Pengurusan Kewangan

6 Langkah Mudah Rancang Pelan Persaraan

rancang pelan persaraan“Kau rasa, bila waktu terbaik untuk mula rancang pelan persaraan?” Faizal bertanya kepada rakan baiknya, Khairul.

“Hhmm, kalau ikut yang aku pernah baca dulu, waktu terbaik adalah masa hari pertama mula kerja,” jawab Khairul sambil menghirup kopi yang sedia terhidang di atas meja.

“Eh, kau biar betul! Hari pertama kerja, gaji pun belum dapat lagi.” Faizal seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Khairul. Diketuknya meja makan sebagai tanda ketidak puasan hatinya.

“Betullah. Dari hari pertama kerja, kita patut dah rancang bagaimana nak agihkan gaji nanti. Berapa banyak nak simpan, berapa banyak nak belanja, berapa banyak nak sedekahkan. Kirakan juga zakat dan cukai yang perlu dikeluarkan.

Lagi, fikir juga tentang tempat simpan duit terbaik, jenis simpanan yang nak dibuat, pelan perlindungan yang nak diambil dan pada masa sama, intai-intailah peluang pelaburan yang sesuai.” Khairul cuba memberi penjelasan.

“Amboi, banyaknya benda kena fikir. Dah tu, kau dah rancang pelan persaraan ke?” Tanya Faizal dengan nada seakan menyindir.

“Dah, tapi taklah dari awal hari pertama kerja. Kita dah kerja 7 tahun, tapi aku baru mula rancang pelan persaraan aku 5 tahun lepas. Alhamdulillah, masih on track!” Khairul tersenyum membalas pertanyaan Faizal.

“Wah, awalnya! Kita masih lambat lagi nak capai umur persaraan. Ada masa 30 tahun lagi ini.”

“Ya, memang masih lama lagi nak bersara. Tapi, lagi awal start pelan persaraan, lagi baik. Sebabnya, kita ada masa yang panjang untuk bina tabung persaraan, jadi komitmen simpanan bulanan untuk tabung ini taklah tinggi sangat.

Lagi pun, dengan tempoh masa yang panjang, kita boleh ambil risiko lebih tinggi untuk terlibat dalam pelaburan yang sah untuk gandakan tabung persaraan dengan lebih cepat. Boleh juga mulakan bisnes kecil-kecilan.

Masa awal-awal ini, kalau rugi sikit pun  tak mengapa sebab masih ada masa yang panjang untuk perbetulkan semula. Jadi, dalam tempoh masa panjang, insyaAllah pelaburan dan perniagaan yang dibuat untuk tabung persaraan akan beroleh keuntungan.

Cuba kau fikir, kalau kita ada masa 10 tahun sahaja lagi nak capai umur persaraan, kau rasa berani lagi nak keluarkan modal untuk buat pelaburan atau berniaga? Sanggup rugi? Mesti tak,  bukan? Dalam tempoh dah dekat nak bersara, objektif masa itu nak preserve duit yang ada sahaja. Nak ambil lebih risiko, memang ramai takkan berani. Betul tak?” Saja Khairul menjentik pemikiran rakan didepannya.

Faizal menganggukkan kepalanya tanda setuju.

rancang pelan persaraan

“So, macam mana kau mula built up dan rancang pelan persaraan kau? Apa langkah-langkah yang kau buat?”

“Ok, langkah pertama dalam rancang pelan persaraan adalah kena tentukan dahulu keperluan kewangan persaraan nanti.

Perlu diingat, keperluan setiap orang boleh jadi berbeza-beza.

Mungkin apabila bersara nanti, ada orang yang perlukan duit untuk menyara kehidupannya sahaja, ada juga yang perlukan duit untuk menampung perbelanjaan rawatan dan juga membayar hutang-hutang yang masih berbaki.

Ada juga yang perlukan duit untuk perbelanjaan-perbelanjaan besar seperti membina atau mengubahsuai rumah, menunaikan haji, melancong dan menampung perbelanjaan anak-anak yang masih belajar.

Kena ambil kira faktor-faktor sebegitu dalam menentukan keperluan kewangan apabila bersara nanti.

Macam aku, aku plan untuk bina tabung persaraan khas untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan asas sahaja, dan mungkin sedikit perbelanjaan-perbelanjaan lain sebab aku dah bina tabung berasingan untuk matlamat-matlamat kewangan yang lain.

Katakanlah aku bersara sekarang, aku mungkin hanya perlukan 80% daripada gaji sekarang bersamaan RM 4,000 sebulan atau RM 48,000 setahun sahaja untuk meneruskan kehidupan persaraan.

Kalau bersara 30 tahun lagi pada usia 60 tahun, berapa yang aku perlukan?

Dengan mengambil kira kadar inflasi 3% setahun dan menggunakan formula pengiraan ini, dianggarkan aku memerlukan RM 117,000 setahun atau RM 9,800 sebulan apabila bersara nanti.” Khairul menerangkan sambil menunjukkan pengiraan di atas sehelai kertas yang diambil daripada buku notanya.

rancang pelan persaraan

“Wow, banyak juga yang diperlukan apabila bersara nanti!” Faizal terkejut dengan angka yang ditunjukkan Khairul.

“Ya, memang banyak kalau keperluan kewangan kita banyak. Selepas dah dapat jumlah keperluan kewangan persaraan, kena buat langkah seterusnya.

Langkah kedua dalam rancang pelan persaraan adalah memilih strategi yang sesuai untuk memenuhi keperluan kewangan persaraan yang dikira tadi.

Ada dua strategi mudah; lumpsum atau dividen.

Strategi lumpsum bermaksud kita bina tabung persaraan dengan jumlah yang membolehkan kita bertahan dan guna duit tersebut sikit-sikit dalam tempoh tertentu sehingga habis.

Contohnya, macam yang dikira tadi, aku perlukan RM 117,000 setahun. Aggaplah aku diberikan panjang umur sehingga 20 tahun selepas bersara. Jadi, aku perlukan RM 117,000 x 20 tahun = RM 2,340,000

Maksudnya, aku perlukan tabung persaraan sebanyak RM 2 juta lebih yang untuk membolehkan aku membelanjakan RM 117,000 setahun selama 20 tahun! Selepas 20 tahun, duit pun habis diguna.”

“Ooo, bagaimana pula dengan strategi dividen?” Faizal sudah tidak sabar untuk tahu lebih lanjut.

“Strategi dividen pula, kita letak wang tabung persaraan itu di satu tempat yang mana akan memberikan dividen sama banyak atau melebihi keperluan kewangan setahun kita.

Kita di Malaysia beruntung sebab ada dua tempat simpan duit terbaik iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji (TH) yang beri dividen yang agak konsisten dan stabil untuk semua penyimpannya, di samping menjaga modal awal yang diletakkan.

Katakanlah aku letak duit tabung persaraan dalam satu tempat yang berikan dividen 6% setahun, jadi untuk dapatkan dividen sebanyak RM 117,000 setahun, modal yang aku kena letak adalah RM 117,000 / 6% = RM 1,950,000″

“Eh, nampak strategi dividen lebih baik daripada strategi lumpsum sebab kita hanya akan belanjakan duit dividen tanpa mengusik modal awal,” Faizal mencelah.

“Ya, betul, nampak macam itulah. Tetapi, belum tentu juga dividen yang diberi nanti akan konsisten dan sama seperti yang diharapkan. Jadi, untuk selamat, aku guna kedua-dua pengiraan ini dan letakkan sasaran tabung persaraan aku sebanyak RM 2 juta.”

“Wow, banyaknya! Boleh ke nak kumpul sebanyak itu?”

“Tak mustahil, kalau kena caranya,” Khairul menyatakan keyakinannya.

“Baiklah, selepas dah tahu berapa jumlah tabung persaraan yang diperlukan, kena buat langkah ketiga iaitu menilai status kewangan semasa dengan melakukan analisa S.W.O.T; strength, weakness, opportunity dan threat.

Strength atau kekuatan merujuk kepada pendapatan, simpanan dan aset yang ada sekarang. Weakness pula adalah kelemahan yang merujuk kepada hutang dan liabiliti yang masih ditanggung.

Opportunity adalah peluang yang mana termasuk anggaran pergerakan gaji, peluang pelaburan dan perniagaan yang boleh disertai.

Yang terakhir adalah threat iaitu ancaman yang boleh menjejaskan situasi kewangan seperti musibah dan juga perbelanjaan-perbelanjaan besar yang lain.”

“Penting ke nak buat analisa S.W.O.T. ini?” Faizal bertanya.

“Eh, penting. Selepas buat analisa ini, aku dapat nilaikan sama ada pendapatan yang diperoleh adalah mencukupi atau tidak, adakah aku mempunyai aliran tunai positif atau negatif?

Simpanan dan aset yang ada, adakah mencukupi atau tidak? Hutang-hutang pula, adakah dikawal dan dibuat bayaran dengan baik?

Untuk terlibat dalam peluang pelaburan dan perniagaan, adakah aku mempunyai kemahiran, modal dan pengetahuan yang diperlukan?

Bagaimana pula dengan persediaan menghadapi musibah? Dah ambil perlindungan insurans takaful secukupnya?

Apa pula perbelanjaan-perbelanjaan besar atau matlamat-matlamat kewangan lain yang nak dicapai selain bina tabung persaraan? Dah bina tabung yang berasingan atau belum?

Semua persoalan ini dapat dijawab selepas buat analisa tadi. Selepas siap buat analisa, baru aku boleh ke langkah seterusnya dalam rancang pelan persaraan.”

“Apa langkah seterusnya?” Faizal semakin bersemangat nak tahu.

Langkah keempat adalah merangka pelan untuk capai tabung persaraan yang diingini.

Macam yang dikira tadi, aku nak tabung persaraan bernilai RM 2 juta, jadi aku kena rangka pelan untuk capai nilai ini dalam masa lebih kurang 30 tahun ini. Bagaimana nak kumpul duit sebanyak itu?

Pilihan mudah, boleh buat simpanan sebanyak RM 5,500 sebulan selama 30 tahun untuk capai jumlah tersebut.

Atau pun, boleh buat pelaburan RM 2,100 sebulan dalam pelaburan yang berikan dividen 6% setahun selama 30 tahun, pun akan dapat capai jumlah sama, macam yang dikira financial calculator ini.

rancang pelan persaraan

Masalahnya, dengan pendapatan yang diperoleh, aku tak mampu nak beri komitmen sebanyak itu khas untuk tabung persaraan sahaja sebab masih banyak perbelanjaan dan tabung lain yang aku kena fikirkan juga.

Kalau harapkan simpanan dalam akaun KWSP sahaja pun, tak cukup untuk capai nilai tabung persaraan yang aku nak.

Jadi, antara pelan yang aku buat adalah:

  • Tambah pendapatan dengan buat bisnes online di facebook dan buat duit dengan affiliate.
  • Amalkan tips jimat belanja supaya ada lebihan gaji untuk disimpan dan dilaburkan.
  • Memilih peluang pelaburan terbaik yang kena dengan jiwa dan objektif aku.
  • Memantapkan pengetahuan dan kemahiran melabur supaya dapat pulangan pelaburan yang lebih baik.

Kalau tadi dengan pulangan pelaburan 6% setahun aku perlu laburkan RM 2,100 sebulan. Tetapi, kalau aku sasarkan pulangan pelaburan 8% setahun, aku hanya perlu beri komitmen RM 1,500 sebulan sahaja.

rancang pelan persaraan

Ini semua pelan yang aku buat. Orang lain mungkin ada pelan lain yang lebih baik. Kalau kau nak rancang pelan persaraan pun, boleh juga rancang pelan yang lebih baik dan sesuai dengan diri kau.” Khairul sekali lagi meneguk air selepas memberikan penerangannya.

“Hmm, banyak juga perkara yang perlu dibuat untuk rancang pelan persaraan ini. Mampu ke aku nak buat ini?” Faizal menyatakan kebimbangannya.

“Betul, memang banyak perkara perlu diambil kira dan difikirkan. Maklumlah, merancang untuk masa depan yang masih jauh, perjalanannya mesti penuh ranjau dan liku.

Tetapi, kau jangan risau, semua orang mesti boleh merancang pelan persaraan dengan baik. Yang penting, mulakan awal, rangka pelan dengan teratur dan konsisten dengan matlamat yang nak dicapai.

Kalau waktu terbaik untuk rancang pelan persaraan adalah hari pertama kerja, waktu kedua terbaik pula adalah sekarang! Jadi, kau belum terlambat lagi. Jangan risau, aku boleh tolong kau,” Khairul cuba menghilangkan kerisauan rakan baiknya.

“Baguslah kalau kau nak tolong aku,” Faizal tersenyum gembira.

“Sebelum itu, ada dua lagi langkah penting yang kau perlu buat juga dalam merancang pelan persaraan ini.”

“Eh, ada lagi? Ingatkan dah habis.”

“Belum lagi. Langkah kelima, dari semasa ke semasa secara berkala, kena sentiasa review pencapaian pelan persaraan yang dah dilaksanakan. Mungkin boleh review setiap 5 atau 10 tahun. Buat analisa sama ada underperform, on track atau outperform. Kalau underperform, mungkin kena buat pengubahsuaian agar sasaran lebih realistik dan dapat dicapai.

Dan langkah keenam, kena banyakkan berdoa supaya semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Maklumlah, macam aku kata tadi, ini adalah perjalanan yang panjang. Apa-apa pun boleh terjadi yang boleh menganggu pelan yang dirancang. Jadi, kenalah banyakkan berdoa supaya tiada perkara buruk yang berlaku. Itu sahaja,” Khairul menamatkan penerangannya.

“Betul juga kata kau. Kita hanya mampu merancang, tapi Allah yang akan menentukan. Harap-harap, pelan yang kau dah rancang, dan pelan yang baru aku nak rancang, akan dapat berjalan dengan lancar.”

“Amin. InsyaAllah, semuanya akan berjalan dengan baik.”

Kedua-dua rakan baik itu tersenyum menamatkan perbincangan mereka pada petang itu.

p/s: Rasa perbualan antara dua rakan baik ini bermanfaat? Kalau ya, jangan lupa kongsikan ya.

..

Tips Urus Wang Graduan Muda Supaya Cerah Masa Depan

tips urus wang graduan mudaSebelum ini saya ada tulis satu artikel berkenaan tips pengurusan kewangan untuk orang muda, dan hari ini saya nak kongsi pula satu artikel berkenaan tips urus wang graduan muda.

Artikel ini asalnya disediakan dan disiarkan oleh RinggitPlus, anda boleh baca artikel asal di sini

Ada bezakah tips pengurusan kewangan antara orang muda dan graduan muda?

Tiada beza pun, kedua-duanya ditujukan untuk golongan sasar yang sama.

Tips yang disediakan adalah secara umum, semuanya sesuai sebagai panduan untuk memantapkan lagi pengurusan kewangan peribadi orang muda.

Mana-mana tips yang dirasakan bermanfaat dan sesuai untuk diri-sendiri, bolehlah dilaksanakan.

Kalau rasa ada tips yang tidak mampu dilaksanakan, janganlah pula mencemuh, kerana mungkin sahaja tips itu tidak sesuai untuk anda tetapi sesuai untuk orang lain.

Eh, membebel pula saya kali ini.

Baiklah, tanpa membuang masa, jom kita lihat satu per satu tips urus wang graduan muda yang disediakan RinggitPlus.

tips urus wang graduan muda

Tips urus wang graduan muda – Cara-cara memperuntukkan bajet anda

Sejak daripada gaji pertama lagi, setiap graduan muda disarankan supaya urus wang gaji tersebut dengan menyediakan bajet yang baik.

Antara bajet yang dicadangkan adalah (andaikan purata gaji graduan muda adalah RM 2,000 setiap bulan)

  • rumah & utiliti (bil elektrik, air, telefon, internet) = 35% (RM 700)
  • makan & minum = 20% (RM 400)
  • simpanan = 10% (RM 200)
  • pembayaran pinjaman = 10% (RM 200)
  • pinjaman & perbelanjaan kereta = 10% (RM 200)
  • pakaian & hiburan = 10% (RM 200)
  • insurans kenderaan = 5% (RM 100)

Satu cadangan bajet yang baik diberikan kepada graduan muda supaya dapat menguruskan pendapatan yang diperoleh dengan baik.

Namun, secara peribadi, saya berpendapat lebih banyak penjimatan boleh dilakukan supaya simpanan dapat diperbanyakkan lagi.

Mungkin boleh dikurangkan lagi perbelanjaan untuk rumah & utiliti; boleh sahaja menyewa bilik yang murah atau tinggal bersama ibubapa, amalkan tips jimat elektrik dan pilih pakej perkhidmatan talian telefon dan internet prabayar yang lebih murah.

Boleh juga kurangkan perbelanjaan untuk pakaian & hiburan; tak perlu beli pakaian baru setiap bulan, hiburan pula boleh sahaja dapatkan yang percuma.

Graduan muda patut menyimpan dengan semaksimanya supaya perjalanan kewangan selepas ini akan berjalan dengan lebih baik.

Sebagai alternatif, boleh rujuk artikel Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja untuk lebih banyak idea berkenaan cara menguruskan gaji dengan lebih baik.

Tips urus wang graduan muda – Cara membina kewangan anda

Topik pengurusan kewangan peribadi adalah satu topik yang sangat penting, tetapi malangnya bukan merupakan topik yang diajar di peringkat sekolah.

Topik ini hanya diajar di peringkat pengajian tinggi, itu pun dalam silibus sesetengah kursus sahaja.

Akibatnya, kebanyakan graduan muda memang tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan kewangan mereka dengan baik.

Sebab itulah ramai graduan yang tersalah langkah dalam membina kewangan mereka menyebabkan mereka terjerumus ke lembah neraka wang.

Jadi, sebagai tips urus wang graduan muda, berikut merupakan tips yang perlu dilakukan untuk membina kewangan anda dengan baik:

Tips #1 – Baca artikel dan buku kewangan peribadi untuk meningkatkan ilmu kewangan anda

Antara buku yang dicadangkan adalah Bajet Power: Simpan & Labur Gaya Orang Muda (Tuan Harith Faisal), 100 #Tip Kewangan Praktikal (Tuan Alwi Adam) dan Bijak Mengurus Wang (Puan Hajah Rohani)

Selain daripada itu, boleh juga baca daripada blog-blog seperti Jom Urus Duit, Duit Kertas dan Halal Money.

Apabila ilmu dah mantap, senanglah nak rangka pelan pengurusan kewangan peribadi sendiri.

Tips #2 – Kawal perbelanjaan anda

Kunci kepada pengurusan kewangan yang efektif adalah disiplin diri; perlu keazaman yang tinggi untuk kawal nafsu daripada berbelanja kepada perkara kehendak yang bukan keperluan segera.

Buat kiraan bajet bulanan yang terperinci dan semak setiap perbelanjaan anda.

Gunakan aplikasi telefon pintar seperti FastBudget atau MoneyLover.

Untuk permulaan, catat setiap perbelanjaan setiap item, buat setiap hari untuk sekurang-kurangnya 2 hingga 3 bulan.

Daripada catatan yang dibuat, kenalpasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan supaya lebih banyak duit gaji dapat digunakan untuk perbelanjaan keperluan yang lebih penting atau disimpan.

Selepas itu, bolehlah rangka bajet perbelanjaan sendiri untuk digunakan pada bulan-bulan seterusnya.

Dari tahun ke tahun, semak dan ubahsuailah bajet yang dibuat supaya sesuai dengan pendapatan dan komitmen semasa.

tips urus wang graduan mudaTips #3 – Jangan abaikan pinjaman pendidikan anda

Walaupun kadar faedah pinjaman pendidikan kebiasaannya rendah, lama-kelamaan jumlahnya semakin besar jika tidak dibayar langsung dan ini akan membebankan anda pada kemudian hari.

Jadi, apabila sudah ada pendapatan, hubungi pihak berkenaan dan selesaikan pinjaman pendidikan anda secepat meungkin.

Tidak perlu pun bayar semua sekaligus, bincanglah dengan pemiutang supaya dapat merangka pelan bayaran yang sesuai dengan anda.

Lagipun, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk menyelesaikan pinjaman pendidikan supaya pelajar-pelajar baru berpeluang pula untuk mendapatkan pinjaman bagi membiayai pendidikan mereka.

Tips #4 – Lindungi diri anda dengan insurans atau takaful

Beli insurans atau langgan takaful sementara anda masih muda dan risiko kesihatan masih murah, kerana kadar premium akan menjadi lebih murah.

Mulakan dengan pelan insurans atau takaful yang berpatutan, seperti insurans hayat atau kad kesihatan.

Lindungi risiko yang perlu sahaja dahulu; risiko terbesar bagi orang muda yang sihat adalah kemalangan, jadi cukup sekadar ambil perlindungan insurans takaful kemalangan terlebih dahulu.

Dari semasa ke semasa, boleh tambah lagi manfaat dan risiko yang dilindungi supaya nanti dapat mencapai perlindungan yang optimum berdasarkan keperluan kewangan sendiri.

Sebagai panduan, boleh baca artikel-artikel yang berikut:

Tips #5 – Bina skor kredit yang sihat

Skor kredit yang sihat adalah penting bagi meningkatkan kadar kelulusan pinjaman kewangan dan pada kadar faedah yang munasabah.

Untuk bina skor kredit yang sihat, boleh ikuti langkah-langkah yang berikut:

  • Mohon kad kredit bagi memulakan rekod kredit
  • Kawal perbelanjaan kad kredit tersebut pada perkara-perkara yang perlu sahaja seperti mengisi minyak dan membayar bil utiliti, jangan gunakan kad kredit jika tidak mampu membayar balik.
  • Bayar bil-bil pada masa yang ditetapkan, rekod pembayaran akan tertera di dalam rekod kredit

Dengan membina skor kredit yang sihat, bank-bank akan lebih yakin dengan anda dan ini akan memudahkan anda untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan untuk perkara-perkara yang lebih penting seperti membeli rumah dan hartanah.

Selain menggunakan kad kredit untuk membina skor kredit, boleh juga mohon pembiayaan ASB dan buat teknik financing ASB

Dengan teknik financing ASB, bukan sahaja dapat bina skor kredit yang sihat malah gandakan simpanan dengan lebih cepat.

Tips urus wang graduan muda – Perkara yang perlu anda lakukan dalam usia 20-an

Bak kata orang, apa yang dilakukan pada usia muda akan menentukan kedudukan anda pada usia tua.

Begitu juga dalam pengurusan kewangan peribadi.

Untuk memastikan kedudukan kewangan yang selesa pada usia tua kelak, pastikan untuk lakukan perkara-perkara yang berikut:

#1 – Pilih kerjaya anda dengan bijak

Cari peluang kerjaya yang stabil dan luangkan masa untuk belajar bagi meningkatkan nilai diri kepada syarikat.

Mungkin ada yang kata, sebagai graduan muda, amat sukar untuk mendapatkan kerjaya impian dengan gaji yang besar serta-merta selepas habis belajar.

Itu memang betul, sebab itulah graduan muda disarankan untuk mencari kerja secepat mungkin dan tidak memilih kerja.

Pada peringkat awal, timba pengetahuan dan pengalaman terlebih dahulu walaupun kerjaya yang diceburi masih belum merupakan kerjaya impian.

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang semakin bertambah, nilai diri akan meningkat dan ini akan membantu anda untuk mendapatkan kerjaya impian dengan mudah.

Selain daripada itu, graduan muda juga perlu berfikiran lebih kreatif dan terbuka, jangan hanya mengejar kerjaya makan gaji sahaja.

Graduan muda seharusnya cuba cipta peluang kerja sendiri dengan menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan.

Kalau betul-betul fokus dan bersungguh-sungguh, pasti perniagaan boleh berjaya.

Boleh baca artikel 4 Kuadran Sumber Pendapatan untuk lebih info berkaitan topik ini.

#2 – Mulakan dana kecemasan

Simpan sekurang-kurangnya 3 bulan perbelanjaan untuk situasi yang tidak dijangka.

Sangat disarankan untuk baca artikel ini: 3 Jenis Dana Kecemasan

#3 – Mulakan pelaburan anda

Jangan tunggu sehingga anda sudah berusia untuk mula melabur.

Semakin awal mulakan pelaburan, semakin banyak hasil yang akan terkumpul nanti hasil daripada compounding power.

Di Malaysia, ada banyak peluang pelaburan yang boleh diceburi untuk menggandakan simpanan.

Sebagai permulaan, boleh mulakan dengan pelaburan berisiko rendah seperti unit manah, deposit tetap atau insurans pelaburan.

Pada masa yang sama, tambah ilmu berkaitan setiap peluang pelaburan yang ada dan pilih yang paling terbaik untuk diri-sendiri.

Sebagai panduan, boleh baca artikel-artikel yang berikut:

#4 – Langsaikan hutang anda

Rancang pembayaran semula hutang anda dengan teliti seperti hutang pendidikan, kad kredit dan pinjaman peribadi supaya anda tiada lagi hutang apabila mencecah umur 30 tahun.

Apabila masuk umur 30 tahun, anda mungkin merancang untuk mengambil pembiayaan pinjaman perumahan pula untuk membeli rumah, jadi amat baik jika pada masa tersebut anda tidak terbeban dengan hutang-hutang lain.

Nanti, rancang juga supaya semua hutang anda dapat diselesaikan sebelum usia persaraan supaya dapat bersara dengan selesa.

Itulah sahaja tips urus wang graduan muda yang dikongsikan oleh pihak RinggitPlus, dengan sedikit ulasan daripada kami di Jom Urus Duit.

Diharapkan artikel kali ini memberi manfaat kepada anda.

Kalau rasa bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya.

Berikut merupakan infografik yang disediakan RinggitPlus:

tips urus wang graduan muda

..

Ebook Pengurusan Kewangan Peribadi Percuma

ebook pengurusan kewangan peribadi percumaDalam entri kali ini, saya ingin menyarankan beberapa buah ebook pengurusan kewangan peribadi percuma yang perlu dibaca bagi memudahkan anda belajar berkenaan topik pengurusan kewangan peribadi.

Ebook-ebook ini bukan ditulis oleh saya, maklumlah saya ini penulis blog sahaja, sebaliknya ditulis oleh mereka yang profesional dan berkelayakan dalam bidang kewangan.

Malah, ebook-ebook ini adalah diterbitkan oleh agensi-agensi kewangan yang berkaliber.

Nak tahu apakah ebook-ebook tersebut?

Teruskan bacaan anda.

Ebook pengurusan kewangan peribadi #1 – Celik Wang

ebook pengurusan kewangan peribadi percumaEbook Celik Wang diterbitkan oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dan merupakan terjemahan kepada ebook Money Sense, juga diterbitkan oleh AKPK.

Ebook ini sesuai untuk semua golongan umur dan boleh dikatakan ebook WAJIB BACA bagi mereka yang ingin mula belajar bagaimana caranya untuk menguruskan kewangan peribadi dengan lebih bijak.

Matlamat utama ebook Celik Wang adalah untuk mengajar para pembaca berkenaan cara mengurus wang secara bijaksana dengan menekankan kepada kepentingan mengawal perbelanjaan mengikut kemampuan dan seterusnya mencapai matlamat kewangan dengan mudah.

Ebook ini juga mengajar pembaca agar dapat mengawal prestasi kewangan sendiri semasa berhadapan situasi dan cabaran yang mendatang.

Untuk kandungan ebook Celik Wang, boleh lihat gambar di bawah:

ebook pengurusan kewangan peribadi

Boleh juga tonton video di bawah untuk lebih info berkenaan kandungan ebook Celik Wang ini:

Jika dilihat kepada isi kandungannya, ebook ini boleh dikatakan sebuah panduan yang lengkap untuk belajar tentang pengurusan kewangan peribadi.

Memang rugi kalau tak baca!

Ebook pengurusan kewangan peribadi #2 – P.O.W.E.R!

ebook pengurusan kewangan peribadi percumaEbook pengurusan kewangan peribadi kedua yang juga WAJIB DIBACA adalah ebook POWER!

Ebook POWER!, atau nama panjangnya, Pengurusan Wang Ringgit Anda, juga diterbitkan oleh pihak AKPK.

Ebook ini mengandungi modul yang digunakan dalam program pendidikan kewangan yang dianjurkan oleh AKPK untuk orang awam, juga dengan tajuk yang sama iaitu Program POWER!: Pengurusan Wang Ringgit Anda.

Terdapat 6 modul utama dalam ebook POWER!, iaitu:

  1. Pengurusan aliran tunai
  2. Asas meminjam
  3. Penggunaan kad kredit secara bijak
  4. Membeli kereta
  5. Membeli rumah
  6. Mengurus hutang anda

Berbeza dengan ebook Celik Wang, kandungan ebook POWER! adalah lebih ringkas, spesifik kepada topik yang dibincangkan dan yang lebih menarik, mempunyai soalan-soalan untuk menilai kefahaman pembaca.

Modul ebook POWER! dirangka dengan tujuan melengkapkan pembacanya dengan ilmu pengurusan kewangan asas yang kukuh supaya dapat membuat keputusan berkaitan kewangan sendiri dengan penuh yakin.

Ebook ini juga mengandungi latihan praktikal supaya dapat membantu pembacanya belajar cara menguruskan pendapatan, perbelanjaan dan hutang dengan lebih baik.

Kiranya, ebook POWER! melengkapkan lagi ebook Celik Wang.

Baca kedua-dua ebook ini, dan anda akan mempunyai lebih pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan kewangan anda dengan lebih baik.

Ebook pengurusan kewangan #3 – Buku Wang Saya

ebook pengurusan kewangan peribadi percumaEbook Buku Wang Saya adalah terjemahan daripada ebook My Money yang diterbitkan di bawah program MoneySENSE, sebuah program pendidikan kewangan nasional di Singapura.

Ya, Singapura.

Tetapi, oleh kerana topik pengurusan kewangan peribadi adalah topik yang universal, maka tidak ada masalah jika mengambil bahan pendidikan daripada negara lain, asalkan bahan tersebut adalah bermanfaat.

Lagipun, ebook ini adalah dalam bahasa Melayu, jadi memang mudah difahami.

Untuk kandungan ebook ini, boleh lihat gambar yang berikut:

ebook pengurusan kewangan peribadi percuma

Kandungan ebook ini ringkas sahaja, disusun dengan susunan yang teratur dan disertakan gambar-gambar yang menarik.

Ada juga tips-tips ringkas daripada pakar kewangan berkenaan setiap topik yang dibincangkan.

Memang best baca ebook ini.

Bagaimana nak dapatkan semua ebook hebat ini?

Semua ebook pengurusan kewangan peribadi ini diberikan secara PERCUMA sahaja.

Ya, PERCUMA!

Kalau anda berminat nak dapatkan semua ebook ini, cuma perlu masukkan nama dan alamat emel dalam ruangan di bawah:

Nama Anda
Alamat Emel

 


Nanti, saya akan hantar link untuk download setiap ebook dalam emel nanti.

Jangan lepaskan peluang ini, ya!

Cepat-cepat masukkan nama dan alamat emel ke dalam ruangan di atas.

Rugi kalau tak baca ebook-ebook di atas.

Bukan kena bayar pun, haa.

Jangan lupa share atau beritahu orang lain untuk turut dapatkan ebook-ebook ini.