Kenapa Perlu Tahu Cara Kira Pulangan Pelaburan?

pulangan pelaburanDalam artikel sebelum ini, 3 Indikator Untuk Kiraan Pulangan Pelaburan, diterangkan perbezaan antara tiga indikator utama untuk kiraan ROI iaitu total return, average annual return dan compound average growth return.

Kenapa pentingnya seorang pelabur untuk tahu cara kiraan dan perbezaan ketiga-tiga indikator ini?

Antara sebabnya adalah seperti yang berikut:

1. Bandingkan prestasi pelaburan dengan benchmark

Apabila melabur, kita perlu meletakkan satu tanda aras (benchmark) untuk menilai prestasi pelaburan kita.

Sebagai contoh, boleh letakkan benchmark minimum 5%/tahun (seperti pulangan TH) atau 7%/tahun (pulangan ASB).

Kedua-dua benchmark ini dipilih kerana TH dan ASB boleh dikatakan instrumen simpanan/pelaburan yang paling selamat dengan pulangan yang baik.

Andainya prestasi pelaburan yang dilakukan lebih rendah berbanding benchmark TH dan ASB ini, lebih baik batalkan sahaja pelaburan tersebut dan simpan sahaja duit di TH atau ASB.

Contohnya, Ali melabur dalam unit amanah dengan modal asal RM 10,000, selepas 5 tahun nilai akhir pelaburannya menjadi RM 13,000.

Jadi, TR = 30%, AAR = 10% dan CAGR = 5.4% (nilai CAGR di ambil untuk dibandingkan dengan benchmark)

Nilai CAGR pelaburannya hanyalah 5.4%, jauh di bawah prestasi ASB iaitu sekitar 7%.

Jika Ali gunakan modal RM 10,000 tadi untuk diletakkan dalam ASB, selepas 5 tahun Ali akan mendapat sekitar RM 14,100

Beza RM 1,100 (RM 14,100 – RM 13,000) antara nilai akhir pelaburan unit amanah Ali dan anggaran nilai dalam ASB dianggap sebagai kos melepas (opportunity cost)

Di samping menggunakan benchmark sendiri seperti prestasi TH dan ASB, sesuatu pelaburan juga boleh dibandingkan dengan benchmark pelaburan itu sendiri.

Sebagai contoh, kebanyakan dana unit amanah kategori ekuiti Islamik meletakkan prestasi indeks Shariah (FTSE Bursa Malaysia EMAS Shariah Index) sebagai benchmark mereka.

Jadi, apabila memilih sesuatu pelaburan, kenalah tahu apa benchmark yang ditetapkan oleh pelaburan tersebut.

Dari semasa ke semasa, pantaulah pelaburan itu supaya dapat tahu prestasi sebenar pelaburan tersebut.

Baca juga:  eSeminar BMW Bijak Merancang Wang Afyan Rawi

2. Bandingkan prestasi pelaburan antara satu sama lain

pulangan pelaburanKatakanlah, Ahmad mempunyai modal pelaburan sebanyak RM 30,000 yang mana sebanyak RM 20,000 dilaburkan melalui satu unit amanah, manakala RM 10,000 lagi dilaburkan ke dalam pasaran saham.

Selepas 5 tahun, Ahmad mendapati nilai akhir pelaburan unit amanah beliau adalah RM 32,000 manakala nilai sahamnya RM 17,000.

Jika dikira, ROI untuk setiap pelaburan Ahmad adalah seperti yang berikut:

Pelaburan unit amanah:

TR = 60%

AAR = 12%

CAGR = 9.9%

Pelaburan saham:

TR = 70%

AAR = 14%

CAGR = 11.2%

Daripada kiraan ini, dapat dirumuskan secara mudah bahawa prestasi pelaburan saham Ahmad adalah lebih baik berbanding pelaburan unit amanahnya.

Sekiranya Ahmad meletakkan semua modal RM 30,000 ke dalam pelaburan sahamnya dulu, nilainya akan menjadi sekitar RM 52,000!

Di sini juga dapat dilihat adanya opportunity cost yang terlepas.

Jadi, selepas ini mungkin Ahmad boleh menukar strategi pelaburan beliau supaya lebih keuntungan dapat dijana.

3. Elak ditipu penipu (scammer)

Warren Buffett adalah salah seorang pelabur yang paling berjaya di dunia, yang mana beliau mencatatkan purata pulangan terkompoun sekitar 22.3% selama 36 tahun (rujuk di sini)

Maksudnya, dengan modal RM 1,000 36 tahun yang lalu, kini nilainya akan menjadi sekitar RM 70 juta!

Itu adalah pulangan yang diperoleh seorang pelabur yang hebat.

Maka, amat sukar untuk adanya sesuatu pelaburan yang boleh mengatasi pulangan yang diperoleh pelabur tersohor ini.

Jadi, jika ada orang datang mendakwa atau menawarkan sesuatu pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi, mungkin perlu lebih berhati hati.

Misalnya, dulu isteri saya pernah ditawarkan satu program yang menjanjikan dengan modal awal RM 3,500 jika dibiarkan selama 12 bulan, akan mendapat RM 106,000

Jika  dibuat kira-kira, pulangannya 2900% setahun!

Untuk dapatkan pulangan 15% setahun pun sudah susah, apatah lagi berlipat-ganda seperti itu.

Kalau ada tawaran yang tidak realistik seperti ini, jangan biarkan diri dikuasai rasa tamak.

Sebaliknya, lebih baik jauhkan diri daripada biarkan duit hangus.

Baca juga:  6 Langkah Mudah Rancang Pelan Persaraan

4. Elakkan misleading info

pulangan pelaburanSemasa saya mula-mula nak melabur dalam pelaburan unit amanah beberapa tahun dulu, seorang agen yang saya jumpa menunjukkan kira-kira tentang pulangan dana yang dipromosikannya.

Ditunjukkan bahawa dana tersebut menghasilkan pulangan lebih 15%/tahun dalam tempoh masa 5 tahun.

Dikatakannya bahawa prestasi dana tersebut jauh lebih baik daripada ASB.

Biasalah, orang nak promosi.

Tetapi, saya membuat kira-kira sendiri.

Rupa-rupanyanya, pulangan yang ditunjukkan beliau adalah pulangan AAR, manakala CAGR yang saya kira adalah sekitar 9% sahaja.

Sedikit sahaja mengatasi prestasi pulangan ASB.

Misleading info sebegini banyak terjadi terutama kepada pelabur-pelabur yang baru mula nak melabur.

Tidak boleh salahkan agen sepenuhnya, kerana memang tugas mereka untuk mempromosikan dan bercerita yang baik-baik sahaja tentang produk mereka.

Menjadi tugas bakal pelabur untuk melakukan kira-kira sendiri dan membuat keputusan samaada untuk melabur atau tidak.

Lagipun, modal pelaburan nanti adalah duit pelabur sendiri, bukan?

Jadi, kenalah bertanggungjawab dan pandai buat kira-kira.

Oh ya, dalam cerita di atas, walaupun diberikan misled info, saya tetap melabur dalam dana unit amanah tersebut kerana melalui kiraan saya, prestasi dana tersebut masih memenuhi sasaran yang saya kehendaki.

Past performance does not indicate future result

Walaupun kita dapat mengira pulangan sesuatu pelaburan menggunakan indikator-indikator yang disediakan, kena selalu ingat tentang mantera di atas.

Prestasi masa lalu, tidak menggambarkan prestasi masa depan.

Setiap indikator yang ditunjukkan hanya menggambarkan prestasi masa lalu dan memberikan sedikit sahaja gambaran berkenaan prestasi masa depan.

Pelaburan yang baik hari ini, belum tentu baik pada masa depan.

Begitu juga sebaliknya.

Banyak faktor yang mempengaruhi prestasi sesuatu pelaburan, contohnya situasi ekonomi global, kecekapan pengurusan, turun naik harga komoditi, persaingan, sentimen pasaran dan tawaran vs permintaan.

Apabila ingin melabur, faktor-faktor ini yang perlu dianalisa dengan baik sebelum menanam modal.

Jadi, di sini memerlukan kemahiran-kemahiran lain seperti mengira yield, cashflow, net profit, membaca laporan tahunan dan sebagainya.

Baca juga:  4 Kuadran Sumber Pendapatan-Anda Yang Mana Satu?

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini