Tag Archive: peluang pelaburan

4 Langkah Mudah Mulakan Pelaburan Unit Amanah

pelaburan unit amanahPelaburan unit amanah menjadi antara peluang pelaburan yang paling menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana pelaburan ini mudah dilakukan, memerlukan modal yang rendah dan pilihan dana yang pelbagai.

Jika dilihat di laman web Morningstar, terdapat beratus-ratus pilihan dana unit amanah yang boleh dipilih untuk anda memulakan pelaburan unit amanah.

Pilihan dana yang pelbagai ini kadang-kadang boleh menimbulkan masalah juga sebab susah nak pilih mana yang sesuai.

Jika anda ingin memulakan pelaburan unit amanah dan ingin menjadi seorang yang financial literacy (cerdik kewangan), janganlah sekadar memilih dana berdasarkan kepada populariti atau mengikut saranan ejen unit amanah sahaja.

Sebaliknya, buatlah kajian dan analisa sendiri agar dana unit amanah yang dipilih nanti memenuhi objektif yang anda ingin capai dan expectation yang anda harapkan.

Sebagai panduan, saya sarankan untuk ikuti langkah-langkah yang berikut dalam memulakan pelaburan unit amanah:

Langkah #1 – Pilih jenis dana dan sektor dana

Seperti yang dikatakan tadi, terdapat pelbagai pilihan dana unit amanah yang tersedia.

Namun, secara asasnya, semua dana ini dapat dibahagikan kepada 3 mengikut peruntukan aset pelaburan setiap dana, iaitu dana ekuiti, dana seimbang dan dana berpendapatan tetap.

Dana ekuiti memperuntukkan majoriti asetnya dalam pelaburan ekuiti/saham, dana berpendapatan tetap memperuntukkan asetnya dalam pasaran wang, bon atau sukuk manakala dana seimbang adalah campuran kedua-dua dana ekuiti dan dana berpendapatan tetap.

Daripada 3 jenis dana unit amanah yang asas ini, akan dibahagikan lagi mengikut objektif pelaburan (pertumbuhan modal, pendapatan dividen, modal kecil), sektor/tema (komoditi, kewangan, hartanah, pengguna, teknologi), geografi (Malaysia, ASEAN, Asia, global) dan kepatuhan syariah (patuh-syariah, konvensional)

Secara umum, dana ekuiti adalah lebih berisiko kerana pendedahan lebih tinggi terhadap pasaran saham yang mana cenderung untuk naik dan turun dengan mendadak dalam jangka masa pendek, tetapi lebih menguntungkan dalam masa panjang.

Sebaliknya, dana berpendapatan tetap kurang berisiko, tidak turun-naik dengan mendadak dan pulangannya lebih stabil, tetapi untuk jangka masa panjang, pulangannya adalah tidak seberapa.

Untuk memilih dana unit amanah yang paling sesuai untuk anda, boleh ambil kira beberapa faktor yang berikut:

#1 Tempoh pelaburan

Jika ingin melabur untuk tempoh jangka masa panjang, pilih dana ekuiti kerana turun-naik harga unit tidak akan memberikan kesan yang ketara dalam jangka masa panjang, sebaliknya akan memberikan lebih banyak pulangan.

Tetapi jika ingin melabur untuk tempoh masa pendek, iaitu kurang 5 tahun, lebih baik pilih dana berpendapatan tetap atau dana seimbang.

#2 Objektif pelaburan

Objektif yang berbeza memerlukan dana dan strategi pelaburan yang berbeza.

Secara umumnya, contoh-contoh objektif pelaburan dan pilihan jenis dana unit amanah yang sesuai adalah seperti yang berikut:

  • membina dana persaraan – dana ekuiti umum/agresif
  • tabung pendidikan – dana ekuiti umum/dana indeks
  • meningkatkan harta kekayaan (capital growth) – dana ekuiti agresif/pertumbuhan
  • meraih pendapatan berkala – dana ekuiti pendapatan
  • melindungi harta & mengatasi inflasi – dana berpendapatan tetap
  • mengumpul wang pendahuluan pembelian rumah – dana ekuiti agresif/pertumbuhan

#3 Toleransi risiko

Setiap orang mempunyai toleransi risiko yang berbeza, dan ini akan mempengaruhi gaya pelaburan masing-masing.

Bagi pelaburan unit amanah, jika anda seorang yang sanggup mengambil risiko yang tinggi, iaitu sanggup melihat turun naik harga dengan mendadak dan sabar menunggu sehingga tempoh masa yang panjang, maka dana ekuiti adalah pilihan yang terbaik.

Tetapi, sebaliknya jika anda hanya sanggup mengambil risiko yang rendah dan tak sanggup melihat turun naik harga, maka dana berpendapatan tetap adalah lebih sesuai untuk anda.

Dan jika anda langsung tidak mahu mengambil sebarang risiko, maka pelaburan unit amanah bukan untuk anda.

Sebaliknya, lebih baik simpan sahaja duit anda dalam akaun bank, Tabung Haji atau ASB.

Setelah mengambil kira 3 faktor di atas, sekarang anda sudah sepatutnya tahu samaada anda ingin melabur dalam dana ekuiti, dana seimbang atau dana berpendapatan tetap.

Secara peribadi, oleh kerana saya masih muda dan sanggup mengambil risiko lebih tinggi, saya lebih gemar memilih dana ekuiti berbanding dana seimbang dan dana berpendapatan tetap.

Bagaimana pula dengan anda, dah pilih jenis dana yang anda nak?

Kalau dah, barulah kita bergerak ke langkah seterusnya.

Langkah #2 – Menilai syarikat-syarikat pengurus dana unit amanah

pelaburan unit amanahTahukah anda bahawa terdapat banyak syarikat pengurus dana yang menawarkan pelbagai pilihan dana unit amanah yang terdapat di Malaysia.

Mungkin anda biasa mendengar yang popular sahaja, seperti Public Mutual dan CIMB Principal

Selain 2 syarikat ini, ada banyak lagi syarikat pengurus dana contohnya Eastspring Investments, Kenanga Investors dan PMB Investment.

Jadi, dalam memilih syarikat pengurus dana, janganlah ambil kira populariti sahaja, sebaliknya nilaikan juga prestasi, track record dan konsistensi syarikat pengurus dana tersebut.

Kenapa penting untuk menilai prestasi syarikat pengurus dana?

Kerana mereka yang akan menguruskan dan melabur duit yang anda laburkan; jika prestasi mereka tidak baik, anda boleh mengalami kerugian.

Bagaimana nak menilai kesemua aspek tersebut?

Kebiasaannya, setiap syarikat mempunyai 1 atau 2 dana yang terbaik.

Tetapi, jika nak menilai prestasi sebenar sesebuah syarikat pengurus dana, jangan dilihat kepada prestasi 1 atau 2 dana yang terbaik itu sahaja.

Sebaliknya, lihat juga prestasi dana-dana lain yang diuruskan mereka, samaada dana-dana tersebut mencapai prestai yang baik dan konsisten ataupun tidak.

Bandingkan dana-dana syarikat tersebut dengan penanda aras yang mereka tetapkan.

Bandingkan juga dengan prestasi dana-dana daripada syarikat pengurus dana yang lain.

Lihat prestasi dana-dana tersebut untuk tempoh 3, 5 dan 10 tahun; lihat pada konsistensi, adakah dana-dana tersebut mencatat prestasi yang baik dalam tempoh masa panjang dan semasa ekonomi gawat.

Di mana nak lihat semua ini?

Untuk lebih mudah, anda boleh lihat di laman web Fundsupermart (pilih menu Funds Info) dan Morningstar (pilih tool Fund Selector).

Saya lebih kerap menggunakan laman web Fundsupermart sebab lebih mudah.

Daripada perbandingan yang dibuat, jika majoriti dana yang diuruskan syarikat yang anda pilih mengatasi dana-dana syarikat lain, dan mencapai prestasi lebih baik berbanding penanda aras yang mereka tetapkan, maka anda telah menemui syarikat pengurus dana unit amanah yang baik.

Sekarang, kita boleh bergerak ke langkah seterusnya.

Langkah #3 – Analisa khusus ke atas dana unit amanah

Dalam langkah ketiga ini, anda perlu membuat analisa khusus ke atas dana unit amanah yang dipilih.

Katakanlah, dalam langkah #1, anda memilih untuk melabur dalam dana ekuiti (Malaysia, patuh syariah)

Dalam langkah #2, anda telah mengenalpasti 3 pengurus dana yang memenuhi kriteria yang ditetapkan, sebagai contoh anda pilih Eastsping Investments, Kenanga Investors dan PMB Investment.

Daripada 3 pengurus dana ini, anda pilih pula dana mereka yang memenuhi objektif anda, contohnya anda pilih Eastspring Investments Dana al-Ilham, Kenanga Syariah Growth Fund dan PMB Shariah Aggressive Fund.

Untuk ketiga-tiga dana ini, anda perlu menilai setiap dana secara spesifik daripada beberapa aspek, iaitu:

#1 Prestasi (performance) – Dua perkara perlu dilihat; kedudukan dana vs dana-dana lain dan prestasi dana vs penanda aras

#2 Volatility – Kadar pergerakan turun-naik harga, menunjukkan kestabilan/konsistensi harga dana

#3 Sharpe ratio (prestasi berasaskan risiko) – Menilai prestasi dana berbanding risiko yang dtanggung

#4 Kos dana – Caj jualan, caj pengurusan tahunan dan yuran tahunan pemegang amanah; ditunjukkan melalui expense ratio

pelaburan unit amanahSemua ini boleh didapati daripada prospektus dana, laporan berkala/tahunan dan juga menerusi laman web seperti Morningstar dan Fundsupermart.

Selepas membuat penilaian spesifik ke atas dana-dana yang dipilih, sekarang sudah boleh tentukan dana mana yang paling baik mengikut kehendak anda.

Jika terasa susah nak pilih, boleh sahaja anda mulakan pelaburan unit amanah melalui 2 atau 3 dana sekaligus.

Tetapi ingat, jangan terlalu banyak pula, 3 dana pun sudah memadai.

Langkah #4 – Mula melabur

Sekarang, anda dah pilih dana mana yang berkenan di hati, bukan?

Untuk mula melabur, anda boleh mula mencari ejen dana unit amanah tersebut; jika tak tahu di mana nak cari, anda boleh hubungi syarikat pengurus dana tersebut untuk mendapatkan ejen mereka yang terdekat.

Boleh juga jika nak melabur secara online menerusi Fundsupermart atau eUnittrust.

Anda boleh mula melabur samaada secara lumpsum tunai, berkala ataupun melalui pengeluaran KWSP.

Terpulanglah kepada anda.

Selepas melabur, anda perlu memantau prestasi dana anda dari semasa ke semasa.

Janganlah dibiarkan sahaja tanpa tahu perkembangan dana samaada rugi atau untung.

Dan pada masa yang sama, janganlah gopoh atau bertindak keterlaluan jika melihat harga dana yang dibeli menjunam, sebaliknya sabar dan beri sedikit masa untuk melihat samaada harga dana boleh melantun kembali ataupun tidak.

Sebaliknya, jika memang setelah sekian lama prestasi dana tersebut memang menyebabkan anda kerugian sedangkan pada masa yang sama dana-dana lain dalam jenis dan sektor yang sama memberikan keuntungan, barulah anda boleh berpindah ke dana yang lain.

Masih ragu-ragu dengan pulangan pelaburan unit amanah?

Berdasarkan pengalaman saya selama beberapa tahun melabur dalam 4 dana unit amanah yang berbeza, pelaburan unit amanah memang memberikan pulangan yang baik dengan syarat memilih dana yang betul.

Jadi, jangan ragu-ragu ya.

Selamat melabur dalam pelaburan unit amanah!

Strategi Pelaburan Hartanah Untuk Pelabur Baru

pelaburan hartanahBaru-baru ini, pada 18/09/2016, saya sempat menyertai webinar pelaburan hartanah oleh Tuan Faizul Ridzuan yang dianjurkan bersama-sama dengan pihak GilaHartanah.com

Tuan Faizul Ridzuan adalah salah seorang pelabur dan sifu pelaburan hartanah yang tersohor di Malaysia, dan beliau merupakan salah seorang penulis dalam ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke?

Beliau juga banyak berkongsi tips dan panduan berkaitan pelaburan hartanah di blog beliau, faizulridzuan.com/blog dan laman Facebook beliau: https://www.facebook.com/faizul.ridzuan.official

Beliau juga adalah penganjur kepada seminar pelaburan hartanah terbaik di Malaysia, iaitu Seminar Sarjana Hartanah

(Klik di sini untuk lihat lebih lanjut berkenaan Seminar Sarjana Hartanah)

Semasa webinar baru-baru ini, beliau ada berikan satu strategi pelaburan hartanah untuk newbies, atau untuk mereka yang baru hendak bermula.

Bagi newbies, masalah paling utama yang sering dihadapi untuk memulakan pelaburan hartanah adalah ketiadaan modal.

Maklumlah, untuk membeli rumah, kebiasaannya akan melibatkan beberapa kos seperti yang saya ceritakan dalam artikel sebelum ini: 9 Cara Beli Rumah Tanpa Modal Besar

Strategi yang diberikan oleh Tuan Faizul Ridzuan ini merupakan cara beli rumah yang boleh mengatasi halangan di atas, malah sebenarnya telah lama diamalkan kebanyakan orang yang terlibat dalam pelaburan hartanah.

Strateginya adalah seperti yang berikut:

Langkah #1: Cari dan beli rumah yang berharga 20% ke 30% bawah daripada market value

Untuk semak market value di sesuatu kawasan, boleh semak harga rumah-rumah baru di kawasan tersebut.

Boleh juga bertanya kepada ejen-ejen hartanah, atau pihak pembiaya (bank) kerana biasanya mereka mempunyai data nilai-nilai hartanah di sesuatu kawasan.

Selepas dah tahu market value sesuatu kawasan, bolehlah cari rumah-rumah yang dijual di bawah value tersebut.

Masih adakah rumah-rumah yang dijual murah di bawah market value?

Jawapannya, ya, masih ada dan banyak, cuma perlu rajin dan tahu nak cari kat mana.

Kebiasaannya, rumah-rumah yang dijual di bawah market value adalah rumah lelong atau subsale (second-hand)

Memang kebanyakan rumah-rumah sebegini berkeadaan buruk, busuk dan tidak menarik, tetapi sebenarnya inilah lubuk untuk menjana pendapatan lumayan.

Untuk cari rumah-rumah sebegini, boleh cari melalui laman-laman web seperti Mudah.my, PropertyGuru atau iProperty

Ataupun melalui ejen-ejen hartanah atau rumah lelong (pastikan ejen yang berdaftar)

Biasanya mereka mempunyai senarai rumah-rumah yang baik untuk dijadikan pelaburan.

Langkah #2: Buat pinjaman/pembiayaan rumah semaksimumnya ikut market value

Kelebihan membeli rumah yang berharga di bawah market value adalah pembeli boleh mendapatkan ‘cashback’ apabila membuat pinjaman/pembiayaan rumah nanti.

Contohnya, katakanlah market value untuk sebuah apartment di kawasan A adalah RM 200,000, tetapi anda berjaya mencari sebuah apartment yang berharga RM 160,000 (20% di bawah market value)

Jadi, anda boleh dapatkan pinjaman/pembiayaan rumah sebanyak 90% daripada market value (bukan harga rumah), iaitu sebanyak RM 180,000

Oleh kerana harga rumah adalah RM 160,000 sahaja, maka anda dapat ‘cashback’ sebanyak RM 20,000

Langkah #3: Buat pengeluaran akaun II KWSP

pelaburan hartanahSelain dapat lebihan duit melalui pinjaman/pembiayaan rumah, anda juga boleh memohon pengeluaran daripada baki akaun II KWSP anda untuk dapatkan lebih banyak modal.

Jika anda masih belum tahu, KWSP membenarkan pengeluaran baki daripada akaun II pencarum untuk digunakan bagi membeli/membina rumah pertama dan kedua (selepas rumah pertama dilupus hakmilik)

Amaun yang boleh dikeluarkan adalah seperti dalam gambar di sebelah.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan pengeluaran ini, boleh rujuk di laman web KWSP.

Bagi contoh di atas, katakanlah amaun yang dibenarkan dibuat pengeluaran adalah 10% daripada harga rumah, maka anda boleh dapat lagi tambahan RM 16,000 (kalau baki akaun KWSP II anda lebih dari jumlah ini)

Langkah #4: Manfaatkan modal yang diperoleh

Kalau mengikut contoh di atas, sekarang senang-senang sahaja dah ada RM 36,000 hasil dari beli sebuah rumah yang berharga 20% di bawah market value.

Orang lain beli rumah terpaksa keluarkan banyak duit, sebaliknya dengan strategi ini, beli rumah boleh dapat duit.

Sekarang, kenalah manfaatkan modal yang diperoleh dengan sebaik-baiknya, jangan guna untuk perbelanjaan lain pula.

Boleh gunakan modal tersebut untuk baiki atau tambah baik rumah ‘buruk busuk’ yang dibeli tadi untuk tingkatkan nilainya bagi dijual atau disewakan.

Boleh juga digunakan sebagai modal untuk beli rumah-rumah lain sebagai pelaburan, atau ulang sahaja strategi di atas untuk dapatkan lebih banyak rumah dan modal.

Peringatan! Bukan semudah yang disangka

Strategi di atas memang nampak macam mudah, tapi kalau tak kena caranya, boleh tersilap langkah juga.

Boleh jadi sahaja rumah pertama yang nak dibeli itu berada di lokasi yang tak strategik.

Ataupun kos pembaikian rumah tersebut jauh lebih tinggi berbanding ‘cashback’ yang diperoleh.

Ataupun permohonan mendapatkan pinjaman/pembiayaan rumah tersebut ditolak oleh bank.

Ataupun apabila nak disewakan, tiada sambutan yang hangat daripada bakal penyewa, dan lebih teruk lagi nilai sewaan sangat rendah.

Nak buat pelaburan hartanah memang ada banyak cabaran dan halangannya.

Sebab itulah kena ada ilmu yang mencukupi.

pelaburan hartanahBanyak perkara perlu diberi perhatian sebelum membeli rumah untuk pelaburan, contohnya kajian lokasi, kos-kos terlibat, pinjaman/pembiayaan rumah, undang-undang hartanah dan juga pulangan pelaburan.

Tetapi, jangan bimbang, pada zaman sekarang semua ini boleh dan mudah untuk dipelajari.

Salah satu caranya adalah melalui pengalaman pelabur-pelabur hartanah yang tersohor sepertimana yang dikumpulkan dalam ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke?

Boleh dapatkan dengan harga serendah RM 60 sahaja dengan klik di sini: Beli ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke?

Disarankan juga untuk baca ebook Buat Profit RM50K Dengan Propery, yang mana penulis ebook ini ceritakan bagaimana beliau jana pendapatan RM 50,000 melalui pelaburan hartanah.

Ebook Buat Profit RM50K Dengan Property hanya berharga RM 50 sahaja, dan boleh diperoleh di sini: Buat Profit RM50K Dengan Property

Kalau nak belajar lebih advance dan comprehensive berkenaan pelaburan hartanah, boleh sertai Seminar Sarjana Hartanah oleh Tuan Faizul Ridzuan.

(Klik di sini untuk lihat lebih lanjut berkenaan Seminar Sarjana Hartanah)

Seminar ini terdiri daripada 7 hari seminar, iaitu 5 hari seminar online + 2 hari seminar offline (perlu hadir) dan modulnya meliputi beberapa perkara yang berikut:

  • Asas-asas dalam pelaburan hartanah
  • Teknik mencari maklumat dan membuat kajian berkenaan sesuatu hartanah
  • Maklumat berkenaan pinjaman/pembiayaan hartanah dan konsep leveraging
  • Hal-hal perundangan berkaitan jual-beli dan pelaburan hartanah
  • Cara yang betul untuk menyewakan hartanah
  • Strategi tingkatkan nilai hartanah dengan renovation dan furnishing yang betul
  • Bagaimana membeli lebih banyak hartanah selepas hartanah pertama
  • Perkara-perkara penting untuk tentukan jual-beli hartanah

Memang topik-topik yang diliputi dalam Seminar Sarjana Hartanah adalah lengkap bagi mereka yang berminat untuk terlibat dalam pelaburan hartanah.

Dan sebenarnya telah ramai yang mendapat manfaat daripada seminar yang dijalankan Tuan Faizul Ridzuan ini.

Boleh klik di sini untuk lihat testimoni peserta-peserta Seminar Sarjana Hartanah sebelum ini

Untuk dapatkan harga early bird dan lebih murah, boleh daftar secara berpasangan atau berkumpulan 3 orang atau lebih.

Pakatlah dengan pasangan atau rakan-rakan supaya yuran penyertaan boleh jadi lebih murah.

Selagi masih ada seat kosong dan harga early bird, cepat-cepatlah mendaftarkan diri!

Boleh klik di sini untuk lihat kekosongan tempat dan setai Seminar Sarjana Hartanah

3 Perkara Perlu Tahu Tentang Pelaburan Emas

pelaburan emasJika dilihat sekarang, trend pelaburan emas mula mendapat perhatian semula sepertimana waktu ‘kegilaan’ pelaburan emas sekitar tahun 2011 dahulu.

Ini kerana, jika dilihat kepada pergerakan carta harga emas, didapati bahawa harga emas sekarang dalam trend menaik, dan hampir menyamai harga kemuncak pada 2011 dahulu.

Harga emas sekarang berlegar sekitar RM 170 ke RM 180/gram, yang mana sebelum ini pada 2013 hingga 2015, harga emas berlegar sekitar RM 130 ke RM 150/gram sahaja.

Boleh semak harga emas di sini: http://goldprice.org/gold-price-malaysia.html

pelaburan emas

Bagi mereka yang konsisten membeli dan menyimpan emas pada tahun-tahun kejatuhan harga emas sebelum ini, pastinya sekarang tersenyum gembira melihat nilai emas yang disimpan mencatatkan keuntungan.

Itulah untungnya ‘istiqamah’ dalam pelaburan emas.

Bagi mereka yang baru nak mulakan pelaburan emas sekarang, pastinya tertanya-tanya, adakah trend kenaikan harga emas ini akan terus kekal?

Atau dah pun capai kemuncak, dan akan mula jatuh selepas ini?

Saya tiada jawapan untuk soalan-soalan di atas, tetapi, jika anda ingin memulakan pelaburan emas sekarang, ada beberapa perkara yang perlu di beri perhatian.

1. Harga emas bukan ditentukan permintaan dan tawaran sahaja

Sebelum ini mungkin ramai yang percaya bahawa harga emas ditentukan oleh permintaan dan tawaran (demand and supply) sahaja.

Jika permintaan tinggi dan penawaran rendah, harga emas akan melonjak naik, dan begitu juga sebaliknya.

Sebenarnya, ini adalah konsep yang kurang tepat.

Banyak faktor lain yang mempengaruhi harga emas selain faktor permintaan dan tawaran, seperti sentimen pasaran yang lemah, ketidaktentuan ekonomi dan kejadian-kejadian ‘luarbiasa’ seperti perang dan bencana besar.

Semua faktor ini boleh mempengaruhi harga emas walaupun paras permintaan dan tawaran emas adalah normal.

Misalnya, semasa Brexit baru-baru ini, harga emas dunia (dalam US Dollar) meningkat dengan mendadak dalam masa sehari (sehingga 4.7%)

Harga emas juga pernah naik secara mendadak semasa krisis-krisis kewangan yang berlaku sebelum ini, iaitu sehingga 7.7% pada Dot Com Crash 2000 dan 32% pada Global Financial Crisis 2008.

pelaburan emas

Selain daripada itu, harga emas turut dipengaruhi kestabilan nilai US Dollar; dalam kebanyakan situasi, semakin stabil nilai US Dollar, semakin lemah harga emas.

Oleh itu, sebarang faktor yang memberi kesan ke atas nilai US Dollar, akan turut sama memberi kesan kepada harga emas.

jpelaburan emas

Kesimpulan yang dapat dibuat untuk poin pertama ini adalah oleh kerana harga emas boleh dipengaruhi banyak faktor, maka amat sukar untuk meramal pergerakan harga emas pada masa hadapan.

Boleh sahaja harga emas terus menaik, atau tiba-tiba turun dengan mendadak.

Oleh itu, janganlah mudah percaya jika ada yang kata harga emas akan terus naik dan naik.

2. Emas bukan penyimpan nilai terbaik

Ramai yang terlibat dalam pelaburan emas disebabkan anggapan mereka bahawa emas adalah penyimpan nilai terbaik.

Misalnya, apabila berlaku ketidaktentuan dalam pasaran saham, ramai pelabur menukar pelaburan saham mereka kepada emas, dengan harapan emas dapat menyimpan nilai pelaburan mereka.

Malah, orang yang mempromosikan pelaburan emas sering menggunakan terma “emas kalis inflasi” sebagai ungkapan popular untuk menarik orang membeli dan menyimpan emas.

Fakta yang sebenar, walaupun emas adalah penyimpan nilai yang baik, namun emas bukanlah penyimpan nilai yang terbaik.

Emas tidak kalis inflasi sepenuhnya.

Sepertimana yang dinyatakan dalam poin pertama di atas, harga emas boleh turun naik setiap masa dan dipengaruhi oleh banyak faktor.

Ada masanya harga emas akan naik, dan ada masanya harga emas akan turun malah lebih teruk daripada kenaikan inflasi.

Contohnya, bagi mereka yang membeli dan menyimpan emas pada kemuncak harga pada 2011 dahulu, jika mengikut harga sekarang selepas 5 tahun, nilai emas yang dipegang tersebut masih lebih rendah berbanding semasa di beli dulu.

Tambahan lagi, mengikut kajian, sifat turun naik harga emas (volatility) adalah lebih tinggi berbanding volatility pasaran saham/ekuiti, bagi tempoh 5, 10 dan 20 tahun terdahulu.

pelaburan emas

Oleh kerana sifat volatility yang tinggi ini, pelaburan emas juga merupakan satu pelaburan yang berisiko dan banyak perkara perlu difikirkan sebelum memulakan pelaburan emas.

Dan pelaburan emas lebih sesuai untuk tempoh jangka masa panjang supaya dapat menyerap kesan turun-naik harga emas.

Jika mahukan pelaburan yang lain sebagai alternatif untuk menyimpan nilai, pelaburan bon/sukuk adalah lebih stabil berbanding pelaburan emas.

3. Instrumen pelaburan emas adalah pelbagai

Pelaburan emas yang paling popular adalah menerusi emas fizikal, samaada dalam bentuk barang kemas, gold bar atau syiling dinar emas.

Masalah utama dengan emas fizikal adalah penyimpanannya; jika disimpan sendiri di rumah boleh terdedah kepada risiko dicuri, jika disimpan di dalam peti simpanan bank akan dikenakan caj pula.

Jadi, sebagai alternatif kepada pelaburan emas dalam bentuk fizikal, mungkin boleh dipilih instrumen-instrumen pelaburan emas yang lain.

Mungkin boleh pilih pelaburan emas dalam bentuk sijil/akaun pelaburan emas sepertimana yang ditawarkan beberapa bank (contoh boleh lihat di sini: https://www.imoney.my/invest-gold)

Sijil/akaun pelaburan emas adalah pilihan instrumen pelaburan emas yang baik, namun bilangannya adalah terhad, terdapat isu kepatuhan syariah dan caj-caj tersembunyi seperti caj servis dan caj pengeluaran.

Alternatif lain, boleh terlibat dalam pelaburan emas secara tidak langsung melalui dana unit amanah atau ETF yang melabur dalam sektor emas, seperti RHB Gold & General Fund dan Precious Metals Securities (dulu dikenali sebagai AmPrecious Metals)

Jika dilihat kepada prestasi kedua-dua dana ini, untuk tahun 2016, kedua-duanya mencatat pulangan lebih 70%.

jomurusduit-pelaburan-emas-6

Boleh juga secara tidak langsung terlibat dalam pelaburan emas melalui pasaran saham, iaitu dengan membeli saham syarikat-syarikat yang menjalankan operasi berkaitan emas seperti menjual atau melombong emas.

Tetapi, jika ingin terlibat dalam pelaburan emas melalui dana unit amanah, ETF atau pasaran saham, bukan sahaja perlu meramal harga emas pada masa hadapan, malah perlu punyai kemahiran memilih syarikat terbaik melalui analisa fundamental.

Apa yang ingin ditekankan dalam poin ketiga ini adalah, pelaburan emas boleh dilakukan dalam pelbagai cara, terpulang kepada pelabur untuk memilih cara pelaburan yang terbaik dan sesuai dengan objektif dan toleransi risiko masing-masing.

Penutup

Sama seperti peluang pelaburan yang lain, pelaburan emas tidak menjanjikan keuntungan sepanjang masa.

Ada masanya pulangan adalah baik, ada masanya akan berlaku sebaliknya.

Tambahan lagi, emas merupakan item komoditi yang mana turun-naik harganya adalah sukar diramal dan emas tidak mempunyai intrinsic value seperti aliran tunai atau hasil dividen.

Malah, trend kenaikan harga emas sekarang tidak diketahui samaada akan berterusan dalam tempoh yang panjang atau berlaku seketika sahaja.

Maka, janganlah sewenang-wenangnya terlibat dalam pelaburan emas tanpa ilmu yang mencukupi atau dengan hanya mengikut kata-kata/pujukan orang lain.

Lebih penting lagi, jangan sampai tertipu dan terjebak dengan skim-skim pelaburan emas yang menjanjikan pulangan palsu, sepertimana yang pernah terjadi beberapa tahun dahulu.

Sebaik-baiknya, peruntukkan sebahagian sahaja daripada duit yang ada, mungkin sekitar 10 ke 20%, untuk pelaburan emas.

Jadilah pelabur yang bijak, bukan yang hanya sekadar mengikut trend.

Nota kaki:

Jika berminat nak melabur dalam pelaburan emas, boleh dapatkan rujukan lebih lanjut di sini: Rahsia Pelabur Emas

Jika berminat untuk terlibat dalam perniagaan emas, boleh dapatkan rujukan lebih lanjut di sini: Rahsia Usahawan Emas

Artikel ini ditulis berdasarkan artikel asal bertajuk 3 Things You Need To Know About Gold Investments yang disiarkan pihak iFast Capital Sdn. Bhd. di fundsupermart.com.my

Boleh baca artikel asal di sini:

https://www.fundsupermart.com.my/main/research/-View-Idea-of-The-Week-3-Things-You-Need-To-Know-About-Gold-Investments-9-Sep-2016–7484