Artikel Terkini

Kenali Skim Pelaburan Tipu Agar Tidak Mudah Terpedaya

skim pelaburan tipuPernah tak seseorang datang kepada anda dan menawarkan skim pelaburan tipu (scam)?

Kalau pernah dan anda menjauhinya, saya ucapkan syabas kerana mengambil langkah yang bijak!

Kalau pernah dan anda terpedaya lalu menyertai skim tersebut dan mengalami kerugian, saya tumpang bersimpati dan diharapkan anda dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut.

Anggaplah wang pelaburan yang hangus tersebut sebagai yuran pembelajaran dalam kehidupan agar selepas ini tidak diulangi lagi kesilapan yang sama.

Saya dan isteri juga pernah kerugian sedikit duit, gara-gara berasa segan dengan seorang rakan yang mempromosikan skim pelaburan yang disertainya.

Mujurlah saya dan isteri berkeras untuk kekal dengan pakej asas sahaja, dan tidak mengeluarkan lebih banyak modal untuk mengambil pakej advance skim pelaburan tipu tersebut.

Walaupun mengalami sedikit kerugian, namun saya dan isteri menjadikan pengalaman ini sebagai peringatan agar tidak mudah lagi terpedaya dengan skim-skim yang hampir sama.

Sekurang-kurangnya kini, saya dah tahu bagaimana golongan atau penganjur skim pelaburan tipu menjalankan operasi mereka untuk menipu duit orang ramai.

Jadi, saya akan lebih berhati-hati agar tidak terjerumus lagi dengan skim pelaburan tipu.

Baru-baru ini, saya ada terbaca satu laporan akhbar berkenaan skim pelaburan tipu yang semakin banyak muncul di Malaysia dengan pelbagai modus operasi untuk mencari mangsa-mangsanya.

Menurut laporan tersebut, pada tahun 2015, sebanyak 591 kes melibatkan skim pelaburan tipu dengan nilai kerugian RM 1.35 juta telah direkodkan.

Pada tahun 2016 pula, berlaku peningkatan sehingga 1006 kes dengan nilai kerugian RM 197.4 juta!

Boleh baca di sini http://www.sinarharian.com.my/penipuan-pelaburan-meningkat-setiap-tahun-1.626305

Fakta ini menunjukkan bahawa semakin banyak skim yang timbul di samping semakin ramai orang yang terpedaya dengan skim-skim tersebut.

Jadi, amatlah penting bagi kita untuk memahami dan mengenali tentang skim pelaburan tipu agar duit yang kita cari dan simpan dengan penat-lelah tidak ‘dileburkan’ kepada penipu-penipu skim-skim pelaburan tipu.

Ciri-ciri Asas Skim Pelaburan Tipu

Walau apa pun jenis skim pelaburan tipu, walau bagaimana pun modus operasi yang digunakan, skim pelaburan tipu mesti akan mempunyai ciri-ciri asas yang sama.

Ini adalah beberapa contoh modus operasi skim pelaburan tipu yang pernah wujud di Malaysia:

skim pelaburan tipu

skim pelaburan tipu

Untuk mudah ingat, kita gunakan akronim T.I.P.U untuk kenali ciri-ciri skim pelaburan tipu:

Ciri #1 – Tidak akan rugi, tanpa risiko

Biasanya, penganjur skim pelaburan tipu akan menawarkan skim pelaburan yang kononnya tanpa risiko.

Kiranya, memang tidak akan rugilah.

Sebenarnya, ini adalah satu taktik mudah untuk mengaburi mata dan memainkan emosi bakal mangsa.

Sebabnya, semua orang memang takut nak hadapi risiko kerugian dalam pelaburan, jadi dengan mendakwa bahawa skim yang ditawarkan adalah tanpa risiko kerugian, maka orang ramai akan mudah tertarik.

Hakikatnya, risiko dan pelaburan memang tidak boleh dipisahkan.

Semua pelaburan mesti ada risiko untuk rugi.

Malah, risiko dalam pelaburan adalah rezeki (boleh baca di sini: 5 Peraturan Melabur Yang Mesti Difahami)

Tiada pelaburan yang boleh menjamin keuntungan setiap masa.

Kalau wujud pun, mesti dah lama syarikat-syarikat dana besar seperti PNB, KWSP dan TH melabur dalam skim-skim tersebut.

Dah lama pelabur-pelabur profesional dan tersohor yang akan buat pelaburan terlebih dahulu.

Tetapi, mereka langsung tidak berminat dengan skim-skim pelaburan yang ditawarkan tersebut, sebab mereka dah tahu bahawa skim-skim tersebut adalah skim pelaburan tipu.

Jadi, kita sebagai pelabur kecil-kecilan dan amatur mestilah perlu menjauhkan diri juga daripada tawaran skim pelaburan yang menawarkan pulangan tanpa risiko rugi.

Konon tanpa risiko dan tidak akan rugi, walhal sekali penganjur lari, semua duit yang dilaburkan habis lesap hilang.

Ciri #2 – Indah khabar dari rupa

Saya dulu pernah menghadiri satu taklimat berkenaan satu skim pelaburan, kononnya duit yang dilaburkan  oleh peserta nanti akan digunakan sebagai modal untuk membeli dan menjual barang-barang keluaran syarikat tersebut.

Dipromosikan bahawa barang-barang tersebut sangat berkesan, mengandungi bahan-bahan terbaik yang sukar ditemui, telah menjalani kajian saintifik di banyak makmal luar negara dan macam-macam lagi dakwaan untuk menunjukkan kehebatan barang-barang tersebut.

Walhal, apabila diteliti, rupa-rupanya adalah barang-barang biasa sahaja seperti bedak, ubat gigi, serbuk kopi dan serbuk minuman perasa anggur.

Dan objektif syarikat bukannya nak menjual barang-barang sangat, tetapi lebih kepada mendapatkan lebih ramai ahli atau pelabur; kiranya macam sistem MLM.

Ada juga saya terbaca tentang satu skim pelaburan, yang mana pelabur-pelaburnya akan diberikan mata (points) khas untuk membeli dan menjual barang-barang di laman web yang dibina syarikat.

Ingatkan hebat dan gah sangat laman web tersebut, atau pun ada banyak barang seperti Lazada, rupa-rupanya laman web dibuat sekadar ada dengan design yang teruk dan susun atur yang berterabur.

Barang-barang yang ditawarkan pun tidaklah banyak dan bukanlah barang-barang yang mendapat permintaan tinggi pun.

Ada juga penganjur skim yang jenis menunjukkan simbol-simbol kemewahan seperti duit berkepul-kepul, kereta mewah, pergi melancong ke luar negara dan rumah yang besar.

Walhal semua itu diperoleh hasil daripada duit yang dikutip daripada mangsa, bukannya atas keuntungan perniagaan atau pelaburan.

Memang indah khabar dari rupa.

skim pelaburan tipuCiri #3 – Peluang hanya sekali

Kebanyakan skim pelaburan tipu mesti akan mendakwa bahawa pelaburan yang ditawarkan mempunyai tempoh terhad dan kuota yang sedikit

Kononnya, kalau tak sertai sekarang, tak akan ada lagi tawaran dibuka pada masa akan datang.

Atau pun, kuota dah penuh dan anda dah terlepas peluang untuk dapatkan pulangan besar daripada skim tersebut.

Sebenarnya, ini satu taktik untuk wujudkan sense of urgency atau rasa panik sahaja.

Dengan mewujudkan rasa panik sebegitu, ini akan mengganggu emosi bakal mangsa.

Bakal mangsa tidak akan sempat berfikir panjang dan ini akan memudahkan penganjur skim untuk melaksanakan tipu helah mereka.

Pelaburan yang sebenar sepatutnya tidak mempunyai tempoh terhad dan kuota yang sedikit.

Pelabur boleh melabur  dan berhenti pada bila-bila masa, dan kuota yang sangat besar membolehkan pelaburan dijalankan tanpa perlu rasa panik dan terdesak.

Dalam keadaan sebegini, pelabur punyai ruang masa yang banyak untuk meneliti dan memahami pelaburan tersebut dengan sebaik-baiknya sebelum melaburkan duit mereka.

Bagi skim pelaburan tipu, perkara sebegini tidak terjadi.

Ciri #4 – Untung yang besar

Ciri yang #4 ini sangat berkait rapat dengan ciri #1 di atas.

Untuk mewujudkan rasa tamak dalam hati bakal mangsa, penganjur skim biasanya akan menawarkan pulangan keuntungan yang besar, jauh lebih besar daripada pulangan pelaburan-pelaburan biasa seperti pelaburan ASB, pelaburan unit amanah dan pelaburan saham.

Ada juga yang menawarkan pulangan tetap setiap bulan, kononnya pulangan tersebut boleh menggantikan gaji bulanan yang diterima.

Untuk lebih mudah nak tarik bakal mangsa, kebiasaannya penganjur akan memberikan pulangan terlebih dahulu kepada pelabur-pelabur awal untuk menaruh rasa percaya terhadap skim yang ditawarkan.

Pelabur-pelabur awal ini akan memberitahu kepada orang lain, bahawa mereka memang mendapat keuntungan daripada skim yang disertai.

Maka, orang lain yang mendengarnya mesti akan mudah terpedaya.

Sebenarnya, skim pelaburan tipu sebegini mengambil duit yang dilaburkan peserta-peserta baru untuk diberikan kepada peserta-peserta awal sebagai keuntungan.

Tiada perniagaan, tiada aktiviti-aktiviti lain untuk jana keuntungan, kecuali mengharapkan duit daripada peserta-peserta baru.

Jika tiada peserta baru, maka tiada sumber pendapatan, dan akhirnya sistem akan runtuh.

Tiada lagi pulangan yang boleh diberikan kepada pelabur, dan penganjur akan mula angkat kaki bersama-sama baki duit yang masih ada.

Cara-cara Melindungi Diri

Sekarang, dah kenal ciri-ciri skim pelaburan tipu, tapi bagaimana cara nak lindungi atau elakkan diri daripada terperangkap dalam skim sebegini?

Mudah sahaja, guna C.E.L.I.K

skim pelaburan tipuCara #1 – Cepat curiga

Apabila ada seseorang datang kepada anda dan bercerita tentang skim pelaburan yang mempunyai ciri-ciri di atas, jangan mudah percaya.

Tanamkan dulu rasa curiga, dan ambil masa untuk semak semula semua maklumat berkenaan skim tersebut.

Cara #2 – Elak emosi

Seperti yang dinyatakan di atas, penganjur skim pelaburan tipu memang pandai memainkan emosi bakal mangsa supaya termakan umpan mereka.

Mereka mainkan emosi takut rugi, perasaan terdesak dan rasa tamak bakal mangsa supaya mereka tak boleh berfikir secara rasional dan akhirnya terperangkap.

Jadi, untuk elakkan ditipu dengan skim-skim sebegini, kena kawal dan elak emosi keterlaluan, sebaliknya gunakan common sense dan akal yang dikurniakan.

Cara #3 – Lesen

Sentiasa semak lesen penganjur; semak sama ada mereka punyai lesen yang sah, tulen dan daripada agensi yang betul.

Jika penganjur mendakwa mereka menjalankan jualan langsung, pastikan syarikat tersebut mempunyai lesen perniagaan jualan langsung di bawah Akta Jualan Langsung 1993 & Peraturan-peraturan Jualan Langsung 1993 yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK).

Boleh semak di sini: http://www.kpdnkk.gov.my/index.php/my/status-syarikat-jualan-langsung

Dengan lesen perniagaan jualan langsung, syarikat tersebut hanya layak menjalankan perniagaan jualan langsung, dan tidak layak menawarkan skim pelaburan.

Jika penganjur mendakwa mereka menjalankan skim pelaburan, mereka harus punyai lesen yang sah daripada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC)

Boleh semak di sini (http://www.bnm.gov.my/index.php?lang=bm&ch=bm_financialconsumeralert) atau di sini (https://www.sc.com.my/my/)

Cara #4 – Informasi

Apabila ditawarkan apa-apa skim pelaburan, sentiasa cuba dapatkan informasi yang lengkap.

Tanya pada orang lain, rujuk pada penasihat kewangan yang sah dan semak di laman-laman web seperti yang dinyatakan di atas.

Apabila dah dapat informasi daripada mereka yang berkelayakan dan agensi-agensi penguatkuasa kewangan, janganlah pula menuduh mereka sengaja nak menjatuhkan skim pelaburan yang sedang disertai.

Percaya bahawa mereka hanya dengki dengan skim tersebut, sebab itulah menentang.

Itu sebenarnya hanyalah dalih penganjur skim pelaburan tipu untuk menyembunyikan tentang penipuan mereka.

Jangan hanya dengar informasi daripada penganjur dan agennya sahaja.

Mereka dah tentu akan keluarkan informasi yang berat sebelah; semua nampak indah sahaja.

Cara #5 – Kuat semangat

Apabila berhadapan dengan golongan yang mempromosikan skim pelaburan tipu, kena kuat semangat.

Jangan mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan rentak mereka.

Kuatkan semangat, tegas dalam berkata tidak.

Kadang-kadang, ramai terjerat disebabkan susah, segan atau tak sampai hati nak berkata tidak.

Maklumlah, yang tukang promote itu ahli keluarga sendiri, atau pun kawan baik sendiri; kalau tidak sertai, dikatanya tidak sokong ahli keluarga atau kawan sendiri.

Jadi, apabila berhadapan situasi sebegini, kenalah kuat semangat.

Ingat, yang keluarkan duit adalah anda sendiri, nanti yang hangus pun, duit anda juga.

Apabila duit dah hangus nanti, tiada siapa pun yang akan tolong anda.

Kesimpulan

Kesimpulannya, skim pelaburan tipu adalah sesuatu yang boleh dielakkan dan perlu dijauhi.

Skim-skim sebegini akan sentiasa muncul dan berevolusi dengan modus operasi yang lebih canggih dan sofistikated untuk mengaburi mata bakal mangsa.

Siapa bakal mangsa tersebut?

Anda, saya dan kita semua.

Maka, sentiasalah beringat dan berhati-hati.

Oh ya, sebelum terlupa, boleh tonton video di bawah berkenaan satu skim pelaburan tipu yang digelar skim ponzi.

 

Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2016 Untuk e-Filing 2017

pelepasan cukai pendapatan 2016Jika dilihat di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak LHDN baru sahaja mengemaskini senarai pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi individu warganegara/pemastautin Malaysia.

Bermula 01 Mac 2017 nanti, semua individu warganegara/pemastautin Malaysia yang memenuhi syarat dikehendaki menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2016 dengan mengisi e-Filing.

Taksiran 2016 diisi pada tahun 2017, taksiran 2017 akan diisi pada tahun 2018.

Maka, senarai pelepasan cukai pendapatan terbaru ini akan digunakan ketika isi e-Filing nanti, supaya jumlah pendapatan bercukai dapat dan jumlah cukai kena bayar dapat dikurangkan.

Untuk lihat senarai tersebut, boleh ke laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/, klik pada Individu, kemudian klik pada Pelepasan Cukai.

Terdapat 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016 yang disenaraikan, sepertimana yang berikut:

pelepasan cukai pendapatan 2016

Jika diteliti, ada beberapa perubahan berbanding senarai pelepasan cukai tahun-tahun sebelumnya.

Jom kita teliti satu per satu.

Pelepasan #1 – Individu dan saudara tanggungan

Yang ini sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pelepasan ini diberikan kepada semua individu, dan jumlahnya masih sama iaitu RM 9,000

Pelepasan #2 – Penjagaan ibu bapa

Untuk jenis ini, ada sedikit penambahbaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum ini, pelepasan hanya dibenarkan untuk perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibubapa yang mempunyai masalah kesihatan yang disahkan pengamal perubatan sahaja.

Pelepasan ini masih diteruskan untuk tahun 2016, dan jumlahnya juga masih sama iaitu RM 5,000

Tambahan untuk pelepasan cukai pendapatan 2016, pelepasan juga diberikan bagi perbelanjaan menyara ibubapa meskipun mereka tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak tinggal bersama-sama.

Inisiatif ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak yang mengambil berat berkenaan kebajikan ibubapa mereka dan sokongan kerajaan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 1,500 bagi ibu (jika bapa telah tiada), RM 1,500 bagi bapa (jika ibu telah tiada) atau RM 3,000 bagi kedua-dua ibubapa (kedua-duanya masih ada)

Walaubagaimanapun, pelepasan ini ada syaratnya iaitu ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.

Pelepasan #3 – Peralatan sokongan khas

Pelepasan ini hanya khas bagi individu kelainan upaya (OKU) atau untuk suami/isteri, anak atau ibubapa kelainan upaya.

Pelepasan diberikan bagi perolehan atau perbelanjaan peralatan sokongan khas yang dieprlukan dan jumlahnya terhad kepada RM 6,000

Pelepasan #4 – Individu kelainan upaya (OKU)

Bagi individu OKU, mereka mendapat pelepasan tambahan sebanyak RM 6,000 selain daripada pelepasan individu di atas (#1)

Pelepasan #5 – Yuran pendidikan sendiri

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi yang sedang melanjutkan pelajaran, berhak untuk menuntut pelepasan yuran pendidikan sendiri.

Walaubagaimanapun, bagi peringkat Sijil, Diploma atau Sarjana Muda, kursus yang layak dihadkan kepada Undang-undang, Perakaunan, Kewangan Islam, Teknikal, Vokasional, Industri, Saintifik atau Teknologi sahaja.

Bagi peringkat Sarjana dan PhD pula, sebarang bidang atau kursus pengajian adalah layak menuntut pelepasan ini.

Bagi yang menerima biasiswa bagi pengajian yang sedang diikuti adalah tidak layak menuntut pelepasan ini.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 7,000 (sebelum ini RM 5,000 sahaja)

Pelepasan #6 – Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati

Bagi meringankan beban individu yang mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan penyakit kritikal sama ada melibatkan diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan diberikan sebanyak RM 6,000

Antara penyakit kritikal yang dibenarkan pelepasan adalah kanser, serangan jantung, pulmonary hypertension, sakit buah pinggang kronik, sakit hati (liver/hepatic) kronik, fulminant viral hepatitis, tumor & kecacatan pembuluh darah di otak, melepuh & melecur kebakaran yang keterlaluan, pemindahan organ utama, sindrom Parkinson, HIV & AIDS, pemotongan kaki/tangan, kecederaan kepala akibat kemalangan, penyakit kulit kronik, penyakit mental, diabetes mellitus, talasemia major, rheumatology dan leukemia.

Pelepasan #7 – Pemeriksaan perubatan penuh

Bagi pemeriksaan perubatan penuh untuk diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 500 diberikan.

Pelepasan #8 – Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan

Pelepasan sebanyak RM 1,000 diberikan bagi perbelanjaan melibatkan pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan sama ada secara hardcopy atau elektronik.

Perbelanjaan bagi pembelian surat khabar dan bahan bacaan terlarang adalah tidak dibenarkan untuk pelepasan ini.

Pelepasan #9 – Pembelian komputer peribadi untuk individu

Pelepasan ini layak untuk pembelian komputer meja (desktop), komputer riba (laptop), notebook dan ultrabook, dan tidak layak untuk pembelian tablet, telefon pintar dan komputer hybrid.

Pelepasan ini dibenarkan 3 tahun sekali sahaja, maksudnya jika pernah menuntut pada tahun 2015 atau 2014, maka tidak layak untuk tahun 2016.

Dan jika tuntut pada tahun 2016, maka tidak layak untuk tuntut pada tahun 2017 atau 2018 kelak.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 3,000

Pelepasan #10 – Tabungan bersih dalam skim SSPN

Pelepasan ini melibatkan tabungan bersih dalam skim SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Tabungan bersih adalah berdasarkan jumlah simpanan sepanjang 2016 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2016 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi tabungan bersih dalam SSPN dihadkan kepada RM 6,000

Pelepasan #11 – Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan

Perbelanjaan bagi pembelian peralatan sukan adalah diberi pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 300

Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah yang tersenarai di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 sahaja; terdapat lebih kurang 39 aktiviti sukan yang tersenarai di bawah akta (boleh lihat senarai lengkap dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html)

Pembelian pakaian sukan dan kasut sukan adalah tidak layak untuk pelepasan ini, hanya untuk peralatan sukan.

Pelepasan #12 – Faedah pembelian rumah

Pelepasan cukai pendapatan bagi faedah pembelian rumah adalah terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.

Untuk syarat kelayakan dan formula pengiraan, boleh rujuk dalam gambar di atas.

Pelepasan #13 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada isteri

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi jenis ini ditingkatkan kepada RM 4,000 (sebelum ini adalah RM 3,000)

Jadi, jika mempunyai pasangan (suami/isteri) yang tidak mempunyai pendapatan, boleh menuntut pelepasan ini.

Bayaran alimoni merujuk kepada bayaran nafkah yang diberikan kepada bekas isteri sepertimana yang ditetapkan mahkamah.

Pelepasan #14 – Suami/isteri kelainan upaya

Jika mempunyai dan menjaga suami/isteri kurang upaya, maka diberikan keistimewaan menuntut pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500

Pelepasan #15 – Anak di bawah umur 18 tahun

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi pelepasan cukai pendapatan 2016, jumlah layak tuntut telah ditingkatkan bagi kategori ini.

Jika mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan belum berkahwin, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 atas seorang anak.

Tiada had bilangan anak; jika punyai 10 orang anak berumur bawah 18 tahun dan belum berkahwin, maka boleh tuntut atas kesemua mereka.

Jika suami dan isteri isi e-Filing secara berasingan melalui taksiran individu (bukan taksiran bersama), maka setiap seorang layak menuntut RM 1,000 sahaja atas seorang anak (kelayakan 50% dalam e-Filing)

Pelepasan #16 & #17 – Anak berumur 18 tahun ke atas

Bagi kategori ini, jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 turut ditingkatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 seorang.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang mengikuti pengajian peringkat diploma atau ke atas di mana-mana institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (bagi institusi pengajian tinggi luar Malaysia, kursus ijazah atau ke atas sahaja), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 8,000 seorang.

Pelepasan ini hanya terpakai bagi kursus dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan sahaja.

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #18 – Anak kelainan upaya

Untuk setiap anak kandung kelainan upaya yang dijaga, layak untuk menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 seorang.

Bagi anak kelainan upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan, maka layak menuntut pelepasan tambahan lagi sebanyak RM 8,000

Ini bermakna, sekiranya anak kelainan upaya ini melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya adalah sebanyak RM14,000

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #19 – Insuran/takaful nyawa dan caruman KWSP

Untuk jumlah campuran antara bayaran caruman insuran/takaful nyawa dan KWSP (caruman dari bahagian sendiri), jumlah pelepasan adalah dihadkan kepada RM 6,000

Maksudnya, andaikata anda membayar caruman takaful nyawa sebanyak RM 3,000 setahun dan KWSP sebanyak RM 5,000 setahun, maka anda hanya layak menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 sahaja.

Pelepasan #20 – Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda

Jika ada menyimpan dengan Skim Persaraan Swasta (Private Retrement Scheme, PRS) atau mencarum Anuiti Tertunda (skim insurans/takaful persaraan), maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Dengan syarat, skim yang disertai adalah diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pelepasan #21 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan

Bagi caruman sebarang skim insurans/takaful pendidikan atau perubatan, maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Insurans/takaful kesihatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)

Pelepasan #22 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Ini adalah kategori baru bagi pelepasan cukai pendapatan 2016.

Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak mendapat pelepasan cukai sebanyak RM 250

Peringatan penting

Itulah sahaja 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016.

Salah satu cara untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar adalah dengan mengoptimasikan tuntutan atas pelepasan-pelepasan yang layak.

Maka, amatlah penting untuk mengetahui dan memahami setiap jenis pelepasan cukai pendapatan yang dibenarkan.

Namun ingat, pastikan tuntut bagi pelepasan yang betul-betul layak dan sah sahaja.

Pastikan juga anda menyimpan resit perbelanjaan dan dokumen yang betul bagi setiap pelepasan yang dituntut.

Pihak LHDN berhak untuk membuat audit ke atas setiap borang taksiran yang dihantar dan meminta resit atau dokumen sebagai bukti ke atas maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang taksiran tersebut.

Jika terdapat kesalahan atau dokumen tidak diterima, maka LHDN akan mengira semula jumlah cukai kena bayar dan menuntut bayaran selebehinya daripada anda.

Saya pernah diaudit oelh LHDN beberapa tahun lepas, syukur tiada apa-apa masalah.

Manalah tahu tahun ini giliran anda pula.

Akhir kata, selamat mengisi e-Filing!