Tag Archive: kewangan peribadi

Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

perlindungan insurans/takafulMengambil perlindungan insurans/takaful secukupnya adalah sangat penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Sepertimana yang ditulis dalam artikel 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful, ditekankan betapa pentingnya mengambil perlindungan untuk kematian, kelumpuhan, kecacatan, penyakit dan aset/harta.

Maka, semua orang sebaik-baiknya dilindungi insurans/takaful.

Walaubagaimanapun, akan ada sesetengah orang yang merasakan bahawa tidak perlu bagi mereka untuk mempunyai sebarang perlindungan insurans/takaful.

Tidak mengapa jika mereka berfikiran begitu, itu adalah pilihan mereka sendiri.

Tetapi, mereka perlulah dididik akan kepentingan perlindungan insurans/takaful.

Lagipun, keperluan bagi seseorang untuk mempunyai perlindungan insurans/takaful adalah berbeza antara satu sama lain dan bergantung kepada profil individu itu sendiri.

Dalam erti kata lain, lain orang, lain keperluan perlindungan insurans/takafulnya.

Contohnya, seorang lelaki bujang yang tidak mempunyai tanggungan (ibu dan ayahnya masih bekerja), maka beliau tidak perlu mengambil perlindungan yang besar untuk manfaat kematian dan kelumpuhan/kecacatan.

Berbeza pula dengan seorang lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai anak (isteri dan anak adalah tanggungan), maka sudah tentu perlindungan bagi kematian dan kelumpuhan/kecacatan adalah wajib.

Jika berlaku kematian, sekurang-kurangnya waris beliau masih ada pampasan insurans/takafulnya untuk perbelanjaan harian.

Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

Bagi mereka yang belum, atau sedang merancang untuk mengambil perlindungan insurans/takaful, boleh mengambil kira faktor-faktor yang berikut:

1. Tahap pendedahan kepada risiko

Hakikatnya, semua orang terdedah kepada risiko kematian, kelumpuhan/kecacatan dan diserang penyakit.

Cuma yang membezakan adalah tahap pendedahan atau kebarangkalian untuk mengalami risiko-risiko tadi.

Mengenai kematian, no compromy, kematian boleh berlaku tak kira masa, usia, keadaan dan situasi.

Mengenai kelumpuhan/kecacatan, sebagai contoh disebabkan kemalangan kenderaan, sudah tentu orang yang sering memandu dalam jangka masa yang lama dan jauh mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding orang yang tidak menaiki kenderaan atau memandu dalam masa yang pendek dan dekat sahaja.

Serangan penyakit pula, golongan yang sentiasa bersenam, mengamalkan pemakanan sihat, tidak merokok, tiada faktor keturunan dan berusia muda mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding golongan sebaliknya (bagi kebanyakan penyakit seperti kencing manis dan sakit jantung)

Jadi, sebelum mengambil perlindungan insurans/takaful, boleh kenalpasti dulu bagaimana tahap pendedahan atau kebarangkalian untuk mengalami risiko-risiko di atas.

Dengan itu, bolehlah dipilih manfaat atau risiko mana yang perlu diberi keutamaan untuk dilindungi.

Contohnya, seseorang yang masih sihat dan bujang, mungkin cukup sekadar mengambil perlindungan kemalangan diri sahaja, yang mana menyediakan manfaat akibat kematian dan kelumpuhan/kecacatan akibat kemalangan sahaja.

Apabila usia semakin meningkat, mungkin boleh mula mengambil manfaat perlindungan yang lebih menyeluruh seperti perlindungan pendapatan (income protection) yang mana melindungi risiko kematian, kelumpuhan/kecacatan dan penyakit.

2. Penanggung nafkah keluarga

perlindungan insurans/takafulAnak-anak kecil, lelaki bujang, wanita bujang, surirumah yang tidak bekerja; jika mereka bukan penyumbang nafkah dalam keluarga, mereka sebenarnya tidak perlukan perlindungan insurans/takaful pun.

Jika perlukan perlindungan pun, mungkin sekadar manfaat minimum atau untuk kegunaan mereka sendiri sahaja seperti kad perubatan stand-alone yang boleh digunakan untuk menampung kos rawatan jika mereka jatuh sakit.

Berbeza pula bagi penanggung nafkah keluarga.

Tidak kira bujang/berkahwin, suami/isteri; asalkan sahaja mereka menyumbang nafkah dan menanggung perbelanjaan keluarga, maka digalakkan perlindungan insurans/takaful yang menyeluruh ke atas mereka.

3. Kemampuan kewangan

Apabila mengambil perlindungan insurans/takaful, sudah tentu memerlukan kepada bayaran samaada secara bulanan, tahunan mahupun lump-sum sekaligus.

Bayaran ini perlulah disempurnakan dalam tempoh masa yang ditetapkan jika tidak mahu polisi perlindungan yang diambil terbatal.

Oleh itu, perlulah bersedia untuk memberikan komitmen membayar caruman yang ditetapkan.

Di sinilah perlunya membuat kira-kira terlebih dahulu, pastikan komitmen bayaran yang akan dikenakan adalah dalam lingkungan kemampuan kewangan semasa.

Ambil perlindungan insurans/takaful, janganlah berlebihan sampai membebankan kocek sendiri.

Tetapi, janganlah pula menjadikan ketidakmampuan ini sebagai alasan untuk tidak mengambil sebarang perlindungan.

Ikut kemampuan dan keperluan.

Tentukan dulu keperluan jumlah manfaat yang sebaiknya, contohnya inginkan nilai manfaat bersamaan 10 kali ganda pendapatan tahunan.

Kemudian, untuk nilai manfaat tersebut, tentukan jumlah caruman yang akan dikenakan.

Jika terasa tidak mampu, ubah nilai manfaat bersesuaian dengan komitmen yang sanggup dikeluarkan.

Dari semasa ke semasa, urus kewangan dengan baik supaya dapat tingkatkan kemampuan untuk membayar komitmen bagi nilai manfaat yang sepatutnya.

4. Aset/harta yang dimiliki

Untuk faktor aset/harta yang dimiliki ini, perlu dilihat daripada dua perspektif; satu jika anda mempunyai harta yang banyak, dan satu lagi perspektif jika anda mempunyai harta yang sedikit.

Jika punyai aset/harta yang banyak terutamanya rumah, kereta dan perniagaan, perlindungan insurans/takaful diperlukan untuk melindungi nilai aset/harta tersebut.

Rumah perlu mempunyai perlindungan bencana seperti banjir dan kebakaran.

Perniagaan pula perlu dilindungi daripada risiko kerugian akibat kebakaran, bencana dan kecurian.

Jadi apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, sekurang-kurangnya jumlah kerugian dapat diminimakan.

Jika punyai aset/harta yang sedikit pula, perlindungan insurans/takaful diperlukan untuk menyediakan sumber kewangan apabila berlaku kematian, kelumpuhan/kecacatan dan penyakit kritikal.

Lindungi diri-sendiri, apabila berlaku perkara-perkara seperti di atas, anda atau waris anda akan punyai sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan dengan baik.

5. Hutang yang ditanggung

perlindungan insurans/takafulJika berhutang dengan institusi kewangan seperti bank, mungkin tiada masalah sebab memang diwajibkan mengambil perlindungan insurans/takaful untuk melindungi hutang tersebut.

Tetapi, jika ada berhutang dengan orang lain atau mana-mana pihak dalam jumlah yang besar, digalakkan untuk mempunyai perlindungan insurans/takaful atas diri-sendiri.

Apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, pampasan yang diperoleh boleh digunakan untuk membayar baki hutang yang masih ada.

Mungkin ada yang pertikaikan, jika mampu bayar untuk insurans/takaful setiap bulan, lebih baik duit itu digunakan untuk bayar hutang secara ansuran.

Bagi saya, lebih baik buat kedua-duanya; bayar hutang secara ansuran dan pada masa sama ambil perlindungan insurans/takaful.

Jika hutang tadi tidak sempat dibayar habis akibat kematian atau ada musibah, pampasan daripada insurans/takaful yang diambil boleh menjadi backup untuk melunaskan hutang tersebut.

Ingat ya, hutang wajib dibayar walau apa pun terjadi.

Perlindungan Insurans/Takaful Adalah Keperluan

Walaupun faktor-faktor di atas boleh diambil kira bagi menentukan perlu atau tidak untuk mempunyai perlindungan insurans/takaful, ingatlah bahawa instrumen perlindungan ini merupakan satu keperluan yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Tidak mempunyai sebarang perlindungan boleh menjejaskan matlamat-matlamat kewangan yang ingin dicapai jika sebarang musibah melanda.

Di samping itu, semakin lama ditangguh mengambil perlindungan, semakin tinggi tahap pendedahan risiko.

Dan, semakin tinggi juga kos untuk mendapatkan perlindungan yang optimum.

Lagipun, malang memang tidak berbau, ajal memang tidak dapat ditunda.

Nasihat saya, usahlah beralasan lagi, cepat-cepatlah dapatkan perlindungan insurans/takaful mengikut keperluan anda.

2 Formula & Tips Beli Kereta Supaya Tak Terbeban

tips beli keretaTahun 2016 ini boleh dikatakan tahun kereta, sebab banyak pelancaran kereta-kereta baru pilihan rakyat Malaysia telah dan akan dilakukan.

Antara yang telah dilancarkan; Honda Civic, Proton Perdana dan Perodua Bezza.

Ikut perancangan, Proton pula sedang menunggu giliran untuk melancarkan tiga lagi model baru pada tahun ini iaitu Proton Persona, Proton Saga dan Proton Ertiga.

Memang ramai rasa teruja nak beli kereta baru, tambahan lagi BNM baru menurunkan OPR yang mana memungkinkan kadar faedah pembiayaan/pinjaman kereta akan dikurangkan.

Jadi, pembiayaan/pinjaman kereta akan menjadi lebih ‘murah’.

Ada pepatah yang menyebut,” Beli kereta sebab nak pergi kerja, pergi kerja sebab nak bela kereta”

Pernah dengar atau baca di mana-mana?

Maksudnya, membeli kereta sebenarnya adalah satu beban, sebab ada kos-kos lain yang perlu dibayar.

Jika tersilap beli kereta melebihi kemampuan, kos-kos tadi akan menjadi satu beban berat yang mungkin tak dapat dipikul lagi.

Tambahan lagi, nilai kereta dari hari ke hari semakin susut, berbeza dengan hartanah yang mana kebiasaannya semakin lama semakin naik.

Keluar sahaja dari bilik pameran kereta, harga kereta terus jatuh 20% ke 30% harga asal.

Jumlah hutang kereta tersebut pula lebih tinggi berbanding nilai jualannya sekarang.

Kiranya kalau nak jual balik kereta tersebut dalam masa terdekat, memang akan rugilah sebab hasil jualan tak mampu cover baki hutang yang masih ada.

Sayangnya, walaupun ramai tahu tentang perkara ini, tetapi masih ada lagi yang menganggap kereta adalah simbol kekayaan dan kejayaan seseorang.

Maklumlah, kereta ini benda yang mudah bergerak dan dibawa ke sana sini, jadi senanglah nak ditunjukkan kepada orang lain.

Apabila bertemu rakan-rakan lama pula, yang sering ditanya adalah “Pakai kereta apa sekarang?” dan bukannya “Dah berapa banyak aset pelaburan yang ada?”

Terpulanglah kepada anda untuk mengatakan kereta simbol kekayaan dan kejayaan ataupun tidak.

Saya secara peribadi hanya menganggap kereta sebagai alat untuk bergerak ke sana-sini.

Kadang-kadang terlintas nak memiliki kereta besar dan mewah, tetapi memikirkan kos-kos yang perlu ditanggung, terasa seperti satu pembaziran.

Kos-kos memiliki kereta

tips beli keretaIni kos-kos yang terlibat dalam memiliki sebuah kereta:

1. Bayaran ansuran bulanan

Kebanyakan orang membeli kereta melalui pembiayaan/pinjaman bank, jarang yang membeli secara tunai.

Maka, setiap bulan perlulah diperuntukkan sebahagian pendapatan untuk membayar hutang tersebut.

Kalau ikut formula pengurusan kewangan 30:10, 30% daripada gaji boleh diperuntukkan untuk bayaran hutang.

Tetapi, takkanlah nak gunakan sepenuhnya 30% untuk bayaran ansuran kereta sahaja.

Yang paling penting, ansuran bulanan itu haruslah tidak membebankan dan mampu dibayar.

Jika bayaran ansuran bulanan tertunggak, kereta boleh ditarikbalik dan nama boleh disenaraihitamkan.

Walaupun kereta dilelong pihak bank, mungkin hasil lelongan tidak mampu menampung baki hutang yang masih ada.

Akibatnya, baki hutang masih perlu dijelaskan, nama telah disenaraihitamkan, rekod kredit menjadi tidak elok dan ini akan menyukarkan urusan permohonan pinjaman/pembiayaan yang lain.

2. Bayaran minyak petrol

Kereta bergerak bukan menggunakan air, tetapi minyak petrol.

Harga minyak pula bergantung kepada pasaran, ada masanya murah, ada masanya mahal.

Walaupun murah atau mahal, kos untuk minyak petrol tetap perlu dikeluarkan.

3. Cukai jalan & perlindungan insurans/takaful

Setiap tahun, cukai jalan dan perlindungan insurans/takaful perlu diperbaharui.

Semakin tinggi nilai kereta, semakin tinggi bayaran perlindungan insurans/takaful yang perlu dikeluarkan.

4. Kos penyelenggaraan

Kereta mempunyai banyak komponen yang bergerak, jadi perlu diselenggara dengan berkala supaya dapat berfungsi dengan baik.

Minima, setiap 6 bulan atau 2 kali setahun.

Semakin lasak dan kerap kereta diguna, semakin kerap penyelenggaraan yang perlu dibuat.

Dan kos pula sudah semestinya akan semakin tinggi.

Itu baru diambil kira penyelenggaraan asas seperti menukar minyak hitam, minyak gear, pencucuh api dan penapis minyak.

Belum dicampur lagi kos-kos menukar barang-barang seperti bateri, tayar dan suspension.

Belum juga dicampur lagi kos-kos membaiki kerosakan akibat kemalangan.

Membela kereta memang memerlukan kos yang tinggi.

5. Tol & parking

Bagi yang menetap dan bekerja di luar bandar atau bandar-bandar kecil, mengkin tak perlu keluarkan banyak kos untuk tol dan parking.

Tetapi, bagi yang tinggal di bandar-bandar besar dan memandu kereta, membayar tol dan parking boleh dikatakan menjadi kos wajib.

Bayaran tol dari semasa ke semasa sentiasa dinaikkan.

Begitu juga bayaran parking, sepertimana yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidakkah ini membebankan?

Tips membeli kereta

tips beli keretaMemang tidak dinafikan, pengangkutan adalah keperluan.

Memang terdapat sesetengah orang memerlukan kereta sebagai pengangkutan utama.

Tetapi, sebelum memiliki kereta, fahamkan falsafah ini.

“Beli kereta tidak salah, tetapi beli kereta melebihi kemampuan sehingga membebankan memang salah”

Jadi, bagaimana nak pastikan pembelian kereta tidak membebankan?

Boleh ikut formula-formula beli kereta yang berikut:

1. Formula gaji setahun

Formula yang pertama, pastikan harga kereta yang dibeli tidak melebihi jumlah gaji setahun.

Katakan seorang graduan muda yang baru mula bekerja mendapat gaji sebanyak RM 3,000 sebulan, maka jumlah gaji setahun adalah RM 36,000 (RM 3,000 x 12 bulan).

Maka kereta yang sepatutnya beliau beli adalah kereta yang berharga kurang RM 36,000.

Kenapa setahun gaji?

Baiklah, katakanlah beliau nak gunakan sepenuhnya ‘kelayakan’ beliau dan bercadang nak beli kereta Proton Saga berharga RM 36,000.

Tolak duit deposit sebanyak 10% (RM 3,600), baki RM 32,400 dibayar menggunakan pembiayaan bank.

Jika merujuk kepada anggaran bayaran pembiayaan kereta di sini, maka jumlah ansuran bulanan beliau adalah sekitar RM 480/bulan untuk tempoh 7 tahun iaitu sekitar 16% sahaja daripada gaji bulanan.

Jika dicampur dengan kos-kos lain sepertimana yang ditulis pada awal artikel, mungkin kos pemilikan kereta beliau sekitar 20% sahaja daripada gaji bulanan beliau.

Masih lagi had yang selesa.

2. Formula 20:5:15

Formula ini mungkin lebih ketat berbanding formula pertama.

20:5:15 merujuk kepada 20% deposit, 5 tahun tempoh pembiayaan/pinjaman dan 15% ansuran bulanan daripada pendapatan bulanan.

Bagaimana nak kira harga kereta yang layak dibeli?

Boleh lihat contoh kiraan mudah yang berikut bagi mereka yang bergaji RM 3,000 sebulan.

Untuk ansuran bulanan 15%, maka jumlahnya 15% x RM 3,000 = RM 450

Maka harga kereta yang layak dibeli (anggaran kadar faedah pembiayaan/pinjaman kereta = 3%):

(RM 450 x 60 bulan) + (RM 450 x 60 bulan)(5 tahun x 3/100) = RM 31,050

Ya, dengan gaji RM 3,000, harga kereta yang layak dibeli dengan tempoh pembiayaan/pinjaman selama 5 tahun adalah sekitar RM 31,000 sahaja.

Itupun perlu disediakan deposit 20% iaitu sebanyak RM 6,200 menjadikan jumlah pembiayaan/pinjaman yang perlu dilakukan adalah RM 24,800.00

Boleh cuba semak di sini, ansuran bulanan yang dicadangkan akan berlegar sekitar RM 450.

* Nota: Kiraan di atas adalah kiraan secara mudah sahaja untuk menentukan anggaran harga kereta yang boleh dibeli dengan formula 20:5:15, boleh digunakan untuk nilai gaji yang lain. Anggaran yang lebih tepat perlukan pengiraan lebih lanjut dan dirujuk kepada pembiaya/peminjam.

Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja

formula pengurusan kewanganDalam artikel 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus, saya ada menyarankan untuk membuat bajet sendiri supaya setiap pendapatan yang diperoleh dapat dikawal dan dibelanjakan dengan terurus.

Langkah-langkah yang diberikan sesuai untuk mereka yang telah lama mempunyai pendapatan dan berbelanja, kerana mereka telah ada pengalaman menguruskan pendapatan sendiri.

Apa yang perlu dibuat hanyalah sedikit adjustment kepada perbelanjaan mereka dengan merangka bajet sendiri supaya setiap sen pendapatan dapat disimpan dan dibelanjakan dengan lebih bijak.

Tapi, bagaimana dengan mereka yang baru mula bekerja?

Yang baru mula mendapat gaji pertama.

Apakah formula terbaik untuk mereka mula merancang pengurusan kewangan mereka?

Sebelum itu, jika anda adalah salah seorang daripada mereka yang baru mula bekerja dan sedang mencari panduan berkenaan pengurusan kewangan, saya ucapkan tahniah kerana punyai kesedaran awal untuk bertindak lebih bijak.

Mempunyai formula pengurusan kewangan yang bijak dari awal akan memudahkan perjalanan anda untuk mencapai matlamat-matlamat kewangan anda.

Untuk golongan yang baru mula bekerja ini, saya ada satu formula yang saya reka sendiri dan amalkan dari dulu hingga sekarang walaupun telah 6 tahun bekerja.

Formula pengurusan kewangan 30:10, iaitu membahagikan pendapatan kepada 4 bahagian; tiga bahagian 30% dan satu bahagian 10% (30:30:30:10)

Contohnya, seorang graduan baru yang berpendapatan RM 3,000/bulan, maka pembahagiannya adalah RM 900:900:900:100

Setiap bahagian adalah berdasarkan kepada 7 fasa pengurusan kewangan yang pernah saya tulis sebelum ini.

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

30% – Perbelanjaan

10% – Penyucian harta

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

Bahagian 30% pertama ini adalah untuk kesenangan masa depan; untuk simpanan, pelaburan dan perlindungan.

Orang yang bijak dalam pengurusan kewangan menyimpan dahulu pendapatan yang diperoleh sebelum dibelanjakan.

Semakin banyak bahagian yang boleh disimpan, semakin baik.

Tetapi, janganlah terlalu banyak menyimpan sehingga menyusahkan diri kerana tidak dapat berbelanja untuk keperluan-keperluan asas.

Ramai malas nak mula menyimpan, sebab takut gagal untuk beri komitmen.

Walhal, ada banyak cara simpan duit yang boleh dilakukan.

Bagi orang yang baru bekerja, misi pertama dalam menyimpan adalah untuk mewujudkan dana kecemasan.

Selepas mencukupkan dana kecemasan, lebihan simpanan seterusnya bolehlah disalurkan kepada pelaburan untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan.

Tak kisahlah nak mulakan pelaburan emas, pelaburan hartanah, pelaburan saham atau lain-lain jenis pelaburan, yang penting pastikan pelaburan yang sah dan mula dengan ilmu yang betul.

Pada masa yang sama, jangan lupa untuk mengambil perlindungan takaful/insurans secukupnya untuk menghadapi musibah kewangan yang tak terduga.

Mungkin pada permulaannya tak perlu ambil perlindungan yang mahal, cukup sekadar ambil perlindungan minima untuk manfaat-manfaat asas terlebih dahulu.

Nanti apabila pendapatan bertambah, bolehlah di’top-up’ jumlah perlindungan dan manfaat.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk simpanan, pelaburan dan perlindungan.

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

formula pengurusan kewanganKebanyakan graduan muda yang baru mula bekerja terbeban dengan satu hutang, iaitu hutang pinjaman/pembiayaan pelajaran.

Maklumlah, semasa belajar dulu, tawaran biasiswa terhad, ibu bapa pula tidak mampu menanggung kesemua kos pelajaran, maka pilihan yang ada hanyalah pinjaman/pembiayaan pelajaran.

Hutang tetap hutang, dan menjadi tanggungjawab untuk dibayar.

Jadi, peruntukkanlah sebahagian gaji yang diperoleh untuk membayar hutang yang ditanggung.

Semakin cepat diselesaikan hutang tersebut, semakin baik.

Lebihan yang ada, bolehlah disimpan sebagai simpanan perbelanjaan.

Simpanan perbelanjaan adalah duit yang disimpan untuk dibelanjakan, terutamanya untuk perbelanjaan-perbelanjaan besar.

Contohnya, kebanyakan graduan muda berkeinginan untuk berkahwin, maka bolehlah disimpan sebahagian daripada 30% pendapatan ini untuk mengumpul duit bagi persiapan majlis perkahwinan.

Lelaki yang bertanggungjawab bijak merancang untuk menjadikan kekasih hatinya sebagai yang halal secepat mungkin.

Ada juga yang merancang untuk membeli kereta, maklumlah sebagai hadiah kepada diri sendiri kerana telah habis belajar dan mula bekerja.

Nasihat saya, sebelum membeli kereta, mulakan dengan menyimpan sedikit demi sedikit duit untuk bayaran deposit nanti.

Selagi duit yang dikumpul tidak mencukupi 10% ke 20% harga kereta yang ingin dibeli, jangan beli kereta tersebut.

Harus diingat, membeli kereta yang mahal dan tidak perlu adalah satu tindakan kurang bijak kerana menambah beban hutang dan perbelanjaan baru.

Sedangkan ada perbelanjaan yang lebih utama dan lebih besar yang perlu dilakukan, iaitu membeli rumah.

Tetapi, jika terpaksa juga membeli kereta dan membuat hutang baru, pastikan jangan melebihi pembahagian 30% yang ditetapkan, dan pada masa sama sediakan sedikit bahagian untuk pembiayaan/pinjaman perumahan kelak.

Lebih baik lagi, mulakan dulu dengan membeli rumah dan jadikannya sebagai mesin wang.

Nanti apabila mesin wang semakin bertambah, hasilnya bolehlah digunakan untuk membeli kereta.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk perbelanjaan.

30% – Perbelanjaan

Bahagian ketiga ini adalah untuk perbelanjaan-perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan yang perlu dilakukan.

Ini termasuklah perbelanjaan makan-minum, sewa tempat tinggal, keperluan peribadi, bil-bil utiliti, tambang perjalanan, petrol, tol dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang difikirkan perlu.

Hadkan cuma 30% daripada pendapatan untuk perbelanjaan-perbelanjaan ini, yang biasanya orang sebut sebagai belanja hangus.

30% tidak mencukupi untuk semua perbelanjaan ini?

Kalau bijak merancang, pasti cukup.

Kunci utamanya, berjimat-cermat, tidak boros dan hidup bersederhana di bawah kemampuan.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk perbelanjaan.

10% – Penyucian harta

Dengan pendapatan yang diperoleh, janganlah dilupa ‘hak orang lain’.

Di sinilah perlunya diperuntukkan 10% daripada pendapatan untuk diberikan kepada orang lain sama ada menerusi zakat, cukai dan juga sedekah.

Secara umumnya, pengiraan zakat pendapatan adalah 2.5% daripada pendapatan yang diperoleh, tetapi untuk lebih tepat bolehlah dirujuk di sini.

Pengiraan cukai pendapatan pula perlu mengambil kira banyak perkara, seperti jenis pendapatan bercukai, pengecualian, pelepasan dan rebat cukai.

Kadarnya juga boleh berubah bergantung kepada keputusan kerajaan.

Sedekah pula adalah pemberian ikhlas secara sukarela.

Jangan dilupa juga untuk diberi hadiah kepada ibu bapa.

Walaupun mungkin mereka tidak memerlukan duit gaji anda, tetapi tidaklah salah untuk menghulurkan  sekadar kemampuan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Untuk kefahaman lebih lanjut berkenaan penyucian harta, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk penyucian harta.

Adjust accordingly

formula pengurusan kewanganFormula pengurusan kewangan 30:10 untuk adalah sebagai panduan asas sahaja, bukannya rigid.

Bukan semua orang mempunyai pendapatan yang sama.

Bukan semua orang mempunyai keperluan perbelanjaan yang sama.

Tambahan lagi, dari tahun ke tahun, jumlah pendapatan mungkin semakin bertambah, selari juga dengan jumlah perbelanjaan yang semakin bertambah.

Jadi, di sinilah perlunya kreativiti sendiri untuk mengubahsuai formula tadi untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Namun, saranan saya, kalau boleh, hadkan peruntukan simpanan dan pelaburan pada paras minima 20% manakala paras hutang kepada maksima 30% sahaja.

Jika tiada hutang, itulah yang terbaik.

Hutang yang terlalu tinggi adalah bahaya dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan jika tidak dihadkan.