5 Program Untuk Jana Pendapatan Dalam Bajet 2017

jana pendapatan sampingan bajet 2017Beberapa program untuk jana pendapatan bagi rakyat telah diumumkan oleh kerajaan dalam pembentangan bajet 2017 baru-baru ini.

Dalam bajet 2017 baru-baru ini, kerajaan mengkelaskan rakyat kepada 3 golongan berdasarkan pendapatan isi rumah, iaitu B40, M40 dan T20.

B40 merupakan golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM 3,900 setiap bulan.

M40 pula merupakan golongan pertengahan yang berpendapatan antara RM 3,900 hingga RM 8,300 sebulan, yang merangkumi individu bujang, suami isteri bekerjaya, berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

T20 pula merupakan golongan yang berpendapatan isi rumah lebih RM 8,300 sebulan, dan kebiasaannya mereka tidak mengalami masalah dalam memenuhi perbelanjaan isi rumah.

Bagi membantu rakyat, terutama golongan B40 dan M40, untuk jana pendapatan sampingan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 275 juta untuk pelaksanaan dan perluasan program-program tertentu untuk meningkatkan peluang pendapatan rakyat.

Program-program tersebut adalah seperti yang berikut:

Program #1 – MySuria

Program MySuria adalah perluasan kepada program SuriaKU (Sinaran di Koridor Utara) yang mana projek perintisnya telah dimulakan di Pauh, Perlis.

Dalam program ini, panel suria dipasang di atas bumbung rumah peserta yang terpilih untuk menghasilkan tenaga elektrik mesra alam daripada tenaga solar matahari.

Tenaga elektrik ini digunakan untuk kegunaan rumah tersebut dan juga dijual secara terus kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Melalui projek ini, peserta yang menyertainya berpotensi mendapat purata pendapatan sehingga RM 600 sebulan selama 21 tahun; memang satu punca pendapatan pasif yang menarik.

Dalam bajet 2017, dengan peruntukan sehingga RM 45 juta, program ini yang akan dikenali sebagai MySuria akan diperluaskan ke seluruh negara dan disasarkan untuk melibatkan 1620 isi rumah.

Jadi, bagi golongan B40, jangan terlepas peluang untuk merebut peluang yang terbuka ini untuk jana pendapatan sampingan.

Cara mohon MySuria: Masih belum jelas bagaimana cara mohon MySuria akan dilakukan.

Namun, saya menjangkakan program MySuria ini akan dikendalikan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dengan kerjasama pihak swasta yang akan dilantik.

Bagi yang berminat untuk menyertai program ini, dinasihatkan supaya sering mendapatkan maklumat daripada pihak kementerian supaya tidak terlepas peluang program jana pendapatan tambahan secara mudah ini.

Baca juga:  [REVIEW] Ebook Panduan eBay Intelligence: Rahsia Buat Duit Dengan eBay

Program #2 – MobilePreneur

jana pendapatan sampingan bajet 2017Program ini sebenarnya telah pun wujud, dan dikendalikan oleh pihak MARA (GiatMARA) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KKLW)

Melalui program MobilePreneur, yang turut dikenali sebagai program Usahawan Bergerak, calon yang dipilih akan mendapat bantuan modal perniagaan sebanyak RM 10,000 dalam bentuk pemberian motorsikal (RM 5,000), peralatan perniagaan (RM 4,000) dan latihan (RM 1,000).

Program ini menyasarkan penglibatan golongan belia yang berpendapatan rendah atau tidak mempunyai pekerjaan dan berminat untuk memulakan perniagaan.

Untuk tahun 2017, sebanyak 3000 peserta baru disasarkan dengan peruntukan sebanyak RM 30 juta sepertimana yang diumumkan dalam bajet 2017 baru-baru ini.

Terdapat 12 jenis perkhidmatan atau peluang perniagaan yang boleh dimohon melalui program ini iaitu automotif, spa & kecantikan, gunting rambut, makanan & minuman, penghawa dingin, jahitan, motorsikal, komputer, elektrik, kek & pastri, kimpalan dan elektronik.

Peserta yang terlibat dalam program ini akan menjalankan perniagaan secara bergerak; perkhidmatan boleh dijalankan terus ke tempat yang ditentukan pelanggan apabila diminta.

Cara mohon MobilePreneur: Program MobilePreneur adalah terbuka kepada golongan belia berpendapatan rendah (kurang RM 3,000 sebulan) atau yang masih menganggur bagi membantu mereka tambah pendapatan.

Cara mohon MobilePreneur adalah menerusi borang permohonan yang boleh didapati melalui KKLW ataupun di muat turun di sini atau di sini

Borang ini hendaklah diisi dengan lengkap dan dihantar secara pos ke alamat yang diberikan atau melalui emel ke bkr@rurallink.gov.my

Program #3 – AgroPreneur

Dalam bajet 2017 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM 100 juta untuk menghasilkan 3000 petani moden atau agropreneur dari kalangan belia.

Program AgroPreneur ini dikendalikan oleh Unit Agropreneur Muda (UAM) di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) dengan objektif untuk melahirkan lebih ramai petani muda yang progresif, berdaya saing, kreatif, inovatif dan berpendapatan tinggi di dalam sektor pertanian.

Program ini menyasarkan penglibatan belia berumur kurang 40 tahun bagi menjadi pelapis kepada petani-petani sediada yang kebanyakannya berusia sekitar 60 tahun sebagai sumber penghasilan makanan negara, yang mana buat masa sekarang hanya 14% sahaja belia yang terlibat dalam pertanian.

Melalui program ini, satu pakej lengkap merangkumi aspek latihan, pembangunan perniagaan dan keusahawanan, penyediaan tapak projek/premis perniagaan, promosi dan pemasaran serta pembiayaan akan disediakan kepada peserta.

Sasaran program ini adalah untuk menghasilkan agropreneur yang dapat jana pendapatan lebih RM 5,000 sebulan.

Cara mohon AgroPreneur: Antara syarat-syarat untuk menyertai program ini adalah belia berumur 18 hingga 40 tahun tanpa mengira latar belakang pendidikan, wajib mengikuti program latihan teknikal anjuran Jabatan & Agensi berkaitan dan keutamaan diberikan kepada belia yang mempunyai kemudahan tanah & premis sediada.

Cara mohon AgroPreneur adalah menerusi borang permohonan yang boleh diperoleh melalui laman web MOA (klik di sini), di pejabat-pejabat Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)  dan 12 agensi MOA yang terdapat di daerah, negeri atau semasa roadshow MOA yang diadakan diseluruh negara.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada pejabat pertanian daerah atau boleh terus ke Unit Agropreneur Muda di Putrajaya melalui alamat yang diberikan pada borang.

Baca juga:  Buat Duit Dengan Uber Untuk Jana Pendapatan Tambahan

Program #4 – eUsahawan & eRezeki

jana pendapatan sampingan bajet 2017Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM 100 juta dalam bajet 2017 untuk memperkasakan program eUsahawan dan eRezeki yang merupakan program utama dalam kempen YouCanDuit yang dikendalikan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

MDEC adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)

Program eUsahawan menyasarkan kepada usahawan kecil sedia ada, atau mereka yang berminat untuk berniaga, supaya dapat meluaskan perniagaan mereka secara atas talian (online)

Peserta yang terpilih dalam program eUsahawan akan menjalani kursus keusahawan digital jangka pendek di institusi kemahiran yang terpilih.

Melalui latihan yang diberikan, peserta akan diajar cara-cara mengembangkan perniagaan secara atas talian supaya dapat mencapai lebih ramai pelanggan dan seterusnya menambah pendapatan.

Dalam program eRezeki pula, peserta-peserta akan dilatih untuk melakukan tugas-tugas tertentu berkaitan teknologi maklumat (ICT) seperti:

  • tugasan digital mikro seperti mengisi data ke dalam borang atas talian (data entry), menyemak dan memadamkan data yang berulang, menyemak dan menentusahkan foto/imej
  • kerja digital seperti membangunkan laman web, membangunkan aplikasi telefon, mencipta logo, mereka bentuk grafik
  • kerja bukan digital seperti melaksanakan bancian rumah ke rumah bagi tujuan kaji selidik, melakukan semakan kepada harga barangan dan perkhidmatan, menjalankan kerja-kerja sambilan
  • kerja digital pasif seperti menawarkan hasil kerja ciptaan anda, seperti fotografi atau vektor grafik yang dimuatnaikkan dan dijual kepada pembeli, menjadi agen dropship, atau membantu mempromosikan produk dan perkhidmatan

Dengan kemahiran yang diperoleh, peserta berpeluang mendapatkan tugasan daripada rakan-rakan strategik MDEC dalam program ini seperti Designhill, Freelancer, Upwork dan AfterFiv.

Dengan kemahiran yang diperoleh dan tugasan yang diberi, dapatlah peserta jana pendapatan sampingan.

Cara mohon eUsahawan & eRezeki: Untuk sertai eUsahawan, anda hanya perlu isi borang permohonan di sini bit.ly/eUsahawanweb

Program eUsahawan adalah terbuka kepada semua usahawan mikro di Malaysia terutamanya kepada usahawan yang sudah mempunyai produk yang berpotensi untuk dipasarkan.

Untuk sertai eRezeki pula, anda boleh lawati Pusat eRezeki berhampiran untuk mendapatkan bantuan berhubung proses pendaftaran atau pun berjumpa Wakil eRezeki berhampiran.

Penyertaan untuk eRezeki adalah terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM 4,000 sebulan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan eUsahawan dan eRezeki, boleh lawati laman web YouCanDuit di sini http://youcanduit.mdec.my/

Program #5 – Ride-sharing driver

Dalam pembetangan bajet 2017 baru-baru ini, kerajaan telah menggalakkan golongan B40 untuk mendaftar sebagai ride-sharing driver seperti Uber Partner atau GrabCar Driver.

Sebagai galakan, kerajaan membenarkan penerima BRIM untuk menggunakan BRIM yang diperoleh sebagai bayaran pendahuluan dan tambahan rebat RM 4,000 untuk membeli kereta Proton Iriz bagi kegunaan sebagai ride-sharing driver.

Menjadi seorang ride-sharing driver sememangnya satu peluang untuk jana pendapatan sampingan dan tetap yang lumayan, dan hakikatnya telah ramai yang mendapat manfaat daripada pekerjaan ini.

Jika anda merupakan penerima BRIM dan berminat mendaftar sebagai ride-sharing driver dengan Uber, boleh dapatkan panduan secara percuma di sini: Buat Duit Dengan Uber Untuk Jana Pendapatan Tambahan

Penutup

Program-program jana pendapatan sampingan untuk golongan B40 yang diumumkan kerajaan dalam bajet 2017 merupakan program-program yang baik untuk rakyat.

Diharapkan, program-program ini dapat dijalankan dengan telus dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Diharapkan juga golongan yang layak untuk merebut peluang yang tersedia untuk jana pendapatan tambahan supaya dapat meningkatkan ekonomi diri dan keluarga.

Baca juga:  4 Model Bisnes Mudah Tanpa Modal Besar Untuk Jana Pendapatan Tambahan

 

 

 

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini