Tag Archive: perancangan kewangan

Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja

formula pengurusan kewanganDalam artikel 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus, saya ada menyarankan untuk membuat bajet sendiri supaya setiap pendapatan yang diperoleh dapat dikawal dan dibelanjakan dengan terurus.

Langkah-langkah yang diberikan sesuai untuk mereka yang telah lama mempunyai pendapatan dan berbelanja, kerana mereka telah ada pengalaman menguruskan pendapatan sendiri.

Apa yang perlu dibuat hanyalah sedikit adjustment kepada perbelanjaan mereka dengan merangka bajet sendiri supaya setiap sen pendapatan dapat disimpan dan dibelanjakan dengan lebih bijak.

Tapi, bagaimana dengan mereka yang baru mula bekerja?

Yang baru mula mendapat gaji pertama.

Apakah formula terbaik untuk mereka mula merancang pengurusan kewangan mereka?

Sebelum itu, jika anda adalah salah seorang daripada mereka yang baru mula bekerja dan sedang mencari panduan berkenaan pengurusan kewangan, saya ucapkan tahniah kerana punyai kesedaran awal untuk bertindak lebih bijak.

Mempunyai formula pengurusan kewangan yang bijak dari awal akan memudahkan perjalanan anda untuk mencapai matlamat-matlamat kewangan anda.

Untuk golongan yang baru mula bekerja ini, saya ada satu formula yang saya reka sendiri dan amalkan dari dulu hingga sekarang walaupun telah 6 tahun bekerja.

Formula pengurusan kewangan 30:10, iaitu membahagikan pendapatan kepada 4 bahagian; tiga bahagian 30% dan satu bahagian 10% (30:30:30:10)

Contohnya, seorang graduan baru yang berpendapatan RM 3,000/bulan, maka pembahagiannya adalah RM 900:900:900:100

Setiap bahagian adalah berdasarkan kepada 7 fasa pengurusan kewangan yang pernah saya tulis sebelum ini.

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

30% – Perbelanjaan

10% – Penyucian harta

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

Bahagian 30% pertama ini adalah untuk kesenangan masa depan; untuk simpanan, pelaburan dan perlindungan.

Orang yang bijak dalam pengurusan kewangan menyimpan dahulu pendapatan yang diperoleh sebelum dibelanjakan.

Semakin banyak bahagian yang boleh disimpan, semakin baik.

Tetapi, janganlah terlalu banyak menyimpan sehingga menyusahkan diri kerana tidak dapat berbelanja untuk keperluan-keperluan asas.

Ramai malas nak mula menyimpan, sebab takut gagal untuk beri komitmen.

Walhal, ada banyak cara simpan duit yang boleh dilakukan.

Bagi orang yang baru bekerja, misi pertama dalam menyimpan adalah untuk mewujudkan dana kecemasan.

Selepas mencukupkan dana kecemasan, lebihan simpanan seterusnya bolehlah disalurkan kepada pelaburan untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan.

Tak kisahlah nak mulakan pelaburan emas, pelaburan hartanah, pelaburan saham atau lain-lain jenis pelaburan, yang penting pastikan pelaburan yang sah dan mula dengan ilmu yang betul.

Pada masa yang sama, jangan lupa untuk mengambil perlindungan takaful/insurans secukupnya untuk menghadapi musibah kewangan yang tak terduga.

Mungkin pada permulaannya tak perlu ambil perlindungan yang mahal, cukup sekadar ambil perlindungan minima untuk manfaat-manfaat asas terlebih dahulu.

Nanti apabila pendapatan bertambah, bolehlah di’top-up’ jumlah perlindungan dan manfaat.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk simpanan, pelaburan dan perlindungan.

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

formula pengurusan kewanganKebanyakan graduan muda yang baru mula bekerja terbeban dengan satu hutang, iaitu hutang pinjaman/pembiayaan pelajaran.

Maklumlah, semasa belajar dulu, tawaran biasiswa terhad, ibu bapa pula tidak mampu menanggung kesemua kos pelajaran, maka pilihan yang ada hanyalah pinjaman/pembiayaan pelajaran.

Hutang tetap hutang, dan menjadi tanggungjawab untuk dibayar.

Jadi, peruntukkanlah sebahagian gaji yang diperoleh untuk membayar hutang yang ditanggung.

Semakin cepat diselesaikan hutang tersebut, semakin baik.

Lebihan yang ada, bolehlah disimpan sebagai simpanan perbelanjaan.

Simpanan perbelanjaan adalah duit yang disimpan untuk dibelanjakan, terutamanya untuk perbelanjaan-perbelanjaan besar.

Contohnya, kebanyakan graduan muda berkeinginan untuk berkahwin, maka bolehlah disimpan sebahagian daripada 30% pendapatan ini untuk mengumpul duit bagi persiapan majlis perkahwinan.

Lelaki yang bertanggungjawab bijak merancang untuk menjadikan kekasih hatinya sebagai yang halal secepat mungkin.

Ada juga yang merancang untuk membeli kereta, maklumlah sebagai hadiah kepada diri sendiri kerana telah habis belajar dan mula bekerja.

Nasihat saya, sebelum membeli kereta, mulakan dengan menyimpan sedikit demi sedikit duit untuk bayaran deposit nanti.

Selagi duit yang dikumpul tidak mencukupi 10% ke 20% harga kereta yang ingin dibeli, jangan beli kereta tersebut.

Harus diingat, membeli kereta yang mahal dan tidak perlu adalah satu tindakan kurang bijak kerana menambah beban hutang dan perbelanjaan baru.

Sedangkan ada perbelanjaan yang lebih utama dan lebih besar yang perlu dilakukan, iaitu membeli rumah.

Tetapi, jika terpaksa juga membeli kereta dan membuat hutang baru, pastikan jangan melebihi pembahagian 30% yang ditetapkan, dan pada masa sama sediakan sedikit bahagian untuk pembiayaan/pinjaman perumahan kelak.

Lebih baik lagi, mulakan dulu dengan membeli rumah dan jadikannya sebagai mesin wang.

Nanti apabila mesin wang semakin bertambah, hasilnya bolehlah digunakan untuk membeli kereta.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk perbelanjaan.

30% – Perbelanjaan

Bahagian ketiga ini adalah untuk perbelanjaan-perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan yang perlu dilakukan.

Ini termasuklah perbelanjaan makan-minum, sewa tempat tinggal, keperluan peribadi, bil-bil utiliti, tambang perjalanan, petrol, tol dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang difikirkan perlu.

Hadkan cuma 30% daripada pendapatan untuk perbelanjaan-perbelanjaan ini, yang biasanya orang sebut sebagai belanja hangus.

30% tidak mencukupi untuk semua perbelanjaan ini?

Kalau bijak merancang, pasti cukup.

Kunci utamanya, berjimat-cermat, tidak boros dan hidup bersederhana di bawah kemampuan.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk perbelanjaan.

10% – Penyucian harta

Dengan pendapatan yang diperoleh, janganlah dilupa ‘hak orang lain’.

Di sinilah perlunya diperuntukkan 10% daripada pendapatan untuk diberikan kepada orang lain sama ada menerusi zakat, cukai dan juga sedekah.

Secara umumnya, pengiraan zakat pendapatan adalah 2.5% daripada pendapatan yang diperoleh, tetapi untuk lebih tepat bolehlah dirujuk di sini.

Pengiraan cukai pendapatan pula perlu mengambil kira banyak perkara, seperti jenis pendapatan bercukai, pengecualian, pelepasan dan rebat cukai.

Kadarnya juga boleh berubah bergantung kepada keputusan kerajaan.

Sedekah pula adalah pemberian ikhlas secara sukarela.

Jangan dilupa juga untuk diberi hadiah kepada ibu bapa.

Walaupun mungkin mereka tidak memerlukan duit gaji anda, tetapi tidaklah salah untuk menghulurkan  sekadar kemampuan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Untuk kefahaman lebih lanjut berkenaan penyucian harta, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk penyucian harta.

Adjust accordingly

formula pengurusan kewanganFormula pengurusan kewangan 30:10 untuk adalah sebagai panduan asas sahaja, bukannya rigid.

Bukan semua orang mempunyai pendapatan yang sama.

Bukan semua orang mempunyai keperluan perbelanjaan yang sama.

Tambahan lagi, dari tahun ke tahun, jumlah pendapatan mungkin semakin bertambah, selari juga dengan jumlah perbelanjaan yang semakin bertambah.

Jadi, di sinilah perlunya kreativiti sendiri untuk mengubahsuai formula tadi untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Namun, saranan saya, kalau boleh, hadkan peruntukan simpanan dan pelaburan pada paras minima 20% manakala paras hutang kepada maksima 30% sahaja.

Jika tiada hutang, itulah yang terbaik.

Hutang yang terlalu tinggi adalah bahaya dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan jika tidak dihadkan.

4 Kuadran Sumber Pendapatan-Anda Yang Mana Satu?

jana pendapatan tambahanPernah tak anda melihat gambarajah di sebelah ini?

Inilah dia Cashflow Quadrant yang diperkenalkan oleh Robert Kiyosaki, seorang jutawan dan penulis buku-buku kewangan yang popular di seluruh dunia.

Antara buku yang dihasilkan beliau adalah Rich Dad Poor Dad, Retire Young Retire Rich, Increase Your Financial IQ dan Rich Dad’s Cashflow Quadrant.

Berbalik kepada Cashflow Quadrant yang diperkenalkan beliau, dapat dilihat terdapat 4 kuadran yang sebenarnya mewakili sumber pendapatan kebanyakan orang iaitu:

1. Employee – pekerja makan gaji

2. Self-employed/self-business – bekerja/berniaga sendiri

3. Business owner – pemilik perniagaan

4. Investor – pelabur

4 Kategori Sumber Pendapatan

1. Employee

Kuadran E merujuk kepada golongan pekerja makan gaji; mereka bekerja untuk orang lain/organisasi dan dibayar gaji, tak kira samaada secara bulanan atau harian, tetap atau tidak tetap.

Jika tidak bekerja, maka tiada sumber pendapatan (kecuali cuti-cuti yang diberi)

Golongan ini mengorbankan masa dan tenaga untuk mengkayakan dan berkhidmat untuk orang lain.

Jumlah pendapatan adalah terhad kepada gaji yang diberi majikan dan masa mereka kebanyakannya ‘dipegang’ oleh majikan (tiada kebebasan masa)

Pertambahan pendapatan hanya diperoleh jika terdapat kenaikan gaji atau kenaikan pangkat.

2. Self-employed/self-business

Kuadran S mewakili golongan yang bekerja sendiri, atau pemilik bisnes kecil-kecilan.

Contohnya, seorang doktor yang menjaga kliniknya sendiri atau seorang mekanik yang menjaga bengkelnya sendiri.

Sama seperti golongan E, jika tidak bekerja, maka tiada sumber pendapatan.

Walaupun mempunyai lebih kebebasan masa berbanding golongan E, namun jumlah pendapatan adalah terhad kepada usaha dan masa yang mereka curahkan.

Contohnya jika seorang mekanik mampu membaiki 5 buah kereta sehari, maka sebanyak itulah sahaja pendapatan beliau.

Jika tidak bekerja atau bercuti, maka tiadalah pendapatan untuk hari itu.

3. Business owner

Pemilik bisnes (kuadran B) adalah orang yang mempunyai perniagaan besar dan bersistem.

Mereka mempunyai sistem yang baik dan pekerja yang mahir menguruskan perniagaan mereka.

Walaupun pemilik bisnes bercuti, perniagaan mereka masih berjalan dan memberikan pendapatan kepada mereka.

Pekerja mahir mereka bekerja untuk mengkayakan mereka.

Oleh kerana itu, mereka mempunyai kebebasan masa dan potensi pendapatan tanpa had.

4. Investor

jana pendapatan tambahanGolongan pelabur (quadran I) menggunakan duit untuk menjana lebih banyak duit.

Mereka hanya melakukan kerja-kerja semasa memulakan pelaburan, selepas itu pendapatan diperoleh secara pasif.

Mereka mendapat pendapatan hasil dividen/bonus pelaburan mereka(pelaburan kertas seperti saham, amanah saham) atau melalui bayaran sewa hartanah-hartanah mereka (jika terlibat dengan pelaburan hartanah)

Oleh kerana pendapatan dihasilkan secara pasif, mereka mempunyai lebihan masa yang banyak.

Anda Yang Mana Satu?

Jika dilihat kepada Cashflow Quadrant, golongan E dan S berada di sebelah kiri, manakala B dan I berada di sebelah kanan.

Mengikut Robert Kiyosaki, beliau menyarankan supaya kita bergerak dari sebelah kiri (E dan S) ke sebelah kanan (B dan I) jika berimpian mencari kekayaan dan mencapai kebebasan kewangan (financial freedom)

Ataupun, mempunyai dua atau lebih sumber pendapatan (berada di dua atau lebih kuadran)

Contohnya, orang yang masih bekerja makan gaji, tetapi pada masa yang sama mempunyai perniagaan yang diuruskan orang lain.

Atau seseorang yang bekerja sendiri mempunyai pelaburan yang menjana pendapatan tambahan untuknya.

Antara sebab-sebab mengapa Robert Kiyosaki memberikan saranan ini adalah:

1.  Pendapatan golongan E dan S adalah terhad, dan amat susah untuk mereka menjadi kaya dan mencapai kebebasan kewangan jika kekal di kuadran yang sama.

2. Golongan E dan S mempunyai masa yang terhad, jadi sukar bagi mereka untuk melakukan perkara-perkara yang mereka sukai atau sesuatu yang boleh menjana lebih pendapatan untuk mereka

3. Oleh kerana pendapatan yang terhad, kebanyakan mereka yang berada di kuadran E dan S menggunakan sebahagian besar pendapatan yang diperoleh untuk berbelanja dan menghasilkan liabiliti (hutang), dan sedikit sahaja untuk simpanan dan aset

4. Golongan E dan S terpaksa membayar cukai yang tinggi, malah semakin tinggi pendapatan yang diperoleh, semakin tinggi cukai yang perlu dibayar (boleh lihat sebabnya di sini – 10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan)

jana pendapatan tambahan5. Golongan B dan I menghasilkan aset yang mana aset ini akan menghasilkan pendapatan pula untuk mereka (sebab itulah pendapatan mereka tidak terhad!)

6. Golongan B dan I boleh menggunakan konsep leveraging; mereka mengeksploit tenaga dan masa orang lain (pekerja), sistem, aset dan kemudahan yang ada untuk menghasilkan lebih banyak wang

7. Golongan B dan I boleh mengawal pendapatan dan perbelanjaan mereka supaya cukai yang dikenakan adalah minima walaupun pendapatan semakin bertambah

Memang banyak kelebihan yang boleh dinikmati golongan sebelah kanan berbanding sebelah kiri.

Jadi, sekarang, anda berada di kuadran yang mana?

Jika masih berada di kuadran E dan S, bolehlah beransur-ansur bergerak ke kuadran B atau I.

Mulakan dulu dengan belajar cara berniaga dan memulakan pelaburan yang betul.

Berikut saya senaraikan beberapa ebook atau panduan bagi mereka yang ingin mula berniaga secara sampingan untuk jana pendapatan tambahan, terutamanya melalui atas talian (online):

1. MB2000 oleh Tuan Faisal Abdullah

Program ini diberikan nama MB2000 atau nama panjangnya, Mula Berniaga RM2000.

Disediakan sebagai panduan asas bagi mereka yang baru mula ingin berniaga dan menjana minimum RM 2000 sebulan sebagai permulaan.

Tuan Faisal menerangkan dengan panjang lebar berkenaan proses mencari idea/produk untuk diniagakan, membuat validasi supaya idea/produk tadi boleh dijual, cara untuk fokus dan yang paling penting segala strategi, taktik, rahsia pemasaran dan ilmu penulisan iklan yang membolehkan anda mula buat jualan RM2,000 sebulan.

Memang panduan yang amat sesuai untuk mereka yang baru ingin mula berniaga, tak kira secara sepenuh masa atau separuh masa.

Boleh dapatkan program ini dengan klik di sini – MB2000

2.  Video Panduan Cara Mulakan Bisnes di Facebook oleh Tuan Firdaus Azizi

Video panduan ini disediakan sebagai panduan untuk memulakan bisnes di Facebook dengan menggunakan page dan FB Ads.

Disediakan panduan langkah demi langkah yang mudah difahami untuk membantu mereka yang baru mula bisnes di Facebook.

Boleh dapatkan video panduan ini dengan klik di sini – Video Panduan Cara Mulakan Bisnes di Facebook

Jika ingin belajar lebih lagi, boleh dapatkan Pakej Combo Video Panduan Facebook.

Pakej combo ini menggabungkan dua panduan dari Tuan Azizi, dan sesuai bagi mereka yang baru dan ingin advance lagi dalam bisnes di Facebook menggunakan FB Ads.

3. Panduan Shopievo oleh Team Funemo

jana pendapatan tambahanPanduan ini disediakan bagi mereka yang berminat memulakan bisnes secara dropship, iaitu satu model bisnes yang hanya memerlukan modal permulaan yang kecil lagi.

Kelebihan utama Shopievo ialah panduan ini akan mendedahkan bagaimana untuk meneroka pasaran antarabangsa yang jauh lebih besar berbanding pasaran di Malaysia.

Maka, anda akan dapat menjual barang-barang ke seluruh dunia, dan pendapatan boleh diperoleh dalam jumlah yang lebih besar.

Team Funemo mendedahkan bagaimana mereka mencapai jualan RM 400,000 lebih dalam masa 2 bulan sahaja.

Jika berminat, boleh dapatkan panduan ini dengan klik di sini – Shopievo

4. Sistem Bisnes Pro oleh Sensei Yusof

Sistem ini disediakan sebagai panduan bagi mereka yang cenderung untuk melakukan bisnes secara atas talian (online) dengan menggabungkan pemasaran emel dan facebook.

Sistem ini sebenarnya telah lama digunakan otai-otai bisnes online dan membantu mereka mencapai jualan 4 ke 5 angka setiap bulan.

Sistem ini membantu untuk mengautomasikan perniagaan anda, hanya perlu setup sekali dan lupakan terus.

Bagi mereka yang baru ingin memulakan bisnes, mungkin akan terasa sedikit sukar dengan sistem ini.

Tetapi bagi mereka yang telah mula menjana pendapatan melalui online, sistem ini boleh membantu untuk menambahkan lagi hasil pendapatan.

Boleh dapatkan sistem ini dengan klik di sini – Sistem Bisnes Pro

10 Langkah Merancang Pembahagian Harta Pusaka Semasa Hidup

pembahagian harta pusakaApabila membicarakan tentang pewarisan harta, orang ramai sering menganggap yang proses ini hanya melibatkan harta pusaka yang ditinggalkan si mati.

Maksudnya, waris yang masih hidup menguruskan pembahagian harta pusaka peninggalan si mati, tidak kira samaada harta alih (duit, barang-barang berharga) atau harta tidak alih (bangunan, rumah, tanah)

Sebenarnya, topik pewarisan harta tidak dikecilkan kepada harta pusaka si mati sahaja, bahkan sebenarnya digalakkan untuk merancang pembahagian harta pusaka semasa masih hidup lagi.

Si pemilik harta semasa masih hidup sebaik-baiknya menyediakan semua keperluan terutamanya dari segi dokumentasi supaya waris-waris dapat mewarisi harta yang ditinggalkan dengan mudah dan cepat selepas si pemilik harta tadi meninggal dunia.

Kenapa perlu uruskan pembahagian harta pusaka semasa hidup?

1. Mengelakkan harta dibeku

Sehingga kini, terdapat berbilion harta pusaka yang tertunggak, beku dan tidak diketahui pemiliknya.

Puncanya, kerana pewarisan harta tidak dilakukan dengan baik.

Pewaris malas melalui proses yang panjang membuat tuntutan atau terdapat dokumen-dokumen yang hilang atau tidak lengkap menyebabkan pewarisan harta tidak dapat diteruskan kepada yang berhak.

Akibatnya, banyak harta pusaka yang beku dan tidak dapat dimanfaatkan.

2. Harta pusaka boleh digunakan segera

Jika proses pewarisan dan pembahagian harta diuruskan dengan baik semasa masih hiudp, proses tuntutan yang panjang dan rumit dapat dielakkan.

Maka, pewaris-pewaris akan dapat menggunakan harta yang ditinggalkan dengan segera.

Bolehlah harta-harta ini digunakan untuk menguruskan jenazah si mati, membayar hutangnya, menunaikan wasiat yang ditinggalkan dan akhirnya dibahagi-bahagikan kepada waris yang layak untuk dimanfaatkan mereka.

3. Menjimatkan kos

Proses tuntutan harta pusaka kebiasaannya memakan masa dan melibatkan kos yang tinggi.

Pewarisan harta yang dilakukan semasa masih hidup boleh memudahkan pewaris untuk menikmati harta peninggalan dan pada masa yang sama menjimatkan kos.

Walaupun merancang pewarisan semasa hidup turut melibatkan kos, tetapi kosnya kebiasaannya lebih murah berbanding jika dibiarkan untuk diurus selepas kematian.

4. Memastikan pembahagian seadilnya

Walaupun Islam mempunyai hukum faraid yang secara adil membahagikan harta pusaka kepada waris-waris yang layak, tetapi sebagai seorang ayah atau penjaga, kita semestinya tahu siapa dikalangan pewaris (anak, isteri dan ibubapa) yang lebih memerlukan harta berbanding yang lain.

Di kalangan waris yang ditinggalkan, mesti ada yang kaya, mesti juga ada yang miskin.

Jadi dengan menggunakan instrumen seperti hibah dan wasiat, bolehlah harta diberikan lebih kepada yang memerlukan.

5. Mengelakkan pertelingkahan sesama waris

Biasa bukan terdengar waris-waris bergaduh kerana berebutkan harta pusaka?

Puncanya adalah kerana sifat tamak dan hasad dengki; tidak berpuas hati melihat waris yang lain mendapat harta yang lebih.

Jadi, untuk elakkan perkara sebegini, rancanglah pewarisan harta semasa masih hidup lagi.

Bahagikan seadil-adilnya kepada waris-waris yang layak.

Pada masa sama, didiklah waris-waris dengan ilmu yang mencukupi supaya tidak mempunyai sifat tamak dan hasad dengki.

Bagaimana membuat pewarisan harta semasa hidup?

pembahagian harta pusakaBoleh ikuti langkah-langkah yang berikut:

1. Kumpul maklumat berkaitan harta

Langkah pertama adalah dengan menyenaraikan semua harta yang kita ada.

Harta ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu harta tak alih dan harta alih.

Harta tak alih termasuklah tanah, rumah dan bangunan.

Senaraikan harta tak alih yang ada, simpan semua geran atau perjanjian sewaan yang ada.

Jika masih ada hutang pembiayaan, pastikan semua resit bayaran, penyata pembiayaan tahunan dan penjanjian pembiayaan disimpan dengan baik.

Simpan juga ‘cover note’ atau polisi takaful/insurans yang melindungi pembiayaan ke atas harta tak alih tadi, ini penting supaya baki hutang pembiayaan tadi dapat diselesaikan jika terjadi sebarang musibah.

Harta tak alih yang masih punyai hutang tidak boleh diwariskan secara wasiat atau hibah, sebaliknya akan diletakkan sebagai harta pusaka dan dibahagikan secara faraid.

Harta alih pula melibatkan akaun simpanan, pelaburan kertas seperti unit amanah dan saham, polisi takaful/insurans, dan juga simpanan aset seperti emas dan perak.

Semua dokumen yang berkaitan harta alih tersebut perlulah didokumentasikan seperti buku akaun, penyata pelaburan, polisi dan ‘sijil beranak’ emas dan perak.

Kalau ada nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang sering dihubungi, catatkan supaya memudahkan waris membuat sebarang tuntutan atau urusan.

Untuk akaun simpanan, jika ada kad ATM, bolehlah dicatatkan nombor pin setiap kad ATM yang ada.

2. Kumpul berkaitan hutang

Selain maklumat berkenaan harta, jangan dilupa juga untuk mengenalpasti semua hutang yang masih ada.

Tidak kiralah samaada hutang dengan individu atau dengan bank/institusi kewangan.

Semua perjanjian pembiayaan, resit bayaran dan penyata pembiayaan perlu disimpan dengan baik.

Hutang tetap hutang, dan mesti diselesaikan.

Sebaik-baiknya, hutang diselesaikan semasa hayat masih ada.

Tetapi, jika ajal sudah menjemput, menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan hutang yang masih berbaki.

Jika menjadi pemiutang (pemberi hutang) dan penjamin, semua dokumen berkaitan juga perlu didokumenkan.

3. Kumpul maklumat berkenaan waris

Selepas mengenalpasti semua harta dan hutang, perlu juga menyenaraikan semua waris yang ada.

Waris-waris yang perlu disenaraikan adalah anak, isteri, ibu dan bapa.

Waris ini termasuklah waris yang dekat dan jauh, yang masih berhubung dan yang telah terputus hubungan.

Jika sebelum ini pernah berkahwin lain, mempunyai anak dan bercerai, perlulah dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut.

Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari, walaupun jauh mereka masih mempunyai hak ke atas harta pusaka yang akan ditinggalkan.

Dapatkan dan simpan salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia)

Jika ada perkahwinan yang belum didaftarkan, daftarkan segera supaya tidak berlaku drama-drama pertikaian selepas kematian nanti.

Begitu juga dengan anak-anak yang tidak didaftarkan, pastikan semuanya berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan.

Setiap waris adalah berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan.

Jika ada masalah dari segi menghubungi atau mendapatkan persetujuan semua waris, urusan pewarisan harta pusaka kelak akan menjadi sukar.

4. Analisis semua maklumat yang diperoleh

Selepas semua maklumat berkaitan harta, hutang dan waris diperoleh, ambillah masa untuk membuat sedikit analisis.

Kenalpasti kedudukan kewangan semasa dan jangkaan pada masa akan datang.

Kenalpasti harta mana yang sesuai diisytiharkan sebagai harta sepencarian, dihibahkan, diwasiatkan atau difaraidkan.

Kenalpasti mana-mana hutang yang dilindungi oleh takaful dan yang mana yang perlu diselesaikan oleh waris-waris.

Analisis juga keperluan setiap waris, mungkin ada waris yang sedikit susah maka memerlukan harta pusaka yang lebih berbanding yang lain.

Analisis ini akan membantu ketika membuat draf pembahagian harta nanti.

5. Drafkan pembahagian harta

Tibalah ke langkah yang paling penting, di mana kita akan menggunakan instrumen-isntrumen tertentu untuk membuat pewarisan dan pembahagian harta pusaka.

Antara instrumen-intrumen yang boleh digunakan adalah:

pembahagian harta pusakaWasi/penama – Melantik wasi/penama yang mana akan bertindak sebagai pentadbir dan bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka selepas kematian nanti sepertimana yang telah diwasiatkan.

Harta sepencarian – Mengisytiharkan harta-harta sebagai hasil usahasama dengan pasangan yang sah. Dengan mengisytiharkan harta sepencarian, si suami boleh mewariskan sebahagian harta secara terus kepada isteri (dan juga sebaliknya) tanpa perlu diagihkan melalui faraid.

Hibah – Memindahmilik/menghadiahkan harta kepada mana-mana individu atau organisasi samaada waris atau bukan waris. Dengan hibah, si pemilik harta boleh mewariskan harta kepada bukan waris seperti anak angkat atau mana-mana waris yang dirasakan lebih memerlukan berbanding yang lain. Kebiasaannya, hibah diberikan atas dasar kasih-sayang.

Wasiat – Wasiat membolehkan si pemilik harta mewariskan harta kepada bukan waris atau waris tanpa melalui pembahagian faraid. Namun, jumlahnya terhad kepada nilai 1/3 harta sahaja dan perlu kepada persetujuan semua waris.

Amanah – Menyerahkan harta kepada pihak ketiga iaitu pemegang amanah yang akan bertanggungjawab mengurus dan melindungi harta pusaka daripada tuntutan pihak lain. Sebagai contoh, mengamanahkan bendang sawah kepada persatuan, dan sebahagian hasilnya hendaklah diberi kepada waris-waris yang ditinggalkan.

Wakaf – Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan ke arah jalan kebaikan dan kegunaan umum, contohnya mewakafkan tanah untuk dibina masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Sebaik-baiknya, jumlah harta yang diwakafkan tidak melebihi 1/3 nilai kesemua harta yang ditinggalkan.

Faraid – Kedah pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum Islam. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada.

6. Dapatkan bantuan profesional

Selepas membuat draf pewarisan harta dan memilih instrumen-instrumen yang sesuai, draf tadi perlulah didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat yang sah.

Untuk menghasilkan dokumen wasiat yang sah, memang memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang.

Di sinilah perlu kita melantik peguam berkelayakan atau mana-mana organisasi seperti Amanah Raya Berhad dan As-Salihin Trustee Berhad.

Boleh jumpa Perancang Harta Pusaka IslamPerancang Harta Pusaka Islam untuk dapatkan pendapat dan cadangan.

Menghasilkan dokumen wasiat bukan satu tugas yang mudah seperti menulis karangan, maka dapatkanlah bantuan dan nasihat sewajarnya.

7. Sediakan peruntukan kewangan

Apabila memerlukan bantuan peguam atau organisasi untuk menyediakan dokumen wasiat, sudah semestinya memerlukan kos.

Oleh itu, sediakanlah peruntukan kewangan secukupnya.

Walaupun kos terpaksa dikeluarkan, ketahuilah bahawa kos yang dikeluarkan ini mungkin lebih rendah jika dibandingkan dengan kos mengurus harta pusaka yang terpaksa waris-waris keluarkan jika dokumen wasiat tidak disediakan lebih awal.

8. Dokumentasi

Semua dokumen yang dikumpul dari langkah 1 hingga 7 di atas, perlulah didokumentasikan, disimpan dan dipelihara dengan baik.

Simpan dalam satu fail atau folder khas untuk memudahkan waris mencari selepas kematian nanti.

Terpulanglah samaada mahu simpan sendiri atau serahkan kepada peguam/organisasi yang dilantik.

9. Semak dari semasa ke semasa

Dokumen wasiat yang disediakan tidaklah statik, masih boleh dipinda dari semasa ke semasa.

Jumlah harta mungkin bertambah atau berkurang, begitu juga bilangan dan keperluan waris.

Matlamat pewarisan juga mungkin berubah, jika dulu ingin mewasiatkan rumah kepada waris A, sekarang mungkin terasa ingin mewasiatkan kepada waris B.

Maklumlah, hati manusia sering berubah-ubah.

Jadi, semak dan pindalah dari semasa ke semasa jika ada keperluan.

10. Maklumkan dan didik waris-waris

Langkah terakhir ini adalah pilihan sahaja, kalau tidak mahu dimaklumkan kepada waris-waris pun tidak mengapa.

Cuma perlu diberitahu kepada waris supaya menghubungi siapa (peguam/organisasi yang dilantik) untuk mendapatkan dokumen wasiat yang disediakan.

Pada masa yang sama, didiklah waris-waris berkenaan pembahagian harta-harta yang dibuat supaya mereka boleh bertolak ansur, tidak berdendam dan tiada rasa hasad dengki sesama mereka.

Dengan itu, mudah-mudahan bolehlah bersemadi dengan aman di alam sana nanti.

Inginkan nasihat berkaitan perancangan pusaka?

Boleh hubungi saya.

Rancang pusaka, tinggalkan legasi

Izzuddin Jaaffar
Perancang Harta Pusaka Islam
as-Salihin Trustee Berhad
013-9798719 / 010-4598719
facebook.com/jomurusduit
jomurusduit.com
wa.me/60139798719

Lokasi: Kelantan & Terengganu