaks.

Tidaklah anda buat banyak kerja sepanjang masa, sebaliknya agih-agihkan kerja kepada staf-staf lain dan gunakan teknologi untuk automasikan perniagaan anda.

Jadi, anda tak perlu ada setiap masa bekerja untuk perniagaan anda.

Hasil daripada perniagaan, jangan pula dibelanjakan sesuka hati, sebaliknya utamakan untuk beli aset dan buat pelaburan.

Aset dan pelaburan juga boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kita.

Nasihat kewangan #6 – Jangan lupa zakat, sedekah dan cukai

Mesti selalu ingat kata-kata ini, “Sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh dan aset yang dimiliki, ada hak orang lain ke atasnya”

Bagaimana nak tunaikan hak orang lain tersebut?

Kenalah keluarkan zakat, banyakkan sedekah dan bayar cukai.

Barulah berkat pendapatan yang diperoleh dan aset yang dimiliki.

Jangan takut duit kita berkurang, sebaliknya yakinlah bahawa nanti akan dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda.

Itulah sahaja serba sedikit nasihat kewangan yang saya nak kongsikan kali ini.

Bukan nak tunjuk pandai, saya sendiri pun banyak yang tak terlaksana lagi.

Cuma sebagai peringatan dan pesanan untuk kejayaan masa depan.

Eh, macam beri tazkirah pula.

Baiklah, sampai di sini sahaja, jumpa lagi di artikel lain.

p/s: Kalau rasa nasihat-nasihat di atas menikam kalbu, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya!

nasihat kewangan

..

Baca juga:  Tips Urus Kewangan Negatif

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

2 Comments

  1. Pingback: Artikel Percubaan – Wan Zuha

  2. nonisnora

    saya suka tips no 6

    Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini