Nak uruskan duit dengan baik, mestilah dilakukan dengan sistematik.
Lakukan dengan teratur.
Bukan sekadar hentam ikut suka hati, takut nanti tak terkawal pula.
Baiklah, bagi yang ingin menguruskan kewangan peribadi dengan baik, semestinya perlu mengetahui tentang tujuh (7) fasa asas ini, iaitu:
1. Pendapatan (Income)
2. Simpanan (Saving)
3. Perbelanjaan (Expense)
4. Perlindungan (Protection)
5. Pelaburan (Investment)
6. Penyucian (Purification)
7. Pewarisan (Distribution)
Saya tidak tahu siapa yang memperkenalkan 7 fasa ini, tetapi saya pertama kali membaca berkenaan perkara ini di blog afyan.com dan rahsiatakaful.com.
Kedua-dua laman adalah dari pemilik yang sama, Tuan Afyan Mat Rawi.
1. Pendapatan (Income)
Pengurusan kewangan mestilah bermula dengan duit, jika tiada duit, kenapa perlu fikir nak urus dengan baik.
Jadi, dalam fasa pertama ini, perlulah kita menghasilkan pendapatan, tak kira samaada melalui gaji, upah, bisnes atau apa-apa sahaja yang mendatangkan wang.
Yang penting, pendapatan tersebut diperoleh melalui saluran yang betul mengikut undang-undang semasa dan bagi orang Islam, halal.
Nilai kecil atau besar tidak menjadi masalah.
Pendapatan yang kecil pun, jika diurus dengan baik, masih boleh hidup dengan tenang.
Pendapatan yang besar pula, jika tidak cerdik menguruskannya, hidup akan terasa sempit dan sesak.
Pernah dengar pepatah, “Semakin besar periuk, semakin banyak keraknya”?
2. Simpanan (Saving)
“Pay yourself first”
“Bayar kepada diri-sendiri terlebih dahulu.”
Dalam pengurusan kewangan, ianya bermaksud sebahagian pendapatan yang diperoleh haruslah disimpan terlebih dahulu sebelum dibelanjakan.
Bukannya sebaliknya.
Dalam fasa kedua ini, objektif utama adalah untuk membina dana kecemasan dan tabung untuk fasa pelaburan nanti.
Tambahan lagi, fasa ini bertujuan untuk mendidik diri kita supaya berdisiplin dengan wang yang ada.
Jika menyimpan pun gagal, usah bermimpi nak lulus ke fasa-fasa yang lain.
3. Perbelanjaan (Expense)
Baki wang selepas simpanan, itulah yang boleh dibelanjakan.
Dalam fasa ini, kita perlu tahu ke mana wang kita dibelanjakan setiap hari, minggu dan bulan.
Kita perlu mengenalpasti apakah perbelanjaan keperluan dan perbelanjaan kehendak.
Juga perlu mengenalpasti perbelanjaan tetap dan perbelanjaan boleh ubah.
Dari situ, kita boleh merangka bajet sendiri supaya perbelanjaan lebih terkawal.
Macam mana nak kenalpasti?
Kena rajin mencatatlah!
4. Perlindungan (Protection)
Ramai sebenarnya yang sering mengabaikan fasa perlindungan ini.
Kesedaran untuk mengambil perlindungan, iaitu takaful/insuran dalam kalangan masyarakat terutama golongan Bumiputera di Malaysia masih rendah.
Bagi perlindungan am seperti perlindungan kenderaan dan rumah, mungkin tiada masalah.
Itupun kerana undang-undang yang mewajibkan, jika tidak mesti ramai juga yang tidak mengambil berat.
Tetapi, bagi perlindungan diri dan kesihatan, peratusan yang menyertai masih rendah.
Walhal, pada pendapat saya, kedua-duanya adalah satu keperluan.
Insuran/takaful sebenarnya melindungi pendapatan dan simpanan kita daripada hangus kerana masalah atau kemalangan yang tidak dijangka.
Dan juga menyediakan perlindungan atau sumbangan kepada waris jika berlaku musibah ke atas diri pencarum.
5. Pelaburan (Investment)
Fasa pelaburan adalah fasa di mana kita menukarkan pendapatan dan simpanan kepada aset, tak kira samaada dalam bentuk aset kertas atau aset tetap.
Jika kita menyimpan sahaja tanpa melabur, lama-kelamaan wang simpanan akan terhakis oleh inflasi.
Bayangkan, nilai RM 50 atau RM 100 pada hari ini semestinya tidak akan sama pada masa 10 tahun akan datang.
Jadi, membuat pelaburan adalah sangat penting.
Dalam kita ghairah untuk melabur, perlulah berhati-hati agar tidak terjebak dengan skim cepat kaya yang menipu.
Pelaburan pada tempat yang betul dengan teknik yang betul dapat mempertingkatkan nilai aset kita.
Pelaburan juga dapat menghasilkan pendapatan tambahan jika kena caranya.
Bak kata orang, guna duit untuk buat duit.
Use money to make money.
Ya, risiko dalam pelaburan sentiasa ada, namun itulah cabarannya.
6. Penyucian (Purification)
Cukai, derma, sedekah dan zakat adalah jalan untuk ‘menyucikan’ harta kita.
Konsepnya, untuk harta yang kita peroleh, ada bahagian yang perlu diperuntukkan kepada orang lain.
Membayar cukai untuk membantu kerajaan membangunkan negara dan masyarakat (jika tidak diselewengkan)
Derma dan sedekah untuk membantu golongan atau pihak yang memerlukan.
Zakat pula untuk membangunkan ummah dan golongan asnaf.
Jadi, janganlah sayangkan duit dan culas untuk melakukan fasa penyucian ini.
7. Pewarisan (Distribution)
Harta yang ada kekal di dunia sahaja, tidak akan di bawa ke kubur.
Waris yang masih hiduplah yang akan menikmatinya.
Adakah nanti apabila kita telah pergi, kita mahu meninggalkan waris bergaduh berebut harta?
Atau waris mengalami kesulitan untuk mendapatkan harta yang dulunya kita bertungkus-lumus bina untuk mereka, disebabkan undang-undang dan prosedur yang leceh?
Atas sebab-sebab inilah pentingnya membuat pewarisan sebelum kita meninggal.
Wasiat, hibah dan faraid, di fasa inilah peranan mereka.
Kesimpulannya, jika ingin mengurus kewangan dengan baik, perlu dilakukan secara teratur dari fasa ke fasa.
Kukuhkan pendapatan, supaya lebih senang untuk merancang ke fasa seterusnya.
Perbanyakkan simpanan supaya kedudukan kewangan lebih stabil.
Kawal perbelanjaan supaya pendapatan yang diperoleh dimanfaatkan kepada perkara-perkara yang perlu sahaja dan seterusnya mengelakkan pembaziran.
Lindungi pendapatan dan simpanan dengan insurans/takaful sekadarnya supaya tidak terjejas pada waktu musibah.
Laburkan duit supaya aset berkembang dan pendapatan bertambah.
Dan akhir sekali bahagikan harta seadilnya untuk kesejahteraan waris-waris.
Pingback: 4 Model Bisnes Mudah Tanpa Modal Besar Untuk Jana Pendapatan Tambahan – Suri Empire Prestige
Pingback: 5 Formula Urus Duit Gaji Yang Mudah Dilakukan - Loan Express
Pingback: Tips Simpan Duit: Berapa Banyak Nak Simpan? Simpan Kat Mana? - Loan Express
Pingback: 5 Formula Urus Duit Gaji Yang Mudah Dilakukan - Loan bank centre
Pingback: Tips Simpan Duit: Berapa Banyak Nak Simpan? Simpan Kat Mana? - Loan bank centre
Blog ini penuh informasi
sila lawat blog saya pula http://www.privatemandate.com
InsyaAllah
Terima kasih kerana sudi berkongsi
Sama-sama 🙂