Tag Archive: peluang pelaburan

Kenapa Perlu Tahu Cara Kira Pulangan Pelaburan?

pulangan pelaburanDalam artikel sebelum ini, 3 Indikator Untuk Kiraan Pulangan Pelaburan, diterangkan perbezaan antara tiga indikator utama untuk kiraan ROI iaitu total return, average annual return dan compound average growth return.

Kenapa pentingnya seorang pelabur untuk tahu cara kiraan dan perbezaan ketiga-tiga indikator ini?

Antara sebabnya adalah seperti yang berikut:

1. Bandingkan prestasi pelaburan dengan benchmark

Apabila melabur, kita perlu meletakkan satu tanda aras (benchmark) untuk menilai prestasi pelaburan kita.

Sebagai contoh, boleh letakkan benchmark minimum 5%/tahun (seperti pulangan TH) atau 7%/tahun (pulangan ASB).

Kedua-dua benchmark ini dipilih kerana TH dan ASB boleh dikatakan instrumen simpanan/pelaburan yang paling selamat dengan pulangan yang baik.

Andainya prestasi pelaburan yang dilakukan lebih rendah berbanding benchmark TH dan ASB ini, lebih baik batalkan sahaja pelaburan tersebut dan simpan sahaja duit di TH atau ASB.

Contohnya, Ali melabur dalam unit amanah dengan modal asal RM 10,000, selepas 5 tahun nilai akhir pelaburannya menjadi RM 13,000.

Jadi, TR = 30%, AAR = 10% dan CAGR = 5.4% (nilai CAGR di ambil untuk dibandingkan dengan benchmark)

Nilai CAGR pelaburannya hanyalah 5.4%, jauh di bawah prestasi ASB iaitu sekitar 7%.

Jika Ali gunakan modal RM 10,000 tadi untuk diletakkan dalam ASB, selepas 5 tahun Ali akan mendapat sekitar RM 14,100

Beza RM 1,100 (RM 14,100 – RM 13,000) antara nilai akhir pelaburan unit amanah Ali dan anggaran nilai dalam ASB dianggap sebagai kos melepas (opportunity cost)

Di samping menggunakan benchmark sendiri seperti prestasi TH dan ASB, sesuatu pelaburan juga boleh dibandingkan dengan benchmark pelaburan itu sendiri.

Sebagai contoh, kebanyakan dana unit amanah kategori ekuiti Islamik meletakkan prestasi indeks Shariah (FTSE Bursa Malaysia EMAS Shariah Index) sebagai benchmark mereka.

Jadi, apabila memilih sesuatu pelaburan, kenalah tahu apa benchmark yang ditetapkan oleh pelaburan tersebut.

Dari semasa ke semasa, pantaulah pelaburan itu supaya dapat tahu prestasi sebenar pelaburan tersebut.

2. Bandingkan prestasi pelaburan antara satu sama lain

pulangan pelaburanKatakanlah, Ahmad mempunyai modal pelaburan sebanyak RM 30,000 yang mana sebanyak RM 20,000 dilaburkan melalui satu unit amanah, manakala RM 10,000 lagi dilaburkan ke dalam pasaran saham.

Selepas 5 tahun, Ahmad mendapati nilai akhir pelaburan unit amanah beliau adalah RM 32,000 manakala nilai sahamnya RM 17,000.

Jika dikira, ROI untuk setiap pelaburan Ahmad adalah seperti yang berikut:

Pelaburan unit amanah:

TR = 60%

AAR = 12%

CAGR = 9.9%

Pelaburan saham:

TR = 70%

AAR = 14%

CAGR = 11.2%

Daripada kiraan ini, dapat dirumuskan secara mudah bahawa prestasi pelaburan saham Ahmad adalah lebih baik berbanding pelaburan unit amanahnya.

Sekiranya Ahmad meletakkan semua modal RM 30,000 ke dalam pelaburan sahamnya dulu, nilainya akan menjadi sekitar RM 52,000!

Di sini juga dapat dilihat adanya opportunity cost yang terlepas.

Jadi, selepas ini mungkin Ahmad boleh menukar strategi pelaburan beliau supaya lebih keuntungan dapat dijana.

3. Elak ditipu penipu (scammer)

Warren Buffett adalah salah seorang pelabur yang paling berjaya di dunia, yang mana beliau mencatatkan purata pulangan terkompoun sekitar 22.3% selama 36 tahun (rujuk di sini)

Maksudnya, dengan modal RM 1,000 36 tahun yang lalu, kini nilainya akan menjadi sekitar RM 70 juta!

Itu adalah pulangan yang diperoleh seorang pelabur yang hebat.

Maka, amat sukar untuk adanya sesuatu pelaburan yang boleh mengatasi pulangan yang diperoleh pelabur tersohor ini.

Jadi, jika ada orang datang mendakwa atau menawarkan sesuatu pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi, mungkin perlu lebih berhati hati.

Misalnya, dulu isteri saya pernah ditawarkan satu program yang menjanjikan dengan modal awal RM 3,500 jika dibiarkan selama 12 bulan, akan mendapat RM 106,000

Jika  dibuat kira-kira, pulangannya 2900% setahun!

Untuk dapatkan pulangan 15% setahun pun sudah susah, apatah lagi berlipat-ganda seperti itu.

Kalau ada tawaran yang tidak realistik seperti ini, jangan biarkan diri dikuasai rasa tamak.

Sebaliknya, lebih baik jauhkan diri daripada biarkan duit hangus.

4. Elakkan misleading info

pulangan pelaburanSemasa saya mula-mula nak melabur dalam pelaburan unit amanah beberapa tahun dulu, seorang agen yang saya jumpa menunjukkan kira-kira tentang pulangan dana yang dipromosikannya.

Ditunjukkan bahawa dana tersebut menghasilkan pulangan lebih 15%/tahun dalam tempoh masa 5 tahun.

Dikatakannya bahawa prestasi dana tersebut jauh lebih baik daripada ASB.

Biasalah, orang nak promosi.

Tetapi, saya membuat kira-kira sendiri.

Rupa-rupanyanya, pulangan yang ditunjukkan beliau adalah pulangan AAR, manakala CAGR yang saya kira adalah sekitar 9% sahaja.

Sedikit sahaja mengatasi prestasi pulangan ASB.

Misleading info sebegini banyak terjadi terutama kepada pelabur-pelabur yang baru mula nak melabur.

Tidak boleh salahkan agen sepenuhnya, kerana memang tugas mereka untuk mempromosikan dan bercerita yang baik-baik sahaja tentang produk mereka.

Menjadi tugas bakal pelabur untuk melakukan kira-kira sendiri dan membuat keputusan samaada untuk melabur atau tidak.

Lagipun, modal pelaburan nanti adalah duit pelabur sendiri, bukan?

Jadi, kenalah bertanggungjawab dan pandai buat kira-kira.

Oh ya, dalam cerita di atas, walaupun diberikan misled info, saya tetap melabur dalam dana unit amanah tersebut kerana melalui kiraan saya, prestasi dana tersebut masih memenuhi sasaran yang saya kehendaki.

Past performance does not indicate future result

Walaupun kita dapat mengira pulangan sesuatu pelaburan menggunakan indikator-indikator yang disediakan, kena selalu ingat tentang mantera di atas.

Prestasi masa lalu, tidak menggambarkan prestasi masa depan.

Setiap indikator yang ditunjukkan hanya menggambarkan prestasi masa lalu dan memberikan sedikit sahaja gambaran berkenaan prestasi masa depan.

Pelaburan yang baik hari ini, belum tentu baik pada masa depan.

Begitu juga sebaliknya.

Banyak faktor yang mempengaruhi prestasi sesuatu pelaburan, contohnya situasi ekonomi global, kecekapan pengurusan, turun naik harga komoditi, persaingan, sentimen pasaran dan tawaran vs permintaan.

Apabila ingin melabur, faktor-faktor ini yang perlu dianalisa dengan baik sebelum menanam modal.

Jadi, di sini memerlukan kemahiran-kemahiran lain seperti mengira yield, cashflow, net profit, membaca laporan tahunan dan sebagainya.

3 Indikator Untuk Kiraan Pulangan Pelaburan

pulangan pelaburanApabila melabur, sudah tentu kita mengharapkan keuntungan.

Keuntungan pelaburan boleh diperoleh samaada melalui pendapatan semasa/aliran tunai, pertambahan modal asal atau kedua-duanya.

Tetapi, yang kebiasaannya menjadi kekeliruan adalah untuk mengira pulangan pelaburan yang diperoleh.

Nak kira return on investment (ROI)

Secara mudahnya, untuk mengira ROI, boleh dapatkan peratus untuk 3 indikator yang berikut:

1. Jumlah pulangan keseluruhan (total return, TR)

2. Pulangan purata tahunan (average annual return, AAR)

3. Pulangan terkompoun tahunan (compound annual growth rate, CAGR)

TR mengambil kira beza modal asal dan nilai akhir sahaja tanpa mengira jumlah masa yang terlibat.

AAR mengambil kira purata pulangan setiap tahun (AAR dikira dengan menjumlahkan pulangan setiap tahun dan dibahagikan jumlah tahun yang terlibat)

Manakala CAGR mengira pulangan terkompoun yang diperoleh setiap tahun, yang mana dikira ke atas modal dan juga pulangan pelaburan yang dikompounkan.

(*Maaf, memang susah nak jelaskan berkenaan pulangan terkompoun/CAGR ini, saya sendiri pun tak dapat menerangkannya dengan baik)

Pengiraan CAGR adalah rumit, lebih mudah untuk gunakan financial calculator seperti di bawah:

Untuk cuba memahami ketiga-tiga indikator di atas, kita lihat contoh situasi-situasi pelaburan yang boleh berlaku:

Situasi #1:

Ahmad membeli sebuah rumah pada 2011 pada harga RM 120,000 dan berjaya menjualnya semula pada tahun 2016 dengan harga RM 210,000.

Berapa ROI pelaburan Ahmad?

Dalam situasi di atas, Ahmad mendapat keuntungan sebanyak RM 90,000 daripada modal asal RM 120,000 dalam masa 5 tahun.

% TR = (RM 90,000 / RM 120,000) x 100% = 75%

% AAR = 75% / 5 tahun = 30%

% CAGR = 11.8%

Situasi #2:

Abu membuat pelaburan dalam unit amanah dengan modal asal RM 1,000 dan tambahan RM 200 setiap bulan dari tahun 2011 hingga 2016. Pada 2016, Abu menjual semua unit yang dibelinya dan mendapat RM 17,000.

Berapa ROI pelaburan Abu?

Selepas dikira, jumlah modal pelaburan Abu adalah RM 1,000 + (RM 200 x 59 bulan) = RM 12,800

Maka, jumlah pulangan selama 5 tahun adalah RM 17,000 – RM 12,800 = RM 4,200

% TR = (RM 4,200 / RM 12,800) x 100% = 32.8%

% AAR = 32.8% / 5 tahun = 6.6%

% CAGR = 5.8%

*Pengiraan ROI untuk pelaburan berkala seperti ditunjukkan di atas adalah kurang tepat. Pengiraan lebih tepat adalah lebih kompleks. Pengiraan yang ditunjukkan adalah untuk memudahkan menilai prestasi pelaburan sahaja.

Situasi #3

Siti melabur dalam satu unit amanah dengan modal permulaan RM 10,000. Pada tahun pertama, pelaburannya mencatat keuntungan 10%, menjadikan nilai pelaburannya RM 11,000. Tahun kedua turut mendapat pulangan 10%, menjadikan nilai pelaburannya RM 12,100. Begitu juga pada tahun ketiga, masih mendapat pulangan 10% menjadikan nilai pelaburannya RM  13,310

Berapakah nilai ROI pelaburan Siti?

% TR = (RM 13,310 – RM 10,000) / RM 10,000 x 100% = 33.1%

% AAR = (10% + 10% + 10%) / 3 tahun = 10%

% CAGR = 10%

Situasi #4

Aminah melabur dalam satu unit amanah dengan modal permulaan RM 10,000. Pada tahun pertama, pelaburannya mencatat keuntungan 6%, menjadikan nilai pelaburannya RM 10,600. Tahun kedua, beliau mendapat pulangan 10%, menjadikan nilai pelaburannya RM 11,660. Pada tahun ketiga pula, beliau mendapat pulangan 14% menjadikan nilai pelaburannya RM  13,292.40

Berapakah nilai ROI pelaburan Siti?

% TR = RM 3,292.40 / RM 10,000 = 32.9%

% AAR = (6% + 10% + 14%) / 3 tahun = 10%

% CAGR = 9.95%

CAGR Indikator Yang Lebih Baik

pulangan pelaburanDaripada situasi-situasi di atas, dapat dilihat bahawa nilai %TR, %AAR dan %CAGR boleh berbeza antara satu sama lain.

Dan indikator yang boleh dikatakan paling baik untuk menggambarkan ROI sesuatu pelaburan adalah CAGR.

Kenapa?

Cuba lihat kembali pada situasi #4 di atas.

Katakanlah Aminah hanya tahu berkenaan nilai akhir pelaburan sahaja (RM 13,292.40) tanpa tahu berkenaan peratus pulangan tahunan yang diisytiharkan (6%, 10% & 14%)

Dengan modal asal RM 10,000, maka TR yang diperoleh Aminah selama 3 tahun adalah 32.9%

Jika nak dapatkan AAR, mungkin ada yang akan kira 32.9% / 3 tahun = 11%

Sekarang, nilai AAR sudah tidak sama seperti nilai sebenar AAR yang dikira dalam situasi #4 di atas iaitu 10%

Dapat dilihat jika lain cara kiraan, maka nilai AAR juga akan berlainan.

Tetapi, jika dikira CAGR, nilai yang diperoleh masih sama iaitu 9.95%

CAGR mengira jumlah ROI ke atas modal, dan juga pulangan/dividen/bonus yang diperoleh setiap tahun yang dikompounkan atau dibiarkan atau ditambah ke atas modal asal.

Jadi, selepas ini, jika anda ingin mengira pulangan pelaburan yang anda lakukan, bolehlah dapatkan nilai CAGR.

5 Peraturan Melabur Yang Mesti Difahami

peraturan melabur pelaburanUntuk artikel kali ini, saya merujuk kepada nota yang dikarang oleh Pakdi, seorang perunding kewangan profesional di laman terbaru beliau, LaburDuit.com.

Saya olah berdasarkan kefahaman saya.

Nota yang dikarang Pakdi boleh rujuk di sini 5 Peraturan L.A.B.U.R Yang Mesti Diketahui Para Pelabur

Sebelum memulakan aktiviti melabur, sebaik-baiknya ingat tentang 5 peraturan melabur yang berikut:

1. Labur duit simpanan

Nak mulakan pelaburan, mestilah ada modal.

Nak ada modal, mestilah ada simpanan.

Matlamat pertama menyimpan adalah untuk membina dana kecemasan, kemudian lebihannya bolehlah digunakan sebagai modal pelaburan.

Bagi seorang pelabur baru, sebaik-baiknya mulakan pelaburan dengan duit lebihan simpanan yang ada dan cuba elakkan daripada meminjam atau berhutang.

Kenapa nak elakkan hutang?

Kerana pelaburan itu sendiri adalah aktiviti berisiko, jadi janganlah ditambah dengan hutang sebagai risiko tambahan.

Takut nanti pelaburan tak menjadi, hutang masih perlu dibayar.

Kecuali jika sudah mahir, bolehlah use other people money untuk membuat pelaburan.

Konsisten menyimpan adalah pra-syarat utama sebelum boleh memulakan pelaburan.

Satu lagi perkara yang perlu dilakukan, pastikan mula melabur dengan duit simpanan yang tidak akan digunakan untuk jangka masa terdekat.

Sebagai contoh, guna duit yang telah dikhaskan untuk belanja kahwin sebagai modal pelaburan, atau duit untuk deposit pembelian rumah.

Perlu ingat bahawa pelaburan sepatutnya dilakukan untuk jangka masa panjang, sekurang-kurangnya 3 ke 5 tahun.

Jadi kalau berharap untuk dapat keuntungan dalam masa singkat, takut nanti modal asal rugi, objektif pelaburan pun tak tercapai.

Baca sini Peraturan #1 Labur Duit Simpanan

2. Apa nilai yang kita dapat?

Apabila mempunyai duit, kena selalu bertanya, apa nilai yang aku boleh dapat daripada duit ini?

Kalau dibelanjakan untuk membeli barang-barang, apa nilai yang aku dapat daripada barang-barang tersebut?

Kalau dibelanjakan untuk membeli barang mahal berbanding barang murah, adakah nilai yang diperoleh daripada barang mahal itu lebih baik daripada barang murah?

Kalau duit ini dibelanjakan kesemuanya, apa nilai yang boleh didapati daripada perbelanjaan tadi?

Kalau duit ini disimpan, apa nilai yang boleh didapati daripada simpanan tadi?

Kalau duit ini dilaburkan, apa nilai yang boleh didapati daripada pelaburan tadi?

Dengan memahami nilai duit yang dipunyai tadi, kita akan lebih menghargai duit tersebut.

Barulah mudah untuk mengawal ke mana duit itu akan dialirkan, dan mengelak daripada dibazirkan kepada perkara-perkara yang tidak memberi nilai tambah kepada kita.

Tapi ingat, jangan terlalu sayangkan duit sampai digelar kedekut.

Ingat perkara ini; jana pendapatan, simpan sebahagian, kawal belanja dan laburkan lebihan simpanan.

Dengan cara ini, kita akan dapat nilai yang terbaik daripada duit yang dipegang tadi.

Baca sini Peraturan #2 Apa Nilai Kita Dapat?

3. Bukan kejar untung dulu

peraturan melabur pelaburanApabila mula melabur, mulakan dengan modal yang rendah dulu, yang mana modal ini kita sanggup hilang kesemuanya.

Ha?! Rugi kesemuanya?

Ya, sebab itulah perlu mulakan pelaburan dengan lebihan simpanan.

Sebab apabila mula melabur, sebagai pelabur baru, mestilah tidak mahir lagi.

Jadi, jangan kejar untung dulu, tetapi kejar pengalaman terlebih dahulu.

Kita boleh belajar melabur melalui buku atau seminar, tetapi cara belajar terbaik adalah melalui pengalaman.

Selepas mencuba dan terjebak sendiri, barulah faham dengan selok belok pelaburan tersebut.

Pada awal permulaan pelaburan, cabaran awal yang perlu dihadapi adalah untuk pastikan modal selamat dan elakkan kerugian berlebihan.

Kemudian, bolehlah fikirkan cara dan teknik yang sesuai untuk jana keuntungan.

Jangan risau, walaupun asalnya sanggup untuk hilang semua modal, tetapi kalau dah dibuat persediaan-persediaan sebelum melabur secukupnya, pasti tidak akan rugi semuanya.

Tambahan lagi, dengan berpegang kepada prinsip bukan kejar untung dulu, ini dapat membina benteng daripada terpengaruh dengan emosi tak terkawal dan sikap tamak.

Secara tidak langsung, boleh mengelakkan diri daripada mudah terpengaruh dengan skim-skim pelaburan tipu yang menjanjikan pulangan yang tidak realistik.

Baca sini Peraturan #3 Bukan Kejar Untung Dulu

4. Untung belum tentu

Apabila melabur, tanamkan prinsip untung belum tentu, tapi rugi itu pasti.

Sesetengah pelaburan mengenakan caj atau yuran semasa mula serta, contohnya unit amanah yang mengenakan caj pengurusan, manakala pelaburan saham ada brokerage fee, clearing fee dan stamping fee.

Oleh kerana wujudnya caj-caj seperti ini, maka pada peringkat permulaan pelaburan, sudah semestinya sedang mengalami kerugian.

Sebab itulah rugi itu pasti.

Dalam pelaburan, kita akan biasa terlihat perkataan ini, “Past performance does not guarantee future result”

Pelaburan yang untung semalam, belum tentu untung hari ini.

Orang yang buat untung semalam, belum tentu dapat untung lagi hari ini.

Tiada sesiapa boleh jamin sesuatu pelaburan itu boleh untung setiap masa.

Yang kebiasaannya dijamin, seperti Amanah Saham Bumiputera, adalah modal asal, bukannya keuntungan, itupun oleh pihak ketiga.

Kalau ada pun yang menjamin keuntungan, mungkin adalah skim-skim penipuan.

Tetapi, walaupun berpegang kepada prinsip untung belum tentu, bukanlah bermaksud kita redha menerima kerugian setiap masa.

Sebaliknya, perlulah dibangunkan kemahiran-kemahiran dan ditajamkan skil-skil melabur supaya dapat meminimumkan kerugian dan memaksimumkan keuntungan secara konsisten.

Baca sini Peraturan #4 Untung Belum Tentu

5. Risiko itu rezeki

peraturan melabur pelaburanSetiap instrumen pelaburan ada risiko masing-masing.

Bahkan aktiviti pelaburan itu sendiri adalah aktiviti mengambil risiko supaya mendapat pulangan setimpal.

Tiada risiko, tiada untung.

Ramai orang yang takut nak melabur sebab takut kepada risiko, malangnya ini adalah sikap yang salah.

Risiko tidak perlu ditakuti, sebaliknya perlu dikawal dan diuruskan dengan baik supaya dapat menjana keuntungan.

Tetapi jika tidak dikawal dengan baik, pastinya akan menyebabkan kerugian.

Bagaimana nak kawal risiko?

Semuanya bergantung kepada kemahiran melabur.

Kemahiran melabur boleh dibentuk melalui proses pembelajaran dan dipertajamkan melalui pengalaman.

Oleh sebab itulah saya sering nyatakan pelaburan terbaik adalah pelaburan ilmu.

Dengan kemahiran melabur yang tinggi, risiko dapat diuruskan dengan baik dan seterusnya dapat menjana keuntungan secara konsisten.

High skill, high return.

Baca sini Peraturan #5 Risiko Itu Rezeki