Tag Archive: kiraan cukai pendapatan

Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2016 Untuk e-Filing 2017

pelepasan cukai pendapatan 2016Jika dilihat di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak LHDN baru sahaja mengemaskini senarai pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi individu warganegara/pemastautin Malaysia.

Bermula 01 Mac 2017 nanti, semua individu warganegara/pemastautin Malaysia yang memenuhi syarat dikehendaki menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2016 dengan mengisi e-Filing.

Taksiran 2016 diisi pada tahun 2017, taksiran 2017 akan diisi pada tahun 2018.

Maka, senarai pelepasan cukai pendapatan terbaru ini akan digunakan ketika isi e-Filing nanti, supaya jumlah pendapatan bercukai dapat dan jumlah cukai kena bayar dapat dikurangkan.

Untuk lihat senarai tersebut, boleh ke laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/, klik pada Individu, kemudian klik pada Pelepasan Cukai.

Terdapat 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016 yang disenaraikan, sepertimana yang berikut:

pelepasan cukai pendapatan 2016

Jika diteliti, ada beberapa perubahan berbanding senarai pelepasan cukai tahun-tahun sebelumnya.

Jom kita teliti satu per satu.

Pelepasan #1 – Individu dan saudara tanggungan

Yang ini sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pelepasan ini diberikan kepada semua individu, dan jumlahnya masih sama iaitu RM 9,000

Pelepasan #2 – Penjagaan ibu bapa

Untuk jenis ini, ada sedikit penambahbaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum ini, pelepasan hanya dibenarkan untuk perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibubapa yang mempunyai masalah kesihatan yang disahkan pengamal perubatan sahaja.

Pelepasan ini masih diteruskan untuk tahun 2016, dan jumlahnya juga masih sama iaitu RM 5,000

Tambahan untuk pelepasan cukai pendapatan 2016, pelepasan juga diberikan bagi perbelanjaan menyara ibubapa meskipun mereka tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak tinggal bersama-sama.

Inisiatif ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak yang mengambil berat berkenaan kebajikan ibubapa mereka dan sokongan kerajaan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 1,500 bagi ibu (jika bapa telah tiada), RM 1,500 bagi bapa (jika ibu telah tiada) atau RM 3,000 bagi kedua-dua ibubapa (kedua-duanya masih ada)

Walaubagaimanapun, pelepasan ini ada syaratnya iaitu ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.

Pelepasan #3 – Peralatan sokongan khas

Pelepasan ini hanya khas bagi individu kelainan upaya (OKU) atau untuk suami/isteri, anak atau ibubapa kelainan upaya.

Pelepasan diberikan bagi perolehan atau perbelanjaan peralatan sokongan khas yang dieprlukan dan jumlahnya terhad kepada RM 6,000

Pelepasan #4 – Individu kelainan upaya (OKU)

Bagi individu OKU, mereka mendapat pelepasan tambahan sebanyak RM 6,000 selain daripada pelepasan individu di atas (#1)

Pelepasan #5 – Yuran pendidikan sendiri

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi yang sedang melanjutkan pelajaran, berhak untuk menuntut pelepasan yuran pendidikan sendiri.

Walaubagaimanapun, bagi peringkat Sijil, Diploma atau Sarjana Muda, kursus yang layak dihadkan kepada Undang-undang, Perakaunan, Kewangan Islam, Teknikal, Vokasional, Industri, Saintifik atau Teknologi sahaja.

Bagi peringkat Sarjana dan PhD pula, sebarang bidang atau kursus pengajian adalah layak menuntut pelepasan ini.

Bagi yang menerima biasiswa bagi pengajian yang sedang diikuti adalah tidak layak menuntut pelepasan ini.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 7,000 (sebelum ini RM 5,000 sahaja)

Pelepasan #6 – Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati

Bagi meringankan beban individu yang mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan penyakit kritikal sama ada melibatkan diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan diberikan sebanyak RM 6,000

Antara penyakit kritikal yang dibenarkan pelepasan adalah kanser, serangan jantung, pulmonary hypertension, sakit buah pinggang kronik, sakit hati (liver/hepatic) kronik, fulminant viral hepatitis, tumor & kecacatan pembuluh darah di otak, melepuh & melecur kebakaran yang keterlaluan, pemindahan organ utama, sindrom Parkinson, HIV & AIDS, pemotongan kaki/tangan, kecederaan kepala akibat kemalangan, penyakit kulit kronik, penyakit mental, diabetes mellitus, talasemia major, rheumatology dan leukemia.

Pelepasan #7 – Pemeriksaan perubatan penuh

Bagi pemeriksaan perubatan penuh untuk diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 500 diberikan.

Pelepasan #8 – Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan

Pelepasan sebanyak RM 1,000 diberikan bagi perbelanjaan melibatkan pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan sama ada secara hardcopy atau elektronik.

Perbelanjaan bagi pembelian surat khabar dan bahan bacaan terlarang adalah tidak dibenarkan untuk pelepasan ini.

Pelepasan #9 – Pembelian komputer peribadi untuk individu

Pelepasan ini layak untuk pembelian komputer meja (desktop), komputer riba (laptop), notebook dan ultrabook, dan tidak layak untuk pembelian tablet, telefon pintar dan komputer hybrid.

Pelepasan ini dibenarkan 3 tahun sekali sahaja, maksudnya jika pernah menuntut pada tahun 2015 atau 2014, maka tidak layak untuk tahun 2016.

Dan jika tuntut pada tahun 2016, maka tidak layak untuk tuntut pada tahun 2017 atau 2018 kelak.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 3,000

Pelepasan #10 – Tabungan bersih dalam skim SSPN

Pelepasan ini melibatkan tabungan bersih dalam skim SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Tabungan bersih adalah berdasarkan jumlah simpanan sepanjang 2016 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2016 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi tabungan bersih dalam SSPN dihadkan kepada RM 6,000

Pelepasan #11 – Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan

Perbelanjaan bagi pembelian peralatan sukan adalah diberi pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 300

Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah yang tersenarai di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 sahaja; terdapat lebih kurang 39 aktiviti sukan yang tersenarai di bawah akta (boleh lihat senarai lengkap dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html)

Pembelian pakaian sukan dan kasut sukan adalah tidak layak untuk pelepasan ini, hanya untuk peralatan sukan.

Pelepasan #12 – Faedah pembelian rumah

Pelepasan cukai pendapatan bagi faedah pembelian rumah adalah terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.

Untuk syarat kelayakan dan formula pengiraan, boleh rujuk dalam gambar di atas.

Pelepasan #13 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada isteri

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi jenis ini ditingkatkan kepada RM 4,000 (sebelum ini adalah RM 3,000)

Jadi, jika mempunyai pasangan (suami/isteri) yang tidak mempunyai pendapatan, boleh menuntut pelepasan ini.

Bayaran alimoni merujuk kepada bayaran nafkah yang diberikan kepada bekas isteri sepertimana yang ditetapkan mahkamah.

Pelepasan #14 – Suami/isteri kelainan upaya

Jika mempunyai dan menjaga suami/isteri kurang upaya, maka diberikan keistimewaan menuntut pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500

Pelepasan #15 – Anak di bawah umur 18 tahun

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi pelepasan cukai pendapatan 2016, jumlah layak tuntut telah ditingkatkan bagi kategori ini.

Jika mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan belum berkahwin, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 atas seorang anak.

Tiada had bilangan anak; jika punyai 10 orang anak berumur bawah 18 tahun dan belum berkahwin, maka boleh tuntut atas kesemua mereka.

Jika suami dan isteri isi e-Filing secara berasingan melalui taksiran individu (bukan taksiran bersama), maka setiap seorang layak menuntut RM 1,000 sahaja atas seorang anak (kelayakan 50% dalam e-Filing)

Pelepasan #16 & #17 – Anak berumur 18 tahun ke atas

Bagi kategori ini, jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 turut ditingkatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 seorang.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang mengikuti pengajian peringkat diploma atau ke atas di mana-mana institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (bagi institusi pengajian tinggi luar Malaysia, kursus ijazah atau ke atas sahaja), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 8,000 seorang.

Pelepasan ini hanya terpakai bagi kursus dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan sahaja.

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #18 – Anak kelainan upaya

Untuk setiap anak kandung kelainan upaya yang dijaga, layak untuk menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 seorang.

Bagi anak kelainan upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan, maka layak menuntut pelepasan tambahan lagi sebanyak RM 8,000

Ini bermakna, sekiranya anak kelainan upaya ini melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya adalah sebanyak RM14,000

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #19 – Insuran/takaful nyawa dan caruman KWSP

Untuk jumlah campuran antara bayaran caruman insuran/takaful nyawa dan KWSP (caruman dari bahagian sendiri), jumlah pelepasan adalah dihadkan kepada RM 6,000

Maksudnya, andaikata anda membayar caruman takaful nyawa sebanyak RM 3,000 setahun dan KWSP sebanyak RM 5,000 setahun, maka anda hanya layak menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 sahaja.

Pelepasan #20 – Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda

Jika ada menyimpan dengan Skim Persaraan Swasta (Private Retrement Scheme, PRS) atau mencarum Anuiti Tertunda (skim insurans/takaful persaraan), maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Dengan syarat, skim yang disertai adalah diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pelepasan #21 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan

Bagi caruman sebarang skim insurans/takaful pendidikan atau perubatan, maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Insurans/takaful kesihatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)

Pelepasan #22 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Ini adalah kategori baru bagi pelepasan cukai pendapatan 2016.

Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak mendapat pelepasan cukai sebanyak RM 250

Peringatan penting

Itulah sahaja 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016.

Salah satu cara untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar adalah dengan mengoptimasikan tuntutan atas pelepasan-pelepasan yang layak.

Maka, amatlah penting untuk mengetahui dan memahami setiap jenis pelepasan cukai pendapatan yang dibenarkan.

Namun ingat, pastikan tuntut bagi pelepasan yang betul-betul layak dan sah sahaja.

Pastikan juga anda menyimpan resit perbelanjaan dan dokumen yang betul bagi setiap pelepasan yang dituntut.

Pihak LHDN berhak untuk membuat audit ke atas setiap borang taksiran yang dihantar dan meminta resit atau dokumen sebagai bukti ke atas maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang taksiran tersebut.

Jika terdapat kesalahan atau dokumen tidak diterima, maka LHDN akan mengira semula jumlah cukai kena bayar dan menuntut bayaran selebehinya daripada anda.

Saya pernah diaudit oelh LHDN beberapa tahun lepas, syukur tiada apa-apa masalah.

Manalah tahu tahun ini giliran anda pula.

Akhir kata, selamat mengisi e-Filing!

10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia

cukai pendapatan income taxDi Malaysia, sistem taksiran sendiri digunakan untuk mengira cukai pendapatan yang perlu dibayar.

Dalam sistem taksiran sendiri ini, setiap orang yang memenuhi syarat perlu menyerahkan borang taksiran secara atas talian melalui sistem e-filing kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Apa yang perlu diisytiharkan dalam borang taksiran tersebut adalah semua pendapatan bercukai, potongan cukai, pelepasan cukai dan rebat cukai yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Selepas semuanya diisytiharkan, pengiraan untuk cukai pendapatan akan dijana secara automatik.

Tempoh serahan borang dan pembayaran cukai bermula pada 1 Mac dan berakhir pada 30 April atau 30 Jun bergantung kepada jenis pendapatan yang diperoleh, dan taksiran dilakukan untuk tahun sebelumnya (taksiran tahun 2016 dilakukan pada tahun 2017, taksiran tahun 2017 dilakukan pada tahun 2018)

Bagi yang baru mula bekerja atau baru memenuhi syarat dikenakan cukai pendapatan, perlu membuka fail dengan LHDN terlebih dahulu dengan mendaftar di e-daftar.

Selepas memuat naik salinan kad pengenalan dan disahkan LHDN, pemohon akan diberikan nombor PIN untuk akses ke sistem e-filing.

Untuk langkah-langkah cara isi e-filing, boleh klik di sini: Panduan Lengkap Cara Isi e-Filing

Untuk lebih memahami berkenaan cukai pendapatan, 10 perkara yang berikut perlu diketahui:

1. Pendapatan Bercukai

Pendapatan bercukai adalah jumlah pendapatan tahunan individu yang layak dikenakan cukai.

Jumlah cukai yang perlu dibayar akan dikira ke atas pendapatan bercukai sahaja.

Buat masa sekarang (sehingga tahun taksiran 2017), had pendapatan bercukai minimum (atau gaji minimum dikenakan cukai pendapatan) adalah RM 34,000/tahun atau RM 2,834/bulan (selepas pemotongan KWSP), jadi mereka yang mencapai jumlah pendapatan tahunan tersebut perlu membuka fail dan menyerahkan borang taksiran kepada LHDN.

Pendapatan bercukai dikira dengan  menjumlahkan semua pendapatan yang diperoleh (gaji, dividen, hasil sewaan, royalti, ganjaran, hadiah) tolak pengecualian cukai, pelepasan cukai yang dibenarkan dan potongan cukai.

  • pendapatan bercukai = jumlah pendapatan – pengecualian cukai – pelepasan cukai – potongan cukai

2. Pengecualian Cukai

Bertuahnya di Malaysia, bukan semua jenis pendapatan adalah pendapatan bercukai ataupun dikenakan cukai.

Terdapat beberapa jenis pendapatan yang dikecualikan cukai, antaranya termasuklah kemudahan perjalanan, manfaat kesihatan dan perubatan, bayaran gratuiti, pampasan, pencen, biasiswa, bayaran persembahan kebudayaan, faedah, dividen, royalti, bayaran kepakaran, pendapatan hasil kajian saintifik dan elaun perjalanan.

Namun, jumlah atau kadar pengecualian adalah berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

3. Potongan Cukai

Derma dan hadiah yang diberikan kepada badan-badan yang diiktiraf kerajaan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan adalah dibenarkan potongan daripada pendapatan bercukai.

Buat masa sekarang, kadar potongan adalah 7% daripada jumlah pendapatan bercukai.

Contohnya, pendapatan bercukai tahunan adalah RM 55,000 dan jumlah derma/hadiah yang disahkan adalah RM 2,500.

Maka, potongan cukai adalah sebanyak RM 3,850 (RM 55,000 x 7%), menjadikan jumlah pendapatan bercukai sebanyak RM 51,150 (RM 55,000 – RM 3,850)

4. Pelepasan Cukai

Pelepasan cukai merujuk kepada perbelanjaan-perbelanjaan atau perkara-perkara yang dibenarkan untuk ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan supaya dapat mengurangkan pendapatan bercukai.

Jenis perbelanjaan/perkara dan jumlah pelepasan adalah bergantung kepada dasar dan polisi yang ditetapkan LHDN; ada yang kekal dan ada yang berubah setiap tahun.

Pelepasan cukai diberikan kebiasaannya untuk menggalakkan perbelanjaan-perbelanjaan tertentu (seperti membeli buku dan peralatan sukan) dan mengurangkan beban-beban kewangan yang ditanggung (seperti alimoni kepada pasangan, perbelanjaan perubatan ibubapa, yuran pendidikan)

Pelepasan cukai boleh mengurangkan pendapatan bercukai dan seterusnya mengurangkan kadar cukai yang dikenakan.

Contohnya, bagi yang berpendapatan bercukai RM 84,300, kadar cukai adalah 10% jika langsung tiada pelepasan cukai.

Tetapi, jika dikira pelepasan cukai individu (RM 9,000), caruman KWSP (RM 6,000) dan caruman takaful perubatan (RM 2,000), jumlah pendapatan bercukai sekarang adalah RM 67,300 yang mana kadar cukainya adalah 7% sahaja.

*Untuk senarai pelepasan cukai untuk digunakan semasa mengisi e-Filing bermula 01 Mac 2020, klik di sini: Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2019 Untuk e-Filing 2020

Contoh pengiraan pendapatan bercukai

cukai pendapatan income taxSetelah mengisytiharkan semua pendapatan tahunan, pengecualian, potongan dan pelepasan cukai, maka pengiraan jumlah pendapatan bercukai boleh dilakukan.

Sebagai contoh, jumlah semua pendapatan tahunan Ali adalah RM 84,300 (gaji = RM 60,000; dividen ASB = RM 1,700; dividen Tabung Haji = RM 1,000; kerja lebih masa = RM 12,000 & hasil sewaan = RM 9,600)  *dividen ASB dan TH adalah pendapatan dikecualikan cukai

Ali juga mempunyai pelepasan individu (RM 9,000), caruman KWSP (RM 6,000) dan takaful perubatan (RM 2,000) sebagai pelepasan cukai.

Jadi, pendapatan bercukai Ali adalah:

pendapatan bercukai = pendapatan tahunan – pengecualian cukai – pelepasan cukai = RM 84,300 – RM 1,700 (ASB) – RM 1,000 (TH) – RM 9,000 (individu)  – RM 6,000 (KWSP) – RM 2,000 (takaful) = RM 64,600

Ali juga ada membuat derma kepada badan-badan diiktiraf sebanyak RM 5,000, maka beliau layak menerima potongan cukai.

Maka, potongan cukai adalah sebanyak RM 4,522 (RM 64,600 x 7%), menjadikan jumlah pendapatan bercukai Ali adalah sebanyak RM 60,078 (RM 64,600 – RM 4,522)

5. Kadar Cukai

Kadar cukai adalah ditetapkan oleh kerajaan, dan sebarang perubahan kebiasaannya diumumkan semasa pembentangan bajet negara pada Oktober setiap tahun.

Untuk tahun taksiran 2016 dan 2017, kadar cukai adalah seperti pada gambarajah (klik pada gambar untuk lebih jelas):

kadar cukai pendapatan 2017

Dapat dilihat bahawa kadar cukai adalah berkadar langsung dengan jumlah pendapatan bercukai; semakin tinggi jumlah pendapatan bercukai, semakin tinggi kadar cukai dan seterusnya semakin tinggi jumlah cukai perlu bayar.

Jadi, untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar, strateginya adalah dengan menggunakan semaksimumnya pelepasan dan potongan cukai.

Contoh pengiraan cukai pendapatan:

Untuk contoh kes Ali di atas, dengan pendapatan bercukai RM 60,078 (RM 50,000 + RM 10,078)

jumlah cukai = RM 2,400 (untuk RM 50,000 pertama) + RM 1,612.48 (16% x RM 10,078) = RM 4,012.48

6. Rebat Cukai

Rebat cukai adalah keistimewaan yang diberikan untuk mengurangkan jumlah cukai perlu bayar, dan jumlahnya ditolak terus dari jumlah cukai perlu bayar, bukannya daripada jumlah pendapatan bercukai.

Hanya dua sahaja rebat cukai yang diberikan; yang pertama adalah rebat suami/isteri (RM 400) bagi individu yang mempunyai pendapatan bercukai kurang RM 35,000 dan yang kedua adalah bayaran fitrah/zakat (mengikut jumlah yang dikeluarkan)

Dengan adanya rebat untuk fitrah/zakat, maka rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak perlu mengeluarkan dua kali bayaran berasingan untuk penyucian harta.

Dalam contoh Ali di atas, sekiranya beliau membayar zakat pendapatan sebanyak RM 1,200/tahun, maka beliau layak mendapat rebat cukai sebanyak RM 1,200

Maka jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 2,812.46 (RM 4,012.46 – RM 1,200)

7. Potongan Cukai Berjadual (PCB)

Potongan Cukai Berjadual (PCB) adalah keadaan di mana majikan memotong sebahagian pendapatan pekerja yang mana potongan ini adalah untuk cukai pendapatan tahun semasa.

Jumlah potongan adalah berdasarkan kepada data peribadi pekerja dan jadual pemotongan yang dikeluarkan oleh LHDN.

Walaupun telah ada PCB, pekerja masih tetap perlu menyerahkan borang taksiran kepada LHDN melalui e-filing kerana perlu mengisytiharkan pendapatan lain, potongan, pelepasan dan rebat cukai yang ada.

PCB membantu untuk mengurangkan beban membayar cukai yang dikenakan secara sekaligus.

Sebagai contoh kes Ali di atas, sekiranya majikan beliau membuat PCB sebanyak RM 50/bulan, maka jumlah PCB setahun Ali adalah RM 600.

Maka, jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 2,212.46 (RM 2,812.46 – RM 600)

8. Cara Bayar Cukai Pendapatan

Berikut merupakan beberapa cara untuk membayar cukai pendapatan:

i. Perkhidmatan FPX (Financial Process Exchange) melalui ByrHasil (https://byrhasil.hasil.gov.my/)

ii. Kad kredit/debit melalui ByrHasil (https://byrhasil.hasil.gov.my/)

iii. Kaunter agen-agen LHDN seperti Maybank, CIMB, Pos Malaysia

iv. Perbankan internet seperti Maybank2u, CIMB Clicks, MyBSN

v. Mesin-mesin ATM Public Bank, Maybank dan CIMB yang terpilih

vi. Tele-banking melalui telefon ke Maybank Berhad – Kawanku Phone Banking (1-300-88-6688)

vii. Mesin Deposit Cek di Public Bank terpilih

Bagi mereka yang berada di luar negara, boleh menggunakan kemudahan Telegraphic Transfer (TT)/Transfer Interbank Giro (IBG)/Electronic Fund Transfer (EFT) dan juga bank draft.

Bagi mereka yang tidak mampu membayar secara sekaligus, boleh memohon untuk membayar secara ansuran.

Syaratnya, perlu menghantar surat permohonan kepada LHDN sebelum 30 April.

Jika tidak berjaya membayar cukai pendapatan yang dikenakan sebelum tarikh yang ditetapkan, maka penalti lewat bayar akan dikenakan.

Penaltinya adalah 10% daripada baki jumlah yang tidak dibayar dan jika bayaran masih belum diterima sehingga 60 hari, tambahan 5% akan dikenakan.

Contohnya, lewat bayar cukai sebanyak RM 700.

Penalti pertama adalah RM 70 (10% x RM 700), menjadikan jumlah perlu bayar adalah RM 770.

Jika masih belum bayar sehingga 60 hari, maka tambahan penalti adalah RM 38.50 (5% x RM 770), menjadikan jumlah perlu bayar adalah RM 808.50

Walaubagaimanapun, rayuan masih boleh dilakukan untuk mengurangkan penalti yang dikenakan dengan menghantar surat rayuan dalam masa 30 hari notis penalti dikeluarkan.

9. Bayaran Balik Cukai Pendapatan

cukai pendapatan income taxBerlaku juga situasi yang mana LHDN perlu membuat bayaran balik cukai pendapatan kerana jumlah cukai yang dikutip melalui PCB melebihi jumlah cukai perlu bayar.

Contohnya dalam situasi Ali di atas, katakanlah PCB yang dibuat adalah RM 300/bulan, maka jumlah PCB adalah RM 3,600 sedangkan jumlah cukai perlu bayar hanyalah RM 2,812.46.

Maka terdapat lebihan sebanyak RM 787.54

Lebihan ini akan dipulangkan oleh LHDN ke akaun yang diberikan oleh Ali semasa mengisi borang taksiran, atau melalui baucer khas yang boleh ditunaikan di CIMB atau CIMB Islamic sahaja.

10. Tanggungjawab Individu

Selain menyerahkan borang taksiran dan membayar cukai yang dikenakan, setiap individu juga bertanggungjawab untuk:

i. Mengisytiharkan semua pendapatan, potongan, pelepasan dan rebat cukai dengan jujur dan betul

ii. Menyimpan semua dokumen (salinan borang taksiran, resit-resit perbelanjaan untuk potongan, pelepasan dan rebat cukai, sijil perkahwinan, sijil perakuan doktor dan lain-lain) untuk tempoh 7 tahun daripada tahun taksiran

iii. Bersedia untuk diaudit oleh LHDN; LHDN berhak meminta anda untuk menghantar bukti-bukti resit dan sijil yang diisytiharkan dalam borang taksiran

Itulah sahaja 10 perkara penting berkenaan cukai pendapatan yang perlu diketahui.

Membayar cukai adalah cara untuk kita menyumbang kepada pendapatan negara, seterusnya kepada kemakmuran dan kesejahteraan kita semua.

Jadi, sebaik-baiknya janganlah mengelak atau lari daripada membayar cukai.

Untuk makluman lanjut berkenaan cukai pendapatan, boleh rujuk di laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/

..