10 Sebab Digalakkan Simpan Duit Dalam Tabung Haji

simpan duit tabung hajiDalam artikel Tips Simpan Duit, saya ada menyatakan bahawa antara tempat terbaik untuk simpan duit adalah dalam akaun Tabung Haji, selain daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Walaupun ada yang beranggapan kedua-dua Tabung Haji dan ASB bukanlah instrumen simpanan, sebaliknya instrumen pelaburan, namun secara peribadi saya lebih suka untuk menganggap kedua-duanya sebagai instrumen simpanan.

Maknanya, kalau nak simpan duit seperti untuk dana kecemasan, dana rizab atau simpanan perbelanjaan (duit yang disimpan untuk dibelanjakan seperti membeli barang atau pergi melancong), boleh simpan dalam Tabung Haji atau ASB.

Manakala kalau nak melabur, boleh tumpukan kepada peluang pelaburan yang lain seperti pelaburan hartanah, pelaburan unit amanah, emas perak dan pasaran saham.

Secara peribadi, saya banyak menggunakan Tabung Haji sebagai tempat simpan duit yang utama berbanding ASB.

Antara kelebihan Tabung Haji yang menyebabkan saya menganggap Tabung Haji sebagai instrumen simpanan terbaik dan memilihnya sebagai tempat simpan duit utama adalah:

Kelebihan Tabung Haji #1 – Modal awal yang rendah

Akaun simpanan Tabung Haji hanya dibuka untuk warganegara Malaysia beragama Islam, dan boleh dibuka dengan modal serendah RM 2 sahaja.

Ya, RM 2 sahaja, bukan RM 200 atau RM 2,000

Dengan modal serendah ini, tiada alasan untuk tidak membuka akaun simpanan Tabung Haji.

Kelebihan Tabung Haji #2 – Modal simpanan dijamin

Dalam Akta Tabung Haji, dinyatakan dengan jelas bahawa konsep simpanan dalam akaun Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan)

Dalam konsep ini, pendeposit atau penyimpan memberi wang kepada Tabung Haji untuk disimpan manakala Tabung Haji sebagai penjaga (custodian) bersetuju untuk menjaga wang tersebut.

Pada masa yang sama, pendeposit memberi keizinan kepada Tabung Haji untuk menggunakan atau meminjam wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.

Hasil daripada kebenaran ini, kerajaan melalui Tabung Haji menjamin setiap ringgit wang yang diletakkan oleh pendeposit dalam akaun Tabung Haji.

Tabung simpan duit yang baik sememangnya harus memastikan modal simpanan asal terjamin, sepertimana akaun simpanan Tabung Haji ini.

Kelebihan Tabung Haji #3 – Kos yang rendah

Membuka akaun simpanan Tabung Haji adalah percuma, malah tiada yuran pengurusan tahunan pun yang dikenakan ke atas pendeposit.

Jika ada kos yang terlibat pun, hanya apabila menggunakan perkhidmatan agen-agen Tabung Haji, seperti mendepositkan wang melalui perbankan internet seperti Maybank2u atau mesin deposit wang seperti Bank Islam dan Bank Rakyat.

Baca juga:  3 Teknik Pembiayaan/Pinjaman ASB (Loan ASB) Yang Paling Popular

Kelebihan Tabung Haji #4 – Pemberian dividen & bonus kompetitif

simpan duit tabung hajiMelalui kontrak Wadi’ah Yad Dhamanah yang dinyatakan sebelum ini, Tabung Haji diberi kebenaran oleh pendeposit untuk menggunakan atau meminjam wang pendeposit bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.

Dan itulah yang telah dilakukan oleh pihak Tabung Haji bagi memastikan dananya sentiasa berkembang dan kukuh bagi kemudahan umat Islam menunaikan haji.

Segala keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan yang dibuat adalah menjadi hak milik mutlak Tabung Haji dan pengagihan keuntungan tersebut adalah atas budi bicara Tabung Haji sendiri.

Namun begitu, pihak Tabung Haji setiap tahun sentiasa berkongsi keuntungan yang diperoleh dengan para pendeposit melalui pengagihan Hibbah (hadiah) dalam bentuk dividen dan bonus.

Berikut merupakan kadar dividen dan bonus yang diberikan oleh Tabung Haji dari tahun 2011 hingga 2015:

  • 2011: dividen = 6.00%; bonus = 0.00%
  • 2012: dividen = 6.50%; bonus = 1.50%
  • 2013: dividen = 6.00%; bonus = 2.00%
  • 2014: dividen = 6.25%; bonus = 2.00%
  • 2015: dividen = 5.00%; bonus = 3.00%

Dapat dilihat bahawa kadar dividen dan bonus yang diagihkan adalah sekitar 5-6% setahun, dan ini adalah lebih baik berbanding kadar dividen yang diberikan akaun simpanan tetap bank (sekitar 4.5% setahun)

Malah lebih baik berbanding kadar inflasi di Malaysia yang mana adalah sekitar 3% setahun.

Dengan adanya agihan dividen dan bonus ini yang melebihi kadar inflasi, maka boleh dikatakan simpanan dalam Tabung Haji adalah kalis inflasi.

Ini adalah ciri yang baik untuk dijadikan tabung simpan duit.

Kelebihan Tabung Haji #5 – Dividen & bonus dikecualikan cukai

Sebarang pengagihan dividen dan bonus yang diberikan Tabung Haji kepada para pendepositnya adalah dikecualikan cukai oleh kerajaan.

Maka, pendapatan yang diperoleh tersebut dikategorikan sebagai pendapatan dikecualikan cukai, dan tidak perlu diisytiharkan dalam borang taksiran cukai pendapatan.

Kelebihan Tabung Haji #6 – Zakat dibayar pihak Tabung Haji

Apabila seseorang Muslim mempunyai jumlah simpanan yang cukup nisab (jumlah) dan haul (tempoh), maka diwajibkan ke atasnya untuk mengeluarkan zakat simpanan sebanyak 2.5% daripada jumlah simpanan tersebut.

Contohnya, jika jumlah simpanan dalam akaun bank mencapai RM 15,000 dan telah mencapai tempoh 1 tahun, maka zakat simpanan sebanyak RM 375 (2.5% x RM 15,000) perlu dikeluarkan sebagai penyucian harta.

Tetapi, jika disimpan dalam akaun simpanan Tabung Haji, pendeposit tidak perlu mengeluarkan zakat simpanan kerana telah dikeluarkan oleh pihak Tabung Haji.

Untuk keterangan lanjut, boleh baca di sini atau di sini.

Kelebihan Tabung Haji #7 – Simpanan dan pengeluaran tanpa had

Tabung Haji membenarkan pendepositnya mendepositkan seberapa banyak duit yang ingin disimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing.

Tiada had simpanan.

Begitu juga dengan pengeluaran, tiada had dari segi jumlah pengeluaran dan juga kekerapan.

Itulah ciri-ciri tempat simpan duit yang baik; mudah untuk dibuat simpanan, mudah juga untuk dicairkan jika memerlukan.

Baca juga:  Boleh Tak Simpan Duit Dengan Teknik Main Kutu?

Kelebihan Tabung Haji #8 – Tadbir urus yang baik

simpan duit tabung hajiUntuk membuat keputusan pelaburan atau perniagaan membabitkan wang pendeposit, Tabung Haji mempunyai sistem tadbir urus yang baik.

Sebarang keputusan perlu mendapat kelulusan Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah, yang mana anggota kedua-dua entiti tersebut adalah daripada orang yang berbeza.

Keputusan akhir pula perlu mendapat kelulusan daripada menteri yang dipertanggungjawabkan.

Proses ini penting untuk memastikan setiap keputusan pelaburan dan perniagaan yang dibuat dilakukan secara telus.

Kelebihan Tabung Haji #9 – Patuh syariah

Tabung Haji memastikan setiap pelaburan dan perniagaan yang dibuat adalah patuh syariah.

Perkara ini dikawal oleh Panel Pelaburan dan juga Jawatankuasa Penasihat Syariah yang ditubuhkan Tabung Haji.

Maka, pendeposit tidak perlu bimbang berkenaan kesucian dan status patuh syariah Tabung Haji.

Kelebihan Tabung Haji #10 – Simpanan untuk menunaikan Haji

Tujuan utama Tabung Haji ditubuhkan adalah untuk mengendalikan dan memudahkan urusan haji pendepositnya.

Maka, bagi mereka yang menyimpan dengan Tabung Haji, selain memperoleh khidmat tempat simpan duit yang baik dan agihan pendapatan setiap tahun, mereka diberi khidmat untuk menunaikan ibadah haji.

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan menyimpan duit sehingga RM 1,300 dalam akaun Tabung Haji dan membuat pendaftaran haji.

Kemudian, tambahlah simpanan dari semasa ke semasa sehingga cukup kos haji dan tiba giliran menunaikan haji.

Penutup

Itulah sahaja beberapa kelebihan akaun simpanan Tabung Haji yang menjadikan Tabung Haji sebagai tempat simpan duit yang terbaik.

Jadi, jika anda masih belum mempunyai akaun simpanan Tabung Haji, bolehlah membukanya dengan segera.

Akaun simpanan Tabung Haji bukan sahaja boleh dibuka di kaunter-kaunter Tabung Haji, malah menerusi kaunter-kaunter di Bank Islam dan Bank Rakyat.

Sebarang urusan seperti penambahan deposit dan pengeluaran daripada akaun simpanan Tabung Haji boleh dilakukan melalui pelbagai cara, samaada menerusi kaunter (Tabung Haji, Bank Islam, Bank Rakyat), mesin ATM dan CDM (Maybank, Bank Islam, Bank Rakyat) dan juga online (Tabung Haji online eTHiJARI, Maybank2u, CIMB Clicks, Bank Islam etc)

Memang mudah untuk menggunakan akaun simpanan Tabung Haji.

Baca juga:  Masih Relevankah Teknik Financing ASB?

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini