Artikel Terkini

35 Tips Kurangkan Perbelanjaan 2017

tips kurangkan perbelanjaanOleh kerana masih lagi dalam mood tahun baru 2017, saya ingin berkongsi 35 tips kurangkan perbelanjaan yang saya jumpa di Facebook.

Tips ini sebenarnya ditulis oleh Dr Azizul Azli; saya kenali beliau sebagai seorang pelabur hartanah dan juga penulis buku-buku berkaitan pengurusan kewangan seperti Mudahnya Beli Rumah dan Wang Di Mana?

Jika anda salah seorang pembeli pakej Combo ASB Genius, ebook Mudahnya Beli Rumah diberikan secara percuma!

Dr Azizul Azli juga banyak berkongsi tips berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan pelaburan secara santai dan ‘jiwang’ di Facebook beliau.

Jika berminat nak follow beliau, boleh klik di sini: Dr Azizul Azli

Jom kita lihat apakah tips kurangkan perbelanjaan yang dikongsikan oleh beliau:

SELAMAT DATANG 2017!

Jika kita tidak mampu TAMBAH PENDAPATAN tahun baru ini, kita KURANGKAN PERBELANJAAN. Baru kita jadi jejaka tampan & jelitawan.

tips kurangkan perbelanjaan1. Batalkan langganan Astora anda, tengok extravaganza bukan boleh jadi kaya raya.

2. Guna lampu led, mahal mulanya saja. Bila bill elektrik datang kita mula rasa lega.

3. Kurang guna hp, banyakkan berbicara dan kuat kerja. Jangan mengumpat, banyak dosa.

4. Berhenti beli majalah, akhbar dan mastika. Bacaan online sahaja pun dah pening kepala.

5. Hentikan keahlian gym atau golf anda, padang taman masih hijau dan percuma. Gegadis juga ramai selalu disana.

6. Bandingkan harga sebelum beli & belah terus, kita tak rugi sebenarnya.

7. Guna email ianya percuma, tak perlu surat, kertas, meja dan mata pena.

8. Beli barang dapur dalam jumlah banyak di Mydin, ianya lebih sempurna dan bergaya.

9. Kurangkan wang dalam dompet bila jalan jalan. Semakin banyak wang yang ada, semakin lawa semua benda yang kita jumpa. Semakin mengada ngada nak beli semua.

10. Banyakkan duduk dirumah dari di pasaraya, semua benda cantik ada disana termasuk promoter jelita yang sudah berusia.

11. Perpustakaan itu percuma, jangan asyik nak beli Majalah Magga, URTV, Wanita, Nona dan Impiana.

12. Jangan ke restoran sebaliknya ke gerai saja, ia bukan dosa. Api yang dia guna sama sahaja warnanya.

13. Pergi kedai seminggu sekali, bukan setiap hari, beli dan buat simpanan sendiri. Beli sikit sikit jadikan kita rugi.

14. Patuhi peruntukan belanja anda, tak guna ada i-phone segala jika setiap belanja tidak dicatat dalamnya.

tips kurangkan perbelanjaan15. Beli pakaian hujung musim, habiskan stok yang sediada. Kalau dah kacak macam Bangla, pakai apa pun tetap bergaya.

16. Barang terpakai bukan dosa, bundle pun ada yang baru juga. jangan pandang sebelah mata. Kalau dah cinta, pakai apa tetap sayang punya.

17. Sewa bilik jika kita masih bujang, jangan melaram dari bilik depan hingga belakang. Kita sedang membazir ruang.

18. Jangan beli kereta jika masih bujang, hantu jembalang tak akan tumpang. Kalau dah sayang Honda 2 roda pun tak mengapa.

19. Berhenti kesalun dan spa rawatan, potong timun letak dimata. Lepas guna, jadikan ulam. Padan muka sapa yang makan.

20. Teliti kembali takaful anda, jangan sampai lebih belanja. Jika dah lebih, berhenti saja. Jangan ikut jiran tetangga.

21. Bawa bekal tak mengapa, kita bukan sekolah tadika. Orang tahu kita berjimat, bukan mintak duit mereka.

22. Air kosong tetap sihat dan beri tenaga. Minum saja jangan mengada ngada. Air hipsters mahal gila!

23. Jangan merokok dan isap vape merata rata, nanti orang ingat muka kita macam ekzos kereta.

24. Naiklah kenderaan awam, banyak awek ada didalam. Mula mula memang segan, lama lama hati tertawan.

25. Kawasan perumahan yang murah itu masih banyak. Beli kos rendah dan sederhana, dah stabil baru beli yang ada kolam dan laman.

26. Tukar pada jenama lebih murah, jenama Mydin dan Tesco tidak bersalah.

27. Hanya ada satu kad kredit dengan had terendah saja, jika banyak kita cenderong belanja bella amora. Sedangkan rumah belum ada.

28. Mintak diskaun sebelum bayar, tak salah kita mencuba. Untung untung dapat makanan percuma.

29. Beli bila ada diskaun sahaja, jubah mahal lupakan segera. Pakai saja jubah lama, jika beriman tetap ke syurga.

30. Tukar kenderaan kepada viva atau axia. Minyak tangkinya jimat gila!, Isi sekali tak habis lagi.

31. Melawat tempat yang percuma. Zoo Negara mahal giler sejak mereka bela Panda. Muzium Negara lebih terjaga. Nak percuma Tugu Negara ada.

32. Beli untuk kita guna, bukan untuk kelihatan bergaya. gegadis tak suka lelaki bergaya tetapi sebenarnya papa kedana.

tips kurangkan perbelanjaan33. Henti beli dan belah ikut suka, selalunya menyesal bila sampai dirumah kita. Semuanya stategik promoter saja.

34. Jangan tukar kereta baru, kereta lama banyak jasanya. Isteri pertama senantiasa bermakna, susah senang kita bersama.

35. Jangan pasang impian kawin lagi, harga pelamin dah cukup tinggi. Itu belum termasuk GST :-p

Tidak semua orang bijak tambah wang, jika kita belum mampu mulakan dengan berjimat dahulu.

Azizul Azli Ahmad

Abah Aqilah Ensem

#BerjimatSebelumBelanja
#SelamatTahunBaru2017
#TerimaKasihSokonganAnda

Penutup

Berdasarkan tips kurangkan perbelanjaan yang dikongsikan Dr Azizul Azli ini, dapat dirumuskan bahawa untuk berjimat-cermat, seseorang itu perlu ubah gaya hidup dan ubah tabiat.

Perlu bezakan antara keperluan dan kehendak, dan utamakan keperluan berbanding kehendak.

Kena selalu ingat, ada perkara atau barang yang kita tak mampu untuk miliki, jika mampu pun, mungkin boleh buat poket koyak rabak.

Hidup secara sederhana, hidup di bawah kemampuan.

Ikut kemampuan diri, bukan ikut kehendak orang lain.

Orang lain boleh cakap itu ini, boleh suruh kita beli itu ini, tapi yang keluarkan duitnya adalah kita.

Jadi, berbelanjalah sekadarnya agar tidak melebihi kemampuan pendapatan.

Semua ini adalah kunci kepada tips kurangkan perbelanjaan 2017.

Selepas dapat kurangkan perbelanjaan, sudah semestinya akan dapat lebihan duit.

Lebihan duit ini bolehlah digunakan untuk menjalankan perniagaan bagi jana pendapatan tambahan atau memulakan pelaburan untuk mengembangkan modal dan mendapatkan aliran tunai.

Sedikit demi sedikit, seiring dengan pertambahan pendapatan, dengan masih mengekalkan tabiat berbelanja berjimat-cermat, kita akan dapat meningkatkan tahap kewangan peribadi ke tahap yang lebih tinggi.

Prestasi Pelaburan Unit Amanah 2016: Dana Apa Yang Terbaik?

prestasi pelaburan unit amanah 2016Nak tahu tak bagaimana prestasi pelaburan unit amanah 2016?

Pelaburan unit amanah merupakan antara peluang pelaburan yang menjadi pilihan kebanyakan orang yang berharap untuk menggandakan lagi duit mereka, di samping mendapatkan duit tambahan.

Antara kelebihan-kelebihan pelaburan unit amanah yang menyebabkannya menjadi pilihan ramai adalah modal permulaan yang rendah, transaksi mudah dijalankan dengan bantuan ejen dan pelaburan diuruskan profesional.

Tetapi, adakah prestasi pelaburan unit amanah memuaskan?

Bagaimana prestasi pelaburan unit amanah pada tahun 2016?

Bagaimana prestasi pelaburan unit amanah bagi tempoh 3, 5 dan 10 tahun?

Adakah lebih baik berbanding prestasi benchmark masing-masing?

Adakah lebih baik berbanding prestasi Amanah Saham Bumiputera (ASB)?.

Jom kita buat sedikit kajian.

Dana Ekuiti Malaysia Patuh-Syariah

Untuk menilai prestasi pelaburan unit amanah 2016 dan bagi tempoh 3-5 tahun, saya akan menggunakan jadual prestasi unit amanah yang disediakan Fundsupermart Malaysia

Saya banyak merujuk laman web ini untuk informasi dan maklumat berkaitan unit amanah selain Morningstar Malaysia dan eUnittrust Malaysia.

Untuk permulaan, saya memilih dana-dana unit amanah jenis ekuiti Malaysia patuh-syariah.

Dana-dana ini dipilih kerana dana-dana daripada jenis inilah yang biasanya menjadi pilihan ramai dan sentiasa dipromosikan oleh ejen-ejen unit amanah.

Untuk menilai prestasi dana-dana ini, kita akan menggunakan benchmark kepada dana-dana jenis tersebut iaitu prestasi FBM Emas Shariah Index, yang mana prestasi indeks tersebut pada 2016 adalah -4.28%

Dan oleh kerana kebanyakan yang melabur dalam unit amanah kerana mencari alternatif kepada ASB atas isu patuh-syariah, maka pulangan ASB pada 2016 (6.75%) akan turut digunakan sebagai benchmark untuk menilai prestasi pelaburan unit amanah 2016.

Di samping itu, kita ambil juga purata pulangan dana-dana unit amanah jenis ekuiti Malaysia patuh-syariah pada 2016 iaitu -5.06% sebagai benchmark.

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Jom kita lihat prestasi pelaburan unit amanah 2016 untuk dana ekuiti Malaysia patuh-syariah dalam gambar yang berikut (lihat pada column 1yr):

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Daripada gambar di atas, dapat dilihat walaupun situasi ekonomi pada 2016 tidak menentu, namun prestasi kebanyakan dana ekuiti di atas berjaya mengatasi benchmark mereka sendiri dan juga purata pulangan dana-dana.

Tetapi, tiada satu pun dana-dana di atas yang berjaya mengatasi pulangan ASB 2016.

Jadi, bagi mereka yang merungut dividen bonus ASB sebanyak 6.75 sen itu rendah, ketahuilah bahawa agihan yang diberikan itu adalah lebih baik berbanding pulangan kebanyakan dana unit amanah jenis ekuiti Malaysia patuh-syariah.

Kebiasaannya, orang kata pelaburan unit amanah adalah untuk tempoh jangka masa panjang; 3, 5 atau 10 tahun.

Jadi sekarang jom kita lihat prestasi dana unit amanah jenis ekuiti Malaysia patuh-syariah terbaik selama 3, 5 dan 10 tahun.

Prestasi dana ekuiti terbaik dalam masa 3 tahun:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Prestasi dana ekuiti terbaik dalam masa 5 tahun:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Prestasi dana ekuiti terbaik dalam masa 10 tahun (saya ambil data daripada Morningstar, dua senarai diberikan, yang pertama adalah dana yang melabur dalam syarikat bermodal besar, yang kedua adalah dana yang melabur dalam syarikat bermodal kecil dan sederhana):

prestasi pelaburan unit amanah 2016

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Daripada senarai-senarai di atas, dapat dilihat ada dana yang sering menghuni tempat-tempat teratas, ada juga yang sering bertukar-tukar.

Dan memang benar, jika melabur dalam unit amanah dalam jangka masa panjang antara 5 ke 10 tahun, pulangan adalah lebih baik berbanding purata pulangan ASB (sekitar 7.5% setahun)

Dana Bon/Sukuk Malaysia Patuh-Syariah

Jika di atas kita lihat prestasi dana jenis ekuiti, sekarang jom kita lihat prestasi dana jenis bon/sukuk pula, yang mana lebih kurang volatile dan kurang risiko berbanding dana ekuiti.

Prestasi dana bon/sukuk terbaik pada 2016:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Prestasi dana bon/sukuk terbaik dalam tempoh 3 tahun:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Prestasi dana bon/sukuk terbaik dalam tempoh 5 tahun:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Prestasi dana bon/sukuk terbaik dalam tempoh 10 tahun:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Dapat dilihat untuk tempoh singkat dan semasa situasi ekonomi tidak menentu, pulangan daripada dana unit amanah jenis bon/sukuk boleh mengatasi pulangan dana jenis ekuiti.

Tetapi, sesuai dengan sifat dana jenis ini yang berisiko rendah, untuk jangka masa panjang, prestasi dana ini adalah lebih rendah berbanding dana jenis ekuiti.

Namun, jika diteliti, masih ada dana jenis bon/sukuk yang mengatasi pulangan dana ekuiti walaupun dalam jangka masa panjang.

Walaupun dana bon/sukuk tidak sepopular dana ekuiti, tetapi masih boleh menjadi pilihan bagi mereka yang ingin mempelbagaikan pelaburan dalam unit amanah.

Dana bon/sukuk boleh menjadi tempat ‘parking’ dalam situasi ekonomi tidak menentu dan ketika prestasi pasaran kurang baik bagi menjaga modal yang melaburkan sambil mengelakkan kerugian berlebihan.

Apabila pasaran menunjukkan tanda-tanda pemulihan, modal tersebut boleh dilaburkan semula ke dana ekuiti untuk mengambil kesempatan mendapatkan pulangan lebih hasil pemulihan pasaran.

Dana unit amanah terbaik 2016

Sekarang saya nak tunjukkan senarai teratas dana unit amanah terbaik 2016, sepanjang 3 tahun, 5 tahun dan 10 tahun.

Data diperoleh daripada Morningstar, dan senarai diperoleh daripada hampir semua dana unit amanah daripada semua jenis yang terdapat di Malaysia.

Dana unit amanah terbaik 2016:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Dana unit amanah terbaik dalam 3 tahun:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Dana unit amanah terbaik dalam 5 tahun:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Dana unit amanah terbaik dalam 10 tahun:

prestasi pelaburan unit amanah 2016

Walaupun situasi ekonomi 2016 di Malaysia kurang menentu, namun masih ada dana-dana unit amanah yang memberikan pulangan yang baik, malah sehingga lebih 60% setahun.

Kesimpulan

Past performance does not indicate future performance.

Dana unit amanah yang menunjukkan prestasi cemerlang tahun-tahun lepas tidak semestinya akan cemerlang juga pada tahun semasa.

Dana yang cemerlang pada tahun semasa, tidak semestinya juga akan cemerlang pada tahun-tahun akan datang.

Banyak faktor dan risiko yang boleh mempengaruhi prestasi pelaburan unit amanah.

Lagipun, prestasi lampau sesuatu dana bukanlah satu-satunya indikator dalam memilih dana unit amanah terbaik, atau syarat utama untuk membuat keputusan sama ada perlu melabur dalam unit amanah atau tidak.

Baca dua artikel ini:

Satu perkara lagi, walaupun ada prestasi pelaburan unit amanah 2016 kurang baik, namun janganlah panik dan tergopoh-gapah bertukar ke peluang pelaburan baik.

Berfikir dengan tenang, dan kenangkan kembali apakah matlamat yang diletakkan semasa memulakan pelaburan unit amanah dahulu.

Ingat kembali tempoh masa yang diletakkan untuk mencapai matlamat tersebut, jika masih dalam track yang betul, tidak salah untuk biarkan dahulu duit yang telah dilaburkan dalam dana unit amanah tersebut sehinggalah keadaan kembali pulih.

Pelaburan unit amanah lebih sesuai dilakukan untuk tempoh jangka masa panjang antara 3 ke 10 tahun, supaya pulangan yang diperoleh adalah lebih berbaloi.

Pada masa yang sama, bolehlah belajar tentang peluang pelaburan lain supaya dapat membuat diversifikasi dengan melabur ke dalam peluanf pelaburan yang lain.

5 Tahap Kewangan Peribadi: Anda Di Mana?

tahap kewangan peribadiSetiap kemunculan awal tahun merupakan waktu yang sesuai untuk menilai semula di manakah tahap kewangan peribadi masing-masing.

Adakah bertambah baik dari tahun sebelumnya, masih di tahap lama atau semakin teruk?

Adakah pelan kewangan yang dirancang berjalan dengan baik?

Adakah matlamat kewangan yang diingini masih dalam jangkauan?

Semua soalan-soalan ini perlu dijawab dalam menilai pengurusan kewangan peribadi masing-masing.

Daripada jawapan yang diperoleh, bolehlah dibuat adjustment kepada pelan kewangan masing-masing agar tahap kewangan peribadi bertambah baik dan matlamat kewangan dapat dicapai.

Untuk menilai tahap kewangan peribadi masing-masing, boleh fokus kepada dua perkara utama, iaitu aliran tunai (pendapatan vs perbelanjaan) dan kedudukan kewangan (aset vs liabiliti)

Tahap kewangan peribadi seseorang boleh dikelaskan kepada lima tahap yang berikut:

Tahap kewangan peribadi #1 – Financial instability

Tahap pertama ini menggambarkan golongan yang mempunyai aliran tunai negatif, iaitu perbelanjaan lebih banyak berbanding pendapatan.

Tak kisah sebesar mana pun pendapatan yang diperoleh, jika jumlah perbelanjaan lebih besar, golongan ini sedang menghadapi masalah aliran tunai.

Bak kata orang, besar periuk, besarlah keraknya.

Golongan ini kebiasaannya lebih mengutamakan gaya dan kemewahan, walaupun sebenarnya mereka tidak mampu pun untuk bergaya dan hidup dalam kemewahan tersebut.

Lebih teruk lagi, akibat perbelanjaan yang sentiasa melebihi pendapatan, golongan yang berada pada tahap ini terpaksa membuat hutang-hutang jahat atau tidak produktif yang berlebihan, seperti kad kredit dan pembiayaan peribadi.

Sudahlah pendapatan tidak mencukupi, aset tidak dapat dibina, hutang pula keliling-pinggang.

Akibatnya, golongan ini mempunyai tahap kewangan peribadi yang tidak stabil.

Tahap kewangan peribadi #2 – Financial stability/sufficiency

tahap kewangan peribadiGolongan yang berada pada tahap kedua ini boleh dikatakan menghabiskan semua pendapatan yang diperoleh untuk menampung semua perbelanjaan mereka.

Tiada simpanan dibuat, tiada aset dibina; jika ada pun, jumlahnya adalah sedikit.

Hampir semua pendapatan dibelanjakan, pendapatan hanya cukup-cukup untuk dibelanjakan.

Jika ada hutang pun, hutang-hutang tersebut masih mencukupi ditampung dengan pendapatan yang diperoleh.

Mereka tidak terbeban dengan hutang, tetapi pada masa yang sama mereka tidak mempunyai banyak simpanan dan aset.

Tahap kewangan peribadi #3 – Financial security

Apabila berada pada tahap ketiga ini, golongan ini kebiasaannya mempunyai pengurusan kewangan yang baik.

Pendapatan diagihkan sebaik-baiknya untuk simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan.

Simpanan asas mencecah 3 ke 6 bulan pendapatan sebagai dana rizab, lebihan simpanan dilaburkan sebaik-baiknya ke dalam peluang pelaburan terbaik yang mereka pilih untuk memantapkan kedudukan kewangan mereka.

Dari semasa ke semasa, simpanan dan aset tersebut sentiasa ditambah.

Mereka mengawal perbelanjaan sebaik-baiknya, mereka hidup di bawah kemampuan dan sentiasa mengikut bajet yang dibuat supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.

Hutang-hutang pula diambil untuk perkara-perkara penting sahaja dan dikawal pada paras minimum, antara 30% ke 50% sahaja daripada pendapatan.

Jika berada pada tahap ini pun, sudah satu pencapaian yang membanggakan.

Tahap kewangan peribadi #4 – Financial freedom

Mencapai tahap financial freedom adalah impian ramai orang, termasuklah saya sendiri.

Sama seperti golongan pada tahap ketiga (financial security), mereka yang berada pada tahap financial freedom turut mengawal pendapatan yang diperoleh supaya simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan dilakukan dengan baik.

Mereka juga mempunyai simpanan asas sebagai dana rizab, dan menambah aset dari semasa ke semasa.

Mereka juga mungkin turut mempunyai hutang, tetapi masih pada perkara-perkara penting dan dikawal pada paras minimum juga.

Bezanya, pendapatan yang mereka peroleh adalah daripada pendapatan pasif, sama ada daripada sistem bisnes atau pelaburan yang mereka lakukan.

Manakala golongan pada tahap ketiga bergantung kepada pendapatan aktif, sama ada daripada kerjaya atau perniagaan mereka.

Kiranya, mereka yang mencapai financial freedom mampu menampung keperluan hidup mereka walaupun tidak bekerja kerana pendapatan pasif mereka adalah mencukupi.

Tahap kewangan peribadi #5 – Financial wealth

tahap kewangan peribadiGolongan yang berada pada tahap teratas ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan duit, kecuali satu sahaja.

Apakah masalah tersebut?

Masalah mereka adalah duit yang terlalu banyak.

Golongan ini mempunyai duit yang banyak hasil daripada pendapatan aktif dan pasif, yang mana mereka gunakan untuk berbelanja ke mana sahaja yang mereka kehendaki.

Mereka mempunyai simpanan yang banyak, dan jumlah aset yang menjana pendapatan yang stabil untuk mereka.

Mereka boleh hidup mewah dengan pendapatan yang diperoleh, bukan setakat menampung keperluan asas sahaja.

Senang kata, mereka adalah orang kaya!

Di Mana Tahap Kewangan Peribadi Anda?

Setelah meneliti kelima-lima tahap kewangan di atas, adakah sekarang anda dapat mengenalpasti di mana tahap anda sekarang?

Adakah masih terkial-kial di tahap pertama?

Stabil di tahap kedua?

Selesa di tahap ketiga?

Bebas di tahap keempat?

Atau mewah di tahap kelima?

Dari semasa ke semasa, perbaikilah tahap kewangan masing-masing.

Bagaimana nak baiki tahap kewangan sendiri?

Pertama, banyakkan tambah ilmu tentang pengurusan kewangan peribadi.

Kedua, tetapkan matlamat dan tahap kewangan yang dikehendaki.

Kemudian, rangka pelan (roadmap) untuk mencapai matlamat yang ditetapkan tersebut.

Akhir sekali, laksanakan pelan tersebut dan buat analisa dari semasa ke semasa.

Seperti yang ditulis pada awal artikel tadi, tahap kewangan seseorang dinilai berdasarkan dua perkara utama iaitu aliran tunai dan kedudukan kewangan.

Jadi, jika nak tambah baik tahap kewangan, fokus kepada dua perkara tersebut.

Tambah pendapatan dan kurangkan perbelanjaan supaya aliran tunai menjadi positif.

Tambah aset dan kurangkan hutang supaya kedudukan kewangan kukuh.

Jika ini dilakukan secara berterusan, percayalah, tahap kewangan anda akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Penyelesaian yang klise, bukan?

Ya, memang klise.

Tetapi, yang klise inilah yang ramai abaikan.

Sudahnya, tahap kewangan kekal seperti dulu, langsung tiada perubahan.

Sebenarnya, yang klise inilah penyelesaian asas dan umum yang perlu dilakukan.

Apabila dah nampak jalan, bolehlah spesifikkan penyelesaian tersebut khas untuk diri anda.