Tips Simpan Duit: Berapa Banyak Nak Simpan? Simpan Kat Mana?

tips simpan duit“Pay yourself first”

“Bayar diri-sendiri terlebih dahulu”

Saranan di atas banyak disuarakan oleh penasihat-penasihat kewangan dengan memberikan pelbagai tips simpan duit.

Bahkan kalau dilihat pada 7 fasa asas pengurusan kewangan, fasa simpanan berada pada kedudukan nombor dua selepas pendapatan.

Ini bermaksud pendapatan yang diperoleh seharusnya disimpan terlebih dahulu sebelum dibelanjakan.

Baiklah, konsep di atas mungkin senang difahami.

Tetapi, persoalan yang sering dibangkitkan orang ramai adalah, “Berapa banyak nak simpan? Nak simpan kat mana?”

“Berapa banyak nak simpan?”

Daripada jumlah pendapatan yang diperoleh, berapa banyak yang perlu diperuntukkan untuk simpanan?

10%? 20%? 30%?

Kebiasaannya, cara menyimpan duit yang sering diajarkan adalah dengan memperuntukkan 10% daripada jumlah pendapatan untuk tabung simpanan.

Ini sememangnya saranan yang baik, memang satu jumlah yang munasabah dan tidak membebankan.

Tetapi, pada pendapat saya, bagi yang belum pernah menyimpan, sebaik-baiknya mulakan dahulu dengan seberapa yang mampu.

RM 10 sebulan pun tidak mengapa, yang penting mulakan dulu untuk memupuk disiplin dan semangat untuk menyimpan.

Nanti selepas dibuat bajet dan dikawal perbelanjaan, atau apabila pendapatan meningkat, bolehlah ditambah dari semasa ke semasa.

Baca juga:  Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja

“Nak simpan kat mana?”

Bawah bantal? Celah-celah baju dalam almari?

Duit simpanan sebaik-baiknya disimpan di tempat yang selamat.

Bukan sahaja selamat daripada pencuri, malahan daripada diri kita sendiri, takut nanti terambil tanpa sedar (curi-curi ambil)

Jadi, rasanya simpan di bawah bantal, celah-celah baju dalam almari atau mana-mana tempat dalam rumah bukanlah pilihan yang baik.

Kecuali duit yang dikhaskan untuk perbelanjaan yang akan diguna dalam masa terdekat, bolehlah disimpan di tempat-tempat tadi.

Simpan dalam akaun di bank?

Boleh juga, bahkan lebih selamat berbanding simpan di rumah.

Lebih baik lagi, untuk akaun simpanan tersebut, jangan di buat kad ATM atau online banking.

Jika ada kad ATM pun, boleh disimpan jauh dari dompet supaya tidak terdetik rasa untuk keluarkan duit.

tips simpan duitMenyimpan dalam akaun simpanan di bank mungkin cara yang selamat dari dicuri, tetapi sayangnya duit tersebut tidak selamat dari kesan inflasi.

Secara puratanya, inflasi di Malaysia berada dalam julat antara 2% ke 4% setahun.

Akaun simpanan bank pula kebiasaannya memberi hibah/bonus/dividen dalam jumlah yang kecil sahaja setiap tahun.

Akibatnya, lama kelamaan, duit yang disimpan boleh terhakis nilainya disebabkan kesan inflasi.

Jadi, di mana tempat yang lebih baik?

Di Malaysia, terutamanya bagi golongan Bumiputera dan Muslim, kita sebenarnya bertuah kerana ada instrumen yang lebih baik untuk menyimpan berbanding akaun simpanan di bank.

Iaitu Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Simpanan di kedua-dua tempat ini dijamin oleh kerajaan, dan pada masa yang sama dividen/bonus yang diberikan lebih besar jumlahnya berbanding akaun simpanan bank.

Tambahan lagi, simpanan di Tabung Haji bukan sahaja dapat memenuhi hasrat untuk menunaikan rukun Islam ke lima, bahkan patuh-syariah dan dibayar zakat untuk pencarum.

Secara peribadi, saya menyarankan kedua-dua instrumen ini sebagai tempat terbaik untuk menyimpan duit.

Menyimpan perlu ada matlamat

Apabila menyimpan, kita perlu tetapkan matlamat atau objektif yang khusus.

Berapa banyak jumlah simpanan hendak dicapai?

Berapa lama masa yang diperlukan untuk mencapai jumlah yang dikehendaki?

Apa yang perlu dilakukan selepas matlamat tercapai?

Ketiga-tiga soalan di atas wajib dijawab jika kita hendak menyimpan.

Dengan adanya matlamat yang jelas, kita boleh membuat kira-kira jumlah simpanan bulanan yang perlu diperuntukkan.

Sebagai contoh, jika menyimpan dengan objektif untuk membina dana kecemasan sebanyak RM 15,000 dalam masa 2 tahun, jadi target simpanan bulanan seharusnya RM 625.

Bagi yang ingin membina tabung pelaburan, sebagai contoh sebanyak RM 20,000 dalam masa 3 tahun, simpanan bulanan sebanyak RM 550 adalah mencukupi.

Dengan duit yang disimpan untuk tabung pelaburan ini, boleh dijadikan modal untuk memulakan pelaburan, tak kiralah samaada untuk membayar deposit pembelian rumah yang akan disewakan, atau modal awal pelaburan aset kertas seperti unit amanah dan saham.

Atas sebab inilah betapa pentingnya mempunyai matlamat yang jelas dalam menyimpan.

Jika tidak mempunyai matlamat, kita akan menjadi kurang berdisiplin dan mudah terasa bosan untuk menyimpan.

Akhirnya, duit simpanan entah ke mana, matlamat pengurusan kewangan kita juga menjadi tidak jelas.

Baca juga:  6 Langkah Asas Untuk Capai Matlamat Kewangan

Menyimpan untuk berbelanja?

tips simpan duitMembeli barang yang berharga tinggi seperti perabot rumah, peralatan elektrik atau telefon bimbit dengan membayar secara tunai adalah amalan yang baik.

Jauh lebih baik daripada berhutang duit orang lain atau menggunakan kad kredit.

Tetapi, bukan semua orang mampu menyediakan tunai dalam jumlah yang besar sekaligus.

Maka, ramai yang mengambil pendekatan menyimpan duit sedikit demi sedikit untuk membeli barangan idaman.

Amalan ini adalah sesuatu yang baik, malah digalakkan.

Malangnya, kadang-kadang ramai yang tersilap cara menyimpan duit untuk membeli barangan idaman.

Ada yang mengambil jalan mudah dengan mengorbankan sebahagian peruntukan simpanan bulanan untuk dimasukkan ke tabung barangan idaman.

Ini adalah cara yang kurang tepat sebenarnya.

Tujuan menyimpan harus ditumpukan ke arah memantapkan kedudukan kewangan sendiri, seperti membina dana kecemasan, tabung pelaburan atau pelan persaraan, bukan untuk dibelanjakan kepada barangan bukan aset.

Dan jumlah duit yang diperuntukkan untuk simpanan seharusnya tidak dikurangkan semata-mata untuk memenuhi kehendak kita, sebaliknya harus dikekalkan atau ditambah untuk mencapai matlamat yang asal.

Jika kita ingin mengumpul wang untuk membeli sesuatu, duit yang disimpan sebaik-baiknya diambil daripada bahagian yang diperuntukkan untuk perbelanjaan.

Sebagai contoh, jika selama ini kita menyimpan RM 300 dan berbelanja RM 700 setiap bulan, kita perlu menyimpan sebahagian daripada RM 700 untuk membeli barangan idaman.

Bukannya mengambil daripada jumlah RM 300 kerana ini akan menjejaskan matlamat asal kita menyimpan.

Dalam erti kata lain, kita perlu mengorbankan perbelanjaan bulanan untuk membina tabung barangan idaman.

Lagipun, duit yang disimpan itu akan dibelanjakan juga akhirnya apabila kita membeli barangan yang dikehendaki.

Akhir kata, menyimpan merupakan satu langkah utama dalam memastikan pengurusan kewangan peribadi yang baik.

Apabila menyimpan, perlulah disertakan dengan pelan dan matlamat yang jelas supaya kekal berdisiplin dengan tabiat yang baik ini.

Matlamat menyimpan pula hendaklah dijaga agar tidak terpengaruh dengan kehendak diri untuk berbelanja ke arah lain.

Jadi, jom kita menyimpan duit!

Baca juga:  [VIDEO] 5 Cara Simpan Duit Untuk Yang Sering Gagal Menyimpan

1 Comment

  1. Pingback: BERKESAN! 5 Cara Menyimpan Duit Pasti Jadi! - Emas Putih

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini