4 Langkah Mudah Mulakan Pelaburan Unit Amanah

pelaburan unit amanahPelaburan unit amanah menjadi antara peluang pelaburan yang paling menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana pelaburan ini mudah dilakukan, memerlukan modal yang rendah dan pilihan dana yang pelbagai.

Jika dilihat di laman web Morningstar, terdapat beratus-ratus pilihan dana unit amanah yang boleh dipilih untuk anda memulakan pelaburan unit amanah.

Pilihan dana yang pelbagai ini kadang-kadang boleh menimbulkan masalah juga sebab susah nak pilih mana yang sesuai.

Jika anda ingin memulakan pelaburan unit amanah dan ingin menjadi seorang yang financial literacy (cerdik kewangan), janganlah sekadar memilih dana berdasarkan kepada populariti atau mengikut saranan ejen unit amanah sahaja.

Sebaliknya, buatlah kajian dan analisa sendiri agar dana unit amanah yang dipilih nanti memenuhi objektif yang anda ingin capai dan expectation yang anda harapkan.

Sebagai panduan, saya sarankan untuk ikuti langkah-langkah yang berikut dalam memulakan pelaburan unit amanah:

Langkah #1 – Pilih jenis dana dan sektor dana

Seperti yang dikatakan tadi, terdapat pelbagai pilihan dana unit amanah yang tersedia.

Namun, secara asasnya, semua dana ini dapat dibahagikan kepada 3 mengikut peruntukan aset pelaburan setiap dana, iaitu dana ekuiti, dana seimbang dan dana berpendapatan tetap.

Dana ekuiti memperuntukkan majoriti asetnya dalam pelaburan ekuiti/saham, dana berpendapatan tetap memperuntukkan asetnya dalam pasaran wang, bon atau sukuk manakala dana seimbang adalah campuran kedua-dua dana ekuiti dan dana berpendapatan tetap.

Daripada 3 jenis dana unit amanah yang asas ini, akan dibahagikan lagi mengikut objektif pelaburan (pertumbuhan modal, pendapatan dividen, modal kecil), sektor/tema (komoditi, kewangan, hartanah, pengguna, teknologi), geografi (Malaysia, ASEAN, Asia, global) dan kepatuhan syariah (patuh-syariah, konvensional)

Secara umum, dana ekuiti adalah lebih berisiko kerana pendedahan lebih tinggi terhadap pasaran saham yang mana cenderung untuk naik dan turun dengan mendadak dalam jangka masa pendek, tetapi lebih menguntungkan dalam masa panjang.

Sebaliknya, dana berpendapatan tetap kurang berisiko, tidak turun-naik dengan mendadak dan pulangannya lebih stabil, tetapi untuk jangka masa panjang, pulangannya adalah tidak seberapa.

Untuk memilih dana unit amanah yang paling sesuai untuk anda, boleh ambil kira beberapa faktor yang berikut:

#1 Tempoh pelaburan

Jika ingin melabur untuk tempoh jangka masa panjang, pilih dana ekuiti kerana turun-naik harga unit tidak akan memberikan kesan yang ketara dalam jangka masa panjang, sebaliknya akan memberikan lebih banyak pulangan.

Tetapi jika ingin melabur untuk tempoh masa pendek, iaitu kurang 5 tahun, lebih baik pilih dana berpendapatan tetap atau dana seimbang.

#2 Objektif pelaburan

Objektif yang berbeza memerlukan dana dan strategi pelaburan yang berbeza.

Secara umumnya, contoh-contoh objektif pelaburan dan pilihan jenis dana unit amanah yang sesuai adalah seperti yang berikut:

  • membina dana persaraan – dana ekuiti umum/agresif
  • tabung pendidikan – dana ekuiti umum/dana indeks
  • meningkatkan harta kekayaan (capital growth) – dana ekuiti agresif/pertumbuhan
  • meraih pendapatan berkala – dana ekuiti pendapatan
  • melindungi harta & mengatasi inflasi – dana berpendapatan tetap
  • mengumpul wang pendahuluan pembelian rumah – dana ekuiti agresif/pertumbuhan

#3 Toleransi risiko

Setiap orang mempunyai toleransi risiko yang berbeza, dan ini akan mempengaruhi gaya pelaburan masing-masing.

Bagi pelaburan unit amanah, jika anda seorang yang sanggup mengambil risiko yang tinggi, iaitu sanggup melihat turun naik harga dengan mendadak dan sabar menunggu sehingga tempoh masa yang panjang, maka dana ekuiti adalah pilihan yang terbaik.

Tetapi, sebaliknya jika anda hanya sanggup mengambil risiko yang rendah dan tak sanggup melihat turun naik harga, maka dana berpendapatan tetap adalah lebih sesuai untuk anda.

Dan jika anda langsung tidak mahu mengambil sebarang risiko, maka pelaburan unit amanah bukan untuk anda.

Sebaliknya, lebih baik simpan sahaja duit anda dalam akaun bank, Tabung Haji atau ASB.

Setelah mengambil kira 3 faktor di atas, sekarang anda sudah sepatutnya tahu samaada anda ingin melabur dalam dana ekuiti, dana seimbang atau dana berpendapatan tetap.

Secara peribadi, oleh kerana saya masih muda dan sanggup mengambil risiko lebih tinggi, saya lebih gemar memilih dana ekuiti berbanding dana seimbang dan dana berpendapatan tetap.

Bagaimana pula dengan anda, dah pilih jenis dana yang anda nak?

Kalau dah, barulah kita bergerak ke langkah seterusnya.

Baca juga:  3 Indikator Untuk Kiraan Pulangan Pelaburan

Langkah #2 – Menilai syarikat-syarikat pengurus dana unit amanah

pelaburan unit amanahTahukah anda bahawa terdapat banyak syarikat pengurus dana yang menawarkan pelbagai pilihan dana unit amanah yang terdapat di Malaysia.

Mungkin anda biasa mendengar yang popular sahaja, seperti Public Mutual dan CIMB Principal

Selain 2 syarikat ini, ada banyak lagi syarikat pengurus dana contohnya Eastspring Investments, Kenanga Investors dan PMB Investment.

Jadi, dalam memilih syarikat pengurus dana, janganlah ambil kira populariti sahaja, sebaliknya nilaikan juga prestasi, track record dan konsistensi syarikat pengurus dana tersebut.

Kenapa penting untuk menilai prestasi syarikat pengurus dana?

Kerana mereka yang akan menguruskan dan melabur duit yang anda laburkan; jika prestasi mereka tidak baik, anda boleh mengalami kerugian.

Bagaimana nak menilai kesemua aspek tersebut?

Kebiasaannya, setiap syarikat mempunyai 1 atau 2 dana yang terbaik.

Tetapi, jika nak menilai prestasi sebenar sesebuah syarikat pengurus dana, jangan dilihat kepada prestasi 1 atau 2 dana yang terbaik itu sahaja.

Sebaliknya, lihat juga prestasi dana-dana lain yang diuruskan mereka, samaada dana-dana tersebut mencapai prestai yang baik dan konsisten ataupun tidak.

Bandingkan dana-dana syarikat tersebut dengan penanda aras yang mereka tetapkan.

Bandingkan juga dengan prestasi dana-dana daripada syarikat pengurus dana yang lain.

Lihat prestasi dana-dana tersebut untuk tempoh 3, 5 dan 10 tahun; lihat pada konsistensi, adakah dana-dana tersebut mencatat prestasi yang baik dalam tempoh masa panjang dan semasa ekonomi gawat.

Di mana nak lihat semua ini?

Untuk lebih mudah, anda boleh lihat di laman web Fundsupermart (pilih menu Funds Info) dan Morningstar (pilih tool Fund Selector).

Saya lebih kerap menggunakan laman web Fundsupermart sebab lebih mudah.

Daripada perbandingan yang dibuat, jika majoriti dana yang diuruskan syarikat yang anda pilih mengatasi dana-dana syarikat lain, dan mencapai prestasi lebih baik berbanding penanda aras yang mereka tetapkan, maka anda telah menemui syarikat pengurus dana unit amanah yang baik.

Sekarang, kita boleh bergerak ke langkah seterusnya.

Baca juga:  8 Teknik Pembiayaan/Pinjaman ASB (Loan ASB) Supaya Untung Berganda II

Langkah #3 – Analisa khusus ke atas dana unit amanah

Dalam langkah ketiga ini, anda perlu membuat analisa khusus ke atas dana unit amanah yang dipilih.

Katakanlah, dalam langkah #1, anda memilih untuk melabur dalam dana ekuiti (Malaysia, patuh syariah)

Dalam langkah #2, anda telah mengenalpasti 3 pengurus dana yang memenuhi kriteria yang ditetapkan, sebagai contoh anda pilih Eastsping Investments, Kenanga Investors dan PMB Investment.

Daripada 3 pengurus dana ini, anda pilih pula dana mereka yang memenuhi objektif anda, contohnya anda pilih Eastspring Investments Dana al-Ilham, Kenanga Syariah Growth Fund dan PMB Shariah Aggressive Fund.

Untuk ketiga-tiga dana ini, anda perlu menilai setiap dana secara spesifik daripada beberapa aspek, iaitu:

#1 Prestasi (performance) – Dua perkara perlu dilihat; kedudukan dana vs dana-dana lain dan prestasi dana vs penanda aras

#2 Volatility – Kadar pergerakan turun-naik harga, menunjukkan kestabilan/konsistensi harga dana

#3 Sharpe ratio (prestasi berasaskan risiko) – Menilai prestasi dana berbanding risiko yang dtanggung

#4 Kos dana – Caj jualan, caj pengurusan tahunan dan yuran tahunan pemegang amanah; ditunjukkan melalui expense ratio

pelaburan unit amanahSemua ini boleh didapati daripada prospektus dana, laporan berkala/tahunan dan juga menerusi laman web seperti Morningstar dan Fundsupermart.

Selepas membuat penilaian spesifik ke atas dana-dana yang dipilih, sekarang sudah boleh tentukan dana mana yang paling baik mengikut kehendak anda.

Jika terasa susah nak pilih, boleh sahaja anda mulakan pelaburan unit amanah melalui 2 atau 3 dana sekaligus.

Tetapi ingat, jangan terlalu banyak pula, 3 dana pun sudah memadai.

Langkah #4 – Mula melabur

Sekarang, anda dah pilih dana mana yang berkenan di hati, bukan?

Untuk mula melabur, anda boleh mula mencari ejen dana unit amanah tersebut; jika tak tahu di mana nak cari, anda boleh hubungi syarikat pengurus dana tersebut untuk mendapatkan ejen mereka yang terdekat.

Boleh juga jika nak melabur secara online menerusi Fundsupermart atau eUnittrust.

Anda boleh mula melabur samaada secara lumpsum tunai, berkala ataupun melalui pengeluaran KWSP.

Terpulanglah kepada anda.

Selepas melabur, anda perlu memantau prestasi dana anda dari semasa ke semasa.

Janganlah dibiarkan sahaja tanpa tahu perkembangan dana samaada rugi atau untung.

Dan pada masa yang sama, janganlah gopoh atau bertindak keterlaluan jika melihat harga dana yang dibeli menjunam, sebaliknya sabar dan beri sedikit masa untuk melihat samaada harga dana boleh melantun kembali ataupun tidak.

Sebaliknya, jika memang setelah sekian lama prestasi dana tersebut memang menyebabkan anda kerugian sedangkan pada masa yang sama dana-dana lain dalam jenis dan sektor yang sama memberikan keuntungan, barulah anda boleh berpindah ke dana yang lain.

Masih ragu-ragu dengan pulangan pelaburan unit amanah?

Berdasarkan pengalaman saya selama beberapa tahun melabur dalam 4 dana unit amanah yang berbeza, pelaburan unit amanah memang memberikan pulangan yang baik dengan syarat memilih dana yang betul.

Jadi, jangan ragu-ragu ya.

Selamat melabur dalam pelaburan unit amanah!

Baca juga:  Buat Duit Dengan Uber Untuk Jana Pendapatan Tambahan

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini