Kisah Harta Wakaf Saidina Uthman ibn Affan

harta wakaf saidina uthman ibn affanUntuk artikel kali ini, sempena mengambil semangat bulan Ramadan pada ketika ini, saya nak berkongsi kisah berkenaan Saidina Uthman ibn Affan, salah seorang sahabat Nabi Muhammad dan juga Khulafa al-Rasyidin.

Bukan nak bercerita berkenaan kisah hidup atau riwayat beliau, sebaliknya saya ingin berkongsi tentang salah satu sifat beliau yang patut dicontohi umat Islam masa kini, iaitu sifat dermawan beliau yang banyak bersedekah dan mewakafkan hartanya.

Tahukah anda, terdapat satu akaun bank yang diwujudkan atas nama Saidina Uthman ibn Affan di sebuah bank di Arab Saudi, yang mana akaun tersebut masih lagi aktif sehingga kini dan jumlah duitnya masih bertambah dari hari ke hari.

Ya, akaun tersebut memang milik Saidina Uthman ibn Affan dan diwujudkan bagi menyimpan hasil daripada sedekah dan wakaf yang beliau lakukan dulu.

Malah, telah dibina sebuah hotel di kawasan strategik di kota Madinah yang mana hotel tersebut adalah atas nama Saidina Uthman ibn Affan; kiranya hotel tersebut adalah milik beliau.

Jom kita baca kisah dan sifat dermawan beliau yang membolehkan hasilnya terus subur sehingga kini.

Baca juga:  Kadar Zakat Fitrah 2017 Bagi Setiap Negeri Di Malaysia

Diriwayatkan, selepas pihak Muhajirin berhijrah ke Madinah, kota Madinah mengalami musim kemarau yang menyebabkan penduduk Madinah dan pihak Muhajirin mengalami masalah mendapatkan bekalan air bersih.

Salah satu punca bekalan air yang masih ada adalah daripada Telaga Rummah, tetapi telaga tersebut dimiliki oleh orang Yahudi.

Untuk mendapatkan bekalan air daripada telaga tersebut, para Sahabat dikenakan caj bayaran yang tinggi oleh pemilik telaga dan keadaan ini menambahkan lagi masalah yang sedang dihadapi.

Prihatin dengan masalah yang berlaku, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Wahai Sahabatku! Sesiapa sahaja di antara kamu yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan telaga itu, lalu mendermakannya untuk umat, maka akan mendapat Syurga Allah” (HR Muslim)

Apabila perkara ini diketahui Saidina Uthman, beliau dengan segera bertindak untuk mendapatkan telaga tersebut bagi mendapat ganjaran yang dijanjikan Nabi Muhammad, iaitu syurga Allah.

Maka, Saidina Uthman berjumpa pemilik telaga tersebut dan menyatakan hasrat untuk membelinya dengan membuat tawaran harga yang tinggi, tetapi ditolak oleh pemilik telaga kerana bimbang sumber pendapatannya akan terjejas.

Setelah ditolak, Saidina Uthman kemudiannya menawarkan untuk membeli separuh pemilikan ke atas telaga tersebut.

Beranggapan bahawa dia akan mendapat lebih keuntungan jika berkongsi telaga dengan Saidina Uthman, maka pemilik Yahudi tersebut bersetuju untuk menjual separuh pemilikan telaga kepada Saidina Uthman.

Kedua-duanya bersetuju akan bergilir-gilir ‘memiliki’ telaga tersebut secara berselang hari; hari ini milik Saidina Uthman, esok milik si Yahudi, hari seterusnya milik Saidina Uthman dan berterusan secara bergilir-gilir.

harta wakaf saidina uthman ibn affanMaka, Saidina Uthman mengumumkan kepada semua penduduk bahawa beliau telah mewakafkan telaga tersebut dan semua orang boleh mengambil air secara percuma pada hari-hari miliknya, dan menasihati penduduk agar mengambil bekalan supaya cukup 2 hari sehingga ke hari gilirannya semula.

Akibatnya, pada hari giliran telaga tersebut milik si Yahudi, tiada orang yang datang mengambil air kerana penduduk boleh mendapatkan air tersebut secara percuma pada hari milikan Saidina Uthman.

Ternyata, sangkaan si Yahudi yang beranggapan bahawa dia bijak dan akan mendapat untung lebih adalah silap sama sekali, walhal Saidina Uthman ternyata lebih bijak.

Oleh kerana tidak dapat lagi menjana pendapatan daripada telaga tersebut, maka si Yahudi menjual keseluruhan pemilikan telaga tersebut kepada Saidina Uthman.

Selepas menjadi milik penuh beliau, Saidina Uthman terus mengumumkan bahawa beliau mewakafkan telaga tersebut dan semua penduduk, tanpa mengira bangsa dan agama, boleh mendapatkan bekalan air daripada telaga tersebut secara percuma.

Maka, telaga tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua orang dan sehingga kini, masih mengeluarkan hasilnya dan tidak kering.

Beberapa tahun berlalu, dengan izin Allah, disebabkan limpahan air daripada telaga tersebut, kawasan di sekitarnya menjadi sangat subur.

Di sekitar telaga tersebut, tumbuhlah pokok-pokok kurma yang hidup subur dan menghasilkan buah kurma yang berkualiti tinggi.

Pokok-pokok kurma tersebut terus membiak dengan subur dan dipelihara oleh kerajaan-kerajaan yang memerintah sehinggalah sekarang.

Hasil jualan dan keuntungan daripada kurma-kurma tersebut sebahagiannya diinfaqkan kepada orang miskin dan anak-anak yatim, dan sebahagian lagi disimpan dalam akaun bank yang diwujudkan atas nama Saidina Uthman ibn Affan.

Pihak kerajaan Saudi juga menggunakan wang simpanan daripada akaun tersebut untuk membeli tanah berhampiran masjid Nabawi dan membina sebuah hotel di Madinah; tanah dan hotel tersebut adalah atas nama Saidina Uthman dan diwakafkan.

Hasil daripada hotel itu juga diinfaqkan untuk orang miskin dan anak-anak yatim.

Dan sudah semestinya, pahala daripada infaq dan wakaf yang dilakukan ini akan berterusan mengalir kepada Saidina Uthman.

Baca juga:  Kadar Zakat Fitrah Tahun 1437H 2016M

harta wakaf saidina uthman ibn affanItulah dia cerita bagaimana akaun bank dan harta Saidina Uthman masih kekal wujud dan berkembang sehingga kini, semuanya adalah hasil sedekah dan wakaf yang beliau lakukan.

Benarlah, bahawa sedekah dan wakaf adalah ‘pelaburan’ yang paling menguntungkan dan tidak akan rugi, malah akan semakin subur dan bertambah hasilnya; jika tidak di dunia, maka di akhirat nanti akan peroleh hasilnya.

Maka, mengambil iktibar daripada kisah Saidina Uthman ibn Affan ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan sedekah dan wakaf.

Jika tidak mampu dengan jumlah yang besar, mulakan dulu dengan apa yang ada dan mampu.

Pada masa sama, sentiasa berusaha untuk menambah baik pengurusan kewangan peribadi agar nanti mampu mengeluarkan sedekah dan wakaf dalam jumlah yang besar pula.

Itulah azam yang patut ditanam dalam diri setiap Muslim; menjadi seorang yang kaya supaya dapat mengeluarkan zakat, sedekah, infaq dan wakaf dalam jumlah yang besar.

Sekian, selamat berpuasa.

Baca juga:  Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2016 Untuk e-Filing 2017

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini