Agihan Pendapatan Dividen & Bonus ASB 2016

dividen & bonus ASB 2016Hari ini telah diumumkan agihan pendapatan, atau orang ramai lebih suka untuk sebut sebagai dividen & bonus ASB 2016 yang dilakukan oleh Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu Tan Sri Wahid Omar.

Berikut merupakan kenyataan akhbar yang dikeluarkan pihak terlibat:

Kenyataan Akhbar Agihan Pendapatan Dividen & Bonus ASB 2016

22 DISEMBER 2016, KUALA LUMPUR- Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus sebanyak 0.50 sen seunit untuk tabung utamanya, iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Objektif tabung ASB ialah untuk menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten serta pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.

Prestasi ASB pada tahun ini adalah lebih baik berbanding prestasi pasaran saham tempatan, yang mana indeks utama FBM KLCI telah mencatatkan pulangan keseluruhan -1.7% (pulangan keseluruhan kepada pemegang saham, setelah mengambil kira pulangan dividen) sehingga 30 November 2016.

Tahun ini merupakan tahun ketiga berturut-turut pasaran saham tempatan mencatatkan pulangan negatif; indeks FBM KLCI telah menurun sebanyak 73 mata dari paras 1,692.5 mata pada 31 Disember 2015 kepada paras 1,619.1 mata pada 30 November 2016.

Secara keseluruhannya, prestasi pasaran saham terjejas oleh pelbagai faktor seperti aliran keluar pelaburan asing daripada pasaran tempatan ke pasaran negara maju, harga komoditi utama yang rendah, ketidaktentuan dalam pasaran matawang dan ketidaktentuan suasana geopolitik.

Meskipun demikian, ASB mampu menjana pendapatan kasar sebanyak RM9.59 bilion* sehingga 30 November 2016. Pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan menyumbang RM4.16 bilion atau 43.4%, manakala keuntungan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM3.82 bilion atau 39.9% daripada jumlah pendapatan kasar. Baki RM1.60 bilion atau 16.7% pula merupakan pendapatan dari instrumen jangka pendek dan juga lain-lain pendapatan.

Lebih 9.0 juta pemegang unit yang melanggan lebih daripada 143 bilion unit ASB akan menikmati pengagihan pendapatan berjumlah lebih kurang RM9.78 bilion dan pengagihan bonus berjumlah RM500.4 juta. Kadar pengagihan pendapatan dan bonus ini adalah 3.45 titik peratusan lebih tinggi berbanding purata KLIBOR 3-bulan pada kadar 3.3% dan 8.45 titik peratusan lebih tinggi berbanding pulangan pasaran saham.

Seterusnya, ASNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi tabung unit amanah harga berubah pertamanya, Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016. Jumlah pengagihan sebanyak RM92.86 juta ini akan dimanfaatkan oleh lebih 1.2 juta pemegang unit yang melanggan lebih daripada 1.85 bilion unit ASN.

Sehingga 30 November 2016, ASN merekodkan jumlah pendapatan kasar sebanyak RM82.72 juta*. Keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM44.50 juta atau 53.8%, manakala pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM30.56 juta atau 36.9% daripada jumlah pendapatan kasar. Lebihan RM7.66 juta atau 9.3% merupakan pendapatan daripada instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

Baca juga:  6 Kesilapan Teknik Loan ASB Yang Boleh Menyebabkan Kerugian

Pengiraan dividen & bonus ASB 2016

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASB adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2016, manakala pengiraan bonus yang dibayar oleh PNB pula adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan untuk 10 tahun terakhir. Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus bagi tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 Januari 2017.

Manakala, pengiraan pengagihan pendapatan bagi tabung ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2016, iaitu hari terakhir tahun kewangan tabung ASN. Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Januari 2017 berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember 2016.

Semua urus niaga bagi ASB dan ASN di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 22 Disember 2016 sehingga 2 Januari 2017 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan bagi tahun 2016. Urus niaga akan berjalan seperti biasa bermula 3 Januari 2017.

Pengerusi Kumpulan PNB, YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, “Kami bersyukur dengan prestasi ASB yang masih mampu memberi pulangan yang kompetitif serta pulangan yang terbaik dalam kalangan instrumen yang seumpamanya meskipun pulangan pasaran saham telah mencatatkan pulangan negatif dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.”

Melangkah ke tahun hadapan, PNB menjangkakan suasana ketidaktentuan pada masa kini akan berterusan. Meskipun begitu, PNB tetap optimis dan dalam masa yang sama lebih berwaspada. Dengan pelaksanaan Pelan Strategi 2017-2022, PNB akan terus berusaha memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif kepada pemegang unit,” tambah beliau.

Nota: *Belum diaudit, setakat 30 November 2016

Sumber: Page FB Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)

Ulasan berkenaan dividen & bonus ASB 2016

dividen & bonus ASB 2016Melihat kepada sejarah dividen dan bonus ASB yang diumumkan pada tahun-tahun sebelum ini, dividen & bonus ASB 2016 merupakan yang paling rendah setakat ini (sebelum ini dividen terendah adalah pada tahun 2002 = 7.00 sen manakala bonus terendah adalah pada tahun 2015 = 0.50 sen)

Ramai pelabur yang memberikan maklumbalas kurang gembira dengan agihan pendapatan kali ini, lebih-lebih lagi yang menggunakan teknik loan ASB.

Namun, seperti yang dinyatakan, tahun 2016 merupakan tahun yang mencabar bagi ekonomi Malaysia.

Bagi sebuah instrumen simpanan atau pelaburan yang berharga tetap dan berisiko rendah, dividen & bonus ASB 2016 yang diberikan boleh dikatakan baik.

Walaubagaimanapun, situasi agihan yang rendah sebegini diharapkan tidak berterusan pada tahun-tahun mendatang kerana ramai yang mengharapkan pulangan yang lebih baik daripada ASB.

Bagi yang menggunakan teknik loan ASB atau teknik financing ASB, dividen & bonus ASB 2016 yang kurang daripada 7.00 sen ini mungkin boleh menjejaskan serba-sedikit pulangan yang dijangkakan daripada teknik-teknik yang dilakukan.

Haruslah ingat, bahawa perkara ini adalah salah satu risiko bagi mereka yang nak lakukan teknik loan ASB, sepertimana yang telah saya sebut dalam artikel ini: 5 Perkara Berkaitan Teknik Loan ASB Yang Perlu Diberi Perhatian

Baca juga:  3 Teknik Pembiayaan/Pinjaman ASB (Loan ASB) Yang Paling Popular

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini