Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja

formula pengurusan kewanganDalam artikel 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus, saya ada menyarankan untuk membuat bajet sendiri supaya setiap pendapatan yang diperoleh dapat dikawal dan dibelanjakan dengan terurus.

Langkah-langkah yang diberikan sesuai untuk mereka yang telah lama mempunyai pendapatan dan berbelanja, kerana mereka telah ada pengalaman menguruskan pendapatan sendiri.

Apa yang perlu dibuat hanyalah sedikit adjustment kepada perbelanjaan mereka dengan merangka bajet sendiri supaya setiap sen pendapatan dapat disimpan dan dibelanjakan dengan lebih bijak.

Tapi, bagaimana dengan mereka yang baru mula bekerja?

Yang baru mula mendapat gaji pertama.

Apakah formula terbaik untuk mereka mula merancang pengurusan kewangan mereka?

Sebelum itu, jika anda adalah salah seorang daripada mereka yang baru mula bekerja dan sedang mencari panduan berkenaan pengurusan kewangan, saya ucapkan tahniah kerana punyai kesedaran awal untuk bertindak lebih bijak.

Mempunyai formula pengurusan kewangan yang bijak dari awal akan memudahkan perjalanan anda untuk mencapai matlamat-matlamat kewangan anda.

Untuk golongan yang baru mula bekerja ini, saya ada satu formula yang saya reka sendiri dan amalkan dari dulu hingga sekarang walaupun telah 6 tahun bekerja.

Formula pengurusan kewangan 30:10, iaitu membahagikan pendapatan kepada 4 bahagian; tiga bahagian 30% dan satu bahagian 10% (30:30:30:10)

Contohnya, seorang graduan baru yang berpendapatan RM 3,000/bulan, maka pembahagiannya adalah RM 900:900:900:100

Setiap bahagian adalah berdasarkan kepada 7 fasa pengurusan kewangan yang pernah saya tulis sebelum ini.

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

30% – Perbelanjaan

10% – Penyucian harta

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

Bahagian 30% pertama ini adalah untuk kesenangan masa depan; untuk simpanan, pelaburan dan perlindungan.

Orang yang bijak dalam pengurusan kewangan menyimpan dahulu pendapatan yang diperoleh sebelum dibelanjakan.

Semakin banyak bahagian yang boleh disimpan, semakin baik.

Tetapi, janganlah terlalu banyak menyimpan sehingga menyusahkan diri kerana tidak dapat berbelanja untuk keperluan-keperluan asas.

Ramai malas nak mula menyimpan, sebab takut gagal untuk beri komitmen.

Walhal, ada banyak cara simpan duit yang boleh dilakukan.

Bagi orang yang baru bekerja, misi pertama dalam menyimpan adalah untuk mewujudkan dana kecemasan.

Selepas mencukupkan dana kecemasan, lebihan simpanan seterusnya bolehlah disalurkan kepada pelaburan untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan.

Tak kisahlah nak mulakan pelaburan emas, pelaburan hartanah, pelaburan saham atau lain-lain jenis pelaburan, yang penting pastikan pelaburan yang sah dan mula dengan ilmu yang betul.

Pada masa yang sama, jangan lupa untuk mengambil perlindungan takaful/insurans secukupnya untuk menghadapi musibah kewangan yang tak terduga.

Mungkin pada permulaannya tak perlu ambil perlindungan yang mahal, cukup sekadar ambil perlindungan minima untuk manfaat-manfaat asas terlebih dahulu.

Nanti apabila pendapatan bertambah, bolehlah di’top-up’ jumlah perlindungan dan manfaat.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk simpanan, pelaburan dan perlindungan.

Baca juga:  5 Aspek Pengurusan Harta Pusaka Sebelum Pembahagian Faraid

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

formula pengurusan kewanganKebanyakan graduan muda yang baru mula bekerja terbeban dengan satu hutang, iaitu hutang pinjaman/pembiayaan pelajaran.

Maklumlah, semasa belajar dulu, tawaran biasiswa terhad, ibu bapa pula tidak mampu menanggung kesemua kos pelajaran, maka pilihan yang ada hanyalah pinjaman/pembiayaan pelajaran.

Hutang tetap hutang, dan menjadi tanggungjawab untuk dibayar.

Jadi, peruntukkanlah sebahagian gaji yang diperoleh untuk membayar hutang yang ditanggung.

Semakin cepat diselesaikan hutang tersebut, semakin baik.

Lebihan yang ada, bolehlah disimpan sebagai simpanan perbelanjaan.

Simpanan perbelanjaan adalah duit yang disimpan untuk dibelanjakan, terutamanya untuk perbelanjaan-perbelanjaan besar.

Contohnya, kebanyakan graduan muda berkeinginan untuk berkahwin, maka bolehlah disimpan sebahagian daripada 30% pendapatan ini untuk mengumpul duit bagi persiapan majlis perkahwinan.

Lelaki yang bertanggungjawab bijak merancang untuk menjadikan kekasih hatinya sebagai yang halal secepat mungkin.

Ada juga yang merancang untuk membeli kereta, maklumlah sebagai hadiah kepada diri sendiri kerana telah habis belajar dan mula bekerja.

Nasihat saya, sebelum membeli kereta, mulakan dengan menyimpan sedikit demi sedikit duit untuk bayaran deposit nanti.

Selagi duit yang dikumpul tidak mencukupi 10% ke 20% harga kereta yang ingin dibeli, jangan beli kereta tersebut.

Harus diingat, membeli kereta yang mahal dan tidak perlu adalah satu tindakan kurang bijak kerana menambah beban hutang dan perbelanjaan baru.

Sedangkan ada perbelanjaan yang lebih utama dan lebih besar yang perlu dilakukan, iaitu membeli rumah.

Tetapi, jika terpaksa juga membeli kereta dan membuat hutang baru, pastikan jangan melebihi pembahagian 30% yang ditetapkan, dan pada masa sama sediakan sedikit bahagian untuk pembiayaan/pinjaman perumahan kelak.

Lebih baik lagi, mulakan dulu dengan membeli rumah dan jadikannya sebagai mesin wang.

Nanti apabila mesin wang semakin bertambah, hasilnya bolehlah digunakan untuk membeli kereta.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk perbelanjaan.

30% – Perbelanjaan

Bahagian ketiga ini adalah untuk perbelanjaan-perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan yang perlu dilakukan.

Ini termasuklah perbelanjaan makan-minum, sewa tempat tinggal, keperluan peribadi, bil-bil utiliti, tambang perjalanan, petrol, tol dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang difikirkan perlu.

Hadkan cuma 30% daripada pendapatan untuk perbelanjaan-perbelanjaan ini, yang biasanya orang sebut sebagai belanja hangus.

30% tidak mencukupi untuk semua perbelanjaan ini?

Kalau bijak merancang, pasti cukup.

Kunci utamanya, berjimat-cermat, tidak boros dan hidup bersederhana di bawah kemampuan.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk perbelanjaan.

Baca juga:  [VIDEO] 5 Cara Simpan Duit Untuk Yang Sering Gagal Menyimpan

10% – Penyucian harta

Dengan pendapatan yang diperoleh, janganlah dilupa ‘hak orang lain’.

Di sinilah perlunya diperuntukkan 10% daripada pendapatan untuk diberikan kepada orang lain sama ada menerusi zakat, cukai dan juga sedekah.

Secara umumnya, pengiraan zakat pendapatan adalah 2.5% daripada pendapatan yang diperoleh, tetapi untuk lebih tepat bolehlah dirujuk di sini.

Pengiraan cukai pendapatan pula perlu mengambil kira banyak perkara, seperti jenis pendapatan bercukai, pengecualian, pelepasan dan rebat cukai.

Kadarnya juga boleh berubah bergantung kepada keputusan kerajaan.

Sedekah pula adalah pemberian ikhlas secara sukarela.

Jangan dilupa juga untuk diberi hadiah kepada ibu bapa.

Walaupun mungkin mereka tidak memerlukan duit gaji anda, tetapi tidaklah salah untuk menghulurkan  sekadar kemampuan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Untuk kefahaman lebih lanjut berkenaan penyucian harta, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk penyucian harta.

Adjust accordingly

formula pengurusan kewanganFormula pengurusan kewangan 30:10 untuk adalah sebagai panduan asas sahaja, bukannya rigid.

Bukan semua orang mempunyai pendapatan yang sama.

Bukan semua orang mempunyai keperluan perbelanjaan yang sama.

Tambahan lagi, dari tahun ke tahun, jumlah pendapatan mungkin semakin bertambah, selari juga dengan jumlah perbelanjaan yang semakin bertambah.

Jadi, di sinilah perlunya kreativiti sendiri untuk mengubahsuai formula tadi untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Namun, saranan saya, kalau boleh, hadkan peruntukan simpanan dan pelaburan pada paras minima 20% manakala paras hutang kepada maksima 30% sahaja.

Jika tiada hutang, itulah yang terbaik.

Hutang yang terlalu tinggi adalah bahaya dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan jika tidak dihadkan.

Baca juga:  Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik? II

2 Comments

  1. postfishcracker
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Untuk kenderaan, kalau boleh hadkan 15% ke 20% sahaja daripada gaji.

      Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini