Dalam artikel sebelum ini, saya ada berjanji nak tulis artikel berkenaan cara buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera (AHB).
Mungkin ada yang berminat nak melabur dalam dana Amanah Hartanah Bumipuetra, tetapi sebab kurang jelas dengan caranya, maka hasrat terbantut.
Sepertimana yang kita sedia maklum, sekarang peluang untuk mula atau tambah pelaburan dalam dana AHB sedang dibuka susulan pengumuman tambahan unit sebanyak 500 juta unit baru-baru ini.
Biasanya, memang unit dana AHB cepat habis.
Jadi, alang-alang dah ada peluang sekarang, rugi juga kalau terlepas kali ini.
Bagi yang berminat nak tahu cara buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera dan mulakan pelaburan, teruskan baca perkongsian saya kali ini.
Siapa yang boleh buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?
Sebelum kita pergi kepada cara buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera, jom kita fahami dulu beberapa perkara penting tentang dana ini.
Dana AHB adalah terbuka kepada semua individu Bumiputera Malaysia yang berumur seawal 3 bulan.
Bagi individu Bumiputera berumur 18 tahun dan ke atas, mereka boleh buka Akaun Dewasa AHB.
Bagi pemohon dan kanak-kanak berumur 3 bulan sehingga 18 tahun, mereka boleh buka Akaun Remaja di bawah nama penjaga yang sah; kedua-dua penjaga dan pemohon mestilah Bumiputera Malaysia.
Selain individu, dana AHB juga terbuka kepada institusi Bumiputera seperti koperasi, pertubuhan atau persatuan yang selayaknya.
Berapa kos buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?
Seperti yang saya tulis di dalam artikel sebelum ini, kos pelaburan dalam AHB adalah rendah.
Tiada caj jualan dan penebusan.
Yang ada hanya kos-kos kecil seperti yuran pengurusan dan yuran pemegang amanah yang dikenakan secara tidak langsung ke atas jumlah unit dana yang dimiliki.
Harga unit pula adalah tetap dan rendah pada harga RM 1.00 seunit.
Boleh dikatakan, kos memulakan pelaburan dalam AHB adalah rendah.
Tak perlu risau kena sediakan modal yang tinggi.
Berapa had minimum untuk mula melabur dalam dana AHB?
Untuk pelaburan individu, ada 2 cara untuk mula melabur dalam dana AHB iaitu sama ada secara tunai atau pengeluaran Akaun 1 KWSP.
Untuk pelaburan secara tunai, had minimum adalah 100 unit.
Jadi, pelabur boleh mula buka akaun AHB serendah RM 100 sahaja.
Bagi pelaburan melalui Akaun 1 KWSP pula, had minimum adalah 1000 unit bersamaan RM 1,000
Di samping itu, perlu memenuhi keperluan-keperluan lain untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP seperti had 30% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas.
Dengan had minimum yang rendah ini, boleh dikatakan ramai orang berkemampuan nak mula melabur dalam AHB.
Di mana boleh buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?
Setakat artikel ini ditulis, hanya Maybank dan AmBank sahaja dilantik sebagai ejen atau pengedar bagi dana AHB.
Oleh itu, untuk buka akaun AHB, kena berkunjung ke mana-mana cawangan kedua-dua bank ini.
Senarai cawangan Maybank boleh dilihat di sini, manakala cawangan AmBank boleh dilihat di sini.
Pastikan datang pada hari dan waktu perniagaan sahaja iaitu hari Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk cuti umum.
Apa yang diperlukan untuk buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?
Sebelum buka akaun AHB, bakal pelabur perlu mempunyai akaun simpanan Maybank atau AmBank.
Ini kerana, nombor akaun sama ada Maybank atau AmBank tersebut adalah diperlukan untuk diisi di dalam borang untuk buka akaun AHB nanti.
Kenapa akaun simpanan ini diperlukan untuk mula melabur dalam AHB?
Sebabnya, sebarang agihan pendapatan ke atas unit AHB yang dipegang nanti akan dimasukkan ke dalam akaun ini.
Selain itu, jika nak melabur ke dalam AHB secara tunai, duit/modal yang hendak dilaburkan perlu dimasukkan atau didebitkan ke akaun simpanan ini terlebih dahulu.
Duit tersebut akan terus dipindahkan ke akaun AHB anda apabila selesai akaun AHB dibuka nanti.
Jadi, kalau masih belum miliki akaun simpanan Maybank atau AmBank, kena buka akaun simpanan tersebut terlebih dahulu sebelum buka akaun AHB.
Kena sediakan sedikit wang untuk buka akaun simpanan tersebut sepertimana yang ditetapkan.
Boleh rujuk di sini untuk lebih maklumat berkenaan akaun-akaun simpanan Maybank.
Nanti, apabila nak buka akaun pelaburan AHB, tak perlu bawa salinan buku simpanan atau penyata akaun simpanan, yang penting pastikan anda mempunyai nombor akaun tersebut.
Salin pada kertas atau dalam handphone pun tidak mengapa.
Apa dokumen-dokumen yang diperlukan untuk buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?
Untuk buka akaun AHB, hanya perlu bawa MyKad anda sendiri jika ingin membuka akaun dewasa untuk diri-sendiri.
Jika nak buka akaun remaja untuk anak atau jagaan yang berumur 3 bulan hingga 18 tahun, kena turut bawa MyKad atau salinan asal surat beranak anak atau jagaan tersebut.
6 langkah buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera
Sekarang, selepas faham semua maklumat di atas dan sediakan dokumen-dokumen secukupnya, boleh ikuti langkah-langkah yang berikut untuk mula melabur dalam AHB:
Langkah #1 – Cari lokasi ejen AHB, iaitu cawangan Maybank atau AmBank yang terdekat atau mudah dikunjungi
Langkah #2 – Berkunjung ke lokasi yang dipilih, maklumkan pegawai bertugas di kaunter pertanyaan yang anda nak buka akaun AHB.
Langkah #3 – Anda akan diminta untuk berjumpa dengan Eksekutif Kewangan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang dana AHB
Langkah #4 – Anda akan diminta untuk mengisi “Borang Pendaftaran – Akaun Dewasa” atau “Borang Pendaftaran – Akaun Kanak-Kanak/Remaja”, mengikut mana-mana yang berkenaan
Langkah #5 – Serahkan borang yang lengkap diisi berserta dokumen-dokumen yang diperlukan serta modal permulaan pelaburan dalam bentuk tunai atau cek jurubank di kaunter bank.
Langkah #6 – Selepas permohonan selesai diproses, anda akan diberikan salinan Borang Pendaftaran yang disahkan sebagai bukti pelaburan. Di atasnya akan tercatat nombor akaun AHB serta jumlah pelaburan yang dimiliki. Simpan nombor akaun AHB tersebut, mana tahu pada masa akan datang anda nak tambah pelaburan lagi, boleh guna sahaja nombor akaun tersebut. Tiada buku akan diberikan, hanya salinan tersebut sahaja.
Selesai.
Itulah sahaja langkah-langkah yang terlibat dalam proses buka akaun pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera.
Tak susah pun.
Jadi, tunggu apa lagi, jom cepat-cepat buka akaun pelaburan AHB sebelum penuh.
Selamat melabur ya!
p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN artikel ini ya! Terima kasih.
..
Terima kasih tuan/puan. Melalui tulisan ini saya tahu tentang AHB bulan lepas. Sudah buka akaun pelaburan tadi.
Terbaik Tuan.
bagaimana untuk menambah pelaburan? perlu ke maybank/ambank? atau boleh lakukan transaksi melalui M2U?
Ya, untuk tambah pelaburan AHB, perlu ke mana-mana cawangan Maybank / Ambank. Kalau sebelum ini buka akaun AHB menerusi Maybank, maka pelaburan tambahan pun perlu melalui Maybank.
hai. tq tuan ats artikel. tp sy nk tanye, betol ke kalo kite belabur gune kwsp, dividen nt akn masok semule akaun kwsp bkn akaun bank kite…minta pencerahan…terima kasih
Ya, betul. Bagi yang melabur dalam AHB menggunakan Skim Pelaburan Ahli KWSP, sebarang agihan pendapatan akan dimasukkan ke akaun 1 KWSP pelabur tersebut.
Salam tuan, mintak tlg sharekan skali macamana cara nk buka akaun AHB menggunakan KWSP. Perlu pg pjbt kwsp ke boleh trus ke maybank?
Wsalam. Boleh terus ke Maybank atau AmBank. Bagitahu nak melabur AHB dengan pengeluaran KWSP. Nanti mereka akan bagi borang. Disarankan untuk bawa sekali penyata akaun KWSP, boleh dicetak daripada i-Akaun KWSP.
nak tanya.. keuntungan dia setiap tahun ke? ke ada waktu- waktu baru dapat keuntungan tersebut?
Alhamdulillah, setakat ini, AHB masih menghasilkan keuntungan setiap tahun.
saya nak tanya…kalau pelaburan RM100 tu setiap bulan ke?
Tak perlu buat pelaburan setiap bulan. Boleh melabur bila-bila masa selagi baki unit masih ada.
salam tuan…. kalau kita buka pelaburan melalui kwps, boleh tak kita buka lagi satu akaun tunai??
Wsalam. Setahu saya, boleh.
Assalam.. Kouta untuk AHB masih ade ker ae sekarang
Wsalam. Saya sendiri pun kurang pasti. Boleh berkunjung ke mana-mana cawangan Maybank atau AmBank untuk info lanjut.
Saya ada tanya maybank brapa minimum untuk buka akaun, pegawai tu bagitau, RM500. .Sbb dalam artikel sebut rm100 je.
Jika dirujuk di laman web Maybank di sini dan juga Ambank di sini, jumlah pelaburan minimum bagi Amanah Hartanah Bumiputera adalah 100 unit bersamaan RM 100. Mungkin pegawai yang Cik jumpa tak sedar akan hal ini.
Ok dah settle. .pegawai tu tak pasti. .bila saya bagitau baru dia confirm semula. .boleh buka dengan serendah RM100. .
Good…
Salam Tuan..kalau kita nak Stop melabur..duit yg kita labur tu dapat balik ke.?
Wsalam. Ya, boleh.
Dulu saya pernah masuk AHB,tapi lama saya tak aktif untuk bayaran bulanan….adakah akaun ahb saya da dibekukan? Dan saya tak pernah menerima apa apa dividen dari saya bayar selama 2 tahun…bagaimana duit yang saya laburkan,dan pergi kemana hasil potongan duit tersebut,adakah pihak AHB masih menyimpannya…
Untuk tahu status terkini akaun pelaburan AHB Tuan, boleh berkunjung ke ejen AHB; Maybank atau AmBank. Biasanya, walaupun tiada penambahan, akaun masih tetap aktif selagimana baki minimum masih ada. Tentang bayaran dividen, bagi AHB, bayaran terus dikreditkan ke akaun Maybank / AmBank yang didaftarkan semasa pembukaan akaun pelaburan AHB.
Terima kasih. Info yg sgt baik. Tapi tadi pergi maybank. Pegawai tu kata kuota dah penuh pula. Hmmm
Ya. Kena tunggu kerajaan umum pembukaan kuota/tambahan unit baru.
Tuan, nak daftar ahb ada syarat apa apa ke dari segi gaji mininum?
Untuk daftar AHB tidak perlukan syarat gaji minimum. Asalkan sahaja Bumiputera Malaysia dan boleh sediakan amaun pelaburan minima (RM 100), maka boleh buka akaun AHB.
kalau unit dah habis dah tak boleh labur lah , macam tu ke?
Ya, betul. Kena tunggu tambahan unit baru atau ada pelabur yang lepaskan/jual unit-unit yang mereka pegang.
salam tuan, adakah pelaburan AHB patuh syariah @ pelaburan islamik
Wsalam. Ya, patuh syariah.
Terima kasih info yg berguna
Sama-sama 🙂
Salam..ahb masih boleh daftar ke sekarang ini?
Wsalam. Setahu saya unit dah penuh, jadi tak boleh langgan. Kena tunggu unit baru ditambah.
As salam, saya nak tanya, jika kita nak jual saham atas sbb kecemasan boleh ke kita dapatkan tunai? Adakah di semua bank atau di cawangan yg kita buka akaun? Tkasih .
Wsalam. Cik bertanya tentang AHB ke? Untuk urusan jual beli, hanya di bank-bank tertentu sahaja seperti Maybank dan AmBank.