Tag Archive: nasihat kewangan

Tips Urus Kewangan Negatif

tips urus kewangan negatifAdakah anda salah seorang yang sedang berada dalam situasi kewangan negatif?

Kewangan negatif secara mudahnya bermaksud perbelanjaan melebihi pendapatan.

Pendapatan RM 1,000, tapi dibelanjakan RM 1,500.

Pendapatan RM 5,000, tapi dibelanjakan RM 7,000.

Apabila terlalu lama berada di dalam situasi kewangan negatif, banyak masalah boleh berlaku.

Bayaran hutang mula tertunggak, hidup mula tidak tenang, kedudukan kewangan mula goyah.

Lebih teruk kalau sampai ada aset yang tergadai akibat komitmen bulanan tidak dibayar.

Lebih teruk lagi jika keadaan ini menjejaskan hubungan suami ister dan juga dengan orang lain di sekeliling.

Jadi, apa nak buat kalau sedang berada dalam situasi kewangan negatif?

Kali ini saya nak kongsikan satu perkongsian dari Tuan Zamrin Md Zin berkenaan bagaimana beliau memberi penyelesaian bagi seorang pelanggan beliau yang sedang berada di dalam situasi kewangan negatif.

Perkongsian asal boleh dibaca dengan klik pautan di sini.

Jom kita soroti perkongsian beliau, semoga ada pengajaran bagi kita.

Kisah Urus Kewangan Negatif

Beberapa hari lalu saya bertemu dengan seorang rakan lama yang merupakan bekas rakan satu tempat kerja lebih 10 tahun yang lepas.

Beliau sekarang merupakan seorang peniaga sepenuh masa dan sambil-sambil itu menjadi pemandu Grab pada pagi hari…

Beliau meminta sedikit advice untuk mencari penyelesaian bagi masalah kewangan yang sedang dialaminya, ditambah lagi rumahnya akan disita pada hujung bulan ini..

Walaupun pendapatan average RM 4,500 sebagai peniaga setiap bulan ditambah isteri beliau yang masih bekerja dan berpendapatan bersih RM 1,800 sebulan, namun masih mempunyai pendapatan yang negatif.

Sebagai langkah penyelesaian, perkara pertama yang saya lakukan adalah meminta beliau lakukan di depan mata saya sendiri (di kedai makan), melalui sebatang pen dan kertas.

Saya minta beliau senaraikan pendapatan bulanan suami dan isteri, kemudian saya minta dia senaraikan perbelanjaan yang dibuat setiap bulan.

Nasihat awal, tiada istilah gaji isteri dan pendapatan suami, kedua-duanya harus digabungkan.

kisah kewangan negatif

Akhirnya, pendapatan sebenar beliau dan isteri adalah “NEGATIF”

Termenung merupakan perkara biasa apabilak TIDAK PERNAH menyenarai pendekkan keperluan dan kehendak .

Oleh kerana negatif, maka kadangkala ada beberapa senarai perbelanjaan tidak dibuat seperti pinjaman perumahan, peribadi dan TEKUN.

Saya mengutarakan soalan lain. Di mana letaknya simpanan untuk tabung kecemasan?

Jika kereta breakdown? Jika anak sakit? Atau anak mertua sakit ? Atau diri sendiri atau isteri sakit ?

Ini baru post morterm beberapa perkara asas yang WAJIB anda buat.

Kemudian, antara perkara pertama yang saya perbetulkan pada waktu itu adalah mengenalpasti yang mana kehendak dan keperluan.

Tidak perlu makan malam di luar setiap hari. Harus terminate langganan astro. Harus berhenti merokok serta merta. Makan tengahari boleh di mansuhkan, bawa bekal di tempat kerja. Kurangkan jumlah perbelanjaan sekolah (duit jajan) anak, didik anak bawa bekal ke sekolah.

Tidak cukup dengan itu, saya meminta beliau pergi ke bank negara (cawangan Johor Bahru) dan dapatkan laporan kredit kerana saya hanya dapat melihat keseluruhan status kewangan berdasarkan laporan kredit.

Dan, seperti yang saya duga, rekod pembayaran pinjaman rumah adalah tidak bagus; tertunggak 8 bulan.

Cara terbaik yang saya cdangkan beliau lakukan adalah “menjual” rumah yang beliau duduki.

Berdasarkan laporan kredit, jumlah baki hutang semasa adalah RM 125k. Jumlah ini akan menjadi lebih rendah jika ditolak lebihan interest.

Tapi, saya masih menggunakan nilai 125k sebagai asas pengiraan.

Alhamdulillah, dalam masa 1 hari selepas diiklankan, ada 2 orang potential customer yang berminat membeli rumah tersebut

Harga market value = RM 380k

Customer A offer RM 340k (RM 10k deposit)

Customer B offer RM 330k (15% deposit @ RM 49.5k)

Customer B adalah penyelamat terbaik bagi situasi beliau.

Dengan duit deposit yang bakal beliau terima, duit tersebut dapat menampung untuk membayar kos mahkamah dan mengelakkan rumah beliau disita.

Kemudian, boleh gunakan lebihan deposit untuk melangsaikan hutang wajib dan clearkan nama suami isteri daripada blacklist secepat mungkin.

Apakah langkah seterusnya? Hanya saya dan beliau yang akan susun strategi seterusnya.

Saya berdoa beliau dapat menyelesaikan masalah ini dengan seberapa segera dalam urusan menjual rumah.

Mesti ramai tertanya kenapa mesti jual rumah? Nanti nak duduk di mana ?

Proses jual beli rumah biasanya akan mengambil masa 5 ke 6 bulan atau lebih.

Jadi, dalam tempoh tersebut, beliau masih lagi boleh mendiami rumah tersebut sehingga proses selesai sepenuhnya.

Lebihan wang tadi saya sarankan untuk dijadikan deposit untuk membeli rumah kos rendah dan boleh gunakan sedikit untuk mengembangkan bisnes sedia ada.

Buat surat rayuan utk mendapatkan diskaun, sebelum membuat pembayaran penuh, jangan lupa dapatkan release letter.

Saya akan terus membantu beliau.

kisah kewangan negatif

Tips Urus Kewangan Negatif

Daripada kisah yang dikongsikan di atas, beberapa nasihat dan tips boleh diambil sebagai panduan untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik:

#1 Tahu ke mana wang dibelanjakan – Kalau tak tahu, mula dengan mencatat setiap perbelanjaan yang dibuat.

#2 Bezakan antara perbelanjaan keperluan dan kehendak – Daripada senarai yang dibuat, kenalpasti yang mana keperluan, yang mana kehendak. Potensi untuk kurangkan perbelanjaan adalah dengan mengurangkan perbelanjaan keperluan dan menghapuskan perbelanjaan kehendak.

#3 Sanggup berkorban untuk kedudukan kewangan lebih baik – Sanggup untuk ubah gaya hidup dan kurangkan keselesaan yang dirasai sekarang. Nak berjaya, kena sanggup berkorban.

#4 Wajib sediakan dana kecemasan – Kita tak tahu bila situasi kecemasan boleh melanda. Jadi, menyediakan dana kecemasan yang secukupnya adalah sangat penting.

#5 Dapatkan nasihat daripada orang yang lebih arif – Apabila dah buntu memikirkan masalah kewangan yang dialami, dapatkan nasihat daripada yang lebih pakar. Kadang-kadang, jalan penyelesaian ada di depan mata, tetapi dek tertekan dengan masalah yang dialami, maka tak sedar akan pilihan tersebut. Jadi, di sinilah peranan nasihat daripada yang pakar.

#6 Bijak gunakan peluang yang ada – Apabila tersedia peluang untuk selesaikan masalah yang dihadapi, gunakan peluang tersebut dengan bijak.

Itu sahaja untuk kali ini, semoga ada manfaatnya.

(Artikel ini adalah dipetik daripada perkongsian Tuan Zamrin Md Zin. Untuk baca perkongsian asal, boleh klik pautan di sini)

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya.

..

16 Cara Selamatkan Duit Anda 2018

cara selamatkan duitSaya tertarik dengan satu infografik tips pengurusan kewangan yang dikongsikan oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) bertajuk 16 Cara Selamatkan Duit Anda 2018.

Memang sangat sesuai untuk dikongsikan kepada pembaca di blog JomUrusDuit.com ini.

Jadi, seperti biasa, saya kongsikan dan berikan sedikit ulasan tambahan bagi setiap tips yang dikongsikan.

Tanpa buang masa, jom kita lihat satu per satu tips yang dikongsikan.

Cara selamatkan duit #1 – Belanja kurang daripada pendapatan setiap bulan

Rancang baik-baik bagaimana untuk belanjakan pendapatan yang diperoleh supaya tidak terlebih belanja.

Kalau terlebih belanja, boleh menyebabkan terjebak ke dalam hutang yang tidak baik.

Apabila banyak berhutang, lemahlah kedudukan kewangan nanti.

Cara selamatkan duit #2 – Fikirkan cara untuk tambahkan pendapatan

Secara asasnya, ada 4 kuadran sumber pendapatan utama iaitu pekerjaan, bekerja/berniaga sendiri, berniaga melalui syarikat dan pelaburan.

Usah terlalu bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja, walaupun pendapatan yang dirasakan sekarang sudah lebih daripada cukup.

Kenapa?

Kerana apa-apa sahaja boleh berlaku tanpa diduga; diberhentikan kerja, syarikat menghadapi masalah, kegawatan ekonomi, kemalangan.

Oleh itu, kena kreatif untuk pelbagaikan sumber pendapatan.

Bagaimana nak tambah pendapatan?

Mulakan dengan menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran diri dengan perkara-perkara yang boleh dijadikan sumber pendapatan.

Cara selamatkan duit #3 – Ubah gaya hidup (boros kepada jimat)

Sebenarnya, ramai yang menghadapi masalah bukan disebabkan jumlah pendapatan yang tidak mencukupi, sebaliknya adalah disebabkan sikap sendiri yang suka boros.

Lebih utamakan gaya dan pandangan orang lain berbanding kemampuan sendiri.

Jadi, mulai sekarang, perlu ubah tabiat berbelanja.

Utamakan keperluan berbanding kehendak, pilih barang dengan kualiti terbaik pada harga terbaik dengan kemampuan sendiri.

Barulah duit akan selamat.

Cara selamatkan duit #4 – Rancang kewangan anda dengan buku bajet bulanan

Anda ada buat bajet belanja bulanan?

Kalau belum ada, kena mula buat sekarang.

Dengan adanya bajet, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal ke mana duit dibelanjakan.

Dan juga kita dapat tahu berapa had yang boleh diperuntukkan untuk setiap perbelanjaan.

Bajet akan membantu supaya tidak terbabas ke arah perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu.

Kalau rasa susah nak tulis dalam buku, boleh gunakan pelbagai aplikasi smartphone yang ada sekarang.

Cara selamatkan duit #5 – Mulakan menabung dengan duit berwarna (RM 5, RM 10, RM 20)

Ini adalah salah satu cara simpan duit yang mudah untuk dilakukan; wujudkan tabung duit warna.

Contohnya, tabung oren untuk duit not RM 20, atau tabung hijau untuk duit not RM 5

Setiap kali dapat duit not warna tersebut, jangan belanjakan, tetapi terus simpan ke dalam tabung.

Buat bersama-sama pasangan dan anak-anak, lebih seronok.

Selepas beberapa bulan, buka tabung dan lihat hasilnya.

Pasti tersenyum.

Cara selamatkan duit #6 – Bagi pengguna kad kredit, elakkan pembayaran minima

Kad kredit ini umpama pedang bermata dua; kalau tersalah cara guna, boleh membahayakan diri-sendiri.

Guna kad kredit memang senang, tak perlu bawa duit cash yang banyak, hanya perlu swipe sahaja.

Tetapi, kalau tak terkawal, buruk padahnya.

Lagi teruk, apabila tak dapat bayar, atau bayar bayaran minima sahaja.

Dalam kadar faedah kad kredit yang tinggi, situasi sebegini akan menyebabkan pengguna boleh terbeban dengan jumlah hutang yang tinggi.

Cara selamatkan duit #7 – Tahan tabiat membeli belah, beli apabila perlu

Yang ini berkait rapat dengan tips #3 di atas.

Kalau diri sendiri memang suka membeli-belah, kena ambil langkah untuk kurangkan tabiat tersebut.

Salah satu caranya, kurangkan bercakap dengan orang lain berkenaan sebarang jualan murah.

Kurangkan melawat ke pusat-pusat membeli belah.

Kalau suka membeli belah online, kurangkan melayari kedai-kedai online.

Sibukkan diri dengan buat perkara-perkara lain yang lebih bermanfaat, insyaAllah tabiat membeli-belah dapat dikurangkan.

Cara selamatkan duit #8 – Pupuk tabiat bebas hutang

Elakkan daripada melakukan hutang-hutang jahat.

Contoh hutang-hutang jahat adalah seperti beli perabot mewah guna ansuran mudah, beli baju mahal guna kad kredit dan buat pinjaman peribadi untuk join skim cepat kaya.

Kalau nak berhutang, pastikan buat hutang yang disandarkan kepada aset, contohnya buat beli rumah dan tanah.

Dan apabila berhutang, pastikan buat bayaran mengikut jadual dan jumlah yang ditetapkan.

Kalau ada duit lebihan, boleh guna untuk buat bayaran tambahan supaya dapat bebas hutang dengan lebih cepat.

Cara selamatkan duit #9 – Pilih pakej insurans/takaful kenderaan yang berpatutan

Memiliki kereta memang merupakan satu beban.

Bukan sahaja perlu bayar ansuran bulanan bagi pinjaman/pembiayaan kereta, malah kena turut fikir kos-kos lain seperti minyak, tol, penyelenggaraan dan parking.

Setiap tahun pula, perlu fikirkan kos cukai jalan dan juga insurans/takaful kenderaan yang perlu diperbaharui.

Sebagai orang yang bijak kewangan, pilihlah pakej insurans/takaful kenderaan yang berpatutan.

Bertepatan dengan liberalisasi insurans/takaful kenderaan sekarang, sebagai pengguna, perlulah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan sentiasa ditawarkan pakej perlindungan insurans/takaful kenderaan yang murah.

Cara selamatkan duit #10 – Kurangkan beriadah di pusat membeli belah

Tips ini pun berkait dengan tips #3 dan #7.

Apabila suka beriadah di pusat membeli belah, niat asal yang tak mahu berbelanja pun, boleh tewas.

Sedar tak sedar, banyak duit mengalir terbeli barang-barang yang sebenarnya tak diperlukan pun.

Oleh itu, kurangkan beriadah di pusat membeli belah.

Jika kawan-kawan ajak berjumpa atau bersiar-siar, lebih baik pergi ke tempat yang tak perlukan banyak belanja seperti ke taman, pusat rekreasi atau pantai.

Cara selamatkan duit #11 – Kurangkan merokok

Orang yang merokok adalah orang kaya yang kurang cerdik.

Maaf, mungkin kendengaran agak kasar, namun ini adalah pendapat peribadi saya yang memang tak suka kepada perokok.

Perokok sanggup membakar duit untuk menghisap asap dan bahan-bahan kimia yang bukan sahaja tidak membawa faedah, malah boleh merosakkan tubuh badan.

Dan menjadi punca kepada banyak penyakit bukan sahaja kepada diri-sendiri, malah kepada orang di sekeliling yang terpaksa menghirup asap rokok yang dilepaskan.

Jadi, daripada dibakar sahaja duit tersebut, lebih baik disimpan dan dilaburkan sahaja.

Kurangkan merokok, duit dapat dijimatkan.

Lebih baik jika berhenti terus.

cara selamatkan duit

Cara selamatkan duit #12 – Amalkan pemakanan yang sihat dan kerap bersenam

Pada masa sekarang, kos rawatan sesuatu penyakit boleh mencecah jumlah yang tinggi.

Oleh itu, cara yang paling mudah untuk mengelak perkara ini adalah dengan menjaga kesihatan; mengamalkan pemakanan yang sihat dan kerap bersenam.

Dengan menjaga kesihatan dengan baik, bukan sahaja dapat mengelakkan terpaksa keluarkan belanja untuk merawat penyakit, malah menambah produktiviti diri-sendiri dalam melakukan kerja.

Produktiviti bertambah, pendapatan juga bertambah.

Cara selamatkan duit #13 – Ukur baju di badan sendiri

Berbelanjalah mengikut keupayan pendapatan masing-masing.

Jangan terikut-ikut gaya orang lain.

Jangan terikut-ikut nafsu sendiri.

Jangan sampai berhutang kalau sekadar nak kelihatan hebat di mata orang lain.

Ukur baju di badan sendiri, berbelanja pada perkara yang perlu mengikut kemampuan.

Cara selamatkan duit #14 – Kitar semula pakaian terpakai

Tak perlulah sampai terlalu kerap membeli pakaian baru.

Selagi pakaian sedia ada masih elok dan boleh dipakai, pakailah sahaja.

Cara selamatkan duit #15 – Kawal tabiat boros terhadap aksesori kereta

Tak salah untuk mempunyai minat dan hobi dengan kereta.

Tetapi, memang satu masalah kalau terlalu boros dengan minat tersebut.

Berpada-padalah, utamakan belanja yang perlu dahulu, utamakan isteri dan anak-anak dahulu.

Cara selamatkan duit #16 – Banyak menggunakan pengangkutan awam

Bagi yang tinggal di Lembah Klang, dengan kemudahan pengangkutan awam yang ada, memang digalakkan untuk menggunakan kemudahan yang disediakan tersebut.

Bukan sahaja lebih jimat wang, malah lebih jimat masa dan tenaga.

Malah, menggunakan pengangkutan awam lebih baik untuk alam sekitar.

Jadi, tak perlu malu-malu gunakan kemudahan pengangkutan awam.

..

6 Nasihat Kewangan Untuk Kejayaan

nasihat kewanganSelepas lebih seminggu saya tak update blog ini, hari ini saya terasa untuk berkongsi sedikit nasihat kewangan yang pernah saya pelajari untuk dijadikan panduan kita bersama.

Nasihat kewangan #1 – Semua orang kena ada impian yang besar

Apa impian kewangan anda?

Kalau masih belum ada, jom cipta impian sekarang.

Pastikan impian yang besar tapi realistik, contohnya nak capai tahap kebebasan kewangan yang mana dah berjaya jana pendapatan pasif yang banyak sehingga mampu menampung perbelanjaan-perbelanjaan sedia ada.

Pada masa sama, nak mendiami rumah yang besar dan selesa, memandu kereta yang elok, memiliki aset-aset pelaburan yang menjana keuntungan dan juga ada simpanan yang banyak.

Juga boleh berbelanja ke arah perkara-perkara yang disukai seperti melancong dan mengembara tanpa perlu fikirkan tentang masalah duit.

Boleh selalu pergi makan di restoran-restoran dengan makanan-makanan yang enak.

Dari segi kewangan keluarga pula, berimpian untuk memberikan nafkah secukupnya kepada isteri, menyumbang wang untuk membantu ibu bapa serta keluarga di kampung dan menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Bak kata orang, tak salah untuk memiliki impian.

Begitu juga dengan impian-impian kewangan seperti di atas.

Mempunyai impian yang besar dan realistik akan menjadi pendorong bagi kita mencapai kejayaan.

The big why factor.

Nasihat kewangan #2 – Tetapkan matlamat, buat sampai jadi

Selepas dah set impian kewangan, tulis impian tersebut dalam buku atau sehelai kertas, kemudian tampal di tempat-tempat yang selalu dilihat seperti pada cermin meja solek atau dekat pintu.

Apabila hari-hari tengok impian kewangan sendiri, mesti rasa terdorong untuk capai impian tersebut.

Jadi sekarang, kena tetapkan pula matlamat kewangan dan rancang pelan kewangan untuk merealisasikan impian.

Daripada impian kewangan yang diimpikan, sekarang pecahkan kepada matlamat-matlamat kewangan seperti bina dana kecemasan, tabung pelaburan, tabung  persaraan, dana pendidikan anak-anak dan dana infaq (sedekah dan wakaf).

Tetapkan jumlah dan masa yang spesifik.

Sebagai contoh, nak simpan dana kecemasan sebanyak RM 20,000 dalam masa dua tahun.

Atau nak miliki dua buah rumah yang disewakan sebagai aset pelaburan dalam masa tiga tahun.

Contoh lain, nak ada tabung persaraan sebanyak RM 2 juta dalam masa 25 tahun.

Selepas tetapkan matlamat, rancang pula pelan kewangan untuk capai matlamat tersebut.

Mungkin boleh mula dengan menstrukturkan bajet kewangan bulanan supaya aliran tunai positif

Boleh juga tambah sumber pendapatan untuk memperbanyakkan lagi simpanan.

Pada masa sama, buat pelaburan unit amanah, sasarkan pulangan pelaburan terkompoun 8% ke 10% setiap tahun.

Kalau ada modal lebih, boleh beli rumah dan hartanah komersial untuk disewakan dan dijual apabila harga sesuai.

Tambah ilmu supaya boleh mula melabur dalam pelaburan saham dengan membeli saham syarikat-syarikat berpotensi tinggi.

Semua ini adalah contoh pelan kewangan untuk mencapai matlamat dan impian kewangan yang dikehendaki.

Pastikan anda tulis setiap perancangan yang dibuat, dan laksanakan betul-betul sampai mencapai matlamatnya.

Kalau tak pandai nak rancang pelan kewangan, boleh dapatkan bantuan daripada perunding kewangan yang berpengalaman.

Nasihat kewangan #3 – Berdisiplin dalam membuat simpanan

nasihat kewanganTanpa simpanan, anda tak akan dapat mencapai apa-apa pun impian atau matlamat kewangan.

Kalau sekarang anda masih belum dapat menyimpan, mulakan sekarang.

Mula dulu sikit-sikit, konsisten dan berdisiplin dengan simpanan yang dibuat, lama-lama apabila dah terbiasa, tambahkan lagi.

Bagi yang dah biasa menyimpan, perbanyakkan lagi simpanan.

Lagi banyak menyimpan, lagi cepat dan mudah nak capai matlamat kewangan.

Mula-mula, simpanlah untuk bina dana kecemasan terlebih dahulu.

Simpanlah di tempat simpan duit terbaik, sama ada Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Apabila dana kecemasan dah cukup, mula menyimpan untuk tabung modal pelaburan.

Duit simpanan kalau dibiarkan sahaja boleh jadi rugi juga disebabkan oleh inflasi.

Jadi, kenalah buat pelaburan.

Nanti apabila modal simpanan dah cukup, boleh pilih peluang pelaburan terbaik yang memenuhi keperluan sendiri untuk percepatkan lagi pelan mencapai matlamat dan impian kewangan.

Nasihat kewangan #4 – Kawal emosi dan nafsu berbelanja

Salah satu sebab utama ramai orang gagal menyimpan duit dan mencapai matlamat kewangan yang diingini adalah disebabkan gagal mengawal nafsu berbelanja.

Nampak sahaja barang mewah yang diingini, terus keluarkan duit dan beli tanpa membuat kira-kira terlebih dahulu.

Pantang kawan ajak makan di restoran mahal, laju sahaja pergi tanpa mengambil kira baki duit yang masih ada.

Akibatnya, perbelanjaan melebihi pendapatan menyebabkan tiada simpanan dapat dilakukan.

Ini semua angkara tidak dapat mengawal emosi dan nafsu berbelanja.

Terlalu terikut-ikut gaya kehidupan mewah walaupun sebenarnya diri-sendiri tak berkemampuan pun.

Oleh itu, kenalah kawal emosi apabila berbelanja.

Bezakan mana satu keperluan, mana satu kehendak.

Buat kira-kira sebelum mendapatkan sesuatu barang yang diingini, nilaikan kemampuan kewangan sendiri.

Buat keputusan yang bijak semasa membuat perbelanjaan, ini akan membantu anda membina asas kewangan yang kukuh untuk mencapai matlamat dan impian kewangan yang diingini.

Nasihat kewangan #5 – Pelbagaikan sumber pendapatan

nasihat kewanganPendapatan yang diperolehi sekarang dirasakan tidak mencukupi?

Jangan mengeluh atau salahkan orang lain, sebaliknya cuba pelbagaikan lagi sumber pendapatan.

Ingat, terdapat empat kuadran sumber pendapatan yang boleh diteroka.

Kalau sekarang sumber pendapatan utama adalah daripada kerja makan gaji, cuba pelbagaikan dengan membuat perniagaan kecil-kecilan.

Paling mudah, boleh buat bisnes online.

Macam yang dikata dalam iklan televisyen, kita sekarang berada di era konvergens.

Dunia tanpa sempadan, teknologi di hujung jari.

Jadi, memang mudah nak buat bisnes online; boleh buat bisnes online di Facebook, buat duit dengan affiliate atau bisnes ebay.

Bagi mereka yang dah berniaga kecil-kecilan pula, usaha lebih lagi untuk kembangkan perniagaan sedia ada.

Bangunkan sistem yang sesuai untuk perniagaan anda supaya boleh menjana lebih keuntungan di samping membolehkan anda lebih relaks.

Tidaklah anda buat banyak kerja sepanjang masa, sebaliknya agih-agihkan kerja kepada staf-staf lain dan gunakan teknologi untuk automasikan perniagaan anda.

Jadi, anda tak perlu ada setiap masa bekerja untuk perniagaan anda.

Hasil daripada perniagaan, jangan pula dibelanjakan sesuka hati, sebaliknya utamakan untuk beli aset dan buat pelaburan.

Aset dan pelaburan juga boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kita.

Nasihat kewangan #6 – Jangan lupa zakat, sedekah dan cukai

Mesti selalu ingat kata-kata ini, “Sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh dan aset yang dimiliki, ada hak orang lain ke atasnya”

Bagaimana nak tunaikan hak orang lain tersebut?

Kenalah keluarkan zakat, banyakkan sedekah dan bayar cukai.

Barulah berkat pendapatan yang diperoleh dan aset yang dimiliki.

Jangan takut duit kita berkurang, sebaliknya yakinlah bahawa nanti akan dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda.

Itulah sahaja serba sedikit nasihat kewangan yang saya nak kongsikan kali ini.

Bukan nak tunjuk pandai, saya sendiri pun banyak yang tak terlaksana lagi.

Cuma sebagai peringatan dan pesanan untuk kejayaan masa depan.

Eh, macam beri tazkirah pula.

Baiklah, sampai di sini sahaja, jumpa lagi di artikel lain.

p/s: Kalau rasa nasihat-nasihat di atas menikam kalbu, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya!

nasihat kewangan

..