Tahukah anda, sebagai orang Islam, kita kena jauhi beberapa jenis riba supaya tidak terjerumus ke lembah dosa.
Oleh itu, amat penting untuk tahu berkenaan jenis riba yang ada supaya tidak terlibat dengannya, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Apabila bercerita berkenaan riba, jangan pula keliru antara rasuah dan riba, dan juga antara jual-beli dan riba.
Ramai mungkin dah tahu tentang rasuah, sebab selalu sahaja keluar berita tentang kes-kes rasuah yang banyak berlaku.
Tetapi, mungkin ada yang kurang tahu berkenaan riba.
Yang penting yang perlu tahu, rasuah dan riba adalah haram, manakala jual-beli adalah halal.
Terlibat dengan riba adalah satu dosa besar, malah dikatakan seolah-olah berperang dengan Allah.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah dalam ayat 278-279, “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.”
Pada masa sekarang, banyak produk-produk kewangan yang mempunyai elemen riba terdapat di pasaran, contohnya seperti insurans konvensional, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan kad kredit.
Malah, tanpa kita sedar, perbuatan kita sendiri pun boleh menjerumuskan diri ke dalam lembah riba jika tidak berjaga-jaga.
Jadi, untuk perkongsian kali ini, saya nak berkongsi serba sedikit berkenaan riba dan jenis riba yang ada, supaya kita semua dapat berhati-hati agar tidak terlibat dengan amalan haram ini.
Perkongsian kali ini saya petik daripada buku Riba & Isu Kewangan Semasa tulisan Ustaz Dr. Zaharuddin Abd. Rahman (UZAR) terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Buku ini diterbitkan pada tahun 2010, namun isi kandungannya masih relevan untuk kita pelajari.
Maklumat lanjut tentang buku ini boleh dibaca di sini atau di sini.
Jom kita belajar tentang riba dan jenis riba yang mesti dijauhi.
Definisi riba
Sebelum kita pergi lebih lanjut tentang jenis riba, jom kita fahami dulu apakah maksud riba.
Dari segi bahasanya, riba bermaksud pertambahan dan peningkatan.
Manakala dari segi istilahnya pula, riba bermaksud sebarang tambahan ke atas hutang akibat tempoh dan tambahan dalam urusan melibatkan item-item tertentu (ribawi).
Item ribawi pula bermaksud item wang seperti matawang, emas dan perak dan juga makanan asasi seperti tamar, beras, garam, gandum dan barli.
Daripada definisi ini, dapat difahami bahawa riba boleh terhasil daripada hutang dan juga jual-beli item ribawi.
Bagaimana pula tu?
Kalau nak faham lagi, jom teruskan pembacaan.
Jenis riba & contoh situasi
Daripada definisi riba yang diberikan di atas, riba boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu riba al-Duyun dan riba al-Buyu’
Riba al-Duyun melibatkan urusan pinjaman dan hutang, manakala riba al-Buyu’ melibatkan urusan jual-beli item ribawi.
Riba al-Duyun melibatkan kadar lebihan faedah yang terhasil disebabkan tempoh, sama ada tempoh pemberian pinjaman mata wang atau manfaat sesuatu aset.
Dalam erti kata lain, riba al-Duyun melibatkan sebarang jenis pinjaman yang membawa manfaat tambahan kepada pemberi pinjam, dan memenuhi tiga syarat yang berikut:
- terhad kepada manfaat material, bukan spirutual seperti pahala
- manfaat tambahan diterima pemberi pinjam, bukan peminjam
- manfaat disyaratkan atau dipersetujui awal
Untuk memudahkan pemahaman, riba al-Duyun dibahagikan kepada dua iaitu riba al-Qardh dan riba Jahiliah.
Riba al-Buyu’ pula melibatkan urusan berkaitan item ribawi; sama ada berlaku ketidaksamaan pada berat atau kuantiti semasa pertukaran, atau pertukarannya dilakukan secara bertangguh.
Riba al-Buyu’ juga terbahagi kepada dua iaitu riba al-Nasak/al-Nasiah dan riba al-Fadhl.
Ringkasan pemudahan bagi jenis riba boleh dilihat di dalam gambar di bawah:
Mari kita kenali dengan lebih jelas lagi setiap jenis riba ini berserta contoh situasi bagi setiap jenis tersebut.
Jenis riba al-Duyun #1 – Riba al-Qardh
Riba al-Qardh berlaku apabila sebarang kadar atau manfaat tambahan yang lebih daripada pinjaman pokok dikenakan ke atas pinjaman tersebut dan dipersetujui semasa pinjaman dibuat, sama ada dikenakan oleh pemberi pinjam atau ditawarkan sendiri oleh peminjam.
Dalam erti kata lain, riba al-Qardh melibatkan sebarang pinjaman yang perlu dibayar melebihi pinjaman pokok.
Riba jenis ini adalah yang paling popular dan banyak berlaku di kalangan masyarakat sekarang.
Riba ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan contoh situasi bagi riba ini adalah seperti yang berikut:
- Contoh #1: Si A meminjamkan duit RM 1,000 kepada si B, dan meletakkan syarat si B mesti memulangkan balik sebanyak RM 1,200 nanti. Lebihan RM 200 tersebut adalah riba.
- Contoh #2: Si B nak meminjam duit si A sebanyak RM 1,000. Untuk memastikan si A memberi pinjam duit tersebut, si B menawarkan akan memulangkan sebanyak RM 1,200 nanti. Walaupun ditawarkan sendiri oleh si peminjam, riba tetap berlaku kerana berlaku persetujuan sebelum pinjaman dibuat. Jika si B sememangnya berhasrat nak membalas budi si A dengan memberi duit lebih, janganlah diberitahu atau ditawarkan sebelum pinjaman. Sebaliknya, berikan sahaja sebagai hadiah semasa membayar pinjaman itu semula tanpa memberitahu apa-apa kepada si A.
- Contoh #3: Si C meminjamkan duit kepada si D sebanyak RM 1,000 dan menetapkan syarat yang si D mesti memulangkan semula duit dengan jumlah yang sama dan mesti menyiapkan tugasan-tugasan si C selama seminggu. Walaupun tiada tambahan duit, namun manfaat tambahan (menyiapkan tugasan selama seminggu) juga adalah riba.
- Contoh #4: Si E meminjamkan keretanya kepada si F, dan menyatakan bahawa si F mesti memulangkan kereta tersebut dengan minyak penuh, walhal minyak kereta tersebut adalah tidak penuh semasa diberi pinjam.
- Contoh #5: Si G berkata kepada si H,”Lusa hari jadi kau, jadi aku akan belikan kau hadiah berharga RM 100, tetapi dengan syarat minggu depan semasa hari jadi aku, kau belikan hadiah berharga RM 150 kepada aku”. Walaupun niat asalnya adalah hadiah, tetapi oleh kerana wujud syarat meminta manfaat tambahan, maka riba berlaku.
- Contoh #6: Pihak pengantin perempuan bersetuju untuk memberikan 9 dulang hantaran dengan nilai RM 10,000 manakala pihak lelaki bersetuju membalas 7 dulang hantaran bernilai RM 13,000. Dalam situasi ini, riba berlaku kerana persetujuan berlaku untuk manfaat dibalas manfaat yang lebih. Tidak salah untuk menetapkan bilangan dulang sahaja, tetapi apabila menetapkan nilai yang berbeza seperti ini, riba boleh berlaku.
Nak elakkan riba al-Qardh?
Pastikan sentiasa berhati-hati apabila memberi pinjam atau meminjam duit atau barang dengan pihak lain.
Kalau nak meminjam dengan bank atau institusi kewangan pula, pastikan pilih pembiayaan Islamik bukan pinjaman konvensional kerana pembiayaan Islamik menggunakan kontrak jual-beli, sewaan atau sebagainya yang berbeza dengan kontrak pinjaman konvensional.
Jenis riba al-Duyun #2 -Riba Jahiliah
Riba Jahiliah berlaku apabila sebarang manfaat atau kadar tambahan melebihi pinjaman asal dikenakan apabila bayaran pinjaman dilakukan melebihi tempoh yang ditetapkan sama ada disebabkan kelewatan atau penangguhan.
Boleh juga dikatakan riba Jahiliah adalah sebarang denda atau penalti yang dikenakan apabila peminjam lambat atau menangguhkan membayar pinjaman sepertimana tempoh yang ditetapkan.
Contohnya, si B meminjam daripada si A dan berjanji akan bayar sepenuhnya dalam tempoh 5 bulan.
Tetapi, si B gagal bayar pada bulan ke 5, sebaliknya bayar pada bulan ke 8, menyebabkan si B didenda atas kelewatan membuat bayaran tersebut.
Denda tersebut adalah riba.
Riba ini bukan sahaja berlaku apabila meminjam wang, tetapi juga apabila meminjam barang-barang.
Contohnya, apabila meminjam buku daripada perpustakaan dan lewat memulangkan buku tersebut, ada perpustakaan yang mengenakan denda dalam bentuk bayaran kepada peminjam buku tersebut.
Denda itu adalah riba.
Selain daripada denda ke atas pinjaman, riba jahiliah juga berlaku ke atas denda kerana lewat menjelaskan bayaran hutang.
Contohnya, si C membeli sofa daripada kedai perabot dan membayar secara ansuran.
Tetapi, si C terlepas bayaran beberapa bulan, menyebabkan beliau didenda, maka denda tersebut adalah riba.
Dalam contoh lain, katakankan si L membeli komputer daripada si M dengan harga RM 2,000 dan bersetuju membayar secara tunai selepas 30 hari.
Tetapi, selepas 30 hari, si L meminta penangguhan bayaran selama 30 hari lagi disebabkan masalah tertentu.
Si M bersetuju tetapi menetapkan harga baru komputer tersebut sebanyak RM 2,500.
Tambahan harga tersebut adalah riba.
Jenis riba al-Buyu’ #1 – Riba al-Nasak atau al-Nasiah
Riba ini berlaku apabila jual-beli atau pertukaran antara item ribawi berlaku secara bertangguh atau tidak serentak.
Contoh situasi-situasi yang terlibat dengan riba ini adalah:
- Contoh #1: Membeli emas secara bertangguh atau berhutang; dapat emas hari ini, bayaran dibuat selepas beberapa hari atau buat bayaran hari ini, emas dapat minggu depan. Situasi ini juga terlibat dengan item ribawi lain seperti perak, beras, tamar dan gandum.
- Contoh #2: Membuat pertukaran beras secara bertangguh; si K dan si L bersetuju nak bertukar beras tetapi secara bertangguh. Jadi, hari ini si K serahkan 10kg beras basmathi kepada si L, manakala si L berjanji akan memberi 10kg beras biasa pada keesokan hari. Berlainan kualiti atau jenis beras tidak mengapa, tetapi jika dilakukan secara bertangguh, adalah tidak dibenarkan.
Untuk elakkan riba al-Nasak, kena ingat perkara ini; transaksi pertukaran item ribawi mesti dilakukan serentak dalam satu masa atau majlis; kedua-dua penjual dan pembeli mesti menyerahkan item masing-masing sebelum berpisah.
Tidak boleh berhutang, tidak boleh bertangguh.
Jenis riba al-Buyu’ #2 – Riba al-Fadhl
Riba ini melibatkan jual-beli atau pertukaran antara item ribawi yang sama jenis, yang mana berlaku apabila berat dan kuantiti pertukaran tersebut adalah tidak sama.
Contohnya adalah seperti berikut:
- Contoh #1: Menukarkan 15g emas 916 dengan 10g emas 999; walaupun kualitinya berbeza, tetapi oleh kerana kedua-duanya adalah emas, maka berat mestilah sama semasa pertukaran.
- Contoh #2: Menukarkan 10kg beras biasa dengan 5kg beras basmathi; kedua-duanya adalah beras, walaupun berlainan kualiti, pertukaran mesti pada berat yang sama.
Untuk elakkan riba al-Fadhl, pertukaran bagi item ribawi sama jenis mesti dilakukan dalam berat atau kuantiti yang sama.
Mungkin ada yang bertanya, bagaimana nak tukar item ribawi yang sama jenis, tetapi berlainan kualiti atau nilai dengan berat yang berbeza.
Contoh, nak tukar 10kg beras biasa dengan 5kg beras basmathi.
Boleh, kena tukar dengan item ribawi lain jenis dulu seperti matawang.
Jual dulu 10kg beras dengan dan dapatkan wang, kemudian beli 5kg beras basmathi dengan wang tersebut.
Kesimpulan
Riba boleh wujud dalam banyak keadaan dan situasi, dan kita sendiri boleh terjerumus dengan amalan dosa besar ini jika kita tidak berhati-hati dan kurang ilmu tentangnya.
Diharapkan perkongsian kali ini dapat menyedarkan pembaca semua tentang riba dan membantu untuk menjauhkan dari terlibat dengannya.
Semoga berjumpa lagi di perkongsian yang lain.
p/s: Kalau rasa perkongsian kali ini bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan ya. Terima kasih.
..
Assalamualaikum. Bagaimana saya boleh menghubungi saudara? Ada fb,no telefon utk saya follow.
Wsalam. Boleh hubungi saya dulu melalui pautan berikut: Hubungi Penulis
Nanti, saya akan maklumkan emel dan nombor telefon untuk komunikasi lebih lanjut.
Bagaimana kes jika kita tolong beli barang rakan. Kemudian kita dapat diskaun tetapi kita jual pada rakan dengan harga tanpa diskaun . Adakah duit itu halal dan terlepas daripada riba?
Maaf, saya tak dapat beri jawapan. Mungkin perlu tanya kepada yang lebih arif. Wallahu’alam.
Member suruh beli harga diskaun ke tanpa diskaun.
cuba nyatakan dengan lebih ringkas beserta contoh
Saya rasa penerangan dan contoh yang diberikan sudah pun jelas.
Slm…sy ade soalan…
Sy beli barang rm100…jadi sy jual dgn harge rm300…ade x berlaku riba…
Dan berape kah kiraan bagi jualan semula dari rm100 tu yg melebihi yg akan menjadi kepada riba?
Wsalam. Itu jual beli, bukan riba. Terpulang berapa percent pun nak letak untung.
saya nak tanya pada tarikh bilakah blog ini he sebab saaya nak mintak izin nak buat citiation assignment
Artikel ini ditulis pada November 2017.
Pingback: Hukum Jual Beli Emas – Sabri Yaacob
Pingback: 4 Jenis Riba & Contoh Situasi Yang Mesti Dijauhi – RISALAH RAHMATAN LIL ALAMIN
adakah riba menggunakan kad kredit islamik untuk membeli perabot rumah sedangkan duit dalam akaun bank tidak mencapai nilai perabot tersebut. Maksud saya overdraf. Walaubagaimanapun bayaran penggunaan tersebut dijamin akan dibayar sebelum tamat tempoh pembayaran secara ansuran bulanan yang telah ditetapkan oleh pihak bank.
Setahu saya, kalau guna kad kredik islamik, maka segala urusan berkaitan penggunaan kad tersebut adalah berdasarkan kontrak yang patuh-syariah.
assalammualikum tuan,
soalan sy klu kite berniaga contoh (jam kite beli dekt supplier rm100 dan menjual balik rm150) adakah rm50 lebih dikire riba? atau pon ada hukum yg lain berkenaan perkara ini? terima kasih
Wsalam. Tidak. Ini dinamakan jual-beli dan hukumnya harus.
assalammualikum tuan,
saya ada persoalan berkenanan jual beli. soalan sy ialah apa bila si A beli jam rm100 dah supplier dan jual rm150 pada si B adakah lebihan rm50 itu dikira riba atau pon ada hukum yg mengenai perkara ini? terima kasih
Wsalam. Tidak. Ini dinamakan jual-beli dan hukumnya harus.
perkongsian yang menarikkk… sangat bermanfaat 😀 boleh saya tau buku atau sumber rujukan yang digunakan bagi artikel ni?
Antara rujukan utama yang saya guna adalah buku Rida & Kewangan Semasa dan juga artikel-artikel yang lain.
Salam sy nak tau, kalau org yg dikenakan riba itu juga dikira berdosa ke? Dikenakan denda itu.
Wsalam. Maaf, saya tak dapat jawab. Wallahu’alam. Sebaik-baiknya, jangan libatkan dalam transaksi yang mengandungi riba. Contohnya, kalau nak beli rumah, pilihlah pembiayaan Islam. Jika sekarang sedang dalam pinjaman yang ada riba, refinance semula dengan pembiayaan Islam. Jika terpaksa bayar denda yang berunsur riba, terpaksalah bayar jika tiada pilihan.
Assalamualaikum..sy nak tanya contoh kalu kita beli tiket flight melalui online dgn harga tiket rm300.. dan dgn harha tiket tu kita jual balik kpd org dgn harga tiket rm400.. adakah rm100 tu dikira riba walaupun ada persetujuan harga oleh kedua dua belah pihak. Terima kasih..
Wsalam. Kena tengok balik kepada perjanjian asal semasa nak beli tersebut. Adakah meminjam, atau perjanjian jual beli. Contoh meminjam, kawan tiada duit nak beli tiket, maka kita offerkan pinjamkan duit untuk tolong beli. Atau kawan minta pinjam duit daripada akaun untuk belikan tiket. Nanti bayar dengan harga mark-up. Ini boleh jadi riba.
assalamualaikum..Kawan sy(forein worker) ada duit bukan niat meminjam..cuma dia tak pandai utk beli tiket online.. so kita tolong beli kan dia tiket guna online guna duit kita dulu.kita beli tiket rm300 guna duit online bank in dan selepas kita dapat tiket kita jual balik tiket kepada kawan( forein worker dgn harga rm400.. adakah rm100 dikira riba.
Sekian terima kasih..
Wsalam. Kena tengok bagaimana deal tu berlaku. Kalau masa kawan tu minta tolong belikan dan kata nak pinjam duit dulu, so lebihan tu kira riba. Kalau masa deal tu dah siap2 bagitau yang akan kenakan lebihan sebagai upah servis, itu bukan riba
assalamualaikum, saya nak tanya,berknean dengan denda tu..jika kita lewat bayar akan dikenakan denda..bukan ke itu menjadi kebiasaan sekrang ini? dan mengenai peinjaman buku di perpustakaan…bukankah bnde itu biase sekiranya kita lewat hantar buku akan dikenakan denda….?
mohon pencerahan
Wsalam. Ya, memang menjadi kebiasaan. Tetapi, biasa tak semestinya betul. Yang salah tetap salah. Diharapkan agar mereka yang terlibat dan berkuasa mengenakan denda sebegitu dapat menghapuskan/menggantikan denda tersebut dengan hukuman yang lebih patuh syariah.
Assalamualaikum. Terima kasih banyak share benda ni. Kalau mcm barang pre-order macam mana ye ? Maaf sy agak kurang jelas sikit.. dan boleh ke kalau kita mengambil keuntungan 100 % atau lebih ? Ada kadar maksimum tak sebagai peniaga ? Terima kasih sudi jawab
Wsalam. Untuk barang pre-order, jika telah dimaklumkan awal-awal kepada pelanggan dan barang tersebut wujud atau akan wujud sepertimana spesifikasi yang dinyatakan, insyaAllah tiada masalah. Yang penting, tiada unsur keraguan dan kepalsuan. Janji barang lain, dapat barang lain. Janji spesifikasi lain, dapat spesifikasi lain.
Untuk urusan jual beli, tiada kadar maksimum keuntungan.
Pingback: Zakat Simpanan ASB: Hukum & Pengiraan - Loan Express
assalamualaikum. tq for info. nak tanya kalau kita beli barang dgn harga yg murah pastu jual balik dgn harga yg mhal. Contohnya, beli brg kat kedai rm2 pastu jual brg dgn harga rm10. adakah ianya riba jugak. tq
Wsalam. Tidak.
Salam kalau pinjam duit rm12.000lepastu tiap2bulan kena bayar rm278selama 5thn itu termasuk riba Kan ?
Wsalam. Tengok kepada jenis pinjaman yang diambil itu. Kalau ambil pinjaman dengan bank konvensional, ribalah ia. Kalau ambil pembiayaan dengan bank islam, maka bukan riba.
Assalamualaikum tuan,saya ada satu persoalan.Situasinya begini si A ada satu barang elektronik yg hendak dijual.Si A beli dgn harga RM1000 pada hari first dia dikeluarkan dipasaran.Selepas beberapa bulan atau tahun si A ingin menjual harga pada RM1500 kerana si A fikir ingin mengikut konsep supply and demand sbb brg itu sudh kehabisan stok atau tidak dikeluarkan dh walaupun harga pasarannya yg sebenar utk secondhand adalah RM800-900.Persoalanya adalah adakah jatuh hukum haram atau riba ke atas si A sbb seperti mengambil kesempatan keatas situasi yg disebut di atas(supply and demand)?
Wsalam. Bukan riba kerana ini adalah jual beli. Jika ada pelanggan setuju untuk beli pada harga tersebut, maka tiada masalah. Sama macam kumpul barang koleksi terhad/berharga. Contoh jual setem lama, pasu bunga antik etc.
Assalamualaikum tuan saya ada persoalan nk tanya.situasi nya begini si A telah membeli barang elektronik dgn harga RM1000 pada hari pertama dikeluarkan.Selepas beberapa tahun atau bulan si A ingin jual semula dgn harga RM1500 keatas dgn alasan supply and demand kerana tiada stok baru atau stop production walaupun harga sebenar secondhand barang itu adalah pada harga RM700-800.Persoalannya adalah adalah jatuh hukum haram atau riba kepada si A tersebut kerana niat nya seperti ingin mengambil.kesempatan dan mengaut keuntungan.
Wsalam. Bukan riba kerana ini adalah jual beli. Jika ada pelanggan setuju untuk beli pada harga tersebut, maka tiada masalah. Sama macam kumpul barang koleksi terhad/berharga. Contoh jual setem lama, pasu bunga antik etc.
Pingback: Hutang Dalam Islam, Keliru Dengan Hukum Riba’. Bagaimana Elak Ditindas, Ditekan Dan Dieksploitasi - Hijabista
Pingback: Jenis-jenis Riba Dan Situasi Yang Perlu Dijauhi - iLabur
Assalamualaikum..sy nk tau tentang perkara ini kerana ia amat meluas berlaku di felda.. ini contohnya..si tuan ladang (a) telah menuai hasil sawitnya dan dijual kepada kilang.. kemudian dapatlah 10 tan x rm500 = rm5000.. namun 5000 ini akan dibayar oleh pihak felda dlm masa 1 bulan mendatang.. utk mendapatkan duit cepat si a telah ‘menjual’ resit tadi kepada B dengan kadar satu tan ditolak rm20.. bermakna si a hanya akan menerima rm rm4800.. manakal si b akan mendapat untung rm200 tetapi perlu menunggu 1 bulan apabila pihak felda membayar rm5000 nanti.. adakah ini riba? @ dibenarkan
Wsalam. Maaf, saya tak dapat nak jawab soalan ini. Mungkin boleh diajukan kepada para ustaz yang lebih ‘alim.
Assalammualaikum, sye nak tanya kalau tukar duit syiling dekat mesin, selalu dicharge 5% atau 6%.. Contoh, bila masukkan RM100 akan dpt syiling 50sen tapi jumlah syiling tu hanya RM96.. Adakah dikira riba?
Wsalam. Kena rujuk kepada yang lebih arif.
Assalammualaikum sy main game car parking multiplayer… Ada org jual kereta 6000 sy tengok kereta ITU lawa corak petronas sy membelinya… Dan sy jual pada org lain harga kereta tu 3 000 000
Wsalam. Itu jual beli.
Along selalu guna cara riba mcm ni. Mangsa along pinjam RM 10,000 tapi dapat RM 8000 je.
Bila lambat bayar sehari, dia boleh naikkan amount yang kita kena bayar sesuka hati dia je. originally pinjam RM 10,000 tapi dapat pun RM 8000, lambat bayar sehari tiba-tiba total hutang jadi RM 15,000. Kalau tak bayar jugak, sampai la cat merah kat depan rumah atau dia kacau ahli keluarga.
Sebab itu kalau boleh elakkan meminjam daripada along.
Assalamualaikum… bagaimana dengan pembelian di online:
Contoh 1: Beli online dengan bayar dahulu dan kemudian pejual baru buat penghantaran.
Contoh 2: Beli di platform shopee & lazada, bayaran akan dilepaskan setelah barang diterima.
Contoh 3: Beli di platform shopee & lazada, barang telah diterima dan pembeli diberi masa sehingga seminggu sebelum bayaran dilepaskan, untuk pastikan barang yang diterima adalah dalam keadaan yang baik dan tidak rosak.
Adakah kesemua contoh di atas termasuk dalam riba. Terima kasih.
Setahu saya, selagi tidak melibatkan item-item ribawi, urusniaga tersebut adalah sah. Lagipun, semua syarat dan situasi yang dinyatakan, telah dipersetujui antara penjual, pembeli dan juga penyedia platfom tersebut semasa masing-masing membuat akaun.