Pengurusan Kewangan

5 Salah Faham Urus Duit Yang Mesti Diperbetulkan

salah faham urus duitSetelah lama tak update blog ini, tiba-tiba rasa nak ‘membebel’ tentang topik salah faham urus duit yang masih berakar di kalangan minda masyarakat kita sekarang.

Akibat beberapa salah faham ini, menyebabkan masih ramai yang malas mengambil inisiatif untuk mula menguruskan duit dan kewangan mereka dengan baik.

Akibatnya, kedudukan kewangan mereka sendiri menjadi lemah, pelbagai masalah kewangan juga turut menimpa.

Apabila ini berlaku, mereka mula menyalahkan pihak lain; kerajaan, majikan, peniaga, pelabur, keluarga, rakan, serta mendakwa pihak-pihak inilah yang bertanggungjawab atas kegagalan mereka mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing.

Walhal, kalau mereka perbetulkan kefahaman, dan mula bertindak untuk mengurus kewangan sendiri dengan lebih baik, insyaAllah, mereka tidak akan mengalami masalah kewangan yang teruk.

Jom kita lihat satu per satu salah faham urus duit yang sering berlaku:

Salah faham urus duit #1 – “Gaji tinggi, hidup selesa”

Itulah yang ditanam dalam minda masyarakat kita, sejak daripada kecil lagi.

Kononnya jika dapat jumlah pendapatan yang tinggi, mesti dapat hidup dengan selesa.

Dapat beli apa sahaja, penuhi apa sahaja yang diingini.

Hakikatnya tidak begitu.

Jumlah gaji atau pendapatan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu bebas daripada sebarang masalah kewangan.

Mesti anda semua pernah dengar dengan pepatah “Semakin besar periuk, semakin besar keraknya”, bukan?

Dari konteks pengurusan kewangan peribadi, pepatah ini memberi gambaran tabiat kebanyakan orang yang suka menambah perbelanjaan apabila pendapatan bertambah.

Pantang gaji naik sedikit, terus mengidamkan kereta yang lebih mahal.

Dapat bonus, dihabiskan kepada shopping membeli pakaian-pakaian mahal dan barang-barang bukan keperluan.

Akibatnya, walau gaji bertambah besar, namun kehidupan masih tetap sama dibelenggu masalah kewangan.

Sebenarnya, apa yang penting bukanlah gaji yang tinggi, tetapi, ilmu pengurusan kewangan yang betul dan sikap sendiri terhadap wang yang dimiliki.

Apabila gaji bertambah, usahlah berasa terlalu teruja dan gelap mata.

Sepatutnya, sebahagian daripada gaji yang bertambah itu hendaklah ditambah kepada tabung simpanan, bukannya semua dihabiskan kepada perbelanjaan.

Setiap kali berbelanja, kena selalu bezakan antara keperluan dan kehendak.

Sentiasa buat perancangan dan bajet, dan patuh kepada bajet tersebut.

Berbelanja ikut kemampuan sendiri, dan sentiasa tanamkan rasa cukup dan syukur dengan rezeki yang diperoleh.

InsyaAllah, dengan sentiasa amalkan perkara-perkara ini, walau sebesar atau sekecil mana pun gaji yang diperoleh, kita akan sentiasa mendapat hidup yang selesa, tenang dan bebas daripada belenggu masalah kewangan.

Salah faham urus duit #2 – “Simpan duit apabila ada duit lebih sahaja”

salah faham urus duit“Dapat gaji, bolehlah beli itu-ini. Makan di sana-sini. Puaskan dulu kehendak diri. Kalau ada duit lebih, barulah simpan.”

“Penat-penat kerja, dapat gaji, mestilah nak belanja untuk kepuasan diri-sendiri dulu. Buat apa nak simpan duit.”

Masih ramai sebenarnya yang berpegang dengan kata-kata di atas.

Namun akibatnya, mereka masih gagal menyimpan.

Sudah tentulah, sebab nak harapkan ada duit lebih terlebih dahulu baru nak menyimpan, memang susah.

Duit, kalau dah mula dibelanjakan, memang susah nak berhenti.

Memang susah nak biarkan ada baki untuk disimpan.

Jadi, cara nak atasi masalah ini, kenalah tukar mindset.

Simpan dulu sebelum berbelanja.

Apabila dapat gaji, simpan dulu sebahagiannya, lupakan, dan yang selebihnya barulah dibelanjakan.

Kalau rasa susah nak mula menyimpan, boleh baca perkongsian ini: 5 Cara Simpan Duit

Prinsip penting dalam menyimpan; sanggup berkorban kesenangan hari ini untuk kesenangan hari esok.

Contohnya, yang bergaji RM 3,000 sebulan, disarankan untuk simpan terlebih dahulu dalam jumlah minimum RM 300.

Bayangkan, dengan RM 300, macam-macam perkara juga boleh dibeli untuk memenuhi kehendak yang membuak-buak.

Tetapi, demi membina tabung simpanan dan mengejar matlamat kewangan yang diingini, sanggup dikorbankan keseronokan membelanjakan duit tersebut demi disimpan ke dalam tabungan.

Jika konsisten, hasil tabungan nanti akan memberikan kesenangan pada masa hadapan.

Salah faham urus duit #3 – “Gaji sikit, susah nak menyimpan”

Ramai juga yang memberikan alasan pendapatan yang kecil menjadi penghalang untuk menyimpan secara konsisten.

Ya, tidak dinafikan, dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi sekarang, memang agak sukar bagi mereka yang berpendapatan kecil untuk menyimpan.

Tetapi, kalau boleh, janganlah sentiasa jadikan perkara ini sebagai alasan untuk tidak menyimpan.

Mulakan menyimpan dengan jumlah yang kecil dahulu, pastikan konsisten setiap bulan.

Ini penting untuk memupuk tabiat menabung terlebih dahulu.

Nanti apabila pendapatan semakin bertambah, akan lebih mudah dan seronok untuk menyimpan kerana telah terdidik pada ‘waktu susah’ dulu.

Pada masa sama, disarankan juga setiap kali mendapat duit tambahan seperti bonus, hadiah atau pun bantuan seperti bantuan BR1M, lebih baik duit tersebut disimpan jika tiada apa-apa keperluan mendesak pada waktu tersebut.

Ingatlah pepatah lama, “Sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit”

Salah faham urus duit #4 – “Jimat-cermat pada waktu gawat sahaja”

salah faham urus duit“Waktu senang, bolehlah berbelanja lebih. Waktu susah, pandai-pandailah berjimat-cermat”

Mesti anda pun pernah dengar orang luahkan kata-kata di atas, bukan?

Masa banyak duit, bukan main seronok lagi berbelanja.

Apabila duit dah tinggal sedikit, barulah mula nak berjimat-cermat.

Hakikatnya, bukan begini yang sepatutnya diamalkan.

Perbelanjaan hendaklah dikawal bukan sahaja pada setiap masa, tak kira pada waktu senang, dan lebih-lebih lagi pada waktu susah.

Utamakan perbelanjaan-perbelanjaan keperluan berbanding kehendak, sentiasa ikut bajet yang dibuat dan kemampuan kewangan sendiri.

Kunci utamanya adalah bersederhana; jangan terlalu boros, dan jangan pula terlalu kedekut sehingga menyusahkan diri.

Ambillah iktibar daripada pengajaran surah Yusuf.

Dalam surah ini, diajarkan supaya berjimat-cermat dan banyakkan menyimpan pada waktu senang, supaya nanti apabila tiba waktu gawat, hasil simpanan tersebut dapat digunakan untuk menempuh waktu sukar tersebut.

Begitulah yang sepatutnya kita amalkan dalam pengurusan kewangan peribadi sendiri.

Salah faham urus duit #5 – “Duit banyak-banyak, bukan boleh bawa masuk kubur”

Kata-kata di atas sering dilemparkan sebagai sindiran kepada golongan yang pandai urus duit.

Kononnya, sia-sia sahaja menguruskan duit dengan baik, simpan duit banyak-banyak, sebab tak boleh di bawa mati pun.

Ya, memang betul, duit yang banyak memang tidak boleh di bawa masuk kubur.

Tetapi, dengan duit yang banyaklah, dapat membantu untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di alam sana.

Bagaimana?

Bukankah dengan duit yang banyak, akan membantu kita untuk menunaikan zakat, sedekah dan wakaf dengan lebih mudah?

Apabila kita bijak menguruskan kewangan, sudah tentu kita tidak akan meminggirkan amalan mengeluarkan zakat.

Sebahagian duit juga boleh disedekahkan secara konsisten kepada mereka yang memerlukan.

Apabila meninggal dunia, bukan sahaja boleh diwasiatkan harta kepada waris, malah boleh diwakafkan juga.

Boleh ambil iktibar daripada kisah harta wakaf sahabat Nabi s.a.w. di sini: Kisah Harta Wakaf Saidina Uthman ibn Affan

Zakat, sedekah, wakaf; insyaAllah semua ini jika dilakukan dengan ikhlas, akan menjadi ‘pelaburan’ yang berterusan memberikan hasil.

Semua ini boleh dicapai dengan pengurusan kewangan yang baik.

Penutup

Itulah sahaja beberapa salah faham urus duit yang masih membelenggu minda kebanyakan orang.

Harap-harap, dapatlah diperbetulkan mindset yang salah tersebut.

Dan sama-samalah kita memperbetulkan pengurusan kewangan sendiri ke arah lebih baik.

Sampai di sini sahaja, harap mendapat manfaat daripada perkongsian kali ini.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya. Terima kasih.

salah faham urus duit

..

Inspirasi Kisah Kejayaan Syafieqah Alya

kisah kejayaan syafieqah alyaKali ini saya ingin berkongsi tentang kisah seorang gadis muda yang diberi nama Syafieqah Alya yang boleh dikatakan berjaya menguruskan kewangan beliau dengan baik sehingga berjaya mencapai impian kewangan beliau.

Pada usia yang muda, beliau berjaya memiliki 2 buah kereta, 3 buah hartanah serta tabung simpanan dan pelaburan yang kukuh.

Semua ini dicapai bukan melalui skim cepat kaya, menipu orang lain atau menyertai perniagaan MLM, tetapi lebih kepada pengurusan kewangan beliau yang baik.

Kalau anda masih belum mengenali beliau, boleh follow Facebook Syafieqah Alya di sini: https://www.facebook.com/syafieqah.cyka

Beliau banyak berkongsi tips pengurusan kewangan di FB beliau, jadi rugi kalau tak follow beliau.

Malah, perkongsian beliau juga banyak dikongiskan di laman-laman web terkenal.

Boleh baca antara perkongsian-perkongsian beliau di sini:

Plan kewangan 2017

Cara capai simpanan minimum RM 10,000

Tertib dalam kewangan

Cara kumpul duit kahwin dan beli rumah

Nak tahu tak macam mana Syafieqah Alya berjaya mencapai impian kewangan beliau?

Jom kita lihat kisah beliau di dalam video ini, yang pernah disiarkan dalam rancangan Ringgit Sense di TV3 pada 18 September lalu:

Boleh juga baca kisah tentang kejayaan Syafieqah Alya menerusi perkongsian-perkongsian yang berikut:

Sinar Harian: Gadis miliki tiga hartanah di usia muda

The Malay Mail Online: Gadis muda kumpul aset jutaan ringgit

The Vocket: Gadis bergaji kecil bergelar jutawan hartanah

Antara perkara-perkara penting yang dapat dipelajari daripada kisah kejayaan Syafieqah Alya adalah:

  • Tetapkan impian kewangan sejak dari mula. Rangka pelan untuk capai impian yang dikehendaki.
  • Gaji rendah bukan penghalang mencapai impian kewangan yang diimpikan. Yang penting, rajin berusaha dan bijak mengurus kewangan.
  • Mula dapatkan pendapatan seawal mungkin, Masa tengah belajar pun boleh kalau tahu cara yang betul.
  • Kalau rasa gaji daripada satu sumber tidak mencukupi, tambah cabang sumber pendapatan. Boleh buat kerja lebih masa, cari kerja sampingan, buat perniagaan kecil-kecilan.
  • Manfaatkan masa dengan lakukan aktiviti-aktiviti berfaedah yang boleh menambah pendapatan.
  • Pada peringkat awal, simpan sebanyak mungkin pendapatan yang diperoleh. Nanti senang untuk langkah seterusnya.
  • Boleh gunakan teknik paksaan untuk tanamkan disiplin menyimpan. Antara caranya, guna teknik financing ASB untuk paksa diri menyimpan dengan tetap.
  • Simpan duit di tempat yang memberikan pulangan yang baik. Antara tempat simpan duit terbaik adalah Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB)
  • Ambil perlindungan insurans takaful dan pastikan dana kecemasan adalah mencukupi sebelum mulakan pelaburan.
  • Berjimat-cermat apabila berbelanja. Ikut kemampuan sendiri, jangan terikut-ikut dengan gaya hidup orang lain.

So, macam mana?

Rasa terinspirasi dengan kisah kejayaan gadis muda ini?

Semoga kisah gadis muda ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk mencapai impian kewangan masing-masing.

Itu sahaja untuk perkongsian kali ini.

Jumpa lagi!

p/s: Kalau rasa perkongsian kali ini bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan di laman sosial anda ya! Terima kasih.

kisah kejayaan syafieqah alya

kisah kejayaan syafieqah alya

..

6 Nasihat Kewangan Untuk Kejayaan

nasihat kewanganSelepas lebih seminggu saya tak update blog ini, hari ini saya terasa untuk berkongsi sedikit nasihat kewangan yang pernah saya pelajari untuk dijadikan panduan kita bersama.

Nasihat kewangan #1 – Semua orang kena ada impian yang besar

Apa impian kewangan anda?

Kalau masih belum ada, jom cipta impian sekarang.

Pastikan impian yang besar tapi realistik, contohnya nak capai tahap kebebasan kewangan yang mana dah berjaya jana pendapatan pasif yang banyak sehingga mampu menampung perbelanjaan-perbelanjaan sedia ada.

Pada masa sama, nak mendiami rumah yang besar dan selesa, memandu kereta yang elok, memiliki aset-aset pelaburan yang menjana keuntungan dan juga ada simpanan yang banyak.

Juga boleh berbelanja ke arah perkara-perkara yang disukai seperti melancong dan mengembara tanpa perlu fikirkan tentang masalah duit.

Boleh selalu pergi makan di restoran-restoran dengan makanan-makanan yang enak.

Dari segi kewangan keluarga pula, berimpian untuk memberikan nafkah secukupnya kepada isteri, menyumbang wang untuk membantu ibu bapa serta keluarga di kampung dan menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Bak kata orang, tak salah untuk memiliki impian.

Begitu juga dengan impian-impian kewangan seperti di atas.

Mempunyai impian yang besar dan realistik akan menjadi pendorong bagi kita mencapai kejayaan.

The big why factor.

Nasihat kewangan #2 – Tetapkan matlamat, buat sampai jadi

Selepas dah set impian kewangan, tulis impian tersebut dalam buku atau sehelai kertas, kemudian tampal di tempat-tempat yang selalu dilihat seperti pada cermin meja solek atau dekat pintu.

Apabila hari-hari tengok impian kewangan sendiri, mesti rasa terdorong untuk capai impian tersebut.

Jadi sekarang, kena tetapkan pula matlamat kewangan dan rancang pelan kewangan untuk merealisasikan impian.

Daripada impian kewangan yang diimpikan, sekarang pecahkan kepada matlamat-matlamat kewangan seperti bina dana kecemasan, tabung pelaburan, tabung  persaraan, dana pendidikan anak-anak dan dana infaq (sedekah dan wakaf).

Tetapkan jumlah dan masa yang spesifik.

Sebagai contoh, nak simpan dana kecemasan sebanyak RM 20,000 dalam masa dua tahun.

Atau nak miliki dua buah rumah yang disewakan sebagai aset pelaburan dalam masa tiga tahun.

Contoh lain, nak ada tabung persaraan sebanyak RM 2 juta dalam masa 25 tahun.

Selepas tetapkan matlamat, rancang pula pelan kewangan untuk capai matlamat tersebut.

Mungkin boleh mula dengan menstrukturkan bajet kewangan bulanan supaya aliran tunai positif

Boleh juga tambah sumber pendapatan untuk memperbanyakkan lagi simpanan.

Pada masa sama, buat pelaburan unit amanah, sasarkan pulangan pelaburan terkompoun 8% ke 10% setiap tahun.

Kalau ada modal lebih, boleh beli rumah dan hartanah komersial untuk disewakan dan dijual apabila harga sesuai.

Tambah ilmu supaya boleh mula melabur dalam pelaburan saham dengan membeli saham syarikat-syarikat berpotensi tinggi.

Semua ini adalah contoh pelan kewangan untuk mencapai matlamat dan impian kewangan yang dikehendaki.

Pastikan anda tulis setiap perancangan yang dibuat, dan laksanakan betul-betul sampai mencapai matlamatnya.

Kalau tak pandai nak rancang pelan kewangan, boleh dapatkan bantuan daripada perunding kewangan yang berpengalaman.

Nasihat kewangan #3 – Berdisiplin dalam membuat simpanan

nasihat kewanganTanpa simpanan, anda tak akan dapat mencapai apa-apa pun impian atau matlamat kewangan.

Kalau sekarang anda masih belum dapat menyimpan, mulakan sekarang.

Mula dulu sikit-sikit, konsisten dan berdisiplin dengan simpanan yang dibuat, lama-lama apabila dah terbiasa, tambahkan lagi.

Bagi yang dah biasa menyimpan, perbanyakkan lagi simpanan.

Lagi banyak menyimpan, lagi cepat dan mudah nak capai matlamat kewangan.

Mula-mula, simpanlah untuk bina dana kecemasan terlebih dahulu.

Simpanlah di tempat simpan duit terbaik, sama ada Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Apabila dana kecemasan dah cukup, mula menyimpan untuk tabung modal pelaburan.

Duit simpanan kalau dibiarkan sahaja boleh jadi rugi juga disebabkan oleh inflasi.

Jadi, kenalah buat pelaburan.

Nanti apabila modal simpanan dah cukup, boleh pilih peluang pelaburan terbaik yang memenuhi keperluan sendiri untuk percepatkan lagi pelan mencapai matlamat dan impian kewangan.

Nasihat kewangan #4 – Kawal emosi dan nafsu berbelanja

Salah satu sebab utama ramai orang gagal menyimpan duit dan mencapai matlamat kewangan yang diingini adalah disebabkan gagal mengawal nafsu berbelanja.

Nampak sahaja barang mewah yang diingini, terus keluarkan duit dan beli tanpa membuat kira-kira terlebih dahulu.

Pantang kawan ajak makan di restoran mahal, laju sahaja pergi tanpa mengambil kira baki duit yang masih ada.

Akibatnya, perbelanjaan melebihi pendapatan menyebabkan tiada simpanan dapat dilakukan.

Ini semua angkara tidak dapat mengawal emosi dan nafsu berbelanja.

Terlalu terikut-ikut gaya kehidupan mewah walaupun sebenarnya diri-sendiri tak berkemampuan pun.

Oleh itu, kenalah kawal emosi apabila berbelanja.

Bezakan mana satu keperluan, mana satu kehendak.

Buat kira-kira sebelum mendapatkan sesuatu barang yang diingini, nilaikan kemampuan kewangan sendiri.

Buat keputusan yang bijak semasa membuat perbelanjaan, ini akan membantu anda membina asas kewangan yang kukuh untuk mencapai matlamat dan impian kewangan yang diingini.

Nasihat kewangan #5 – Pelbagaikan sumber pendapatan

nasihat kewanganPendapatan yang diperolehi sekarang dirasakan tidak mencukupi?

Jangan mengeluh atau salahkan orang lain, sebaliknya cuba pelbagaikan lagi sumber pendapatan.

Ingat, terdapat empat kuadran sumber pendapatan yang boleh diteroka.

Kalau sekarang sumber pendapatan utama adalah daripada kerja makan gaji, cuba pelbagaikan dengan membuat perniagaan kecil-kecilan.

Paling mudah, boleh buat bisnes online.

Macam yang dikata dalam iklan televisyen, kita sekarang berada di era konvergens.

Dunia tanpa sempadan, teknologi di hujung jari.

Jadi, memang mudah nak buat bisnes online; boleh buat bisnes online di Facebook, buat duit dengan affiliate atau bisnes ebay.

Bagi mereka yang dah berniaga kecil-kecilan pula, usaha lebih lagi untuk kembangkan perniagaan sedia ada.

Bangunkan sistem yang sesuai untuk perniagaan anda supaya boleh menjana lebih keuntungan di samping membolehkan anda lebih relaks.

Tidaklah anda buat banyak kerja sepanjang masa, sebaliknya agih-agihkan kerja kepada staf-staf lain dan gunakan teknologi untuk automasikan perniagaan anda.

Jadi, anda tak perlu ada setiap masa bekerja untuk perniagaan anda.

Hasil daripada perniagaan, jangan pula dibelanjakan sesuka hati, sebaliknya utamakan untuk beli aset dan buat pelaburan.

Aset dan pelaburan juga boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kita.

Nasihat kewangan #6 – Jangan lupa zakat, sedekah dan cukai

Mesti selalu ingat kata-kata ini, “Sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh dan aset yang dimiliki, ada hak orang lain ke atasnya”

Bagaimana nak tunaikan hak orang lain tersebut?

Kenalah keluarkan zakat, banyakkan sedekah dan bayar cukai.

Barulah berkat pendapatan yang diperoleh dan aset yang dimiliki.

Jangan takut duit kita berkurang, sebaliknya yakinlah bahawa nanti akan dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda.

Itulah sahaja serba sedikit nasihat kewangan yang saya nak kongsikan kali ini.

Bukan nak tunjuk pandai, saya sendiri pun banyak yang tak terlaksana lagi.

Cuma sebagai peringatan dan pesanan untuk kejayaan masa depan.

Eh, macam beri tazkirah pula.

Baiklah, sampai di sini sahaja, jumpa lagi di artikel lain.

p/s: Kalau rasa nasihat-nasihat di atas menikam kalbu, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya!

nasihat kewangan

..