Bagi penjawat awam yang baru dilantik, mereka pada mulanya akan diletakkan di bawah skim KWSP yang mana sebahagian gaji (11%) akan dipotong ke akaun KWSP berserta tambahan caruman (12 @ 13%) daripada majikan.
Apabila disahkan perkhidmatan (kebiasaannya dalam masa 3 tahun selepas pengesahan lantikan), mereka perlu memilih samaada ingin kekal dalam skim KSWP atau berpindah ke skim pencen.
Dan pilihan yang dibuat nanti adalah mandatori dan tidak boleh diubah (setakat artikel ini ditulis, masih mandatori)
Jadi, memang menjadi dilema samaada nak memilih skim KWSP atau skim pencen.
Sebagai penjawat awam, dilema inilah juga yang saya alami dulu.
Hakikatnya, kedua-dua skim ada kebaikan dan keburukannya.
Membuat pilihan yang tepat boleh mempengaruhi gaya pengurusan kewangan nanti.
Jadi, membuat pilihan terbaik yang paling sesuai dengan diri kita adalah sangat penting.
Skim KWSP vs Skim Pencen
Secara asasnya, perbandingan atau perbezaan antara skim KWSP dan skim pencen adalah seperti yang berikut:
1. Asas perundangan
Skim KWSP tertakluk kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 (Akta 452).
Manakala skim pencen pula tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227), Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) dan Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).
Jika ada masa, cubalah cari akta-akta ini, baca dan hadamkan untuk lebih memahami kedua-duanya.
2. Skim caruman
Jumlah caruman ke akaun KWSP bagi kedua-dua skim KWSP dan pencen adalah sama, iaitu atas kadar 12% emolumen (gaji dan imbuhan tetap) oleh Kerajaan (13% bagi mereka yang berpendapatan kurang RM 5000) dan 11% oleh penjawat awam sendiri.
Bezanya, caruman ini akan diteruskan sepanjang perkhidmatan bagi mereka yang memilih skim KWSP manakala bagi mereka yang memilih skim pencen, caruman akan dihentikan selepas pengesahan status skim pencen diberikan.
Selepas caruman dihentikan, golongan skim pencen dibenarkan mengeluarkan sebahagian duit dalam akaun KWSP mengikut perkiraan dan syarat-syarat yang ditetapkan.
3. Pemberian taraf berpencen
Untuk skim KWSP, tiada konsep taraf berpencen.
Pemberian taraf berpencen adalah eksklusif untuk mereka yang memilih skim pencen setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Dengan taraf berpencen ini, golongan skim pencen layak untuk menerima faedah persaraan dan faedah terbitan dengan syarat-syarat tertentu.
4. Faedah persaraan/faedah terbitan
Faedah persaraan dan faedah terbitan adalah keistimewaan utama yang menyebabkan ramai pekerja kerajaan memilih skim pencen.
Faedah persaraan melibatkan bayaran gantian cuti rehat (GCR), ganjaran sekaligus (gratuiti) dan pencen bulanan mengikut kadar yang telah ditetapkan.
Faedah terbitan pula adalah bayaran-bayaran yang diberikan kepada waris (balu/duda, anak dan ibu/bapa) jika penerima pencen asal meninggal dunia, samaada semasa dalam perkhidmatan ataupun setelah berpencen.
Golongan skim pencen juga menerima keistimewaan pemberian tambahan pencen hilang upaya, pencen tanggungan dan elaun tanggungan mengikut situasi-situasi tertentu.
Lebih istimewa lagi, bayaran pencen bulanan, pencen terbitan, pencen hilang upaya dan pencen tanggungan akan diselaraskan jika berlaku semakan atau pelarasan gaji sektor awam secara umum.
Untuk skim KWSP pula, tiada keistimewaan-keistimewaan ini walaupun bekerja sehingga tamat tempoh bersara wajib.
Golongan skim KWSP hanya akan menerima GCR (dengan syarat bekerja sehingga tamat tempoh bersara wajib) dan jumlah caruman dalam akaun KWSP berserta dividen-dividennya.
5. Faedah perubatan
Sebelum ini, faedah perubatan hanya diberikan kepada golongan skim berpencen.
Tetapi selepas pengumuman kerajaan pada Mac 2011, kedua-dua golongan skim berpencen dan skim KWSP layak menerima faedah perubatan dengan syarat-syarat tertentu.
Faedah perubatan membolehkan pesara dan tanggungan mereka menerima kemudahan rawatan perubatan secara percuma di hospital dan klinik kerajaan.
6. Pinjaman/pembiayaan rumah kerajaan
Semasa tempoh perkhidmatan, kedua-dua golongan skim KWSP dan skim pencen layak menerima keistimewaan pinjaman/pembiayaan rumah dari kerajaan (dikendalikan Bahagian Pinjaman Perumahan, BPP atau sekarang dikenali sebagai Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, LPPSA)
Bezanya, tempoh pembiayaan/pinjaman untuk golongan skim KWSP terhad sehingga tempoh bersara wajib/pilihan sahaja.
Jika masih ada baki pun, bayaran penuh akan dipotong dari akaun KWSP penjawat awam terlibat.
Sebagai contoh, jika mula memohon pembiayaan pada umur 35 tahun, tempoh maksimum pembiayaan yang dibenarkan adalah sehingga umur bersara wajib sahaja iaitu 60 tahun (tempoh pembiayaan 25 tahun berbanding maksimum 35 tahun)
Akibatnya, disebabkan tempoh pembiayaan yang dihadkan, bayaran ansuran bulanan akan menjadi lebih tinggi.
Oleh kerana itu, golongan skim KWSP perlu membuat pembiayaan/pinjaman perumahan kerajaan seawal mungkin jika ingin memohon pembiayaan/pinjaman perumahan kerajaan dalam tempoh yang lama.
Berbeza untuk golongan skim pencen, tempoh pembiayaan/pinjaman boleh dilanjutkan sehingga tempoh maksimum (35 tahun) walaupun melepasi tempoh bersara.
Bayaran baki pembiayaan/pinjaman tersebut boleh diselesaikan menggunakan bayaran ganjaran sekaligus ataupun pencen bulanan.
Dengan keistimewaan ini, golongan skim pencen boleh mengurangkan bayaran ansuran bulanan kerana tempoh pembiayaan boleh dipanjangkan semaksimumnya.
7. Tamat perkhidmatan tanpa bersara
Tamat perkhidmatan tanpa bersara melibatkan pemberhentian kerja sukarela ataupun dibuang kerja kerana tindakan tatatertib yang mana berlaku sebelum tempoh bersara wajib/pilihan.
Jika hal ini terjadi kepada golongan skim KWSP, mereka tidak terjejas apa-apa kerana segala caruman samaada dari kerajaan atau sendiri berserta dividennya masih kekal dalam akaun KWSP masing-masing.
Cumanya mereka akan hilang keistimewaan faedah perubatan.
Tetapi, bagi golongan skim pencen, mereka akan terjejas kerana segala keistimewaan faedah pencen, faedah terbitan dan faedah perubatan tidak akan diterima.
Mereka hanya akan menerima baki caruman (kerajaan dan pekerja) dalam akaun KWSP yang diberikan sebelum disahkan taraf berpencen.
Artikel ini bersambung di “Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik? II”
Tips orang kaya: Beli aircon inverter…. boleh pasang aircon seharian tapi bil api menurun 🙂
Ya, betul. Buat masa sekarang, aircond dengan inverter masih mahal. Kalau berkemampuan, memang pilihan yang baik untuk jimatkan elektrik. Mungkin suatu hari nanti teknologi ini akan jadi harga mampu milik, jadi semua orang boleh berjimat 🙂