Tag Archive: pengiraan cukai pendapatan

Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2019 Untuk eFiling 2020

pelepasan cukai pendapatan 2019 efiling 2020Dah tengok senarai pelepasan cukai pendapatan 2019 untuk efiling 2020 yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)?

Ada perubahan ke berbanding senarai tahun sebelum ini?

Bagi yang masih belum tahu, ini adalah perkara penting tentang senarai baru yang dikeluarkan.

Jika diperhatikan, tiada perubahan dari segi kategori pelepasan yang terlibat.

Tetapi, ada sedikit perubahan dari segi syarat dan juga jumlah pelepasan yang diberikan.

Memang tidak melibatkan semua kategori, tetapi amat penting untuk tahu agar kita dapat tuntut dengan betul semasa isi efiling nanti dan maksimakan jumlah pelepasan yang layak.

Semakin tinggi jumlah pelepasan yang dituntut, semakin rendah jumlah cukai yang perlu dibayar.

Nak tahu apa perubahan yang berlaku?

Boleh, nanti saya tunjukkan kategori mana yang berubah.

Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, mari lihat dulu senarai pelepasan cukai pendapatan 2019 untuk efiling 2020 yang terkini:

pelepasan cukai pendapatan 2019 efiling 2020

Sekarang, mari kita lihat satu per satu senarai pelepasan cukai pendapatan 2019 sepertimana yang dipaparkan di atas:

Pelepasan cukai #1 – Individu & saudara tanggungan

Semua individu adalah layak untuk kategori pelepasan ini, malah telah diberikan secara automatik semasa isi efiling.

Jumlahnya adalah RM 9,000 sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pelepasan cukai #2 – Penjagaan ibu bapa

Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, boleh menuntut bagi kategori ini jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Kategori ini hanya layak untuk perbelanjaan yang dikeluarkan ke atas ibu bapa kandung dan juga ibu bapa angkat (yang disahkan oleh pihak berkuasa, jika individu adalah anak angkat)

Ibu bapa tiri adalah tidak tergolong dalam pelepasan kategori ini.

Untuk kategori ini, dibahagikan kepada dua (2) bahagian iaitu (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas dan (b) penjagaan ibu bapa.

Bagi bahagian (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas, jumlah pelepasan yang layak dituntut adalah sehingga RM 5,000 dan perlu mematuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Disokong oleh pengamal perubatan berkelayakan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) yang mengesahkan bahawa keadaan kesihatan ibu bapa memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau perkhidmatan penjagaan
  • Ibu bapa bermastautin di Malaysia
  • Rawatan kesihatan dan perkhidmatan penjagaan yang diambil adalah di Malaysia

Antara perbelanjaan rawatan kesihatan ke atas ibu bapa yang layak dituntut adalah:

  • Rawatan perubatan dan perkhidmatan penjagaan yang diperuntukkan oleh rumah penjagaan
  • Rawatan pergigian yang dihadkan kepada mencabut gigi, menampal gigi dan membersihkan karang gigi tetapi tidak termasuk rawatan kosmetik seperti menggantikan dan membaik pulih gigi yang melibatkan penyatuan, root canal dan gigi palsu
  • Bayaran upah khidmat penjaga yang mesti dibuktikan dengan resit atau perakuan bertulis oleh penjaga atau salinan permit kerja penjaga (penjaga mestilah bukan individu, suami / isteri atau anak individu berkenaan)

Bagi individu yang mempunyai ibu bapa yang masih sihat dan tidak memerlukan perbelanjaan rawatan kesihatan, maka boleh menuntut pelepasan cukai di bawah bahagian (b) penjagaan ibu bapa.

Kategori pelepasan ini masih lagi dibenarkan bermula tahun taksiran 2016 sehingga 2020.

Jumlah pelepasan yang dibenarkan untuk dituntut adalah RM 3,000 ke atas kedua-dua ibu bapa, atau RM 1,500 bagi ibu atau bapa.

Walaubagaimanapun, tuntutan di bawah ini perlulah memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Tuntutan dilakukan oleh anak kandung dan anak angkat yang diiktiraf undang-undang sahaja. Tuntutan ke atas ibu atau bapa tiri adalah tidak dibolehkan.
  • Tidak membuat sebarang tuntutan bagi bahagian (a) penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas sepertimana yang diterangkan di atas.
  • Jika lebih daripada seorang individu menuntut pelepasan ini, amaun potongan tersebut perlu dibahagi sama rata mengikut bilangan individu yang menuntut berhubung ibu atau bapa yang sama. Contohnya, jika 3 orang adik-beradik menuntut RM 3,000 ke atas kedua ibu bapa yang sama, maka setiap orang layak menuntut pelepasan RM 1,000 sahaja.
  • Hanya ke atas ibu dan/atau bapa berusia 60 tahun atau ke atas (pada bila-bila masa dalam tahun taksiran), dan bermaustatin di Malaysia
  • Pendapatan tahunan (daripada semua punca sama ada dikenakan cukai atau tidak) setiap ibu atau bapa tidak melebihi RM 24,000 seorang bagi tahun taksiran berkenaan

Pelepasan cukai #3 – Peralatan sokongan khas

Jika ada membuat pembelian peralatan sokongan khas bagi orang kelainan upaya (OKU) sama ada untuk kegunaan diri-sendiri, pasangan, anak, ibu atau bapa, maka pelepasan sehingga RM 6,000 boleh dituntut.

Syarat utamanya, orang yang menggunakan peralatan tersebut mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai OKU.

Antara alat sokongan asas yang dibenarkan adalah seperti mesin hemodialisis, kerusi roda, kaki palsu dan alat pendengaran, tetapi tidak termasuk cermin mata dan kanta lekap.

Pelepasan cukai #4 – Individu kelainan upaya (OKU)

Bagi individu yang berdaftar dan mendapat pengiktirafan bertulis daripada JKM sebagai OKU, maka layak menuntut pelepasan tambahan sebanyak RM 6,000 selain daripada pelepasan individu yang dinyatakan di atas.

Pelepasan cukai #5 – Yuran pengajian sendiri

Jika anda merupakan pelajar yang sedang belajar di peringkat tertiari (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) atau lanjutan (Sarjana dan Doktor Falsafah) sama ada secara sepenuh atau separuh masa, maka pelepasan cukai sehingga RM 7,000 adalah diberikan ke atas bayaran yuran pengajian tahunan yang dibuat.

Untuk layak mendapat pelepasan ini, syarat-syarat ini hendaklah dipatuhi:

  • Pengajian di mana-mana institusi tempatan atau badan profesional di Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia (Kementerian Pengajian Tinggi) atau diluluskan oleh Menteri Kewangan. Boleh rujuk di laman web rasmi kementerian di www.mohe.gov.my
  • Bagi pengajian peringkat tertiari (selain Sarjana dan Doktor Falsafah), hanya untuk bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi sahaja.
  • Bagi pengajian peringkat lanjutan (Sarjana dan Doktor Falsafah), sebarang bidang atau kursus pengajian adalah dibenarkan.

Pelepasan cukai #6 – Perbelanjaan perubatan penyakit sukar diubati

Bagi perbelanjaan rawatan perubatan penyakit sukar diubati atau serius sama ada dihidapi diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan sehingga RM 6,000 adalah diberikan.

Penyakit serius adalah termasuk sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa.

‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan.

Untuk tujuan rekod dan dokumentasi, semua resit rawatan perubatan serta surat perakuan yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) hendaklah disimpan.

Pelepasan cukai #7 – Pemeriksaan perubatan

Bagi pemeriksaan perubatan penuh yang dilakukan untuk diri-sendiri, pasangan atau anak-anak, pelepasan sehingga RM 500 adalah dibenarkan.

Harus diingat, jumlah tuntutan bagi pelepasan #6 dan #7 adalah terhad sehingga RM 6,000 sahaja.

Sebagai contoh, jika dalam tahun taksiran yang sama ada dibuat perbelanjaan rawatan perubatan sebanyak RM 5,500 dan pemeriksaan perubatan untuk diri-sendiri dan pasangan sebanyak RM 1,000, maka hanya layak menuntut pelepasan sehingga RM 6,000 sahaja.

Pelepasan cukai #8 – Perbelanjaan gaya hidup

Kategori ini masih dikekalkan dalam senarai pelepasan cukai pendapatan 2019.

Bagi perbelanjaan gaya hidup yang dilakukan sepanjang tahun 2019, sebanyak RM 2,500 pelepasan adalah dibenarkan.

Antara perbelanjaan-perbelanjaan gaya hidup yang dibenarkan untuk dibuat tuntutan pelepasan cukai pendapatan 2019 adalah:

  • Pembelian buku, jurnal, majalah, suratkhabar bercetak dan lain-lain penerbitan seumpamanya (selain bahan bacaan terlarang/lucah) untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak. Boleh dalam bentuk hardcopy atau softcopy.
  • Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak, bukan untuk tujuan perniagaan.
  • Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (termasuk alat-alat yang mempunyai jangka hayat yang singkat seperti bola golf dan bulu tangkis, tetapi tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor). Boleh lihat senarai lengkap aktiviti-aktiviti sukan yang dibenarkan dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html
  • Bayaran keahlian gimnasium untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak (tidak termasuk keahlian kelab yang menyediakan kemudahan gimnasium)
  • Bayaran bil bulanan bagi langganan jalur lebar/internet yang didaftarkan atas nama individu untuk kegunaan sendiri, pasangan dan anak.

Yang penting, resit yang sah bagi setiap perbelanjaan hendaklah disimpan dengan baik.

Pelepasan cukai #9 – Pembelian peralatan penyusuan

pelepasan cukai pendapatan 2019 efiling 2020

Kategori pelepasan cukai ini adalah khas untuk pembayar cukai wanita sahaja, yang mana memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Merupakan ibu yang menyusukan anak.
  • Perbelanjaan dilakukan bagi mendapatkan peralatan penyusuan untuk kegunaannya bagi menyusukan anaknya yang berumur 2 tahun dan ke bawah.
  • Disokong dengan resit pembelian yang sah.

Peralatan penyusuan ibu yang layak mendapat pelepasan adalah:

  • set pam susu dan pek ais (breast pump kit dan ice pack)
  • bekas pengumpulan dan penyimpanan susu (breast milk collection and storage equipment)
  • set penyejuk atau beg penyejuk (cooler set/bag)

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah sehingga RM 1,000 sahaja walaupun pembelian dilakukan untuk menyusukan lebih daripada seorang anak.

Malah, pelepasan ini hanya dibenarkan sekali setiap 2 tahun taksiran.

Maksudnya, jika tahun lepasa telah membuat tuntutan untuk kategori ini, maka tidak layak untuk membuat tuntutan bagi tahun semasa.

Pelepasan cukai #10 – Yuran taman asuhan kanak-kanak/tadika

Bagi yang menghantar anak/anak-anak ke taman asuhan atau tadika, layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 1,000 di bawah kategori ini.

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah seperti yang berikut:

  • Untuk anak yang berumur 6 tahun dan ke bawah sahaja.
  • Taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tertakluk pada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
  • Tadika yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)
  • Tuntutan adalah dibenarkan ke atas seorang atau lebih anak yang mematuhi syarat. Namun, hanya seorang ibu atau bapa boleh menuntut ke atas seorang anak (jika taksiran berasingan).

Tuntutan pelepasan cukai di bawah kategori ini hendaklah disokong dengan:

  • Dokumen kelahiran anak (MyKid atau sijil kelahiran)
  • Resit pembayaran yuran bulanan yang dikeluarkan oleh taman asuhan/tadika tersebut

Pelepasan cukai #11 – Simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Bagi kategori ini, terdapat sedikit perubahan dalam senarai pelepasan cukai pendapatan 2019.

Untuk tahun taksiran 2019, individu boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM 8,000 jika ada membuat simpanan dalam SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Jumlah pelepasan ini adalah ditambah daripada tahun lepas (RM 6,000 sahaja) bagi menggalakkan lebih ramai orang menyimpan di SSPN.

Pelepasan ini adalah terhad kepada jumlah tabungan bersih sahaja, iaitu jumlah simpanan sepanjang 2019 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2019 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Pelepasan cukai #12 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada bekas isteri

Jika isteri tidak bekerja atau mempunyai jumlah pendapatan yang tidak mencapai jumlah minimum dikenakan cukai, maka suami boleh menuntut pelepasan ke atas isteri sebanyak RM 4,000

Jika suami pula tidak bekerja atau mempunyai jumlah pendapatan yang tidak mencapai paras minimum, maka isteri juga boleh menuntut pelepasan ke atas suami sebanyak RM 4,000 (dengan syarat hanya seorang isteri sahaja boleh membuat tuntutan jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri)

Jika dibuat taksiran bersama suami isteri, maka jumlah pelepasan sebanyak RM 4,000 boleh dituntut oleh penama yang mengisi efiling.

Bagi suami yang ada membuat bayaran nafkah/alimoni kepada bekas isteri, maka layak menuntut pelepasan sebanyak yang dibayar atau maksimum RM 4,000

Walaubagaimanapun, bayaran nafkah/alimoni secara sukarela kepada bekas isteri di bawah perjanjian bersama tanpa sebarang perjanjian rasmi tidak layak dituntut sebagai pelepasan cukai.

Pelepasan cukai #13 – Suami/isteri orang kelainan upaya (OKU)

Pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500 adalah diberikan kepada individu yang mempunyai pasangan (suami atau isteri) yang merupakan OKU yang diiktiraf dan berdaftar dengan JKM.

Pelepasan cukai #14 – Anak berumur 18 tahun ke bawah

Pelepasan bagi anak yang belum berkahwin dan berumur di bawah 18 tahun pada bila-bila masa dalam tahun taksiran adalah sebanyak RM2,000 seorang.

Pelepasan cukai #15 & #16 – Anak berumur 18 tahun ke atas

Untuk ibu atau bapa yang mempunyai anak/anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin serta mengikuti pengajian pada tahun taksiran (contohnya kursus matrikulasi, A-Level, sijil kemahiran, persediaan atau pra-ijazah), maka pelepasan cukai sebanyak RM 2,000 ke atas seorang anak adalah layak dituntut.

Berbeza pula jika mempunyai anak/anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa (seperti diploma, ijazah sarjana muda) di universiti, kolej atau institut pelajaran lain yang serupa dengannya di Malaysia
  • mengikuti kursus sepenuh masa di luar Malaysia di peringkat ijazah (termasuk ijazah di peringkat sarjana atau kedoktoran) atau yang setaraf dengannya
  • berkhidmat di bawah satu ikatan artikel atau indentur untuk memperoleh kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia
  • kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan

maka, ibu atau bapa boleh menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 8,000 ke atas setiap orang anak.

Pelepasan cukai #17 – Anak orang kelainan upaya (OKU)

Bagi ibu atau bapa yang mempunyai/menjaga anak yang diiktiraf sebagai OKU (sebarang umur) dan anak tersebut masih belum berkahwin, maka pelepasan sebanyak RM 6,000 ke atas anak tersebut adalah dibenarkan.

Tambahan pelepasan sebanyak RM 8,000 ke atas seorang anak adalah diberikan kepada ibu atau bapa yang mempunyai/menjaga anak OKU yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • mengikuti pengajian tinggi sepenuh masa (seperti diploma, ijazah sarjana muda) di universiti, kolej atau institut pelajaran lain yang serupa dengannya di Malaysia
  • mengikuti kursus sepenuh masa di luar Malaysia di peringkat ijazah (termasuk ijazah di peringkat sarjana atau kedoktoran) atau yang setaraf dengannya
  • berkhidmat di bawah satu ikatan artikel atau indentur untuk memperoleh kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia
  • kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan

Nota tambahan untuk pelepasan cukai #14, 15, 16 & 17

Semasa isi e-filing untuk menuntut kesemua pelepasan cukai di atas, sila ambil perhatian akan tiga (3) perkara berikut:

  • Bilangan – Isikan jumlah bilangan anak yang layak dituntut pelepasan sepenuhnya (Kelayakan 100%) atau sebahagiannya (Kelayakan 50%) oleh individu.
  • Kelayakan 100% – Ruang ini untuk diisi oleh individu yang layak menuntut pelepasan anak sepenuhnya.
  • Kelayakan 50% – Ruang ini hanya berkenaan jika dua atau lebih individu (bukan suami isteri yang tinggal bersama) layak menuntut potongan berhubung bayaran yang dibuat ke atas anak yang sama, dan setiap individu tersebut layak menuntut 50% daripada pelepasan yang dibenarkan sebagai potongan. Contohnya apabila berlaku perceraian dan terdapat dua atau lebih individu yang layak menuntut potongan ke atas anak yang sama.
  • Taksiran Berasingan – Individu dan suami / isteri perlu memilih pelepasan ke atas setiap anak yang ingin dituntut masing-masing. Contohnya, Abu dan Siti mempunyai 5 orang anak, maka tuntutan yang boleh dibuat sama ada Abu 5, Siti 0; Abu 4, Siti 1; Abu 3, Siti 2; Abu 2, Siti 3; Abu 1, Siti 4 atau Abu 0, Siti 5.

Pelepasan cukai #18 – Insurans/takaful nyawa dan KWSP

Untuk kategori ini, ada sedikit perubahan untuk tahun taksiran 2019 berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Perubahan pertama adalah dari segi jumlah pelepasan yang dibenarkan, iaitu sebanyak RM 7,000 berbanding RM 6,000 pada tahun-tahun sebelum ini.

Perubahan yang seterusnya adalah dari segi kelayakan jumlah pelepasan yang berbeza untuk kakitangaan awam berpencen dan juga kategori kakitangan yang lain (kakitangan awam tidak berpencen dan kakitangan swasta)

Bagi kakitangan awam yang memilih skim pencen, mereka hanya layak menuntut pelepasan bagi bayaran premium insurans/takaful nyawa sahaj.

Mereka tidak layak menuntut pelepasan ke atas bayaran caruman KWSP walaupun mereka membuat caruman tersebut secara sukarela.

Bagi kakitangan kategori selain penjawat awam berpencen, mereka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000 bagi bayaran caruman insurans/takaful nyawa dan RM 4,000 bagi bayaran caruman skim KWSP/skim lain yang diluluskan (caruman sendiri sahaja tidak termasuk caruman majikan)

Sebagai contoh, Aiman merupakan kakitangan swasta yang ada mencarum takaful nyawa sebanyak RM 2,000 setahun dan skim KWSP RM 5,000 setahun, maka beliau hanya layak menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 sahaja (RM 2,000 caruman takaful nyawa + RM 4,000 caruman skim KWSP)

Secara peribadi, saya beranggapan syarat baru ini agak merugikan bagi pembayar cukai.

Pelepasan cukai #19 – Skim Persaraan Swasta, SPS (Private Retirement Scheme, PRS) atau Anuiti Tertunda (Deferred Annuity)

Pelepasan sebanyak RM 3,000 diberikan kepada mereka yang menyertai atau membuat caruman ke dalam skim PRS yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti, atau membuat bayaran premium ke dalam skim anuiti tertunda.

Buat masa ini, pelepasan ini ditetapkan berkuatkuasa bermula tahun taksiran 2012 hingga 2021 sahaja.

Jadi, jangan terlepas peluang untuk mendapatkan pelepasan ini selagi mana masih berkuatkuasa.

Pelepasan cukai #20 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan

Tuntutan pelepasan cukai sehingga RM3,000 adalah dibenarkan bagi bayaran premium insurans/takaful polisi pendidikan atau manfaat perubatan sama ada untuk diri-sendiri, pasangan atau anak/anak-anak (polisi untuk ibu bapa adalah tidak dikira)

Pelepasan diberikan kepada bayaran melalui potongan gaji, atau pun bayar sendiri tanpa melalui potongan gaji.

Insurans/takaful perubatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)

Pelepasan cukai #21 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Pelepasan tidak melebihi RM 250 diberikan ke atas sumbangan dalam tahun taksiran kepada PERKESO yang dibuat atau ditanggung oleh individu mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Penutup

Demikianlah senarai pelepasan cukai pendapatan 2019 untuk efiling 2020.

Sekali lagi saya ulang, kebanyakan kategori pelepasan yang disenaraikan di atas adalah sama sahaja seperti tahun sebelumnya.

Hanya ada sedikit perubahan kecil yang melibatkan dua (2) kategori iaitu:

  • Pelepasan cukai #11 (Simpanan bersih SSPN) – Jumlah tuntutan pelepasan yang dibenarkan ditingkatkan kepada RM 8,000 berbanding RM 6,000 sahaja pada tahun sebelumnya.
  • Pelepasan cukai #18 (Insuran/takaful nyawa & caruman KWSP) – Syarat yang ditetapkan untuk penjawat awam berpencen adalah berbeza dengan penjawat awam tanpa pencen dan pekerja swasta/sendiri (boleh rujuk syaratnya dia ats). Di samping itu, bagi yang layak, jumlah pelepasan untuk caruman KWSP telah dihadkan kepada RM 4,000 sahaja berbanding RM 6,000 pada tahun sebelumnya.

Apa-apa pun, sebagai peringatan penting, setiap pelepasan yang dituntut hendaklah disokong oleh dokumen atau resit perbelanjaan yang berkaitan sebagai bukti.

Akhir kata, buatlah tuntutan pelepasan cukai semaksimumnya mengikut apa yang dibelanjakan pada tahun taksiran supaya dapat mengurangkan pengiraan cukai dan seterusnya jumlah cukai yang perlu dibayar.

Semoga perkongsian senarai pelepasan cukai pendapatan 2019 untuk efiling 2020 kali ini bermanfaat dan dapat membantu semasa mengisi efiling 2020 nanti.

Sekian.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya. Terima kasih.

pelepasan cukai pendapatan 2019 efiling 2020

5 Kesalahan Cukai Pendapatan Yang Mesti Dielakkan

kesalahan cukai pendapatanBaru-baru ini, semasa blogwalking, saya terjumpa satu artikel menarik di AskLegal.my yang memperkatakan tentang jenis-jenis kesalahan cukai pendapatan yang mesti dielakkan orang ramai.

Jadi, sempena musim isi efiling 2018 yang masih lagi berjalan sekarang, saya rasa amat penting juga untuk kongsikan isi-isi penting daripada artikel tersebut di sini.

Bagi yang nak baca artikel asal tersebut, boleh klik di sini (artikel asal adalah dalam bahasa Inggeris): 5 Common Malaysian Tax Offences

Jom kita lihat jenis-jenis kesalahan cukai pendapatan yang dikisahkan dalam artikel tersebut.

Akta Cukai Pendapatan 1967

Sebelum kita pergi lebih lanjut, saya nak perkenalkan dahulu tentang Akta Cukai Pendapatan 1967.

Akta inilah yang mengandungi undang-undang dan rujukan berkaitan kawalan dan pelaksanaan cukai pendapatan di Malaysia.

Kiranya, akta ini adalah rujukan utama jika nak tahu tentang perkara yang boleh dan tak boleh berkaitan cukai pendapatan.

Akta ini mula digazetkan pada tahun 1967 dan pindaan atau kemaskini terakhir adalah pada tahun 2017 (semasa artikel ini ditulis).

Kalau nak baca, boleh muat turun akta ini di sini: Akta Cukai Pendapatan 1967

kesalahan cukai pendapatan

Jadi, artikel yang saya kongsikan pada kali ini juga adalah daripada akta ini.

Kesalahan cukai pendapatan #1 – Memberi nasihat yang salah

Dalam Seksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967, ada dinyatakan hal ini:

“Any person who assists in, or advises with respect to, the preparation of any return where the return results in an understatement of the liability for tax of another person shall, unless he satisfies the court that the assistance or advice was given with reasonable care, be guilty of an offence..”

Maksudnya, jika seseorang memberi nasihat yang salah berkenaan hal-hal berkaitan cukai pendapatan, yang mana menyebabkan cukai yang dibayar adalah kurang daripada sepatutnya, maka pemberi nasihat boleh dijatuhkan hukuman jika disabitkan bersalah.

Antara contoh-contoh nasihat yang salah adalah:

  • Menggalakkan orang lain menyembunyikan atau tidak mengisytiharkan pendapatan
  • Memberi kenyataan yang tidak benar berkaitan hal-hal cukai pendapatan
  • Sengaja memberikan jawapan yang salah apabila ditanya tentang hal-hal berkaitan cukai pendapatan
  • Membantu menyediakan dokumen-dokumen dan rekod-rekod palsu berkaitan pendapatan dan perbelanjaan
  • Membantu orang lain mengelak dikenakan cukai

Jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini, pesalah boleh didenda antara RM 2,000 hingga RM 20,000 atau dipenjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, jangan memandai-mandai memberikan nasihat berkaitan hal-hal cukai pendapatan, lebih baik semak atau sahkan dahulu maklumat sebelum disampaikan kepada yang lain.

Dan juga, jangan galakkan orang lain untuk tidak bayar cukai atau bayar cukai kurang daripada sepatutnya, kelak boleh binasa diri-sendiri.

Kesalahan cukai pendapatan #2 – Tidak menghantar borang cukai pendapatan/mengisi efiling

Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 ada menyatakan:

“Every person, other than a company, limited liability partnership, trust body or co-operative society to which section 77A applies, shall for each year of assessment furnish to the Director General a return in the prescribed form.”

Maksudnya, setiap orang perlu menghantar borang cukai pendapatan kepada LHDN mengikut cara yang sepatutnya (sekarang adalah melalui efiling)

Bagi yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan, borang perlu dihantar sebelum 30 April setiap tahun, manakala bagi yang mempunyai punca pendapatan perniagaan, tarikh tutup adalah pada 30 Jun setiap tahun.

Tetapi, adakah semua orang perlu isi efiling dan menyerahkan borang cukai pendapatan?

Mengikut seksyen yang sama juga, 2 golongan ini perlu berbuat seperti di atas, iaitu:

  • Jika mempunyai jumlah pendapatan (selepas potongan KWSP) yang layak dikenakan cukai pada tahun taksiran (bagi tahun taksiran 2017, RM 34,212 setahun atau RM 2,851 sebulan; bagi tahun taksiran 2018, RM 37,692 setahun atau RM 3,141 sebulan)
  • Jika tidak mempunyai jumlah pendapatan yang layak dikenakan cukai pada tahun taksiran, tetapi telah serahkan borang cukai pendapatan pada tahun-tahun sebelumnya.

Maksudnya, bagi mereka yang tidak pernah isi efiling dan pendapatan masih tidak layak dikenakan cukai, maka tidak perlu isi efiling dan hantar borang cukai pendapatan.

Tetapi, bagi mereka yang punyai pendapatan layak dikenakan cukai, atau telah isi efiling pada tahun-tahun sebelum ini, maka wajib isi efiling dan hantar borang cukai pendapatan setiap tahun.

Kesalahan cukai pendapatan #3 – Memalsukan atau menyembunyikan jumlah pendapatan

Ini adalah kesalahan yang biasa orang ramai lakukan.

Ingat tak kes artis yang hampir diisytihar bankrap kerana tak isytihar cukai?

Kes tersebut adalah disebabkan oleh kesalahan ini; menyembunyikan, tidak mengisytiharkan atau memalsukan jumlah pendapatan yang diperoleh supaya jumlah cukai yang dikenakan adalah rendah.

Di dalam Seksyen 113(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, jelas dinyatakan:

“Any person who—
(a) makes an incorrect return, information return or report by omitting the information required to be provided in accordance with any rules made under paragraph 154(1)(c) to implement or facilitate the operation of an arrangement having effect under section 132B, on behalf of himself or another person; or
(b) gives any incorrect information in relation to any information required to be provided in accordance with any rules made under paragraph 154(1)(c) to implement or facilitate the operation of an arrangement having effect under section 132B, on behalf of himself or another person,”

Jika didapati bersalah di bawah kesalahan ini, boleh dikenakan denda antara RM 1,000 hingga RM 10,000 dan perlu membayar penalti iaitu 2 kali ganda bayaran cukai yang terkurang bayar.

Oleh itu, pastikan anda tidak menyembunyikan apa-apa pendapatan yang diperoleh dan isytiharkanlah semasa mengisi efiling.

Kesalahan cukai pendapatan #4 – Tidak membayar cukai pendapatan

kesalahan cukai pendapatanAda 2 jenis kesalahan di bawah kesalahan ini; langsung tidak membayar cukai atau lewat membayar cukai (30 April bagi pendapatan tanpa punca perniagaan dan 30 Jun bagi pendapatan dengan punca perniagaan)

Bagi kesalahan tidak membayar cukai, kesalahan adalah di bawah Seksyen 114 Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mana hukumannya adalah denda antara RM 1,000 hingga RM 20,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, di samping perlu membayar denda sebanyak 3 kali ganda jumlah cukai yang tidak dibayar.

Di samping itu juga, di bawah Seksyen 104, mereka yang mengelak membayar cukai boleh dihalang daripada ke luar negara sehinggalah cukai tersebut dibayar.

Jika ingkar arahan dan tetap ke luar negara, boleh didenda antara RM 200 hingga RM 20,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan lewat membayar cukai melebihi tarikh tutup, boleh dikenakan denda tambahan sebanyak 10% daripada jumlah cukai yang patut dibayar.

Jika lewat melebihi 60 hari daripada tarikh tutup, denda tambahan lagi sebanyak 5% boleh dikenakan.

Sebenarnya, jika anda dikenakan jumlah cukai yang tinggi dan tidak mampu membayarnya sekaligus, anda boleh memohon untuk bayar secara ansuran untuk mengelakkan dikenakan penalti lewat bayar.

Kesalahan cukai pendapatan #5 – Tidak menyimpan dokumen-dokumen berkaitan

Seksyen 82A(1) dan (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 menghendaki supaya setiap dokumen berkaitan cukai pendapatan, seperti penyata pendapatan, resit perbelanjaan untuk pelepasan cukai, penyata akaun dan resit bayaran zakat, mesti disimpan selama 7 tahun, malah sehingga 12 tahun.

Ini kerana, dalam tempoh tersebut, pihak LHDN boleh mengaudit anda dan meminta dokumen-dokumen tersebut diserahkan kepada mereka.

Jika gagal menyimpan dan menyerahkan dokumen-dokumen tersebut, boleh dikenakan denda antara RM 300 hingga RM 10,000 atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, pastikan apa-apa yang dinyatakan dalam borang cukai pendapatan adalah disokong oleh dokumen yang berkenaan, dan semua dokumen hendaklah disimpan dengan baik untuk tempoh 7 ke 12 tahun.

Penutup

Mengisi borang cukai pendapatan menerusi efiling dan juga membayar cukai adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan baik.

Cukai yang dibayar adalah untuk kesejahteraan negara dan rakyat juga.

Pada masa sama, banyak peraturan berkaitan cukai pendapatan perlu diketahui dan dipatuhi, agar tidak terbuat kesalahan sama ada secara sengaja atau pun tidak.

Akhir kata, selamat mengisi efiling dan membayar cukai!

kesalahan cukai pendapatan

..

Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2016 Untuk e-Filing 2017

pelepasan cukai pendapatan 2016Jika dilihat di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak LHDN baru sahaja mengemaskini senarai pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi individu warganegara/pemastautin Malaysia.

Bermula 01 Mac 2017 nanti, semua individu warganegara/pemastautin Malaysia yang memenuhi syarat dikehendaki menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2016 dengan mengisi e-Filing.

Taksiran 2016 diisi pada tahun 2017, taksiran 2017 akan diisi pada tahun 2018.

Maka, senarai pelepasan cukai pendapatan terbaru ini akan digunakan ketika isi e-Filing nanti, supaya jumlah pendapatan bercukai dapat dan jumlah cukai kena bayar dapat dikurangkan.

Untuk lihat senarai tersebut, boleh ke laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/, klik pada Individu, kemudian klik pada Pelepasan Cukai.

Terdapat 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016 yang disenaraikan, sepertimana yang berikut:

pelepasan cukai pendapatan 2016

Jika diteliti, ada beberapa perubahan berbanding senarai pelepasan cukai tahun-tahun sebelumnya.

Jom kita teliti satu per satu.

Pelepasan #1 – Individu dan saudara tanggungan

Yang ini sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pelepasan ini diberikan kepada semua individu, dan jumlahnya masih sama iaitu RM 9,000

Pelepasan #2 – Penjagaan ibu bapa

Untuk jenis ini, ada sedikit penambahbaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum ini, pelepasan hanya dibenarkan untuk perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibubapa yang mempunyai masalah kesihatan yang disahkan pengamal perubatan sahaja.

Pelepasan ini masih diteruskan untuk tahun 2016, dan jumlahnya juga masih sama iaitu RM 5,000

Tambahan untuk pelepasan cukai pendapatan 2016, pelepasan juga diberikan bagi perbelanjaan menyara ibubapa meskipun mereka tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak tinggal bersama-sama.

Inisiatif ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak yang mengambil berat berkenaan kebajikan ibubapa mereka dan sokongan kerajaan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 1,500 bagi ibu (jika bapa telah tiada), RM 1,500 bagi bapa (jika ibu telah tiada) atau RM 3,000 bagi kedua-dua ibubapa (kedua-duanya masih ada)

Walaubagaimanapun, pelepasan ini ada syaratnya iaitu ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.

Pelepasan #3 – Peralatan sokongan khas

Pelepasan ini hanya khas bagi individu kelainan upaya (OKU) atau untuk suami/isteri, anak atau ibubapa kelainan upaya.

Pelepasan diberikan bagi perolehan atau perbelanjaan peralatan sokongan khas yang dieprlukan dan jumlahnya terhad kepada RM 6,000

Pelepasan #4 – Individu kelainan upaya (OKU)

Bagi individu OKU, mereka mendapat pelepasan tambahan sebanyak RM 6,000 selain daripada pelepasan individu di atas (#1)

Pelepasan #5 – Yuran pendidikan sendiri

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi yang sedang melanjutkan pelajaran, berhak untuk menuntut pelepasan yuran pendidikan sendiri.

Walaubagaimanapun, bagi peringkat Sijil, Diploma atau Sarjana Muda, kursus yang layak dihadkan kepada Undang-undang, Perakaunan, Kewangan Islam, Teknikal, Vokasional, Industri, Saintifik atau Teknologi sahaja.

Bagi peringkat Sarjana dan PhD pula, sebarang bidang atau kursus pengajian adalah layak menuntut pelepasan ini.

Bagi yang menerima biasiswa bagi pengajian yang sedang diikuti adalah tidak layak menuntut pelepasan ini.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 7,000 (sebelum ini RM 5,000 sahaja)

Pelepasan #6 – Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati

Bagi meringankan beban individu yang mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan penyakit kritikal sama ada melibatkan diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan diberikan sebanyak RM 6,000

Antara penyakit kritikal yang dibenarkan pelepasan adalah kanser, serangan jantung, pulmonary hypertension, sakit buah pinggang kronik, sakit hati (liver/hepatic) kronik, fulminant viral hepatitis, tumor & kecacatan pembuluh darah di otak, melepuh & melecur kebakaran yang keterlaluan, pemindahan organ utama, sindrom Parkinson, HIV & AIDS, pemotongan kaki/tangan, kecederaan kepala akibat kemalangan, penyakit kulit kronik, penyakit mental, diabetes mellitus, talasemia major, rheumatology dan leukemia.

Pelepasan #7 – Pemeriksaan perubatan penuh

Bagi pemeriksaan perubatan penuh untuk diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 500 diberikan.

Pelepasan #8 – Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan

Pelepasan sebanyak RM 1,000 diberikan bagi perbelanjaan melibatkan pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan sama ada secara hardcopy atau elektronik.

Perbelanjaan bagi pembelian surat khabar dan bahan bacaan terlarang adalah tidak dibenarkan untuk pelepasan ini.

Pelepasan #9 – Pembelian komputer peribadi untuk individu

Pelepasan ini layak untuk pembelian komputer meja (desktop), komputer riba (laptop), notebook dan ultrabook, dan tidak layak untuk pembelian tablet, telefon pintar dan komputer hybrid.

Pelepasan ini dibenarkan 3 tahun sekali sahaja, maksudnya jika pernah menuntut pada tahun 2015 atau 2014, maka tidak layak untuk tahun 2016.

Dan jika tuntut pada tahun 2016, maka tidak layak untuk tuntut pada tahun 2017 atau 2018 kelak.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 3,000

Pelepasan #10 – Tabungan bersih dalam skim SSPN

Pelepasan ini melibatkan tabungan bersih dalam skim SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Tabungan bersih adalah berdasarkan jumlah simpanan sepanjang 2016 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2016 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi tabungan bersih dalam SSPN dihadkan kepada RM 6,000

Pelepasan #11 – Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan

Perbelanjaan bagi pembelian peralatan sukan adalah diberi pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 300

Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah yang tersenarai di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 sahaja; terdapat lebih kurang 39 aktiviti sukan yang tersenarai di bawah akta (boleh lihat senarai lengkap dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html)

Pembelian pakaian sukan dan kasut sukan adalah tidak layak untuk pelepasan ini, hanya untuk peralatan sukan.

Pelepasan #12 – Faedah pembelian rumah

Pelepasan cukai pendapatan bagi faedah pembelian rumah adalah terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.

Untuk syarat kelayakan dan formula pengiraan, boleh rujuk dalam gambar di atas.

Pelepasan #13 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada isteri

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi jenis ini ditingkatkan kepada RM 4,000 (sebelum ini adalah RM 3,000)

Jadi, jika mempunyai pasangan (suami/isteri) yang tidak mempunyai pendapatan, boleh menuntut pelepasan ini.

Bayaran alimoni merujuk kepada bayaran nafkah yang diberikan kepada bekas isteri sepertimana yang ditetapkan mahkamah.

Pelepasan #14 – Suami/isteri kelainan upaya

Jika mempunyai dan menjaga suami/isteri kurang upaya, maka diberikan keistimewaan menuntut pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500

Pelepasan #15 – Anak di bawah umur 18 tahun

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi pelepasan cukai pendapatan 2016, jumlah layak tuntut telah ditingkatkan bagi kategori ini.

Jika mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan belum berkahwin, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 atas seorang anak.

Tiada had bilangan anak; jika punyai 10 orang anak berumur bawah 18 tahun dan belum berkahwin, maka boleh tuntut atas kesemua mereka.

Jika suami dan isteri isi e-Filing secara berasingan melalui taksiran individu (bukan taksiran bersama), maka setiap seorang layak menuntut RM 1,000 sahaja atas seorang anak (kelayakan 50% dalam e-Filing)

Pelepasan #16 & #17 – Anak berumur 18 tahun ke atas

Bagi kategori ini, jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 turut ditingkatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 seorang.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang mengikuti pengajian peringkat diploma atau ke atas di mana-mana institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (bagi institusi pengajian tinggi luar Malaysia, kursus ijazah atau ke atas sahaja), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 8,000 seorang.

Pelepasan ini hanya terpakai bagi kursus dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan sahaja.

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #18 – Anak kelainan upaya

Untuk setiap anak kandung kelainan upaya yang dijaga, layak untuk menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 seorang.

Bagi anak kelainan upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan, maka layak menuntut pelepasan tambahan lagi sebanyak RM 8,000

Ini bermakna, sekiranya anak kelainan upaya ini melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya adalah sebanyak RM14,000

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #19 – Insuran/takaful nyawa dan caruman KWSP

Untuk jumlah campuran antara bayaran caruman insuran/takaful nyawa dan KWSP (caruman dari bahagian sendiri), jumlah pelepasan adalah dihadkan kepada RM 6,000

Maksudnya, andaikata anda membayar caruman takaful nyawa sebanyak RM 3,000 setahun dan KWSP sebanyak RM 5,000 setahun, maka anda hanya layak menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 sahaja.

Pelepasan #20 – Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda

Jika ada menyimpan dengan Skim Persaraan Swasta (Private Retrement Scheme, PRS) atau mencarum Anuiti Tertunda (skim insurans/takaful persaraan), maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Dengan syarat, skim yang disertai adalah diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pelepasan #21 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan

Bagi caruman sebarang skim insurans/takaful pendidikan atau perubatan, maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Insurans/takaful kesihatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)

Pelepasan #22 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Ini adalah kategori baru bagi pelepasan cukai pendapatan 2016.

Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak mendapat pelepasan cukai sebanyak RM 250

Peringatan penting

Itulah sahaja 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016.

Salah satu cara untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar adalah dengan mengoptimasikan tuntutan atas pelepasan-pelepasan yang layak.

Maka, amatlah penting untuk mengetahui dan memahami setiap jenis pelepasan cukai pendapatan yang dibenarkan.

Namun ingat, pastikan tuntut bagi pelepasan yang betul-betul layak dan sah sahaja.

Pastikan juga anda menyimpan resit perbelanjaan dan dokumen yang betul bagi setiap pelepasan yang dituntut.

Pihak LHDN berhak untuk membuat audit ke atas setiap borang taksiran yang dihantar dan meminta resit atau dokumen sebagai bukti ke atas maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang taksiran tersebut.

Jika terdapat kesalahan atau dokumen tidak diterima, maka LHDN akan mengira semula jumlah cukai kena bayar dan menuntut bayaran selebehinya daripada anda.

Saya pernah diaudit oelh LHDN beberapa tahun lepas, syukur tiada apa-apa masalah.

Manalah tahu tahun ini giliran anda pula.

Akhir kata, selamat mengisi e-Filing!