Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

perlindungan insurans/takafulMengambil perlindungan insurans/takaful secukupnya adalah sangat penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Sepertimana yang ditulis dalam artikel 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful, ditekankan betapa pentingnya mengambil perlindungan untuk kematian, kelumpuhan, kecacatan, penyakit dan aset/harta.

Maka, semua orang sebaik-baiknya dilindungi insurans/takaful.

Walaubagaimanapun, akan ada sesetengah orang yang merasakan bahawa tidak perlu bagi mereka untuk mempunyai sebarang perlindungan insurans/takaful.

Tidak mengapa jika mereka berfikiran begitu, itu adalah pilihan mereka sendiri.

Tetapi, mereka perlulah dididik akan kepentingan perlindungan insurans/takaful.

Lagipun, keperluan bagi seseorang untuk mempunyai perlindungan insurans/takaful adalah berbeza antara satu sama lain dan bergantung kepada profil individu itu sendiri.

Dalam erti kata lain, lain orang, lain keperluan perlindungan insurans/takafulnya.

Contohnya, seorang lelaki bujang yang tidak mempunyai tanggungan (ibu dan ayahnya masih bekerja), maka beliau tidak perlu mengambil perlindungan yang besar untuk manfaat kematian dan kelumpuhan/kecacatan.

Berbeza pula dengan seorang lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai anak (isteri dan anak adalah tanggungan), maka sudah tentu perlindungan bagi kematian dan kelumpuhan/kecacatan adalah wajib.

Jika berlaku kematian, sekurang-kurangnya waris beliau masih ada pampasan insurans/takafulnya untuk perbelanjaan harian.

Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

Bagi mereka yang belum, atau sedang merancang untuk mengambil perlindungan insurans/takaful, boleh mengambil kira faktor-faktor yang berikut:

1. Tahap pendedahan kepada risiko

Hakikatnya, semua orang terdedah kepada risiko kematian, kelumpuhan/kecacatan dan diserang penyakit.

Cuma yang membezakan adalah tahap pendedahan atau kebarangkalian untuk mengalami risiko-risiko tadi.

Mengenai kematian, no compromy, kematian boleh berlaku tak kira masa, usia, keadaan dan situasi.

Mengenai kelumpuhan/kecacatan, sebagai contoh disebabkan kemalangan kenderaan, sudah tentu orang yang sering memandu dalam jangka masa yang lama dan jauh mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding orang yang tidak menaiki kenderaan atau memandu dalam masa yang pendek dan dekat sahaja.

Serangan penyakit pula, golongan yang sentiasa bersenam, mengamalkan pemakanan sihat, tidak merokok, tiada faktor keturunan dan berusia muda mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding golongan sebaliknya (bagi kebanyakan penyakit seperti kencing manis dan sakit jantung)

Jadi, sebelum mengambil perlindungan insurans/takaful, boleh kenalpasti dulu bagaimana tahap pendedahan atau kebarangkalian untuk mengalami risiko-risiko di atas.

Dengan itu, bolehlah dipilih manfaat atau risiko mana yang perlu diberi keutamaan untuk dilindungi.

Contohnya, seseorang yang masih sihat dan bujang, mungkin cukup sekadar mengambil perlindungan kemalangan diri sahaja, yang mana menyediakan manfaat akibat kematian dan kelumpuhan/kecacatan akibat kemalangan sahaja.

Apabila usia semakin meningkat, mungkin boleh mula mengambil manfaat perlindungan yang lebih menyeluruh seperti perlindungan pendapatan (income protection) yang mana melindungi risiko kematian, kelumpuhan/kecacatan dan penyakit.

Baca juga:  2 Formula & Tips Beli Kereta Supaya Tak Terbeban

2. Penanggung nafkah keluarga

perlindungan insurans/takafulAnak-anak kecil, lelaki bujang, wanita bujang, surirumah yang tidak bekerja; jika mereka bukan penyumbang nafkah dalam keluarga, mereka sebenarnya tidak perlukan perlindungan insurans/takaful pun.

Jika perlukan perlindungan pun, mungkin sekadar manfaat minimum atau untuk kegunaan mereka sendiri sahaja seperti kad perubatan stand-alone yang boleh digunakan untuk menampung kos rawatan jika mereka jatuh sakit.

Berbeza pula bagi penanggung nafkah keluarga.

Tidak kira bujang/berkahwin, suami/isteri; asalkan sahaja mereka menyumbang nafkah dan menanggung perbelanjaan keluarga, maka digalakkan perlindungan insurans/takaful yang menyeluruh ke atas mereka.

3. Kemampuan kewangan

Apabila mengambil perlindungan insurans/takaful, sudah tentu memerlukan kepada bayaran samaada secara bulanan, tahunan mahupun lump-sum sekaligus.

Bayaran ini perlulah disempurnakan dalam tempoh masa yang ditetapkan jika tidak mahu polisi perlindungan yang diambil terbatal.

Oleh itu, perlulah bersedia untuk memberikan komitmen membayar caruman yang ditetapkan.

Di sinilah perlunya membuat kira-kira terlebih dahulu, pastikan komitmen bayaran yang akan dikenakan adalah dalam lingkungan kemampuan kewangan semasa.

Ambil perlindungan insurans/takaful, janganlah berlebihan sampai membebankan kocek sendiri.

Tetapi, janganlah pula menjadikan ketidakmampuan ini sebagai alasan untuk tidak mengambil sebarang perlindungan.

Ikut kemampuan dan keperluan.

Tentukan dulu keperluan jumlah manfaat yang sebaiknya, contohnya inginkan nilai manfaat bersamaan 10 kali ganda pendapatan tahunan.

Kemudian, untuk nilai manfaat tersebut, tentukan jumlah caruman yang akan dikenakan.

Jika terasa tidak mampu, ubah nilai manfaat bersesuaian dengan komitmen yang sanggup dikeluarkan.

Dari semasa ke semasa, urus kewangan dengan baik supaya dapat tingkatkan kemampuan untuk membayar komitmen bagi nilai manfaat yang sepatutnya.

4. Aset/harta yang dimiliki

Untuk faktor aset/harta yang dimiliki ini, perlu dilihat daripada dua perspektif; satu jika anda mempunyai harta yang banyak, dan satu lagi perspektif jika anda mempunyai harta yang sedikit.

Jika punyai aset/harta yang banyak terutamanya rumah, kereta dan perniagaan, perlindungan insurans/takaful diperlukan untuk melindungi nilai aset/harta tersebut.

Rumah perlu mempunyai perlindungan bencana seperti banjir dan kebakaran.

Perniagaan pula perlu dilindungi daripada risiko kerugian akibat kebakaran, bencana dan kecurian.

Jadi apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, sekurang-kurangnya jumlah kerugian dapat diminimakan.

Jika punyai aset/harta yang sedikit pula, perlindungan insurans/takaful diperlukan untuk menyediakan sumber kewangan apabila berlaku kematian, kelumpuhan/kecacatan dan penyakit kritikal.

Lindungi diri-sendiri, apabila berlaku perkara-perkara seperti di atas, anda atau waris anda akan punyai sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan dengan baik.

Baca juga:  Ebook Pengurusan Kewangan Peribadi Percuma

5. Hutang yang ditanggung

perlindungan insurans/takafulJika berhutang dengan institusi kewangan seperti bank, mungkin tiada masalah sebab memang diwajibkan mengambil perlindungan insurans/takaful untuk melindungi hutang tersebut.

Tetapi, jika ada berhutang dengan orang lain atau mana-mana pihak dalam jumlah yang besar, digalakkan untuk mempunyai perlindungan insurans/takaful atas diri-sendiri.

Apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, pampasan yang diperoleh boleh digunakan untuk membayar baki hutang yang masih ada.

Mungkin ada yang pertikaikan, jika mampu bayar untuk insurans/takaful setiap bulan, lebih baik duit itu digunakan untuk bayar hutang secara ansuran.

Bagi saya, lebih baik buat kedua-duanya; bayar hutang secara ansuran dan pada masa sama ambil perlindungan insurans/takaful.

Jika hutang tadi tidak sempat dibayar habis akibat kematian atau ada musibah, pampasan daripada insurans/takaful yang diambil boleh menjadi backup untuk melunaskan hutang tersebut.

Ingat ya, hutang wajib dibayar walau apa pun terjadi.

Perlindungan Insurans/Takaful Adalah Keperluan

Walaupun faktor-faktor di atas boleh diambil kira bagi menentukan perlu atau tidak untuk mempunyai perlindungan insurans/takaful, ingatlah bahawa instrumen perlindungan ini merupakan satu keperluan yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Tidak mempunyai sebarang perlindungan boleh menjejaskan matlamat-matlamat kewangan yang ingin dicapai jika sebarang musibah melanda.

Di samping itu, semakin lama ditangguh mengambil perlindungan, semakin tinggi tahap pendedahan risiko.

Dan, semakin tinggi juga kos untuk mendapatkan perlindungan yang optimum.

Lagipun, malang memang tidak berbau, ajal memang tidak dapat ditunda.

Nasihat saya, usahlah beralasan lagi, cepat-cepatlah dapatkan perlindungan insurans/takaful mengikut keperluan anda.

Baca juga:  Inspirasi Kisah Kejayaan Syafieqah Alya

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini