Pelaburan

5 Peraturan Melabur Yang Mesti Difahami

peraturan melabur pelaburanUntuk artikel kali ini, saya merujuk kepada nota yang dikarang oleh Pakdi, seorang perunding kewangan profesional di laman terbaru beliau, LaburDuit.com.

Saya olah berdasarkan kefahaman saya.

Nota yang dikarang Pakdi boleh rujuk di sini 5 Peraturan L.A.B.U.R Yang Mesti Diketahui Para Pelabur

Sebelum memulakan aktiviti melabur, sebaik-baiknya ingat tentang 5 peraturan melabur yang berikut:

1. Labur duit simpanan

Nak mulakan pelaburan, mestilah ada modal.

Nak ada modal, mestilah ada simpanan.

Matlamat pertama menyimpan adalah untuk membina dana kecemasan, kemudian lebihannya bolehlah digunakan sebagai modal pelaburan.

Bagi seorang pelabur baru, sebaik-baiknya mulakan pelaburan dengan duit lebihan simpanan yang ada dan cuba elakkan daripada meminjam atau berhutang.

Kenapa nak elakkan hutang?

Kerana pelaburan itu sendiri adalah aktiviti berisiko, jadi janganlah ditambah dengan hutang sebagai risiko tambahan.

Takut nanti pelaburan tak menjadi, hutang masih perlu dibayar.

Kecuali jika sudah mahir, bolehlah use other people money untuk membuat pelaburan.

Konsisten menyimpan adalah pra-syarat utama sebelum boleh memulakan pelaburan.

Satu lagi perkara yang perlu dilakukan, pastikan mula melabur dengan duit simpanan yang tidak akan digunakan untuk jangka masa terdekat.

Sebagai contoh, guna duit yang telah dikhaskan untuk belanja kahwin sebagai modal pelaburan, atau duit untuk deposit pembelian rumah.

Perlu ingat bahawa pelaburan sepatutnya dilakukan untuk jangka masa panjang, sekurang-kurangnya 3 ke 5 tahun.

Jadi kalau berharap untuk dapat keuntungan dalam masa singkat, takut nanti modal asal rugi, objektif pelaburan pun tak tercapai.

Baca sini Peraturan #1 Labur Duit Simpanan

2. Apa nilai yang kita dapat?

Apabila mempunyai duit, kena selalu bertanya, apa nilai yang aku boleh dapat daripada duit ini?

Kalau dibelanjakan untuk membeli barang-barang, apa nilai yang aku dapat daripada barang-barang tersebut?

Kalau dibelanjakan untuk membeli barang mahal berbanding barang murah, adakah nilai yang diperoleh daripada barang mahal itu lebih baik daripada barang murah?

Kalau duit ini dibelanjakan kesemuanya, apa nilai yang boleh didapati daripada perbelanjaan tadi?

Kalau duit ini disimpan, apa nilai yang boleh didapati daripada simpanan tadi?

Kalau duit ini dilaburkan, apa nilai yang boleh didapati daripada pelaburan tadi?

Dengan memahami nilai duit yang dipunyai tadi, kita akan lebih menghargai duit tersebut.

Barulah mudah untuk mengawal ke mana duit itu akan dialirkan, dan mengelak daripada dibazirkan kepada perkara-perkara yang tidak memberi nilai tambah kepada kita.

Tapi ingat, jangan terlalu sayangkan duit sampai digelar kedekut.

Ingat perkara ini; jana pendapatan, simpan sebahagian, kawal belanja dan laburkan lebihan simpanan.

Dengan cara ini, kita akan dapat nilai yang terbaik daripada duit yang dipegang tadi.

Baca sini Peraturan #2 Apa Nilai Kita Dapat?

3. Bukan kejar untung dulu

peraturan melabur pelaburanApabila mula melabur, mulakan dengan modal yang rendah dulu, yang mana modal ini kita sanggup hilang kesemuanya.

Ha?! Rugi kesemuanya?

Ya, sebab itulah perlu mulakan pelaburan dengan lebihan simpanan.

Sebab apabila mula melabur, sebagai pelabur baru, mestilah tidak mahir lagi.

Jadi, jangan kejar untung dulu, tetapi kejar pengalaman terlebih dahulu.

Kita boleh belajar melabur melalui buku atau seminar, tetapi cara belajar terbaik adalah melalui pengalaman.

Selepas mencuba dan terjebak sendiri, barulah faham dengan selok belok pelaburan tersebut.

Pada awal permulaan pelaburan, cabaran awal yang perlu dihadapi adalah untuk pastikan modal selamat dan elakkan kerugian berlebihan.

Kemudian, bolehlah fikirkan cara dan teknik yang sesuai untuk jana keuntungan.

Jangan risau, walaupun asalnya sanggup untuk hilang semua modal, tetapi kalau dah dibuat persediaan-persediaan sebelum melabur secukupnya, pasti tidak akan rugi semuanya.

Tambahan lagi, dengan berpegang kepada prinsip bukan kejar untung dulu, ini dapat membina benteng daripada terpengaruh dengan emosi tak terkawal dan sikap tamak.

Secara tidak langsung, boleh mengelakkan diri daripada mudah terpengaruh dengan skim-skim pelaburan tipu yang menjanjikan pulangan yang tidak realistik.

Baca sini Peraturan #3 Bukan Kejar Untung Dulu

4. Untung belum tentu

Apabila melabur, tanamkan prinsip untung belum tentu, tapi rugi itu pasti.

Sesetengah pelaburan mengenakan caj atau yuran semasa mula serta, contohnya unit amanah yang mengenakan caj pengurusan, manakala pelaburan saham ada brokerage fee, clearing fee dan stamping fee.

Oleh kerana wujudnya caj-caj seperti ini, maka pada peringkat permulaan pelaburan, sudah semestinya sedang mengalami kerugian.

Sebab itulah rugi itu pasti.

Dalam pelaburan, kita akan biasa terlihat perkataan ini, “Past performance does not guarantee future result”

Pelaburan yang untung semalam, belum tentu untung hari ini.

Orang yang buat untung semalam, belum tentu dapat untung lagi hari ini.

Tiada sesiapa boleh jamin sesuatu pelaburan itu boleh untung setiap masa.

Yang kebiasaannya dijamin, seperti Amanah Saham Bumiputera, adalah modal asal, bukannya keuntungan, itupun oleh pihak ketiga.

Kalau ada pun yang menjamin keuntungan, mungkin adalah skim-skim penipuan.

Tetapi, walaupun berpegang kepada prinsip untung belum tentu, bukanlah bermaksud kita redha menerima kerugian setiap masa.

Sebaliknya, perlulah dibangunkan kemahiran-kemahiran dan ditajamkan skil-skil melabur supaya dapat meminimumkan kerugian dan memaksimumkan keuntungan secara konsisten.

Baca sini Peraturan #4 Untung Belum Tentu

5. Risiko itu rezeki

peraturan melabur pelaburanSetiap instrumen pelaburan ada risiko masing-masing.

Bahkan aktiviti pelaburan itu sendiri adalah aktiviti mengambil risiko supaya mendapat pulangan setimpal.

Tiada risiko, tiada untung.

Ramai orang yang takut nak melabur sebab takut kepada risiko, malangnya ini adalah sikap yang salah.

Risiko tidak perlu ditakuti, sebaliknya perlu dikawal dan diuruskan dengan baik supaya dapat menjana keuntungan.

Tetapi jika tidak dikawal dengan baik, pastinya akan menyebabkan kerugian.

Bagaimana nak kawal risiko?

Semuanya bergantung kepada kemahiran melabur.

Kemahiran melabur boleh dibentuk melalui proses pembelajaran dan dipertajamkan melalui pengalaman.

Oleh sebab itulah saya sering nyatakan pelaburan terbaik adalah pelaburan ilmu.

Dengan kemahiran melabur yang tinggi, risiko dapat diuruskan dengan baik dan seterusnya dapat menjana keuntungan secara konsisten.

High skill, high return.

Baca sini Peraturan #5 Risiko Itu Rezeki

10 Peluang Pelaburan di Malaysia

peluang pelaburan di MalaysiaApakah peluang pelaburan sah yang menjadi di Malaysia?

Kalau nak tahu, teruskan membaca artikel ini.

Aktiviti pelaburan adalah aktiviti untuk mengembangkan duit yang ada dengan menggunakan kuasa compound interest.

Dengan melabur, kita sebenarnya mengambil risiko yang lebih tinggi berbanding membuat simpanan biasa, dengan harapan mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Selepas membuat persedian-persediaan sebelum melabur, bolehlah dengan berani dan yakinnya mulakan aktiviti pelaburan menggunakan modal yang ada.

Tapi, nak melabur di mana?

Jom kita lihat beberapa peluang pelaburan popular yang terdapat di Malaysia.

1. Pelaburan tunai tetap

Peluang pelaburan yang boleh dikatakan selamat adalah pelaburan tunai tetap.

Contoh paling utama adalah akaun simpanan tetap, atau fixed deposit.

Risikonya rendah, modal asal tidak berubah/berubah sedikit sahaja dan pulangannya lebih baik berbanding akaun simpanan biasa.

Tetapi, pelaburan wajib dibuat dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan.

Contoh pelaburan tunai tetap yang lain adalah bon/sukuk dan pasaran wang (money market)

Bon/sukuk biasanya dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang memerlukan wang sebagai modal.

Maksudnya, dengan melabur dalam bon/sukuk, kita seolah-oleh memberi pinjaman kepada pihak yang mengeluarkannya.

Sama seperti akaun pelaburan tetap, modal pelaburan tadi perlu disimpan sehingga tempoh matang untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan.

Akaun simpanan seperti Sijil Simpanan Premium BSN (SSP) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) juga boleh dikatakan pelaburan tunai tetap.

Malah, akaun Tabung Haji juga boleh dikategorikan dalam kumpulan ini, kerana modalnya dijamin dan pada masa sama turut diberikan dividen/bonus.

Melabur dalam pelaburan tunai tetap memang pilihan yang selamat, tetapi oleh kerana pulangannya yang rendah, nilai pelaburan mungkin kalah dengan inflasi.  

2. Unit amanah/amanah saham

Pelaburan dalam unit amanah (unit trust) melibatkan tiga pihak iaitu pelabur, pengurus dana dan pemegang amanah.

Pelabur mengeluarkan modal dengan harapan mendapatkan untung.

Pengurus dana menguruskan dana dan melabur mengikut objektif yang ditetapkan.

Pemegang amanah pula memastikan modal (amanah) yang diberikan pelabur diuruskan dengan cara yang betul oleh pengurus dana.

Bergantung kepada jenis dan objektif dana, pengurus dana akan melabur dalam pasaran saham, tunai tetap atau gabungan kedua-duanya dengan matlamat untuk mengatasi tanda aras (benchmark) yang ditetapkan.

Dengan melabur dalam unit amanah, pelabur boleh didedahkan kepada pasaran ekuiti dengan mudah kerana hanya perlu membuka akaun dengan syarikat pengurus dana, modal yang rendah dan dibantu oleh pengurus profesional.

Tetapi, oleh kerana dana diuruskan pengurus dana dan dijaga pemegang amanah, maka terdapat caj-caj yang perlu dibayar, dan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keuntungan yang diperoleh.

Di Malaysia, terdapat beratus-ratus dana unit amanah yang tersedia untuk dilabur yang mana melibatkan pelbagai objektif, lokasi dan sektor pelaburan.

Contoh unit amanah yang popular adalah Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional yang dikeluarkan oleh Permodalan Nasional Berhad.

Ada juga yang dikeluarkan syarikat-syarikat lain seperti Kenanga Syariah Growth Fund, PMB Shariah Aggresive Fund dan Eastspring Investment Dana al-Ilham.

Tips-tips penting untuk melabur dalam unit amanah; pastikan dana yang dipilih menepati toleransi risiko diri-sendiri, fahami objektif dana dan sentiasa pantau dana dengan membandingkan tanda aras yang ditetapkan.

Dan yang paling penting, jangan hanya bergantung seratus-peratus kepada agen, tetapi buat homework sendiri juga.

3. Pasaran saham

peluang pelaburan malaysiaMelabur dalam pasaran saham bermaksud membeli sebahagian pemilikan syarikat.

Maksudnya, pelabur yakin dengan perniagaan yang dijalankan syarikat dan mengharapkan syarikat yang dibeli akan terus berkembang sambil menjana keuntungan, supaya nilai syarikat bertambah dan dividen lumayan dapat diberikan.

Namun, ada juga yang melabur sebagai speculator, iaitu dengan hanya bersandarkan kepada pergerakan harga saham syarikat tanpa ambil kisah tentang perniagaan yang dijalankan.

Bagi yang ingin melabur dalam pasaran saham, pastikan anda mempunyai hati kering dan tidak mudah beremosi.

Pasaran saham sangat volatile, harga sesuatu kaunter boleh naik dan jatuh dengan mendadak.

Kalau tak sanggup melihat perubahan harga mendadak, jangan melabur dalam pasaran saham.

Untuk mula terlibat dalam pelaburan saham, kena ada akaun CDS dan trading terlebih dahulu.

Baca artikel ini untuk belajar cara buka akaun CDS dan tradingPanduan Pelaburan Saham: Cara Buka Akaun CDS & Trading

4. Hartanah fizikal

Beli rumah/tanah/kedai, kemudian jualkan.

Beli rumah/tanah/kedai, kemudian sewakan.

Beli rumah/tanah/kedai, kemudian usahakan atau upah orang untuk usahakan.

Sewa rumah/tanah/kedai, kemudian sewakan pula kepada pihak ketiga (sublet)

Kesemua ini adalah contoh pelaburan hartanah fizikal, yang mana melibatkan hartanah yang wujud secara nyata.

Ramai orang yang menjadi kaya kerana terlibat dalam pelaburan hartanah.

Malah, pelaburan hartanah diamalkan dari dulu sehingga sekarang dan juga dijangka akan tetap berterusan pada masa hadapan.

Kenapa?

Kerana hartanah adalah keperluan hidup, semua orang perlukan tempat berteduh.

Jika ingin terlibat dalam peluang pelaburan hartanah, pastikan anda seorang yang rajin dan sabar.

Sebabnya, pelaburan hartanah melibatkan banyak langkah, kadang-kala sangat remeh dan memakan masa yang lama.

(Baca kisah bagaimana seorang pelajar jana keuntungan RM 50,000 dengan pelaburan hartanah di sini)

buat profit rm50k dengan property5. Hartanah ‘kertas’

Pelaburan hartanah kertas turut melibatkan hartanah fizikal, tetapi transaksinya melibatkan di atas kertas sahaja.

Kiranya, pelabur tidak mendapat hak sepenuhnya ke atas hartanah, tetapi dijaga oleh pengurus dana.

Pelaburan hartanah kertas juga dikenali sebagai Real-Estate Investment Trust (REIT).

Rangka asas REIT sama seperti unit amanah, yang mana pelabur mengeluarkan modal dan pengurus dana yang akan membeli hartanah dan menguruskan pelaburan.

Bezanya, pengurus REIT hanya melabur dalam sektor hartanah sahaja, bukan pasaran ekuiti, bon dan sukuk sepertimana unit amanah biasa.

Untuk beli REIT, sama seperti pelaburan saham, perlu ada akaun trading dan CDS terlebih dahulu kerana kebanyakan REIT didagangkan di Bursa Malaysia.

Jika ingin terlibat dalam REIT tanpa melalui Bursa Malaysia, boleh melabur dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang dikeluarkan oleh Permodalan Hartanah Berhad.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 2010, AHB masih mampu memberi pulangan melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 6%/tahun.

Tetapi, jumlah dana peluang pelaburan ini adalah terhad.

6. Komoditi fizikal

Pelaburan komoditi fizikal melibatkan item fizikal seperti emas, perak, berlian, barangan dagangan, barangan koleksi dan barangan antik.

Pelaburan komoditi adalah pelaburan harta tidak produktif, maksudnya keuntungan hanya diperoleh apabila komoditi tadi dijual pada harga yang lebih tinggi daripada harga yang dibayar semasa dibeli.

Beli pada harga murah, jual pada harga mahal.

Beli pada harga mahal, jual pada harga lebih mahal.

Itu sahaja strategi untuk untung melalui pelaburan komoditi.

Adakah harga setiap komoditi akan naik setiap tahun?

Tidak semestinya, kerana harga kebiasaannya bergantung kepada bekalan dan permintaan.

Jika bekalan rendah tapi permintaan tinggi, harga akan naik.

Tapi jika bekalan tinggi tapi permintaan rendah, harga akan turun.

Jadi, dalam pelaburan komoditi, ‘timing’ ketika membeli dan menjual adalah sangat penting.

Pelaburan alternatif lain

peluang pelaburan malaysiaSelain enam peluang pelaburan popular yang dinyatakan di atas, terdapat lagi beberapa peluang pelaburan yang boleh diceburi, tetapi kurang mendapat perhatian masyarakat awam:

1. Exchange Traded Fund (ETF)

Konsep yang sama seperti unit amanah, yang mana dana diuruskan oleh pengurus dana profesional.

Bezanya, dana didagangkan di Bursa Malaysia, jadi urusniaganya lebih mirip kepada jual beli saham.

Kelebihannya berbanding unit amanah; caj yang lebih murah, fleksibel tanpa memerlukan agen dan instant access to market.

2. Komoditi ‘kertas’

Juga dikenali sebagai commodity futures (kontrak masa hadapan)

Dengan membeli commodity futures, pelabur lock harga komoditi pada masa sekarang, untuk ditebus pada masa hadapan (tidak kira samaada harga komoditi itu semakin naik atau turun).

Antara yang paling popular adalah FCPO (Crude Palm Oil Futures), komoditi kelapa sawit yang mana didagangkan di Bursa Malaysia.

(Klik di sini untuk baca bagaimana seorang lelaki jana pendapatan 5-angka sebulan dengan pelaburan FCPO)

panduan pelaburan fcpo trader elit3. Derivatif kewangan

Antara produk berkaitan derivatif kewangan adalah index futures, warrants dan options.

Produk derivatif kewangan didagangkan di Bursa Malaysia, dan kebanyakannya adalah tidak patuh-syariah.

4. Pelaburan koperasi

Saya tidak pasti samaada ini boleh dijadikan peluang pelaburan atau tidak, tetapi dengan membeli syer keanggotaan sesebuah koperasi, kita juga boleh mendapatkan keuntungan jika koperasi mengisytiharkan bonus/dividen.

Antara koperasi yang konsisten mengisytiharkan dividen untuk anggotanya adalah Bank Rakyat, Bank Persatuan dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad.

Cumanya, untuk melabur dalam koperasi, kadang-kadang terdapat syarat yang perlu dipatuhi, antaranya tapisan kelayakan keanggotaan dan jumlah belian unit yang terhad.

Yang mana satu?

Secara keseluruhannya, terdapat 10 peluang pelaburan di Malaysia yang boleh rakyat Malaysia ceburi untuk kembangkan lagi aset mereka.

Jadi, terpulanglah nak memilih yang mana satu untuk dilaburkan duit yang ada.

Yang penting, pastikan pelaburan diceburi nanti adalah bersesuaian dengan modal, toleransi risiko, minat, kefahaman dan usaha yang kita sanggup curahkan.

6 Persediaan Sebelum Mulakan Pelaburan

persediaan pelaburanKalau dilihat kepada fasa pengurusan kewangan, aktiviti pelaburan berada pada fasa ke lima iaitu selepas menjana pendapatan, menyimpan sebahagian pendapatan, mengawal perbelanjaan dan mengambil perlindungan secukupnya.

Pelaburan merupakan aktiviti untuk mengembangkan lagi duit yang ada supaya bertambah dengan lebih cepat.

Jika hanya menyimpan sahaja, duit tersebut tidak berkembang dan lebih buruk lagi boleh terhakis nilainya kerana inflasi.

Tambahan lagi, dengan aktiviti pelaburan, matlamat kewangan boleh dicapai dengan lebih cepat kerana kita memanfaatkan kuasa compound interest.

Sebelum memulakan aktiviti pelaburan, sebaik-baiknya buat beberapa persedian pelaburan ini terlebih dahulu:

1. Pastikan aliran tunai positif

Aliran tunai positif terhasil jika (pendapatan + simpanan) melebihi perbelanjaan.

Jika aliran tunai masih belum berkeadaan positif, jangan mulakan pelaburan.

Jana pendapatan tambahan dan kawal nafsu untuk kurangkan perbelanjaan terlebih dahulu.

Boleh baca artikel-artikel berikut untuk panduan:

1. 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus

2. 4 Strategi Mudah Capai Matlamat Kewangan Lebih Cepat 

Jika pengurusan aliran tunai pun masih teruk, jangan mimpi nak berjaya uruskan pelaburan dengan baik.

Lagipun, objektif utama pelaburan adalah untuk mengembangkan duit sedia ada dalam tempoh masa tertentu, bukan untuk menambah aliran pendapatan secara tetap seperti dapat gaji setiap bulan.

Sebab itulah jika terjumpa tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap setiap bulan, perlu berhati-hati.

Takut nanti bukan pelaburan, tetapi peleburan.

2. Konsisten menyimpan

“Simpan duit pendapatan, laburkan duit simpanan”

Untuk melabur, sebaik-baiknya gunakan duit lebihan simpanan.

Bukannya duit yang dipinjam, kecuali jika punyai ilmu yang cukup dan tahu teknik yang sepatutnya digunakan.

Jadi, sebaik-baiknya mulakan pelaburan dengan lebihan duit simpanan, bukan duit pinjaman.

Jika masih tidak mempunyai tabungan yang cukup, jangan mulakan pelaburan.

Orang yang masih gagal untuk konsisten dalam menyimpan, akan gagal juga untuk melabur nanti.

Untuk panduan tentang cara menyimpan duit bagi persediaan pelaburan, boleh baca artikel-artikel berikut:

1. Tips Simpan Duit: Berapa Banyak Nak Simpan? Simpan Kat Mana?

2. 5 Cara Menyimpan Duit Pasti Jadi

3. Urus hutang dengan baik

Ada penasihat kewangan mengatakan hutang boleh dikategorikan kepada dua iaitu hutang baik dan hutang jahat.

Hutang baik disandarkan kepada aset seperti tanah dan rumah, manakala hutang tidak baik tidak disandarkan kepada aset atau digunakan untuk perbelanjaan hangus, contohnya pinjaman peribadi dan kad kredit.

Walau apa pun kategori hutang tersebut, hutang tetap hutang.

Sebagai persediaan pelaburan, jika masih mempunyai hutang samaada dengan individu atau institusi kewangan, sebaik-baiknya selesaikan terlebih dahulu.

Jika tidak dapat selesaikan, paling kurang pun mestilah diuruskan dengan baik.

persediaan pelaburanMaksudnya, tidak pernah gagal untuk membayar ansuran bulanan dan mempunyai sasaran waktu untuk selesaikan semua hutang.

Jika hutang tidak diuruskan dengan baik, nanti nama dalam CCRIS dan CTOS mungkin disenaraihitamkan.

Silap haribulan, boleh diisytiharkan bankrap atau muflis.

Akhirnya, terpaksa mencairkan pelaburan yang dibuat dalam masa singkat untuk bayar semua hutang.

Ingat, aktiviti pelaburan untuk tempoh jangka masa panjang, sekurang-kurangnya tiga ke lima tahun.

Kalau dicairkan dalam masa yang singkat, dibimbangi akan kerugian pula kerana perlu membayar caj-caj tersembunyi.

4. Sediakan dana kecemasan secukupnya

Dana kecemasan penting untuk waktu-waktu kecemasan dan musibah, dan wajib disediakan sebagai persediaan pelaburan.

Apabila ditimpa musibah seperti bencana dan kemalangan, sekurang-kurangnya ada sumber untuk dapatkan duit bagi memperbaiki apa-apa yang perlu.

Tidaklah terpaksa mencairkan aset pelaburan yang dibuat, sayang matlamat pelaburan sudah terjejas.

Kalau pelaburan tersebut baru saja dimulakan, takut rugi pula.

Lagipun, proses mencairkan pelaburan mungkin mengambil masa yang lama, jadi tidak bolehlah nak dapatkan duit secara segera.

5. Ambil perlindungan insurans/takaful secukupnya

Sama seperti dana kecemasan, perlindungan insurans/takaful juga sangat penting untuk pengurusan risiko menghadapi situasi-situasi malang tidak berbau.

Dan juga sangat penting sebagai persedian pelaburan.

Boleh baca artikel-artikel berikut:

1. 7 Sebab Utama Wajib Ada Insurans/Takaful Sebagai Perlindungan

2. 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

Jadi, ambillah perlindungan secukupnya untuk empat perkara utama itu terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti pelaburan.

6. Ilmu yang mencukupi

Nak melabur, jangan main redah sahaja.

Perlu ada ilmu yang betul supaya dapat urus risiko dan jana keuntungan yang baik.

Lagipun terdapat banyak peluang pelaburan yang sah, dan setiap satunya memerlukan cara dan teknik yang berbeza.

Ilmu boleh didapati daripada buku-buku, seminar-seminar dan juga secara terus dengan berguru dengan mentor-mentor pelaburan.

Hanya perlu berusaha dan rajin mencari.

Ingat, pelaburan terbaik adalah pelaburan dalam ilmu!