Kalau dilihat kepada fasa pengurusan kewangan, aktiviti pelaburan berada pada fasa ke lima iaitu selepas menjana pendapatan, menyimpan sebahagian pendapatan, mengawal perbelanjaan dan mengambil perlindungan secukupnya.
Pelaburan merupakan aktiviti untuk mengembangkan lagi duit yang ada supaya bertambah dengan lebih cepat.
Jika hanya menyimpan sahaja, duit tersebut tidak berkembang dan lebih buruk lagi boleh terhakis nilainya kerana inflasi.
Tambahan lagi, dengan aktiviti pelaburan, matlamat kewangan boleh dicapai dengan lebih cepat kerana kita memanfaatkan kuasa compound interest.
Sebelum memulakan aktiviti pelaburan, sebaik-baiknya buat beberapa persedian pelaburan ini terlebih dahulu:
1. Pastikan aliran tunai positif
Aliran tunai positif terhasil jika (pendapatan + simpanan) melebihi perbelanjaan.
Jika aliran tunai masih belum berkeadaan positif, jangan mulakan pelaburan.
Jana pendapatan tambahan dan kawal nafsu untuk kurangkan perbelanjaan terlebih dahulu.
Boleh baca artikel-artikel berikut untuk panduan:
1. 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus
2. 4 Strategi Mudah Capai Matlamat Kewangan Lebih Cepat
Jika pengurusan aliran tunai pun masih teruk, jangan mimpi nak berjaya uruskan pelaburan dengan baik.
Lagipun, objektif utama pelaburan adalah untuk mengembangkan duit sedia ada dalam tempoh masa tertentu, bukan untuk menambah aliran pendapatan secara tetap seperti dapat gaji setiap bulan.
Sebab itulah jika terjumpa tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap setiap bulan, perlu berhati-hati.
Takut nanti bukan pelaburan, tetapi peleburan.
2. Konsisten menyimpan
“Simpan duit pendapatan, laburkan duit simpanan”
Untuk melabur, sebaik-baiknya gunakan duit lebihan simpanan.
Bukannya duit yang dipinjam, kecuali jika punyai ilmu yang cukup dan tahu teknik yang sepatutnya digunakan.
Jadi, sebaik-baiknya mulakan pelaburan dengan lebihan duit simpanan, bukan duit pinjaman.
Jika masih tidak mempunyai tabungan yang cukup, jangan mulakan pelaburan.
Orang yang masih gagal untuk konsisten dalam menyimpan, akan gagal juga untuk melabur nanti.
Untuk panduan tentang cara menyimpan duit bagi persediaan pelaburan, boleh baca artikel-artikel berikut:
1. Tips Simpan Duit: Berapa Banyak Nak Simpan? Simpan Kat Mana?
2. 5 Cara Menyimpan Duit Pasti Jadi
3. Urus hutang dengan baik
Ada penasihat kewangan mengatakan hutang boleh dikategorikan kepada dua iaitu hutang baik dan hutang jahat.
Hutang baik disandarkan kepada aset seperti tanah dan rumah, manakala hutang tidak baik tidak disandarkan kepada aset atau digunakan untuk perbelanjaan hangus, contohnya pinjaman peribadi dan kad kredit.
Walau apa pun kategori hutang tersebut, hutang tetap hutang.
Sebagai persediaan pelaburan, jika masih mempunyai hutang samaada dengan individu atau institusi kewangan, sebaik-baiknya selesaikan terlebih dahulu.
Jika tidak dapat selesaikan, paling kurang pun mestilah diuruskan dengan baik.
Maksudnya, tidak pernah gagal untuk membayar ansuran bulanan dan mempunyai sasaran waktu untuk selesaikan semua hutang.
Jika hutang tidak diuruskan dengan baik, nanti nama dalam CCRIS dan CTOS mungkin disenaraihitamkan.
Silap haribulan, boleh diisytiharkan bankrap atau muflis.
Akhirnya, terpaksa mencairkan pelaburan yang dibuat dalam masa singkat untuk bayar semua hutang.
Ingat, aktiviti pelaburan untuk tempoh jangka masa panjang, sekurang-kurangnya tiga ke lima tahun.
Kalau dicairkan dalam masa yang singkat, dibimbangi akan kerugian pula kerana perlu membayar caj-caj tersembunyi.
4. Sediakan dana kecemasan secukupnya
Dana kecemasan penting untuk waktu-waktu kecemasan dan musibah, dan wajib disediakan sebagai persediaan pelaburan.
Apabila ditimpa musibah seperti bencana dan kemalangan, sekurang-kurangnya ada sumber untuk dapatkan duit bagi memperbaiki apa-apa yang perlu.
Tidaklah terpaksa mencairkan aset pelaburan yang dibuat, sayang matlamat pelaburan sudah terjejas.
Kalau pelaburan tersebut baru saja dimulakan, takut rugi pula.
Lagipun, proses mencairkan pelaburan mungkin mengambil masa yang lama, jadi tidak bolehlah nak dapatkan duit secara segera.
5. Ambil perlindungan insurans/takaful secukupnya
Sama seperti dana kecemasan, perlindungan insurans/takaful juga sangat penting untuk pengurusan risiko menghadapi situasi-situasi malang tidak berbau.
Dan juga sangat penting sebagai persedian pelaburan.
Boleh baca artikel-artikel berikut:
1. 7 Sebab Utama Wajib Ada Insurans/Takaful Sebagai Perlindungan
2. 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful
Jadi, ambillah perlindungan secukupnya untuk empat perkara utama itu terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti pelaburan.
6. Ilmu yang mencukupi
Nak melabur, jangan main redah sahaja.
Perlu ada ilmu yang betul supaya dapat urus risiko dan jana keuntungan yang baik.
Lagipun terdapat banyak peluang pelaburan yang sah, dan setiap satunya memerlukan cara dan teknik yang berbeza.
Ilmu boleh didapati daripada buku-buku, seminar-seminar dan juga secara terus dengan berguru dengan mentor-mentor pelaburan.
Hanya perlu berusaha dan rajin mencari.
Ingat, pelaburan terbaik adalah pelaburan dalam ilmu!