Matlamat awal menyimpan untuk dana kecemasan
Dana kecemasan.
Ada yang memanggilnya dana rizab.
Tak kisahlah yang mana satu, yang penting fungsinya adalah sama.
Sebagai bekalan tika waktu-waktu kecemasan atau luar dugaan.
Kereta rosak, kemalangan, bencana, jatuh sakit mahupun apabila pendapatan terhenti.
Dana kecemasan akan bertindak untuk menampung perbelanjaan situasi-situasi luar dugaan ini.
Jadi, tidaklah terjejas tabung simpanan atau pelaburan lain.
Perbelanjaan harian dan keperluan yang lain pun tidak terganggu.
Juga dapat elakkan daripada terjebak dengan hutang tidak baik (produktif).
Seseorang yang inginkan pengurusan kewangan yang baik pasti akan sediakan dana kecemasan secukupnya.
Bahkan, matlamat menyimpan duit yang pertama sebaik-baiknya bertujuan untuk membina dana kecemasan terlebih dahulu sebelum disimpan untuk tujuan lain.
Sesetengah orang berpendapat tidak perlu untuk membina dana kecemasan kerana ada kemudahan kad kredit yang boleh digunakan apabila memerlukan duit dalam situasi kecemasan.
Ya, kad kredit memang boleh membantu ketika situasi-situasi tersebut.
Tetapi, apabila kad kredit digunakan, kita sebenarnya sedang berhutang.
Jika tersilap langkah, misalnya terlupa membuat bayaran semula atau tidak berkemampuan untuk membayar, mungkin boleh terperangkap dengan hutang yang tinggi.
Jadi, sebaik-baiknya sediakan dana kecemasan secukupnya.
Bak kata orang, “Sediakan payung sebelum hujan”
3 Jenis Dana Kecemasan
Berapa banyak dana kecemasan yang perlu dibina?
Jawapannya, terpulang kepada diri-sendiri.
Satu dana kecemasan sahaja sudah mencukupi.
Jika terjadi apa-apa kemalangan atau situasi luar dugaan, duit yang diperlukan boleh diambil dari dana kecemasan yang disediakan tadi.
Selepas keadaan pulih, jangan pula lupa untuk menggantikan semula duit yang telah diambil tadi.
Dana kecemasan sebaik-baiknya sentiasa dikekalkan pada paras minimum yang telah kita tetapkan supaya sentiasa bersedia untuk digunakan.
Berdasarkan kepada pengalaman saya, menyediakan satu sahaja dana kecemasan adalah tidak mencukupi.
Tidak mencukupi di sini bukanlah bermaksud duit yang disimpan itu sedikit, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi situasi-situasi luar dugaan yang berbeza.
Secara peribadi, saya menyarankan untuk mewujudkan tiga (3) jenis dana kecemasan atau dana rizab.
1. Dana kecemasan fast-track
2. Dana kecemasan medium-track
3. Dana kecemasan slow-track
(Nama-nama yang diberikan di atas adalah nama yang saya fikirkan sahaja, bukannya nama-nama yang diiktiraf untuk tujuan akademik mahupun komersial)
1. Dana kecemasan fast-track
Bayangkan anda sedang memandu kereta, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil.
Kereta sedikit terhuyung-hayang dan bergerak semakin perlahan dan ‘berat’.
Selepas berhenti di tempat selamat dan diperiksa, rupa-rupanya sebiji tayar telah pecah.
Apabila dibawa ke bengkel, tayar yang pecah tadi perlu ditukar dengan yang baru.
Tetapi, bukan hanya sebiji, tetapi dua biji supaya seimbang dikedua-dua belah kiri dan kanan (jika anda pandai berdalih dengan pekerja bengkel, menukar sebiji tayar pun tiada masalah)
Menukar tayar kereta baru sudah semestinya melibatkan kos yang agak tinggi, bergantung kepada jenis dan saiz tayar.
Jadi, dalam situasi ini, andai kata anda tidak membawa duit yang banyak dalam dompet, di mana hendak cari duit untuk bayar kepada bengkel nanti?
Berhutang? Minta tolong orang lain bayarkan?
Jika ada pilihan lain, mungkin masih selamat dari dimarahi pemilik bengkel (sebab tak mampu bayar)
Tapi kalau dalam situasi tiada pilihan, bagaimana?
Saya pernah terlibat dalam situasi begini, dan dana kecemasan fast-track yang saya wujudkan memang sangat membantu.
Dana kecemasan fast-track hanya memerlukan duit tunai dalam jumlah yang rendah, contohnya sekitar RM 200 ke RM 500.
Oleh kerana duit ini diperlukan dalam situasi-situasi kecemasan yang memerlukan duit dengan segera, maka dana kecemasan ini sebaik-baiknya disimpan di tempat yang mudah diambil.
Sebagai contoh, dalam dashboard kereta atau diselit dalam dompet (tidak dicampur dengan duit perbelanjaan harian).
Jadi, apabila diperlukan, tidaklah tergagau-gagau mencari duit.
Walaupun duit dana kecemasan ini sudah tersedia dan mudah diambil, tetapi janganlah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian biasa pula.
Selagi tiada kes-kes kecemasan yang memerlukan duit ini digunakan, lebih baik biarkan sahaja.
2. Dana kecemasan medium-track
Sama seperti dana kecemasan fast-track, dana kecemasan kedua ini turut diperlukan dalam masa segera tetapi tidaklah terlalu segera.
Dana ini disediakan khas untuk menampung keperluan duit jika dana fast-track tadi tidak mencukupi.
Contohnya ketika anda perlu dimasukkan ke hospital swasta, walaupun telah mempunyai kad perubatan, mungkin anda perlu membayar deposit atau caj ko-takaful terlebih dahulu.
Ataupun anda terlibat dengan kemalangan yang agak teruk (minta dijauhkan), dan pembaikian kenderaan anda melibatkan kos yang agak tinggi.
Dalam situasi-situasi sebegini, dana kecemasan medium-track boleh membantu.
Jumlah cadangan adalah sekitar RM 1,000 ke RM 2,000
Boleh disediakan secara tunai atau pun lebih baik disimpan dalam satu akaun simpanan bank khas.
Untuk akaun simpanan bank tersebut, buatlah kad debit supaya memudahkan duit tersebut untuk digunakan.
Kiranya, kad debit ini akan menggantikan fungsi kad kredit ketika situasi-situasi kecemasan
Bezanya, kita tidak terjebak dengan hutang, malahan membayar dengan duit sendiri.
3. Dana kecemasan slow-track
Dana kecemasan ini diwujudkan lebih kepada fungsi sebagai dana rizab yang mana bukan sahaja digunakan dalam situasi-situasi kecemasan jangka pendek, malahan untuk jangka masa panjang juga.
Disarankan jumlahnya menyamai jumlah tiga ke enam bulan keperluan perbelanjaan, ataupun sebaik-baiknya tiga ke enam bulan jumlah pendapatan.
Jika jumlah keperluan perbelanjaan atau pendapatan anda RM 3,000 sebulan, maka jumlah untuk dana ini seharusnya antara RM 9,000 ke RM 18,000
Dana ini akan digunakan untuk menampung keperluan perbelanjaan apabila terjadi situasi-situasi di mana pendapatan terhenti atau terganggu.
Contohnya jatuh sakit menyebabkan cuti panjang atau diberhentikan kerja.
Jadi, dana ini dapat membantu untuk menampung kehidupan tanpa menjejaskan perbelanjaan keperluan-keperluan asas sementara pendapatan dipulihkan atau diperoleh semula.
Seperti yang saya sarankan dalam artikel Tips Simpan Duit sebelum ini, duit untuk dana ini sebaik-baiknya disimpan dalam Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB) sahaja.
Bukan sahaja kurang terkesan dengan inflasi kerana diberi dividen/bonus setiap tahun, tetapi turut mudah dicairkan apabila diperlukan nanti.
Urus risiko dengan dana kecemasan
Disamping mengambil perlindungan takaful untuk diri dan aset, mewujudkan dana kecemasan juga adalah salah satu elemen pengurusan risiko dalam pengurusan kewangan.
Dana kecemasan bukan sahaja dapat membantu kita dalam situasi-situasi luar dugaan, malahan menyelamatkan kita daripada bencana kewangan akibat tidak bersedia awal.
Tambahan lagi, dana kecemasan melindungi pelaburan-pelaburan kita daripada terganggu.
Contohnya, anda baru sahaja memperuntukkan wang yang ada untuk pelaburan hartanah atau saham.
Tetapi tiba-tiba berdepan situasi yang memerlukan duit yang banyak.
Adakah anda perlu menjual atau mencairkan pelaburan yang baru dibuat tadi?
Jika ini terjadi, anda berkemungkinan berdepan kerugian.
Jika ada dana kecemasan, pelaburan-pelaburan anda tadi tidaklah terganggu.
Jadi, jangan lupa untuk bina dana kecemasan ya!
Pingback: 6 Langkah Mudah Untuk Membina Tabung Dana Kecemasan - Direct Lending
Pingback: Pentingnya Pengurusan Kewangan Peribadi - thepejabat.my
simpanan dalam tabung haji boleh dikira dana fast track?
https://cukaipendapatan.wordpress.com/2018/11/28/adakah-saya-perlu-mendaftarkan-nombor-cukai-pendapatan/
Bagi saya, simpanan dalam TH lebih sesuai sebagai dana medium atau slow track.
like it
Pingback: 7 SEBAB ANDA WAJIB AMBIL INSURANS/ TAKAFUL SEBAGAI PERLINDUNGAN | CoachHartanah.com
Pingback: Tahap Literasi Pengurusan Kewangan Rakyat Malaysia - Loan Express
Pingback: Tips Urus Kewangan Negatif - Loan Express
Terima kasih berkongsi ilmu. Saya sangat suka cara pembahagian dana kecemasan artikel ini.
Terima kasih atas sokongan 🙂
Pingback: 7 Sebab Utama Wajib Ada Insurans/Takaful Sebagai Perlindungan – My Blog
terma kasih ilmu yg diberikan