Tahukah anda bahawa bermula 01 Julai 2017, liberalisasi insurans takaful kenderaan untuk semua jenis kenderaan telah dilaksanakan sepenuhnya?
Tak tahu? Tak pernah dengar?
Jadi, anda patut teruskan membaca artikel ini lebih-lebih lagi kalau anda mempunyai kenderaan bermotor sendiri seperti moltosikal dan kereta.
Sebabnya, semua orang yang mempunyai kenderaan bermotor akan terkesan dengan perubahan akibat proses liberalisasi ini.
Sudah semestinya, sebab setiap tahun pemilik kenderaan bermotor perlu memperbaharui cukai jalan (road tax) dan juga insurans takaful kenderaan yang diambil.
Jadi, perlulah tahu apa kesan liberalisasi ini ke atas anda.
Situasi sebelum liberalisasi insurans takaful kenderaan
Sebelum kita pergi lebih lanjut, kita lihat dahulu situasi yang berlaku sebelum liberalisasi insurans takaful kenderaan.
Sebelum liberalisasi dilaksanakan, kadar harga insurans takaful kenderaan adalah berdasarkan Tarif Motor yang dikawal dan ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM); syarikat insurans dan pengendali takaful perlu mematuhi tarif yang ditetapkan.
Kadar harga ini pula bergantung kepada 2 faktor utama iaitu model kereta dan nilai perlindungan (kebiasaannya ditentukan oleh harga pasaran semasa kenderaan)
Selain 2 faktor utama ini, faktor-faktor lain juga turut diambil kira oleh syarikat insurans dan pengendali takaful dalam menetapkan kadar harga insurans takaful motor seperti kadar Diskaun Tanpa Tuntutan (Non Claimed Discount, NCD) yang layak, umur pemandu, jumlah kemalangan pernah dialami, usia kenderaan dan perlindungan-perlindungan tambahan lain.
Sebagai contoh, bagi kereta Perodua MyVi SE 2011 dengan nilai pasaran RM 26,000, NCD 55% dan tanpa sebarang perlindungan tambahan, anggaran kadar harga takaful motor bagi tahun 2017 yang ditetapkan adalah sekitar RM 450
Jadi, tak kira anda ambil dengan pengendali takaful yang mana pun, kadar harga yang akan diberikan adalah hampir sama kerana kadar ini ditetapkan dan dikawal oleh BNM.
Masalah dengan sistem sedia ada
Kenapa liberalisasi insurans takaful kenderaan perlu dilakukan?
Apa masalah dengan sistem sedia ada?
Ada 2 masalah utama dengan sistem sedia ada.
Masalah #1 – Kos terlalu tinggi
Oleh kerana harga ditetapkan dan dikawal oleh BNM, maka syarikat insurans dan pengendali takaful terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi; mereka perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membayar tuntutan yang dibuat berbandinng jumlah bayaran yang diterima.
Sebagai contoh, bagi setiap RM 1 bayaran yang diterima, pihak syarikat insurans dan pengendali takaful membayar sebanyak RM 1.30 sehingga RM 3.00
Nak lebih faham, seolah-olah menjual nasi lemak yang berkos RM 2 pada harga RM 1.
Sudah semestinya merugikan penjual!
Jadi, sistem baru perlu diwujudkan agar syarikat insurans dan pengendali takaful kekal mapan dan boleh meneruskan perkhidmatan kepada pengguna.
Masalah #2 – Tidak adil
Sistem sedia ada adalah tidak adil kerana hanya mengambil kira 2 faktor utama sepertimana yang saya nyatakan di atas tanpa mengambil kira faktor-faktor atau risiko-risiko lain.
Sebagai contoh, katakanlah Abu dan Johan mempunyai kenderaan yang sama jenis dan usia, maka kadar harga insurans takaful motor yang dibayar setiap tahun sudah semestinya sama.
Tetapi, Abu merupakan seorang pemandu yang cermat dan berhati-hati, manakala Johan pula seorang yang suka memandu secara berbahaya.
Maka, Johan lebih kerap mengalami kemalangan berbanding Abu, dan sudah semestinya lebih kerap membuat tuntutan insurans takaful.
Situasi ini adalah tidak adil, kerana walaupun Johan lebih kerap membuat tuntutan dan mendapat lebih ‘pulangan’ daripada insurans takaful yang diambil, namun kadar bayaran yang dikenakan masih sama seperti yang dikenakan ke atas Abu yang kurang mengalami kemalangan dan membuat tuntutan.
Walaupun ada NCD, namun sistem sedia ada masih tidak adil kerana NCD hanya mengambil kira sama ada pernah membuat tuntutan atau tidak, tanpa mengambil kira berapa kekerapan membuat tuntutan.
Contohnya, Abu mengalami sekali sahaja kemalangan dalam setahun dan membuat tuntutan, manakala Johan mengalami lebih dari sekali kemalangan dan membuat tuntutan, tetapi kedua-duanya akan dibatalkan NCD dengan kaedah yang sama.
Maka, liberalisasi insurans takaful kenderaan perlu dilakukan supaya kadar harga insurans takaful motor dapat ditentukan berdasarkan faktor risiko yang wujud supaya lebih adil kepada pengguna.
Situasi selepas liberalisasi insurans takaful kenderaan
Sebenarnya, liberalisasi insurans takaful kenderaan telah pun bermula pada 01 Julai 2016 pada fasa pertama.
Pada fasa pertama ini, syarikat insurans dan pengendali takaful hanya diberikan kebebasan untuk menawarkan produk baharu dan perlindungan tambahan kenderaan yang tidak disenaraikan dalam tarif ketika itu.
Kadar harga masih lagi perlu mengikut kadar yang ditetapkan oleh BNM.
Tetapi, apabila liberalisasi dilaksanakan sepenuhnya bermula 01 Julai 2017, kadar harga insurans takaful motor akan ‘dilepaskan’ kepada pasaran terbuka.
Maksudnya, syarikat insurans dan pengendali takaful diberi kebebasan untuk menentukan sendiri kadar harga insurans takaful motor mereka berdasarkan faktor-faktor risiko tertentu.
Antara faktor-faktor risiko yang akan diambil kira termasuklah:
Faktor #1 – Umur pemandu
Pemandu muda mungkin akan dikenakan kadar harga yang lebih tinggi berbanding pemandu berusia.
Maklumlah, orang muda biasanya suka memandu secara melulu dan berbahaya berbanding pemandu berusia, jadi sudah tentu risiko mereka lebih tinggi.
Faktor #2 – Jantina pemandu
Kadar harga yang dikenakan ke atas pemandu lelaki berkemungkinan lebih tinggi berbanding pemandu wanita.
Faktor #3 – Pekerjaan dan tahap pendidikan
Kadar harga yang berbeza akan dikenakan berdasarkan kelas pekerjaan dan tahap pendidikan.
Faktor #4 – Model dan jenis kereta
Kereta jenis mewah dan premium berkemungkinan akan dikenakan kadar harga yang lebih tinggi.
Faktor #5 – Sejarah tuntutan
Jika ada sejarah tuntutan ke atas insurans takaful motor dibuat sebelum ini, berkemungkinan kadar harga untuk memperbaharui insurans takaful motor tersebut akan lebih tinggi.
Faktor #6 – Kegunaan dan penggunaan kenderaan
Syarikat insurans dan pengendali takaful mungkin akan melihat tujuan kegunaan dan cara penggunaan kenderaan untuk menentukan kadar harga insurans takaful motor.
Contohnya, kenderaan yang digunakan untuk tujuan penghantaran barang atau penumpang seperti Uber dan GrabCar akan dikenakan kadar lebih tinggi berbanding kenderaan untuk kegunaan persendirian sahaja.
Dari segi penggunaan, kenderaan yang digunakan dengan lebih selamat (kurang kemalangan) akan dikenakan kadar harga yang lebih rendah.
Faktor #7 – Tempat tinggal
Kenderaan yang digunakan di kawasan sesak atau bandar mungkin akan dikenakan kadar harga lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar yang kurang sesak.
Begitu juga dari segi keselamatan; kenderaan yang diletakkan di kawasan selamat akan dikenakan kadar harga lebih rendah.
Faktor #8 – Kelengkapan kenderaan
Syarikat insurans dan takaful kenderaan mungkin juga akan mengambil kira pemasangan kelengkapan keselamatan kenderaan seperti dashcam dan sistem penggera dalam menentukan kadar harga insurans takaful motor yang dikenakan.
Kesimpulannya, dengan mengambil kira faktor-faktor risiko di atas, kita akan dapat melihat yang harga yang berbeza dikenakan ke atas setiap individu apabila mereka mendapatkan insurans takaful motor nanti.
Kesan liberalisasi insurans takaful kenderaan
Mungkin sekarang anda tertanya-tanya, apakah kesan yang akan dibawa oleh proses liberalisasi insurans takaful kenderaan ini?
Adakah lebih baik, atau sebaliknya?
Adakah kadar harga lebih murah, atau semakin mahal? (Ini persoalan yang paling penting)
Sudah semestinya setiap sistem baru akan membawa bersama-samanya kebaikan dan keburukan.
Antara kebaikan yang mungkin berlaku adalah setiap syarikat insurans dan pengendali takaful akan bersaing sesama mereka untuk menawarkan pekaj terbaik pada harga terbaik untuk memastikan lebih ramai pemilik kenderaan mendapatkan tawaran mereka.
Malah, persaingan ini akan dapat memastikan perkhidmatan yang diberikan mereka adalah pada tahap terbaik, supaya pelanggan mereka akan tetap setia dengan mereka.
Pemilik kenderaan pula akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan insurans takaful motor terbaik untuk diri-sendiri dan kenderaan mereka.
Sistem baru ini juga lebih adil untuk pemilik kenderaan yang mempunyai faktor-faktor risiko yang rendah kerana mereka akan mendapat kadar harga yang lebih murah.
Bagaimana nak dapatkan kadar harga insurans takaful motor murah?
Sebelum mengakhiri tulisan kali ini, saya nak kongsikan beberapa tips yang boleh diamalkan supaya kita mendapat kadar harga insurans takaful motor murah setelah proses liberalisasi insurans motor dilaksanakan.
Antara tips yang disarankan adalah:
Tips #1 – Fahami setiap jenis perlindungan yang ditawarkan
Oleh kerana syarikat insurans dan pengendali takaful akan menawarkan pakej perlindungan insurans takaful motor yang berbeza, kita sebagai pengguna perlulah memahami setiap jenis dan keistimewaan pakej yang ditawarkan.
Kenalpasti jenis perlindungan seperti perlindungan komprehensif, pihak ketiga, kecurian dan kebarakan.
Kenalpasti perlindungan yang betul-betul kita perlukan, dan ambil perlindungan tersebut sahaja.
Jika ditawarkan perlindungan-perlindungan tambahan yang mungkin tidak diperlukan, lebih baik tolak sahaja.
Tips #2 – Buat perbandingan pakej dan harga
Jangan terikat kepada satu syarikat insurans dan pengendali takaful sahaja.
Sebaliknya, dapatkan beberapa sebutharga daripada syarikat insurans dan pengendali takaful yang berlainan supaya anda mendapatkan tawaran yang terbaik.
Tetapi, jangan pula menyangka anda boleh ‘memperdaya’ syarikat insurans atau pengendali takaful dengan cuba menyembunyikan maklumat seperti rekod tuntutan dan kemalangan sebelum ini.
Ini kerana, setiap maklumat yang diberikan atau diperoleh sendiri oleh sebuah syarikat insurans atau pengendali takaful akan dikongsikan dalam satu sistem database yang mana turut boleh diakses oleh syarikat dan pengendali lain.
Tips #3 – Pastikan kenderaan anda selamat
Pasang kelengkapan keselamatan pada kenderaan anda.
Sentiasa letakkan kenderaan anda di tempat yang selamat.
Ini akan dapat mengurangkan kadar harga insurans takaful motor yang akan dikenakan.
Tips #4 – Pandu kenderaan dengan selamat
Elakkan kemalangan dengan sentiasa memandu dengan selamat dan berhati-hati.
Dengan cara ini, akan mengurangkan kemalangan dan sudah semestinya mengurangkan kekerapan membuat tuntutan.
Ini akan memastikan kadar harga insurans takaful motor yang dikenakan adalah rendah.
Untuk lebih memahami berkenaan liberalisasi insurans takaful kenderaan, boleh baca infografik yang disediakan di bawah:
sumber infografik: iBanding
sumber: Bank Negara Malaysia
..