5 Cara Menyimpan Duit Pasti Jadi

cara menyimpan duitMenyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh adalah langkah penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Menyimpan duit menuntut disiplin dan komitmen yang tinggi kerana perbuatan ini perlu diulang setiap masa.

Pada masa yang sama, perlu mengekang nafsu untuk membelanjakan duit tersebut kepada jalan yang bukan untuk mencapai matlamat asal.

Kebanyakan orang memang berazam untuk menyimpan, namun malangnya bukan semua boleh melakukannya.

Hakikatnya, tabiat menyimpan boleh dipupuk dengan mengamalkan teknik atau cara menyimpan duit yang betul.

Mari saya kongsikan beberapa cara menyimpan duit untuk membantu golongan yang sering gagal untuk menyimpan.

1. Teknik tanpa-sedar

Teknik pertama ini melibatkan arahan pemotongan automatik (auto-deduction) yang mana tanpa kita sedar, sebahagian duit pendapatan akan ditolak untuk simpanan.

Untuk teknik ini, kita perlu membuka dua akaun; akaun pertama untuk menerima gaji/pendapatan manakala akaun kedua sebagai akaun simpanan.

Akaun kedua boleh dibuka dengan bank yang sama, ataupun bank yang berbeza daripada akaun pertama.

Sebaik-baiknya, kedua-dua akaun tersebut daripada bank yang sama untuk mengurangkan caj pemindahan wang dan caj-caj lain yang tersembunyi.

Jadi, apabila gaji diterima ke dalam akaun pertama, kita bolehlah memindahkan sebahagian duit ke akaun kedua sebagai simpanan.

Jika kita seorang yang berdisiplin dan yakin boleh memberikan komitmen penuh untuk membuat simpanan, pemindahan duit tadi boleh dilakukan sendiri secara manual atau online banking.

Tetapi, jika kita tidak yakin untuk berdisiplin, boleh membuat arahan pemotongan automatik kepada bank.

Cara ini lebih baik kerana simpanan akan dilakukan secara tetap dan konsisten tanpa perlu kita buat apa-apa pun.

Dalam erti kata lain, tanpa kita sedar pun.

Jika kita ingin menyimpan ke dalam Tabung Haji atau ASB sepertimana yang saya sarankan dalam artikel tips simpan duit sebelum ini, masih boleh dilakukan dengan mengisi borang dan menghantar kepada majikan.

Ataupun membuat arahan kepada bank akaun gaji kita (kebanyakan bank membenarkan pemotongan terus ke akaun ASB)

Pada waktu saya mula-mula bekerja dulu, saya turut mengamalkan teknik tanpa-sedar ini.

Sebahagian duit gaji saya dipotong secara automatik ke dalam akaun Tabung Haji saya.

Lama-kelamaan apabila terasa diri mampu berdisiplin, saya membatalkan pemotongan automatik dan membuat pemindahan sendiri melalui online banking sahaja.

Memang mudah dan berkesan.

Baca juga:  Agihan Pendapatan Dividen & Bonus ASB 2016

2. Teknik paksa-rela

Dalam teknik ini, kita membuat sesuatu agar kita dipaksa untuk menyimpan.

Kedengaran pelik?

Begini caranya.

Melalui teknik ini, kita terlebih dahulu membuat pinjaman/pembiayaan peribadi dengan bank.

Kemudian, duit tersebut terus disimpan ke dalam tempat yang kita berhajat untuk simpan (saranan saya Tabung Haji atau ASB).

Akibatnya, setiap bulan kita terpaksa memperuntukkan sebahagian gaji untuk dibayar kepada bank dan inilah dia simpanan kita.

Ramai yang telah mengamalkan teknik ini, terutamanya menggunakan pembiayaan/pinjaman ASB atau lebih dikenali sebagai loan ASB.

Dengan teknik yang betul, memang boleh menjana keuntungan yang baik.

Salah seorang yang mengajar teknik loan ASB ini adalah Tuan Khairul Ezuwan (Key).

Beliau ada menghasilkan pakej ebook dan video yang mengajar teknik-teknik menjana keuntungan menggunakan loan ASB (klik di sini untuk dapatkan pakej ebook dan video dari Tuan Key)

Namun, secara peribadi, saya kurang menggemari teknik berhutang untuk menyimpan ini.

Di samping risiko yang lebih tinggi, Debt-Service Ratio (DSR) kita juga semakin bertambah.

Maksudnya, kita telahpun mempunyai rekod berhutang dengan bank.

DSR adalah antara ukuran utama yang digunakan bank-bank untuk meluluskan permohonan pembiayaan kita.

Semakin tinggi DSR, semakin kecil peluang untuk mendapatkan pembiayaan yang lain seperti membeli rumah dan kereta.

Jika masih ingin mengamalkan teknik ini, sebaik-baiknya jaga bayaran setiap bulan dan selesaikan dalam masa yang pendek sahaja (5 tahun atau kurang)

3. Teknik duit ganjil

cara menyimpan duitPertama kali saya baca tentang teknik ini adalah di blog Pakdi.

Baru-baru ini, teknik ini menjadi viral di media sosial terutamanya di Facebook.

Sampaikan isteri saya terikut-ikut dengan teknik ini.

Dalam teknik duit ganjil ini, kita menyimpan not-not duit yang jarang kita jumpa.

Contohnya, not RM 5 dan RM 20.

Apabila kita dapat sahaja not-not ini, asingkan dan terus masukkan ke dalam tabung.

Kumpul untuk satu tempoh tertentu; 3 bulan, 6 bulan atau setahun.

Kemudian, cuba kira jumlah yang dikumpul, pasti senyuman terukir melihat jumlah yang banyak.

Teknik ini mungkin tidak sesuai untuk dijadikan simpanan tetap bulanan, kerana jumlahnya mungkin berubah-ubah.

Teknik ini lebih kepada mewujudkan keseronokan dalam menyimpan.

Lebih seronok jika duit ganjil ini dikumpul bersama-sama pasangan dan anak-anak.

Duit yang dikumpul nanti boleh disimpan dalam akaun simpanan khas, atau dibelanjakan untuk barang-barang idaman.

Boleh juga diguna untuk sesi percutian keluarga.

Baca juga:  Tempat Simpan Duit Terbaik: Tabung Haji VS ASB

4. Teknik bantuan ‘ceti’

Teknik ini bukanlah bermaksud kita meminjam dengan ceti.

Sebaliknya, kita melantik seseorang untuk menjadi ‘ceti’; mengutip duit daripada kita dan menyimpannya.

Ataupun kita serahkan duit kepada seseorang yang kita pilih, dan minta beliau simpankan untuk kita.

Teknik ini boleh dilakukan dengan rakan yang dipercayai, pasangan suami-isteri bahkan kekasih (untuk mengumpul duit kahwin)

5. Teknik main kutu

Ini adalah teknik old-school dan evergreen; diamalkan dari dulu dan masih diamalkan sekarang.

Main kutu sebenarnya mudah sahaja, duit dikutip dari setiap peserta oleh seorang kepala/ketua, dan diberi dalam jumlah sekaligus kepada setiap peserta mengikut giliran bulanan ataupun tempoh masa yang ditetapkan.

Kebiasaannya main kutu melibatkan duit sahaja, namun pada masa sekarang, ada juga melibatkan benda-benda lain seperti jongkong emas, barang kemas dan set pinggan-mangkuk.

Walaupun main kutu dilarang undang-undang kerana melibatkan kutipan deposit dari individu secara tidak sah, tetapi teknik ini tetap menjadi pilihan kebanyakan orang.

Punca utamanya adalah kerana keseronokan mendapat duit yang banyak sekaligus, walaupun terpaksa mengikut giliran.

Tambahan lagi, ketua yang dilantik akan tanpa segan-silu mengutip duit daripada setiap peserta setiap bulan.

Jadi, elemen membentuk disiplin ada di situ.

Dalam kita seronok bermain kutu, pastikan kita berhati-hati sebelum menyertai mana-mana kumpulan bermain kutu.

Sebaik-baiknya, beri perhatian kepada perkara-perkara yang berikut:

cara menyimpan duit1. Sertai kumpulan yang bersaiz kecil sahaja, idealnya antara 5-10 orang. Saiz terlalu besar bukan sahaja berisiko tinggi, malahan menyebabkan giliran semakin lambat.

2. Bayaran bulanan tidak terlalu tinggi. Semakin tinggi bayaran, semakin tinggi risiko.

3. Ketua dan peserta kumpulan adalah daripada kalangan yang kita kenali, contohnya rakan sekerja, jiran-tetangga atau saudara-mara.

4. Yakin dengan kejujuran dan sifat amanah setiap peserta. Maklumlah, main kutu ini salah di sisi undang undang. Jadi kalau terjadi perkara-perkara yang tidak diingini, undang-undang sendiri pun tidak dapat membantu.

5. Sistem giliran ditetapkan awal dan adil. Ya, ada kumpulan main kutu yang mengagihkan duit berdasarkan kepada undian dan sistem yang tidak adil. Jadi, berhati-hati!

Kelima-lima teknik atau cara menyimpan duit yang dinyatakan di atas adalah cadangan sahaja untuk membantu kita menyimpan duit.

Setiap teknik ada kelebihan dan kekurangannya.

Jadi, terpulanglah mahu mengamalkan mana-mana teknik yang dirasakan sesuai dengan diri-sendiri.

Tak kisahlah teknik mana pun yang diguna, yang paling penting adalah memulakan simpanan dan konsisten.

Baca juga:  Cara Daftar Portal MyASNB Untuk Semak Baki & Penyata Online

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

8 Comments

  1. postfishcracker

    wah sungguh bermanfaat! kami masih mencuba walaupun sering gagal!

    https://cukaipendapatan.wordpress.com/2017/11/08/amaran-mengenai-sindiket-penipuan-bayaran-balik-cukai/

    Reply
  2. Pingback: 5 Salah Faham Urus Duit Yang Perlu Diperbetulkan - Majalah Labur

  3. Pingback: Cara Bijak Menyimpan Duit Gaji Bulanan - NOTACARA.COM

  4. Pingback: Tips: 5 Cara Menyimpan Duit Menjelang Perkahwinan | Planet Khemah

  5. Pingback: 10 Peluang Pelaburan di Malaysia - Loan Express

  6. Syed Mustaffa

    Bagus sekali penerangan yang diberikan, cuma izinkan saya tambah. Simpanan dalam bentuk emas fizikal juga satu alternatif simpanan paksa rela. Malah, boleh dijadikan simpanan tanpa sedar jika menggunakan arahan bank bulanan..

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Saya lebih menganggap simpanan emas sebagai pelaburan 🙂

      Reply
      1. Syed Mustaffa

        Pun boleh juga 👍

        Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini